“HEI, Mr. Amar Idlan...”
Syarizad memanggil dengan nada suara yang mengada-ada. Melihat Idlan menjeling
ke arahnya, dia ketawa sakan. “Kau sibuk ke?”
“Kau
tak nampak ke aku tengah buat kerja ni? Dah dua hari kau tak datang, hari ni
datang pulak. Ada hal apa?”
“Aku
bosanlah asyik hadap muka kau aje.” Satu jawapan yang membuatkan spanar
di tangan Idlan naik ke kepala Syarizad. Dia tidak mengaduh sakit sebaliknya
menyambung tawa.
“Kau
ni... buat baik sikitlah dengan aku. Nanti karang aku dah tak ada, kau rindu
aku tak tahu...” Syarizad angkat bahu dengan riak muka selamba.
Idlan
terhenti buat kerja. Kepala diangkat ke arah Syarizad.
“Apa
kau cakap?”
Syarizad
tersenyum nipis.
“Aku
pergi KL malam ni. Bas aku pukul 10.00,” beritahunya.
Idlan
masih terdiam di situ. Merenung Syarizad dengan muka terkejut.
“Kau
tengok aku macam tu kenapa?” Syarizad masih ketawa-ketawa. Sengaja main-main
walhal dia tahu Idlan terkejut beruk. Tengoklah sekejap lagi, mesti teruk kena
soal.
“Ikut
aku...” Idlan menarik lengan Syarizad supaya mengikutnya. Ke mana lagi yang
dituju kalau bukan bangsal kecil di luar bengkel itu.
“Kau
nak buat apa pergi KL?” Idlan bertanya serius.
“Kan
aku dah cakap aku ada dapat offer kerja. Kau lupa ke?”
“Perempuan
yang hampir langgar kau tu?”
Syarizad
angguk.
“Oh,
tak boleh, tak boleh, tak boleh...” Idlan menggeleng-geleng.
“Kenapa?”
“Kau
gila, Jad? Kau tak kenal pun siapa perempuan tu, kan? Senang-senang aje nak
terima tawaran dia?”
“Dia
orang kampung ni la!” Syarizad mempertahankan keputusannya. Memang Idlan ada
sebab yang kukuh untuk tidak percaya tetapi dia tetap mahu teruskan.
Idlan
terdiam lama. Nafas dilepas panjang.
“Kerja
apa?”
“PA”
“Tak
payah interview, tak payah bagi resume, terus kerja?”
“Dah
orang nak bagi kerja, aku okey ajelah...”
“Kau
dah fikir masak-masak ke?”
“Habis
hangus rentung dah aku fikir,” gurau Syarizad. Sengaja menceriakan suaranya.
Namun melihat wajah Idlan masih tegang, senyumannya memudar. Kepala yang tidak
gatal digaru-garu.
Idlan
mengeluh lagi.
“Jadi...
kau terima?” Wajah Syarizad direnung dalam.
Syarizad
mengangguk. Soal apa yang perlu dilakukan selepas menjadi PA, tidak
perlulah Idlan tahu.
Idlan
masih merenung Syarizad, seolah-olah cuba mencari sesuatu yang tersirat di
sebalik wajah gadis itu. Dia kenal Syarizad bukan setahun dua, tetapi sejak
kecil lagi. Sejak kedua-dua orang tuanya masih ada, sejak Syarizad masih lagi
anak gadis yang lembut tutur katanya, baik tingkah lakunya. Cuma selepas
peristiwa hitam yang berlaku dan juga kemalangan yang meragut nyawa seluruh
ahli keluarganya, Syarizad berubah seratus peratus, menjadi dirinya yang
baharu.
“Kenapa?”
Syarizad bertanya pelik. Dia tahu Idlan bagai dapat menghidu sesuatu yang cuba
disembunyikan. Jantung mula berdebar-debar. Mak ngah mungkin dia boleh tipu,
tapi bukan Idlan.
Idlan
menggeleng lalu menjatuhkan pandangan.
“Aku
harap kau tak ada buat apa-apa yang tak sepatutnya.”
Syarizad
ketawa hambar.
“Kau
ingat aku nak buat apa?”
“Aku
ingat lagi apa yang kau cakap kat aku tiga tahun lepas, Jad...” ujar Idlan
sambil menyandarkan badannya pada kerusi.
Senyuman
di bibir Syarizad mati. Apabila kisah itu diungkit, jantungnya rasa bagaikan
disentap kuat.
Idlan
kembali menoleh ke wajah Syarizad. Wajah itu jelas menyimpan satu cerita yang
tidak mungkin dapat dibaca oleh orang lain.
“Masih
berdendam dengan orang lelaki?”
Syarizad
tidak menjawab. Dia menanggalkan topinya dan berpura-pura bermain dengan topi
itu.
“Hal
yang lepas tu biarlah lepas, Jad,” ujar Idlan perlahan.
Dia
tahu sejak peristiwa hitam itu, Syarizad menyimpan dendam terhadap kaum lelaki.
Kalau tidak disebabkan mereka sudah bersahabat sejak kecil, dengan dia sekali
bakal menjadi mangsa dendam Syarizad. Walaupun peristiwa itu berlaku lebih tiga
tahun lalu, dia tahu Syarizad masih belum boleh melupakan semuanya.
“Kau
ni...” Syarizad pura-pura ketawa walaupun jelas hambar bunyinya.
“Aku
ada dengan kau masa tu, Jad. Aku ada masa kau cakap kau takkan lupakan apa yang
jadi pada kau sampai mati.” Idlan mengingatkan hal itu. Dia masih ingat dengan
jelas janji Syarizad dan tekad Syarizad bersama air mata yang berlinangan di
pipinya.
Syarizad
senyum pahit. Memang benar, hal yang lepas tu biarlah lepas. Hal yang lama itu
biarkan berlalu. Tetapi disebabkan hal yang lama itulah, dia menjadi dirinya
hari ini.
“Aku
balik dulu.” Syarizad menukar topik. Topi kembali diletakkan di atas kepala
sebelum membuka langkah menghampiri basikalnya.
Idlan
menghembus nafas. Dia memang tidak betah tengok Syarizad masam muka begitu
dengannya. Akalnya tiba-tiba mendapat idea.
“Jad.”
Panggilan
itu membuatkan Syarizad berpaling semula.
“Bas
kau malam ni, kan?”
Syarizad
mengangguk.
“Jom,
aku bawak kau pusing Alor Setar,” kata Idlan. Bibirnya tersenyum sambil
kening diangkat tinggi.
Syarizad
kerut dahi. “Kerja kau?”
Idlan
angkat bahu. Sambil berjalan masuk ke bengkel, dia melaung, “Abang Bob! Hari ni
saya minta cuti setengah hari!”
Hilang
kepedihan yang dirasai tadi, Syarizad akhirnya tertawa kecil. Dia tahu walau
apa pun yang berlaku, Idlan tetap sayangkannya.
“BARANG semua dah kemas? Ada apa-apa yang tertinggal lagi tak?”
Entah
sudah kali ke berapa soalan itu ditanyakan Rosni. Syarizad menjawab sambil
mengangguk-anggukkan kepalanya. Teringat dulu sewaktu ibu masih ada, mesti tak
menang tangan tolong dia kemas barang setiap kali dia menyertai kem di sekolah.
Kenangan melintas lagi dalam fikiran. Syarizad hembus nafas panjang.
“Betul
ni Ijad tak nak telefon Yana?” Rosni bertanya lagi soalan yang sama. Dah puas
tanya, jawapan Syarizad tetap sama. Bukannya apa, dia risau kalau-kalau
Syarizad ada masalah di sana nanti. Lagipun ini kali pertama Syarizad ke KL
seorang diri.
“Betul,
mak ngah. Mak ngah janganlah risau. Ini Ijad okey, siapa pun tak berani nak
kacau.” Syarizad tersengih mengusik.
Rosni
membalas dengan jelingan.
“Dahlah,
cepat siap. Idlan dah tunggu kat luar.”
“Baik!”
Syarizad mencapai begnya lalu digalas pada bahu. Topi setia menemani kepalanya.
Syarizad
keluar dari bilik sejurus kemudian. Idlan sudah menunggu di ruang tamu. Tadi
lepas dah puas jalan-jalan, dia terus balik ke rumah dan Idlan berjanji akan
datang lagi untuk menghantarnya ke stesen bas malam ini.
“Cuba
kau buka topi kau tu sekali-sekala. Rimas aku tengok,” komen Idlan selamba.
Syarizad
tayang muka tak ada perasaan.
“Topi
aku, suka hati akulah.”
“Memanglah
topi kau, tapi mata aku yang tengok ni rimas tau! Lagipun dah malam kut.”
“Tak
ada pun undang-undang kata tak boleh pakai topi waktu malam.”
“Hah
dah, dah. Kalau dah bergaduh tu memang susah nak berhenti.” Rosni pantas
meleraikan pertikaman lidah kedua-duanya. Dia tahu betapa rapatnya hubungan
Syarizad dan Idlan.
Walaupun
Idlan itu tua tiga tahun daripada Syarizad, itu tidak menghalangnya untuk
berkawan rapat dengan Syarizad. Sewaktu Syarizad berdepan dengan kehilangan
keluarganya yang sangat menyakitkan, Idlanlah antara orang yang banyak memberi
semangat kepada Syarizad. Sementelah pula semenjak bersekolah, Syarizad tidak punya
ramai kawan.
“Ijad
pergi dulu, mak ngah.” Syarizad menghulur tangan untuk bersalam.
“Jaga
diri baik-baik, Ijad. Sampai sana nanti rajin-rajinlah telefon mak ngah ya.”
Rosni memeluk tubuh Syarizad dengan erat. Hanya satu doanya, semoga Syarizad
tidak tersilap langkah dalam apa saja yang dia lakukan selepas ini.
“Nanti
Ijad dah beli handphone, Ijad telefon mak ngah hari-hari okey?” gurau
Syarizad membuatkan Rosni tertawa.
“Jom,
Lan!” ajak Syarizad. Nampak jelas betapa dia teruja walaupun masih terselit rasa
ragu untuk menjalankan kerja yang telah dipersetujui.
Idlan
turut menyalami tangan Rosni lalu terus keluar dari rumah. Nasib baik dia
pinjam kereta dengan ayahnya, jadi tak adalah susah payah nak angkut beg
Syarizad dengan motosikal.
“Kau
ingat tau, kat sana nanti telefon aku. Kalau kau senyap tak ada berita, aku
buat iklan dalam surat khabar.” Dalam-dalam berpesan, sempat lagi Idlan
mengugut.
Syarizad
ketawa lepas. “Ya, ya... aku tahu kau sayang aku. Kan?” Dia buat muka
mengada-ada.
Idlan
mencebik. Sampai di stesen bas, dia mengangkat beg Syarizad lalu diletakkan di
tempat menyimpan barang.
“Jaga
diri.”
“Diri
akan dijaga.” Syarizad tergelak-gelak.
“Aku
serius ni.” Idlan tegangkan muka. Syarizad ni asyik main-main aje. Yang
hairannya, Syarizad cuma banyak bergurau dengannya. Dengan orang lain, muka
ketat 24 jam.
Syarizad
ketawa lagi.
“Yaaaa...
aku tahulah nak jaga diri aku nanti. Kau tu tengok-tengoklah mak ngah aku ya,”
pesannya pula.
Idlan
mengangguk.
“Bye...”
Syarizad
membalas dengan lambaian tinggi. Kemudian dia terus berlalu masuk ke dalam bas.
Sambil merenung ke luar cermin tingkap, fikirannya melayang jauh memikirkan apa
yang bakal terjadi dalam hidupnya selepas ini. Ya, segala-galanya akan berubah.
No comments:
Post a Comment