DAUN
pintu ditolak dari luar. Hayyan menapak masuk lalu mengunci pintu itu semula.
Selipar ditanggalkan lalu diletakkan di tepi dinding apartmen itu.
“Baru
balik, Riz? Pergi mana tadi?” Herny tiba-tiba muncul di ruang tamu.
Hayyan memandang Herny yang sudah
lengkap berbaju tidur. “Jalan-jalan kat tepi pantai tadi,” jawabnya ringkas.
Ruang tamu dihampiri lalu merebahkan tubuh yang penat di situ.
“Sorang?” Herny mendekati seraya
duduk dekat dengan Hayyan.
“Hmm...” Hayyan merenung siling yang
kaku dengan tangan yang disilangkan di belakang kepala.
“Petang tadi keluar ke pantai, malam
ni pun keluar ke pantai. Ya ke sorang? Apa yang bestnya jalan-jalan kat pantai tu sampai ke malam pun berjalan
lagi?” Nadanya betul-betul mahu tahu tapi masih terselit sindiran. Herny
tersenyum mengena.
Hayyan terkebil-kebil. Yalah tu
jalan sorang-sorang, padahal petang tadi seronok main air laut dengan Zenia.
Cuma malam ini saja dia mengambil angin sendiri. Tak apalah, setakat nak
menyejukkan hati sendiri, tak kisahlah kalau terpaksalah jalan sorang-sorang
dalam gelap.
“Kalau kahwin cepat-cepat kan bagus.
Umur Riz pun dah 30 tahun. Tapi tulah, nak kena tunggu Za...”
“Warghhhh...” Hayyan menguap
luas-luas sebelum bangkit dari baringannya. “Ngantuklah, kak... Esok kita
sambung sembang ya.”
Herny menjeling. Dah faham sangat
dah perangai adiknya yang seorang tu.
Tak lain tak bukan mesti nak mengelak.
“Good
night, kak.” Hayyan senyum hambar lalu terus menghilang ke dalam bilik.
Sempat berselisih dengan Khairil yang baru saja keluar dari bilik.
“Riz baru balik ke?” Khairil
bertanya kepada isterinya yang masih duduk di ruang tamu.
“Haah, pergi ambik angin katanya.
Elok sangatlah tu berjalan sorang-sorang macam orang sunyi sangat,” rungut
Herny sambil bingkas bangun.
Khairil tersengih. “Biarlah dia...
nak tenangkan fikiran kut,” balasnya.
“Hmm...” Herny malas komen lebih.
Dia terus berlalu ke arah bilik tidur.
Khairil diam di tempatnya berdiri.
Sebenarnya dari siang tadi lagi dia perhatikan tingkah Hayyan dan Zenia.
Takkanlah Hayyan dah jatuh hati kat Zenia kut? Bukan nak kata tak boleh tapi...
betul ke?
“KAU
borak apa dengan Hayyan tadi?” Zatie yang sudah berbaring di katil tiba-tiba
bertanya.
Zenia menoleh sekilas ke arah Zatie.
Nasib baik Adam dah nyenyak tidur di tengah-tengah katil itu. Kalau tak, satu
hal pulak dia nak jelaskan kat Adam apa yang Zatie maksudkan. Nafas panjang
dilepaskan. Baju-baju yang sudah digunakan dilipat lalu dimasukkan ke dalam
beg.
“Tak ada apalah, Tie...”
“Aku boleh nampaklah yang dia
sebenarnya masih sayangkan kau. Kau tak rasa macam tu?” Zatie meneka-neka
sendiri.
Zenia mengetap bibir. Kalau Zatie
boleh nampak, orang lain macam mana agaknya? Zenia mengeluh lagi.
“Walau apa pun, aku dengan dia
takkan bersama lagi macam dulu...” balas Zenia sepi.
“Boleh aku tahu kenapa?” Zatie
menongkat kepala dengan tangan kanannya. Riak wajahnya penuh tanda tanya.
Memang dulu Zenia yang putuskan hubungan mereka berdua, tapi kalau dah sampai
sekarang rasa sayang tu masih ada, tak salah kalau mulakan sekali lagi, kan?
“Aku dah tak ada apa-apa perasaan
kat dia,” ucap Zenia dengan bibir yang bergetar tak semena-mena. Hatinya terasa
pedih. Benarkah apa yang baru diungkapkan itu?
Zatie kini sudah duduk tercongok di
atas katil merenung Zenia. “Kau tipu, kan?”
Zenia bingkas bangun. “Terpulanglah
kau nak cakap apa. Aku nak tidur...”
“Nia...”
“Aku padam lampu eh? Good night.” Zenia terus mematikan lampu
sebelum baring di sebelah Adam yang sudah lama lena. Selimut ditarik sampai ke
kepala. Sepasang matanya bergenangan tiba-tiba. Ya Allah... kuatkanlah aku...
ZENIA
duduk di tepi kolam renang sambil memerhatikan Adam mandi di situ bersama
rakan-rakannya. Acara untuk para ibu sedang dijalankan sebelum digantikan
dengan acara sukaneka untuk anak-anak yang turut serta. Jadi sementara tiba
giliran untuk Adam yang beria-ia nak main sukaneka, Zenia memberi izin untuk
anaknya itu mandi di kolam renang terlebih dahulu.
Dari jauh lagi dia sudah nampak
kelibat Hayyan sedang berjalan mendekatinya. Zenia mengeluh panjang. Separuh
hati rasa gembira dapat menatap wajah lelaki itu, sementara separuhnya lagi
merintih pedih dalam diam. Nasiblah Nia, kalau dah duduk dekat bawah satu
bumbung macam ni, memanglah akan selalu jumpa. Tak guna jugak kalau nak lari
jauh ke mana pun, Hayyan akan tetap dapat cari.
“Morning, dear. Kenapa tak join mandi?” Hayyan bergurau sambil duduk di sebelah Zenia.
“Tak lawak pun,” balas Zenia tanpa
memandang Hayyan.
Hayyan tertawa kecil. “Bila masa
entah saya buat lawak...”
“Tak selesalah orang selalu pandang
kita berdua macam ni,” ujar Zenia perlahan. Jari-jemari bertaut sesama sendiri,
menyembunyikan resah di hati.
“Biarlah orang nak pandang pun. Kita
bukannya buat apa-apa,” balas Hayyan mudah.
“Kalau kakak awak pandang?” Kali ini
Zenia menoleh ke wajah Hayyan.
Hayyan senyum panjang. “Lagi bagus,
tak payah susah-susah saya nak jelaskan kat dia. Saya cakap aje, ‘kalau akak
nak tahu, inilah Zenia yang Riz sayang dari dulu lagi tu’.” Dan senyumannya
menguntum lagi.
Jantung Zenia bagai direntap kuat.
Terus dia menunduk merenung jemari sendiri. Nampaknya, Hayyan masih belum puas
‘menarik’nya untuk kembali kepada kisah lama mereka berdua. Dia mahu Hayyan
hentikan semuanya tetapi dia tiada kekuatan. Hayyan, kenapa buat saya macam ni?
“Nia... awak simpan lagi rantai yang
saya bagi awak dulu tu?” Hayyan menukar soalan. Wajah Zenia direnung lagi. Tak
pernah jemu dan tak akan pernah jemu.
Zenia terdiam tanpa jawapan.
Rantai...
Ya, rantai itu masih elok dalam
simpanannya. Empat tahun dia menyimpan rantai itu, sikit pun tak tercela atau
terjejas apa-apa. Walaupun dia tak pakai, tapi rantai itu tetap menjadi barang
yang paling dia sayang sejak dulu lagi, sejak hari pertama rantai itu menjadi
miliknya.
“Kalau simpan, kenapa tak pakai?”
tanya Hayyan lagi.
“Tak, saya dah buang,” kata Zenia
tanpa memandang Hayyan.
Hayyan tak marah, sebaliknya hanya
ketawa. Zenia kerut kening. Apa yang lawak?
“Saya tak percaya,” ujar Hayyan.
Zenia angkat muka. Renungan Hayyan
ditentang penuh berani. Ketika itu juga jantung semakin deras berdegup.
“Saya akan tunggu sampai awak
bersedia untuk pakai rantai tu semula,” ucap Hayyan lembut. Kemudian dia
bangkit berdiri. Sempat mengukir senyuman paling manis untuk Zenia sebelum
berlalu meninggalkan wanita itu di situ.
Zenia sudah tak terkata apa. Semakin
hari, Hayyan semakin menyentuh hatinya. Semakin hari, Hayyan semakin dekat
dengan pintu hatinya yang telah lama dikunci rapat. Zenia memejam mata dengan kepala
yang ditundukkan. Ya Allah, untuk apa kami ditemukan lagi andai aku sendiri tak
mampu nak terima dia lagi dalam hidup aku?
“LAIN
kali kalau ada lagi event macam ni,
ajak lagi tau?” Hayyan tersengih sambil meletakkan beg pakaiannya di tepi
pintu.
“Eleh... macamlah Riz tu join mana-mana acara pun. Setakat datang
nak berjalan kat tepi pantai tu, baik tak payah.” Herny pula yang menjawab.
Jawapan yang lebih kepada sindiran sebenarnya.
“Dah namanya pun family day, Riz bukannya ada anak bini
pun nak join mana-mana acara.
Kecohlah akak ni,” balas Hayyan sambil mencebik.
“Itulah... Orang suruh kahwin...”
“Haa...” Hayyan mengangkat tangan
kanannya. “We are not having this
conversation again, are we?”
Herny buat muka. Malas dah nak
tegur, jawapannya tetap sama jugak.
“Aku dengan kakak kau nak balik KL
malam ni. Kau ikut, Riz?” Khairil menyampuk. Kalau dibiarkan perang mulut
antara dua beradik tu, entah bila akan habis.
Hayyan mengunci mulut. Soalan itu
dibiarkan berlalu tanpa jawapan. Selamba duduk di ruang tamu sambil tangan
bermain-main dengan smartphonenya.
Herny mengerling ke arah suaminya di sebelah. Reaksi Hayyan itu memang mereka
berdua sudah agak. Tergeleng-geleng kepala masing-masing.
Khairil memberi isyarat mata ke arah
Herny supaya memujuk Hayyan sementara dia berlalu masuk ke bilik untuk
mengambil barang.
Herny melabuhkan duduk di sebelah
Hayyan. “Ikut akak balik, Riz.”
Hayyan masih diam.
“Riz balik rumah mama sebulan sekali
aje, itu pun lepas mama puas telefon mintak Riz balik. Tak kesian kat mama ke?”
Herny bermain psikologi pula. Manalah tahu dengan cara itu terbuka juga hati
Hayyan untuk pulang ke rumah tempat mereka membesar itu.
“Mama sorang ke kat rumah?” tanya
Hayyan perlahan.
“Tak...”
“Then
no.” Hayyan bingkas menghampiri pintu.
“Riz...” Herny turut sama bangun.
“Riz tunggu kat bawah,” ujar Hayyan.
Begnya dicapai lalu terus keluar dari apartmen itu.
Herny mengeluh panjang. Khairil yang
baru keluar dari bilik dipandang. Suaminya itu mengangkat kening, Herny
membalas dengan jongketan bahu.
No comments:
Post a Comment