DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 29 February 2016

LOKET ZINNIA - BAB 20



DARI rak A, Zenia berpindah ke rak B pula. Matanya meliar ke sekeliling mencari buku yang diinginkan berdasarkan call number yang ditulis di atas kertas di tangannya. Tiba-tiba sahaja, ada suara yang singgah di telinganya. Zenia merapatkan badannya di rak C. Dari situ, dia boleh nampak kelibat Hayyan dengan rakannya sedang berbual-bual. Walaupun suara mereka perlahan, masih dapat didengari oleh Zenia.
            “Kau tak try call dia?”
            “Dah puas call, sekali pun dia tak angkat.” Hayyan mengeluh. Tangannya membelek-belek buku di tangan.
            “Tak tanya dia apa masalah dia?”
            “Macam mana nak tanya kalau call aku pun dia tak jawab? SMS lagilah. Haram.” Hayyan tergeleng-geleng pula.
            Zenia terus memasang telinga. Siapa ‘dia’ yang dimaksudkan mereka? Adakah dirinya sendiri?
            Rakan Hayyan itu menggaru-garu kepalanya. “Susahlah orang perempuan ni. Lagipun aku bukannya kenal sangat Zenia tu macam mana. Memang jenis kuat merajuk kut?”
            Sah! Memang dia.
“Tak adalah sangat. Dia kalau ada yang dia tak puas hati, mulalah mengelak dari aku. Tapi serius aku tak tahu apa salah aku,” ujar Hayyan.
            Zenia mengetap bibir. Betul ke dia macam tu?
            “Jumpalah dia, cakap face to face. Alaa... nanti cairlah tu. Percayalah cakap aku.” Rakannya itu meyakinkan sambil tersengih.
            Hayyan diam tidak menjawab. Dan Zenia tidak mahu menunggu lagi. Secepat kilat dia berpaling dan serentak itu juga tubuhnya terlanggar troli yang diletakkan di tengah-tengah antara rak A dan rak B. Buku-buku yang memenuhi ruang troli itu jatuh bertaburan di atas lantai. Zenia ternganga di situ.
            Hayyan dan Kamil yang tersentak sama-sama menoleh. Masing-masing terkejut melihat Zenia di situ apatah lagi dengan buku-buku yang berterabur di atas lantai.
            “Nia!” Hayyan pantas menghampiri Zenia. Dia ikut mencangkung di situ untuk membantu Zenia mengutip buku-buku yang jatuh. “Nia, awak okey?”
            “Aaa... okey, okey.” Zenia kalut menjawab. Sebuah buku dicapai dan secara kebetulan Hayyan juga mencapai buku yang sama. Sepantas kilat Zenia melarikan tangannya semula. Otaknya seakan-akan kosong, tidak dapat berfikir apa yang harus dilakukan. Tidak mahu menunggu lagi, Zenia segera bangkit dan berjalan laju ke arah pintu perpustakaan.
            Hayyan memerhati dengan kerut di dahi. Kepala ditundukkan memandang buku-buku yang belum dikutip sepenuhnya. Matanya hinggap pada satu cebisan kertas di celah-celah buku itu. Kertas itu dicapai. Tertulis angka-angka yang diyakini call number kepada buku yang mahu dicari Zenia sebentar tadi. Keluhan terlepas lemah dari mulutnya.
            Di luar, Zenia menyandar di dinding perpustakaan dengan muka yang agak pucat. Semuanya berlaku terlalu pantas sampaikan dia hampir-hampir tidak sempat bernafas.
            Kenapa aku lari tinggalkan buku-buku tu macam tu? Tak pasal-pasal Hayyan pulak kena kutip. Arh, lantaklah! Lalu langkah diatur laju untuk pulang ke kolej kediaman.


DI hujung tangga, Eton ternampak Hayyan sedang berdiri menantikan seseorang. Anak mata lelaki itu lurus merenung Zenia yang sedang berjalan di sebelahnya. Tak tahu sama ada gadis itu betul-betul tak nampak kelibatnya atau saja buat-buat tak nampak. Tapi tengok dari gaya, Eton yakin memang Zenia tak nampak Hayyan yang ‘bersembunyi’ di situ.
            Eton mengangkat kening ke arah Hayyan, isyarat bertanya apa yang telah berlaku antara mereka berdua. Bukan dia tak tahu, sudah hampir dua minggu Zenia mengelak dari Hayyan. Nak kata putus cinta, bila masa pulak dia orang ni bercinta? Putus kawan? Macam tak logik pulak.
            “Nia, kau tak nak jumpa Hayyan langsung ke? Sian dia tau...” Eton bersuara. Sengaja menguatkan suara agar Hayyan dapat mendengar perbualan mereka.
            Zenia tunduk memandang anak-anak tangga yang sedang dipijak. “Nak buat apa jumpa dia?” Dingin dia membalas.
            “Kau tanya aku nak buat apa? Habis tu sebelum ni kau jumpa dia nak buat apa?” Eton memulangkan soalan. Tergeleng-geleng kepalanya tak puas hati.
            “Alaaa... aku ni bukannya penting pun untuk dia. Taste dia mestilah tinggi, tak sesuai dengan orang macam aku ni,” jawab Zenia macam orang tak ada hati. Perkataan ‘sesuai’ sengaja dilemahkan bunyinya.
            Eton tergeleng-geleng lagi. Belum sempat dia menjawab, mereka berdua sudah pun sampai di anak tangga terakhir. Ketika itu juga Zenia tersedar kehadiran Hayyan di situ. Terus terkunci mulutnya dengan mata membulat. Erk... dia dengar ke tadi?
            “Hmm... aku malas campur masalah rumah tangga kau orang ni. Pandai-pandailah selesaikan. Aku pergi dulu. Chow!” Eton mengangkat tangan lalu melenggang pergi bersama gelak kecilnya.
            “Err...” Serba tak kena jadinya Zenia. Tambah-tambah lagi apabila renungan Hayyan memanah terus ke wajahnya.
            “Mana awak hilang? Puas saya cari,” tanya Hayyan. Rindunya dengan Zenia... Baru terlepas beban rindu rasanya.
            “Tak hilang ke mana pun. Ada aje kat sini,” jawab Zenia acuh tak acuh. Pandangan dilemparkan ke arah lain. Dia turun dari anak tangga terakhir dan berdiri menghadap Hayyan.
            “Habis tu kenapa awak macam mengelak aje dari saya? Saya call awak tak jawab, saya SMS awak tak balas. Sekarang ni saya ada depan mata awak pun, awak buat tak layan aje. Kenapa, Nia?” Lembut Hayyan bersuara. Bunyi macam orang pasrah pun ada.
            Aduhai... ketar lutut Zenia.
            “Tak ada apa-apalah. Saya tak ada kredit.” Lain yang ditanya, lain yang dijawab. Arh lantaklah! Zenia buat muka tak bersalah.
            “Nak angkat phone pun kena pakai kredit ke?” Nada suara Hayyan kedengaran menyindir. Geram pula tiba-tiba apabila Zenia macam main-main menjawab soalannya.
            “Dah tahu saya tak angkat, kenapa call jugak?” balas Zenia masih dengan riak yang sama. Padahal jantung dah dup-dap dup-dap satu macam.
            “Sebab saya nak tahu kenapa dengan awak. Kenapa dengan awak, Nia? Awak marah saya ke?”
            “Tak ada apa-apalah. Awak tak payahlah susah-susah pasal saya...”
            “Betul ke ni?” Hayyan masih tak puas hati. “Nia, walaupun saya kenal awak tak lama, tapi saya boleh baca hati awak. Mesti ada something yang awak pendamkan daripada saya, kan?”
            “Orang cakap tak ada apa-apa, tak ada apa-apalah!” Zenia merengus geram. Hisy dia ni, tak faham bahasa betul!
            Terdiam sesaat Hayyan jadinya. “Okey kalau macam tu. Jom, temankan saya makan. Lapar ni...” Selamba pula dia mengajak.
            “Kenapa nak ajak saya pulak? Pergilah ajak Karima tu!” Tanpa sedar, terlepas sebaris nama itu dari mulut Zenia.
            “Aik... kenapa tiba-tiba keluar nama Karima ni?” Dahi Hayyan berkerut. Karima? Lurus anak matanya merenung wajah Zenia. Mendengar daripada nada suara dan riak wajah masam Zenia, dia bagaikan dapat membaca sesuatu.
            Benarlah kata orang, when a girl says ‘nothing is wrong’, it means ‘everything is wrong’. Hayyan sudah faham sekarang.
            Zenia terdiam. Erk. Apa aku cakap tadi? Alamak! Terlepas cakaplah! Huwaaa... malunyaaa... Janganlah Hayyan fikir bukan-bukan. Fuhhh! Fuhhhhh!
            Melihat wajah Zenia merona merah, Hayyan ukir sengih. “Oooo... jadinya awak mengelak daripada saya selama ni, sebab Karimalah ya?”
            Zenia masih lagi diam. Malu, tapi tak nak tunjuk. Tak sangka secepat itu Hayyan boleh baca fikirannya.
            “Saya dengan dia mana ada apa-apalah, sayang,” kata Hayyan sambil tersenyum.
            Bergetar hati Zenia mendengar panggilan ‘sayang’ meniti keluar dari bibir lelaki itu. “Kalau tak ada apa-apa, kenapa saya tengok awak mesra sangat dengan dia?”
            “Saya mesra dengan dia sebab dia tu kawan saya. Saya dah kenal dia sejak sekolah menengah lagi tau?” Satu-persatu Hayyan menjelaskan. Baru dia faham kenapa Zenia mengelak daripadanya selama dua minggu ini. Rupa-rupanya Karima yang menjadi punca.
            “Tapi hari tu saya nampak awak pegang tangan dia!” Zenia masih tak puas hati. Nasib baik tak ada orang lalu-lalang kat kawasan tu. Kalau tak, mau dapat tonton wayang free.
            “Saya pegang tangan dia? Bila?” Hayyan kerutkan mukanya.
            Makin sakit hati Zenia jadinya. “Hai... tak ingat? Dah acap kali sangat kot awak pegang tangan dia sampai tak ingat dah bila, kan?”
            Hayyan tersengih. Garang betul Zenia. The other side of Zenia yang dia baru tahu. “Awak jealous eh?”
            Zenia menjeling tajam. Cover malu...
            “Bila awak nampak saya dengan dia?”
            “Dua minggu lepas.”
            “Kat mana?”
            “Kafe.” Marah, tapi Zenia tidak tahu kenapa dia masih menjawab setiap soalan Hayyan. Mungkin sebab hatinya sendiri benar-benar inginkan penjelasan sebenar daripada lelaki itu.
            Hayyan diam berfikir-fikir. Lama begitu, barulah dia bersuara semula. “Ooo... masa tu... Hmm... ya ke saya pegang tangan dia?”
            Makin tajam jelingan Zenia. Sakit hati. Niat di hati nak blah aje tapi tak sempat apabila Hayyan cepat-cepat menahan.
            “Okey, okey... Cuba awak ingat betul-betul, masa tu saya yang pegang tangan dia atau dia yang pegang tangan saya?” Hayyan bertanya lagi.
            Zenia diam. Namun otaknya ligat berfikir, mengimbau babak yang disaksikan dua minggu lalu. “Dia pegang tangan awak.”
            Then? Awak nak salahkan saya?”
            “Tapi awak boleh tolak, kan? Kenapa biarkan aje dia pegang awak sesuka hati dia? Sukalah kan ada awek pegang-pegang macam tu?” Zenia kembali melenting. Geram betul dengan sikap main-main Hayyan. Nampak sangat tak serius!       
            Hayyan sengih lagi. Tangannya menggaru kepala. “Okey, saya mengaku silap saya sebab tak tolak. Lagipun saya dengan dia dah biasa macam tu. Dah tak jadi hal...”
            Zenia mengetap bibir. Berasap rasa telinganya dengan penjelasan itu. Tak sangka, rupa-rupanya Hayyan Rizqi yang dikagumi dalam diam bersikap begitu.
            “Saya mintak maaf. Lain kali, saya akan pastikan adegan-adegan macam tu takkan jadi lagi. Okey?” Hayyan bagaikan berjanji.
            “Boleh percaya ke? Kan awak dengan dia dah biasa macam tu? Entah-entah awak pun dah biasa pegang dia sana sini kan?” tuduh Zenia lagi.
            “Teruk jugak awak ni kalau cemburu, kan?” Hayyan sengaja memutar-belitkan ayatnya.
            Spontan buku di tangan Zenia naik ke lengan Hayyan.
            “Aduh!” Hayyan mengusap lengan yang terasa pedih. Buku dua inci tu beb!
            “Padan muka!” Zenia mula membuka langkah untuk beredar tetapi secepat itu juga Hayyan menyekat langkahnya. “Tepilah! Saya nak lalu ni!”
            Nope!” Hayyan menggeleng-geleng. “Nia, dengarlah dulu apa saya nak cakap ni...”
            “Dah dengar dah. Cukup dah tu!”
            “Tak cukup lagi. Please, Nia... bagi saya peluang untuk jelaskan. Please...”
            Cair hati Zenia dengan rayuan Hayyan itu. Hisy hati ni... saja aje tau!
            Terhembus keluhan lega Hayyan apabila Zenia nampak kembali tenang. “Awak janganlah salah faham. Saya bukannya macam yang awak fikirkan. Saya dengan Karima jadi macam tu sebab kita orang memang rapat dah lama. Tapi kalau awak tak suka, fine... saya janji saya takkan buat lagi. Demi awak, saya janji saya akan jaga jarak antara saya dengan dia. Takkan ada lagi adegan macam yang awak nampak hari tu. Janji!” Hayyan mengangkat tangan kirinyanya. Demi Zenia, dia sanggup berubah tingkah.
            “Orang janji tangan kananlah!” tingkah Zenia masih tak puas hati.
            Pantas Hayyan jatuhkan tangannya. “Saya kidallah,” dalihnya sambil tahan senyum.
            Zenia ketap bibir. Rasa nak ketawa tapi tahan.
            “Okey, now tangan kanan.” Hayyan angkat pula tangan kanannya.
            Tiada jawapan daripada Zenia. Hanya matanya tidak berkelip menatap wajah Hayyan.
            “Janji!” ulang Hayyan lagi.
            Zenia menghembus nafas panjang. “Tak payahlah janji sampai macam tu...”
            “Habis tu, kenapa susah sangat nak percaya?”
            “Okey, memandangkan awak dah janji... saya tuntut nanti!” kata Zenia sengaja mengugut.
            Hayyan tersenyum. Lega kerana Zenia sudah mula terpujuk dengan kata-katanya. “Okey, tak ada hal.”
            Lambat-lambat Zenia mengukir senyum.
            “Nah, untuk awak.” Hayyan tiba-tiba menghulur sebuah buku yang dikeluarkan dari begnya.
            “Apa ni?” Zenia kerut dahi. Buku dari tangan Hayyan diambil juga.
            “Hari tu awak pergi library nak cari buku ni, kan? Saya dah tolong pinjamkan untuk awak,” jelas Hayyan.
            “Mana awak tahu saya nak buku ni?” Bulat mata Zenia memandang Hayyan.
            “Kuasa psikik.” Hayyan menyengih.
            “Betul-betullah!” Zenia geram.
            Hayyan ketawa kecil. “Kertas awak jatuh hari tu. Awak ada tulis call number buku ni atas kertas tu, kan?”
            “Ohh...” Barulah Zenia teringatkan hal itu. Memang dia sangat perlukan buku itu. Nasib baiklah ada seminggu lagi masa untuk siapkan assignment tu. “Terima kasih.”
            “Sama-sama. Jom, teman saya pergi makan...” Hayyan mengulangi pelawaannya tadi.
            “Okey, awak belanja. Jom!” Tanpa menunggu persetujuan Hayyan, Zenia mula mengatur langkah dengan senyuman manis di bibir.




No comments:

Post a Comment