DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday 29 February 2016

BUNGA DI TAMAN LARANGAN - BAB 4



“TAPI perempuan tadi cantik, kan? Sesuai dengan abang!” kata Allison sesudah turun dari kereta. Pintu ditutup rapat.
Ben menggeleng-geleng. “Not my type.”
“Oh lupa, abang kan nak kahwin dengan ustazah.” Allison tergelak-gelak mengusik.
Ben buat muka. Bahu Allison dipaut rapat lalu mereka jalan beriringan masuk ke dalam rumah. Mummy dan papa sedang duduk di ruang tamu sambil menonton TV. Nampak kelibat mereka berdua, papa menggamit supaya mendekat. Ben dan Allison turutkan saja.
“Dari mana ni?” tanya Datuk Jaini.
Ben duduk di sebelah Allison melepaskan penat.
“Ally ajak keluar jalan-jalan tadi. Ben ikutkan ajelah,” jawabnya. Dia pun bukan selalu keluar malam. Kalau keluar pun, mesti dengan Allison.
“Ni... mummy ada benda nak cakap dengan Ben,” ujar Datuk Jaini sambil mengerling ke arah isterinya di sebelah.
“Apa dia, mummy?”
Datin Hazleena tersenyum.
“Esok calon PA yang nak datang temu duga tu akan pergi jumpa Ben kat ofis.”
“Oh...” Ben terangguk-angguk. Dia pun pelik juga sebenarnya kenapa mummynya macam cari calon isteri. Hesy, tak mahulah kalau macam tu. Kalau dia nak kahwin, biar dia sendiri yang tentukan calonnya.
“Ben tak perlulah tanya dia soalan macam-macam. Percaya aje dengan pilihan mummy tu, dia memang bagus budaknya walaupun cuma lepasan STPM aje,” ujar Datin Hazleena lagi. Semuanya sudah dijelaskan kepada Ben dan dia yakin anak tirinya itu tidak akan membantah arahannya. Bukan ke Ben memang seorang anak yang taat?
Allison menoleh ke wajah abangnya. Nampak macam terpaksa pun ada juga. Maklumlah, nak hormatkan mummy punya pasal.
Ben mengangguk-angguk.
“Okey, mummy. Hmm... Ben naik atas dulu ya.” Ben meminta diri untuk naik ke bilik.
“Ally pun.” Allison buru-buru mengikut langkah Ben. Sampai di tangga, bahu Ben dicuit.
Ben berpaling.
“Kenapa abang ikut sangat mummy tu? Kan tu pekerja abang, suka hatilah abang nak pilih siapa pun,” bebel Allison. Bukan dia tak suka mummy, cuma dia kurang setuju dengan keputusan abangnya yang cuma ikut saja kata mummynya tanpa fikir panjang.
Ben jongket bahu.
“Abang malas fikir panjang-panjang. Kalau calon mummy tu boleh buat kerja, kira okeylah.”
Allison buat muka. Kalau dah itu kata Ben, dia pun tiada kuasa nak membantah lagi.



SYARIZAD melilaukan mata ke sekitar Hentian Duta itu. Boleh tahan ramai juga orang di situ memandangkan masing-masing baru tiba dengan bas yang dinaiki. Syarizad berjalan perlahan-lahan mengikut arah yang dituju orang ramai.
Nun di seberang jalan, dia terpandangkan Pak Ali yang sedang bersandar di tepi keretanya. Nampak saja dirinya, Pak Ali segera memberi isyarat supaya dia menunggu di situ. Syarizad tercegat berdiri sehingga Pak Ali datang dekat dengannya.
“Assalamualaikum, pak cik,” ucap Syarizad sambil mengukir senyum.
Waalaikumussalam, Syarizad. Sini beg tu Pak Ali bawakkan.” Pak Ali sudah pun menghulurkan tangannya.
“Eh, tak payahlah, pak cik. Beg ni bukan berat pun. Lagipun saya kuat lagi,” jawab Syarizad. Entah kenapa dengan Pak Ali, cepat benar kemesraan itu terjalin. Mungkin kerana sifat kebapaan Pak Ali yang mengingatkannya kepada arwah abah.
“Panggil Pak Ali, kan ke mesra sikit bunyinya tu,” tegur Pak Ali sambil tersenyum.
“Ohh...” Syarizad mengangguk. “Okey.”
“Jom, ikut Pak Ali pergi dekat kereta.”
Syarizad mengikut langkah Pak Ali menghampiri Honda Accord yang terparkir di seberang jalan. Hmm... orang kaya, tak peliklah kalau pakai kereta sepuluh buah pun. Sempat lagi hatinya berkata-kata.
“Saya kena duduk kat mana, Pak Ali?” Syarizad bertanya ketika kereta sudah mula bergerak. Tadinya dia mahu duduk di depan tetapi Pak Ali tidak mengizinkan. Terpaksalah dia mengalah juga dan duduk di belakang macam mem besar.
“Datin dah sediakan sebuah rumah untuk Syarizad. Kejap lagi sampailah ni,” jawab Pak Ali sambil sesekali memandang gadis itu melalui cermin pandang belakang.
Syarizad mengangguk-angguk.
“Tak payahlah panggil Syarizad. Macam feminin sangat bunyinya.”
Pak Ali spontan ketawa mendengar kata-kata itu.
“Habis tu Pak Ali nak panggil apa?”
“Panggil Ijad aje dah cukup,” ujar Syarizad lalu tersenyum.
“Ijad...” Pak Ali mengangguk-angguk sebelum membalas senyuman Syarizad.
Mereka tiba di sebuah kawasan pangsapuri setelah hampir setengah jam menaiki kereta. Syarizad hanya mengikuti langkah Pak Ali naik ke tingkat lima. Kemudian dia dibawa menuju ke arah sebuah pangsapuri yang sederhana besar, lengkap dengan perabot di dalamnya. Syarizad terpaku kagum.
“Ijad duduk sini ya. Datin dah siapkan semuanya untuk Ijad,” ujar Pak Ali sambil meletakkan beg Syarizad di depan pintu rumah.
Syarizad menoleh ke arah Pak Ali yang hanya berdiri di tepi pintu.
“Ni kuncinya,” hulur Pak Ali.
Syarizad mengambil kunci itu.
“Terima kasih, Pak Ali.”
“Kalau Ijad nak apa-apa, Ijad boleh telefon Pak Ali. Kalau Pak Ali boleh tolong, Pak Ali tolong.” Lembut Pak Ali berpesan.
Dia tidak tahu pekerjaan apa sebenarnya yang ditawarkan kepada Syarizad, cuma dia berharap pekerjaan itu bukanlah pekerjaan yang tidak elok. Mengenali Syarizad, dia yakin gadis itu gadis yang baik-baik. Tak mungkin Syarizad sanggup melakukan kerja yang tidak baik.
Syarizad mengangguk. “Terima kasih, Pak Ali.”
“Pak Ali balik dulu.” Pak Ali meminta diri.
Syarizad mengunci pintu rumah sebelum bergerak ke arah ruang tamu. Matanya melilau ke kiri dan kanan memerhatikan pangsapuri mewah itu. Tak payah tanya, tengok perabot dan segala jenis barang dalam rumah tu pun sudah cukup. Syarizad telan liur. Sungguh dia tak pernah mimpi pun nak duduk dalam rumah semewah ini.
Syarizad membaringkan tubuh di atas sofa empuk di situ sebelum memejamkan mata. Baru saja lena datang menjelma, bayangan silam yang telah lama dilupakan kembali mengisi ruang fikiran. Suasana yang gelap, jeritannya yang bergema seluruh ruang, dan air mata yang tidak henti-henti mengalir ke pipi.
Sepantas kilat Syarizad membuka mata dan bangkit dari perbaringannya. Nafas yang dihembus terasa berat. Syarizad menekup muka dengan kedua-dua belah tapak tangannya.
Tak apa, Ijad. Tak lama lagi, dendam kau akan terbalas. Kau akan tengok seorang lelaki tersungkur di kaki kau sendiri. Walaupun bukan lelaki yang telah merosakkan hidup kau dulu, dendam kau tetap akan terbalas.



ALMARI kayu besar yang berukir cantik itu dihampiri. Daun pintu ditarik, menyerlahkan semua pakaian yang tergantung di dalamnya. Tengok daripada corak dan designnya sahaja, Syarizad yakin semua baju itu mahal harganya. Dicapai sehelai kemeja dengan potongan mengikut bentuk badan lalu diacukan pada tubuhnya sendiri sambil memandang cermin.
Isy, takkanlah dia nak pakai baju macam ni? Gelilah! Selama ni dia cuma tahu pakai kemeja longgar dengan t-shirt lusuh aje. Tapi... takkanlah nak pakai macam tu pergi kerja kut? Belum sempat ditemu duga, dah sah kena reject dulu. Syarizad mengeluh sendiri.
Sedang dia berkira-kira apa yang perlu dipakai, terdengar bunyi loceng pintu dari luar. Dengan kerut di dahi, Syarizad keluar dari bilik mendapatkan pintu. Dia mengintai dari lubang kecil pada pintu itu. Seorang wanita cantik dengan rambut blonde dan baju bergaya sedang tercegat di luar. Syarizad menarik daun pintu.
“Ya?”
“Syarizad?” tanya gadis cantik itu.
Syarizad mengangguk.
“I Marlyn, call me Lyn. Datin Hazleena yang upah I datang sini untuk jadi jurudandan you.” Marlyn tersenyum manis.
“Ohhh... err...” Syarizad kematian kata. Terkejut sebenarnya. Siap ada jurudandan?
May I come in?” Marlyn bertanya lagi.
“Ohh... okey.” Syarizad membuka gril untuk Marlyn masuk. Kemudian gadis itu dibawa ke bilik.
“Okey...” Marlyn meletakkan begnya di atas katil. “Sebagai permulaan...” Tangannya mengetuk-ngetuk dagu sambil mata memerhati semua pakaian yang tergantung di dalam almari.
Syarizad hanya diam menunggu Marlyn memilihkan pakaian untuknya.
“Cuba pakai ni.” Marlyn menghulurkan pakaian yang dikeluarkan dari almari kepada Syarizad.
“Ni?” Syarizad kerutkan dahi dengan muka tidak percaya.
Yes.” Marlyn mengangguk. Melihat Syarizad masih tercegat di situ, dia mengeluh. “Come on, hurry up! I need to get you 100 percent ready before eight.”
Syarizad tiada pilihan selain menurut saja. Baju yang dipilih Marlyn disarungkan ke tubuh. Sehelai kemeja yang agak singkat dan agak ketat hingga menampakkan bentuk tubuhnya dipadankan dengan skirt separas lutut.
Good! Sekarang duduk.” Marlyn menolak bahu Syarizad supaya duduk di atas kerusi di depan meja solek.
Dengan muka berkerut, Syarizad terpaksa menurut semuanya. Apatah lagi apabila tangan Marlyn lincah menconteng segala jenis alat mekap ke mukanya.
Sabar, Ijad... Kau ada misi yang perlu diselesaikan. Tepis segala rasa tak selesa kau tu. Semua ni hanya sementara. Kalau kau nak misi kau berjaya, kau perlu kuat hadapi semua ini. Pujuk hatinya.
Done!” Marlyn tersenyum gembira. Dia meminta Syarizad berdiri dan melihat wajahnya sendiri di cermin.
Syarizad menurut. Tidak berkelip matanya merenung mukanya yang sudah disolek cantik dengan penampilan yang boleh tahan seksi. Rambutnya juga sudah didandan cantik. Tiada lagi imej tomboi seorang Syarizad. Tiada topi yang selalu menutup kepala dan pastinya tiada kemeja longgar dengan t-shirt lusuh yang selalu dipakai.
Sebaliknya Syarizad yang sedang membalas renungannya dari dalam cermin ialah seorang Syarizad yang baharu. Yang cantik, yang seksi, yang berani, dan seharusnya yang berkeyakinan tinggi.
So... are you ready for your interview?” Marlyn bertanya sambil tersenyum.
Syarizad berpaling memandang Marlyn.
Ya, Ijad. Sedia! Desis hatinya.



KASUT tumit tinggi yang dipakai benar-benar membataskan pergerakannya. Berkali-kali dia hampir jatuh tersungkur disebabkan kasut itu. Kalau tidak memikirkan misi yang menanti, dah lama dia keluarkan Conversenya semula. Tapi macam pelik pulak pakai skirt singkat dengan Converse, kan? Dah tak ada rupa orang nak pergi ke pejabat pulak.
“Ijad okey?” Pak Ali bertanya setelah mereka sama-sama turun dari kereta.
Syarizad mengangguk. Hujung skirt yang dipakai ditarik sedikit. Begitu juga dengan kemeja singkat yang tersarung di tubuhnya.
“Okey.”
“Nampak macam tak selesa aje,” tegur Pak Ali. Sejujurnya, dia sendiri terkejut melihat penampilan Syarizad ketika menjemput gadis itu di rumahnya pagi tadi. Tidak tahulah kenapa, tetapi hati Pak Ali benar-benar rasa tidak sedap. Hendak menegur, dia tiada hak. Jadi terpaksalah dia berdiam diri sahaja.
“Tak ada apalah, Pak Ali. Hmm... Ijad masuk dulu ya.” Syarizad meminta diri. “Err... ini kan ofisnya?” Syarizad menuding jari ke arah pintu masuk syarikat JAB Holdings itu.
“Haah, betullah tu,” jawab Pak Ali. “Oh ya, ini Datin suruh Pak Ali bagi kat Ijad.” Pak Ali menghulurkan sebuah fail kepada Syarizad.
Syarizad mengambil fail itu tanpa bertanya apa-apa. Dia yakin Datin Hazleena sudah menyiapkan segala dokumen untuknya. Hebat, dia tak perlu bawa apa-apa pun, semuanya sudah tersedia.
“Dan ni lagi satu.” Telefon pintar berjenama Samsung dihulurkan kepada Syarizad.
Syarizad tidak terkata apa.
“Nombornya ada tersimpan kat dalam telefon tu.”
“Terima kasih, Pak Ali.” Hanya itu yang mampu diucapkan Syarizad ketika itu.
“Elok-elok ya, Ijad.” Lagak seorang bapa Pak Ali berpesan. Hatinya benar-benar berharap moga-moga tiada yang buruk bakal berlaku kepada gadis itu.
Syarizad mengangguk. Setelah mengucapkan terima kasih, dia segera mengheret kaki yang tidak stabil dengan kasut setinggi tiga inci itu masuk ke dalam ruangan pejabat.
Kalau ikut kata Datin Hazleena, pejabat anak tirinya itu berada di tingkat enam. Syarizad masuk ke dalam lif lalu terus menekan nombor enam pada punat di tepi pintu. Ramai juga pekerja-pekerja yang turut menaiki lif yang sama membuatkan masing-masing saling berhimpit.
Hesy, nasib baik tak tersungkur dengan kasut tinggi ni. Sempat lagi dia membebel dalam hati.
Sebaik saja lif berhenti di tingkat enam, Syarizad segera keluar. Ketika itulah jantungnya mula berdegup laju. Perasaan bimbang semakin terasa. Berkali-kali dia menarik nafas sambil membisikkan kata-kata semangat kepada diri sendiri.
“Selamat pagi.” Syarizad menuturkan ucapan itu setelah menghampiri sebuah meja yang terletak di bahagian depan.
Gadis yang duduk di meja itu mengangkat kepalanya.
“Selamat pagi. Yes... may I help you, miss?”
Err...” Syarizad mengetap bibir. Cakap Melayu tak boleh ke? Dia ni mana pandai nak cakap Bahasa Inggeris. Setakat sikit-sikit tu bolehlah, itu pun tergeliat lidah. Alahai...
“Cik?” Gadis yang memakai tanda nama Aiza itu memanggil hairan. Dahinya berkerut.
“Ehem...” Syarizad menarik nafas. “Saya sebenarnya datang ni untuk temu duga jawatan PA untuk...”
“Oh ya, ya. Baru saya ingat pasal tu. Cik... Syarizad, kan?” Aiza bertanya ramah.
“Haah, ya saya.” Syarizad mengangguk laju. Fuh, nasib baik.
Aiza bangkit dari kerusinya.
“Saya Aiza, boleh panggil Kak Aiza.” Tangan dihulurkan untuk bersalam dengan Syarizad.
Syarizad memaksa bibir untuk senyum. Salam yang dihulurkan disambut. Lega kerana wanita itu sudi memperkenalkan diri. Tak adalah dia terkebil-kebil di situ macam orang asing.
“Sebenarnya Encik Ben tak sampai lagi. Jadi akak rasa baik awak duduk dulu sementara dia sampai ya.” Lembut Aiza menjelaskan.
“Oh... okey...” Syarizad mengangguk. Dia kemudian duduk di atas sofa yang disediakan di situ. Nasiblah... bos, boleh datang lambat bila-bila masa aje. Bebel hatinya lagi.
Sambil menunggu, matanya melilau ke sekitar ruang pejabat. Suasana di situ sangat tenang, masing-masing sibuk buat kerja. Kalau ada yang berbual pun masih lagi terkawal dan tidak kecoh.
Tiba-tiba ada seorang lelaki melintas di depan. Syarizad panggung kepala. Tengok dari tepi, macam nak sama aje dengan muka lelaki dalam gambar yang Datin Hazleena tunjuk hari tu. Anak matanya dikecilkan, memerhati lelaki itu bercakap dengan Kak Aiza.
“Calon PA encik yang nak datang temu duga tu... dia dah sampai,” beritahu Aiza.
“Oh... mana dia?” Ben melilaukan mata ke sekeliling.
Aiza menuding jarinya ke arah Syarizad. Sedar dirinya menjadi bahan perbualan, cepat-cepat Syarizad bangkit berdiri. Terhuyung-hayang sekejap badannya dek kerana bangun mengejut, lupa yang kakinya masih lagi tersarung kasut tumit tinggi. Hesy, buat malu ajelah!
Ben menyimpan senyum. Jadi... inilah gadis yang mummynya cerita tu? Hmm... cantik! Wajahnya nampak macam orang Arab. Renungan matanya nampak garang dan menyimpan seribu cerita. Ben terangguk sendiri tanpa sedar. First impression tu sangat penting, kan?
Sama seperti Ben, Syarizad turut memerhatikan lelaki itu dalam diam. Orangnya tinggi, berkulit putih memang macam muka mat salih, rambutnya yang sedikit mengeriting disisir rapi, sepasang anak mata yang berwarna kelabu kehijauan, dan dia nampak sangat segak dengan kemeja biru lembut yang dipadankan dengan tali leher biru tua berjalur putih. Kot hitam  yang dipakai itu menambahkan lagi kekacakannya.
Come... ikut saya,” ujar Ben kepada Syarizad lalu terus berlalu masuk ke biliknya.
Buru-buru Syarizad mengejar. Kasut tumit tinggi ni memanglah kan, saja nak halang pergerakan laju dia. Kalau pakai sneakers, kan senang?
Good luck.” Sempat lagi Aiza berpesan perlahan.
Syarizad membalas dengan senyuman janggal. Ketika melepasi pintu bilik lelaki yang bakal menjadi bosnya itu, matanya sempat menangkap nama yang melekat di depan pintu. Ben Ikhzal Bin Datuk Jaini. Macam pelik aje nama dia ni?
“Ehem!”
Syarizad tersentak apabila terdengar dehaman Ben. Cepat-cepat dia masuk ke dalam setelah menutup pintu.
“Duduklah,” pelawa Ben. Dia sendiri pun sudah mengambil tempat di atas kerusi empuknya. Komputer dihidupkan tanpa memandang ke arah Syarizad.
Syarizad mengambil tempat di salah satu kerusi. Skirt yang dipakai spontan jadi semakin singkat. Mulalah dia tidak tentu arah jadinya. Duduk pun tidak selesa sambil tangan menarik-narik skirt. Kononnya dengan cara itu hujung skirtnya akan memanjang sampai menutup seluruh kaki. Walhal bukannya lelaki itu nampak pun kakinya yang jelas-jelas berada di bawah meja.
So... hmm...” Ben mengalih muka ke arah Syarizad. Ketika itulah dia perasan tingkah Syarizad. Dahinya berkerut sedikit. Pelik, pakai skirt singkat tapi tarik-tarik pula. Kalau memang tidak mahu skirt itu jadi singkat, pakailah yang labuh sedikit. Namun soalan itu tidak terluahkan di mulutnya.
“Boleh saya tengok resume awak?”
“Boleh, boleh.” Kalut Syarizad menghulurkan fail kepada Ben.
Ben membelek-belek isi kandungan fail itu. Pesanan mummynya malam tadi kembali mengisi fikiran.
So... Syarizad Sabri...”
Syarizad menelan liur. Aduh Ijad, kau ni kenapa? Bertenang boleh tak? Baru sikit, dah menggelabah macam ni, macam mana nak jalankan misi? Bawa bertenang, yakin yang kau boleh buat. Nafas dihembus panjang.
“Boleh saya panggil... Syari?”
Syarizad terdiam. Apa? Syari? Apa pelik sangat nama panggilan tu? Hesy, suka-suka hati dia aje nak panggil, kan? Tapi entah kenapa, mulut terasa berat nak membantah.
“Saya sebenarnya tak nak terlalu formal sebab my mum dah cerita semuanya tentang awak. Dia percaya, awak yang terbaik untuk jadi PA saya dan memandangkan sekarang ni saya memang memerlukan PA, jadi...” Ben berhenti seketika di situ. Wajah Syarizad menjadi mangsa renungan matanya.
“Bila awak boleh mula kerja?”
Syarizad tersentak. Erk, semudah itu? Tak perlu tanya apa-apa? Serius?
“Syari?” Ben memanggil hairan. Biar betul mummy ni? Boleh ke dia ni nak jadi PA aku? Blur semacam aje kenapa?
“Ya... err...” Syarizad menarik nafas panjang-panjang. “Bila-bila pun okey, Encik Ben.... saya tak kisah.”
Ben angkat kening. Bibirnya menguntum senyuman nipis.
Okay then, awak boleh mula kerja esok.”
Syarizad mengangguk.
“Okey.”
Ben menghulur semula fail kepada Syarizad.
“Terima kasih,” ucap Syarizad. Kemudian dia terus berlalu keluar dari bilik pejabat itu. Nafas panjang terlepas.
Tak apa Ijad, ini baru permulaan. Kau boleh buat lagi baik lepas ni. Semangat!
Baru setapak melangkah, telefon pintar yang diberikan Pak Ali pagi tadi tiba-tiba berbunyi. Dengan kerut di dahi, Syarizad menjawab panggilan itu.
“He... helo...”
“Helo, Syarizad. So, macam mana interview kau tadi?”
Datin! Syarizad terus tertelan liur.
Hmm... okey. Semua okey. Esok saya dah boleh mula kerja.”
“Bagus. Ingat tujuan utama kau kerja kat situ. Aku tak nak kau leka.” Hanya itu dipesan kemudian talian terus dimatikan.
Syarizad terkebil-kebil sendiri. Leka? Apa maksud leka? Leka dengan Ben Ikhzal tu? Tak apa, datin. Jangan risau, saya tak akan kecewakan datin. Tekadnya dalam hati.

No comments:

Post a Comment