DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Monday, 29 February 2016

BUNGA DI TAMAN LARANGAN - BAB 9



BEG yang diletakkan di bawah katil sejak sampai di rumah itu diselongkar semula, mencari baju. Jean lusuh, baju T hitam lengan pendek, dipadankan pula dengan kemeja merah kotak-kotak longgar yang tidak dibutangkan. Rambut panjangnya disanggul tinggi dan ditutup dengan topi. Harap-harap Liyana tak nampak rambutnya yang sudah diwarnakan merah gelap. Memang cari nahas kalau dia nampak.
Converse yang sudah dua minggu lebih tidak dipakai kembali tersarung pada kakinya. Beg kecilnya dicapai lalu digalas silang. The old Syarizad is back! Dia tersenyum memandang diri sendiri dalam cermin. Yakin semuanya okey, barulah dia keluar dari rumah. Liyana sendiri yang janji akan datang menjemputnya di rumah. Lalu Syarizad memutuskan untuk menunggu di tepi jalan saja.
Sepuluh minit menunggu, Liyana akhirnya tiba dengan Suzuki Swiftnya.
“Hai, Ijad!” Liyana melambai mesra sesudah turun dari kereta. Syarizad dihampiri lalu terus memeluk tubuh sepupunya itu.
Syarizad hanya membalas ala kadar. Memang tak gembira pun jumpa Liyana. Jauh bezanya dengan riak wajah Liyana ketika itu.
“Lama ke tunggu?” tanya Liyana.
“Tak adalah,” balas Syarizad sekadar berbasa-basi.
“Jomlah kita pergi. Kan lama pulak boyfriend aku tunggu,” ajak Liyana.
Syarizad senyum paksa. Tahulah ada boyfriend, tapi perlu ke canang macam tu? Dengan separuh hati, Syarizad masuk juga ke dalam kereta.
Walaupun Syarizad sudah tinggal di rumah Liyana sejak kedua-dua orang tuanya meninggal dunia, tapi hubungan mereka tak adalah rapat sangat. Maksudnya, tak rapat dari sudut pandangan Syarizad. Sedangkan bagi Liyana, Syarizad itu adik perempuannya yang sangat dia sayang.
Kenapa Syarizad tak sukakan Liyana?
Pertama, sebab Liyana sempurna segala segi. Cantik, bijak, ada pelajaran tinggi, ada kerjaya, gaji pun boleh tahan lumayan dan sudah ada rumah serta kereta sendiri di usia yang masih muda.
Kedua, sebab Liyana selalu menunjuk-nunjuk apa yang dia ada. Contohnya, dia suka mencanangkan kepada Syarizad yang dia ada kekasih yang kacak dan kaya, yang sangat sayang dan cinta kepadanya.
Ketiga, sebab Liyana selalu dapat lebih daripadanya. Sejak kecil, dia tidak pernah menang dengan Liyana. Atau dalam erti kata lain, dia tidak akan pernah dapat menyamai Liyana. Atau dalam erti kata lainnya juga, Syarizad sebenarnya dengkikan Liyana.
“Kau ni dah duduk KL pun, masih jugak dengan style lama kau tu. Tak nak ubah ke?” Dan ini, sebab keempat kenapa Syarizad tak sukakan Liyana.
Syarizad senyum pahit.
“Dah memang macam ni cara aku, nak ubah apanya?”
Liyana ketawa kecil.
“Tak adalah, aku tanya aje. Manalah tahu kalau kau nak pergi shopping ke nanti, kau boleh contact aku. Bila-bila aku free, aku bawak kau pergi shopping. Okey?” Wajah Syarizad dipandang sekilas sebelum Liyana kembali fokus memandu.
Syarizad julingkan mata ke atas. Tak apa Yana, aku dah ada Marlyn, and she’s better than you! Gerutu hatinya geram.



SYARIZAD melilaukan mata ke sekitar restoran itu. Mewah. Liyana yang ajak, biarlah dia yang bayar nanti. Atau kalau tak pun, biar kekasih dia yang bayar. Kan Liyana pandang dia ni macam tak berduit sangat!
“Hai, sayang. Sorry lambat...”
Suara itu mengalih perhatian Syarizad. Dia angkat kepala memandang seorang lelaki yang tiba-tiba muncul dan menegur Liyana dengan mesra.
“Tak apa, I pun baru sampai. Duduklah,” kata Liyana dengan suara manja.
Syarizad tahan rasa meluat dalam hati.
“Oh ya, kenalkan... ni cousin I, Ijad.” Liyana memperkenalkan kedua-duanya.
Herdy berpaling ke arah gadis yang duduk diam di depan Liyana. Dahinya berkerut.
“Oh, I ingatkan Ijad tu... lelaki. Rupa-rupanya perempuan.” Dia ketawa kecil.
Syarizad kerutkan dahinya sedikit. Dia bergurau ke?
“Hesy, you ni... ada pulak lelaki? Mestilah perempuan,” tingkah Liyana. Bibir masih lagi tersenyum. Langsung tidak perasan reaksi tidak senang Syarizad.
“You tak cakap pun perempuan,” balas Herdy pula. Kemudian dia kembali memandang Syarizad yang sudah tunduk memandang meja. “Hai, Ijad. Herdy.” Tangannya dihulurkan untuk bersalam.
Syarizad angkat muka. Salam yang dihulur disambut.
“Syarizad. Ijad.”
Herdy mengangguk-angguk.
“You dah order?”
“Dah,” jawab Liyana. “I dah order untuk you sekali. Okey tak?”
“You order apa?”
Syarizad semakin menundukkan muka. Kalau setakat ajak keluar sebab nak suruh dia jadi tiang lampu kat sini, baik tak payah. Sakit pula hati tengok adegan depan mata. Lucky you, Liyana. Dapat kekasih yang hampir sempurna macam ni. Tiba-tiba, tumbuh satu rasa yang tidak enak di sudut hati Syarizad. Rasa yang dipanggil... dengki dan benci.
Syarizad perhatikan tingkah mesra kedua-duanya dengan ekor mata. Makin diperhatikan, makin sakit hati. Namun di sebalik itu, tidak semena-mena saja tumbuh tekad dalam hati. Kalau dia cuba goda Herdy, apa akan jadi?
Tidak sempat otak berfikiran jauh apabila tiba-tiba melintas seseorang di depan meja yang sedang didudukinya. Bukan seorang, tapi dua orang. Dan di antara dua orang itu, salah seorangnya memang Syarizad kenal. Ben!
Kalut Syarizad membetulkan topinya. Hujung depan topinya ditarik supaya menutup muka. Dia buat apa pula kat sini? Waktu-waktu macam inilah nak datang. Hesy! Janganlah dia pandang sini. Please, jangan pandang. Jangan pandang...
“Ijad, kenapa tak makan?” Liyana menegur. Pelik melihat tingkah Syarizad.
Syarizad memandang Liyana. Tidak sedar bila masa makanan yang dipesan sudah pun sampai.
Err... nak makanlah ni.”
“Ijad ni kalau you nak tahu, kasar orangnya.” Liyana membuka cerita.
Syarizad tersentak. Apa ke halnya cerita pasal aku pula ni? Cerita benda yang tak elok pula tu. Makin membengkak hati Syarizad dibuatnya.
Herdy tertawa kecil. “Ya ke?”
Liyana mengangguk-angguk.
But she’s a nice girl. I pun dah anggap dia macam adik kandung I sendiri,” ujarnya lagi.
Syarizad hembus nafas. Nasib baik... Sekurang-kurangnya dia tahu Liyana tidak berniat untuk memalukannya di depan Herdy.
“I tahu, buah hati I memang baik hati. Semua orang pun you sayang, kan?” Herdy bukan main lagi memuji.
“Tapi I sayang you lebih.” Liyana tersenyum manja.
My God... Lagi lama aku kat sini, lagi bernanah telinga ni. Tak apa, nanti kita tengok siapa yang lagi sayang siapa. Syarizad mula memasang tekad dalam hati.
“Nak pergi tandas kejap.” Syarizad segera bangun. Dek kerana mata tak pandang dengan betul, dia terlanggar tubuh seseorang. “Ops! Sorry, sorry...”
It’s okay. Tak apa, tak apa.”
Suara Ben! Syarizad yang memang sedang pandang ke bawah, semakin menundukkan pandangan. Sebelum Ben cam dirinya dan sebelum keadaan jadi lebih teruk, dia terus berjalan laju untuk ke tandas.
Fuhhhh! Hampir kantoi.



KALAU ikutkan hati, memang Syarizad hendak balik saja terus. Tapi mengenangkan dia datang dengan Liyana dan dia pun tidak tahu macam mana nak cari jalan balik atau paling tidak pun cari teksi, terpaksalah dia mengikut saja pasangan sejoli itu. Walaupun sakit mata, dia tetap sabarkan hati.
“Kita tengok cerita ni eh? Kawan-kawan kat ofis I semua cakap best,” kata Liyana sambil jarinya menuding ke arah poster yang tertampal dekat dengan panggung wayang.
Herdy mengangguk-angguk.
“Okey. I pergi beli tiket.”
“I pergi toilet kejap ya.” Liyana berpaling ke arah Syarizad yang hanya diam memerhati. “Jom, ikut aku pergi toilet.”
Syarizad mengikut saja. Tiba-tiba dia rasa diri macam seorang PA kepada Liyana.
“Apa kau rasa?” tanya Liyana tiba-tiba.
“Rasa? Pasal apa?” Syarizad pelik. Kalau nak tanya apa dia rasa sekarang, dia rasa meluat, sakit hati, bosan dan nak balik!
“Pasal Herdy.” Liyana tersenyum-senyum penuh makna. Sepasang matanya jelas menunjukkan betapa dia bahagia ada Herdy dalam hidupnya.
“Ohh...” Panjang ‘oh’ Syarizad. Bibirnya dipaksa untuk senyum.
“Dia okey.”
Jelas muka Liyana nampak gembira.
“Dia cakap... tak lama lagi nak hantar rombongan merisik,” beritahunya.
“Oh... baguslah macam tu.” Acuh tak acuh Syarizad membalas. Ada aku kisah?
“Tolong pegang kejap.” Liyana menghulurkan begnya kepada Syarizad sebelum masuk ke dalam tandas.
Syarizad tercegat di depan tandas sambil berpeluk tubuh. Tiba-tiba, satu idea melintas dalam kepala. Beg tangan Liyana diselongkar mencari telefon pintar. Ibu jarinya laju memainkan peranan. Satu per satu nama dalam senarai nama pemanggil dibaca hingga akhirnya berhenti pada nama Herdy Love.
Spontan bibirnya tercebik. Telefonnya dikeluarkan dari poket seluar lalu menyalin nombor telefon lelaki itu. Selesai urusannya, telefon Liyana dimasukkan semula ke dalam beg tangan.
Lepas ni kita tengok apa akan jadi. Tekadnya bersama senyuman penuh misteri.
Sepanjang menonton wayang, Syarizad hanya diam di tempatnya. Tengok cerita romantik macam ni, memang tak kena langsung dengan cita rasanya. Tapi tak apalah, memandangkan dia pun sedang berusaha menjadi Syarizad yang baharu, jadi tahankan sajalah. Manalah tahu kalau-kalau nanti Ben ajak tengok wayang, bolehlah dia pilih filem romantik juga. Praktis orang kata. Sempat lagi fikirannya terbayangkan Ben ketika itu.
“I... kalau boleh memang nak spend time lama lagi dengan you. Tapi I dah janji dengan Aris dan kawan-kawan lain petang ni. So... sorry okey.” Lembut suara Herdy memujuk.
Syarizad hanya memerhati drama sebabak antara pasangan itu sambil berpeluk tubuh. Buat pemerhatian. Manalah tahu boleh cuba guna cara yang sama untuk pikat Ben. Dia tersengih sendiri tanpa sedar. Ben lagi!
“Tak apa, I faham. Lagipun esok-esok kita boleh keluar lagi, kan?” balas Liyana.
Definitely. You balik ni drive elok-elok okey. Dah sampai nanti, beritahu.” Herdy berpesan sambil tangannya bermain dengan rambut yang berjuntaian di dahi Liyana.
Liyana tersenyum manja.
“Okey.” Lambaiannya menghantar langkah kaki Herdy.
“Dahlah tu, lain kali boleh jumpa lagi.” Syarizad memujuk ala kadar. Bukannya ikhlas pun. Sekadar nak buang rasa meluat sebelum dia betul-betul termuntah di situ.
Liyana tertawa halus. Tak sangka pula Syarizad akan cakap macam tu, padahal tadi senyap aje tak cakap apa-apa.
“Kau ada nak pergi mana-mana lagi tak? Kalau nak, aku bawakan.”
“Eh, taklah. Aku nak baliklah, ada kerja sikit.”
Sure?”
Syarizad angguk.
“Okey, jom.”
Lalu beriringan kedua-duanya menghampiri kereta.
“Lupa nak tanya, kau duduk kat rumah tu dengan siapa?”
“Aku...” Syarizad telan liur. “Aku duduk sorang. Bos aku memang dah sediakan rumah tu untuk aku.” Penipuan ketiga. Syarizad bersandar dengan nafas yang dihela berat.
Liyana mengangguk-angguk faham. Malas bertanya lagi walaupun jelas terukir satu tanda tanya besar dalam kepalanya.



“AKHIRNYA... kau jawab jugak call aku.” Terdengar Idlan menghembus nafas panjang.
Syarizad tersengih. Dia baring di katil sambil merenung siling.
“Kenapa?”
“Kau tanya aku kenapa? Aku call kau banyak kali, satu pun kau tak jawab. Kau tahu tak, aku risau.”
“Kau risau aku sesat kat sini eh?”
“Tak, aku risau kalau kau kena culik lepas tu kena jual.”
“Amboi mulut. Sepak karang!”
Idlan terus lepaskan tawanya. Rindu nak bergaduh dengan Syarizad. Nasib baiklah Syarizad jawab panggilannya malam ini. Kalau tak juga, jangan terkejut kalau esok tiba-tiba dia terpacak kat depan pintu rumah Syarizad.
“Ada apa kau beria sangat call aku? Rindu aku eh?”
“Rindu. Rindu gila. Rindu nak sekeh kepala kau.” Idlan ketawa lagi.
Syarizad mencebik.
Sorrylah, bro. Aku sibuk sikitlah dua, tiga hari ni,” dalihnya. Sengaja beralasan. Walhal sebenarnya dia malas nak menjawab apa-apa panggilan yang berkaitan dengan keluarga atau sesiapa saja yang ada hubungan dengannya di kampung. Tengoklah, mak ngah pun sudah tidak dihubungi lagi. Janji yang kononnya dia akan selalu telefon sudah berkubur entah ke mana.
“Yalah, aku tahu. Kau kan dah hebat sekarang ni...”
“Tak adalah.” Syarizad ketawa kecil. Sorry Lan... tapi kalau aku nak misi aku berjaya, aku kena putuskan hubungan dengan ramai orang. Hanya dengan cara tu aku takkan rasa bersalah lagi.
“Nanti kalau kau dapat cuti, kau baliklah.”
“Aku baru aje kerja, nak cuti apanya?”
“Yalah. Aku cakap kalau. Kau faham tak maksud kalau? K-A-L-A-U. Kalau!”
Syarizad ketawa. Bersembang dengan Idlan memang selalu buat dia ketawa. Entah macam-macam topik lagi yang dibuka Idlan sampai dia tidak sedar jam sudah melewati pukul 12.00 malam.
“Esok aku kerja, Lan. Nak tidur dululah,” ujar Syarizad tanda ingin memutuskan talian.
“Okey. Good night,” ucap Idlan.
“Aku rasa geli dengar kau ucap good night kat aku.” Syarizad ketawa.
“Kenapa pulak?”
“Yalah, kau kan anggap aku ni lelaki. Tak pelik ke lelaki ucap good night kat kawan lelaki dia? Macam gay tau?”
Giliran Idlan pula yang meledakkan tawa. Syarizad tergeleng-geleng dengan senyuman di bibir.
“Okeylah. Kau pergilah tidur. Bye.”
Bye.”
Syarizad letakkan telefon di atas meja di tepi katil. Nafas panjang dilepaskan. Entah kenapa hati tiba-tiba rasa sayu.
“Lan... kalau lepas ni aku tak contact kau, kau jangan marah ya?”
Sebak yang hadir pantas ditepis. Kepala diletakkan di atas bantal sambil memejamkan mata

No comments:

Post a Comment