Pulang dari solat
berjemaah di masjid berhampiran kawasan perumahan kediamannya, Zahil kembali
termenung panjang atas sofa di ruang tamu. Sukar untuk Zahil membuat konklusi
tentang perhubungan Diya dengan Zakuan.
Zahil menghela nafas
lemah. Walau apa jua tanggapan dan andaian yang dibuat akalnya, Zahil tidak
dapat menipu diri sendiri. Dia tidak boleh membohongi perasaannya. Dia manusia
biasa yang punyai keinginan untuk memiliki insan yang dicintai.
Ya! Zahil menyukai
Diya. Menyukai yang seerti dengan wujudnya naluri mencintai wanita itu. Sebab
itu, bukan sesuatu yang mudah untuk dia menerima hakikat seandainya antara
Zakuan dan Diya adanya hubungan istimewa.
Tengah sedap-sedap
layan perasaan dan bermain emosi, telefon bimbit atas meja di sisi katil menyanyi-nyanyi.
Siapa pula yang menelefon waktu begini? Zahil menekan butang menjawab
panggilan.
“Zahil!” dah tak ada
ucapan salam lagi. Terus nama Zahil diterjah.
“Kenapa ni Mak Jah? Ada
apa-apa yang tak kena ke? Kenapa gelabah semacam je ni?”
“Mak Jah tak tau nak
cakap macam mana. Senang cerita, Zahil balik rumah mama sekarang,” gopoh sekali
nada suara Mak Jah.
“Sekarang?”
“Ye… sekarang! Zahil
datang sekarang, cepat! Mama kamu dah naik hantu,” gesa Mak Jah lagi.
“Tapi Mak Jah, apa dah
berlaku?”
“Ish! Kamu ni Zahil,
datang cepat. Adik kamu buat hal lagi. Mama kamu dah mengamuk sakan.”
“Ye la Mak Jah, saya
datang. Assalamualaikum.” Zahil putuskan talian. Telefon dimasukkan dalam kocek
seluar.
Lelaki itu tarik nafas
panjang dan menghela nafas lembut. Mukanya diraup dengan kedua-dua tapak
tangan. Seakan sudah dapat dibaca situasi yang berlaku di banglo mewah keluarga
Datuk Laila. Walau apa jua jangkaannya, Zahil harus bergegas ke banglo mewah
itu.
Baru setapak Zahil
melangkah untuk menukar pakaian di kamar tidur, telefon berdering lagi. Nama
Mak Jah tertera di skrin. Pantas Zahil menjawab. Belum sempat Zahil bersuara,
Mah Jah memintas kata.
“Cepat la Zahil!” desak
Mak Jah seolah-olah Zahil adalah super
hero yang boleh menghilang diri dan muncul di mana-mana saja dalam sekelip
mata.
“Ye, Zahil on the way la ni.” Seraya itu juga kaki
Zahil bertukar haluan. Tidak jadi untuk menukar baju melayu berseluar slack
dengan pakaian lain. Desakan Mak Jah membuatkan Zahil bingkas mendapatkan
kereta.
“Apa dah jadi Mak Jah?” soal Zahil sebaik saja
menghampiri Mak Jah yang resah menanti kedatangannya di muka pintu. Mak Jah
punya pasal, Zahil sempat menyarung selipar saja untuk datang ke sini.
Orang tua ni bukan
boleh berkira sangat. Kadang-kadang tu over
acting sikit. Hal kecik pun dah gelabah macam isu tergempar. Gabrah sangat.
“Adik kamu tu, si
Zakuan. Buat hal lagi. Mama kamu tengah mengamuk tu,” beritahu Mak Jah untuk
kesekian kali. Sempat dibelek penampilan Zahil. Baru balik masjid ke? Sejuk
sedikit hati yang berkocak kebimbangan perihal Zakuan.
“Mak Jah!” kini bergema
pula suara Datuk Laila memanggil pembantu rumahnya yang sudah dianggap seperti
saudara sendiri.
Mak Jah tersentak.
“Hah! Tu mama kamu dah panggil. Jom cepat.”
Zahil bersaing dengan
Mak Jah menuju ruang tamu. Dilihatnya Datuk Laila sedang duduk di atas sofa
dengan wajah tegang.
“Assalamualaikum mama…”
sapa Zahil penuh hormat.
Mata Datuk Laila
menikam seraut wajah tenang Zahil dengan renungan tajam.
“Mak Jah, dah berapa
kali aku nak cakap? Beritahu budak ni… fahamkan budak ni! Ingatkan dia! Panggil
aku Datuk Laila! Bukan mama!” tegas Datuk Laila pada Mak Jah.
“Laila… Zahil ni pun
anak kau juga,” Mak Jah tidak senang dengan kata-kata majikannya itu.
Datuk Laila merengus
geram. “Kau tahukan, anak aku hanya tiga orang! Seorang lelaki, dua orang
perempuan!”
Zahil mengukir senyum
tawar. Memahami keengganan Datuk Laila menerima status dirinya sebagai anak.
“Mama, Zahil…”
“Anak-anak aku hanya
Kamelia Zara! Zakuan Helmi!” Datuk Laila mencerlun tajam ke arah Zahil. “ Dan
Karisya Zarina!” tegas sekali nada bicaranya.
“Hanya mereka bertiga
layak memanggil aku mama dan selain dari mereka bertiga, aku haramkan! Faham!”
tegas dan keras bicara Datuk Laila itu. Terus menusuk pendengaran Zahil dan Mak
Jah.
Zahil tunduk memandang
lantai. Pedih sekali mendengar kata-kata Datuk Laila walaupun itu bukan kali
pertama dia mendengar bicara sebegitu. Namun setiap kali mendengar ayat seperti
itu, setiap kali itu juga hati rasa terluka. Apakan daya dia andai kasih
seorang ibu yang ditagih tiada sudi dicurahkan wanita itu.
“Sudah! Aku nak kau
pergi cari Zakuan, bawa dia balik sekarang!” arah Datuk Laila.
Zahil angguk tanda akur
dengan arahan Datuk Laila itu.
“Hah! Cepat la pergi
cari. Kau tercegat apa lagi dekat sini?” suara tengkingan itu bergema di
segenap ruang tamu.
“Ba… baik la mama,”
ujar Zahil seraya angkat kaki meninggalkan ruang tamu kediaman mewah Datuk
Laila.
Membulat mata Datuk
Laila mencerlun tajam setiap langkah Zahil. Bahang panas telinga mendengar
perkataan ‘mama’ yang digunakan Zahil begitu hangat sehingga membakar hati.
Kedegilan Zahil untuk tetap menggelar dirinya mama amat dibenci.
Sebaik saja Zahil
hilang dari penglihatan, Datuk Laila menghempaskan tubuh atas sofa mewah buatan
Itali. Bibirnya diketap menampung amarah dalam diri. Dia turut marahkan Zakuan,
si anak kesayangan yang telah membuat onar sehingga mencemar reputasi syarikat
keluarga mereka.
“Laila, tak elok kau
cakap pada Zahil macam tu. Kesian budak tu.” Mak Jah menghampiri Datuk Laila
untuk memberi nasihat.
Datuk Laila berkalih
menentang pandangan Mak Jah. Tegas sekali raut wajahnya tanda nasihat Mak Jah
tidak lut di hatinya. Namun begitu, tiada sepatah bicara terlafaz dibibir.
Hanya rengusan kasar kedengaran. Jika orang lain yang berkata begitu padanya,
pasti sudah dibalas dengan tengkingan. Datuk Laila sudah menganggap Mak Jah
yang tua dua tahun daripadanya itu seperti keluarga sendiri. Sudah cukup lama
pembantu rumah itu mengisi kesunyian dalam rumah mewah itu dan menemani
hari-hari sepinya.
“Budak tu hanya nak
tumpang kasih sayang kau saja. Kalau kau berdendam pada arwah Zamani pun, tak
baik kau lepaskan pada Zahil. Dia tak bersalah Laila.”
“Aku penat Jah. Kalau
Zakuan dah balik nanti, kau panggil aku dalam bilik.” Datuk Laila mula angkat
punggung. Kata-kata nasihat untuknya tidak diendahkan.
Mak Jah diam menghantar
langkah Datuk Laila dengan gelengan kepala. “Laila… Laila… Sampai bila kau nak
hidup dengan dendam kau pada arwah? Kau kaliskan hati kau dari menerima
limpahan kasih sayang seorang anak sebaik Zahil. Kau nyalakan kebencian
sehingga kau lupa orang yang kau benci itu, dahulunya pernah menjadi anak kecil
yang kau tatang bagai minyak yang penuh.”
Mak Jah melepaskan
keluhan lemah. Simpatinya terlimpah terhadap Zahil. Anak muda itu cukup sabar
melayan kerenah ahli keluarga Datuk Laila yang membencinya bagai tiada
penghujung.
Kaki Zahil terhenti di
depan kelab malam. Dengan penampilan diri yang berbaju melayu dan berselipar,
hati teragak-agak untuk masuk. Mujur kelab ini tidak mengupah bronzer mengawal
dipintu masuk. Jika tidak, pasti Zahil bakal dihalang dari masuk.
Zahil beristighfar
panjang sebelum melangkah masuk dalam pusat hiburan yang sesak dengan
pengunjung. Meliar mata lelaki itu mencari kelibat Zakuan. Pusat hiburan ini
merupakan tempat Zakuan sering melepak mencari ketenangan palsu untuk merawat
penyakit hati yang kian parah.
Kehadiran Zahil menarik
perhatian beberapa pasang mata. Teruja mereka melihat pengunjung baru yang
tampan tetapi berpakaian ‘pelik’. Pelik untuk tempat manusia yang
terkinja-kinja dengan meneguk air syaitan.
Pencarian Zahil ternyata berhasil. Di suatu
sudut, kelihatan Zakuan sedang duduk menikmati layanan dua orang gadis seksi.
Zahil tidak terus menerpa ke arah mereka sebaliknya dia tercegat dari jauh, memerhatikan
tingkah mereka buat seketika.
Entah apa yang
dibualkan mereka sehingga berkali-kali Zakuan ketawa besar. Ternyata Zakuan
sudah mabuk meneguk minuman keras. Dua gadis seksi itu terus melayan lelaki
kacak yang sudah melabur wang yang lumayan untuk mendapatkan belaian mereka.
Dosa pahala tiada bezanya lagi. Kepuasan membelai nafsu terasa cukup nikmat.
Wang umpama raja dan keseronokan menjadi permaisurinya.
Zahil beristighfar
panjang di dalam hati. Menyaksikan kehidupan maksiat yang dilalui adiknya menimbulkan
rasa kesal. Kesal kerana gagal menjadi abang yang baik untuk menjadi ikutan
adik-adiknya. Kesal kerana gagal melaksanakan tugas sebagai ketua keluarga
menggantikan arwah ayahnya.
Beberapa ketika
kemudian, Zahil menapak menghampiri Zakuan. Kehadirannya tidak diendahkan
Zakuan yang tenggelam dalam belaian dua gadis di sisinya.
“Zakuan!” tegur Zahil
bernada tegas.
Dua gadis di sisi
Zakuan memandang lelaki kacak yang muncul tanpa diundang. Melebar senyuman
menggoda di bibir mereka menjamah ketampanan wajah Zahil. Kedua-dua gadis itu
kemudian ketawa kecil apabila menilik penampilan Zahil. Mat masjid mana pula
datang ke sarang neraka seperti ini? Sebaliknya Zakuan merengus kasar apabila
keseronokan diri berhibur dicantas.
“Bro…kau datang sini buat apa hah? Nak join aku ke?” soal Zakuan.
“Aku nak bawa kau
balik,” beritahu Zahil.
Zakuan ketawa besar.
“Aku tak nak balik. Kau boleh blah!” balas Zakuan bernada angkuh. Tangannya
melingkar kejap di pinggang dua gadis di sisinya. Gadis-gadis itu melentukkan
kepala ke bahu Zakuan. Jemari mereka bermain-main di dada lelaki itu. Zahil
seolah-olah dinafikan kewujudannya di situ.
“Mama nak jumpa kau,”
suara Zahil lagi. Sakit hatinya melihat kemungkaran di depan matanya saat ini.
Zakuan tidak
mengendahkan Zahil. Lelaki itu tersenyum sinis melihat Zahil menahan kesabaran
melihatkan tingkahnya. Zakuan meneguk minuman keras dengan bangga di hadapan
Zahil. Siap disuakan botol arak itu pada Zahil untuk mempelawa abangnya minum.
Zahil geleng kepala dan Zakuan mengukir senyum mengejek.
“Aku tak nak paksa kau
Zakuan. Mama nak kau balik sekarang. Aku diamanahkan bawa kau pulang,”
kata-kata Zahil terus tidak diendahkan.
Zakuan menambah sakit
hati Zahil dengan perlakuan tidak bermoralnya. Jemari Zakuan membelai leher
gadis pelayan di sebelah kanannya. Lalu bibirnya dibenamkan ke bahagian leher
jinjang itu dan Zakuan semakin rakus melepaskan gelojak nafsunya.
Zahil hilang sabar.
Lantas dia menerkam mendapatkan Zakuan dan menarik kolar baju adiknya itu. Dua
gadis tadi segera berlalu pergi dek bunga-bunga kekecohan yang timbul.
Pengunjung lain yang ada dalam pusat hiburan itu langsung tidak mengendahkan
apa yang berlaku. Bukan perkara biasa andai berlaku kekecohan begitu dalam
tempat yang mana manusianya sudah cetek fungsi akalnya.
“Jangan buat aku
berkasar dengan kau. Aku tak nak buat kecoh, jadi kau ikut aku balik,” tegas
Zahil sambil meleraikan genggaman kejap pada kolar baju Zakuan. Zakuan angkat
kedua-dua tangan sebagai tanda mengalah. Tidak mati senyum sinis di bibir
Zakuan melihat raut amarah di wajah abangnya itu. Zahil kemudian memapah
adiknya yang mabuk untuk berjalan keluar dari pusat hiburan itu.
Zakuan yang duduk di
sebelah Zahil sudah terlalu mabuk. Zahil memandu dengan penuh kesabaran. Sudah
la tali pinggang keledar yang dipakaikan Zahil sebelum mula memandu
ditanggalkan Zakuan. Kemudian lelaki mabuk itu membuka cermin tingkap kereta
dan menyuakan kepalanya ke luar kereta sambil menyanyi-nyanyi lagu Inggeris
yang tidak jelas butir liriknya.
Selepas
menyanyi-nyanyi, Zakuan membebel tentang seribu satu masalah yang dialaminya
pula. Zahil ibarat tempat untuk Zakuan melepaskan perasaan dan berkongsi segala
yang dipendamnya selama ini. Ada perkara yang difahami tak kurang juga perkara
yang langsung tidak Zahil faham butir bicaranya. Zahil cukup sabar melayan
kerenah adiknya itu.
“Bila la kau nak
berubah Zakuan?” soalan Zahil itu sekadar keluhan kecil saja. Namun begitu,
tidak disangka pula Zakuan yang mabuk boleh memahami bicara abangnya itu.
“Berubah?” Zakaun
ketawa besar. Zahil kerling Zakuan di sebelah dengan dahi berkerut.
“Aku dah berubah untuk
Lia. Tapi Lia tinggalkan aku,” sayu bicara Zakuan menampan pendengaran Zahil.
Zahil kerling Zakuan
sekali lagi. Wajah Zakuan kelihatan sedih dan kecewa. Lia? Adelia Dayana ke?
Bisik hati Zahil. Teruja sekali tatkala nama Lia disebut Zakuan. Segera Zahil
teringatkan kepingan gambar Diya yang tertulis perkataan ‘LIA’ di belakangnya.
“Errr… Lia… Lia… tu,
siapa?” Zahil cuba memancing perbualan berkisar Lia.
Zakuan merengus lembut.
“Aku berdosa pada Lia. Aku dosa besar pada Lia. Lia mesti bencikan aku,” soalan
Zahil tidak dijawab sebaliknya Zakuan berbicara seperti menyesali dosanya.
Zahil semakin diasak
perasaan ingin tahu. Pelbagai perkara ingin disoal pada Zakuan tetapi keadaan
lelaki itu yang mabuk agak sukar untuk komunikasi yang baik. Nanti lain yang
ditanya, lain pula bunyi jawapannya. Namun Zahil yakin Lia yang dimaksudkan
Zakuan adalah Adelia Dayana yang dikenalinya.
“Kenapa Lia bencikan
kau? Kau dah buat apa pada Lia?” Zahil terus mengorek rahsia.
Zakuan menekup muka
dengan kedua-dua tapak tangan. Zahil menangkap tangisan lelaki itu. Terjentik
hatinya dek tangisan bernada kesalan itu. Dosa apa sehingga lelaki seperti
Zakuan menangis begini?
“Apa aku dah buat pada
Lia?” sebaliknya Zakuan melontarkan soalan itu kembali pada Zahil.
“Kenapa Lia bencikan
kau?” Zahil menyoal lagi. Mata Zahil memandang jalan di hadapan dan Zakuan di sebelah silih berganti.
Keletah Zakuan nampak
tak tentu arah. Menangis dan mengeluh kesal yang tak diketahui hujung pangkal.
“Kenapa dengan kau ni?”
marah Zahil yang mula hilang sabar.
Pergerakan tubuh Zakuan
terhenti. Lelaki itu berpaling memandang Zahil. Matanya merah dengan wajah
keruh dibasahi air mata.
“Aku tak patut tinggalkan
Lia. Macam mana kalau Lia pregnant?”
lontaran suara Zakuan menyentap cuping telinga Zahil.
Breeekkk! Zahil
tertekan brek. Hampir-hampir saja dia mencium stereng kereta. Terbeliak mata
malah tak berkelip-kelip kelopak mata Zahil saat itu. Dadanya berombak kencang.
Apa yang didengari telinganya umpama panahan petir yang menyentap jantung. Pregnant! Genggaman tangan pada stereng
kereta kian kejap. Sungguh, Zahil tidak mahu percayakan telinga sendiri. Diya pregnant? Zahil dapat rasakan kedua-dua
belah tangannya menggigil.
Bunyi mengerang
kesakitan dari arah sebelah menyedarkan Zahil. Segera dia berpaling ke arah
Zakuan. Tergamam Zahil melihat kepala Zakuan terlentok pada dashboard dengan muka berlumuran darah.
Kelopak mata Zakuan kian layu sebelum tertutup rapat.
Zahil tidak mampu
bersuara sepatah kata pun. Suaranya seakan hilang malah lidah seakan kelu untuk
berbicara. Darah yang berlumuran di wajah Zakuan disentuh Zahil dengan jemari
terketar-ketar.
“Za… Za… ku…an…”
bergetar suara Zahil antara dengar dan tidak.
Bahu Zakuan digoncang
perlahan namun tiada sebarang tindak balas. Zahil tekup mulut dengan jemari
kanan yang berlumuran darah. Tanpa sedar, ada air mata menitis di pipi.
Ya Allah… rintih Zahil
dalam hati memohon kekuatan. Zahil betulkan kedudukan tubuh Zakuan agar
bersandar pada kerusi dan mengenakan tali pinggang keselamatan untuk adiknya
itu. Kemudian dengan lafaz bismillah, Zahil kuatkan diri untuk terus memecut
kereta menuju ke hospital berdekatan.
No comments:
Post a Comment