DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 2 March 2016

ISTERI DALAM SANGKAR 2 - BAB 12




L
INCAH jari-jemari Nurshiela merias wajah di depannya. Tanpa solekan sekali pun, wajah itu tetap menawan. Membuatkan dia terpana saat pertama kali bertentang mata dengan tuan empunya badan.
Bertuah sungguh lelaki bernama Tengku Iskandar Tan Sri Tengku Yusuf itu kerana memiliki isteri secantik Siti Aisyah. Bukan saja cantik paras wajah, malah cantik tutur katanya. Sungguh, dia senang bekerja dengan wanita manis itu. Tak banyak songeh seperti kebanyakan mereka yang pernah disoleknya. Serba-serbi tak kena.
“Datin ni cantik sangat. Tak payah tempek make-up tebal-tebal pun dah memang cantik semulajadi. Bertuah Datuk Tengku dapat isteri cantik macam Datin Aisyah.” puji Nurshiela.
“Tak payahlah nak berdatin-datin dengan saya Cik Shiela. Panggil Aisyah je.” Lembut Aisyah membalas. Janggal mendengar panggilan datin yang ditujukan kepadanya. Sudah sebulan suaminya mendapat gelaran datuk, inilah kali pertama dia mendengar seseorang memanggilnya dengan gelaran kehormat itu.
“Kalau macam tu, Aisyah pun tak payahlah nak bercik-cik bagai. Panggil aje Kak Shiela. Barulah adil.” Ujar Nurshiela yang memang terkenal dengan sikap peramah.
Aisyah tersenyum dan mengangguk.
“Aisyah ni lain daripada yang lain. Dah ramai yang Kak Shiela solek, tapi takde sorang pun perangai macam Aisyah. Ada gelaran kehormat, tapi lagi senang suruh akak panggil nama aje. Ada sesetengah tu, kita dah kenal lama. Tiba-tiba husband dapat gelaran datuk, dia pun dapat la gelaran datin. Bila kita jumpa dia, panggil nama macam dulu, terus dia sound suruh panggil datin. Maklum… dah ada gelaran kan? Menyampah akak dengan orang macam ni.” Sempat Nurshiela meluah rasa geram pada sesetengah rakan lama yang lupa diri.
Aisyah yang mendengar sekadar tersenyum nipis. Ada apa pada gelaran? Bagi Aisyah semuanya masih seperti dulu meskipun kini dia sudah bergelar Datin Siti Aisyah. Gelaran hanya di dalam dunia. Di alam kubur, gelaran apa sekali pun tak dipandang malaikat yang bakal menyoal. Hukuman atas dosa-dosa yang dilakukan semasa hayat tetap akan dilaksanakan.
“Dah siap ke?” Noorul, wartawan Majalah Keluarga yang akan menemubual Aisyah dan Tengku Iskandar petang itu menjenguk ke dalam bilik tetamu kondo mewah pasangan itu.
“Sikit je lagi.” balas Nurshiela. Tangannya masih rancak merias wajah Aisyah yang hanya perlu diperkemaskan sedikit sahaja lagi.
“Kalau dah siap nanti turun kat bawah. Kita tunggu kat tepi kolam renang.” Ujar Noorul sebelum keluar meninggalkan Nurshiela dan Aisyah.
Keduanya mengangguk sebagai jawapan.
Nurshiela membelek wajah Aisyah. Mencari cacat-cela pada solekannya petang itu. Namun, tiada kecacatan yang ditemui. Semuanya nampak begitu sempurna sekali. Setelah berpuas hati dengan hasil solekannya, dia membantu memasang tudung ke kepala Aisyah.
“Cantik!” Ujarnya sebaik tudung Aisyah telah dirapikan.
Aisyah tersenyum. Sedari tadi dia langsung tidak melihat wajahnya pada cermin. Entah macam manalah rupa dia sekarang ini? Cantik sangat ke sampai tak sudah-sudah Nurshiela memujinya. Atau sekadar menyedapkan hatinya saja.
“Nak tengok tak?” tanya Nurshiela kepada Aisyah.
Aisyah angguk. Mestilah nak tengok.
Pantas Nurshiela menghulurkan cermin kepada Aisyah. Saat itu juga, mata Aisyah tidak berkedip memandang wajahnya sendiri. Benarkah yang berada di depan cermin sekarang ini adalah dirinya? Atau….
“Hah… kan akak dah kata cantik sangat. Sampai Aisyah sendiri terpegun. Tu baru Aisyah yang tengok, belum Datuk Tengku lagi. Kalau Datuk Tengku yang tengok, akak yakin dia pasti tak nak larikan pandangan mata.”
Hisy… Kak Shiela ni, ada-ada aje. Tangan akak yang menyolek muka Aisyah tu yang ada kuasa magis, itu yang sampai buat muka Aisyah jadi macam ni. Aisyah biasa-biasa aje la kak, takde cantik sangat pun.” Aisyah merendah diri.
Sebenarnya Aisyah bukanlah seorang yang gemar mendengar pujian yang diberikan padanya. Dia takut mendengar pujian. Arwah abahnya pernah berpesan, pujian itu mengasyikkan sehingga boleh membawa padah. Pujian akan menjadikan manusia menjadi riak. Lupa pada Yang Maha Esa.
Aisyah tidak mahu jadi seperti itu. Dia selalu mengingatkan diri sendiri. Apa yang dimilikinya hari ini adalah pinjaman semata-mata. Hiburan dunia yang bisa melekakan. Bila-bila masa sahaja Allah boleh menariknya semula. Jika dia lalai dan tak tahu mensyukuri rahmat yang diberikan ke atasnya.
Setelah memastikan segala-galanya sempurna, Aisyah dan Nurshiela bergerak turun ke bawah. Terpegun Aisyah melihat satu sudut di tepi kolam renang itu yang sudah diletak indah dengan gazebo bamboo dihiasi ala taman bunga dengan rama-rama mengelilingi empat tiangnya.
Kemudian matanya melirik pada sekumpulan manusia yang sedang berbual di tepi gazebo. Kelibat suaminya kelihatan di situ.
Aisyah tersenyum. Betapa kacak suaminya itu mengenakan sut serba putih bertali leher merah cili. Meski usia suaminya kini sudah menjangkau tiga puluh tiga tahun, namun ketampanannya masih lagi terserlah. Membuatkan lelaki itu menjadi buruan ramai wanita.
Bukan Aisyah tidak sedar semua itu. Cuma dia malas mengendahkannya. Dia yakin cinta, kasih dan sayang Tengku Iskandar hanya padanya seorang. Lelaki itu takkan sesekali mengkhianati cinta suci mereka.
Ketika Aisyah menghampiri Tengku Iskandar dan beberapa orang yang turut berada di situ, pandangan lelaki itu beralih pada Aisyah. Aisyah tersenyum.
Namun, Tengku Iskandar langsung tidak membalas senyumannya. Hanya memandangnya dengan pandangan setajam pisau. Tingkahnya ini menggetarkan hati Aisyah. Kenapa harus pandang dia begitu? Adakah suaminya marah kerana dia bersolek tebal? Rasa takut menyerbu.
Anak mata Tengku Iskandar masih melekap ke wajah Aisyah. Kali terakhir dia melihat isterinya bersolek tebal seperti ini adalah di majlis persandingan mereka lima tahun yang lalu. Cantik, cantik sangat!
Bagaikan dipukau, Tengku Iskandar melangkah menghampiri Aisyah. Tunak dia memandang wajah Aisyah yang begitu cantik pada pandangannya. Jarinya naik mengelus wajah halus mulus Aisyah. Sungguh, dia benar-benar terpesona!
Aisyah kehilangan kata. Tingkah Tengku Iskandar membuatkan perasaannya semakin berdebar. Mereka saling berbalas pandangan seolah-olah hanya mereka berdua berada di situ.
Ehemehem….” deheman Noorul menyapa.
“Kalau nak tenung lama-lama tu, boleh je. Tapi sebelum tu… apa kata kita selesaikan kerja yang perlu diselesaikan. Lepas tu nak tenung sampai ke subuh esok pun takpe.” Sambung Noorul mengusik. Tersungging senyuman di bibirnya melihat pasangan sepadan itu.
Pantas Aisyah menunduk. Malu mendengar usikan Noorul. Apatah lagi Nurshiela yang berada di belakang Tengku Iskandar sudah mengenyit mata nakal padanya. Ibu jarinya dinaikkan dengan senyuman melebar di bibir.
Tengku Iskandar tak menghiraukan usikan Noorul. Jemari Aisyah diraih lalu dibawa dekat ke mulutnya. Bibirnya sempat mengucap kata cinta.
I love you.”





No comments:

Post a Comment