DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 2 March 2016

ISTERI DALAM SANGKAR 2 - BAB 3



H
ARI ini merupakan hari ke lima Tengku Iskandar dan Aisyah berada di Kota Paris. Sepanjang tempoh itu, telah banyak tempat yang mereka lawati. Hari pertama di Paris, Tengku Iskandar mengajak Aisyah ke Eiffel Tower. Betapa terujanya Aisyah bila diajak ke sana.
Bagi Aisyah dia sudah cukup gembira dapat melihat Eiffel Tower yang mempunyai ketinggian 275 meter itu sambil duduk lepak bersama insan tersayang. Mungkin inilah yang dimaksudkan paris ini Kota Cinta. Hanya dengan duduk lepak sambil memandang Eiffel Tower sahaja rasa itu mengundang bahagia di hati.
Setelah menghabiskan masa di Eiffel Tower, mereka bergerak pula Musee d’orsay. Galeri seni kedua terbesar di Paris ini mempamerkan karya-karya seni pelukis Perancis yang dibuat sejak tahun 1848 hingga tahun 1915. Bentuk seni yang dipamerkan lukisan, foto, patung dan sebagainya. Sesekali melihat patung-patung yang diukir, seram sejuk juga Aisyah dibuatnya. Bagaikan patung-patung itu mempunyai roh di dalamnya.
Hari kedua bercuti, mereka memulakan perjalanan ke Arc de Triumphe yang terletak di tengah-tengah bulatan jalan raya. Bangunan ini terkenal sebagai sebuah  arca tanda kemenangan yang dibina oleh Napolean pada tahun 1800. Tengku Iskandar dan Aisyah langsung tak melepaskan peluang bergambar di tengah-tengah jalan untuk diabadikan sebagai kenangan mereka di sini.
Selepas itu mereka ke Place de la Concorde. Tempat wisata yang merupakan alun-alun terluas di Paris ini, dibangun pada 1755 di lahan seluas 86,400 meter. Ciri khas tempat ini adalah monumen dan air pancur. Tempat terakhir yang dilawati sebelum mereka pulang ke hotel di hari ke dua adalah Notre Dame Cathedral. Notre Dame Catheral adalah gereja gothic pertama yang di bina di dunia ni. Bangunannya cantik dengan lorekan patung-patung.
Memasuki hari ketiga bercuti, mereka ke The Lourve Museum seawal pukul 9.00 pagi. Kata Tengku Iskandar mereka perlu datang awal memandangkan muzium ini begitu terkenal dan dibanjiri ramai pelancong.
Di sinilah terletaknya potret wanita tercantik bernama Monalisa. Aisyah nampak begitu teruja memuji kecantikan Monalisa. Entah di mana cantiknya si Monalisa itu? Tengku Iskandar sendiri tidak mengerti. Baginya Aisyah lagi cantik jika hendak dibandingkan dengan Monalisa yang tak berkening. Namun dalam banyak-banyak dewan pameran, dewan pameran yang menempatkan potret Monalisa inilah yang paling ramai pengunjungnya.
Di hari ke empat pula Tengku Iskandar dengan bermurah hati mengajak Aisyah berbelanja sakan di Champs de Elysees. Barang-barang di sini semuanya mahal-mahal belaka. Aisyah pula bukanlah jenis perempuan kaki shopping. Dia hanya beli apa yang perlu dan sedikit cenderamata untuk keluarga dan teman-teman di Malaysia. Buat Ros, sebuah beg tangan berjenama LV dibelikan khas buat teman baiknya itu. Dia tahu Ros gemar mengumpul koleksi beg tangan.
Siang tadi pula mereka sekali lagi ke Champs de Elysees. Menyambung semula aktiviti membeli belah yang masih belum selesai. Ikutkan Aisyah, dia tak larat nak berjalan jauh-jauh semata-mata nak membeli-belah barangan berjenama sepanjang perjalanan. Tapi memandangkan suaminya telah mengajak, dia turutkan saja kehendak suaminya itu. Lagipun tak semestinya dia harus membeli di situ. Sekadar cuci mata dan bergambar pun sudah memadai. Dapat dijadikan sebagai kenang-kenangan.
Aisyah tersenyum. Mengenang hari-hari bersama suami tersayang di Kota Cinta ini, hatinya semakin mekar berbunga cinta. Kasih sayang semakin dalam di lubuk hati. Dia tahu betapa kuatnya cinta Tengku Iskandar padanya. Percutian di musim salji ini menjadi hangat dek cinta mereka berdua. Kesejukan bukanlah penghalang untuk mereka memadu asmara.
Sayang, are you ready?” suara Tengku Iskandar mengejutkan Aisyah dari lamunan. Segera dia menoleh.
Di hadapannya, Tengku Iskandar kelihatan segak dengan kameja lengan panjang warna hitam yang sengaja dilipat lengannya hingga ke paras siku dipadankan dengan slack juga daripada warna senada. Butang bajunya dibiarkan terbuka sedikit di bahagian atas. Membuatkan penampilan suaminya itu kelihatan menggoda. Dah serupa pelakon latin pula dia tengok suaminya bergaya begitu.
“Abang hensem sangatkah sampai mata sayang tak berkerdip pandang muka abang?” tanya Tengku Iskandar seraya melangkah menghampiri Aisyah yang bergaya kasual dengan gaun labuh gabungan warna hitam dan berbunga putih.
Serta-merta Aisyah mencebik. Meluat dengan sikap perasan suaminya itu.
Cup! Satu ciuman hinggap ke bibirnya. Mata Aisyah membulat.
“Tu la… buat la lagi bibir macam tu. Kali ni kalau abang cium, abang tak nak bagi lepas.” Ugut Tengku Iskandar bernada usikan.
Hisy… abang ni! Gatal!”
Ketawa besar Tengku Iskandar bila Aisyah mengatakan dia gatal. Ya! Memang dia lelaki gatal. Tapi gatalnya hanya pada isterinya yang cantik dan comel ini.
“Sayang dah siap ke?” sekali lagi pertanyaan pertamanya diulang.
Aisyah mengangguk. Sedari tadi lagi dia telah bersiap. Cukuplah dengan penampilannya ini. Tak perlu nak sarat sangat. Lagipun mereka sekadar nak keluar makan malam sahaja. Tak perlulah nak over sangat.
“Ok… jom.”
Tengku Iskandar menghulur tangannya kepada Aisyah. Dengan senang hati, Aisyah menyambut huluran tangan itu.
Di pintu keluar, sebuah kereta mewah telah siap menanti kedatangan mereka berdua. Terpegun Aisyah melihat kereta besar yang mereka naiki. Sekadar nak makan malam sahaja, buat apa suaminya bersusah-payah menempah kereta mewah ini? Setakat naik teksi kan jimat.
Namun tidak pula disuarakan rasa hatinya itu. Dia hanya mengikut sahaja rentak suaminya. Beginilah suaminya setiap kali menjelang tarikh ulang tahun perkahwinan mereka. Pasti ada saja kejutan yang diberikan. Dia sendiri tak tahu apa lagi kejutan yang bakal diterimanya nanti.
“Kita nak makan malam kat mana ni bang?” tanya Aisyah setelah kereta yang dinaiki memecut dalam kadar kelajuan yang sederhana.
“Ada la. Sayang ikut aje.” Jawab Tengku Iskandar bersama senyuman manis di bibir.
Aisyah tak banyak soal. Dituruti saja ‘permainan’ suaminya itu.
Sampai di tempat yang dituju, Tengku Iskandar keluar dari perut kereta. Jemari Aisyah masih digenggam erat.
“Wah… cantiknya.” Terpegun Aisyah melihat tempat cantik itu. Dia tak pernah lagi ke sini. Apakah nama tempat cantik ini?
“Sayang suka?”
Aisyah angguk kepala. Sungguh, dia suka tempat itu.
“Jom…” jemari Aisyah diraih agar mengikutnya.
“Abang, kita nak makan kat sini ke? Tak nampak pun restoren.”
“Kita nak makan kat situ.” Lurus telunjuk Tengku Iskandar ditunding ke arah sebuah boat.
Bulat mata Aisyah memandangnya. Bagaikan tak percaya. Bagaikan mimpi dia bakal menikmati makan malam ulang tahun perkahwinannya yang ke lima di boat secantik itu. Ingatkan mereka hanya makan malam di restoren-restoren biasa saja seperti sebelum ini. Tak sangka mereka berada di sini. Sesuatu yang tak terjangkau dek akal fikirannya.
Masuk ke dalam boat, ada sebuah meja kecil lengkap dengan hidangan makan telah tersedia. Tengku Iskandar dengan bermurah hati menarik sebuah kerusi dan mempersilakan isterinya duduk di situ. Lagak dah tak ubah bagai putera dan puteri.
Aisyah yang dah tak mampu berkata apa-apa hanya mendiamkan diri. Terasa dirinya ini begitu dihargai. Hanya pada Allah dia memanjat rasa syukur kerana memberi dia peluang merasai kebahagian ini.
Sesekali mereka mengimbau kembali kenangan silam bagaimana hubungan ini mula-mula terjalin. Bagaimana takutnya Aisyah pada suami yang digelar ‘Tengku Harimau’. Dan bagaimana bencinya Tengku Iskandar pada perempuan kampung yang dirasakan merimaskan hidupnya. Namun kini, ‘Tengku Harimau’ yang garang ini telah menjadi jinak dan menjadi harimau kesayangan Aisyah. Dan perempuan kampung yang rimas ini pula menjadi wanita teragung dalam hidup Tengku Iskandar. Itulah yang dinamakan kuasa cinta.
Usai menjamu selera, Tengku Iskandar mengajak Aisyah ke hujung boat. Memerhati keindahan malam sepanjang Seine River cukup mendamaikan hati mereka berdua.
“Sayang….” Lembut dan romantik suara Tengku Iskandar menyapa telinga Aisyah.
Hmmm….” Aisyah tak nak mengalah. Disahutnya panggilan Tengku Iskandar dengan nada manja menggoda. Rugilah kalau dia tak beromantika di Seine River ini. Ramai orang suka suasana romantik di sini termasuklah bintang-bintang Hollywood.
“Abang ada hadiah nak bagi sayang.”
“Apa dia?”
Banyak sangat hadiah kejutan daripada Tengku Iskandar. Ingatkan ini saja kejutannya.
“Sebelum tu sayang kena pejam mata dulu.” Pinta sang suami.
“Laaa… kenapa nak pejam-pejam mata pulak?” Balas Aisyah sedikit membantah.
“Pejam aje la.”
Aisyah menghela nafas. Matanya dipejam seperti apa yang dikehendaki suaminya.
Melihat isteri yang akur, Tengku Iskandar tersenyum. Kotak baldu yang dibawa dalam bakul kecil tadi dibuka. Memancar kilauan emas putih berloket berlian sebesar duit lima puluh sen dari kotak cantik itu. Kemudian ditarik keluar dan dipasang ke leher Aisyah yang dibaluti shawl warna hitam.
“Dah! Sekarang sayang boleh buka mata.” Suruh Tengku Iskandar.
Aisyah meraba rantai yang berada di lehernya. “Apa ni bang? Abang kan tahu Aisyah tak berapa suka barang kemas. Lagipun Aisyah tak nak semua ni. Kasih sayang abang pada Aisyah dah cukup buat Aisyah bahagia.”
Inilah yang membuatkan cinta Tengku Iskandar pada Aisyah semakin mendalam. Isterinya itu bukan seperti wanita yang pernah didampinginya sebelum ini. Aisyah bukan jenis perempuan mata duitan. Aisyah tak pernah merengek minta dibelikan barang kemas harga beribu-ribu. Apa yang diberinya, itulah yang diterima.
“Sebab sayang tak pernah minta la abang belikan. Abang tahu sayang tak berapa suka barang kemas. Tapi untuk ulang tahun kita kali ni, abang nak hadiahkan sayang sesuatu yang berharga. Bukan harga menjadi ukuran, tapi nama pada loket ni. Isya” jari Tengku Iskandar mendarat ke loket di leher Aisyah.
“Terima kasih abang.” Tanpa dapat ditahan, air mata Aisyah mengalir ke pipi. Cukuplah kasih sayang suaminya itu. Namun pemberian ini begitu besar maknanya bila Tengku Iskandar menggabungkan nama mereka berdua.
Sebagai seorang suami, hati Tengku Iskandar begitu rapuh melihat air mata isterinya. Pantas diseka air mata itu dengan jarinya. “Jangan menangis sayang. Abang nak tengok sayang gembira bukannya menangis depan abang. Abang cintakan Aisyah. Terlalu cintakan Aisyah.”
Kemudian tubuh itu diraih erat ke dalam pelukannya.
“Aisyah pun cintakan abang.” Balas Aisyah. Pelukan hangat Tengku Iskandar dibalas dengan rasa syukur yang tak terhingga. Semoga bahagia ini milik mereka hingga ke akhir hayat.



No comments:

Post a Comment