S
|
ELESAI
sudah upacara pengebumian Mak Su Ainin. Suasana sebak mengiringi pemergiannya.
Airmata Aisyah bercucuran membasahi pipi. Walau Mak Su Ainin tak pernah
sayangkan dia, tetapi wanita itu satu-satunya ibu saudara yang dia ada. Kini
Mak Su Ainin telah pergi buat selama-lamanya.
“Aisyah….”
Teguran itu membuatkan Aisyah mendongak. Airmatanya
dikesat.
“Boleh Abang Id duduk?” pinta Farid.
Aisyah mengangguk seraya mengesot sedikit memberi
ruang kepada Farid untuk duduk di pangkin menghadap ke taman bunga. Bunga peliharaan
Mak Su Ainin yang kembang mekar. Arwah mak su memang gemarkan bunga. Hobi yang
dikongsi sama dengan arwah mak Aisyah.
Buat seketika, suasana antara mereka berdua sepi.
Masing-masing melayan perasaan sendiri. Sebagai anak kepada arwah Ainin, Farid
begitu terasa pemergian maknya. Apatah lagi dia merasakan dirinya ini masih
belum cukup berbakti kepada maknya sepanjang hayat wanita itu.
Farid sedar, dia bukanlah anak yang baik sebelum
ini. Sering menyakiti arwah mak. Sering melawan kata. Allah… betapa banyak
dosanya yang tak mampu dihitung.
Nafasnya dihela. Banyak dosa yang dilakukannya. Dosa
pada Allah, mak dan Aisyah. Seraya dia berpaling ke arah adik sepupunya itu.
Bersyukur Aisyah sempat berjumpa dengan arwah maknya sebelum arwah
menghembuskan nafas terakhir. Sekurang-kurangnya hajat arwah mak bertemu Aisyah
kesampaian sebelum dia menutup mata.
Sebak dia melihat Aisyah yang luhur mencium dahi
maknya. Memberi kemaafan atas segala perbuatan mak terhadap Aisyah selama ini.
Ketika kata maaf dilafazkan, barulah arwah mak dapat memejam rapat matanya.
Rupanya Aisyahlah yang ditunggu arwah mak.
“Terima kasih Aisyah. Aisyah baik sangat. Abang Id
tak mampu balas jasa baik Aisyah. Kalau Aisyah tak datang, mesti arwah mak
terseksa sampai ke hari ini. Aisyah mempermudahkan pemergian arwah.” ucap Farid
kepada Aisyah yang masih berlinangan airmata.
“Mak su satu-satunya ibu saudara yang Aisyah ada.
Macam mana pun layanan mak su pada Aisyah sebelum ini, mak su tetap berjasa
sebab jaga Aisyah. Tanpa mak su, mungkin Aisyah dah lama hidup merempat. Aisyah
tak pernah berdendam dengan mak su walau sebesar kuman sekali pun.”
Farid menarik nafas dalam. Kemudian dihela perlahan.
Betapa luhur hati wanita bernama Siti Aisyah itu. Sekejam mana layanan arwah
maknya pada Aisyah, Aisyah tak pernah menyimpan walau sekelumit perasaan
dendam. Kenapalah mereka buta mata dan hati menilai kebaikan Aisyah selama ini?
Dia malu atas perbuatannya yang dulu.
“Abang Id menyesal atas apa yang terjadi. Maafkan
kami Aisyah. Kami anak-beranak tak pernah layan Aisyah dengan baik selama ni.
selalu sangat susahkan Aisyah. Sepatutnya kami berterima kasih pada Aisyah
sebab semua yang kami ada hari ni adalah harta kepunyaan Aisyah.” Pinta Farid
bersungguh. Menyesal atas kejahilan yang dilakukan selama ini.
“Takpe.
Aisyah dah lama maafkan. Walau apa pun yang pernah terjadi, kita tetap
sekeluarga. Harta bukan segala-galanya bagi Aisyah. Apa yang Aisyah harapkan,
hubungan kekeluargaan.” Ujar Aisyah cuba tersenyum. Airmatanya dikesat.
Lega hati Farid mendengar kata-kata Aisyah. Kalaulah
adiknya Fasha memiliki peribadi seperti Aisyah, alangkah bertuahnya. Fasha jauh
berbeza jika hendak dibandingkan dengan Aisyah.
Ketika Farid memaklumkan berita mak mereka sakit
tenat, Fasha sempat merengus. Katanya dia sibuk dan tak dapat nak balik awal.
Sampai ke saat ini pun, batang hidung Fasha masih tidak kelihatan.
Sejujurnya Farid kesal dengan sikap Fasha. Fasha tak
sempat memohon ampun dengan arwah mak. Seolah, pemergian arwah mak tiada erti
bagi Fasha. Sedangkan selama hayatnya, mak begitu sayangkan Fasha. Segala
kehendak Fasha diturutkan.
“Abang, ini airnya.” Suara seorang perempuan
membuatkan tumpuan Farid dan Aisyah berpaling ke suara itu.
Lilis, isteri Farid meletakkan dulang berisi teko
dan cawan di atas pangkin. Kemudian punggungnya dilabuhkan bersebelahan dengan
Farid. Manis senyumannya. Wanita inilah yang mengubah Farid menjadi Farid hari
ini. Perubahan yang cukup menyejukkan hati Aisyah.
“Minum, Aisyah.” pelawa Lilis.
“Terima kasih Kak Lis.” Aisyah mencapai cawan berisi
air teh yang Lilis hulurkan. Dihirup sedikit sebelum diletakkan atas pangkin.
“Alhamdulillah, upacara pengebumian dah selesai.
Sekarang ni tinggal majlis kenduri tahlil aje lagi. Semoga Allah mengampunkan
dosa-dosa arwah mak.” ujar Farid. Sebagai anak sulung, dia berhajat hendak
mengadakan majlis kenduri tahlil selama tujuh hari buat arwah maknya.
Aisyah dan Lilis sekadar mengangguk. Bersetuju
dengan omongan Farid.
“Aisyah duduk la lama sikit kat sini. Boleh tolong
akak sepanjang kenduri arwah mak.” Pinta Lilis kepada Aisyah. Kandungannya yang
kian membesar membuatkan pergerakannya makin terbatas. Sekurang-kurangnya
dengan adanya Aisyah di sini, ringan juga bebannya.
Aisyah serba-salah. Diturutkan rasa hati, memang dia
teringin duduk lama di kampung. Namun memikirkan suami yang ditinggalkan,
hatinya jadi tak keruan. Bukan dia tak percayakan Tengku Iskandar. Cuma tak
elok dia meninggalkan suaminya lama-lama. Sebagai isteri, dia ada tanggungjawab
yang perlu dilaksanakan.
Sedang mereka bersembang kosong, kelihatan sebuah
kereta memasuki halaman rumah. Setelah kereta BMW itu berhenti benar-benar di
bawah pokok mangga, barulah Aisyah perasan itu adalah kereta suaminya. Pantas
dia bangun dan menghampiri kereta yang sudah terparkir elok.
“Abang….” Aisyah menyambut Tengku Iskandar dan
menyalam tangan suaminya itu. Senang hatinya melihat kelibat suaminya berada di
sini. Fikirnya Tengku Iskandar tak akan ke mari. Ternyata dia silap.
“Sayang okey?” itu soalan pertama Tengku Iskandar
kala Aisyah berada depan mata. Wajah isterinya yang suram dengan mata sembab
dipandang.
“Aisyah okey, cuma….” Airmata Aisyah mengalir lagi.
Perasaan sedih kehilangan insan terdekat menjengah semula.
Pantas sahaja Tengku Iskandar menarik Aisyah ke
dalam pelukan. “Syhhh… dah la. Jangan
menangis lagi. Setiap yang hidup pasti akan mati. Sayang banyak-banyak berdoa
semoga Allah ampunkan dosa mak su. Itu yang terbaik.”
Ketika ini Aisyah menjadi tenang berada dalam
pelukan suaminya. Hilang rasa gundah di hati. Luruh jiwanya mendengar kata-kata
semangat Tengku Iskandar. Inilah yang dia harapkan dari seorang suami.
Farid dan Lilis saling berpandangan. Mereka yakin
lelaki yang datang memeluk Aisyah pasti suaminya.
“Abang… mari Aisyah kenalkan dengan sepupu Aisyah
dan isterinya.” setelah pelukan dileraikan, Aisyah menarik tangan Tengku
Iskandar mendekati Farid dan Lilis.
Farid dan Lilis bangun dari duduk. Lebar senyuman
mereka suami isteri menyambut kedatangan tetamu dari kota.
“Abang Id, Kak Lis, kenalkan ini suami Aisyah,
Tengku Iskandar. Abang, ini Abang Id sepupu Aisyah dan isterinya Kak Lis.”
Tengku Iskandar bersalaman dengan Farid. Manakala
dengan Lilis dia sekadar mengangguk sahaja.
“Eh… jemputlah masuk. Kita borak-borak kat atas.”
Pelawa Farid. Sejuk hatinya melihat suami Aisyah. Alhamdulillah… lelaki itu
menjaga adik sepupunya ini dengan baik meskipun perkahwinan mereka dulu
merupakan rancangan jahatnya. Ada hikmah pada setiap kejadian.
No comments:
Post a Comment