DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 2 March 2016

ROMANCINTA- BAB 7



“Tolong apa pakcik?”
            “Pakcik nak minta tolong Fandi…” Fandi mengangkat keningnya apabila Tan Sri Yusuf menghentikan ayat, untuk kesian kali.
            Main-main pula pakcik ni. Fikir Fandi. Dia menggapai gelas yang berisi kopi ais lalu disedut isinya beberapa teguk.
            “Tolong kahwin dengan anak pakcik.”
            Tersembur air kopi ais yang diminumnya. Nasib baik Fandi segera memalingkan muka. Jika
tidak, pasti muka Tan Sri Yusuf menjadi mangsa. Fandi batuk tersedak-sedak akibat terkejut.
            “Tisu?”
            Fandi menyambut tisu yang dihulurkan lalu dia mengelap mulutnya. Setelah batuknya reda, Fandi memandang Tan Sri Yusuf dengan muka tanda tanya. Sukar untuk dia mempercayai kata-kata Tan Sri Yusuf itu tadi.
            “Kamu okay ke?”
            Fandi mengangguk.
            “Kahwin dengan anak pakcik?”
            Tan Sri Yusuf mengangguk.
            “Biar betul pakcik?”
            “Betul.” Nada suara Tan Sri Yusuf kedengaran tegas.
            “Tapi.. pakcik.. saya….” Fandi kehilangan kata-kata. Keningnya berkerut.
             “Kenapa....saya yang kena kahwin dengan anak pakcik pulak?”
             Tan Sri Yusuf menarik nafas. “Anak pakcik, Sofea Raihana. Dia anak bongsu pakcik. Satu-satunya anak perempuan pakcik. Tapi dia dah terlanjur. Sekarang, dia dah mengandung lebih kurang dua bulan. Lelaki yang sepatutnya bertangungjawab dah menghilangkan diri.”
            Bulat biji mata Fandi mendengar kata-kata Tan Sri Yusuf. “Jadi, pakcik nak suruh saya jadi pak sanggup?”
            “Pakcik cuma nak minta tolong.”
            “Tapi.. kenapa saya?” Soal Fandi lagi. Terdesak sangatkah sampai Tan Sri Yusuf main pilih sesiapa saja untuk dikahwinkan dengan anaknya? Tapi, kalau mengandung anak luar nikah, memang sah-sahlah terdesak!
            “Sebab pakcik percayakan kamu.” Jawab Tan Sri Yusuf.
            “Pakcik, pakcik baru je kenal saya. Mana pakcik tahu saya ni boleh dipercayai ke tidak?
Entah-entah saya ni bekas banduan ke? Perompak ke? Perogol bersiri ke? Pengedar dadah ke?”
           
“Kamu penjenayah ke?” Pantas Tan Sri Yusuf memintas kata-kata Fandi. Fandi terdiam beberapa saat, tergamam.
            “Tidaklah pakcik. Bukan macam tu…saya…” Fandi tidak mampu berkata apa-apa lagi.
            “Pakcik dah siasat latar-belakang kamu, Fandi. Pakcik ada semua maklumat tentang kamu.
Pakcik yakin kamu budak baik.” Sambil memandang tepat ke muka Fandi, Tan Sri Yusuf berkata.
            “Pakcik siasat latar-belakang saya?”
             Tan Sri Yusuf mengangguk.
            “Macam mana pakcik siasat?”
            “Pakcik upah penyiasat persendirian”
            “Penyiasat persendirian?” Soal Fandi sekali lagi. Kening Fandi berkerut.
            “Macam inilah Fandi. Pakcik tahu kamu terkejut. Mungkin kamu ingat pakcik dah tak betul agaknya. Tiba-tiba saja datang jumpa kamu dan suruh kamu kahwin dengan anak pakcik…” Tutur Tan Sri Yusuf. Fandi hanya mengangguk perlahan. Wajah Tan Sri Yusuf di pandang lama, masih kurang yakin dengan kata-kata tokoh korporat itu.
            “Tapi, pakcik betul-betul nak minta tolong dengan kamu, Fandi. Pakcik tak bergurau, terutama bila ianya ada kaitan dengan hidup anak pakcik.” Tan Sri Yusuf mencuri masa untuk mengambil nafas. “Pakcik akan beri kamu upah.” Sambungnya,
            “Upah? Upah untuk jadi pak sanggup?”
            “Hhmm..iya.”
             Kening Fandi berkerut lagi.
            “Pakcik betul-betul harap Fandi sudi tolong pakcik. Tapi, pakcik faham kalau Fandi tak nak.
Yalah, lelaki mana yang nak kahwin dengan perempuan mengandung anak luar nikah. Fandi boleh
fikir masak-masak dulu. Pakcik beri Fandi masa untuk beri jawapan.”
            “Saya…saya tak tahu nak cakap apa.” Balas Fandi, perlahan.
            Tan Sri Yusuf memandang Fandi. Kemudian, dia mengeluarkan satu fail dari beg bimbitnya.
Fail itu diserahkan kepada Fandi.
            “Apa ni, pakcik?”
Soal Fandi sambil meyambut fail yang dihulurkan.
             “Kontrak.” Jawab Tan Sri Yusuf, ringkas.
            “Kontrak apa?”
            “Kontrak untuk kamu bernikah dengan anak pakcik.”
            Fail itu dibuka lalu Fandi membacanya sekali lalu.
            “Seratus ribu ringgit?!”
            Lampu tinggi yang diberikan oleh kereta di belakang mengembalikan Fandi ke alam nyata.
Dia segera memberi signal ke arah kiri lalu menukar laluan ke lorong tengah dan terus memfokuskan perhatiannya ke arah jalan raya semula. Lebih kurang setengah sejam lagi dia akan sampai ke Kuala Lumpur.
            Sesekali, Fandi menjeling ke arah fail yang diletakkan di sebelah tempat duduk pemandu. Walaupun dia sudah memutuskan untuk bernikah dengan anak Tan Sri Yusuf, kadang-kala, masih timbul rasa berbelah bahagi di hatinya.
            “Atas alasan apa sekalipun, kamu kena ingat. Berkahwin bukan setakat di atas kertas. Bila
sahnya akad nikah, dosanya menjadi tanggungan kamu. Nafkahnya tanggungjawab kamu…” Kata-kata Encik Omar bermain di minda Fandi
            “Anak dia, anak kamu…”  
            Anak... Fikir Fandi lantas menghembus nafas berat. Perkataan anak memberikan sedikit tekanan padanya.
            Penyiasat persendirian.
            Seratus ribu ringgit.
            Dua ayat ini pula yang bermain di fikiran Fandi.


***

Wangsa Maju
           
            Fandi duduk di tangga kecil, di pintu masuk masjid. Sambil menyandarkan diri di tepi dinding, Fandi termenung panjang. Solat Isya’ berjemaah sudahpun selesai. Dia sedang menunggu Azwan, rakan tempat sekerjanya merangkap teman serumah sewa. Azwan telah ke tandas untuk melepaskan hajat kecil dahulu sebelum pulang ke rumah mereka.
            Esok adalah hari terakhir di mana Fandi perlu memberikan jawapan kepada Tan Sri Yusuf. Kala ini, otaknya masih berkira-kira, menimbal balik segala keputusan yang bakal di buat. Berkahwin dengan gadis yang telah terlanjur dan berbadan dua - Fandi terasa agak ekstrem di situ.
            Seratus ribu ringgit, der!
            Seratus ribu ringgit untuk rakyat marhaen sepertinya memang cukup lumayan.
            Sejak bila pulak aku jadi mata duitan ni?
            Fandi menarik nafas. Sungguhpun Tan Sri Yusuf telah menjanjikan upah yang lumayan, wang bukanlah perkara terpenting dalam membuat keputusan. Pentinglah juga, tetapi carta kepentingan itu mungkin jatuh di nombor tiga atau empat  Yang menjadi keresahannya sekarang – adakah dia benar-benar bersedia untuk menjadi suami ekspres? Betulkah dia rela memperisterikan anak Tan Sri Yusuf? Sanggupkah dia membeli kelapa yang telah di tebuk tupai?
            Kurang ajar punya tupai!
            Tiba-tiba Fandi terasa hatinya dihembus rasa geram. Lelaki seperti ‘tupai’ itulah yang sering mencemarkan nama baik kaum lelaki. Sungguh tak bertanggungjawab. Lelaki sepatutnya menjadi makhluk pelindung, bukan makhluk perosak. Lelaki di jadikan berakal sembilan, dan satu nafsu. Sebaiknya sembilan akal itu patut digunakan untuk mengawal nafsu yang satu, bukan sebaliknya. Sudah ramai yang senasib dengan anak Tan Sri Yusuf dek angkara ‘tupai-tupai’ ini. Buat malu kaum lelaki saja.
            Tapi, kalau yang perempuan tak menggedik, takkan jadi juga…
            Fandi menolak rambutnya ke belakang. Serta-merta teringatkan Nabilah. Adik perempuannya malah satu-satu adik kandung yang dia ada. Sebal dan kesal menyusup dalam hati.
            Sudah-sudahlah tu. Tak baik buruk sangka. Kau siapa nak menilai dosa pahala orang lain?
            Fandi menghembus nafas kasar. Dia sedar sendiri. Sebagai manusia biasa, dia juga bukanlah insan maksum. Dia juga ada berbuat dosa.
           ‘‘Assalamualaikum.” Bahunya ditepuk perlahan sekaligus mematikan monolog yang berlaku dalam fikirannya. Fandi menoleh.
            “Waalaikummusalam…Abang Nazri.” Jawab Fandi. Nazri adalah kenalan masjid. Walaupun Fandi dan Azwan masih belum boleh dikategorikan sebagai ‘kaki’ masjid tetapi mereka kenal dengan kebanyakan pengunjung setia masjid ini. Nazri adalah salah seorang darinya. Tidaklah terlalu rapat tetapi seringkali mereka berbual mesra bila berjumpa.
            “Termenung jauh kat tangga ni, kenapa ?” Soal Nazri.
            “Itulah bang. Macam seronok pulak termenung kat tangga ni…” Gurau Fandi sambil tersengih.
            “Kalau seronok, abang join sekalilah.” Balas Nazri lalu mengambil tempat di sebelah Fandi, turut tersenyum.
            ‘‘Kenapa tak balik lagi?’’ Soal Nazri lagi.
            “Tunggu si Azwan. Tak tahulah apa dia buat, lama sangat kat toilet. Bersolek kot…” Nazri pula tersengih mendengar jawapan Fandi.  
            “Mana Naqib ?” Soal Fandi pula. Naqib adalah anak Nazri yang berusia 10 tahun. Memang Nazri sering membawa Naqib ke masjid. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Rasa cinta pada masjid perlu di tanam dalam diri sejak awal-awal lagi. Insya-ALLAH, rasa kecintaan dan rindu untuk selalu hadir ke rumah ALLAH kekal sehingga dewasa. Naqib pula bukanlah kanak-kanak yang tak mendengar kata. Nakalnya tetap ada tetapi tidaklah hingga memeningkan kepala. Timbul rasa kagum di hati Fandi. Molek benar didikan dan asuhan Nazri kepada anaknya.
            “Ke toilet juga.” Jawab Nazri. Fandi terangguk-angguk.
            “Abang tengok, kau ni macam ada masalah je…” Ujar Nazri
            “Masalah? Tak adalah bang…” Sambil berdalih, Fandi tersenyum sumbing.  
            “Tak usah tipulah. Kau punya termenung, dah jauh sampai ke bulan…”
            “Seganlah bang…nak cakap…” Fandi membuat pengakuan. Nazri hanya tersenyum.
            ‘‘Ceritalah…kot abang boleh tolong.” Balas Nazri. Bukan mendesak tapi memang niatnya benar-benar mahu membantu. Fandi mendiamkan diri sambil otaknya berkira-kira sama ada mahu memberitahu masalahnya.
             “Macam ni bang…” Fandi akhirnya bersuara. Rasa segan ditolak tepi. Nazri agak terbuka orangnya. Mungkin Nazri boleh membantu meleraikan sedikit kekusutan di fikiran. Walaupun Nazri bukanlah seorang ustaz, namun agak tinggi juga pengetahuan agamanya. Pendapat dan nasihat Nazri agak bernas walaupun adakalanya, nasihat yang diberikan terus keluar ke telinga kiri.
            “Kawan saya…” Rasa segan tiba-tiba datang lagi lalu Fandi mengambil keputusan menjadikan kawan dia yang entah siapa-siapa sebagai ganti. Nazri pula kurang percaya dengan ‘kawan’ yang disebut Fandi tapi dia malas hendak bertanya lanjut.
            “Kes dia macam ni. Kawan saya ni, dia dapat offer…err…ada seorang pakcik ni…anak dia….suruh kawan saya nikah…”
            Nazri menggaru kening, cuba menghadamkan kata-kata Fandi. Kalau sudah menggelabah, harus ayat yang keluar dari mulut jadi bersimpang-siur.
             “Abang tak faham cakap kau ni. Anak siapa ?” Nazri bertanya, masih kurang faham. Fandi menarik nafas.
            “Pakcik Y, bukan nama sebenar. Anak dia dah terlanjur sampai mengandung. Sekarang ni Pakcik Y minta tolong dari sa…errr…kawan saya ni untuk menikah dengan anak dia. Pakcik Y akan bagi..ehhm..upah.” Ayat Fandi makin lancar kali ini.
            “Pakcik Y suruh kawan kau tu jadi pak sangguplah?”
            “Lebih kurang macam itulah bang…” Balas Fandi.
            Nazri mendiamkan diri seketika. Dia membuka songkok di kepala dan menolak rambutnya ke atas lalu dipakai semula. Otaknya berfikir, mencari ayat yang sepaling ringkas untuk diterangkan kepada Fandi tanpa membuat penilaian melulu, tanpa prejudis dan tanpa berburuk sangka.
            “Kalau dari segi hukum, memang tak salah pun nak menikah dengan perempuan yang hamil anak luar nikah, hukumnya harus. Bila dah nikah, tanggungjawab sebagai suami dan isteri tetap sama. Tak ada beza pun dengan pasangan yang lain. Tapi anak dalam kandungan tu, tak bolehlah nak di ‘bin’ kan dengan kawan kau tu. Sebab dah memang anak tu bukan dari nasab keturunan kawan kau.” Nazri menerangkan. Fandi terangguk-angguk. Dia tahu yang itu. Dia sekadar mahu mendapatkan pandangan sahaja sementelah hatinya masih lagi berbolak-balik untuk membuat keputusan.
            “Pendapat abang pasal ni, macam mana pulak?” Soal Fandi. Sekali lagi Nazri berfikir sebelum menjawab.
            “Pendapat abanglah, kalau yang perempuan tu dah betul-betul bertaubat, tak mahu lagi hidup dalam kemungkaran dan maksiat, maka bernikah adalah jalan yang lebih baik. Sekurang-kurangnya, aib yang ada pada perempuan tu dah ditutup. Kawan kau tu pun dapat juga pahala sebab menutup aib seorang perempuan. Wallahhualam.” Terang Nazri.
            “Tapi…kena ingat, bernikah tu biarlah dengan niat yang betul. Bernikahlah dengan niat kerana Allah. Bernikahlah dengan niat ikhlas nak membantu. Jangan hanya sekadar nak tutup malu. Sesetengah orang tu, bukannya nak sangat kahwin. Bila yang perempuan dah selamat bersalin, terus diceraikannya. Berkahwin dan kemudian berniat nak bercerai selepas tempoh tertentu, itu dah bertentangan dengan ajaran Islam. Silap-silap, hukumnya boleh jatuh haram. Kalau kawan kau memang dah berniat nak ceraikan isteri dia selepas kahwin…nasihatkan dia, tak usahlah.’’ Tambah Nazri.
            ‘‘Bukanlah sesuatu yang hina sebenarnya, kalau betul kawan kau tu memilih untuk bernikah dengan perempuan yang hamil anak luar nikah. Yang penting, ini…” Nazri menghalakan jari telunjuk ke dada. “Dalam ni, kena ada rasa ikhlas. Keikhlasan tu penting. Kawan kau tu, betul-betul ikhlas ke nak bernikah dengan anak Pakcik Y? Jangan bila dah kahwin nanti, kawan kau tu abaikan pula isterinya. Itu yang kita tak mahu.”
            “Err..ikhlas kot…” Fandi tergagap sedikit.
            “Kalau ikhlas, Alhamdulillah. Moga-moga rumahtangga kawan kau tu diberkati.” Balas Nazri. Fandi menghela nafas dalam-dalam. Kata-kata Nazri disimpan dalam kepala.   
            “Yang upah tu, macam mana pulak bang? Boleh ambil ke?” Tanya Fandi lagi.
            “Kalau dah orang bagi, ambil sajalah…” Nazri menjawab sambil tergelak. Fandi turut tergelak sama.
              “Ayah…” Nazri menoleh. Kelihatan anaknya, Naqib sedang berjalan ke arah mereka bersama-sama dengan Azwan.
            “Abang balik dululah.” Ujar Nazri apabila Naqib sudah berada di sebelahnya. Dia bangun menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Fandi dan Azwan. Naqib juga turut berbuat begitu.
            “Assalamualaikum.” Ucap Nazri.
            “Waalaikummusalam.” Balas Fandi dan Azwan, serentak. Nazri dan Naqib terus berlalu ke tempat parkir motor.
            Fandi bangun dan menyaingi langkah Azwan. Semasa ke masjid, mereka memilih untuk berjalan kaki saja. Lebih afdhal begitu. Akan tertulis pahala bagi seseorang untuk setiap langkah pergi dan pulang ke masjid. Lagipun, jarak di antara masjid dan rumah sewa mereka bukanlah jauh sangat. Lebih kurang dua ratus kangkang kera saja.
            “Singgah kedai makan dulu jom.” Ajak Azwan. Fandi mengangguk tanpa bantahan. Perutnya juga sudah menyanyi minta di isi.

No comments:

Post a Comment