Keempat-empat roda Toyota Vigo itu berhenti di hadapan rumah
pusaka itu. Edrina terus terpaku memandang susuk rumah kayu berlantai tinggi
itu. Ini rumah ke atau pondok menunggu durian? Hati kecilnya mula gundah
sendiri.
“Ini ke rumahnya?” soalnya sambil menoleh agak lambat
kepada Kudin. Wajahnya mula berubah mendung melihat rumah buruk itu.
“Iyalah.. mana ada rumah lain lagi kat sini,” jawab Kudin
selamba.
Jawapan Kudin membuatkan Edrina mula meneguk liur. Mahu
membantah dia pun tidak mahu tinggal bersama emak mertuanya. Dia tidak bebas!
Tetapi rumah ini...? Buruknya! Hatinya terus memberi komen itu walaupun dia
baru memandang hadapan rumah itu.
“Jom turun!” ajak Kudin lantas melompat keluar daripada
kenderaan 4 Wheel Drive itu. Dia terus berjalan ke bahagian belakang. Beg besar
Edrina diambilnya.
Mahu tidak mahu Edrina keluar juga daripada kereta itu.
Dah janji dengan emak Kudin sebelum inikan? Dia meletakkan hantaran tinggi dan
emak mertuanya hanya meletakkan syarat dia harus akur tinggal di rumah pusaka
itu berdua dengan Kudin. Jadi mana boleh mungkir janji. Suka atau tidak dia
kena akur tinggal di rumah serba daif itu. Waktu dia bersetuju itu manalah dia
tahu rumah ini lebih buruk dan kecil berbanding rumah emak mertuanya itu.
Tapi.. hati yang sedia kala tidak rela semakin tidak rela
melihat keadaan rumah yang buruk, kawasan sekeliling yang terpencil dan jalan
masuk yang berlopak-lopak macam jalan masuk lori ke tempat mengutip kayu balak!
“Apa termenung lagi tu? Jomlah masuk..” ajak Kudin lantas
menggamit isterinya itu yang masih terpacak sambil memandang rumah itu. Kagum
sangatlah tu tengok rumah pusaka ni..
Lambat-lambat Edrina akur mengekori Kudin. Ketika
memanjat tangga kayu itu secara tidak sengaja dia memaut lengan Kudin. Langsung
tak minta izin nak pegang! Pedulilah! Janji dia tak tergolek akibat tangga kayu
yang masih dikekalkan seperti stail dulu-dulu. Anak tangganya diperbuat daripada
kayu yang berbentuk bulat dan kecil. Gayat Edrina dibuatnya.
Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke dalam rumah Edrina
terlopong. Ruang tamu itu lengang tanpa apa-apa melainkan sebuah gobok lama
yang berisi pinggan mangkuk masih berdiri kukuh di hujung ruang itu. Ruang tamu
itu pun kecil sahaja. Takde sofa.. takde karpet.. takde tv.. takde jakuzi..
takde yakuza.. pendek kata semuanya memang takde! Tidak tertelan liur Edrina
melihat keadaan itu.
“Ruang tamu ni memang macam ni ke?” soal Edrina dengan
mata terkebil-kebil memandang suaminya itu.
“Yalah.. habis tu?”
“Tv takde?”
“Takde.” Sepatah sahaja jawapan Kudin dengan muka
selamba.
“Radio?” soal Edrina lagi.
“Tak perlu semua tu. Tak wajib,” jawab Kudin macam orang
tidak berperasaan. Beg isterinya itu diletakkan di atas lantai.
“Habis tu aku nak buat apa dalam rumah ni selama kau
pergi ladang kau tu?” soal Edrina tercengang sendiri. Dia mula tertanya
sendiri, dia ni dapat laki miskin ke.. kedekut ke.. atau kuno? Takkanlah tv
sebiji pun tak boleh beli?
“Masaklah! Dapur ada.. tapi dapur kayulah. Nanti aku
belikan dapur gas,” jawab Kudin lantas memuncungkan mulutnya ke arah dapur di
belakang sana.
“Takkanlah celik aja biji mata sampailah ke petang aku
nak kena memasak aja? Takde kerja lain?” Edrina menyoal jengkel. Dia ingat aku
ni masterchef ke apa?
“Emm.. basuh baju aku. Lepas tu sidai.. bila dah kering
angkat dan lipat,” jelas Kudin mengikut rutin kehidupan emaknya yang selalu dia
lihat.
“Mesin basuh?” soal Edrina dengan mulut sudah terlopong
kecil.
“Takde mesin basuh sebab rumah ni belum ada paip air
dalam rumah. Mandi kena kat perigi. Jamban pun kat luar.” Kudin menjawab semula
dengan nada yang cukup polos.
Semakin luas mulut Edrina terlopong. Ini rumah ke tempat
perkhemahan, main mandi-manda kat pergi pulak? Namun dek kerana terlalu
terkejut, dia jadi tidak terkata kepada semua itu. Dia masih terfikir-fikir
bagaimana untuk dia meneruskan hidup dalam keadaan serba kuno seperti ini.
Apatah lagi dalam keadaan dia memang tidak pernah berpengalaman langsung hidup
di kampung dalam keadaan rumah serba daif macam waktu di zaman jepun dulu. Dia
tidak tahu selama mana dia mampu bertahan.
“Jom.. ini bilik kita,” ucap Kudin lantas menunjukkan
bilik paling hampir dengan mereka.
Edrina membuntuti lagi suaminya itu masuk ke dalam bilik.
Parah! Katil pun takde. Hanya ada tilam lama yang tidak bersampul melepek di
atas lantai kayu. Ada kelambu tergantung di sekeliling tilam bersaiz kelamin
itu. Nasib baiklah almari ada. Itupun cerminnya dah berkarat. Maklumlah.. turun
menurun punya almari.
“Aku nak minta sesuatu dengan kau.” Edrina berkata dalam
pada matanya terus liar memerhatikan bilik itu.
“Apa?” tanya Kudin lantas menoleh.
“Aku nak kita tidur dalam bilik asing. Atau dalam erti
kata yang jelas untuk kau.. aku tak mahu kau tidur dalam bilik ni dengan aku.
Kalau kau tak setuju, aku nak balik KL sekarang,” ucap Edrina lengkap dengan
ancamannya.
Kudin terpaku seketika memandang isterinya itu. “Aku nak
tidur kat mana pulak? Rumah ni ada satu bilik aja,” ucap Kudin sedikit rendah.
“Aku tak peduli! Aku tak mahu tidur sekatil dengan kau.”
Edrina menyambut bicara lelaki itu serius. Tiada kompromi untuk Kudin walaupun
bermula malam ini Kudin terpaksa tidur di dalam perigi akibat ketiadaan ruang
untuk lelaki itu!
“Sampai bila?” tanya Kudin dengan pandangan sedikit
redup. Bohonglah jika dia tidak terasa apa-apa bila isterinya meminta untuk
berpisah tempat tidur daripadanya.
“Sampai aku rela terima semua yang ada di sekeliling aku
ni!” jawab Edrina mula mengeraskan nadanya. Dia tidak mahu ada tawar menawar
langsung tentang itu. Cukuplah dia dipaksa melalui semua ini. Dia tidak mahu
menjadi wanita pelayan nafsu lelaki ini. Bab yang itu dia memang tidak rela
sama sekali. Titik!
Kudin terdiam seketika dalam pada dia mencari idea untuk
memujuk. Namun seketika kemudian dia teringat sesuatu. Wajah isterinya
dipandang semula dengan pandangan bersahaja. “Boleh.. tapi kau tengoklah apa
kat luar tu,” ucap Kudin lantas menolak jendela bilik itu sehingga terbuka.
Edrina ikut menjengah keluar. Matanya terus disajikan
dengan permandangan indah lagi mendamaikan, juga menyeramkan bulu roma sebuah
tanah perkuburan.
“Kubur?” ucap Edrina selamba.
“Ya, kubur..” sambut Kudin sambil mengangkat kening
sedikit. Kemudian dia memandang lagi ke arah kawasan itu. Tidaklah dekat benar
sebenarnya. Tapi memang boleh kelihatan jelas daripada jendela bilik itu.
“Oh.. jadi kau fikir aku akan terjerit-jerit
ketakutanlah? Lepas tu bolehlah aku batalkan niat aku tak mahu sebilik dengan
kau?” ucap Edrina lekas meneka apa yang sedang bermain di hati lelaki itu.
Wajah lelaki itu dipandang jengkel.
“Kau tak takut ke?” tanya Kudin dengan lagak seorang
lelaki yang sedang bersiap sedia mahu menjadi hero.
“Pleaselah, Kudin. Gunalah cara lain. Tak lakulah trik
kau ni!” jawab Edrina sengaja buat-buat menguap bosan kononnya.
Cis! Dia tak takut pulak.. getus hati Kudin ralat. Memang
terpaksalah dia tidur di tempat lain. Nasib baiklah rumah ini ada satu lagi
ruang kecil berhampiran dapur yang dibina bertirai yang dijadikan tempat solat
oleh arwah neneknya. Kalau tidak, mungkin dilantai ruang tamu itulah dia
terpaksa menghamparkan tempat tidurnya.
“Ada idea lain?” soal Edrina mengejek. Mimik jengkelnya
sengaja ditunjukkan di hadapan mata Kudin.
“Apa salahnya aku tidur sekali dengan kau dalam bilik ni?
Bukannya aku nak apa-apakan kau pun,” ucap Kudin rendah macam mahu menagih
simpati aja.
“Sorry.. aku memang jenis perempuan yang susah nak
percaya dan suka pada kaum lelaki ni. Sebelum ni kita bukan berdua aja. Sebab
tu aku bagi muka pada kau. Aku tak suka kau buat perangai bukan-bukan bila
tidur sebelah aku. Macam orang takde sivik!” jawab Edrina sambil berpeluk
tubuh, angkuh di hadapan Kudin.
“Okay.. Okay.. aku janji tak buat macam sebelum ni lagi
dah. Aku cuma bergurau aja, Rina. Takkanlah itu pun kau nak ambil hati sampai
suruh aku tidur kat tempat lain?” ujar Kudin semakin merendahkan nadanya.
Harap-harap Edrina bersimpatilah kepadanya. Siapa nak tidur sorang? Rumah ini
dekat dengan kawasan hutan. Sejuk bila malam!
“Aku jijik dengan cara kau bergurau dengan aku. Tak
kelakar langsung!” Edrina membalas tajam.
Kudin terdiam. Melihat wajah ketat itu wanita itu dia
tahu bukan mudah dia memujuk dalam keadaan begini. Dia harus bersabar sedikit
masa lagi. “Okaylah.. aku tidur di belakang aja.” Kudin menjawab hampa. Tanpa
kata lagi kakinya dihayun keluar daripada kamar itu.
Edrina mula mengalihkan pandangan ke luar jendela. Wajah
kawasan perkuburan itu dijamah lagi oleh matanya.
“Kubur..” ucapnya sendiri dalam pada matanya masih
memandang kawasan yang rata-ratanya bernesan putih itu.
“Mana ada hantu dalam dunia ni. Merepek ajalah!” ucap
Edrina yakin seratus peratus dengan kenyataan itu.
Dengan hati penuh keterpaksaan Edrina mengemas juga bajunya
masuk ke dalam gobok lama itu. Hatinya menjerit menangis melihat baju-baju
berjenamanya terpaksa di sumbat ke dalam gobok buruk itu. Tidak sesuai
langsung!
Bilik itu pula semakin lama semakin membahang. Langsung
tiada kipas walaupun sekadar kipas meja. Meleleh-leleh keringatnya macam orang
baru lepas habis bersauna. Takpelah, Edrina. Sekurang-kurangnya dia tak perlu
ke sauna lagi sebab bilik itu pun dah macam dalam sauna panasnya. Hatinya yang
sedang tidak ikhlas itu sekadar berkata-kata kosong untuk memujuk diri sendiri.
Tapi sepanas-panas tubuhnya, panas lagi hatinya kala itu.
“Laki buruk! Rumah buruk! Bilik air buruk! Gobok buruk!
Lori dia dahlah memang buruk! Motor dia pun buruk! Semuanya buruk!” bebelnya
sendiri dalam padanya dia bersimpuh di atas lantai kayu itu. Geram punya pasal
baju itu disumbat kasar ke dalam gobok itu.
“Padan muka aku! Malas nak kerja sampai sanggup ambil
keputusan kahwin dengan si kolot ni. Sekarang rasakan!” kini dia mengejek
dirinya sendiri pula.
Sedar tidak sedar sudah tengahari rupanya..
“Aku nak pergi beli barang kat kedai. Nak ikut?” pelawa
Kudin sambil menjenguk Edrina di dalam bilik itu.
Edrina terus menggeleng dengan wajah ketat dan mulut
termuncung. Kudin memerhatikan gelagat Edrina seketika. Namun melihat isterinya
sudah lencun dek peluh tiba-tiba dia merasa kasihan. Dia bolehlah berlenggeng
sahaja tanpa baju bila cuaca tengah panas begini. Edrina takkan nak berlenggeng
juga sama macam dia? Harus tak berkerja dia nanti, asyik nak duduk rumah aja.
Tak boleh jadi! Kena buat sesuatu.
Tanpa meminta izin Kudin masuk ke dalam bilik itu. Sambil
memandang setiap perlakuan Edrina dia menyinsing sedikit seluarnya sebelum
duduk di belakang Edrina. Bibir Kudin tersenyum sendiri. Bukannya dia tidak
nampak Edrina sengaja mencampakkan kain bajunya masuk ke dalam almari untuk
menunjuk protesnya.
“Nanti aku belikan kipas ya?” ucap Kudin lembut. Cuba
juga untuk mengambil hati isterinya itu dengan sikap prihatinya.
Edrina sekadar diam tidak menjawab. Apa barang kipas?
Aircondlah terus.. getus hatinya sebal.
“Mula-mula tak biasa, memang kau tak suka duduk sini,
Rina. Nanti lama-lama kau akan terbiasa, kau takkan kisah biarpun sekeliling
kau tak sama macam keadaan rumah kau di KL sana,” ucap Kudin sambil memandang
isterinya itu dari arah belakang.
“Aku kahwin dengan kau sebab aku nak kau uruskan Semarak
Holding. Kenapa kau tak mahu masuk Semarak Holding? Kenapa aku pulak yang
terpaksa duduk kat rumah buruk ni,” ucap Edrina sambil menoleh separuh kepada
Kudin.
Kudin menghela nafas perlahan. Soal Semarak Hokding tidak
ingin diperbahaskan lagi. Dia ada pendirian dia sendiri. “Aku ada kehidupan aku
di sini,” jawab Kudin agak rendah.
“Kehidupan kau! Kehidupan aku macamana pulak?” bentak
Edrina tidak mampu menerima alasan Kudin. Baju di tangannya terus dicampak ke
hadapan untuk menunjuk perasaannya. Sebal benar perasaannya dengan pendirian
Kudin.
“Di mana-mana pun sama aja, Edrina.”
“Kenapa kau tak cakap macam tu pada diri kau sendiri? Kau
tahukan aku tak suka duduk di kampung? Aku tak mahu duduk rumah macam ni,”
balas Edrina agak kasar.
“Tempat kau dengan aku, Rina. Sebab kau isteri aku. Di
mana aku putuskan kita berada di situlah kau kena berdiam. Aku tak mahu
diterima hanya bila aku dah jadi orang KL. Hakikatnya orang KL atau orang
kampung, semuanya sama aja. Tanggungjawab sebagai suami sama aja walaupun aku
bukan orang hebat, Rina! Dan kewajipan kau pulak ialah taat pada aku sebagai
suami. Walaupun aku ni sekadar lelaki kampung yang kolot pada mata kau!” ucap
Kudin serius.
“Macamana aku nak taat kalau semua benda yang ada depan
mata aku, aku tak suka? Termasuklah kau!” cabar Edrina berani. Dengan ekor mata
dia menjeling suaminya itu.
Kudin memandang tajam isterinya itu. Hati mana yang tidak
punah mendengar isteri berkata begitu sewenang-wenangnya kepada dia? Tetapi
lelaki seperti dia tidak senang menaikkan tangan kepada seorang wanita walaupun
wanita itu suka benar mencabar ego lelakinya.
“Apa yang patut aku buat supaya kau tak terus keras
kepala macam ni?” suara Kudin mula berubah tajam.
“Aku nak kita pindah ke KL! Aku tak suka kampung kau ni.
Aku tak mahu hidup dalam keadaan serba daif macam ni. Eh! Kalaulah tv3 datang
sini.. silap-silap dia masukkan kita dalam rancangan Bersama mu, kau tahu tak!”
jawab Edrina lancang.
Kudin terpempan mendengar ayat yang perhabisan itu. Amboi
sedapnya dia menghina rumah pusaka nenek aku ni. Buruk sangat ke sampai dah
layak masuk rancangan Bersama mu? Melampaulah tu..
“Kau tak suka sebab kau tak pernah nak berasa syukur
dengan apa yang ada di sekeliling kau. Ingatlah.. seteruk-teruk keadaan kita
sekarang, ramai lagi kat luar tu merempat takde rumah, takde makan! Bukan semua
orang di KL tu mampu hidup sesenang kita di sini. Walaupun rumah ni tak sehebat
banglo-banglo di KL sana tapi sekurang-kurangnya ini rumah kita sendiri. Kita
tak perlu membayar sewa bulan-bulan untuk hidup dalam rumah yang orang lain
punya,” getus Kudin.
“Aku lebih suka bayar sewa daripada duduk kat rumah yang
panas dah macam dalam oven ni tau! Rumah setinggan pun lagi mewah daripada ini.
Rumah setinggan pun dah ada bekalan paip air. Rumai ni apa yang ada? Jamban pun
kat luar rumah. Boleh mati kutu aku duduk rumah buruk macam ni. Dahlah jauh
dari rumah orang,” getus Edrina tetap tidak mahu menerima nasihat suaminya itu.
“Cuba kau bezakan antara duduk kat luar tu dengan duduk
kat dalam ni waktu hari hujan.”
“Alah.. hari hujan okaylah. Sejuk! Kalau waktu tengahari
macam ni, duduk luar dengan duduk dalam ni apa bezanya? Takde beza pun. Panas
kau tahu tak! Rimas duduk tempat macam ni,” bentak Edrina lebih pantas
mematahkan bicara suaminya itu.
“Susah bercakap dengan orang kepala batu ni! Memantul!”
Kudin mendegus sambil bangkit daripada situ. Melayan Edrina hanya membuatkan
hatinya semakin sakit. Susah bercakap dengan orang degil seperti ini! Sepatah
dia berkata sepuluh patah Edrina menjawab untuk membantah kata-katanya.
“Jangan lupa beli kipas.” Sempat juga Edrina memberikan
pesanan itu sebelum Kudin berlalu.
“Tengoklah kalau aku teringat nak belikan. Kalau tak, kau
kayuh ajalah pakai tangan tu. Kertas surat pun khabar banyak,” jawab Kudin
selamba.
“Eee.. benci tau dia ni!” getus Edrina terus menjelirkan
lidahnya kepada Kudin tatkala lelaki itu membelakanginya. Langkah Kudin
dipandang tajam.
No comments:
Post a Comment