“Beb,
cuba kau tengok mamat nerd kat meja sebelah tu. Aku perasan dia duk
tenung-tenung kau dari tadi lagi. Sah dia syok kat kau. Tengoklah tu.” Sofiya
menjuihkan bibirnya yang dihiasi gincu merah menyala ke arah seorang lelaki
yang duduk bersebelahan dengan kami. Meja yang kami duduk berselang satu meja
dengan meja lelaki itu.
Aku menoleh ke kiri dan aku tersenyum ayu pada
lelaki itu. Yang lucunya, menggelabah mamat tu melarikan anak matanya.
Kaca mata tahap kanta pembesar. Baju kotak-kotak
zaman kuno. Seluar slack bapak dia punya. Rambut ala-ala tempurung kelapa. OMG! Teruknya
fesyen mamat ni. Macam dah budak terencat dah gayanya.
“Eeuuuwww… So annoying! Meremang bulu roma aku ni. Kenapa teruk sangat fesyen
dia tu. Ada lagi eh dalam dunia ni
mamat nerd macam tu.” Tanpa rasa bersalah aku mengutuknya. Lelaki macam tu ada
hati nak syok dekat aku yang cun melecun ni. Sorry strawberilah. Yana takkan layan lelaki sengal macam tu.
Gelilah!
“Aku
cabar kau.” Sebaris ayat itu tiba-tiba terpancul keluar dari bibir Sofiya. Buat
aku tercengang memandangnya. Sofiya hanya tersenyum penuh makna sebelum
menyambung kata.
“Aku
cabar kau. Kau jadikan mamat nerd tu sebagai bf kau. Tak lama. Just for
three months. Kalau kau sukses, aku sanggup jadi balaci kau selama satu bulan.
Amacam? Ada berani?”
Cabaran dari Sofiya buat aku berfikir panjang. Goda
mamat nerd tu jadi boyfriend aku?
Tiga bulan? Gila! Seharipun aku tak sanggup. Aku memang seteru benar dengan
manusia-manusia yang tidak pandai berfesyen up-to-date. Nak jadikan mamat
berfesyen kuno tu pakwe aku? Lagilah aku tak sanggup. Eee pleaselah!
Tetapi bila difikirkan balik. Its quite challenging. Yalah selama ni aku hanya menggoda dan
menjadikan lelaki normal sebagai teman lelaki. Langsung tak ada dalam senarai
lelaki nerd ala-ala budak terencat tu dalam senarai aku. Hmm… Interesting!
“Menarik.
Aku suka cabaran kau ni,” ujarku sambil mengerling sekilas ke arah lelaki nerd
yang masih curi-curi memandangku. Sah! Mamat tu memang syok dekat aku. Ini
sudah bagus. Mungkin tak sampai tiga bulan, aku dah berjaya jadikan dia bf aku. Kacang!
“So? Deal or no deal?”
Sofiya menghulurkan tangan sambil jungkit kening. Mungkin dia dah tak sabar nak
tengok aku ‘bercinta’ dengan mamat nerd tu.
“Kau
kena pegang dengan janji kau. Selama sebulan kau kena jadi balaci aku. Apa aku
suruh, wajib kau tunaikan. Okey?” Tanpa ragu aku menyambut huluran tangan
Sofiya. Cabarannya aku terima dengan hati yang terbuka. Alah, setakat mamat
nerd tu apalah sangat. Tapi… aku memang tak boleh tengok lelaki yang berpakaian
zaman kuno ni. Nanti bila dia dah jadi bf
aku, konfem aku akan make over dia. Barulah sesuai berdiri di
samping Intan Suriyana binti Datuk Razlan.
Aku tersenyum seorang diri. Tak lama lagi, aku akan
pancing mamat tu cukup-cukup. Tunggulah!
********
Keluar saja dari mini cooper kesayanganku, aku terus
melangkah masuk ke dalam rumah. Fikiranku masih tertumpu pada mamat nerd yang
aku nampak di kafe tadi. Lelaki nerd yang bakal menjadi bf aku someday! Hisy!
Rasa menyesal pulak terima cabaran si Fiya. Yalah, bila difikirkan balik, bila
aku dan mamat tanpa nama tu dah couple,
tak ke kawan-kawan aku yang lain akan mengumpat dan menghina aku. Macam dah tak
ada lelaki lain nak dijadikan boyfriend.
Lagi satu, kalau mama tahu aku couple
dengan lelaki tak stylo, mama pasti akan membebel panjang nanti. Hesy!
Tubuh yang sudah kepenatan kuhenyakkan ke katil. Tak
pasal-pasal fikiran aku kusut hari ni. Ini semua gara-gara mamat nerd tulah.
Eee! Belum apa-apa lagi dah serabutkan kepala otak aku. Dahlah aku tak tahu
siapa nama dia. Entah dari mana asal usul dia. Entah-entah orang miskin, adik
beradik ramai kat kampung. Mak ayah dia pulak dah tua. Kalau aku jadi gf dia, mesti dia akan ajak aku balik
kampung dia dan kenalkan aku dengan keluarga dia tu. Eee! Tak kuasa aku nak
melayan.Hisy! Kenapa jauh sangat aku berangan ni. Belum apa-apa lagi aku dah
fikir ke situ.
‘Yana,
kau kena cari jalan untuk pikat mamat nerd tu. Kalau kau gagal jadikan mamat
nerd tu kekasih kau, kau juga akan gagal merampas Jimmy dari Fiya. Inilah
peluang terbaik untuk kau rampas Jimmy dari Fiya, Yana!’ Suara hatiku berbisik
cuba meyakinkan.
Rasa bersalah tak semena muncul dari hati. Aku
bukanlah spesies perempuan perampas. Apalagi perampas boyfriend bestfriend aku sendiri. Aku tak macam tu. Tapi, bila
mengenangkan perasaan sayang aku pada Jimmy makin hari makin bercambah, aku tak
kisah lagi. Lagipun adatlah. Selagi Fiya dan Jimmy tiada ikatan yang sah, Jimmy
berhak memilih perempuan yang lebih dia cinta.
Jimmy. Lelaki kacukan Melayu-Belanda. Sangat kacak.
Sehinggakan aku hari-hari tergila-gilakan dia. Tapi sayangnya dia lebih memilih
Sofiya. Tapi tanpa Sofiya sedar, aku sebenarnya dah pasang perangkap.
Memerangkap Jimmy jatuh dalam genggaman aku. Tanpa segan silu, pernah dua tiga
kali aku ajak Jimmy keluar tanpa pengetahuan Sofiya. Yang anehnya, Jimmy seakan
suka bila keluar dengan aku. Sah, mamat tu pun ada perasaan dengan aku. So, sorrylah Fiya. Bertepuk sebelah
tangan takkan berbunyi!
Esok aku harus kemukakan syarat baru pada Sofiya.
Syarat yang membolehkan aku berpacaran dengan Jimmy. Andai Sofiya tak terima
syarat aku ni, aku juga takkan teruskan cabaran memikat mamat nerd tu. Full stop!
Tapi masalahnya sekarang. Bagaimana untuk aku
memikat si lelaki nerd itu? Hmm…
********
“Good morning, ma, pa…” Dengan suara
lemau kusapa kedua-dua orang tuaku yang sedang enak menjamu selera di ruang
makan.
“Good morning sayang. Come, breakfast dulu.” Ajakan mama aku
jawab dengan gelengan kepala. Tapi aku tetap melabuhkan duduk ke kerusi
berhadapan dengan mama. Kutatap mee goreng yang terhidang di depan mata dengan
wajah monyok.
“Kenapa
muncung dah panjang sedepa tu? Tak cukup duit nak shopping ke?” Pertanyaan papa turut aku jawab dengan gelengan. Ini
semua gara-gara mamat nerd tu. Semalaman suntuk aku berfikir bagaimana cara nak
pikat dia. Hesy! Geram!
“Sayang…
Why? Ada masalah ke?” Mama bangkit
dari kerusi lalu mendapatkan aku. Dia berdiri di sebelah aku sambil tangannya
mengusap lembut rambutku yang panjang melepasi paras bahu.
Papa turut melipat surat khabar Harian Metro yang
dibacanya. Dia turut memberi fokus kepadaku. Aku rasa sangat bahagia. Walaupun
papa dan mama sibuk dengan kerja masing-masing, perhatian mereka kepadaku tidak
pernah berkurang.
“Yana
dah suka kat seorang lelaki,” ujarku setelah berjeda lama. Mama dan papa saling
berpandangan sebelum melontarkan pandangan mereka ke arahku.
“So? Apa masalahnya?” Papa bertanya.
“Masalahnya
mamat tu pemalu. Yana tak tahu nak mulakan perkenalan dengan lelaki yang pemalu
macam dia. Biasanya lelaki yang Yana kenal semua ramah-tamah. Ini tidak. Lelaki
tu pemalu sangat-sangat. Hmm…” Apa lagi yang mampu aku lakukan selain berterus
terang. Tapi tidak seratus peratus. Lelaki tu bukan setakat pemalu. Tapi
seorang lelaki nerd, entah dari mana asal usulnya, tak suka bergaul dengan
orang, fesyen yang entah apa-apa dan banyak lagi. Ah! Benci aku bila
teringatkan dia.
Aku pandang mama dan papa. Mereka seakan-akan
berfikir untuk membantu aku menyelesaikan masalahku. Macam nilah aku. Kalau di
luar aku adalah Yana yang sangat daring,
berani melontarkan pendapat, mampu menyelesaikan masalah kawan-kawan, tidak
suka menunjukkan kasih sayang pada orang lain selain bff aku, si Fiya tu.
Tapi kalau di rumah, aku adalah Yana yang manja,
yang sentiasa ingin dibelai dan diberi perhatian oleh mama papa, yang tidak
mampu menyelesaikan masalah sendiri dan kadang-kadang berperangai macam
budak-budak.
“Hah!
Papa tahu!” Suara kuat papa mengejutkan aku dari lamunan. Berkelip-kelip mataku
memandang papa. Papa tahu apa ni?
Papa tersenyum ke arahku. Dia juga senyum pada mama.
“Kalau
nak pikat lelaki pemalu ni, perempuan tu pun kenalah jadi pemalu. Bukan
bermakna perempuan tu berlakon. But, what
you give, you get back. Kalau Yana hulurkan salam perkenalan dengan dia
dengan cara yang lemah lembut, insya-Allah lelaki tu juga pasti akan terima
kehadiran Yana dengan hati yang terbuka. Amacam?
Brilliant tak idea papa?” Papa
tersenyum mendabik dada. Mama pula terangguk-angguk menyetujui idea papa yang bernaslah
sangat tu.
Aku hanya termenung panjang. What you give, you get back? Hmm… Tapi macam mana aku nak mula
memikat dia? Ah! Kusut-kusut!
*******
“Ada
apa kau nak jumpa aku? Urgent sangat
ke? Hesy, kau nikan. Aku sampai tak sempat nak sarapan tadi. Sandwich kau ke
ni? Aku ambil eh.” Tanpa aku sempat
angguk atau geleng, Sofiya terlebih dulu mengambil sandwich di atas meja lalu
menyumbat masuk ke dalam mulutnya. Dia tersengih-sengih. Aku hanya mencebik
marah. Ugh! Dahlah aku beratur panjang nak dapatkan sandwich tu. Apa punya
kawan daa.
“Oit!
Kau berangan ke mengelamun? Cakaplah apa yang kau nak cakap. Lepas ni aku ada
kelas pulak. Kelas Cik Jijah diva tu.” Dengan mulutnya yang penuh dengan
sandwich, Sofiya berkata-kata.
Aku tarik nafas dalam. Okey, aku dah bersedia. Aku
harap sangat Sofiya tak salah faham dengan aku.
“Macam
ni, Fiya.” Tak sempat aku meneruskan kata, Sofiya terlebih dulu memotong
percakapanku.
“Chopp,beb!
Aku sebenarnya pun ada sesuatu nak beritahu kau. Pasal cabaran aku semalam
tukan, aku sebenarnya nak tambah satu lagi syarat.” Aku jungkit kening. Syarat?
Hesy, dia pun nak letak syarat jugak ke? Aku ingat aku sorang aje yang nak
letak syarat baru.
“Apa
syarat kau?” Aku bertanya dengan wajah serius.
“Untuk lebih mencabar lagi, aku nak kau
pikat dia dalam masa tiga bulan dan selepas tu aku nak kau putus dengan dia
depan semua student. Dan aku nak kau
kenakan dia dan lukakan hati dia kaw-kaw
punya. Ada berani?” Suara bersemangat Sofiya melemparkan syarat-syarat tak
berhati perutnya itu buat aku tergamam. Putus depan student lain? Lukakan hati dia? Gila ke apa. Kejamnya!
“Tapi…”
“Ala
janganlah tapi-tapi. Lagipun bukan kau tak biasa mainkan perasaan lelaki ni.
Setakat mamat nerd macam tu apalah sangat.”
Sungguh aku tak sangka ayat-ayat kejam itu mampu
keluar dari mulut Sofiya. Memanglah aku ni playgirl.
Tapi tak pernah pula aku hina mana-mana manusia selama hayat aku. Apalagi nak
hina seorang lelaki tak berdaya macam mamat nerd tu. Argh! Apa aku nak buat ni.
Takkanlah aku nak cancel cabaran Fiya
ni. Jatuhlah standard aku.
“Erm…
kalau kau letak syarat, akupun nak letak syarat jugak. Boleh?” Sofiya angguk
kepala. Hati-hatiku jadi berdebar-debar untuk melafazkan syarat yang aku
fikirkan semalam itu.
“Syarat
aku senang aje. Aku nak, kalau aku berjaya penuhi syarat-syarat kau tadi, aku
nak kau lepaskan Jimmy.” Mata Sofiya terus membutang. Mungkin dia terkejut
dengan syarat yang aku letakkan. Melampau sangat ke aku ni?
“Maksud
kau apa, Yana?” Ada nada tak puas hati pada suara Sofiya. Sandwich di tangannya
mula dihempas kuat ke meja.
Aku menelan liur sebelum menjawab soalannya. “Aku nak kau putus dengan Jimmy. Serahkan
Jimmy pada aku. Aku nak jadikan dia sebagai bf
aku. Aku… aku…” Kepala kutundukkan ke lantai. Langsung tak mampu pandang
muka Sofiya lagi. Andai gara-gara perkara ini Sofiya ingin putus kawan dengan
aku bagaimana? Ah! Takkan aku sanggup korbankan persahabatan yang sudah lama
terjalin antara kami hanya kerana seorang lelaki? Tapi, terlajak kereta boleh reverse, terlajak kata aku pulak yang nerveous!
“Ambillah.
Aku bagi free aje dia tu kat kau.”
Kata-kata Sofiya buat aku tercengang. Bulat mataku memandangnya. Benarkah apa
yang aku dengar tadi?
“Maksud
kau apa, Fiya?”
“Maksud
aku, aku akan putus dengan Jimmy bila kau berjaya putus dengan mamat nerd tu.
Lagipun, aku dah ada bf baru.” Gulp!
Takku sangka, Sofiya yang aku rasa seorang wanita yang setia rupa-rupanya
bermain kayu tiga.
“Siapa?
Lelaki mana pulak kali ni?” tanyaku padanya. Sofiya tersengih penuh makna.
“Adalah.
Nanti aku cerita kat kau. Yang penting
sekarang, kau terima ke tak syarat aku tadi? Atau kau dah ubah fikiran? Hmm?”
Dengan selamba Sofiya berkata-kata.
Aku sedikit tak puas hati apabila Sofiya seakan-akan
ingin berahsia dengan aku. Tapi, alang-alang dia dah beri lampu hijau, aku takkan
lepaskan peluang ni. Aku sayangkan Jimmy. Kalau dengan patahkan hati mamat nerd
tu aku mampu dapatkan Jimmy, aku sanggup. Lagipun, Intan Suriyana memang
seorang pematah hati lelaki!
“Aku
setuju!” jawabku pada Sofiya penuh yakin. Kami saling berjabat tangan tanda
persetujuan telah termetrai.
************
“Ya
Allah lambatnya mamat ni keluar. Buat apa entah kat dalam gua buku tu. Bosanlah
macam ni. Hesy!” Aku membebel seorang diri. Dah lenguh kepalaku terjengah-jengah
memandang pintu perpustakaan. Orang yang aku nantikan tak juga kunjung tiba.
Masalah aku akhirnya sudah selesai. Tuhan
menghadiahkan aku idea yang bernas. Lebih bernas dari idea papa. Semua ni
berkat bantuan dari Sofiya. Menurut Sofiya, untuk memikat lelaki nerd macam
mamat nerd tanpa nama tu, aku haruslah tahu tempat kegemaran mamat tu lepak.
Budak nerd selalunya ulat buku. Bila dah nama ulat buku, mesti dia suka baca
buku di perpustakaan. Sebab itulah aku berada di sini detik ini!
Akan aku kejar dia sampai dapat. Kalau dia lari guna
kaki, aku guna basikal untuk kejar dia. Kalau dia guna motosikal, aku guna
kereta. Kalau dia guna kapal terbang, aku guna jet pejuang! Aku takkan
menyerah! Cabaran telahku sahut. Maka, sewajarnya aku melaksanakan misi dengan
sebaik mungkin. Ganjarannya adalah Jimmy. Oh, Jimmy! Te amor!
Setelah hampir setengah jam menunggu, akhirnya
kelibat mamat nerd tu muncul juga. Dari kejauhan, aku nampak dia sedang
berjalan keluar dari perpustakaan dengan wajah yang tertunduk. Dengan penuh
bersemangat, kucapai semua buku dan failku lalu melangkah terburu-buru ke
arahnya.
Gedeganggg!
Aku dan dia ‘ter-accident’. Habis jatuh buku-buku dan fail-failku ke lantai.
Aku langsung tidak menghiraukan buku-buku itu sebaliknya aku sibuk memicit
kepalaku. Ala-ala orang tengah sakit kepala dah gayanya.
“Sorry-sorry. Saya tak sengaja. Aduh,
peningnya kepala saya.” Aku bercakap seorang diri sambil masih picit kepala. Sesekali
mataku melirik ke arah mamat nerd tanpa nama itu. Dia langsung tak angkat muka.
Sebaliknya dia sibuk membantuku mengutip semula buku dan fail.
Aku mengambil kesempatan dan peluang keemasan ini
untuk meneliti wajahnya dengan lebih dekat. Di sebaliknya kaca mata berbingkai
tebal itu rupa-rupanya tersembunyi sepasang anak mata hazel yang sangat cantik
dan bersinar. Hmm… Aku memang suka lelaki bermata hazel ni. Mengancam!
Tanpa kata, dia menghulurkan aku buku-buku dan
fail-failku. Aku tercengang nak menyambutnya. Takkan sampai setakat ni aje
pertemuan aku dengan dia. Bukan main lagi aku berlakon pening ni. Hesy! Tak
boleh jadi ni. Aku harus ambil kesempatan ke atas dia. Kalau tak, mamat ni
mesti akan lari macam tu aje!
“Aduh,
sakitnya kepala saya,wak. Boleh tak awak temankan saya pergi kafe? Saya nak
beli air mineral. Nak makan ubat. Kalau lambat makan ubat, saya takut saya
pengsan pulak nanti. Aduh, peningnya…” Dengan suara cukup lemah lemau, aku
berkata-kata. Aku harap sangat dia termakan dengan lakonan aku ni. Harap-harap
dia sudi nak tolong.
Lama mamat nerd tu berjeda. Dan bila dia terlalu
lama berfikir, lambat-lambat aku bangun. Mamat nerd hati kering! Ugh! Tak
kesian langsung kat awek cun ni. Eee! Aku pura-pura berdiri lalu
terhuyung-hayang menstabilkan kedudukanku.
“Jom
kita pergi kafe.” Itulah ayat pertama yang aku dengar dari mulut dia. Suaranya yang
garau kurasakan cukup macho. Ala-ala suara hero drama Saiful Nita gitu.
Dengan wajah yang masih pening-pening, aku angguk
kepala tanda setuju. Lengannya masihku pegang kemas. Cuba bergantung kepadanya.
Dapat aku rasa lengannya kuat dan berotot. Erk… Tak ku sangka di sebalik baju kemeja
lengan panjang kotak-kotak zaman kuno ini, tersembunyi otot-otot lengan yang tough. Entah-entah mamat ni ada six packs. Fuyoo!
Beberapa minit berjalan, akhirnya kami berdua tiba
di kafe. Sepanjang perjalanan tadi, si mamat nerd tu hanya diam tanpa kata. Aku
pun diam sama. Aku diam bukan sebab aku tak ada apa nak cakap. Tapi aku tengah
fikir macam mana aku nak pancing perbualan dengan dia nanti. Patutkah aku
kenalkan diri aku kepadanya terlebih dahulu? Entah-entah dia dah kenal dengan
aku. Yalah aku pun boleh tahan popular juga di kolej ni. Bolehlah masuk Top 10
perempuan paling popular di kolej ni. Sah-sah dia kenal aku siapa. Kan?
Tanpa sepatah kata tiba-tiba saja lelaki nerd itu
tinggalkan aku. Erk… Aku terkedu memerhatikan dia pergi macam tu aje. Untuk
memanggil namanya aku tak mampu. Yalah aku mana tahu nama dia apa. Argh!
Menyesal tak tanya tadi.
Dua minit kemudian, di saat aku melayan jiwa kerana
ditinggalkan oleh si pemilik anak mata hazel itu, aku disapa oleh satu suara
garau yang macho. Aku pantas mendongak ke atas. Anak mata kami bertembung.
“Nah.
Air…” Hulurannya kusambut perlahan. Aku menghadiahkan ucapan terima kasihku
kepadanya sekali dengan senyuman manis. Tak sangka, dia kembali lagi. Ya Allah…
ini sudah petanda baik.
Aku cuba buka penutup botol air mineral sambil
mataku tidak lari dari memandangnya. Tapi apabila ia terlalu sukar untuk aku
buka, aku mula naik geram. Penutup botol itu kuhantuk-hantuk ke meja. Dan
akhirnya, ada tangan yang mengambilnya dari peganganku. Selamat botol air tu
dari dikerjakan olehku.
Mamat nerd tanpa nama itu membuka penutup botol
dengan cukup bersahaja. Kuatnya tangan dia.
“Terima
kasih awak,” ujarku setelah meneguk air mineral itu perlahan. Aku rasa aku
cukup bersopan hari ini. Pandai betul kau berlakon, Yana. Good job!
Dan mungkin inilah saatnya aku perlu perkenalkan
diriku padanya. Sebelum dia cabut lari, lebih baik aku say halo.
“Erm,
saya Yana. Intan Suriyana binti Datuk Razlan. But you can just call me Yana. Awak?” Aku hulurkan tangan.
Terketar-ketar dia nak sambut huluran persahabatan dari aku. Makinlah aku galak
untuk menyakatnya. Sengajaku tersenyum menggoda kepadanya.
Lama dia diam sebelum menjawab pertanyaanku.
“Err…
Emir.” Jawab lelaki itu malu-malu. Jabat tanganku langsung tidak disahutnya.
Oh, haram!
“Oo…
Emir. Memang nama penuh awak Emir aje ek?” Aku pandang dia sambil menguntum
senyuman. Hoi, Emir. Tengoklah muka aku ni. Yang kau duk tengok lantai tu buat
apa. Kusembunyikan cebikan geramku padanya.
“Ku
Emir Affan bin Ku Amir.” Jawab Emir akhirnya dengan tenang dan mula mengangkat
mukanya memandangku.
Aku telan
liur. Gulp! Ku? Itu bermakna mamat ni berketurunan dirajalah ek. Entah-entah
orang kaya ni.
“Terima
kasih Emir sebab sudi tolong Yana tadi. Kalau Emir tak ada, mungkin Yana dah
pengsan kat depan library tadi.”
Tanpa malu-malu aku ingin pegang tangan dia. Namun, sepantas kilat dia
melarikan tangannya ke belakang. Aku jadi malu sendiri.
“Sorry-sorry. Maaf kalau Yana buat Emir
kurang selesa.” Aku cuba cover malu.
Suasana mula sunyi. Aku tak bercakap, dia apatah lagi. Membisu terus. Sepatah
aku tanya, sepatah dia jawab.
“Erm,
Emir ambil course apa?” tanyaku cuba memecahkan
kebuntuan.
“Technician. Suri?” Malu-malu dia
bertanya. Erk… Suri? Siapa Suri tu? Aku ke?
“Suri
ambil business.” Aku layan. Kalau dia
nak panggil aku Suri, panggil aje. Aku tak kisah. Janji dia sudi bercakap dengan
aku. Tapi panggilan Suri tu macam perempuan Melayu terakhir aje. Hesy!
“Sebagai
tanda terima kasih Suri pada Emir, boleh tak kalau Emir keluar makan dengan
Suri? Suri belanja. Anggaplah ini juga tanda persahabatan antara kita.” Lama
aku menatap wajah Emir. Anak mata hazelnya menjadi santapan mataku.
Emir bagaikan berfikir sejenak. Digaru-garu rambut
tempurung kelapanya. Eee! Walaupun aku seteru dengan fesyen dia, aku tahan
jugak. Karang kalau aku ‘tembak’ dia cepat-cepat, mahu dia terasa hati dan tak
nak berkawan dengan aku lagi. Jadi, lebih baik aku layan aje. Nanti bila dia
dah jadi bf aku, siaplah dia aku
kerjakan.
Setelah diam agak lama, akhirnya Emir tersenyum nipis.
Aku terkedu melihat senyumannya. Senyuman yang aku rasa cukup ikhlas dan penuh
kasih sayang. Erk! Apa maksud di sebalik senyumannya yang menarik itu? Alahai
Yana. Kau sedar tak dah berkarung guni kau puji dia hari ni. Yana, Yana…
No comments:
Post a Comment