DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 24 May 2016

Demi Bahagia Ini - Bab 11

“ENCIK, saya… saya… saya tak boleh…” Terketarketar
Qistina bersuara. Takut benar dia dengan Ian Iskandar.
Tidak pernah dia melihat Ian Iskandar marah sebegitu.
“Qistina, saya perlukan penjelasan!” Suara Ian
Iskandar masih tegang tetapi sudah sedikit mengendur melihat
ketakutan Qistina.
“Saya dah tak nak dengar awak cakap yang awak tak
suka cakap hal-hal peribadi atau hal peribadi awak takde kenamengena
dengan kerja awak. Saya tak nak dengar tu semua…
Saya nak awak berterus terang dengan saya je… jangan anggap
saya sebagai majikan awak tapi anggaplah saya sebagai seorang
lelaki yang ingin mengahwini awak…”
Mata Qistina berkaca. Kata-kata Ian Iskandar bagai
meretakkan tembok yang dibina selama ini. Dia buntu. Buntu
sangat! Dengan perlahan dia mula berkata.
“Tadi tu, kawan saya… satu universiti dengan saya.
Saya ada degree in accounting dari LSE.” Qistina terdiam. Tidak
tahu mengapa dia mulakan dengan cerita itu.
“Lima tahun saya tinggal kat London ni, sejak A-levels
lagi, kemudian sambung buat degree.” Suara Qistina mendatar.
Tiada berperasaan. Ian Iskandar hanya diam. Tidak mahu
mengganggu tumpuan Qistina.
“Tak sampai sebulan saya balik KL, saya datang ke sini
balik. Tapi kali ini sebagai peneman ibu encik.”
“Apa nama penuh awak, Qistina?” Ian Iskandar baru
tersedar dia tidak tahu nama penuh Qistina.
Dalam kontrak, Qistina hanya menandatangani
namanya sebagai Qistina. Nama penuhnya juga tidak diisi secara
penuh. Kerana terdesak mahukan Qistina menjadi peneman
ibunya, dia tidak menghiraukan tentang perkara yang dianggap
remeh itu. Lagipun, kontrak itu hanya untuk setahun. Tiket
dan pasport Qistina juga tidak pernah berada di tangannya.
Semuanya diselesaikan oleh setiausahanya.
“Sofiah Qistina,” sengaja Qistina tidak menyebut nama
papanya.
“Binti?” Ian Iskandar bertanya.
“Ali,” ringkas Qistina menjawab.
“Kenapa awak minta tawaran kerja tu, Qistina?”
Qistina terdiam. Rahsia yang dipegangnya selama ini
daripada pengetahuan Ian Iskandar, apakah bakal berkubur hari
ini?
“Sofiah Qistina!” Kali pertama Ian Iskandar memanggil
nama penuh Qistina. Dia sedang cuba sedaya upaya untuk
bersabar dengan Qistina. Qistina menoleh ke arah Ian Iskandar.
“Encik, boleh tak kalau saya tak nak jawab soalan encik
tu?” Qistina separuh merayu. Terkedu juga dia mendengar Ian
Iskandar memanggil nama penuhnya. Ada suatu perasaan halus
yang menerpa.
Ian Iskandar melihat kesayuan pada wajah gadis
idamannya itu. Matanya memancar cahaya kesedihan.
Dahinya berkerut seolah-olah menahan kepedihan yang amat
sangat. Ingin sahaja Ian Iskandar menarik gadis itu ke dalam
pelukannya. Apa sahaja agar kesayuan dan kesedihan itu dapat
hilang dari wajah gadis kesayangan.
“Saya perlu tahu, Qistina… please!” Ian Iskandar cuba
berlembut. Qistina melarikan pandangannya. Lama dia diam
membisu. Ian Iskandar masih menanti.
“Saya perlukan sebab untuk meninggalkan Malaysia...
Saya perlu pergi jauh... Jadi tawaran pekerjaan encik datang
bergolek… saya terus saja mohon dan saya bersyukur sangat
encik pilih saya…” Perlahan suara Qistina seolah-olah berbisik.
“Syukur sangat-sangat…”
“Awak lari daripada siapa, Qistina? Siapa yang buat
awak jadi macam ni?”
Qistina tunduk.
“Papa saya…” Air mata Qistina mula mengalir dan
menitik ke atas telapak tangannya.
“Apa yang papa awak buat, Qistina?” Desak Ian Iskandar.
Ingin sahaja Ian Iskandar menyeka air mata yang
mengalir jatuh ke pipi mulus gadis itu. Ah, seandainya gadis
itu miliknya, pasti dia akan memeluk dan membiarkan Qistina
menangis di dalam dakapannya… dan tentulah dia akan cuba
memujuk dan terus memujuk dengan sentuhan dan belaian
mesra…
“Dia… dia halau saya dari rumah, encik… Dia dah tak
mengaku saya anak dia…” Jawab Qistina dalam tangis.
Ian Iskandar terkedu. Dia tidak menyangka inilah
derita yang ditanggung Qistina selama ini. Inilah rahsia
yang disimpan selama ini. Padanlah Qistina langsung tidak
memberitahu kedua orang tuanya tentang dirinya yang kini
berada di kota London.
“Kenapa, Qistina?”
Qistina menyeka air matanya dan memandang Ian
Iskandar. Matanya merayu.
“Encik, boleh tak hantar saya balik? Saya tak nak
terlepas solat maghrib… Please, encik…” Qistina sekadar
memberi alasan. Dia tahu sekiranya dia menceritakan hal
keluarganya kepada Ian Iskandar, dia mungkin tidak dapat
mengawal tangisannya.
Mata Ian Iskandar masih menjamah wajah Qistina
dan pipi gadis itu yang dibasahi air mata. Terlalu berat agaknya
untuk gadis itu meluahkan segala yang terpendam. Ian Iskandar
tidak sampai hati untuk memaksa dan berterusan mendesak
Qistina, walaupun hatinya memberontak ingin tahu.
“Qistina, saya akan hantar awak balik. Tapi kita mesti
selesaikan semua ni. Lepas solat nanti, saya nak kita sambung
balik perbincangan kita. Awak tak boleh lari daripada saya
Qistina. Saya perlukan semua jawapan daripada awak…”
Qistina hanya diam. Menolak pun tidak, mengiakan
pun tidak. Akhirnya, Ian Iskandar memecut laju.
Sampai di rumah, Ian Iskandar terus naik dan masuk
ke dalam biliknya. Qistina melangkah longlai menuju ke bilik
Puan Mariam. Dia mengetuk perlahan dan membuka pintu.
Puan Mariam masih belum tidur dan sedang menonton berita
di televisyen.
Terkejut Puan Mariam melihat kelibat Qistina di muka
pintu dengan wajah yang sugul serta suram. Ada kesan air mata
di matanya. Puan Mariam menekan punat pada alat kawalan
jauh dan televisyen dimatikan.
“Qistina? Kenapa ni, dear?” Risau dia melihat Qistina
di dalam keadaan begitu.
“Madam. Boleh saya masuk sekejap?” Qistina hanya
mahu menatap wajah Puan Mariam sebagai ganti wajah
Mak Esah yang amat dirinduinya. Puan Mariam seolah-olah
menyayanginya seperti Mak Esah. Dia perlukan sentuhan dan
belaian seorang ibu saat ini.
“Sudah tentu, dear!” Puan Mariam sedikit cuak. Dia
tahu Qistina keluar makan malam bersama anaknya. Apa yang
telah Ian Iskandar lakukan sehingga gadis ini kelihatan begitu
sedih? Sehingga menangis?
Qistina menghampiri katil dan duduk di tepi Puan
Mariam.
“Madam, saya saja nak tengok madam okey ke tak
malam ni…” Qistina beralasan.
“Kenapa ni, love? Ian ada kata apa-apa yang
menyakitkan hati Qistina ke?” Puan Mariam mengusap lembut
pipi Qistina.
Qistina terdiam. Belaian Puan Mariam membuat dia
rasa disayangi.
“Takde apa-apa madam. Saya cuma rindukan penjaga
saya kat Malaysia tu. Jadi bila saya rindukan dia, saya pandang
wajah madam, terubat rindu di hati saya…”
Puan Mariam terharu mendengar kata-kata Qistina.
“Qistina, saya tahu ada sesuatu yang tak kena. Beritahu
saya!”
“Madam, boleh tak saya peluk madam?” Perlahan
Qistina meminta. Hanya satu pelukan untuk menenangkan
hatinya ketika ini.
Puan Mariam mendepangkan tangannya. Tanpa
berlengah lagi, Qistina merapatkan tubuhnya dan memeluk
Puan Mariam. Dia memejamkan matanya. Dalam ingatannya,
dia sedang memeluk Puan Mariam, Mak Esah dan juga Puan
Sri Ani Suraya sekali gus. Ketiga-tiga wanita yang amat-amat
disayanginya.
Dengan perlahan, Qistina meleraikan pelukannya.
Terasa sedikit lega di hati.
“Terima kasih, madam. Saya naik dulu. Tak maghrib
lagi. Madam dah solat?”
Puan Mariam mengangguk. Hatinya masih tertanyatanya
mengapa Qistina berkelakuan sedikit pelik malam ini.
“Qistina, kadang-kadang tak elok kita simpan sesuatu
rahsia tu terlalu lama dalam hati kita. Ia tak bagus untuk jiwa
kita. Luahkan, Qistina. You’ll feel much better.”
Qistina tersenyum tawar. Apakah Ian Iskandar boleh
menerima dirinya seadanya sekiranya dia tahu apa yang Remy
pernah lakukan kepadanya? Apa jenis perempuan yang sanggup
mengikut lelaki ke tempat-tempat yang tidak elok sebegitu?
Memang dia sendiri yang telah menempa nasibnya.
Salah dia sendiri kerana telah membenarkan dirinya
masuk ke dalam tempat-tempat yang hina sebegitu. Salah dia
juga kerana telah menurut paksaan ibunya untuk memakai
baju seksi. Gaun pendek sampai ke paras lutut, tanpa lengan
dan yang melekap ketat di tubuhnya, seolah-olah ingin
menggoda Remy. Dia yang menyebabkan Remy bertindak ganas
terhadapnya malam itu. Dia yang menimbulkan nafsu lelaki
Remy terhadapnya. Dia yang bersalah.
Mungkin, elok juga sekiranya Ian Iskandar tahu siapa
dirinya yang sebenar. Dengan itu, Ian Iskandar tidak lagi ingin
mendekatinya atau mengahwini dirinya. Biarlah Ian Iskandar
menolak dirinya sekarang daripada menolaknya di kemudian
hari, di saat Qistina telah menyerahkan hatinya kepada lelaki
itu.
“Madam, saya naik dulu. Terima kasih untuk
segalanya…” Qistina meminta diri dan naik ke atas menuju
biliknya.
Berat hati Puan Mariam melepaskan gadis itu pergi
begitu sahaja. Gadis yang masih muda begitu, terlalu sarat
menanggung duka. Amat jelas betapa gadis itu dahagakan
kasih dan sayang. Qistina seorang yang sangat pemurah dalam
memberikan kasih sayangnya kepada Puan Mariam. Qistina
juga perlu disayangi. Dibelai dan dimanja.
‘Mengapalah Ian terlalu lambat mengambil tindakan?’
Marah Puan Mariam kepada anaknya.
Qistina menadah tangan meminta petunjuk daripada
Ilahi. Dia masih berteleku di atas sejadahnya.
‘Ya Allah. Berikanlah kekuatan kepada hambu-
Mu ini, Ya Allah… berikanlah kekuatan untuk menempuh
segala cabaran dan dugaan yang Kau kurniakan kepadaku…
Sesungguhnya aku ini hanya hamba-Mu yang lemah…”
Qistina menunggu masuknya waktu isyak. Seusai
solat isyak, Qistina berlegar-legar di dalam bilik tidurnya. Dia
tahu Ian Iskandar ingin sambung berbicara dengannya, tetapi
di mana? Malam sudah semakin lewat. Sudah pukul 10.30
malam sekarang. Sedang Qistina asyik dengan keluh kesahnya,
pintu biliknya diketuk perlahan. Walaupun perlahan, Qistina
merasakan ketukan itu bagai dipalu dengan menggunakan
tukul besi. Bahunya terangkat tanda terkejut.
Dia membuka pintu. Tanpa sepatah kata, Ian Iskandar
masuk ke dalam bilik Qistina dan terus duduk di atas sofa.
Qistina masih tercegat di muka pintu. Tangannya masih di
tombol pintu. Terpinga-pinga dia melihat Ian Iskandar duduk
di dalam biliknya.
‘Amboi, amboi… sesedap rasa je dia masuk dalam bilik
aku. Sungguh kurang sopan!’
“Habis tu, awak nak berdiri tercegat kat situ je?
Masuklah!” Ian Iskandar bersuara.
“Encik… errr… tak manis macam ni encik. Boleh tak
kalau kita bincang kat bawah je? Kat ruang tamu ke?” Qistina
masih belum berganjak dari tempat dirinya. Masih tercegat di
muka pintu.
“Tidak, Qistina. Saya tak nak mummy saya dengar
perbincangan kita ni. Awak jangan risau. Kat sini takde sesiapa
yang akan buat serbuan tangkap khalwat!”
Mencerlung mata Qistina memandang Ian Iskandar.
Geram! ‘Boleh pulak dia buat lawak macam ni!’
“Kalau kena tangkap pun, bagus jugak, kan? Boleh
terus kahwin!” Balas Ian Iskandar lagi dengan selamba.
Sengihannya nakal dan menggoda.
Ian Iskandar hilang kesabarannya apabila melihat
Qistina masih tidak berganjak. Dia bingkas bangun dari sofa.
Dia menghayun langkah mendekati Qistina, menutup pintu
bilik Qistina dan menarik Qistina menuju ke sofa. Qistina
terkejut dengan tindakan pantas daripada Ian Iskandar itu.
Tidak sempat Qistina mengelak.
Cengkaman Ian Iskandar di lengan Qistina begitu kuat
dan kemas. Qistina dipaksa duduk bersebelahan dengannya.
Qistina mengengsot sedikit untuk menjarakkan dirinya
daripada Ian Iskandar. Ian Iskandar melepaskan tangan gadis
itu perlahan-lahan.
“Encik, this is really not proper!” Qistina masih
membantah. Risau apa pula kata Puan Mariam atau Naseem
nanti sekiranya mereka mendapat tahu dirinya berdua-duaan
dengan Ian Iskandar begini.
“Awak jangan risau. Kalau saya tak boleh kawal diri
saya, dah lama saya terkam awak! Dari dulu lagi…” Ujar Ian
Iskandar bersama seukir senyuman nakal di bibir. Qistina
terkedu dengan kata-kata Ian Iskandar.
‘Berani dia cakap macam tu!’ Qistina boleh merasakan
pipinya semakin hangat.
“Kan senang kalau awak jadi isteri saya, Qistina.
Berdua-duaan macam ni dalam bilik pun takpe, kan? Nak buat
lebih dari duduk bersebelahan macam ni pun boleh… Awak pun
takdelah risau macam ni…”
Ian Iskandar sengaja mengusik. Walaupun selamba,
dia sebenarnya serius dalam pertuturannya. Gadis itu terlalu
menawan pada matanya. Dia begitu tertarik dengan Qistina dan
terlalu menginginkannya.
‘Memang kalau ikutkan hati, dah lama aku nak terkam
je dia ni. Tapi dia ni terlalu istimewa… terlalu berharga… Aku
mesti berhati-hati, takut-takut aku akan melukai perasaannya…’
Pipi gadis itu semakin merah. Ian Iskandar terpaksa
menggenggam tangannya agar dia tidak mengusap dan
membelai pipi itu, seperti yang mahu dilakukan ketika ini. Ian
Iskandar kembali serius. Qistina begitu kaget, begitu kaku.
“Qistina, awak takut dengan saya?”
Qistina memandang Ian Iskandar. Pandangan Ian
Iskandar menyeru agar dia bercakap benar.
“Saya rasa pernah sekali dua saya rasa takut dengan
encik. Kalau encik marah-marah, kadang-kadang saya rasa
takut. Tapi saya tahu encik takkan sakiti saya.” Berhati-hati
Qistina menuturkan kata.
Sakiti orang yang dicintainya? Tentu sekali tidak!
Dalam sekelip mata sahaja dia jatuh cinta kepada gadis itu.
“Memang saya tak akan sakiti awak, Qistina. Saya tak
akan sekali-kali sakiti awak…” Suara Ian Iskandar perlahan,
sangat romantis di telinga Qistina.
Qistina berasa pelik dengan perubahan ketara dalam
kelakuan Ian Iskandar. Qistina menggelengkan kepalanya
sekejap untuk menghilangkan fikiran yang tidak munasabah
ini. Ian Iskandar romantik? Huh! Sehingga ke hari ini, kalau
tidak bercakap dengan menyindir, mesti bercakap dengan nada
marah. Mana pernah mahu berlembut dengannya?
“Encik, encik nak apa sebenarnya ni? Saya penat. Saya
nak tidur…”
“Saya nak tahu apa yang papa awak buat kat awak,
hingga awak lari sampai ke London?”
Qistina tunduk seketika. Tidak tahu bagaimana hendak
bermula. Akhirnya, Qistina memandang Ian Iskandar semula.
“Kenapa? Kenapa encik nak tahu? Saya pernah berjanji
pada encik yang saya takkan biarkan masalah peribadi saya
mengganggu tugas saya, kan? Saya sentiasa ceria depan ibu
encik. Saya tak pernah tunjuk rasa sedih saya kepada ibu encik.
Pernah tak ibu encik mengadu tentang saya?”
Ian Iskandar terdiam.
“Tak pernah, kan? Jadi apa sebabnya saya kena ceritakan
kisah hidup saya, yang sangat-sangat peribadi kepada encik?”
Tenang Qistina bersuara. Dia masih cuba mempertahankan hak
peribadinya daripada dicungkil lelaki itu.
“Saya tahu encik ni majikan saya… tapi encik ada ke
tanya hal peribadi semua pekerja encik?”
“No, Qistina, cuma awak! Saya tak perlu tahu hal
peribadi pekerja saya yang lain, tapi saya perlu tahu pasal
awak…” Bentak Ian Iskandar. Itulah hakikatnya. Di depan
matanya pagi, petang, siang dan malam, hanyalah gadis itu.
Kadang-kadang dia tidur dengan nama gadis itu di bibirnya
sambil berdoa, gadis itu akan menjadi miliknya yang abadi.
“Kenapa cuma saya?” Suara Qistina melirih.
Sesungguhnya dia sudah penat. Penat dengan desakan demi
desakan daripada Ian Iskandar.
“Sebab saya nak kahwin dengan awak sorang je, Qistina.
Saya tak nak kahwin dengan mana-mana pekerja saya yang lain.
Jadi kenapa saya kena sibuk tanya hal peribadi orang lain? Saya
tak kisah hal orang lain. Pedulikan diaorang tu semua!” Suara
Ian Iskandar kembali lembut.
“Tapi saya tak kata saya nak kahwin dengan encik.
Terang-terang saya dah cakap tadi yang saya tak boleh kahwin
dengan encik, kan?”
Ian Iskandar mendengus perlahan. Dengan renungan
yang tajam, Ian Iskandar mendekatkan wajahnya ke wajah
Qistina lalu berkata lembut tetapi tegas.
“Awak akan jadi isteri saya, Qistina! Kalau tak hari ni,
esok dan kalau bukan esok, lusa. Masa je yang belum ditentukan
lagi tapi lebih baik awak terima aje kenyataan yang awak akan
jadi isteri saya!”
Qistina tergamam.
“Encik tak boleh paksa saya!” Terketar-ketar Qistina
menyatakan rasa tidak puas hatinya. Ian Iskandar begitu
tekad ketika menuturkan kata. Senyuman terukir di bibir Ian
Iskandar.
“Saya tahu saya tak boleh paksa awak, Qistina. Tapi
percayalah, awak akan jadi isteri saya!” Dengan yakin Ian
Iskandar berbicara.
Qistina terdiam. Dia seolah-olah terpukau dengan
panahan mata Ian Iskandar yang seakan dapat melihat hingga
ke dasar hatinya. Tarikan yang dirasakan begitu kuat. Bagaikan
magnet. Tidak pernah dia berperasaan begitu. Lama mereka
saling berpandangan. Jantung Qistina mula berdegup kencang.
Jantung Ian Iskandar berirama rentak yang sama. Dada Qistina
mula terasa sesak. Dada Ian Iskandar sudah lama dilanda badai.
“Qistina…”
‘Ya Allah... Apa yang mamat ni cuba buat ni? Suara
semakin romantik. Lepas tu dia pandang aku macam akulah
orang yang dia paling sayang…’
Qistina pantas melarikan pandangannya. Dia bangun.
“Encik, boleh tak encik keluar sekarang?” Dia perlu
berseorangan. Segala macam perasaan sedang menimpanya
ketika ini. Dia sendiri tidak mengerti. Yang dia tahu, dia perlu
melarikan diri daripada Ian Iskandar buat masa ini.
Ian Iskandar turut bangun. Dekat dia berdiri di sebelah
Qistina.
“Saya takkan putus asa, Qistina. Saya benarkan
awak lari daripada saya malam ini tapi saya tak akan berhenti
mengejar awak. Saya bagi awak rehat sekejap je malam ni sebab
saya nampak awak penat sangat. Saya takkan putus asa. Awak
akan jadi milik saya!” Tegas Ian Iskandar bersuara.
“Encik, saya tak pernah pun tanya apa-apa soalan
peribadi kepada encik. Saya betul-betul tak faham dengan encik
ni.” Qistina melepaskan ketidakpuasan hatinya.
“Siapa suruh tak tanya? Ada saya kata tak boleh tanya?
Tanyalah? Saya sudi menjawabnya…” Nada suara Ian Iskandar
seolah-olah mencabar Qistina. Ian Iskandar kembali duduk di
atas sofa. Tangan Qistina direntap perlahan agar kembali duduk
di sebelahnya.
“Saya ni akan jadi suami awak jugak, kan? Jadi...
tanyalah! Awak boleh tanya saya apa saja yang awak mahu.”
Terbit senyuman segaris di bibirnya.
‘Eeee… perasannya mamat ni? Siapa yang nak kahwin
dengan dia ni? Eh, betul ke aku tak nak? Nak ke tak nak?
Tapi macam mana dengan Remy?’ Qistina berperang dengan
perasaannya sendiri.
“Saya masih di sini, Qistina…” Ian Iskandar memujuk.
“Saya… saya… tak tahu nak tanya apa, sebenarnya.”
“Apa saja... Apa-apa saja...”
Qistina tidak mahu terperangkap dengan apa yang Ian
Iskandar cuba lakukan. Dia tahu Ian Iskandar hanya lakukan ini
agar Qistina menceritakan segala rahsia yang terpendam dalam
hatinya sebagai balasan.
“Saya tahu apa yang encik cuba lakukan!”
“Apa, Qistina?” Ian Iskandar menjungkitkan keningnya.
“Encik nak saya tanya soalan peribadi kepada encik
sebagai alasan encik mahu memaksa saya menceritakan hal
peribadi saya bukan? Itu maksud encik sebenarnya, kan?”
Ian Iskandar tersenyum.
“Pandai awak Qistina. Tak sia-sia saya pilih awak jadi
isteri saya!”
Qistina semakin tergoda dengan kata-kata dan riak
wajah Ian Iskandar. Dia semakin lemas dalam kebiruan mata
Ian Iskandar. Qistina menggigit bibirnya, tidak tahu bagaimana
lagi untuk membalas kata-kata Ian Iskandar.
Ian Iskandar tahu Qistina tidak akan mengalah malam
ini. Dan malam semakin lewat. Dia tidak seharusnya memaksa
gadis itu menurut sahaja arahannya walaupun itu mahunya.
Perasaan belas kepada gadis itu tiba-tiba menenggelamkan
niatnya untuk mencungkil rahsia gadis itu.
Walau apa pun sebenarnya yang cuba dia lindungi,
Ian Iskandar nekad untuk menerima gadis itu seadanya dan
cuba sedaya upaya untuk membalut segala kedukaan di hati
Qistina. Dia tidak mahu gadis itu bersedih lagi. Dia mahu gadis
itu menyandarkan segala masalah ke bahunya. Hebat betul
perasaan cinta yang telah menghuni sepelusuk hatinya untuk
gadis di hadapannya ini.
Ian Iskandar mengeluh kecil melihatkan Qistina diam
membisu.
“Baiklah Qistina, we’ll have it your way. Pergilah tidur.
Jumpa esok ya.” Ian Iskandar bangun dan merenung gadis itu
sejenak sebelum beredar dari bilik Qistina.
Qistina melepaskan nafas dalam-dalam. Lega lelaki itu
telah meninggalkannya. Dia tidak tahu apa akan terjadi dengan
perasaannya yang sudah lama berkocak sekiranya Ian Iskandar
berlama duduk di sebelahnya. Mungkin dia akan terus bersetuju
dengan lamaran Ian Iskandar tanpa berfikir panjang lagi. Itu
yang paling ditakutinya. Dia tidak layak untuk Ian Iskandar,
walaupun dia sudah merasai suatu perasaan halus terhadap
lelaki itu.
Qistina mencapai Blackberrynya dan pantas menaip
e-mel yang panjang lebar kepada Timah. Hanya Timah
tempatnya mengadu…
Ian Iskandar bersandar di sebalik pintu bilik Qistina
dan melepaskan nafasnya perlahan-lahan. Dadanya yang masih
berdebar-debar ditekap dengan tangannya. Di hadapan Qistina,
dia pandai menyembunyikan pergolakan perasaannya agar
nampak bersahaja sahaja. Walhal pada hakikatnya, gadis itu
memang telah memporak-perandakan perasaannya, nalurinya,
hatinya… segalanya.
Ian Iskandar turun ke bawah. Ingin mendapatkan
pendapat ibunya. Syukur ibunya masih belum tidur. Dia duduk
di atas birai katil ibunya dan termenung jauh.
“What’s wrong, dear?” Puan Mariam terpaksa
mengulangi pertanyaannya dua kali lagi sebelum Ian Iskandar
mendengar suara ibunya.
“I’ve fallen in love, mummy! Pertama kali dalam hidup
ni, Ian jatuh cinta... tapi perempuan tu selalu cuba melarikan
diri daripada Ian!”
Bahagianya Puan Mariam mendengar pengakuan
berani mati anaknya itu, hanya Tuhan sahaja yang tahu.
“Qistina?” Puan Mariam pura-pura tidak tahu.
Ian Iskandar mengangguk.
“Apa yang Ian cakap padanya tadi hinggakan dia begitu
sedih?”
Ian Iskandar terkejut dengan pertanyaan ibunya.
Bagaimana ibunya boleh tahu?
“Mummy nampak dia?”
Puan Mariam mengangguk.
“Dia datang jumpa mummy tadi dan wajahnya nampak
begitu sedih. Mummy tau dia menangis... Ian, you have to treat
her with care… dia mungkin nampak tabah tapi sebenarnya dia
benar-benar sensitif dan mudah terasa...”
Ian Iskandar tergamam mendengar kata-kata ibunya.
Dia seakan dapat meneka sesuatu.
“Mummy tahu tak kenapa papa Qistina halau dia?”
“Dah tentu, tapi mummy tak boleh nak beritahu Ian.
Mummy dah janji. Ian kenalah tanya dia sendiri.”
‘Hailah mummy! Itulah yang aku dah lama cuba buat
ni. Tapi susah betul nak korek rahsia si Qistina ni…’
“Tadi Ian melamar dia...” Ujar Ian Iskandar perlahan.
Puan Mariam terkejut. Mulutnya sedikit ternganga. Kalau betul
Ian Iskandar telah melamar Qistina, mengapa Qistina kelihatan
begitu sedih?
“Apa? Ian lamar dia? Apa dia jawab?”
“She said no!” Ian Iskandar menjawab selamba.
Puan Mariam ketawa besar. Sakit perutnya
mentertawakan anak terunanya ini. Ian Iskandar tertanya-tanya
mengapa ibunya menggelakkannya sehingga begitu sekali.
Panas sedikit hatinya. Sangkanya ibunya akan bersimpati
dengannya. Ini tidak. Gelak sakan.
“Mummy!” Geram Ian Iskandar jadinya.
“Sorry… sorry, dear. Mummy tak bermaksud nak
ketawakan Ian... beritahu mummy apa yang dah terjadi...” Puan
Mariam tergelak.
Lucu dia melihatkan riak wajah Ian Iskandar sebentar
tadi. Tidak pernah Ian Iskandar begitu. Anaknya itu sentiasa
tenang dan bersahaja. Sentiasa cool dan control macho.
Kadang-kadang dia boleh bersikap dingin juga. Cuma sejak
gadis itu datang ke sini, barulah dia bisa melihatkan riak wajah
Ian Iskandar yang berubah-ubah.
Ian Iskandar menceritakan kepada ibunya segala yang
terjadi malam itu. Sesekali ibunya menggelengkan kepalanya,
tanda tidak setuju dengan tindakan Ian Iskandar. Takkanlah
umur dah masuk tiga puluh tahun pun nak kena ajar jugak
pasal perempuan?
“Kenapa Ian tak beritahu dia apa yang Ian rasa? Kenapa
Ian gunakan mummy sebagai alasan untuk mengahwininya?”
“Ian tak boleh beritahu Qistina yang Ian cintakan dia.
Ian risau kalau kata-kata Ian akan buat dia rasa takut.” Ian
Iskandar membantah.
“Kalaupun Ian berterus-terang, Qistina mesti takkan
percaya cakap Ian!”
“Kenapa tidak?” Puan Mariam tidak memahami. Ian
Iskandar mengeluh.
“Ian jatuh cinta kepadanya sejak kali pertama Ian
nampak dia berdiri di hadapan Ian semasa di pejabat Ian
mummy. But ever since then, I have always been cool towards
her, sometimes even cold. Dia takkan percaya kalau Ian beritahu
perasaan sebenar Ian terhadapnya...”
“Ian, perempuan perlu tahu... mereka tak boleh
meneka apa yang ada dalam hati lelaki. Qistina masih muda dan
dia tidak pernah jatuh cinta sebelum ini... You have to tell her,
son…”
Ian Iskandar mendengar kata-kata ibunya dan cuba
mencernakannya dalam fikiran.
“Mummy, Ian akan fikirkan.” Ian Iskandar bangun dan
mengucup pipi ibunya. “Terima kasih, mummy…”
“Ian,” Puan Mariam memaut lengan Ian Iskandar.
“Mummy rasa gembira sangat sebab Ian pilih Qistina.
Ian tahu perasaan mummy terhadapnya, kan? Naluri mummy
mengatakan Qistina akan membahagiakan Ian. Dia sangat
sempurna untuk Ian!”
Ian Iskandar terharu mendengar kata-kata ibunya.
Puan Mariam melihat Ian Iskandar meninggalkan biliknya.
Di hatinya tidak putus-putus berdoa agar Ian Iskandar akan
bertemu kebahagiaan yang dicarinya selama ini. Dia tahu
Ian Iskandar mengunci hatinya selama ini akibat terkesan
melihatkan penderitaannya sejak bercerai dengan bapa Ian
Iskandar bertahun-tahun yang lalu. Akibat perceraian itu,
Ian Iskandar menjauhkan diri daripada cinta. Untuk sekian
lamanya. Namun akhirnya, cinta itu telah dapat mengejar dan
menakluki hatinya. Dia bersyukur.
Kesan perceraian Puan Mariam dengan suaminya dan
pergolakan rumah tangga mereka begitu ketara kepada Ian
Iskandar. Ian Iskandar sering melihat ibunya menangis akibat
perceraian itu. Di bahu Ian Iskandarlah ibunya sering berlabuh,
walaupun usianya baru mencecah sepuluh tahun. Sudah lama
Ian Iskandar keseorangan.
‘Ya Allah, Kau berikanlah kebahagiaan kepada
anakku… kebahagiaan yang dicarinya selama ini.

No comments:

Post a Comment