DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 26 May 2016

Isteri Dalam Sangkar - Bab 9

“INI semua abang la yang punya pasal!” marah
Fasha pagi itu. Geram dengan abangnya.
Farid yang duduk santai di atas bangku dengan
kepala yang sudah berbalut mengalih pandangan kepada
adiknya. Muncung saja bibir Fasha. Dah boleh dibuat tempat
menyangkut baju. Entah apa yang dia tak puas hati sangat.
“Apa yang abang punya pasal pulak?”
“Kalau bukan sebab abang gatal sangat nak merogol
si ‘mangkuk ayun’ tu, takdenya dia akan kahwin dengan
mamat hensem tu. Tapi sebab nafsu buas abang tu, tengoklah
apa dah jadi? Free aje dia dapat kahwin dengan mamat tu.”
“Owh… pasal tu. Ini kiranya kes cemburu la ye?”
Fasha tidak membalas. Geram dengan perangai
abangnya yang sering buat selamba. Semalam ketika dia dan
maknya sampai ke Homestay Nur Kasih, dia terkejut melihat
pemuda yang bernikah dengan Aisyah. Kacak gila! Kalah Iwan
pujaan hatinya itu. Sudahlah tu, keturunan tengku-tengku
pula. Sah-sah orang kaya.
“Hah… ni apasal kecoh-kecoh ni? Dari dapur mak
dapat dengar suara Fas membebel-bebel. Apa yang tak puas
hati sangat?” Puan Ainin yang baru muncul dari dapur
melabuhkan punggung di sebelah anak lelakinya. Kepala
Farid yang berbalut itu diperiksa.
“Anak gadis mak ni kecewa. Frust menonggeng tak
dapat kahwin dengan orang kaya.” Balas Farid bagi pihak
Fasha.
Mencerlung tajam mata Fasha menikam wajah
abangnya. Pantas dia membaling kusyen kecil ke arah Farid.
Padan muka!
“Adoi!” Farid mengaduh apabila balingan adiknya
mengena tepat ke kepala.
“Fas! Apa ni main baling-baling? Tak nampak ke
abang Fas tengah sakit ni. Kasihanlah sikit. Jangan nak ikut
hati sangat.” Tegur Puan Ainin menyebelahi anak lelakinya.
Antara Fasha dan Farid, memang dia lebih menyayangi Farid.
Apa saja kemahuan anak lelakinya itu akan dituruti.
“Mak ni… suka sangat sebelahkan abang! Sikit-sikit
abang!” rajuk Fasha dengan bibir yang sudah mencemik.
“Mak bukan nak sebelahkan sesiapa. Tapi Fasha tu,
janganlah layan abang macam ni. Dia kan sakit.” Puan Ainin
cuba berdiplomasi dengan anak gadisnya yang sudah merajuk
itu.
“Sakit yang abang sendiri cari. Siapa suruh gatal
sangat nak merogol ‘mangkuk ayun’ tu?”
“Syhhhh!” Laju Puan Ainin meletak jari telunjuknya
ke bibir. “Cakaplah perlahan sikit. Fas nak satu kampung
dengar ke apa sebenarnya yang terjadi? Nak bagi malu
keluarga kita? Rahsia ni kita kena simpan elok-elok. Jangan
bagi sesiapa pun tahu. Biarlah orang semua sangka Aisyah
dengan si tengku tu buat maksiat. Mak tak nak nama baik
keluarga kita tercemar.”
Sebenarnya mereka sudah tahu apa yang telah
berlaku semalam sejak awal lagi. Ketika mereka sampai,
mereka nampak Farid terhuyung-hayang mengejar Aisyah.
Sebagai ibu, dia tahu ada sesuatu yang tidak kena. Pasti
Farid buat masalah. Dia sudah masak benar dengan perangai
anaknya itu. Lagipun, cara Aisyah yang ketakutan melarikan
diri menguatkan lagi tanggapannya.
Waktu Aisyah berlari keluar dari rumah mereka,
hujan turun dengan lebat sekali. Sebuah kenderaan datang
dan merempuh Aisyah. Mujur juga kenderaan yang dipandu
tidak laju, menyebabkan Aisyah hanya terjatuh di tengah
jalan. Mungkin rebah akibat rasa terkejut.
Setelah dua orang lelaki yang melanggar Aisyah
membawa gadis itu masuk ke dalam kenderaan, Puan Ainin
mengambil langkah dengan mengekori kenderaan tersebut
dan dialah orangnya yang telah menelefon Haji Samsul,
memaklumkan ada maksiat di Homestay Nur Kasih. Hanya
itu saja cara untuk dia menyembunyikan perbuatan Farid.
Fasha mencebik. Malas dengan sikap maknya
yang terlalu memanjakan Farid. Enjin kenderaan yang
kedengaran memasuki halaman rumah membuatkan Fasha
memanjangkan leher menjenguk ke luar. Menyirap darahnya
melihat Aisyah keluar dari kereta besar itu. Meluap-luap api
cemburunya.
“Pengantin baru dah balik. Mak ingatkan dia dah
lupa jalan pulang kat rumah ni. Asyik sangat memadu kasih
dengan suami segera dia tu.” Sindir Puan Ainin dengan mata
menjeling kelibat Aisyah yang masuk ke dalam rumah.
Aisyah tidak membalas. Langkah kakinya dibawa
masuk ke dalam bilik. Benci dan sakit hatinya memandang
wajah selamba Farid. Jika bukan disebabkan lelaki keparat
itu, nasibnya tidak seperti ini. Dia tak perlu bernikah dengan
lelaki garang seperti Tengku Iskandar. Nasibnya tak ubah
seperti, ‘keluar mulut buaya, masuk mulut naga’.
Pintu bilik ditutup rapat. Tidak sanggup dia
mendengar sindiran sinis mak sunya. Dia tidak melakukan
perbuatan terkutuk seperti yang mak su momokkan. Air mata
mengalir lagi. Pedih diperlakukan begitu.
Aisyah mencapai beg. Kemudian dia memasukkan
beberapa helai baju kurung yang dia ada ke dalam beg.
Baju-bajunya tidaklah sebanyak baju-baju Fasha. Yang dia
ada pun sekadar baju kurung kain kapas saja. Nak pakai
baju kurung kain sutera, jangan mimpi mak su akan belikan
dia kain semahal itu. Telekung dan sejadah turut disumbat
masuk ke dalam beg. Begitu juga dengan senaskhah Al-Quran
kecil juga turut dibawa bersama.
Aisyah berpaling ke meja hias. Pantas dia mencapai
bingkai gambar arwah abah dan emaknya. Bingkai gambar
itu akan dibawa pergi bersama. Hanya itulah kenangan yang
dia ada bersama arwah abah dan emak. Gambar-gambar yang
lain semua telah dibakar oleh mak su. Kata mak su, kerana
gambar-gambar itu, dia tidak dapat memberi tumpuan
kepada kerja-kerja rumah. Mak su memang kejam kerana
telah membakar setiap kenangan yang dia ada.
Selesai mengemas pakaian-pakaiannya, Aisyah
melangkah keluar, tidak mahu Tengku Haziq menunggunya
lama-lama di situ. Kasihan Tengku Haziq. Dia memang lelaki
yang baik. Mujur juga dia ada. Lelaki itulah yang menawarkan
bantuan kepadanya untuk mengambil pakaiannya di rumah.
Jika tidak, dia terpaksa berjalan kaki. Hendak harapkan
bantuan Tengku Iskandar, jangan mimpilah. Lelaki itu
masih berkurung di dalam biliknya sejak semalam. Masih
meluap-luap kemarahan lelaki itu terhadapnya.
Mendengar derap kaki Aisyah, pantas Puan Ainin
berpaling.
“Hah… dah nak berhambus ke? Baguslah kau
berhambus cepat. Perempuan macam kau ni memang tak
layak duduk kat kampung ni. Memalukan nama keluarga
aje. Nampak aje alim, tapi rupanya kau ni alim taik kucing!
Perempuan murahan!” hamun Puan Ainin.
Aisyah menunduk. Tidak sanggup mendengar caci
maki mak sunya lagi. Tidak menunggu lama, dia terus berlalu
pergi.
Di dalam kenderaan, Aisyah duduk diam tidak
berkutik. Kata hinaan mak su benar-benar menghiris hatinya.
Sedari dulu, mak su tidak pernah ucapkan kata-kata lembut
kepadanya. Setiap ayat yang meniti keluar dari bibir mak su
akan menghiris-hiris hatinya. Air mata yang mengalir dikesat
dengan telapak tangan. Segan pula dia menangis di hadapan
Tengku Haziq biarpun lelaki itu sudah semalaman melihat
air matanya membasahi pipi.
Ketika kereta yang dipandu Tengku Haziq melalui
kawasan tanah perkuburan, hati Aisyah diruntun pilu. Selepas
ini dia sudah tidak dapat lagi menziarahi pusara abah dan
emaknya. Entah bila dia akan dapat menziarahi. Dia sendiri
tidak tahu. Tadi sebelum ke rumah, dia sempat meminta
Tengku Haziq singgah di situ. Menghadiahkan bacaan Yasin
kepada arwah abah dan emak. Pilu sungguh hatinya.
‘Mak… abah… maafkan Aisyah.’ Rintih Aisyah dalam
hati.
Pandangan masih dihalakan ke luar. Ketika itulah dia
terlihat kelibat Ros yang sedang mengayuh basikal menuju
ke arah jalan rumahnya. Dia pasti sahabatnya itu mahu
bertanyakan hal semalam. Tentu berita itu sudah tersebar ke
seluruh kampung. Dia cukup yakin tentang itu. Aisyah kenal
mak sunya. Mulut mak su tak akan pernah tertutup diam
daripada menyebarkan cerita-cerita buruk tentangnya.
Mahu rasanya Aisyah menyuruh Tengku Haziq
berhenti seketika. Dia mahu bertemu Ros buat kali terakhir.
Namun dia segan hendak membuka mulut. Lelaki yang
sedang memandu tenang di sebelahnya itu sudah terlalu
banyak membantu. Dia tidak mahu menyusahkan Tengku
Haziq.
‘Maafkan aku Ros. Aku kena pergi. Aku kena
tinggalkan kampung ni. Semoga kita berjumpa lagi.’ Hati
Aisyah berbisik. Sebak rasanya kerana tidak dapat berjumpa
Ros buat kali terakhir.
Ya! Dia berharap agar bertemu Ros suatu hari nanti.
Dia mahu menceritakan apa sebenarnya yang telah terjadi.
Dia mahu Ros tahu kebenarannya.
TOYOTA HARRIER yang dipandu Tengku Haziq memasuki
ruang tempat letak kereta bawah tanah kondominium Royal
Palace. Tengku Iskandar yang duduk di kerusi penumpang
hanya diam tidak berkutik. Setiap kali pandangannya
bertembung dengan Aisyah, dia akan menghadiahkan
jelingan tajam buat gadis itu. Marahnya masih bersisa.
Tanpa menghiraukan Tengku Haziq dan perempuan
kampung itu, Tengku Iskandar melangkah ke ruang lif.
Kelat saja wajahnya. Sampaikan Aisyah tidak berani hendak
memandang wajah Tengku Iskandar yang kelat bagai mangga
muda. Kejadian dia hampir putus nyawa dicekik lelaki itu
semalam membuatkan dia takut kepada Tengku Iskandar.
Lelaki itu memang garang seperti harimau.
“Aisyah… mari,” suara Tengku Haziq mengejutkan
Aisyah. Mujur dia tak termelatah.
Beg pakaian yang sudah lusuh itu dibawa. Langkah
diatur mengikut langkah Tengku Haziq. Kalaulah lelaki
itu tak ada, entah apa akan jadi kepada nasibnya. Dia amat
terhutang budi kepada Tengku Haziq.
Sampai di tingkat tiga puluh, lif terbuka luas.
Cepat-cepat Aisyah keluar. Takut jika dia terlambat lif akan
tertutup pula. Dia bukannya pernah naik benda alah itu.
Jika tertutup, dia tak tahu bagaimana hendak membukanya
semula.
“Silakan masuk Aisyah. Ini rumah Tengku Iskandar
dan awak akan tinggal kat sini.” Beritahu Tengku Haziq.
Aisyah melangkah masuk ke dalam. Terpegun
sungguh dia melihat ruang di dalam kondominium tersebut.
Ruang tamunya besar mengalahkan ruang tamu rumahnya di
kampung. Perabotnya juga kelihatan mewah-mewah belaka.
Pasti harga beribu-ribu. Kombinasi warna yang digunakan
juga begitu menarik sekali. Nampaknya lelaki bernama
Tengku Iskandar itu seorang yang begitu mementingkan
kemewahan.
Tengku Haziq tersenyum. Dia membiarkan Aisyah
memerhati ruang di dalam kondo abang sepupunya itu.
Sementara dia pula membawa kaki menghampiri Tengku
Iskandar yang sedang menghisap rokok di balkoni. Tengku
Iskandar bukanlah seorang perokok tegar. Dia hanya akan
merokok apabila ada masalah datang menyerabutkan
fikirannya. Begitulah perangainya.
“Is.” Tengku Haziq menepuk bahu Tengku Iskandar.
“Aku tahu bukan senang untuk kau terima apa yang dah
berlaku, but… whatever the reason, she is your wife. Kau
kena terima dia seadanya. Mungkin ada hikmah di sebalik
semua ni. Allah dah tentukan jodoh kau bersamanya.”
Tiada jawapan. Tengku Iskandar ralit memandang
dada langit yang pekat. Nampak gaya hujan akan turun
bila-bila masa saja lagi. Melihat kedinginan lelaki itu, Tengku
Haziq menghela nafas.
“Aku balik dulu. Kau jangan pulak buat hal macam
semalam. Kasihan Aisyah, dia sendiri pun tak minta semua
ni terjadi.” Pesan Tengku Haziq sebelum berlalu. Gusar juga
hatinya. Namun dia perlu pulang.
Ketika masuk ke dalam, dia terpandangkan Aisyah
masih berdiri tegak di tempatnya tadi sambil menjinjit beg
pakaian lusuhnya. Tumpah rasa simpati kepada gadis malang
itu. Dia cukup yakin Aisyah tidak bersalah. Dia pasti gadis itu
tidak merancang apa yang telah terjadi sebagaimana tuduhan
melulu Tengku Iskandar.
“Aisyah… kenapa berdiri aje? Duduklah. Kondo ni
sekarang dah jadi macam rumah awak juga. Awak kan isteri
tuan rumah ni.”
Mendengar suara Tengku Haziq, Aisyah berpaling.
Dia cuba untuk tersenyum. Hendak duduk, dia tidak berani.
Takut dia nak duduk di atas kerusi mahal milik Tengku
Iskandar. Nanti kotor pula kerusi kulit berwarna coklat itu
terkena baju buruknya. Biarpun dia isteri kepada pemilik
kondominium mewah ini, tetapi dia masih sedar diri.
“Saya kena balik. Nanti ada masa, saya datang
melawat awak lagi ye.” Beritahu Tengku Haziq.
Senyuman pada bibir Aisyah mati. Mendung
wajahnya.
“Awak dah nak balik?”
Tengku Haziq mengangguk. Air wajah Aisyah yang
berubah mencuri perhatiannya. Dia tahu apa yang bermain
dalam fikiran gadis itu. Pasti berkaitan Tengku Iskandar.
“Saya kena balik Aisyah. Rumah saya dah beberapa
hari tak kemas. Entah-entah dah ada sarang labah-labah kut
rumah saya tu. Nanti ada masa terluang, saya datang lagi.”
“Tapi… saya...” Aisyah ketap bibir. Hatinya mula
dipagut rasa bimbang. Risau tinggal berdua-duaan dengan
‘Tengku Harimau’ itu. Manalah tahu kalau lelaki itu bertindak
gila lagi. Pada siapakah dia hendak meminta bantuan?
“Awak jangan risau Aisyah. Is tak akan bertindak gila
macam semalam. Is tu nampak aje garang, tapi sebenarnya
dia baik hati. Awak jangan bimbang ye.” Tengku Haziq
memujuk.
Aisyah tunduk. Mahu tak mahu kenalah dia akur
tinggal berdua dengan ‘Tengku Harimau’ itu. Apa pun
tindakan lelaki itu, dia tetap suaminya. Syurga Aisyah kini
berada di tapak kaki Tengku Iskandar. Lambat-lambat Aisyah
mengangguk.
“Ada masa nanti, saya datang lagi. Assalamualaikum.”
Lembut bicara Tengku Haziq.
Aisyah mengangguk sambil menjawab salam Tengku
Haziq.
“Is! Aku balik dulu.”
Setelah mendengar daun pintu tertutup, Tengku
Iskandar merengus kasar. Dia melangkah masuk ke dalam
dengan wajah kelat. Tajam matanya merenung Aisyah,
membuatkan gadis itu menundukkan wajahnya.
Tengku Iskandar mendengus kasar. Ikut hatinya
yang panas, rasa mahu dicekiknya gadis kampung itu sampai
mati. Namun apabila mengenangkan kedudukannya, dia
terpaksa bertenang. Dia tak mahu namanya tercemar hanya
kerana gadis kampung itu.
“Dekat dapur tu ada bilik khas untuk orang gaji. Kau
boleh tidur kat situ. Jangan mimpi kau nak tidur kat bilik
atas pula. Aku tak sudi nak kongsi bilik dengan kau. Jijik!
Tau tak?” ujar Tengku Iskandar kasar dan penuh dengan
penghinaan. Hatinya seakan puas setiap kali dapat menghina
gadis kampung itu.
Aisyah memejamkan mata. Kata-kata Tengku
Iskandar merobek hatinya. Benci sungguh lelaki itu
kepadanya sedangkan dia tidak pernah melakukan apa-apa
salah pun kepada lelaki itu. Jika tidak sukakan dia sekali pun,
janganlah menghina dia sedemikian rupa. Dia juga ada hati
dan perasaan.
Tanpa menunggu lama, Tengku Iskandar membawa
langkah naik ke tingkat atas. Setiap kali memandang Aisyah,
hatinya sakit bukan kepalang. Takut dia hilang pertimbangan
lagi seperti semalam.
Aisyah menyoroti langkah Tengku Iskandar
dengan ekor mata. Wajah lelaki itu masam mengalahkan
mangga muda. Sejak awal pertemuan mereka, Aisyah tidak
pernah melihat senyuman pada wajah itu. Tengku Iskandar
bencikan dia tanpa sebab. Entahlah, mungkin kerana dia ini
orang kampung, disebabkan itu Tengku Iskandar tidak suka
kepadanya. Tapi… salahkah dia jadi orang kampung?
Dia mengatur langkah ke bilik yang dimaksudkan
Tengku Iskandar. Bilik bahagian bawah berhampiran dengan
ruang dapur. Elok juga dia tidur di bilik bawah. Senang sikit
dia ke dapur jika haus di malam hari. Sebaik pintu dibuka,
terbentang ruang bilik di hadapan mata.
“Biar betul ini bilik orang gaji?” Aisyah berkata
sendiri. Terpegun buat kali kedua melihat ruang bilik yang
dikatakan khas untuk pembantu rumah itu. Cantik dan agak
luas ruangnya. Tidak sempit seperti biliknya di kampung.
Bilik ini juga dicat dengan warna lembut. Begitu juga katil
dan almarinya. Juga daripada warna senada dan diserikan lagi
dengan sarung bantal warna biru lembut. Ada kerusi kecil
warna biru serupa pasu di hadapan cermin hias. Begitu juga
dengan karpet tebal, dipilih dengan warna biru. Menaikkan
lagi seri di dalam bilik itu.
Aisyah memanjat katil yang diletakkan rapat
ke dinding. Langsir kain kasa warna putih bersih itu
diselak. Betapa indahnya pemandangan. Dia dapat melihat
pemandangan KLCC. Memang indah! Dia begitu teruja dapat
melihatnya. Selama ini dia hanya mendengar keindahan
KLCC daripada cerita orang. Namun kini dia bakal melihat
keindahan bangunan itu setiap hari.
Badannya yang letih direbahkan ke atas katil.
Empuk sungguh tilam itu. Tidak sama dengan tilamnya di
kampung yang sudah nipis dan buruk. Matanya merenung
siling putih. Mulai saat ini, di sinilah tempat tinggalnya.
Walaupun ‘Tengku Harimau’ itu membenci dia, namun lelaki
itu tetap suaminya. Syurganya tetap berada di bawah tapak
kaki lelaki itu. Sekejam mana pun Tengku Iskandar, dia perlu
menghormati lelaki itu sebagai suami. Aisyah berazam, dia
akan cuba menjadi isteri yang solehah biar apa pun rintangan
yang perlu dia lalui.

No comments:

Post a Comment