DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 26 May 2016

Isteri Dalam Sangkar - Bab 13

DIA melepaskan keluhan. Disebabkan
ketegangan yang terjadi antara dia dengan Rey petang tadi,
dia balik agak lewat. Sakit hatinya kepada Rey masih bersisa.
Lelaki itu memang sudah melampau. Sudahlah menyeleweng
wang syarikat, selepas itu boleh pula Rey mengugut mahu
mencederakannya. Apa Rey ingat dia ini anak kucing? Tak
pandai nak melawan?
Ikutkan hatinya yang panas ketika itu, mahu
rasanya dia memberi penumbuk sulung kepada Rey. Memang
jenis orang kampung tak kenang budi. Dah diberi peluang
pekerjaan di TG Holdings, boleh pula sesuka hati mengambil
wang syarikat. Ingat TG Holdings itu syarikat bapak dia
agaknya!
Tengku Iskandar mendengus. Daun pintu ditutup
dengan kasar. Tubuhnya yang sasa direbahkan ke atas sofa
kulit. Dia menyandar dengan lengan kanan sudah naik ke
dahi. Manakala tangan kiri sudah melonggarkan tali leher
yang menjerut batang leher. Disebabkan rasa letih, dia
membatalkan janjinya dengan Fira malam itu. Memang Fira
merajuk. Namun dia tiada hati hendak memujuk. Biarlah!
Esok-esok dia belikan bunga untuk gadis itu. Hilanglah
rajuknya.
Matanya dipejamkan seketika. Cuba menghalau rasa
letih yang menjerut diri.
Aisyah yang menyedari kepulangan Tengku Iskandar
menjenguk kepala ke ruang tamu. Setiap kali lelaki itu berada
di rumah, dia jadi tidak keruan. Segala tindakannya jadi tidak
menentu. Takut andai buat salah dia akan ditengking lagi.
Bibirnya diketap. Air kosong yang dibawa direnung.
Betulkah apa yang dia buat ni? Cukup ke dengan membawa
air kosong saja menyambut kepulangan lelaki itu? Dia
bingung. Hatinya berbelah bahagi. Jika apa yang dilihatnya
dalam drama-drama Melayu, si isteri biasanya menyambut
kepulangan suami dengan air kosong aje. Itu pun dah cukup
buat sang suami gembira. Tetapi dengan ‘Tengku Harimau’
itu, dia tak tahu apa selera lelaki bercita rasa besar itu.
Manalah tahu kot-kot lelaki itu tak minum air kosong, nak
jus jugak!
‘Aduh… susahnya!’ Aisyah merungut dalam hati.
Namun tanpa dia sedari, dia sudah pun berdiri di hadapan
lelaki itu. Entah bila masa kakinya itu gatal sangat melangkah.
“Errr… Tengku. Ini air untuk Tengku.” Dengan rasa
takut-takut berani, Aisyah meletakkan dulang kecil berisi air
kosong di hadapan Tengku Iskandar.
Tengku Iskandar yang sedang berehat tidak
menjawab. Teguran Aisyah langsung tidak diendahkan. Dia
malas hendak berbual dengan gadis kampung itu.
Melihat respons kurang mesra Tengku Iskandar,
Aisyah segera berpusing. Lebih baik dia selesaikan kerja-kerja
memasaknya di dapur.
“Buka stoking aku!” arah Tengku Iskandar bersahaja.
Kakinya sudah diangkat naik ke atas meja.
Aisyah yang baru berpusing hendak melangkah
itu kembali memusingkan badannya menghadap Tengku
Iskandar. Lelaki itu masih lagi seperti tadi. Dengan mata
terpejam dan lengan kanan yang diletakkan ke dahi.
“Kau dengar tak apa yang aku suruh? Buka stoking
aku!” Biarpun aksinya masih serupa, namun suaranya sudah
mengeras.
Aisyah ketap bibir.
‘Hesy… dia ni! Takkan buka stoking pun nak suruh
aku juga yang buat? Bukan susah pun. Bukalah sendiri. Kan
Allah dah bagi tangan untuk buat kerja.’
Mendapati tiada respons daripada Aisyah, Tengku
Iskandar mengalihkan lengan dan membuka matanya.
Tajam pandangannya menikam wajah Aisyah, membuatkan
gadis itu kalut lalu dengan kelam-kabut Aisyah terus duduk
melutut di hadapannya, membuka stokingnya dengan penuh
berhati-hati.
“Kau ni memang ada masalah pendengaran kan?
Setiap kali aku cakap, kau boleh buat selamba aje. Nak aku
jerit dua tiga kali baru kau terhegeh-hegeh. Kau ni memang
menyakitkan hati la. Dahlah bodoh, pekak pulak!” hina
Tengku Iskandar. Geram sungguh dia dengan Aisyah. Jika
disuruh, mahu diulang dua tiga kali barulah gadis kampung
itu bertindak.
Aisyah tunduk membisu. ‘Tengku Harimau’ itu
memang gemar menghinanya. Mungkin sudah menjadi hobi
lelaki itu agaknya. Disebabkan itulah tidak lengkap hidup
lelaki itu jika tidak menghinanya setiap hari. Dia ada perasaan.
Tetapi lelaki itu tidak menghiraukan perasaannya itu.
Tanpa ucapan terima kasih, Tengku Iskandar
melangkah naik ke atas. Meninggalkan Aisyah yang masih
lagi tunduk memandang lantai.
‘Huh! Dasar ‘Tengku Harimau! Dah ditolong buka
stoking pun langsung tak ucap terima kasih.’ Kerana geramkan
Tengku Iskandar yang bongkak itu, tak semena-mena Aisyah
membaling stoking lelaki itu sehingga mendarat ke atas sofa.
“Sediakan makan malam aku. Lepas mandi nanti aku
nak makan. Kalau kau masak tak sedap… siap la kau!”
Suara Tengku Iskandar kedengaran dari atas
memberi arahan. Kasar saja bunyinya, membuatkan Aisyah
tersentak dan cepat-cepat dia mengutip semula stoking lelaki
itu yang dibuang sebentar tadi. Terkejut dia. Dia ingatkan
lelaki itu turun semula, rupanya tidak.
Aisyah bangun. Stoking Tengku Iskandar dibuang
masuk ke dalam bakul pakaian kotor. Esok pagi dia akan
membasuhnya. Kemudian dia kembali ke dapur. Membasuh
tangan dan menyudahkan kerja menghiris timun yang
tergendala gara-gara menghantar air kepada ‘Tengku
Harimau’ itu tadi.
Malam ini dia masak bawal lemak cili api, ayam
goreng berempah dan sayur campur tumis udang segar. Tidak
lupa dia menyediakan sambal belacan yang ditumbuk sendiri.
Lebih asli rasanya. Tidak sama dengan rasa sambal belacan
yang dikisar. Dan timun yang dihirisnya ini merupakan
‘teman baik’ pada sambal belacan. Tak lengkap jika tiada.
Aisyah tersenyum. Kecur air liurnya melihat menu
makan malam yang sudah tersedia di atas meja makan.
Harap-harap menunya itu kena tepat dengan cita rasa Tengku
Iskandar.
Derap kaki Tengku Iskandar sudah kedengaran.
Haruman yang dipakainya juga sudah menusuk masuk ke
lubang hidung Aisyah. Suka benar dia menghidu haruman
yang dipakai lelaki itu. Harum dan segar baunya.
Dengan wajah masam, Tengku Iskandar menarik
kerusi. Menu di hadapan diperhatikan.
“Kau masak apa ni?”
Aisyah telan air liur. Soalan yang dirasakan hampir
sama dengan soalan pagi tadi. Cuak dia jadinya.
“Errr…” gagap dia hendak menjawab.
“Kau tahu tak, aku tak suka makan makanan macam
ni! Ini makanan orang kampung. Aku tak layan makanan
orang-orang kampung ni.”
“Errr… maaf Tengku. Saya tak tahu Tengku tak
makan makanan macam ni. Kalau saya tahu saya tak masak.”
Balas Aisyah cuba memberanikan diri.
Tengku Iskandar mendengus. Dia bangkit dari
duduknya. Berkeriut bunyi kerusi itu akibat ditolak dengan
kasar.
“Errr… Tengku tak nak makan ke?” tanya Aisyah
tatkala Tengku Iskandar berlalu meninggalkan ruang makan.
“Makanan macam tu bukan selera aku! Kalau kau
nak makan, kau makan la! Makanan tu memang sesuai
dengan perempuan kampung yang bodoh macam kau. Cita
rasa rendah!” dengan sombong Tengku Iskandar berkata.
Dia kembali naik ke atas. Seleranya mati melihat menu yang
terhidang. Mujur jugalah dia sempat menikmati burger McD
sebelum pulang tadi. Tak adalah dia lapar sangat.
Melihat lelaki itu yang sudah menghilang ke atas,
Aisyah menggeleng kepala. Rasa membazir pula melihat
makanan yang tidak berusik. Inikan rezeki Allah. Sepatutnya
lelaki itu bersyukur kerana masih diberi rezeki untuk
menikmati makanan serupa itu. Tengku Iskandar memang
jenis lelaki tak bersyukur dengan rezeki yang diberikan.
Mentang-mentang dia kaya. Dia ingat kekayaan itu akan
berkekalan sampai bila-bila. Sekali Allah tarik kekayaannya,
baru padan dengan muka dia.
Aisyah mengeluh. Jika dia tahu lelaki itu tak makan
makanan ala-ala kampung begini, baik dia tak usah masak
sedap-sedap. Goreng telur dah cukup!
JAM DIGITAL di atas meja sisi sudah menunjukkan
pukul dua belas lima puluh minit malam. Perutnya yang
berkeroncong lapar membuatkan dia tidak dapat melelapkan
mata. Semakin dia cuba melelapkan mata, semakin kuat pula
bunyi ‘Keroncong Buat Ana’ pada perutnya. Tengku Iskandar
mendengus.
“Hesy… perut ni! Waktu macam ni jugalah dia nak
lapar!” marahnya pada perut sendiri.
Tengku Iskandar bangun. Dia teringatkan makanan
yang dimasak gadis kampung itu. Ego melangitnya tidak
mahu menjamah makanan itu tetapi perutnya yang sudah
menggila tahap kelaparannya itu begitu memaksa. Lantas
dengan langkah berhati-hati, Tengku Iskandar menuruni
anak-anak tangga. Terjengket-jengket kakinya tidak mahu
Aisyah dengar akan pergerakannya itu.
Sampai di ruang dapur berlatarkan warna putih, dia
melangkah ke arah peti ais. Liar matanya mencari makanan
yang dimasak gadis kampung itu awal malam tadi. Manalah
tahu masih ada yang disimpan. Takkanlah si gadis kampung
yang bodoh itu hendak menghabiskan semua makanan.
Dia tersenyum ketika mata mendarat pada
Tupperware berisi bawal masak lemak cili api. Pantas dia
mengeluarkan Tupperware tersebut. Kiri kanan kepalanya
menoleh. Takut andai si gadis kampung itu terjaga. Jatuhlah
sahamnya!
Lauk yang sudah sejuk itu dibawa ke microwave
untuk dipanaskan. Sementara menunggu lauk tersebut
panas, dia menyelak tudung saji. Masih ada ayam goreng
berempah, sayur campur dan sambal belacan serta timun
di atas meja. Kecur air liurnya melihat sambal belacan itu.
Sudah agak lama dia tak makan sambal belacan. Panas saja
bawal masak lemak cili api, dia masukkan pula sayur campur.
Hampir meleleh air liurnya menghidu aroma bawal masak
lemak cili api itu. Benar-benar membuka selera.
Sementara menunggu sayur campur panas, Tengku
Iskandar menyenduk nasi putih ke dalam pinggan. Perutnya
benar-benar sudah lapar. Berkeroncong tak henti-henti,
apatah lagi melihat lauk-pauk di depan mata. Semakin kuat
perutnya berbunyi.
Sebaik sayur campur panas, tanpa membuang masa
Tengku Iskandar duduk di meja makan. Dengan lahap, dia
mengunyah makanan. Perghhh! Memang sedap bawal masak
lemak cili api gadis kampung itu. Cukup rasa santan, cukup
rasa pedas. Sampaikan dia makan tak toleh ke belakang lagi.
“Bruppp!” Tengku Iskandar sendawa kenyang.
Perutnya terasa puas dapat diisi dengan makanan. Sudah
lama dia tidak menikmati makanan ala-ala kampung begitu.
Selalunya dia hanya makan makanan ala-ala western seperti
spaghetti, lamb chop, fish mayonnaise, macaroni cheese dan
makanan western yang seangkatan dengannya.
Tidak mahu Aisyah mengesan sisa-sisa makanan yang
dimakannya, cepat-cepat Tengku Iskandar mengemas segala
pinggan mangkuk. Dibasuh bersih dan diletakkan semula ke
tempatnya. Kemudian lauk-pauk yang berbaki dibuang ke
dalam tong sampah. Esok, pasti gadis itu kebingungan. Jika
Aisyah mengesyakinya, pandailah dia bagi jawapan. Jika tidak
berkesan, dia akan gunakan kekerasan. Biar Aisyah diam.
Dia tak mahu maruahnya kelihatan rendah di mata gadis
kampung seperti Aisyah.
‘Alaaa… perempuan kampung bodoh macam tu
bukannya dia tahu apa-apa pun. Sekolah setakat darjah enam.’
Sempat juga dia mencemuh. Yakin sangat Aisyah itu bodoh
seperti yang difikirkan. Ingat dia seorang saja yang pandai!

No comments:

Post a Comment