DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 25 May 2016

Samurai - Bab 17

“ABANG Aizat...”
Ah! Aku dah tahu suara siapa tu. Aizat tiada kat rumah
sekarang. Dia ke sungai mengikut Abang Din yang tak kerja
hari ini. Aku hanya melihat dia berjalan sehingga ke depan
rumah. Beberapa kali dia melaungkan nama Aizat namun aku
pekakkan diri sahaja untuk tidak mengendahkan kehadirannya.
Lebih baik aku berWhatsApp dengan Aizat.
Awek awak datang rumah cari awak.
Aku menghantar pesanan kepadanya. Tak ada kerja
sebenarnya. Lagi pula, aku tengah jakun benar dengan telefon
baru ni. Tentulah aku akan mesej dia tak kira masa. Maklumlah,
hanya dia sahaja yang ada dalam senarai contact WhatsApp aku.
Siapa?
Dia balas tidak lama kemudian.
Siapa lagi awek awak?
Kau sorang aje. Setahu akulah.
Nak tercekik aku dibuatnya. Ewah... masa bila pula aku
jadi awek dia pun aku tak tahulah.
Werk! Leha datang.
Seronok juga berbalas mesej dengan dia begini. Kalau
bukan aku yang WhatsApp dia, dia pula yang WhatsApp aku.
Setiap malam, dia akan menghantar pesanan selamat malam.
Atau, apabila dia malas nak menaip, dia akan rakam audio.
Dia bukan awek aku. Halau dia balik.
Terbantut selera aku nak balik rumah.
Tersenyum aku membacanya. Kenapa tiba-tiba aku
rasa lega dengan perkataan ‘halau-dia-balik’ tu?
Awak kan suka kat dia...
Aku main tarik tali. Senyuman bahagia tak dapat
kutahan daripada terukir mesra.
Oh ya. Aku lupa yang aku suka kat
dia. Suruh dia tunggulah. Aku dah
nak siap memancing ni.
Mati terus senyumanku digantikan dengan cemikan
menggila. Mata serta-merta terasa panas. Argh!
“Heeeeeee! Geram betul aku!” aku menyeranah lantas
meletakkan telefon ke sisi.
Leha yang sedari tadi terpacak di depan pintu rumahku
mula mengalihkan pandangannya ke arahku yang duduk
mengayunkan kaki di pangkin ini. Muka dia teragak-agak untuk
membuka mulut dan menegurku. Yalah, sudah lama dia tidak
menegurku sepanjang dia datang ke mari. Dia tak akan mahu
bercakap dengan aku. Dengan Aizat saja dia buka mulut besar
dia tu. Menyampah.
“Melur, Abang Aizat mana?” Tahu pula dia nak
menegur aku hari ni. Aku ingatkan dia nak terpacak dekat situ
sehingga Aizat balik. Aku julingkan mata ke atas.
“Abang kau tak ada. Dia pergi sungai. Memancing
dengan Abang Din. Dia suruh kau balik.” Jawabku tanpa
memandang ke arahnya. Telefon bimbit, aku capai semula.
Menanti mesej pujukan daripada Aizat. Hampa.
“Alah. Kau yang suruh aku balik. Abang Aizat takkan
halau aku. Kenapa Abang Aizat tak ajak aku?” soal Leha
menghentakkan kakinya. Tunjuk protes. Agak-agaknya dia tahu
ke belum yang aku bakal menikah dengan Aizat tak lama lagi?
Mesti belum punya. Kalau tidak, buat apa lagi dia kat sini? Apa
agaknya reaksi dia apabila dapat tahu nanti?
“Sebab dia serabut dengan kau.” Aku menjawab
selamba.
“Eleh! Dengkilah tu.” Dia mencemik.
“Tak ada masa aku nak berdengki dengan patung McD
macam kau, Leha.” Gumamku perlahan sambil menjeling ke
arahnya.
Amboi, badan dia bukan main bergoyang-goyang lagi.
Macam kena buang tulang belakang saja aku tengok. Aku tak
faham, kenapa mesti berkebaya datang ke rumah aku? Tak
boleh ke dia pakai t-shirt dengan seluar trek aje macam aku ni?
Simple but nice apa? Nak berjalan laju pun boleh. Nak langkah
longkang pun mudah.
Baru-baru ni aku ada terdengar emaknya mengadu
tentang Leha dekat kedai pak teh. Katanya Leha rajin menjahit
semenjak dua menjak ini. Emaknya mengadu kurang tidur
kerana Leha menjahit sehingga ke tengah malam dengan bunyi
mesin jahit lama yang agak bising itu. Aku hanya mampu
menggeleng-gelengkan kepala sahaja.
Tahukah emaknya bahawa anak dara dia itu sebenarnya
menjahit kebaya semata-mata untuk menyibuk dekat rumah
aku dan menggoda bakal suami aku? Patutlah setiap kali dia
datang, berlainan baju yang dia pakai. Apa nak jadi entah
dengan dia tu.
“Eh, canggihnya telefon. Siapa punya?” Dia
menghampiriku.
“Aku punyalah. Siapa lagi?” sinis aku berkata.
“Nak tengok...”
“Mana boleh. Sibuk aje. Belilah sendiri. Benda mahal
ni tau tak?” Sedap betul aku sindir dia, macamlah aku beli guna
duit aku sendiri. Aku takut kalau dia terjatuhkan telefon ni.
Macam mana aku nak jawab dengan Aizat?
“Kedekutnya.” Dia menceberkan bibirnya dengan gaya
badan bergoyang dia itulah. Tak sanggup aku terus memandang.
“Memang pun.” Aku jawab mendatar tanpa memandang
ke arahnya.
“Mampu pulak kau beli.”
“Apa yang tak mampunya? Kau ingat kat tangan aku
ni handphone mainan ke?” Dia ingat, dia sorang aje yang boleh
berkata sinis sampai senget mulut?
“Berlagak. Mesej dengan siapa?” soalnya. Automatik
aku menyorokkan telefon di belakangku. Bimbang dia nampak
aku berWhatsApp dengan Aizat.
“Bakal suami.” Jawabku selamba. Dalam hati, aku
berharap juga agar dia bertanya siapa. Namun tidak...
“Eee, gatal betul.”
“Gatal-gatal aku pun, takde aku nak pergi melenggang
ke rumah orang, cari lelaki dengan mekap tebal seinci dan
berkebaya setiap waktu.” Aku menyindirnya dengan muka ketat
yang biasa Aizat buat.
“Heeee. Sombong betul dia ni!” Dia
menghentak-hentakkan kakinya ke tanah dan kemudian
bergerak semula ke tangga rumahku. Mesti nak tunggu Aizat.
Dah hampir sejam dia terpacak dekat rumah aku ni.
“HAAA! TU pun diaorang!” sorakan Leha membuatkan aku
mengangkat kepala. Aizat membonceng di belakang Abang
Din yang menunggang motor dengan dua batang joran
disandangkan ke bahunya. Seluar jean hitam yang dipakainya
dilipat sehingga ke betis.
Leha menghampiri Aizat dan Abang Din yang baru
turun dari motor. Aku menjulingkan mata ke atas. Drama
lagi hari ini. Tak payah tengok Akasia TV3 dah. Abang Din
memandangku dan mencemik sedikit. Aku tahu, Abang Din
juga tidak sukakan Leha.
“Abang dah balik...” Leha menyapa.
“Yeay...” Abang Din menyahut dengan suara
mendatarnya. Sarkastik saja bunyinya.
Aizat menggelengkan kepala dan tersenyum-senyum
dengan reaksi Abang Din. Sekarang, rajin benar dia tersenyum.
Kadang-kadang, aku nampak dia tersenyum sendirian. Pelik
betul. Kalau dulu nak senyum pun payah. Sampai aku rasa nak
ugut tikam dengan belati supaya dia senyum.
“Abang pergi mana tadi?” soal Leha. Eh? Bukan ke aku
dah beritahu dia bahawa Aizat ke sungai? Dah tak ada modal
agaknya.
“Masjid.” Jawab Aizat sepatah sambil membelek-belek
kakinya. Biasanya begitulah keadaan sesiapa saja yang pulang
dari sungai. Pasti membelek kaki untuk memastikan tiada pacat
atau lintah yang singgah di kaki.
“Tipulah! Tu alat memancing...” Leha mulakan drama
dia dengan menggulung rambut. Macam biasalah. Abang Din
pula mendekatiku. Dia membisikkan sesuatu ke telingaku.
“Tak cemburu ke?”
Aku menjeling Abang Din yang sudah tersengih
menyakat. Tak ada masa.
“Abang pancing tabung masjid.” Aku dengar Aizat
membalas kata-kata Leha. Masih dengan nada mendatarnya.
Macam tak nak layan saja gayanya.
“Hehehehe. Kelakarlah abang ni.” Tergelak sakan Leha
mendengar jawapan Aizat. Entah apa yang kelakar dengan
pancing tabung masjid pun aku tak tahulah? Abang Din sudah
terbatuk-batuk. Aku nampak pandangan Aizat dan Abang
Din berlaga. Ada isyarat yang mereka hantar dan kemudian
tersenyum-senyum. Isy! Tak faham betul aku dengan isyarat
lelaki ni.
“Melur, buatkan aku air. Dahaga sangat tekak ni.” Aizat
tidak mengendahkan Leha sebaliknya dia mengarahkan aku
untuk membuat air. Dia meletakkan joran ke bawah rumah.
“Eh, apa pasal pulak saya?” soalku tak puas hati.
“Pergi sajalah... buat untuk abang sekali.” Abang Din
mengarah juga. Geramnya. Terpaksalah aku akur sebab Abang
Din dah masuk campur.
“Leha juga...” tiba-tiba Leha menyampuk. Eh! Banyak
cantik muka dia!
“Kau ni Leha! Datang kat rumah orang tak reti nak
bawak bekal air sendiri ke? Asyik nak menghabiskan gula
rumah orang saja.” Aku menyemburnya dengan geram. Dah
banyak hari aku kena buatkan dia air. Mana aku tak sakit hati?
“Melur...” tegur Aizat.
Aku lihat dia mengetap bibirnya. Tahan gelak
agaknya. Tak tahu sama ada dia tahan gelak sebab dah berjaya
menghambakan aku atau dia gelak sebab tengok muka Leha
terkulat-kulat dimarahi aku.
Aku masuk ke rumah sambil menghentak-hentakkan
kaki. Bergegar-gegar rumah papanku. Satu notification masuk
ke handphoneku. Aku buka. WhatsApp.
Jangan marah sangat, pumpkin.
Labu dia panggil aku? Geram betul aku. Aku taklah
bodoh sangat sampai tak dapat menangkap maksud pumpkin
itu apa. Kalau aku Labu, dia Labi!
“ASSALAMUALAIKUM...” SEBAIK sahaja aku menghidangkan
air di atas pangkin, muncul pula satu suara. Terkejut bukan
kepalang aku melihat gerangannya.
“Waalaikumussalam. Eh? Ya, buat apa kat sini?”
Melihat Maria melenggang-lenggok dengan payungnya
membuatkan aku terkejut.
Pertama sebab aku rasa cuaca tak panas langsung.
Untuk apa dia bawa payung? Kedua, sebab aku rasa pakaian
dia dengan Leha ni macam nak pergi kenduri kahwin pula.
Berkebaya. Rasanya, rumah aku tiada kenduri. Ketiga, Maria
datang ke rumahku? Setelah beberapa tahun? Ini memang
aneh!
“Yalah kak. Tiba-tiba rasa nak jumpa akak pulak.” Dia
tersenyum sambil mengerling manja ke arah Aizat yang sedang
menghirup air itu. Boleh pula bagi alasan begitu? Nak jumpa
aku tapi cuba main mata dengan Aizat? Aku siat kulit budak ni
nanti.
Automatik tersembur air yang diminum Aizat itu
apabila melihat wajah Maria. Tentu dia terkejut melihat
solekan tebal Maria. Abang Din aku sudah menggosok-gosok
dahi dan menggeleng-gelengkan kepalanya. Tentu Abang Din
tidak menyangka rumah ini menjadi sarang tempat anak dara
melaram.
“Eh, Abang Aizat ada dekat sini. Hai abang!” sapa Maria
yang buat-buat terkejut. Hipokritnya dia. Macamlah aku tak
beritahu dia yang Aizat memang tinggal dengan keluarga aku.
Yang duk jeling-jeling tadi tu apa?
“Amboi... ada buat pertandingan ratu kebaya ke kat
rumah ni?” sapa emak yang baru pulang dari kenduri tahlil di
masjid. Maria dan Leha menjeling antara satu sama lain. Pelik
semacam aje aku tengok budak dua orang ni.
“Eh, mak tak dengar cerita ke yang patung McD nak
cari calon isteri buat peneman dekat depan pintu masuk?”
Abang Din menyindir. Terkulat-kulat dua ekor badut itu
disindir abangku.
Aku dan emak sudah kemam mulut menahan gelak.
Abang Din bangkit membawa cawannya. Bersedia untuk masuk
ke rumah membuntuti emak.
“Abah dengan alang belum balik ke?” soal emak.
Memandangkan hari ini alang juga bercuti seperti Abang Din,
dia membuat keputusan untuk mengikut abah ke kebun.
“Belum.” Aku menjawab sepatah. Mak angguk dan
berlalu masuk ke rumah.
“Ya nak jumpa akak kenapa?” soalku kepada Maria.
“Ya nak... err... Ya nak pinjam...” dia tergagap-gagap.
Pinjam apa?
“Ya buat apa kat sini? Berkebaya sakan. Menyibuk aje!”
Leha pula mencelah. Sinis sekali nadanya. Aku pandang Aizat
namun Aizat terus menghirup air dan bereaksi seolah-olah
hanya dia sahaja yang berada di sini.
“Eh, Kak Leha tu berkebaya juga. Kak Leha buat apa
kat sini? Menyibuk aje.” Kutuk Maria pula. Matanya dijulingkan
ke atas.
Masing-masing berdiri dengan penuh gaya. Macamlah
ada yang suruh uji bakat jadi model. Mungkin sedang
membandingkan siapa lebih cantik antara mereka agaknya. Aku
tahu niat mereka. Tentu mereka nak buat Aizat kagum. Malang
sekali, Aizat hanya sibuk main game COC di telefon bimbitnya.
“Akak datang nak jumpa Abang Aizat.”
Aizat terus mengangkat muka. Senyuman nipis
disedekahkan kepada Maria dan dia kembali menekuni
permainan di telefon bimbitnya.
“Ya pun datang nak jumpa abang.” Terlepas telefon
bimbit Aizat ke ribanya. Terkejut barangkali dengan niat Maria.
Aku? Dah lebih daripada nak marah. Kalau Leha terkejarkan
Aizat, aku boleh terima lagi sebab Leha tak tahu yang aku bakal
menikah dengan Aizat. Tapi... Maria, dia memang dah tahu
sebab kami menghadiri kursus perkahwinan yang sama minggu
lalu.
“Tadi kata nak pinjam apa?” soalku kepada Maria.
“Tak ada apalah kak. Dah lupa.” Maria menjeling Leha.
Lupa? Itu alasan aje! Bukannya nak jumpa dengan aku
sebenarnya. Aku geram sungguhlah. Kenapa Aizat laku sangat
ni?
“Hmm, Leha nak apa jumpa abang?” soal Aizat tiba-tiba
mencelah.
“Leha nak suruh abang menyanyi... macam biasa...”
sengaja ditekankan perkataan ‘macam biasa’ itu supaya Maria
sakit hati. Dan seperti niatnya, wajah Maria sudah cemberut.
Aizat terbatuk-batuk. Suaranya dibetulkan.
“Tali gitar abang putus.” Jawab Aizat.
Eleh, aku tahu dia tipu. Gitar dia elok sangat lagi.
Bersandar elok kat atas kerusi di depan tv. Tapi, bagus juga dia
menipu. Tak adalah sakit otak aku nak dengar dia menyanyi
untuk Leha.
“Padan muka.” Maria tergelak jahat.
“Eh, kau ni!”
Apabila suasana makin kacau, Aizat bangkit dengan
cawan di tangan kanannya. Kedua-dua mereka terdiam.
Lenganku ditarik Aizat.
“Err, abang masuk dulu ye. Melur. Mari masuk. Dah
nak maghrib. Anak dara tak elok duduk kat luar waktu nak
senja macam ni. Nanti jadi tak siuman.” Aku rasa, Aizat tujukan
kata-kata itu buat Maria dan Leha. Wajah mereka dah macam
orang tertelan kapur barus.
“Hmmm.” Dengan bangganya aku menurut sambil
tangan kiri membawa dua buah cawan sekali gus. Tak adalah
semak otak aku dengan pergaduhan mereka.
“APA YANG kau dah buat sampaikan dikejar sebegitu rupa?”
soal Abang Din sewaktu aku dan Aizat melangkah masuk ke
dalam rumah.
Aizat sengih. Aku menjulingkan mata ke atas. Riak dia,
bangga sangat dikejar perempuan tak siuman dua ekor tu.
“Entah. Aku ingatkan yang sorang lagi tu nak cari
kau.” Aizat berkata selamba.
“Aku tak ada peminat macam kau. Kalau ada pun, aku
tak mahu. Tak selera aku tengok. Bedak tebal macam tu. Aku
ingat hantu cina datang rumah. Mujur takde kertas kuning
bertepek kat atas dahi. Kalau ada tadi, aku orang pertama cabut
lari.” Kata Abang Din selamba.
“Aku lagilah tak berselera. Aku nak solat kejap.” Aizat
berlalu begitu saja. Lega aku apabila dia kata yang dia tak
berselera dengan Leha dan Maria.
“Besar dugaan Melur dengan Aizat ni, abang rasa.
Bersiap sedialah nak hidup bermadu.” Abangku berbunyi.
Aku menjelirkan lidah.
“Geli betul!” aku mencemik. Abang Din tergelak.
“Ramai yang suka Aizat. Pelik jugak abang bila Melur
buat jual mahal. Tapi Aizat beritahu abang, Melur suka dia.”
Terbuntang mata aku mendengarnya.
“Heee yerk. Bila masa entah orang suka dia? Perasan
betul dia tu.” Kutukku selamba.
“Yalah. Dia cakap Melur menangis bila dia beritahu dia
ada awek nama Jasmin.”
Heee! Kenapa Aizat ceritakan kepada Abang Din pasal
tu? Benci betullah! Itu pun nak perasan. Aku menangis sebab
aku takut rosakkan hati perempuan yang bernama Jasmin.
Boleh pakai ke alasan tu?
“Ah! Mata orang masuk habuk waktu tu.” Nafiku.
“Dia cakap, Melur marah Maria bila Maria nak
berkenalan dengan dia.”
Alamak! Semua tu dia nak cerita ke? Apa kena dengan
Aizat ni? Tak baik betullah dia beritahu tentang aku dekat
Abang Din! Tak patut aku biarkan mereka keluar berdua. Habis
pecah rahsia aku.
“Fitnah melampau! Dahlah! Orang masuk bilik!” Aku
menolak tubuh Abang Din. Abang Din tergelak dan suara dia
gelak tu menyakitkan hati aku.

No comments:

Post a Comment