“KENAPA kau tak call aku beritahu mummy
ada dekat ofis pagi tadi?” tanya Tengku Iskandar kepada
Tengku Haziq ketika mereka menonton perlawanan bola
sepak di televisyen malam itu.
Tengku Haziq yang sedang mengunyah popcorn
melempar pandangan kepada abang sepupunya yang duduk
di sofa.
“Manalah aku tahu mummy nak datang ofis. Kalau
aku tahu, awal-awal lagi aku dah beritahu kau.”
Tengku Haziq ni biarpun dia muda dua tahun daripada
Tengku Iskandar, namun dia tak pernah nak berabang-abang
dengan Tengku Iskandar. Macam tak ‘masuk’ pula apabila nak
panggil Tengku Iskandar ‘abang’. Dulu, selalu jugalah Tengku
Mummy menegur. Tapi dia buat tak dengar saja. Akhirnya
Tengku Mummy dah malas nak tegur lagi.
“Yalah tu. Entah-entah kau pun bersekongkol
dengan mummy. Sengaja nak suruh mummy ceramahkan
aku pagi-pagi. Kau tu kan spy mummy. Apa je yang aku buat,
mesti kau nak sampaikan dekat mummy.”
Tidak dinafikan, Tengku Haziq memang mata-mata
Tengku Maria dalam memerhatikan tingkah laku Tengku
Iskandar. Tapi banyak juga rahsia Tengku Iskandar yang tak
diberitahu kepada Tengku Maria. Terutama sekali aktiviti
sosial tahap melampau Tengku Iskandar itu.
Baginya, biarlah dia yang cuba menasihati Tengku
Iskandar terlebih dahulu sebelum Tengku Mummy mencuci
telinga abang sepupunya itu. Dia tak mahu Tengku Mummy
kecewa apabila mengetahui aktiviti melampau Tengku
Iskandar biarpun dia yakin pasti Tengku Mummy dapat
menghidu aktiviti tersebut. Cuma bukti saja belum kukuh.
“Aku bukan macam tu la. Aku tak pernah nak suruh
mummy cuci telinga kau tu.” Sangkal Tengku Haziq.
Tengku Iskandar mencebik. Kurang percaya dengan
omongan Tengku Haziq. Dia bukan tak tahu hubungan rapat
mummynya dengan Tengku Haziq. Anak saudara paling
disayangilah katakan. Orang kuat mummy tu!
“Tapi apa yang mummy cakap tu betul juga, kan?
Sampai bila kau nak terus hidup dalam dosa macam ni?
Minum arak dan tidur dengan perempuan yang bukan halal
bagi kau. Kau tu bukannya muda lagi Is. Dah masuk dua
puluh lapan tahun. Sepatutnya dalam umur macam ni, kau
dah boleh berfikir secara matang dan mendekatkan diri pada
agama. Bukannya nak ikut nafsu kau tu semata-mata.”
Tengku Iskandar menjulingkan matanya ke atas
dengan tangan yang sudah melakonkan isyarat bebelan
daripada Tengku Haziq. Adik sepupunya itu memang mewarisi
perangai mummy yang kuat berleter. Kalaulah Tengku Haziq
itu perempuan, sah dah jadi minah leter.
“Hah, tengok tu. Kalau orang nak bagi nasihat,
bukannya kau nak dengar pun. Mulalah nak buat muka. Kau
tak takut ke dengan penyakit? Tidur dengan entah mana-mana
perempuan. Tiba-tiba terkena HIV. Tak ke mengharukan?
Kau sendiri juga yang menderita tau.” Lancang benar mulut
Tengku Haziq berkata begitu.
Seraya itu juga Tengku Iskandar terus membaling
kusyen kecil segi empat ke muka Tengku Haziq. Balingan
yang mengena tepat pada sasarannya.
“Kau boleh tak jangan cakap yang bukan-bukan?
Mulut tu main lepas aje!” Geram dia dengan Tengku Haziq.
Mujurlah lelaki itu adik sepupu yang disayanginya. Jika
tidak, sudah lebam agaknya biji mata Tengku Haziq terkena
penumbuk sulungnya. Mulut tak bertapis langsung!
“Aku cakap yang betul la. Kau tu… sepatutnya kau
kena ingat semua ni. Bukan ikut nafsu kau tu aje.”
“Aku… kalau nak ‘main’ pun, kena ada ‘sarung’. Kau
ingat aku nak ke ‘main’ macam tu aje tanpa ada pelindung.
Sorry! Safety first okay!” Dengan Tengku Haziq, dia memang
tak pernah nak berahsia apa-apa. Semua diberitahu.
Mencebik Tengku Haziq mendengarnya. Safety first
la sangat! Kalau Allah dah turunkan bala, pakai ‘sarung’ tebal
macam mana pun tetap kena jugak.
Deringan telefon bimbit Tengku Iskandar
kedengaran. Laju lelaki itu melompat turun dari atas sofa.
Hendak dibiarkan telefon itu terus berbunyi, mengganggu
pula. Tak tenang dia nak menonton perlawanan bola sepak
antara MU menentang Chelsea.
Pada skrin tertera nama Sellina. Tengku Iskandar
mengeluh. Malasnya dia hendak layan Sellina. Perempuan itu
tentu nak ajak dia keluar lagi. Dalam malas-malas pun, talian
tetap dijawab. Jika tidak, tentu Sellina akan menelefonnya
sepanjang malam.
“Where are you, dear?” suara rengekan Sellina
kedengaran.
“I dekat kondo.”
“What? Darling… you tahu tak I dah tunggu you
dekat satu jam. Kenapa you tak keluar lagi? Kan you kata nak
keluar dengan I malam ni!” Melantun tinggi vokal Sellina
apabila mendapat tahu Tengku Iskandar masih berada di
kondonya.
“Sorry Lina. I tak boleh keluar malam ni.”
“Tapi you dah janji dengan I, kan. I don’t care! You
kena datang juga ambil I sekarang!”
“I takde janji okey. You aje yang pandai-pandai nak
ajak I keluar malam ni. Lagipun you tak boleh nak paksa-paksa
I.” Apa Sellina ingat dia itu teman wanita Tengku Iskandar
ke sampai main paksa-paksa? Baru Tengku Iskandar layan
lebih sikit, sudah pandai-pandai nak tunjuk kuasa. Huh…
perempuan perangai macam Sellina ni memang dia tak hadap
sangat pun. Setakat dijadikan teman atas katil saja.
Tanpa menunggu kata-kata lanjut Sellina, terus saja
dia memutuskan talian. Telefon bimbitnya juga dimatikan.
Tidak mahu ada sebarang gangguan. Kemudian dia
melangkah semula ke sofa.
“Sellina?” tanya Tengku Haziq. Semua teman wanita
Tengku Iskandar dia kenal. Takde seorang pun yang dirasakan
sesuai menjadi pendamping abang sepupunya itu. Rata-rata
wanita yang mendampingi Tengku Iskandar hanya mahukan
wang ringgit Tengku Iskandar saja.
Tengku Iskandar hanya mengangguk. Sebal hatinya
dengan Sellina. Pandai-pandai nak paksa dia.
“Apa dia nak?”
“Apa lagi… ajak keluar la.”
“So?”
Tengku Iskandar mendengus. “Aku tak nak!”
Kepala Tengku Haziq yang keras ke depan sudah
dipusingkan ke arah Tengku Iskandar. Dipandang wajah
abang sepupunya itu. Pelik!
“Yang kau pandang aku macam tu, kenapa?” Marah
Tengku Iskandar apabila Tengku Haziq pandang dia sebegitu.
“Takdelah. Aku rasa pelik pula bila kau tak nak
keluar malam ni. Biasanya kau kan mana reti duduk dekat
kondo ni. Kondo ni hanya tempat persinggahan kau. Kau kan
kaki clubbing.”
“Kau ni Haziq, kalau tak membebel macam mummy
tak boleh ke? Suka hati aku la nak keluar ke tak nak. Yang
kau sibuk tu apasal? Aku keluar, kau bising. Aku duk rumah
pun kau bising. Rimas la! Asyik nak pot-pet pot-pet macam
mummy!”
Tersenyum Tengku Haziq melihat wajah bengang
Tengku Iskandar.
“Yalah. Yalah. Aku tak bising lagi. Kau ni sejak kena
cuci telinga dengan Tengku Mummy siang tadi, itu pun nak
sentap.”
Tengku Iskandar mendengus. Semakin geram dia
dengan Tengku Haziq. Nasib baik dia memikirkan lelaki
itu ada hubungan darah dengannya. Kalau tidak, memang
awal-awal lagi dia tendang Tengku Haziq keluar dari
kondonya itu. Tak suka benar dengar Tengku Haziq asyik nak
membebel bagi ceramah. Itu belum keluar ceramah-ceramah
agamanya lagi. Lagilah dia bosan nak dengar.
PESANAN MELALUI interkom yang disampaikan oleh
Muthusami tadi membuatkan Tengku Iskandar bergegas
turun ke bawah. Tidak lupa dia bawa sekali Tengku Haziq.
Di ruang lobi, kelihatan Muthusami dan Musa yang
sedang bertugas tengah meleraikan pertengkaran dua orang
wanita seksi. Seorang pakai baju warna kuning, seorang lagi
pakai baju warna merah menyala.
“What’s going on?” tegur Tengku Iskandar kepada
Sellina dan Wanda.
“Darling….”
“Dear….”
Serentak Sellina dan Wanda merengek.
Masing-masing sudah bergerak mendapatkan Tengku
Iskandar. Lengan sasa lelaki itu dipaut. Kiri, Wanda. Kanan,
Sellina.
“Apa yang korang buat kat sini?” tanya Tengku
Iskandar tanpa nada. Tengah syok dia bersorak tengok
perlawanan bola sepak bersama Tengku Haziq, tiba-tiba
Muthusami menghubunginya memberitahu ada dua orang
wanita sedang bergaduh nak jumpa dia di bawah. Buat mood
dia spoil saja!
“I nak jumpa you la darling. Nak minta maaf dengan
you. Sorry….” rengek Sellina manja-manja kucing siam.
Wanda mencebik. Geli telinganya mendengar suara
si Sellina yang manja ala-ala ratu rock tanah air. Mengada!
“Dear… kenapa you tak jawab call I? Kata nak
keluar dengan I. Jom la kita keluar dear.” Wanda tidak mahu
mengalah. Dia menarik perhatian Tengku Iskandar dengan
menyentuh pipi lelaki itu agar memandang wajahnya. Sudah
tiga hari Tengku Iskandar tidak melayannya. Menelefon pun
tidak.
“Hei… kalau bercakap tu tangan duduk diamlah.
Jangan nak sentuh-sentuh!” Sellina menampar tangan Wanda
yang naik ke pipi Tengku Iskandar.
“Yang kau dengki ni apasal? Suka hati I la!” Wanda
membentak. Tangannya sudah menarik rambut panjang
keperangan Sellina.
“Auch! Sakitlah bodoh!” teriak Sellina kesakitan
apabila rambut panjang kerintingnya ditarik kasar oleh
Wanda.
“Kau tu yang bodoh! Perempuan kampung lupa
daratan!” cebik Wanda. Dia kenal Sellina kerana ada antara
rakan sekerjanya di kelab malam yang duduk satu kampung
dengan gadis itu.
“Kalau aku perempuan kampung, kau tu GRO tak
sedar diri! Dahlah GRO, ada hati nak tackle Tengku Iskandar.
Tak sedar diri!”
Berapi Wanda mendengar cacian Sellina. Pantas
dia bergerak dan bertindak untuk menyerang Sellina yang
bermulut celopar. Ditarik kuat rambut panjang Sellina.
“Arghhh… sakitlah!” adu Sellina. Tangannya juga
sudah laju memukul bahu Wanda sekuat hati.
Tengku Haziq sudah menggeleng-geleng. Kelakar
pula dia tengok dua orang wanita sedang bergusti berebut
seorang lelaki. Macam kucing nak rebut ikan pula. Ini kalau
dia sempat bawa telefon bimbit dan masukkan dalam youtube,
memang ramai yang komen. Kalah cerita pergaduhan artis.
Sementara Tengku Iskandar pula sudah bulat
matanya memandang pergaduhan dua wanita itu. Panas
hatinya melihat perangai tak tahu malu Sellina dan Wanda.
Pantas dia ambil keputusan mahu meninggalkan dua wanita
itu di situ. Malas dia nak ambil port. Bergaduh sampai rambut
gugur pun takpe.
Menyedari Tengku Iskandar sudah bergerak
meninggalkan mereka, laju Sellina dan Wanda berlari
mendapatkan lelaki itu. Masing-masing mahu memujuk
Tengku Iskandar.
“Darling!”
“Dear!”
Sekali lagi lengan sasa Tengku Iskandar menjadi
sasaran mereka berdua. Suara sudah merengek-rengek
macam kucing nak beranak. Geli telinga Tengku Haziq
dengar rengekan dua wanita bergaya seksi itu. Entah macam
manalah abang sepupunya boleh berselera dengan wanita
gedik macam Sellina dan Wanda itu. Kalau dia la, bagi
percuma pun dia tak mahu Sellina dan Wanda. Menyakitkan
otak saja.
Abang sepupunya memang gemar kepada
perempuan-perempuan seksi. Kalau perempuan bertudung
dan berbaju kurung, memang Tengku Iskandar tak akan
layan. Bukan tastenya konon. Huh… perempuan tak cukup
kain macam itu jugalah taste Tengku Iskandar. Perempuan
yang tak tahu nak jaga maruah diri.
“Lepaslah!” bentak Tengku Iskandar melepaskan
tangannya dari pegangan Sellina dan Wanda.
Terkejut dua wanita itu. Wajah masing-masing
sudah berubah.
“Hei… korang dengar sini ya. From this moment…
I want no further contact with either of you! This is over!”
“Tapi….” Wanda mahu bersuara namun Tengku
Iskandar menambah lagi.
“Aku tak pernah pun anggap korang teman wanita
aku. Aku cuma anggap korang ni teman aku bersosial. Jadi
jangan nak berlebih-lebih pula. Aku tak suka!”
“Is… sampai hati you. Bukan you sayangkan I ke
selama ni?” Hati Sellina terluka. Masuk sebulan dia bersama
Tengku Iskandar, sangkanya lelaki itu tulus menyayanginya.
Rupanya Tengku Iskandar sekadar menganggap dia sebagai
teman bersosial.
“Tak payah nak berlakon sangatlah Lina. I bukan
tak tahu siapa you. Bukan I saja lelaki dalam hidup you, kan?
Ramai lagi lelaki yang you pernah hinggap sebelum dengan I.
You ingat I ni bodoh sangat ke, tak tahu semua tu?”
Mata Tengku Iskandar tajam merenung anak mata
Sellina, membuatkan Sellina terkulat-kulat sehingga tidak
mampu membalas pandangan Tengku Iskandar. Rahsianya
selama ini rupanya dapat dihidu lelaki itu. Sangkanya Tengku
Iskandar tidak tahu perilakunya selama ini. Rupanya dia silap
menilai.
“Lagipun… I tak pernah cintakan you. Sekadar sayang
sebab I memang sayang pada semua perempuan-perempuan
yang I dampingi. Tak lebih pun daripada itu.”
Wah… memang dasar playboy Tengku Iskandar ni.
Sudah puas dia hirup madu, dia buang bagaikan sampah.
Inilah yang dikatakan ‘habis madu sepah dibuang’. Tapi
masalahnya, si Sellina itu bukannya ada madu sangat pun.
Sudah basi!
Tidak mahu berlama, Tengku Iskandar menekan
butang lif. Tak kuasa nak memujuk Sellina dan Wanda.
Lega dapat memutuskan hubungan dengan dua wanita yang
memeningkan kepala. Tidak rugi pun meninggalkan Sellina
dan Wanda. Dia masih ramai ‘stok’ dalam ‘gudang’. Bila bosan
nanti, pandailah dia cari ‘stok’ baharu.
Simpati Tengku Haziq melihat nasib Sellina dan
Wanda. Beginilah padahnya jika menjadi kekasih Tengku
Iskandar. Lama-kelamaan pasti akan kena tinggal juga. Tidak
pernah dia lihat abang sepupunya itu mempunyai hubungan
yang lama dengan teman-teman wanitanya. Paling lama
mungkin hanya tiga bulan. Itu pun tidak ramai yang bertahan
hingga tempoh itu. Ramai yang ditolak setelah sebulan dua
mereka berhubungan.
“Tak patut kau buat Sellina dan Wanda macam tu.
Biarpun diaorang tu merimaskan, tapi kau sendiri yang bagi
harapan kat diaorang.” Ujar Tengku Haziq ketika mereka
berada dalam lif.
“Ah… aku takde pun bagi harapan dekat diaorang
berdua tu. Diaorang aje yang perasan.”
“Kalau kau tak layan diaorang macam bagi harapan,
takdenya diaorang nak berharap lebih-lebih. Salah kau
jugak.”
Tengku Iskandar macam itulah. Jika dia bersalah
sekali pun bukannya nak mengaku. Ego melangit!
“Ziq… kau boleh tolong aku tak?” Wajah Tengku
Haziq dipandang.
“Tolong apa?”
“Tolong diam! Aku tengah bengang ni. Tak
pasal-pasal karang penumbuk aku singgah kat muka kau tu
pula.” Tengku Iskandar memberi amaran keras. Dia tengah
bengang giler dengan situasi yang baru terjadi sebentar tadi.
Tengku Haziq pula masih tak henti nak membebel. Sebiji
macam mulut mak cik-mak cik.
Tengku Haziq mencebik. Apa abang sepupunya itu
ingat dia ini tunggul kayu? Kalau ditumbuk tak tahu nak
melawan? Silap orang. Tapi dia turut juga amaran Tengku
Iskandar. Bukan sebab dia takut, tapi kerana dia menghormati
permintaan abang sepupunya itu.
Biarlah Tengku Iskandar bertenang setelah apa yang
terjadi sebentar tadi. Memalukan sungguh. Harap-haraplah
perkara tadi tidak sampai ke pengetahuan Tengku Mummy.
Jika tidak, mahu setahun Tengku Mummy membebel. Bukan
kepada Tengku Iskandar saja, malah dia juga turut terkena
tempias bebelan ibu saudaranya itu.
Tengku Iskandar menghempas kasar punggungnya.
Rambut dikuak ke belakang. Serabut betul otaknya apabila
hal sebegini terjadi. Sellina dan Wanda memang sudah
melampau. Berani mereka mencari dia sampai ke kondonya.
Dah tu siap bergaduh pula. Menjatuhkan air muka dia saja.
“Arghhh!” Tengku Iskandar menjerit sambil
mengibas-gibas rambutnya yang hitam berkilat.
Tengku Haziq hanya mengerling dari ekor mata.
Malas nak ambil peduli. Kalau dia bagi nasihat sekalipun,
bukannya Tengku Iskandar nak dengar. Mentang-mentang
dia ini berpangkat adik kepada Tengku Iskandar, oleh itu
nasihatnya tidak berguna. Asyik nak ikut kepala sendiri saja.
“Aku rasa, aku nak bercuti la.” Ujar Tengku Iskandar
dengan kepala mendongak merenung siling.
Tiada respons daripada Tengku Haziq. Dia hanya
mendiamkan diri dengan mata tertumpu pada siaran
televisyen yang masih menayangkan perlawanan bola sepak
antara MU menentang Chelsea. Gara-gara pergaduhan Sellina
dan Wanda tadi, terbantut dia menyaksikan perlawanan yang
semakin getir. Mana tidaknya, kedudukan sekarang sudah
seri dengan MU satu dan Chelsea satu. Masa pula semakin
mencemburui kedua-dua pasukan. Dia berharap sangat agar
pasukan kesayangannya, MU akan menambahkan jaringan.
“Kepala aku ni serabut betul sejak dua menjak
ni. Macam-macam yang aku fikir. Mana dengan perangai
perempuan-perempuan tu, mana dengan desakan mummy
yang nak jodohkan aku dengan Puteri Waiduri. Bosan betul!”
“Pasal perempuan-perempuan tu, kau juga yang cari
penyakit. Siapa suruh pasang ramai sangat awek sampai ada
yang sanggup bergusti nak dapatkan kau?”
Itu komen Tengku Haziq. Pasal Puteri Waiduri pula,
dia tak bagi sebarang komen. Puteri Waiduri Megat Sufian itu
merupakan anak saudara Tengku Mummy. Tengku Mummy
dan Tengku Liza bersepupu. Mungkin disebabkan ikatan
persaudaraan inilah Tengku Mummy mahu menjodohkan
Tengku Iskandar dengan Puteri Waiduri.
Tapi jika dia diberi peluang untuk memberi sebarang
komen dan pilihan, dia akan kata abang sepupunya itu tidak
sesuai dengan Puteri Waiduri. Sikap Puteri Waiduri cukup
menjelikkan. Sombong betul. Berlagak pun ada juga. Dulu
ketika mereka bersekolah dan duduk dalam kelas yang sama,
dia cukup tidak berkenan dengan sikap gadis itu yang sering
merendah-rendahkan golongan yang kurang berkemampuan
sepertinya. Malah Puteri Waiduri hanya berkawan dengan
mereka yang sama taraf dan kedudukan dengannya saja.
Setakat anak jurutera atau doktor, jangan haraplah dia nak
kawan.
“Aku rasa nak bercutilah. Nak rehat.” Sekali lagi
Tengku Iskandar meluahkan hasratnya. “Kau temankan
aku ya?” sambungnya mengharapkan jawapan ‘ya’ daripada
Tengku Haziq. Tak seronoklah nak bercuti seorang diri. Kalau
ada Tengku Haziq, ada juga teman untuk diajak bersembang
walaupun mulut Tengku Haziq itu kuat saja nak berleter.
Sekurang-kurangnya dia tak adalah rasa sunyi sangat.
“Aku tak bolehlah. Banyak kerja kat ofis.”
“Alaaa… bukannya lama pun. Dua tiga hari je.”
“Dua tiga hari pun... itu boleh menimbunkan
kerja-kerja aku.”
Tengku Iskandar mendecit. Tengku Haziq ni
memang seorang yang kuat bekerja. Susah sangat nak ambil
cuti. Sebab itu Tengku Haziq menjadi orang harapan daddy
dalam hal-hal kewangan syarikatnya.
“Ziq… aku bukannya bawa kau bercuti sebulan atau
dua bulan. Dua atau tiga hari aje. Cuti hari Jumaat. Hari Isnin
masuk la kerja. Takkan itu pun kau tak boleh.”
Kali ini giliran Tengku Haziq pula mendecit. Dia
bukan tak faham dengan sikap Tengku Iskandar yang suka
mendesak itu. Pandai saja mengata Tengku Mummy kuat
mendesak, dia pun dua kali lima juga. Like mother, like son!
“Kau nak bercuti dekat mana?”
Bibir Tengku Iskandar sudah merekah dengan
senyuman. Ini yang buat dia sayangkan Tengku Haziq. Adik
sepupunya itu tidak pernah menghampakannya. Biarpun
mulutnya kuat membebel, namun Tengku Haziq merupakan
satu-satu teman rapat yang cukup memahami.
“Cameron Highlands.”
No comments:
Post a Comment