DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 24 May 2016

Demi Bahagia Ini - Bab 18

“KAU pasti perempuan yang kau nampak tu
Sarah?” Farid bertanya kepada sahabatnya Badrul.
“Aku taklah pasti sangat sebab perempuan tu pakai
cermin mata hitam. Lepas tu bertudung litup dan berjubah
pulak tu… Tapi masa aku jalan melintasi dia kat KLIA tadi, dia
tengah cakap dalam telefon. Suara dia macam suara Sarah!”
Badrul menjeling ke arah Farid yang duduk bertentangan
dengannya di atas sofa. Sudah beberapa hari Farid menumpang
dan bersembunyi di kondonya. Semuanya gara-gara takut
ditangkap polis atau paling ditakutinya bertentangan mata
dengan daddy serta papa mentuanya.
“Aku tak rasa tu Sarah…” Farid memberikan
pandangan. “Takpe… nanti aku akan jumpa jugak dengan dia.
Dia takkan boleh lari daripada aku!” Dengus Farid.
Badrul memandang Farid.
“Kenapa kau belasah dia teruk sangat macam tu?
Apa dia buat kat kau?” Sedikit marah nada suara Badrul. Dia
tidak mengerti bagaimana Farid tergamak memukul isterinya
sampai begitu sekali. Padahal Sarah Qireena yang dikenalinya
seorang yang lembut perwatakannya. Menurut apa sahaja
kemahuan Farid. Tidak pernah membantah. Namun, melihat
cara Sarah Qireena memandang Farid, terdetik di hatinya yang
mengatakan Sarah Qireena sebenarnya takut akan suaminya.
“Ah, tu kau tak payah nak ambik tahulah. Itu antara
aku dengan Sarah,” sombong Farid membalas. “Kau tolong
pergi belikan aku dinner. Aku nak rehat kejap.”
Mencerlung mata Badrul memandang Farid yang telah
kembali baring di atas sofa dan menutup matanya.
‘Dahlah menumpang rumah aku. Tahu nak memerintah
je. Ingat aku ni kuli dia ke apa?’ Namun kata-kata amarah itu
hanya mampu diucapkan Badrul dalam hatinya sahaja. Dia tahu
benar perangai Farid. Pemalas. Baran. Hanya cakap Farid sahaja
yang betul dan perlu diikuti.
Badrul bangun lalu mencapai kunci keretanya dari atas
meja. Belum sempat dia melangkah menghampiri pintu masuk,
daun pintu terlebih dahulu telah diketuk dari luar. Tanpa
berlengah, Badrul membuka pintu. Terkejut besar dia melihat
Tan Sri Ali Saifuddin dan Dato’ Malek berdiri di muka pintu.
Dato’ Malek menolak Badrul ke tepi dan melangkah masuk.
Marah dia melihat Farid berbaringan di atas sofa seolah-olah
tiada apa yang terjadi di sekelilingnya.
“Farid!” Tempik Dato’ Malek.
Farid tersentak. Suara itu dikenalinya. Matanya dibuka
perlahan. Tercengang dia melihat daddy serta papa mentuanya
di hadapan mata. Dia terus duduk dan meraup mukanya.
‘Mimpi ke aku ni?’ Farid segera memalingkan mukanya
ke arah Badrul. Sangkanya Badrullah yang telah membocorkan
rahsia persembunyiannya selama ini. Tanpa bersuara Badrul
menggeleng-gelengkan kepalanya, seolah-olah dapat meneka
tuduhan yang dilemparkan dari anak mata Farid kepadanya.
“Pengecut punya budak! Kat sini kau bersembunyi ya!”
Getus Dato’ Malek. “Mana Sarah?”
“Mana Farid tahu.” Farid membalas. Takut dia melihat
wajah bengis ayahnya itu. Papa mentuanya masih diam tidak
bersuara. Setakut-takut dia kepada daddynya, takut lagi dia
kepada Tan Sri Ali Saifuddin.
“Hei! Bukan kau ke yang belasah dia separuh mati?
Siapa yang ajar kau pukul perempuan ni, hah? Tak malu! Tahu
nak malukan daddy dengan mummy je. Apa kau nak cakap pada
papa Ali?”
Farid mendongak dan memberanikan diri memandang
papa mentuanya. Terus dia merendahkan pandangannya. Tidak
sanggup melihat wajah bengis papa mentuanya itu.
“Tu hal rumah tangga Farid. Daddy tak perlu masuk
campur. Sarah isteri Farid, hak Farid. Takde siapa boleh kacau.”
Dato’ Malek hilang kesabaran yang dibendungnya.
Dicekaknya baju di leher Farid dan memaksa Farid berdiri.
“Kurang ajar punya budak!” Ditamparnya muka
Farid dengan tangan kanannya. Tan Sri Ali Saifuddin tidak
menghalang. Sesungguhnya dia ingin melakukan lebih lagi
terhadap menantunya itu. Kurang ajar.
“Daddy pukul Farid? Daddy tak pernah pukul Farid.
Sekarang pasal perempuan tu, daddy sanggup pukul Farid?”
“Perempuan tu isteri kamu. Isteri kamu! Patutnya dah
lama daddy pukul Farid. Taklah Farid jadi macam sekarang
ni…” Dato’ Malek melepaskan dengan kasar pegangannya di
baju Farid dan Farid terdorong ke belakang. Marah dan malu
Farid dilakukan begitu, terutama sekali di hadapan Badrul yang
selama ini begitu menyanjungnya.
“Alaaah… memanglah Sarah tu isteri Farid, tapi dia
bukannya pilihan Farid. Daddy dengan papa made a business
arrangement! Selama ni Farid anggap papa jual Sarah pada
Farid dan daddy jual Farid kepada Sarah. So that both of you
could make a profit together. Jadi Farid boleh buat apa saja
pada Sarah…”
Tan Sri Ali Saifuddin terduduk mendengar kata-kata
Farid. Dia sudah tidak mendengar lagi jeritan dan hamburan
kata-kata kesat Dato’ Malek terhadap Farid. Dia hanya
mendengar perkataan jual dari mulut kurang ajar menantunya
itu.
“Kenapa kau pukul dia?” Tan Sri Ali Saifuddin akhirnya
bersuara. Perlahan.
“Hai, suka hati Faridlah!” Pertama kali Farid bersifat
kurang ajar terhadap papa mentuanya. Selama ini dia terlalu
menggeruni papa Sarah Qireena. Kini kerana ego dan
kelelakiannya tercabar, dia berani menjawab begitu kepada
pertanyaan Tan Sri Ali Saifuddin tadi.
“Ikut daddy sekarang!” Perintah Dato’ Malek.
“Pergi mana? Farid nak duduk sinilah…” Bidas Farid.
“Jangan degil. Kalau degil, daddy panggil polis!” Dato’
Malek hanya mengugut.
Tidak sesekali dia akan menyerahkan anak lelaki
tunggalnya itu kepada pihak polis. Farid bakal mewarisi harta
dan perniagaannya. Anak-anak perempuannya yang lain tidak
meminati bidang perniagaan ini, maka sandarannya hanyalah
kepada Farid. Dato’ Malek juga menyedari Tan Sri Ali Saifuddin
tidak akan sekali-kali membuat laporan polis. Takut reputasinya
akan tercemar dengan berita-berita negatif sebegini.
Dengar sahaja ugutan daddynya itu, Farid mula takut.
Dia bangun dan terus keluar dari rumah Badrul. Di muka pintu
dia sempat berpesan.
“Bad, kau kemas baju aku semua, lepas tu kau hantar
kat rumah daddy aku.”
Panas hati Badrul mendengar arahan Farid itu.
‘Mengada-ngada betul. Sikit ucapan terima kasih pun
takde!’
“Ali, aku minta maaf. Farid tak pernah kurang ajar
macam ni. Aku tak tahu mana silapnya. Biar aku bawak dia
balik dulu. Kalau ada apa-apa, aku akan call…” Dato’ Malek
memegang bahu Tan Sri Ali Saifuddin. Malu betul dia dengan
kelakuan Farid sebentar tadi.
Tan Sri Ali Saifuddin hanya mengangguk. Hatinya
masih panas mendengar kata-kata Farid mengenai Sarah
Qireena. Dia tahu bagaimana hendak mengajar menantunya
itu. Hanya kerana dia tidak melaporkan perkara ini kepada pihak
polis, tidak bermaksud dia akan melepaskan Farid begitu sahaja.
Dia hanya menunggu masa. Yang paling utama, Sarah Qireena
mesti dicari dahulu. Bagaimana pula dengan Sofiah Qistina?
Tan Sri Ali Saifuddin mengeluh. Dia benar-benar buntu.

No comments:

Post a Comment