SUDAH dua jam bas meninggalkan Terminal
Bas Hentian Duta. Timah sudah pun terlentok di sebelah
Qistina. Qistina masih memandang kosong ke luar tingkap.
Bas ekspres masih meluncur laju membelah Lebuh Raya
Utara-Selatan. Tidak sabar rasanya untuk memeluk Mak
Esah dan merasakan belaian kasih daripadanya. Mak Esahlah
yang terlalu memanjakannya selama ini, bukan Puan Sri Ani
Suraya. Rasanya, dia tidak pernah merasakan air tangan ibu
kandungnya sendiri. Semuanya Mak Esah. Setitik susu badan
ibu kandungnya pun, tidak pernah dia rasa.
Namun, rasa kasih dan sayangnya kepada Puan Sri
Ani Suraya tidak pernah pudar dari jiwanya. Jasa ibu kandung
yang telah mengandungkannya selama sembilan bulan tidak
akan dilupakannya. Biarpun Puan Sri Ani Suraya terlalu
sibuk sehingga tidak sempat membesarkannya tetapi dia tahu
mamanya menyayanginya, dengan caranya yang tersendiri.
Pagi tadi Qistina menerima mesej daripada kakaknya
memintanya pulang ke rumah dan memohon kemaafan
daripada papanya. Qistina dinasihati agar akur dengan
permintaan papanya agar kehidupannya di kemudian hari
lebih terjamin dan kekal mendapat sokongan papanya. Qistina
tersenyum mendapat mesej daripada kakaknya itu. Ingin sahaja
dia membalas bahawa rezeki itu datangnya daripada Allah, dan
bukan daripada papanya. Namun dia hanya mampu bertanya
siapakah yang meminta kakaknya itu menghantar mesej
kepadanya. Balasan yang diterima, ‘mama.’
Pasti mamanya memikirkan bahawa dirinya tidak
mampu berdikari. Risau dengan keadaan dirinya yang nekad
meninggalkan rumah daripada tunduk pada permintaan
papanya. Namun mama tidak tahu kecekalan hatinya. Walaupun
Qistina anak bongsu, peribadi dan perwatakannya lebih cekal
dan kuat daripada kakak serta abangnya sendiri.
Tiba-tiba Qistina merasakan lengannya dikuis lembut.
Dia memalingkan mukanya. Timah terkebil-kebil sambil
menggosok matanya.
“Kau tak tidur ke?” Soal Timah sambil menekup mulut
yang tiba-tiba menguap.
“Aku tak ngantuklah…”
Timah mengamati wajah Qistina. Matanya melekap
kepada kecantikan Qistina yang begitu terserlah. Sesetengah
orang bila pakai tudung lawa, tetapi bila freehair, tidak lawa.
Dan ada orang, sebaliknya pula. Namun Qistina begitu anggun
ketika mengenakan tudung dan ketika freehair juga begitu.
Qistina memang lain daripada yang lain. Begitu classy di mata
Timah. Kekayaan dan kemasyhuran keluarganya, langsung
tidak menghilangkan sifat rendah diri dalam jiwanya. Namun
ada sesuatu mengenai Qistina yang membezakannya daripada
perempuan lain.
“Apasal kau tenung aku macam tu? Tudung aku tak
betul ke? Susah jugak ek nak pakai tudung bawal ni?” Sambil
bertanya, Qistina mengusap-ngusap tudung di kepalanya.
“Aku rasa tudung bawal ni sesuailah dengan kau.
Kau nampak cantik sangat, Ina,” ikhlas Timah menyuarakan
pendapatnya. Pagi tadi, ketika Qistina keluar dari bilik siap
berbaju kurung cotton berwarna putih dengan bunga-bunga
kecil berwarna ungu muda bersama tudung bawal, juga
berwarna ungu, Timah hanya mampu terlopong melihat
perubahan Qistina. Rambut Qistina yang panjang, lurus serta
ikal, tidak lagi kelihatan. Disorok kemas dalam ikatan tudung
di kepala.
“Aku pakai tudung bukan berniat nak cantik, Tim.”
Qistina tidak selesa mendengar kata-kata Timah sebentar tadi.
“Eh, aku ikhlas bagi pendapat aku je, Ina. Kau tu,
memang dah lawa mengalahkan ratu cantik kat Malaysia ni.
Jadi pakai apa pun, kau akan tetap cantik jugak my fren.”
Qistina tergelak. Dicubitnya lengan Timah yang juga
ketawa mendengar lawaknya sendiri.
“Aku jeles tengok lesung pipit kau tu… kat pipi ada
lekuk, kat dagu ada lekuk… tu yang buat Along gila bayang kat
kau tu.” Timah masih berjenaka.
“Dulu Along kata kau ni versi Melayu pelakon Preity
Zinta.” Teringat Timah akan kata-kata abangnya suatu waktu
dahulu yang pernah membandingkan Qistina dengan pelakon
terkenal Bollywood itu. Semua kerana lesung pipit sebelah di
wajah Qistina. Sama seperti Preity Zinta.
“Isy... Kau jangan! Tak hingin aku dapat adik ipar
macam kau ni. Dahlah kau lagi tua daripada aku!” Qistina
membalas sambil ketawa. Sudah lama dia tahu yang abang
Timah menyimpan perasaan terhadapnya, namun Qistina tidak
pernah memberi sebarang harapan kepada Khairul. Malah
beberapa kali Qistina memberi bayangan kepada Khairul yang
dia hanya menganggap Khairul seperti abangnya, tidak lebih
daripada itu.
“Kau tak payah risaulah Ina. Along tak lama lagi nak
bertunang.”
“Hah? Ye ke? Alhamdulillah. Fuh! Lega aku, Tim.
Taklah kekok sangat bila abang Khairul ada nanti.”
Timah tersenyum. Abangnya sudah lama menyimpan
perasaan terhadap kawan baiknya ini. Cumanya tidaklah
sampai dia berterus terang akan perasaannya kepada Qistina.
Khairul tahu dia hanya bertepuk sebelah tangan. Maka, dia
lebih sanggup memendamkan segala perasaannya, daripada
meluahkannya kepada Qistina, takut akhirnya akan kehilangan
Qistina sebagai sahabat.
“Ha’ah. Dia nak bertunang dengan anak sepupu mak.
Kira macam dia akan kahwin dengan dua pupulah.”
“Oh,” kata Qistina sambil mengangguk perlahan. “Kau
pulak, macam mana?”
Timah tersentak dengan pertanyaan Qistina. “Hei!
Aku mana ada calon lagi? Siapalah yang nak kat orang tembam
macam aku ni. Engkau lainlah. Semua orang tergila-gilakan
kau.”
“Kau ni... Dah berbuih mulut aku cakap dengan kau.
Janganlah terlampau merendah diri sangat. Lagipun, sesetengah
lelaki suka dengan perempuan yang berisi tau.” Qistina cuba
meyakinkan Timah. Timah tersenyum. Qistina tidak suka setiap
kali Timah merendah-rendahkan dirinya di hadapan Qistina.
“Yalah tu. Mata kau lainlah, Ina.” Timah sedar dirinya
tidaklah secantik Qistina, namun dia tetap bersyukur Allah
mengurniakannya dengan sifat yang secukupnya. Tiada yang
kurang. Cuma tubuhnya yang rendah dan sedikit tembam,
sering menjadi bahan usikan teman-teman lelaki sejak di
bangku sekolah lagi. Penat berdiet. Tetapi sukar benar untuk
dirinya menguruskan berat badan.
“Kau tak boleh biar ejekan orang lain affect kau. Kau
kena yakin dengan keistimewaan kau sendiri. Kalau luaran
cantik macam mana pun, tapi hati dia busuk, orang still akan
kata dia tu tak cantik.” Kata-kata yang sama sering diucapkan
kepada Timah untuk membina keyakinan dirinya.
“Yelah, yelah…” Senyuman di bibir masih terukir.
Sayang benar akan kawannya ini. Dia yang lagi tua daripada
Qistina sepatutnya membawa peranan seorang kakak, bukannya
Qistina, tetapi Timah tidak berkecil hati. Timah akan tetap
mengingati segala nasihat dan pesanan Qistina buat dirinya.
Mereka menghabiskan baki perjalanan sambil berbual
mesra. Ada sahaja hendak dibualkan. Timah berhati-hati untuk
tidak mengungkit kejadian semalam agar keterujaan Qistina
untuk pulang ke kampungnya tidak tergugat. Dia sedar Qistina
masih sedih dibuang keluarganya, namun gadis itu pandai
menyembunyikannya dengan senyuman serta gurauannya.
Sesungguhnya, Qistina sudah biasa bersendirian. Timah yakin
Qistina boleh hidup tanpa bantuan mama dan papanya.
“ASSALAMUALAIKUM,” TIMAH memberi salam sambil
mendaki anak tangga. Qistina hanya membuntuti rakannya itu.
Inilah kali pertama Qistina menjejakkan kakinya ke rumah Mak
Esah dan Pak Atan di kampung. Selama ini, Qistina banyak kali
ingin mengikut Mak Esah pulang ke kampung, namun tidak
dibenarkan mama dan papanya. Sejak Mak Esah dan Pak Atan
berhenti berkhidmat dengan mama dan papanya, Qistina hanya
berpeluang melepaskan rindunya terhadap Mak Esah dan Pak
Atan sekiranya mereka menziarahi Timah di Kuala Lumpur.
Dan Timah akan memastikan ibu dan bapanya akan datang ke
Kuala Lumpur setiap kali Qistina pulang bercuti musim panas.
Qistina mengikut Timah untuk turun ke dapur, di
bahagian belakang rumah. Suasana riuh-rendah di ruang
dapur tiba-tiba berubah menjadi sepi ketika Timah mengulangi
ucapan salamnya di ambang pintu dapur. Mak Esah bangun
dari tikar mengkuang yang dibentang di atas lantai dapur dan
pantas meluru ke arah Timah. Dipeluk dan diciumnya si Timah
untuk melepaskan rindu terhadap anak bongsunya itu.
Mak Esah mengilas pandang ke arah Qistina.
“Siapa kawan yang kau… Ya Allah, Ina!” Jerit Mak
Esah, setelah senyuman serta lesung pipit Qistina muncul
di wajahnya. Masakan dia boleh lupa akan lesung pipit itu.
Ditolaknya Timah ke tepi dan disambarnya Qistina ke dalam
pelukan.
“Ya Allah, anak mak dah balik. Rindunya Mak Esah
dengan kau, Ina…” Dalam tangis, Mak Esah mencium pipi dan
dahi Qistina berulang kali.
“Amboi, mak ni. Dah jumpa Ina, Timah ni dah tak ingat
lagi.” Timah memuncungkan sedikit mulutnya, tetapi dalam
hati, dia amat terharu melihat Qistina dipeluk mesra ibunya
tadi. Langsung tiada perasaan cemburu di hatinya.
Mak Esah menjarakkan tubuhnya dan mengamati wajah
Qistina. Qistina menyeka air mata kegembiraan yang mengalir
dari mata Mak Esah. Air matanya sendiri tidak dihiraukannya.
Mak Esah membiarkan sepasang matanya menjalar dari kepala
Qistina, yang kemas dilitupi tudung, hingga ke kaki. Kemudian
balik ke wajah Qistina yang teramat dirinduinya.
“Apa kecoh-kecoh ni?” Suara seorang lelaki menyapa
dari pintu belakang rumah di bahagian dapur.
“Bang, tengok siapa datang ni,” jerit Mak Esah.
Timah menyambut bapanya dengan menyalami
dan mengucupi tangan bapanya. Kemudian dia melihat
ibunya menarik tangan Qistina menghampiri bapanya.
“Assalamualaikum, Pak Atan,” lembut Qistina bersuara. Pak
Atan ternyata terkejut melihat kunjungan Qistina ke rumahnya.
Dia makin terkejut melihat perubahan Qistina.
“Waalaikumussalam.” Serak suara Pak Atan. “Sampai
jugak Ina ke rumah Pak Atan ni. Syukur Alhamdulillah. Moh
kita naik atas. Banyak cerita Pak Atan nak dengar daripada
Qistina.”
Mak Esah ingin mengikut ajakan suaminya itu.
“Wawa, aku naik kejap. Kau buatlah apa yang patut,
ya.” Sempat Mak Esah berpesan kepada jiran sebelah rumahnya.
Makcik Salwa hanya mengangguk.
“Takpe, Esah. Ramai tukang masak bertauliah kat sini.
Kau pergilah naik jumpa anak kau tu.”
Di ruang tamu, Mak Esah mengambil tempat antara
Qistina dengan Timah. Tidak dapat lagi dibendung soalan yang
ingin ditanyanya sejak tadi.
“Mama dengan papa Ina tau ke pasal perubahan Ina
ni?”
Qistina menggelengkan kepalanya. Wajahnya berubah
menjadi suram. Begitu juga dengan wajah Timah. Mak Esah
tidak jadi untuk bertanya lebih lanjut lagi apabila melihat isyarat
dari mata Timah yang meminta ibunya agar tidak meneruskan
dengan pertanyaannya.
“Bila kamu balik, Ina?” Pak Atan cuba mengalihkan
topik perbualan.
“Tak sampai dua minggu pun. Cuma Ina tak sempat
nak call Pak Atan dengan Mak Esah.”
Pak Atan mengangguk. “Dah grad?”
“Dah, Pak Atan. Mama dan papa tak dapat datang masa
Ina grad hari tu. Busy sangat agaknya.”
Pak Atan dapat menangkap kesedihan di sebalik
senyuman yang terukir di bibir Qistina. Sampai hati Tan Sri
Ali Saifuddin dan Puan Sri Ani Suraya tidak melapangkan
masa untuk menghadiri majlis konvokesyen anak mereka
sendiri. Bukannya hari-hari seseorang anak itu mencapai
kejayaan yang begitu membanggakan kedua orang tuanya.
Takkan sampai tidak boleh mengambil cuti untuk sama-sama
meraikan kejayaan anak mereka. Ke luar negara atas urusan
kerja boleh pula, tetapi ke luar negara untuk menghadiri majlis
konvokesyen anak sendiri tidak boleh.
“Cantiknya kau, Ina. Bertambah ayu Mak Esah tengok.
Mula-mula tadi Mak Esah tak kenal, Ina.” Qistina tersenyum.
Lega Mak Esah melihat kesuraman tadi sudah hilang dari wajah
Qistina.
“Terima kasih, Mak Esah. Ina masih orang yang sama.
Tak berubah pun.”
Mak Esah mengusap lembut pipi Qistina. “Rindu Mak
Esah kepada kau, Ina. Syukurlah Ina dah ada depan mata Mak
Esah sekarang.”
“Mak Esah, Pak Atan, kalau Ina duduk sini dalam
seminggu boleh?”
Mak Esah dan Pak Atan saling berpandangan. Sedikit
hairan dengan permintaan Qistina tadi. Pak Atan memandang
Timah pula. Timah mengisyaratkan dengan gelengan kecil
kepalanya agar tidak bertanya mengapa.
“Mestilah boleh. Berapa lama Ina nak duduk sini,
duduklah. Mak Esah tak kisah. Mak Esah lagi suka.” Qistina
menggenggam erat tangan Mak Esah tanda terima kasih.
“Timah, Ina, pergilah masuk bilik dulu. Lepas solat,
pergi dapur, makan apa yang ada. Lepas tu mana yang larat
tolong untuk kenduri malam ni, tolonglah. Kalau penat, takpe.
Rehat je dalam bilik.”
Qistina mengikut Timah masuk ke dalam biliknya.
Dilabuhkan penatnya di atas katil.
“Kau pergilah mandi dulu, Tim. Aku nak rehat kejap.
Lepas kau dah sudah, kau kejut aku, ya?” Qistina memejamkan
matanya.
Terubat sudah rindu Qistina terhadap Mak Esah dan
Pak Atan. Dia mengerti Mak Esah dan Pak Atan ingin tahu
apa yang menyebabkan dia datang ke mari. Biarlah. Banyak
lagi masa untuk dia menceritakan segalanya kepada mereka.
Timah hanya menggelengkan kepalanya melihatkan kawannya
berbaring di atas katil tanpa membuka tudung. Biarlah dulu…
PARA JEMPUTAN kenduri kesyukuran bagi meraikan kejayaan
Timah menggenggam segulung ijazah kini beransur pulang.
Qistina berdiri di beranda memerhatikan Timah dan Mak Esah
mengiringi para jemputan keluar dari halaman rumah.
“Ina?” Suara yang amat dikenalinya itu, menyapanya
dari pintu depan rumah. Qistina menoleh. Di bibirnya terukir
sekuntum senyuman yang manis.
“Abang Khairul! Abang Khairul apa khabar?” Sejak
Qistina sampai ke rumah Mak Esah dan Pak Atan siang tadi,
barulah sekarang dia dapat bertegur sapa dengan Khairul,
abang Timah. Khairul pulang lewat petang tadi dari Ipoh,
sejurus sebelum masuknya waktu maghrib dan terus bersiap
untuk ke masjid menjemput orang masjid. Langsung tidak
berpeluang untuk menegur Qistina. Khairul mendekati Qistina
yang berdiri di anjung rumah.
“Abang sihat, Alhamdulillah. Ina macam mana?”
Direnungnya wajah gadis yang amat disayanginya itu. Sudah
setahun tidak berjumpa, Qistina kini semakin jelita, semakin
ayu, semakin mempesonakan. Dibuangnya perasaan itu jauh ke
dalam lubuk hatinya. Tidak mahu Qistina merasa tidak selesa
di sampingnya.
“Ina okey. Ina dengar abang dah nak bertunang, ya?
Tahniah Ina ucapkan.” Senyuman yang terukir di bibirnya
tulus dan ikhlas. Entah mengapa hatinya tidak pernah bertaut
kepada Khairul. Bukannya Khairul tidak tampan, bukannya
Khairul tidak baik. Cuma tiada sebarang perasaan sayang di
hatinya melainkan perasaan sayang terhadap seorang abang dan
seorang teman.
“Terima kasih…” Khairul berdiri di sebelah Qistina
dan sama-sama memandang ke hadapan.
“Mak kata Ina nak duduk sini dengan Timah selama
seminggu. Betul ke? Bila nak mula kerja dengan syarikat papa?”
Khairul pantas bertanya soalan lain kepada Qistina. Tidak
mahu memberi peluang kepada Qistina bertanyakan perihal
pertunangan yang bakal diikatnya tidak lama lagi. Dia belum
bersedia. Qistina mengeluh kecil.
“Entahlah…” Itu sahaja yang mampu dijawab Qistina.
Tidak tahu bagaimana untuk berterus terang dengan Khairul.
Biarlah sekali sahaja dia menceritakan kepada mereka nanti.
Mak Esah dan Timah mula melangkahkan kaki naik
ke atas rumah. “Moh kita masuk rumah. Kat luar ni banyak
nyamuk,” pelawa Mak Esah. Qistina dan Khairul hanya
menurut. Qistina mengikut Timah turun ke dapur untuk
mengemas mana-mana yang perlu.
Sejam kemudian, semua ahli keluarga Pak Atan dan
Qistina duduk bersandar di ruang tamu, kepenatan. Kopi yang
baru dibancuh dihirup perlahan. Lebihan kuih-muih daripada
kenduri tadi, dijamu dan dinikmati bersama. Mak Esah
memandang Pak Atan, sambil mengisyaratkan ke arah Qistina
dengan matanya. Pak Atan mengerti.
“Ina, kamu kenapa sebenarnya ni? Tak nak cerita
kepada kami ke?” Lembut Pak Atan bertanya. Pak Atan melihat
Timah dan Qistina berbalas-balas pandang. Cawan di tangan
diletakkan kembali ke atas piring dan dilabuhkan di atas meja
kopi di ruang tamu. Qistina tahu dia tidak boleh berlengah
lagi. Inilah masanya untuk berterus terang dengan keluarga
angkatnya ini. Tiada rahsia antara mereka.
“Sebenarnya... Pak Atan, Mak Esah, Ina… errr… Ina
kena halau dari rumah. Semalam…” Qistina tunduk ke bawah.
Tidak sanggup untuk melihat riak wajah Pak Atan dan Mak
Esah. Ternyata mereka begitu terkejut mendengar kata-kata
Qistina. Khairul juga begitu. Masing-masing berbalas pandang.
Timah sahaja yang kelihatan tenang.
“Ya Allah! Kenapa Ina? Ina ada buat salah ke?” Mak
Esah cuba meneka.
Qistina menggerakkan bibir, langsung diluahkan
segala apa yang terjadi sejak dia pulang dari London. Mana
yang perlu ditapis, dia tapis elok-elok. Tidak perlu dia ceritakan
tentang Remy dan perangainya secara terperinci. Cukuplah
dia mengatakan bahawa si Remy tu anak manja kesayangan
Dato’ Idris Mansor, seorang buaya darat, kaki botol, suka
berparti dan yang tidak pernah puas berdampingan dengan
seorang perempuan pada sesuatu masa. Mereka mendengar
Qistina bercerita tanpa sebarang gangguan. Sesekali mereka
mengangguk, dan sesekali mereka menggelengkan kepala.
“Habis tu, Ina nak buat apa sekarang?” Soal Mak Esah.
Kasihan dia mendengar nasib Qistina. Dari dahulu lagi dia
menyedari kemahuan Tan Sri Ali Saifuddin mesti diturut anak
isterinya. Tiada siapa yang berani membantah kehendaknya.
Kini, hanya Qistina yang berani.
“Ina nak cari kerjalah Mak Esah. Tak bolehlah goyang
kaki je, kan?” Qistina cuba senyum. Namun senyumannya tawar
dan hambar. “Ina mungkin nak cari kerja kat London.”
“Bila kau buat keputusan ni?” Timah tersentak.
London? Jauhnya! Dia tidak sanggup berpisah dengan Qistina
lagi. Qistina memalingkan wajahnya untuk merenung Timah
yang duduk bersebelahan dengannya.
“Kan aku cakap semalam aku tak boleh kerja kat KL.
Ramai sangat orang kenal papa dengan mama aku. Tapi kalau
difikirkan balik, bukan setakat KL je, kat mana-mana pun kat
Malaysia ni orang kenal diaorang. Jadi susahlah aku nak cari
kerja kat Malaysia ni. Baik aku balik London je. Aman hidup
aku.”
Sebenarnya, keputusan untuk mencari kerja di
London hanya diputuskan ketika di dalam bas pagi tadi. Makin
difikirkan, makin tenang hatinya.
Timah menggelengkan kepalanya. “Kau nak tinggalkan
aku lagi, Ina?” Matanya mula berkaca.
“Kau baru je balik. Sekarang ada hati nak cari
kerja kat London pulak. Sampai hati kau Ina…” Lirih suara
Timah. Qistina mula tidak berasa selesa. Khairul pula asyik
merenungnya tanpa henti sejak tadi. Tidak tahu apa yang
difikirkannya. Langsung tidak bersuara.
“Alaah, Tim. Janganlah sedih. Selama ni pun aku takde,
kan? Tapi kita masih macam dulu jugak. Takde beza pun, kan?”
Qistina cuba memujuk Timah. Dia tidak mahu Timah menangis
kerana dia tahu dia akan turut menangis bersama Timah. Dia
tidak boleh melihat temannya mengalirkan air mata. Kesedihan
temannya, kesedihannya juga.
Mak Esah tidak bersetuju dengan rancangan Qistina
kerana dia juga tidak sanggup berpisah dengan anak yang
dibesarkannya itu. Namun di hati kecilnya, dia tahu keputusan
Qistina adalah yang tepat dan terbaik demi menjaga aqidah
serta imannya. Dia tahu pengaruh Tan Sri Ali Saifuddin begitu
kuat dan dia juga tahu apa yang papa Qistina sanggup lakukan
bagi memaksa Qistina tunduk kepadanya. Langkah yang sama
pernah dilakukan kepada kakak Qistina, Sarah Qireena dulu
untuk memaksanya berkahwin dengan Farid.
Tiada siapa boleh lari daripada kemahuan Tan Sri Ali
Saifuddin. Dia tidak mahu Qistina menjadi mangsa kekejaman
papanya yang gila kuasa dan gila harta itu. Elok juga sekiranya
Qistina menghilangkan diri untuk sementara waktu. Mana
tahu dalam masa itu juga Qistina akan berjumpa dengan
jodohnya sendiri. Sayang, Qistina tidak mempunyai sebarang
perasaan terhadap Khairul. Walaupun begitu, sekiranya Qistina
mempunyai perasaan terhadap Khairul pun, tidak mungkin Tan
Sri Ali Saifuddin akan membenarkan Qistina berkahwin dengan
anak orang gaji sepertinya.
“Mak Esah setuju!” Tegas Mak Esah bersuara. Timah
terpinga-pinga. Dia ingatkan ibunya akan membantah
keputusan Qistina sebentar tadi.
“Pak Atan pun setuju!” Ternyata Pak Atan juga
berfikiran sama dengan isterinya. Timah tidak berpuas hati. Dia
mencebik ke arah ibu dan bapanya. Dia menyangkakan yang
kedua orang tuanya akan memujuk Qistina untuk kekal tinggal
di Malaysia sahaja.
“Kenapa pulak ni? Mak dengan ayah ni sanggup ke
kalau tak jumpa dengan Ina bertahun-tahun lamanya?”
“Itu bukan soalnya, Timah. Kau akan faham nanti…”
Perlahan Mak Esah bersuara.
“Relakslah, Tim. Bukannya aku nak pergi esok. Aku
kena cari kerja dulu kat sana. Nak kena contact balik syarikatsyarikat
yang pernah ambik aku kerja masa buat praktikal dulu.
Lagipun kalau aku kerja kat sini, aku takkan rasa amanlah…”
Timah masih tidak mengerti. Namun sebelum sempat
dia berkata-kata, isyarat mata daripada ibunya membuat dia
diam menyepi. Timah bangun. Ditariknya tangan Qistina
bersama.
“Jomlah, aku penat. Nak tidur. Besok sambung balik…”
Wajah Timah masih masam mencuka.
“Ha’ah, pergilah tidur dulu, Ina. Esok kita sambung
balik.” Mak Esah membiarkan sahaja Qistina ditarik Timah.
Selepas pintu bilik Timah ditutup, Mak Esah memandang
suaminya.
“Kesiannya Ina, bang. Sampai hati Tan Sri buat macam
tu kat darah daging dia sendiri.Tapi kalau Ina tak pergi dari sini,
Esah tahu macam-macam Tan Sri akan buat untuk paksa Ina
kahwin dengan si Remy tu.” Suara Mak Esah melirih.
Pak Atan mengangguk. Setuju benar dia dengan
pendapat isterinya itu.
“Kau kenapa, Along? Senyap je dari tadi?” Mak Esah
memandang Khairul pula.
“Nak cakap apa lagi mak? Ina tu bukannya budak kecik.
Dia dah boleh buat keputusan dia sendiri. Selama ni pun, mak
yang cakap Ina tu tak macam abang dan kakak dia.” Perlahan
Khairul bersuara.
Khairul tidak berhak masuk campur dengan keputusan
yang telah dibuat Qistina sebentar tadi. Siapalah dirinya kepada
gadis itu. Mungkin lebih baik sekiranya dia terus berjauhan
dengan Qistina. Mungkin perasaan yang disangkakan telah
hilang selama ini, tetapi telah menerjah kembali sejak petang
tadi dapat dibuang terus jauh dari hati dengan peninggalan
Qistina nanti. Dia perlu memupuk kasih sayang agar mekar
kepada bakal tunangnya. Bukan kepada gadis itu.
“Taklah… mak tengok kau ni lain macam je… Tak
berkelip kau pandang si Ina tu. Kau jangan lupa, Along. Kau tu
dah nak bertunang… jangan diharapkan pada yang mustahil…”
Mahu sahaja Khairul menjawab, tiada yang mustahil.
Jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Tetapi kali ini, entah
mengapa hatinya begitu pasti yang Qistina bukan untuknya.
“Takdelah, mak. Takkan Along nak lupa pulak…
Errr… mak, ayah, Along masuk tidur dululah. Esok Along
kena balik semula ke Ipoh.” Lagi cepat Khairul pulang ke Ipoh
lagi bagus. Takut dia hanyut dengan perasaannya terhadap
Qistina sekiranya dia lebih lama lagi di sini. Biarlah dia yang
menjauhkan diri.
“Cepatnya kau nak balik.” Pak Atan tidak berpuas hati.
Mak Esah turut sama mengangguk.
“Banyak kerjalah, ayah…” Jawapan selamat diberikan.
“Hah, yalah. Pergilah tidur…”
No comments:
Post a Comment