DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 25 May 2016

Samurai - Bab 5

“MAK, ni ada orang datang. Nak demo cara
menggunakan mesin jahit jenama Epal katanya.” Aku melaung
nama mak.
Mak aku keluar dari bilik dengan membetulkan tudung
di kepala tidak lama kemudian. Dia tersenyum ke arah lelaki
yang membawa sekotak mesin jahit itu. Aku berjalan penuh
berhati-hati ke ruang tamu. Sakit pinggang menyengat. Salah
tidur agaknya malam tadi.
“Ya?” itu saja soalan yang keluar dari mulut mak aku.
“Mak cik, saya Amri. Saya ada soalan untuk mak cik.
Mak cik pernah guna mesin jahit yang ini tak? Ia mudah. Boleh
dibawa ke mana-mana. Tak payah guna kaki. Tak adalah sampai
cramp kaki menekan mesin jahit tu.” Terus saja dia bagi intro
tanpa melengahkan masa.
Mak aku tersenyum. Suka sangatlah bab-bab mesin
jahit ni.
“Meh masuk. Mak cik nak tengok.” Mak mempelawa.
Lelaki itu mengangguk.
Lima minit kemudian, semuanya siap terbentang di
ruang tamu. Dengan kain percanya, dengan peralatan tambahan
menjahitnya...
Selepas menghidangkan air untuk tetamu, mak
aku tekun melihat lelaki muda yang kacak itu menunjuk
demonstrasi cara menggunakan mesin jahit keluaran terbaru
itu. Kononnya.
Tak lain tak bukan, nak mencekik duit oranglah ni. Tapi
aku yang memerhati ni terpaku juga. Memang mudah sekali
cara pemasangan dan penggunaannya. Kalau guna mesin jahit
lama, makan masa setengah jam agaknya nak pasang semua
sekali. Tukar benang pun terkial-kial... yang ini, cangkuk sana
cangkuk sini, settle.
“Mak cik ada anak dara perempuan. Ha, bukan setakat
mak cik aje yang boleh guna. Cik adik ni pun boleh guna
sekali.” Kata lelaki itu sambil tersenyum manis. Aku membalas
senyumannya.
“Ehem!” Tiba-tiba Aizat muncul dari biliknya. Dia
duduk di sebelah aku. Aku menjelingnya. Dia jeling aku balik.
“Anak mak cik ke ni?” soal Amri. Aizat
menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Bakal suami dia.” Nak termuntah darah aku
mendengarnya. Kenapa dia jatuhkan market aku, ha? Abang
yang promote mesin jahit ni kacak. Baru ingat nak main mata.
Geram sungguh aku!
“Sepupu.” Aku menjelingnya. Biar dia sedar sikit
pangkat kami.
“Tak lama lagi bertukarlah pangkat tu.” Dia menayang
muka ketat. Aku buat muka meluat. Nak menang saja dia ni.

“SUDAH-SUDAHLAH TU, Melur. Baik buat sesuatu yang
berfaedah sikit. Habis kain-kain tu dijahitnya.” Mak membebel.
Aku tengah jakun lagi dengan mesin jahit ni, memanglah.
Semua benda yang terkoyak sikit, pun aku jahit.
Lagi satu, macam-macam jahitan yang aku belajar
tadi. Baik betul lelaki tu tolong ajarkan aku cara-cara menjahit
sulaman dan macam-macam lagi jenis jahitan. Cara alter baju
dan seluar jean juga diajar. Lepas ni jimat duit nak kecilkan
baju dan seluar. Memang bagus betullah.
“Alang-alang kau tengah excited sangat nak menjahit
tu, apa kata kau jahit baju aku yang koyak ni?” Aizat datang
dengan baju koyaknya.
Aku mendengus. Baju t-shirt lengan pendek berwarna
hitam penuh dengan imej rocknya itu aku jeling saja.
“Tak mahulah. Jahitlah sendiri. Awak bukannya tak
ada tangan.” Aku menjawab dengan muka tak bersalah.
“Melur, tolong?” dia berbudi bahasa sedikit. Aku
mencemik. Memanglah aku tengah ghairah mencuba mesin
jahit baru tapi... untuk menjahit baju dia secara percuma?
Malaslah! Bayarlah...
“Melur, tolonglah Abang Aizat tu.” Mak masuk campur.
Baru aku nak buat jual mahal sikit. Kalau tak, dah dapat duit
poket. Huh.
“Yalah. Yalah. Bak sini.” Aku meminta dengan tak
rela. Dia tersenyum sinis. Macam tak nak senyum pun ya juga.
Berdosa sangat ke kalau senyum dengan ikhlas?
“NAH...” AKU menghulurkan bajunya. Dia mengambil
gumpalan bajunya itu dengan menayang muka bangga. Bangga
apabila berjaya menghamba abdikan aku. Tak apa, sekejap aje
muka bangga dia tu. Percayalah cakap aku. Aku lebih tahu.
Dia membelek bajunya yang aku tolong jahitkan tadi.
Automatik wajahnya bertukar serius. Baju diangkat tinggi
dengan kening bertaut. Aku tahu dia marah.
“Apa pasal kau jahit baju aku macam ni?” soalnya sinis.
Aku angkat bahu, sambil-sambil tu aku simpan mesin
jahit yang mak baru beli dan bayar secara ansuran itu ke dalam
kotaknya semula. Aku takut nak pandang muka dia. Yalah,
orang dah buat salah memanglah tak berani bila kantoi.
“Aku tanya ni!” Dia mendesak.
“Dia jahit macam mana? Melur buat apa dekat baju
Aizat?” mak menyoal apabila melihat wajah tak puas hati Aizat.
Aku tahan gelak. Padan dengan muka dia. Siapa suruh
seronok kenakan aku? Inilah balasannya.
“Mak de tengoklah ni. Ada ke patut dia jahit sampai
sempit macam ni. Macam mana saya nak pakai baju ikut bodi
macam ni? Siap sulam nama saya lagi. Warna pink pulak tu.”
Aizat membebel sambil menayang baju t bergambar tengkorak
itu kepada mak aku.
Alamak, habislah aku... mak mesti marah.
Memang aku sengaja alter baju tu sampai kecik macam
baju perempuan. Biar padan dengan muka dia. Tapi cantik apa
aku jahit. Bukan nak puji pun. Dimarah-marah aje aku ni. Lepas
ni barulah satu dunia tahu itu baju dia. Bukan nak hargai usaha
aku menyulam nama dia.
“Melur...” suara mak kedengaran.
Gulp... mak mesti akan meletup. Sangkaanku meleset.
Mak tergelak besar. Lega. Aku juga tumpang gelaklah apabila
tengok respons mak.
“Melur! Tak baik buat macam tu... adoi...” mak marah
sambil tergelak. Sekejap-sekejap dia menyapu air matanya
dengan jari telunjuk. Hanya muka Aizat saja yang maintain
marah. Padan dengan muka. Mak di pihak aku.
“Kau tengok apa kau dah buat kat baju kesayangan aku!
Apa pasal jahit sempit macam ni? Ni bukan baju perempuan!
Kau tetas balik. Jahit elok-elok! Aku tak nak ada nama aku kat
sini!” marah sekali Aizat melihat baju yang aku jahit comel itu.
“Eh, biarlah! Cantik apa? Kalau awak tak nak, boleh
bagi saya.” Aku bercakap macamlah aku suka kat baju corak
tengkorak dia tu. Saja nak panaskan hati dia.
“Banyak cantik muka kau. Tak kira. Aku nak kau jahit
elok-elok balik!” Aizat mendesak. Baju itu dicampakkan ke
pahaku.
“Saya dah simpan...” Aku mengerling ke arah kotak
mesin jahit. Aku kembali mencampakkan baju itu kepadanya.
Dia menyambut dengan sebelah tangan dengan menayang
muka marahnya itu. Okey, dah macam samurai pegang pedang
gaya dia.
“Jahit tangan ajelah. Jahit bahagian yang koyak aje.”
arahnya dengan suara mengendur namun aku tahu dia sedang
serius. Pergh, takut pulak aku. Sayang betul dia dekat baju tu
nampaknya.
“Malas. Awak tak suka, awak jahitlah sendiri.” Aku
berlalu dengan selamba sambil membawa kotak mesin jahit itu
pergi. Nak hantar masuk ke bilik mak.
“Meh, mak de betulkan.” Mak aku memujuk Aizat.
Hesy, mak! Tak payah nak layan budak mengada-ada
tu. Pandailah dia buat sendiri. Semua benda nak harapkan
orang. Suka hati dia saja. Aku tengok koyak bukan besar pun.
Cuma benang dekat bawah baju dia tu aje yang tetas sikit. Siapa
suruh mengada-ada? Kan dah dapat!
“Takpelah, mak de. Saya nak dia yang betulkan.” Kata
Aizat.
Aku tersenyum jahat. Memang aku takkan betulkan
sampai bila-bila. Titik!!!

“HAI LEHA, berita apa pulak ya kali ni? Lembu Pak Seman buat
maksiat dengan kerbau ayah kau ke?” Aku menyindir sebaik
sahaja kelibat Leha melenggang-lenggok datang ke rumahku.
Muka tak tahu malu. Dia menjelingku dan berjalan ke arah
Aizat yang sedang bermain gitar di tangga rumah.
“Sibuklah kau. Aku bukan nak cari kau pun.” Dia
menjelingku.
Aku mencemik. Buah rambutan di dalam bakul, aku
makan. Aizat yang tolong panjatkan tadi. Hehehe. Mesti sebab
dia rasa bersalah denganku. Yalah, dia dah buat aku jatuh dari
pokok minggu lepas. Nyaris tak patah tulang aku. Kalau tulang
aku patah, aku akan pastikan yang dialah orang yang paling
menyesal seumur hidup.
“Habis? Datang sini nak apa? Nak cari penyakit? Ke nak
cari gaduh?” soalku sinis. Memang begitu cara aku bercakap
dengan dia sejak kecil lagi. Kami tak pernah berbaik walaupun
untuk tempoh seminit. Aku tak pernah pasang niat untuk
berkawan dengan dia. Langsung tak pernah!
“Orang nak cari abang...” dia menjelingku.
Abang? Puih! Macam mana pula abang dia, Si Man
Sewel tu boleh ada dekat rumah aku ni? Mengarut betul.
Dia menjelingku dan berdiri tegak di hadapan Aizat. Dia
memintal-mintal rambutnya. Gedik Ya Rabbi! Oh... Aizat ke
‘abang’ dia?
“Abang Aizat, Leha nak minta maaf sebab Leha buat
kacau dulu.” Dia memintal-mintal rambutnya. Aku julingkan
mata ke atas. Geli. Nak menggediklah tu. Aizat angkat kepala.
Jarinya terhenti memetik gitar. Dia memandangku. Aku
menjeling terbalik.
“It’s okay Leha, abang faham.” Dia berkata lembut
sambil menjeling ke arahku.
Aku tercekik biji rambutan.
“Uhuk... uhuk!” Abang? Dengan aku? Tidaklah aku
hadap sangat panggilan tu tapi, ini dah melampau. Dengan aku,
dia beraku-engkau aje. Tapi dengan Leha, si perempuan yang
penjaja cerita ni? Nak pula dia berabang-Leha. Aku tayang muka
meluat. Dasar budak gatal!
Aizat memandangku dengan kening terangkat.
Senyuman senget lagi sinis disedekahkan buatku. Entah kenapa.
Nak tunjuk sangat dia ber'abang' dengan Leha ke macam mana?
Ingat aku hairan agaknya? Aku menghempas bakul rambutan di
sebelahku dengan geram.
“Leha tak sengaja.”
Hmm. Leha pun bukan main lagi. Dah boleh lentur
ke belakang badan dia aku tengok... lentik! Panas biji mata ni.
Tergedik-gedik macam orang tak pernah jumpa lelaki. Geram
aku nak tolong tinjukan dahi dia. Tak sengaja nak jaja cerita?
Boleh ke macam tu? Geli sangat!
“Tak apa, Leha. Abang tak salahkan Leha. Leha nak
buah rambutan yang abang petik tadi? Si bunga Melur ni dah
ambil pulak. Abang cadang nak bagi Leha.” Dia menghampiriku
lantas merampas keras bakul buah rambutan lalu dihulurkan
kepada Leha. Sempat dia menjelingku.
Nak bagi Leha? Dia bukannya tahu pun Leha nak
datang minta maaf hari ni. Sengaja nak sakitkan hati akulah
tu. Dasar makhluk samurai! Mesti dia nak balas dendam kes
baju dia kena alter tempoh hari. Kalau aku tahulah macam ini
perangainya, lebih baik aku letak batu permata dekat kolar baju
dia. Baru padan dengan muka dia.
Leha buat muka terharu mendengar kata-kata
bohong Aizat. Dia menjelingku gedik. Bangga apabila Aizat
sudi menghadiahkan dia sesuatu. Sesuatu yang berbulu. Dan
mataku sudah berbulu menengoknya. Geram betul!
Tadi dia kata, dia beri kepada aku rambutan ni sebab
tak nak aku memanjat lagi. Sekarang? Nak bagi Leha pulak
dah? Mana satu ni? Huh! Menyampah aku! Entah apa yang
istimewa sangat dengan Leha tu pun aku tak tahulah. Selain
boleh bertukar jadi sotong, Leha tu useless. Tak membantu
membangunkan ekonomi negara pun.
Dup! Sebiji buah rambutan yang masih setia di
tanganku, aku campak tepat ke dahi si samurai. Tak dapat nak
tahan rasa marah yang aku sendiri pun tak tahu atas alasan
apa. Padan muka kau! Padan muka! Dia menggosok dahi dan
mengaduh. Aku bangkit.
“Sakitlah bongok!” Dia menjerkahku. Bahuku
terhinggut akibat terkejut dijerkah. Dia ni, kasar
sungguh-sungguh tau. Benci! Bongok dia panggil aku? Dia
memanglah... urff!
“Samurai gila!” Aku jerkah dia semula dengan geram.
Sempat aku hentak-hentak kaki tanda protes. Tak tahulah
kenapa aku mesti rasa bengang sampai tahap ni. Yang pasti, aku
rasa nak campak dia dan budak Leha tu ke landasan kereta api.

“DI ATAS sana tempatmu, bunga Melur... bukan di taman yang
indah, bunga Melurrr... hanya di dahan rambutan, tiada dihiasi
jambangan indah permaiii....” lirik lagu nyanyian Allahyarham
Tan Sri P. Ramlee digubah sedikit semata-mata nak kenakan
aku. Aku rasa terhina sangat. Leha terkekeh-kekeh gelak
mendengar suara Aizat yang menyumbang dengan sendirinya
saat key tinggi dinyanyikan.
Mujur suara dia tak sampai menyanyikan lagu itu.
Kalau sampai, ada juga kaki aku sampai ke muka dia.
“Hahaha! Abang Aizat ni pandailah buat lawak!”
Si Leha meliuk lentok di sisi Aizat sambil
menggulung-gulung rambutnya yang dah bergulung macam
rambut Negro tu. Urfff. Aku nak muntah sangat. Kenapa mesti
nama aku Melur? Aku tak suka nama ni! Tak suka! Tak suka!
Kenapa tak nama Siti Nurhaliza ke, apa ke? Yang sedap-sedap
sikit ke? Siapa yang taruk nama aku Melur ni? Heee.
“Pandai kan abang gubah lagu?” riak dia menyoal
Leha. Leha pun apa lagi... meliuk lentok lebih aktif macam baru
ditukar bateri saja.
Matanya sempat menjeling ke arahku. Menyampahnya
aku tengok Leha. Sudah berhari-hari dia jadi pendatang asing
tanpa izin di sini. Benci sungguh aku. Nak melepak dekat
pangkin ni lama-lama pun aku dah tak lalu kalau muka inilah
yang perlu aku hadap setiap masa.
Rasa panas hati menyaksikan kemesraan dua ekor kera
jadian ini. Bunyi enjin motor semakin hampir. Pada mulanya
aku rasa posmen yang datang tapi... aku rasa aku kenal bunyi
motor yang ekzos meletup-letup kencang tu.
Eh? Dah lama aku tak nampak dia. Haha, yeay! Tak
adalah aku rasa nak sakit hati lagi. Tak perlulah aku nak
layankan sangat pemandangan yang menanahkan biji mata aku
ni.
“Abang Aizat, abang nyanyikanlah lagu untuk Leha
pula.” Tergedik-gedik Leha meminta. Ada chance aku tolak
masuk longkang budak gedik ni karang.
“Aselehei... ha, lehe, Leha patah leher!” Ijai tanpa
disuruh, menyanyikan lagu itu khas untuk Leha berserta
tariannya.
Kahkahkah! Kat situ juga aku gelak gila-gila. Padan
dengan muka dia. Kelat wajah Leha dikerjakan sahabat karibku
yang sememangnya anti dengan dia juga. Muka Aizat juga
berubah. Nak tergelak tapi dia tahan. Sibuk cover... pandang ke
belakanglah, apalah. Nak gelak, gelak ajelah!
“Leha tak suruh pun kau menyanyi, Ijai!” Leha
menghentak-hentakkan kakinya tak puas hati.
“Bukan aku menyanyi untuk kau pun. Aku menyanyi
untuk Melur.” Balas Ijai sambil menjelirkan lidahnya.
Aku gelak lagi. Nak terkencing sungguh aku rasa
ni. Aku memang suka apabila tengok Ijai berperang mulut
dengan Leha sebab akhirnya mesti Leha kalah. Ijai ni laser juga
mulutnya. Pernah dia suruh Leha balik ke planet asal sebab
Leha tak macam orang dari bumi katanya. Menangis-nangis
Leha dikutuk sebegitu. Itu zaman sekolah dululah. Tapi itu
yang paling kelakar pernah dia katakan kepada Leha.
“Heee!” jerit Leha geram.
“Ijai! Kau apa khabar? Lamanya tak jumpa. Makin
handsome ar.” Aku tumbuk bahunya.
Dia tergelak sambil mengambil duduk di sebelahku.
Semenjak bercinta dengan Nora ni, bukan main lagi dia
menjaga penampilan. Rambut sentiasa bersisir kemas. Baju
pula memang smart habis. Mujurlah tak pernah lupa aku.
Kalau dia lupa aku, tahulah nasib dia bagaimana.
“Aku malas nak datang sini sangat. Kau pun tahu
kan mulut orang kampung ni. Semuanya... hmm. Nak-nak
perempuan gedik tu,” dia menyindir kuat.
Aku angguk. Tak dinafikan, mulut orang kampung
ni suka sangat mengata. Tak tahu macam mana nak bendung
dah. Leha menjeling. Terasalah tu. Memang aku tahu yang Ijai
sengaja nak bagi dia terasa.
“Aku rindu kau. Dah lama tak berborak dengan kau.”
Aku mencebikkan bibir, konon-konon nak menangis. Dia
mencemik.
“Mengadalah kau ni! Eh, kejap. Dalam raga motor aku
ada hadiah untuk kau. Gaji pertama aku yang baru naik pangkat
ni.” Tegak telinga aku mendengar perkataan hadiah. Yes! Yes!
Yes!
Naik pangkat? Dari supervisor dia jadi apa erk? Ah, tak
kisahlah! Janji aku dapat hadiah. Ijai berjalan ke arah motor
lantas mengambil kotak bungkusan hadiah dan plastik yang
aku tak tahu apa isinya.
“Untungnya aku... hadiah apa?” soalku teruja.
Eh? Kenapa suasana sepi je? Dah tak menyanyi ke Aizat?
Aku kerling ke arahnya. Mukanya masih serius merenung aku.
Macam nak telan. Si Leha pula memandangku dengan muka
ketat sambil berpeluk tubuh. Agaknya dia dengki aku yang
mendapat hadiah daripada Ijai. Pedulilah! Werk werk! Padan
muka, kau tak dapat. Siapa suruh kau terhegehkan penganggur?
“Tengoklah sendiri.” Kata Ijai sambil menyerahkan
hadiah itu dan kembali duduk di sebelahku.
Di dalam plastik itu rupa-rupanya ABC yang dibungkus
dalam cawan plastik. Dua cawan. Yeay! Dah lama tak makan ABC.
Aku cucuk straw dekat ABC cup itu. Kemudian, aku serahkan
kepada Ijai. Straw kedua aku cucuk di cawan yang lagi satu
untuk aku. Kami menyedut sama-sama sambil berbual-bual.
Kalau jumpa Ijai memang meriah sungguh duniaku.
Dia sahabat yang tidak pernah kedekut denganku dan sentiasa
mendengar masalahku. Dia sahabat terbaik yang pernah aku
ada.
“Bukalah kotak tu.” Arah Ijai sambil memuncungkan
mulutnya ke arah kotak hadiah yang diberinya tadi.
“Eh... comelnya, Jai.” Aku terjerit kecil. Aku
mengeluarkan dua patung beruang bersaiz kecil. Comel
sungguh. Tak pernah lagi aku dapat hadiah secomel ini.
“Aku memang comel. Yang tu kau, yang ni aku.” Ijai
tergelak apabila dia menunjukkan yang dialah patung yang
memakai skirt itu manakala aku patung yang memakai tuxedo.
Pertukaran jantinakah?
“Hahahaha. Mana boleh kau jadi yang pakai skirt dan
aku pakai seluar.” Aku memprotes sambil tergelak. Dia ikut
gelak.
“Yalah! Perangai kau kan macam jantan sikit. Dengan
memanjat pokoknya lagi... Aku tak. Aku sopan orangnya.” Dia
melaser aku.
“Habis? Kau sopan macam perempuanlah?”
Kan, dah kena. Ada ke patut aku yang sangat bersopan
santun ni dikatakan macam jantan? Helo? Kalau aku macam
jantan, tunjuk buktilah! Kalau setakat memanjat pokok itu, dah
biasalah! Ramai perempuan Melayu terakhir yang panjat pokok.
“Aku tak cakap pun. Aku cuma cakap yang aku ni
sopan. Sopan tak semestinya macam perempuan. Tapi kalau
perempuan hilang kesopanan, lain pula.” Dia membidas.
“Eleh, biarlah. Kalau aku macam perempuan Melayu
terakhir, mesti kau tak nak kawan dengan aku. Nampak tak
hikmah tu? Allah dah buat kita saling melengkapi.” Selamba
aku membalas.
“Malas aku nak layan kau ni Melur. Mesti nak menang
aje. Minggu ni kau dapat apa-apa kerja tak?” soalnya tiba-tiba.
“Tak. Aku miskin tahap papa kedana dah ni.” Aku
merungut. Yalah. Minggu ni tak ada langsung orang kampung
nak buat majlis kahwin. Kalau ada, mesti diaorang cari aku
untuk upah buat hantaran atau gubahan tepak sirih.
“Itulah. Kalau kau datang rumah aku, tolong mak
aku... hari-hari dapat duit. Bukan setakat dapat duit, hari-hari
kau dapat jumpa aku. 2 in 1 lagi.” Dia membebel.
“Bukan aku tak nak tolong. Kau fahamlah kalau mak
kau jumpa aku macam mana? Mana nak bagi aku balik.” Aku
merungut. Dah memang betul. Aku sampai seram nak pergi
rumah dia kerana layanan mak dia sangat-sangat baik. Mak
kata, mak dia teringin sangat nak anak perempuan. Itu yang
pantang nampak aku, mesti tak bagi aku balik.
“Hahaha! Aku ingat lagi waktu mak aku peluk cium
kau dulu. Kau menangis dan menggelupur macam orang gila.
Sampai menjerit-jerit nak balik.” Ijai memecahkan rahsia aku
dengan bercakap menggunakan volume suara paling tinggi.
Itu kali pertama aku ikut Ijai pulang ke rumah kerana dia kata
maknya ajak aku makan bersama.
“Yalah. Dah mak kau pergi perkenalkan diri dia tu
nenek kebayan. Siapa tak takut?” Aku tergelak kuat. Rasa
macam baru lagi semua tu. Teringat aku menangis macam
orang gila sebab takutkan mak Ijai. Puas mereka pujuk aku.
Waktu tu arwah abah Ijai ada lagi.
“Melur! Tak elok gelak berdekah-dekah macam tu. Kau
tu anak dara!” jerkah Aizat tiba-tiba. Tertelan anak tekak aku
dibuatnya. Terkejut kena jerkah. Ijai turut terdiam.
“Padan dengan muka, gedik sangat!” Leha menjelirkan
lidahnya kepadaku. Rasa malu apabila dijerkah di depan Leha
dan Ijai.
“Tak boleh ke sekali aje kau tak berkasar dengan aku!”
jerkahku semula dengan nafas yang turun naik. Air mata mula
merembes. Geram.
Buat pertama kalinya aku bahasakan diri 'kau-aku'
dengan dia. Muka dia nampak berubah. Terkejut dijerkah
agaknya. Leha juga nampak tergamam. Apa mereka ingat aku
takut?
“Melur, Aizat cakap benda betul...” mak aku yang
mengintai dari tingkap menyampuk.
Mungkin mak nak menegur aku yang gelak kuat ni
kut. Aizat, kalau dia tegur secara baik tak apalah juga. Ini dia
menjerkah. Aku tak kacau pun hidup dia. Sibuk ajelah mamat
ni!
“Semuanya Aizat yang betul. Semua dia betul!”
Aku menjerit geram dan berlari masuk ke dalam rumah
meninggalkan hadiahku dan Ijai. Aku gelak pun salah. Aku diam
pun salah. Aku buat apa-apa semuanya salah! Sakitnya hati aku.
SELEPAS KES itu, aku langsung tidak bertegur sapa dengan
Aizat. Leha jauh sekali. Setiap kali dia melenggang di rumahku,
aku naik terus ke dalam rumah. Malas aku nak menyaksikan
drama sebabak mereka. Aku jadi berat mulut. Bengang. Bengang
dengan Aizat. Dia tak pernah cuba berlembut denganku. Apa
dosa aku pada dia entah.
Buktinya, baru tadi. Aku tak usik dia sikit habuk
pun, dia sibuk pula mengendeng dan mengejek-ejek aku.
Tak habis-habis dia memanggil aku bunga melur. Bila aku
mendengus, dia tukar jadi bunga telur. Menyampah! Kejam
sungguh.
Kalau setakat ejek sahaja aku tak hairan lagi. Ini, dia
sibuk dengan perangai nak mengadanya itu. Setiap hari Leha
datang rumah dan dia akan menyanyikan Leha lagu cinta
samurainya. Dengan aku tak ada pula dia nak menyanyi macam
tu. Aku benci dia. Bukan cemburu. Tapi... urgh! Aku tak tahu
kenapa?
“Abang Aizat...” suara sengau manja menggedik itu
lagi yang menjadi santapan telinga aku setiap hari. S.E.T.I.A.P
H.A.R.I! Aku menjeling terbalik. Kalaulah dia tahu betapa aku
bencikan dia... huh!
“Ya Leha...” lembut bukan main Aizat membalas.
Melayan. Gatal!
“Apa pandang-pandang?” Aizat menjegilkan mata ke
arahku. Terkejut aku.
Aii, pandang pun tak boleh dah sekarang ek? Sakit
sungguh hati aku ni, Tuhan saja yang tahu. Kalau tak nak aku
pandang, pergilah dating atas pokok. Biar satu kampung pulak
yang pandang.
Ini aku rasa nak sembur dua ekor ni dengan Ridsect!
Biar mampus keras macam nyamuk gajah. Heee. Kenapa aku
nak marah sangat pun, aku tak tahu. Geram.
Hari ni samurai panjat pokok rambutan lagi. Tapi
kali ni dia tak bagi aku usik langsung buah tu. Dia kawal
rapi. Kedekut pula dia. Bila aku nak memanjat, sibuk pula dia
melarang. Macamlah dia abang aku. Abah pula ikut melarang
sama apabila dia mengadu kat abah. Benci sungguh aku.
“Leha nak buah tu.” Mulut Leha memuncung dari
jauh. Jari telunjuk menggulung-gulung rambutnya. Selalu
buat gedik macam tu.
“Dia takkan bagi.” Aku mencemik. Tadi dia petik tapi
dia tak hulur kat aku pun. Takkan aku nak minta pulak? Aku
sudah lama tidak bercakap dengan dia.
“Aku nak bagi Leha. Sebab tu aku tak bagi sesiapa usik
tadi.” Dia berkata selamba. Leha tergelak mengejek.
“Well, Abang Aizatkan suka kat Leha...” dia
menggedik-gedik perasan.
Aizat buat muka toya sahaja. Aku kat sini, rasa macam
nak sepak kulit durian kat muka masing-masing. Tiba-tiba
sehelai daun jatuh ke rambut Leha. Aku tahan senyum. Malas
nak tegur. Biar dia sibuk menggulung rambut dia. Biar dia rasa
dia cantik sangat dengan daun tu atas kepala. Tiba-tiba, Aizat
mengalihkan daun itu. Aku rasa nak meraung geram.
“Ada daun atas kepala Leha.” Tegurnya prihatin sambil
mengerling ke arahku. Macam nak menunjuk sangat yang dia
prihatin kepada Leha.
Leha sudah melenggok macam sotong dibuang tulang
satunya. Rambutan pada tangannya dikekah dan dia menyumbat
ke dalam mulut dengan malu-malu sambil matanya tidak
henti-henti melirik kepada si samurai. Gelinya!
Rambutan masak ranum itu nampak sangat sedap.
Argh! Aku nak juga.
“Nak?” soal Leha.
Aku angguk. Lupakan dulu sengketa aku dengan dia.
Memang aku nak sangat. Terliur. Dah lama tak makan buah
rambutan semenjak kali pertama Leha minta maaf dengan
Aizat, sejak itulah aku berhenti makan rambutan. Baru lagi
Leha nak beri aku, terus Aizat merampasnya.
“Dia spesies yang suka panjat pokok. Berkawan dengan
nyet-nyet tu. Dia boleh ambil sendiri.” Aizat berkata selamba.
Sedihnya. Tak disangka-sangka air mata tiba-tiba
bergenang. Sakit hati... sungguh hati aku sakit sangat-sangat.
Rasa dipermainkan. Dia juga yang tak bagi aku memanjat dulu.
Aku memandang Leha. Dia tersenyum mengejek.
Yang tu lagi seekor! Tak ikhlas nak memberi. Aku
mendengus. Cuba menahan air mata. Dia layan aku macam
ni... macam aku tak ada hati dan perasaan. Setiap hari begini.
Hati aku rasa tak tertahan langsung dah menjadi mangsa buli
mereka berdua.
Aku melangkah ke belakang rumah membawa hati
kecil ini. Terliur sangat-sangat pada rambutan yang dikunyah
Leha tadi. Tak apa. Aku memang lebih rela berkawan dengan
nyet-nyet tu berbanding dengan monyet jadian dua ekor tu.
Perangai macam... urgh!
Kenapalah setiap kali aku dibuli, pasti tiada mak atau
abah menyaksikannya? Saat aku membalas dengan kata-kata
amarahku, barulah mak dan abah muncul. Dan... aku pasti
dipersalahkan. Kenapalah mesti aku yang melalui nasib malang
begini? Nak marah Aizat pun aku dah tak berselera sekarang.
Biarlah. Balik-balik, aku juga yang dimarahi semula nanti.
“Nak pergi jumpa nyet?” soal Aizat sinis sambil
menghalang laluanku dengan tubuh kedingnya.
Aku menjelingnya. Gugur setitis air mataku. Terus aku
menolak tubuhnya ke belakang dan meneruskan perjalananku
menuju pokok rambutan di belakang rumah.
“Melur...” panggilnya.

No comments:

Post a Comment