DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 26 May 2016

Isteri Dalam Sangkar - Bab 12

TENGKU Iskandar membuka matanya. Kepalanya
yang sakit terasa berpusing-pusing. Pasti akibat penangan
minuman beralkohol yang diteguknya semalam. Sudah agak
lama juga dia tidak minum. Namun semalam, atas desakan
Fira, dia minum semula. Baru minum dua tiga gelas tetapi
mabuknya mengalahkan orang minum berbotol-botol.
Kepalanya benar-benar sakit.
Tengku Iskandar bangun dari baringnya. Jam meja
sudah menunjukkan angka lapan tiga puluh tujuh minit pagi.
Pukul sepuluh dia ada perjumpaan dengan Tengku Daddy dan
Tengku Haziq. Jika bukan disebabkan perjumpaan penting
itu, mahu rasanya dia ambil cuti kecemasan. Tetapi awal-awal
lagi Tengku Haziq sudah mengingatkan dia akan hal penting
itu. Dia perlu hadir kerana dia merupakan Timbalan CEO TG
Holdings.
Langkahnya yang agak terhuyung-hayang itu dibawa
ke bilik air. Dia berdiri di hadapan singki bercermin besar.
Membasuh muka agar kembali segar. Wajahnya yang basah
dek air paip dipandang. Satu senyuman manis terukir di bibir.
Godaan Fira semalam benar-benar membuatkan dia hanyut.
Gadis itu memang hangat, sehangat layanannya!
Satu per satu aksi asmaranya bersama Fira terlayar
depan mata. Seperti yang dia jangka, Fira juga sama saja
seperti perempuan-perempuan yang didampinginya selama
ini. Fira bukan lagi gadis suci kerana dia cukup arif akan
hal itu. Tetapi itu bukanlah masalah kepadanya. Apa yang
penting, dia dapat menikmati layanan Fira yang didambakan.
Ternyata Fira tidak menghampakan hasrat lelakinya. Fira
memang pandai melayan.
Tengku Iskandar ketawa kecil. Bayangan semalam
membuatkan hati lelakinya tidak keruan. Jika dia terus
memikirkannya, pasti lain pula yang jadi.
‘Sudah-sudahlah fikir tu Is. Daripada kau asyik
fikir pasal Fira, baik kau siap cepat. Masa berjalan. Nanti tak
pasal-pasal kena cuci telinga dengan daddy. Bukannya kau tak
tahu perangai daddy yang tak suka orang tak menepati masa
ni. Mahu berjela-jela dia bagi ceramah nanti.’ Suara halus itu
menyedarkan Tengku Iskandar daripada terus hanyut dalam
lamunannya.
Pantas Tengku Iskandar melangkah ke ruangan
shower.
Tiga puluh minit berlalu, Tengku Iskandar sudah
siap sepenuhnya. Baju kemeja lengan panjang berwarna putih
jenama Gucci kelihatan begitu kena pada tubuhnya yang
sasa. Tidak terlalu besar, tidak juga terlalu kecil. Dipadankan
pula dengan tali leher belang-belang hitam dan putih. Cukup
serasi. Tengku Iskandar memang pandai bergaya. Disebabkan
itu dia menjadi rebutan pereka-pereka fesyen tanah air untuk
menggayakan rekaan mereka.
Minyak wangi jenama Hugo Boss disemburkan
sedikit ke pakaiannya. Dia memang gemarkan haruman
minyak wangi Hugo Boss yang segar serta tahan lama. Kerana
itu dia hanya kekal dengan satu wangian saja. Tidak seperti
adik sepupunya Tengku Haziq yang mempunyai pelbagai
jenis minyak wangi sebagai koleksi peribadi.
Di ruang makan, Aisyah sudah menyediakan sarapan
pagi untuk suaminya. Ada bihun goreng, ayam goreng dan
air Nescafe. Menu pagi yang cukup sinonim dia sediakan
di kampung dulu. Harap-harap menu itu kena pada jiwa
‘Tengku Harimau’. Dia tak tahu selera lelaki itu. Dia hanya
main sedia mengikut kepakarannya saja. Mujurlah Tengku
Haziq yang baik hati itu telah mengajar dia menggunakan
peralatan elektrik di situ. Senanglah untuk dia membuat
kerja-kerja rumah.
Bunyi derap kaki Tengku Iskandar yang menuruni
anak tangga menggetarkan hati Aisyah. Setiap kali lelaki itu
datang, hatinya jadi tidak keruan. Dia takut jikalau mood
lelaki itu ke ‘laut’. Tak pasal-pasal dia kena sembur pula.
Bagaikan pengawal istana, Aisyah berdiri tegak di
hujung meja. Hidungnya menangkap haruman yang dipakai
Tengku Iskandar. Cukup menyenangkan.
Tajam mata Tengku Iskandar merenung Aisyah.
Setiap kali terpandangkan wajah itu, hatinya sakit bagai disiat
dengan belati tajam. Dia begitu benci dan meluat kepada
gadis kampung itu. Jika dibandingkan Aisyah dengan Fira,
bagai langit dengan bumi. Aisyah tak mampu menandingi
kejelitaan milik Fira. Apatah lagi dari segi berpakaian. Fira
jauh lebih up-to-date berbanding Aisyah yang sentiasa
berbungkus dengan baju kurung kain kapasnya itu. Rimas
dia memandang.
‘Dasar perempuan kampung yang kolot!’ sempat
juga hatinya mencaci.
Tengku Iskandar menghempaskan punggungnya
ke atas kerusi. Matanya liar memerhati sarapan pagi yang
terhidang di atas meja. Kemudian dia mendengus.
“Apa ni?” tanyanya dengan mata tajam menikam
wajah Aisyah.
Aisyah tidak menjawab. Hanya diam sambil kepala
masih terus tunduk merenung lantai. Telinganya terasa
pelik mendengar soalan Tengku Iskandar. Takkan lelaki itu
tak tahu bihun dan ayam goreng? Sayang saja sekolah tinggi
kalau makanan yang begitu mudah pun lelaki itu tak tahu.
“Hoi… kau ni pekak ke? Tak dengar ke aku cakap
dengan kau? Yang kau asyik tenung lantai tu buat apa?”
bertalu-talu Tengku Iskandar menyembur. Sakit hati apabila
pertanyaannya tidak dijawab.
“Errr… ni bihun dengan ayam goreng Tengku.”
Takut-takut Aisyah menjawab.
Panas hati Tengku Iskandar mendengar jawapan itu.
Dia bangun dan menghampiri Aisyah. Pipi gadis itu dicekup
dengan tangan. Ditekan kuat.
“Kau ingat aku ni bodoh tak tahu ini bihun dengan
ayam goreng?” soal Tengku Iskandar kasar.
Aisyah menggeleng. Kecut hatinya diperlakukan
begitu. Pipinya terasa sakit dicengkam tangan besar Tengku
Iskandar. Mujurlah tak lama apabila lelaki itu melepaskannya
dengan kasar.
“Lain kali… kalau nak buat sarapan pagi untuk aku,
jangan ikut otak kau yang bodoh ni aje. Kau tahu tak aku tak
makan makanan macam ni pagi-pagi! Ada mulut tu tanyalah!
Jangan nak memandai buat itu ini!” Tengku Iskandar
menolak kepala Aisyah dengan kasar. Geramnya kepada gadis
kampung itu tak pernah bertepi.
Pelupuk mata Aisyah mula digenangi air. Sedih
diperlakukan sedemikian. Bukan dia tidak mahu bertanya.
Namun rasa takut kepada Tengku Iskandar menyebabkan dia
mengambil langkah berdiam diri. Jika dia salah sekali pun,
janganlah perlakukan dia sampai sebegitu. Tegurlah dengan
cara yang baik.
Melihat pelupuk mata yang sudah digenangi air itu,
Tengku Iskandar mendengus.
‘Cengeng! Sikit-sikit nak menangis!’ hatinya
mencemuh.
“Saya minta maaf Tengku. Saya tak tahu Tengku tak
makan sarapan pagi macam ni. Lain kali saya tak buat lagi.”
Mohon Aisyah.
Tengku Iskandar mencebik.
“Lain kali tanya apa yang aku nak makan. Jangan
pandai-pandai masak itu ini. Ingat sikit, kau tu menumpang
kat sini. Jangan nak sesuka hati kau bazirkan makanan kat
kondo aku ni. Kau ingat… barang-barang tu beli guna daun?
Kalau takde duit, air mineral pun tak dapat beli tau. Jadi...
lain kali jangan nak membazir sangat!”
Sebenarnya Tengku Iskandar bukanlah jenis manusia
yang kedekut. Dia seorang yang pemurah. Wanita-wanita
yang pernah berdampingan dengannya tahu akan hal itu.
Namun entah kenapa dengan Aisyah dia tidak jadi sepemurah
ketika bersama wanita-wanita itu. Hatinya cepat saja naik
berang. Padahal salah yang Aisyah lakukan bukannya serius
mana pun. Sekadar tersilap menyediakan sarapan pagi saja.
Salahnya juga kerana tidak memberitahu Aisyah apa yang
dia hendak makan setiap pagi. Tapi dia cukup puas hati dapat
menyakiti gadis kampung itu.
Walaupun hati Aisyah tergores mendengar kata-kata
Tengku Iskandar, namun dia tetap mengangguk. Dia
sedar siapa dirinya. Dia sekadar menumpang berteduh di
kondominium mewah itu.
Dengan hati yang berang, Tengku Iskandar berlalu
keluar tanpa menyentuh sedikit pun sarapan pagi yang Aisyah
sediakan. Semakin dia pandang muka Aisyah, semakin sakit
pula hatinya. Masih sukar untuk dia percaya bahawa gadis
kampung itu ialah isterinya. Isteri yang tak pernah diimpikan.
“Huh!” Dia mendengus sambil melangkah masuk ke
dalam lif.
TENGKU YUSUF meneliti laporan kewangan yang diberikan
kepadanya. Memang ada yang tak kena pada laporan
tersebut. Seperti yang dikatakan oleh Tengku Haziq, ada
penyelewengan sejumlah wang yang telah dilakukan ke atas
akaun TG Holdings. Dia benar-benar tidak menyangka.
“So… what do you think? Is rasa lebih baik pecat
saja dia. Buat apa kita nak kekalkan pekerja yang tak jujur dan
amanah? Menyusahkan aje!” kata Tengku Iskandar kepada
Tengku Yusuf. Hatinya jadi panas melihat laporan yang
diberikan Tengku Haziq awal pagi tadi. Berani sungguh Rey
menyeleweng wang syarikat. Dalam amaun yang banyak pula
tu. Apa lelaki itu ingat ini syarikat bapak dia ke nak keluarkan
wang sehingga mencecah dua ratus ribu ringgit?
“Betul tu daddy. I have to agree to that. Tak guna
kita terus simpan dia kalau dia tak amanah dalam melakukan
tugas. Dari laporan yang Ziq kesan, ini bukan kali pertama
Rey buat hal. Dah tiga kali dia buat pengeluaran. Cuma kali
ketiga ni jumlahnya terlalu besar.” Tengku Haziq mencelah.
Dia juga bersependapat dengan Tengku Iskandar agar Tengku
Yusuf memecat Rey. Untuk apa lagi Tengku Yusuf menyimpan
pekerja seperti Rey itu.
Tengku Yusuf mengeluh. Sudah lima tahun Rey
bekerja di TG Holdings. Dari mata kasarnya, Rey seorang
pekerja yang baik. Dia tak sangka Rey sanggup mengkhianati
syarikat. Jika anak muda itu punya masalah kewangan, kenapa
tak beritahu saja kepadanya. Andai termampu, dia pasti akan
menghulurkan bantuan.
“Tak guna daddy nak fikir panjang. Kita pecat aje
Rey tu. Masih ada ramai lagi staf yang berkelayakan dan
berkebolehan menggantikan tempat dia sebagai Penolong
Akauntan Kanan.” Melihat kebisuan daddynya, Tengku
Iskandar bersuara lagi. Dia tidak mahu daddy berlembut hati
dengan manusia pengkhianat seperti Rey.
“Daddy serahkan pada Is. Apa saja keputusan Is,
daddy tak membantah. Buatlah demi kebaikan syarikat.”
Akhirnya Tengku Yusuf memberi kata putus. Memberi
mandat kepada anak tunggalnya itu membuat keputusan
terbaik.
“Daddy jangan risau. Is tahu apa yang perlu Is
lakukan. Trust me.” Janji Tengku Iskandar.
Tengku Yusuf sekadar mengangguk. Sudah sampai
masanya untuk dia memberi tanggungjawab membuat
keputusan di tangan Tengku Iskandar. Anak itu bakal
menggantikan tempatnya sebagai CEO TG Holdings suatu
hari nanti. Inilah masa yang sesuai untuk dia melihat prestasi
kerja anaknya itu. Dia yakin Tengku Iskandar pasti dapat
membuat keputusan dengan baik.
Dari segi kerja, dia memang tiada masalah dengan
anaknya itu. Tengku Iskandar memang bagus dalam
melaksanakan tugasnya. Sudah banyak sumbangan yang
Tengku Iskandar berikan pada syarikat. Terbaru, projek
usaha sama TG Holdings dengan Istana Kristal Holding.
Projek yang bakal memberi keuntungan berbilion-bilion
pada kedua-dua syarikat. Tengku Iskandar memang cukup
memberi perhatian pada projek mega itu.
Cuma, apa yang menjadi masalahnya kini hanyalah
perangai kuat bersosial anak itu. Bukannya dia tidak tahu
perangai gila anaknya itu di luar sana. Telinganya ini sudah
banyak mendengar cerita-cerita kurang sedap mengenai
Tengku Iskandar. Tentang sikapnya yang gemar berpelesiran
di kelab-kelab malam bersama wanita yang silih berganti.
Itulah yang menjadi penyebab kenapa dia melengahkan
urusan penyerahan jawatan CEO TG Holdings kepada anak
muda itu.
Lagipun isterinya, Tengku Maria awal-awal lagi
sudah memberi peringatan. Jangan sesekali menyerahkan
TG Holdings kepada Tengku Iskandar andai perangai
anaknya itu belum berubah. Tengku Maria memang cukup
tidak berkenan dengan perangai sosial anak mereka itu,
sehinggakan isteri kesayangannya itu cukup bertegas kepada
Tengku Iskandar. Siap dengan ugutannya lagi. Kelakar juga
apabila mengenangkan ugutan isterinya kepada anak teruna
mereka itu. Sampai Tengku Iskandar terpaksa akur pada
setiap arahan mummynya.
Bunyi telefon bimbit Tengku Iskandar yang
berkumandang menyentak lamunan Tengku Yusuf. Dia
menyorot anak mata pada wajah tampan si anak. Terkial-kial
Tengku Iskandar menyeluk tangan ke poket seluar yang
dipakai. Bibir anak terunanya itu mekar dengan senyuman
kala membaca pesanan melalui telefon bimbitnya. Pasti
pesanan daripada seorang wanita. Dia sudah cukup arif
tentang itu.
“Errr… kalau dah takde apa-apa lagi, Is nak minta
diri dulu daddy. Ada janji dengan client.” Pandai Tengku
Iskandar mencari alasan untuk melepaskan diri.
Tengku Haziq yang mendengar alasan ‘client’ yang
digunakan Tengku Iskandar hanya mencebik. Macamlah dia
tak tahu siapa yang menghantar pesanan. Jika senyum sudah
sampai ke telinga, itu tak lain mesti pesanan daripada Fira.
“Yalah. Daddy pun ada kerja nak buat. Pasal Rey,
daddy serahkan pada Is.”
“Baik la daddy. Is keluar dulu.” Setelah berpamitan
dengan Tengku Yusuf, Tengku Iskandar pun melangkah
keluar dari bilik mewah yang bakal didudukinya suatu hari
nanti.
“Errr… Ziq pun nak keluar jugak la.” Tengku
Haziq turut bangun. Ada perkara penting lagi yang perlu dia
bincangkan dengan Tengku Iskandar. Perkara yang hanya
memerlukan perbincangan mereka berdua.
“Hmmm… yalah. Ziq nanti tolong-tolonglah
tengokkan Is tu. Kalau nak pecat si Rey tu pun, buatlah
dengan cara yang baik. Ziq tahu ajelah perangai panas baran
Is tu. Daddy tak nak kecoh-kecoh. Biarlah takde sesiapa
yang tahu kenapa Rey diberhentikan. Apa pun yang jadi,
Rey pernah memberi sumbangan pada syarikat kita.” Pesan
Tengku Yusuf.
Dia percaya anak saudaranya ini pasti boleh
mengawal sikap panas baran Tengku Iskandar. Antara
mereka berdua, anak saudaranya ini lebih matang fikirannya
berbanding anaknya. Tengku Haziq tidak bertindak secara
melulu. Sentiasa bertindak mengikut akal yang waras.
Malah anak muda ini juga tidak gemar bersosial.
Tidak pernah dia mendengar cerita kurang elok tentang
Tengku Haziq. Kerana itu dia terlalu menyayangi Tengku
Haziq. Anak itu sudah dianggap seperti anak kandungnya
sendiri. Apatah lagi Tengku Haziq kehilangan kasih ibu dan
bapanya ketika berusia lima tahun lagi. Dia dan Tengku Maria
la ayah dan ibu anak muda itu.
Tengku Haziq mengangguk.
“Insya-Allah daddy. Ziq akan cuba bantu apa yang
patut. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Tengku Haziq melangkah keluar. Bagaikan lipas
kudung dia mengejar langkah Tengku Iskandar yang sudah
menonong laju menuju ke lif.
“Is… aku nak bincang dengan kau pasal Aisyah.” Ujar
Tengku Haziq sebaik dia dan Tengku Iskandar melangkah
masuk ke dalam lif. Hanya mereka berdua di situ. Disebabkan
itulah dia berani membuka cerita tentang Aisyah. Isteri dalam
rahsia Tengku Iskandar.
Satu dengusan kasar lahir dari mulut Tengku
Iskandar. Bosan apabila Tengku Haziq sudah mula mahu
membuka topik mengenai perempuan kampung itu.
“Aku takde masa nak bincang pasal perempuan
kampung tu. Lagipun aku tak suka cakap pasal dia.”
Pintu lif terbuka di tingkat sembilan. Aras di mana
menempatkan pejabat Tengku Iskandar sebagai Timbalan
CEO TG Holdings. Dia melangkah keluar diikuti Tengku
Haziq. Waktu ini bicara mereka terhenti seketika. Hendak
berbicara tentang Aisyah, mereka tidak boleh kecoh-kecoh.
Cerita pernikahan Tengku Iskandar dan Aisyah hanya Tengku
Haziq saja yang tahu.
Setelah masuk ke dalam bilik serba mewah Tengku
Iskandar, daun pintu ditutup rapat. Tengku Haziq perlu juga
membincangkan hal Aisyah dengan Tengku Iskandar. Sebagai
suami, abang sepupunya itu perlu mengambil tahu kebajikan
isterinya. Takkan nak dibiarkan Aisyah macam itu saja.
“Kau tak boleh buat Aisyah macam ni Is. Kasihan dia.
Kau tahu tak semalam dia nyaris pitam sebab lapar? Kondo
kau tu, satu barang dapur pun takde. Kalau ya pun kau tak
sukakan dia, janganlah buat dia macam tu. Kasihan tau.”
Tengku Iskandar mendengus.
“Aku mana tahu barang dapur dah habis. Yang dia
tak beritahu aku tu kenapa? Dia jugak yang bodoh!”
Geram sungguh Tengku Haziq mendengar jawapan
selamba biawak abang sepupunya itu. Macam mana Aisyah
nak beritahu kalau wajah Tengku Iskandar asyik mencuka
dua puluh empat jam? Tentulah gadis itu takut kepadanya.
“Kau dah tahu dia tu jenis pendiam, sepatutnya kau
kenalah tanya apa yang dia perlukan dekat kondo kau tu.
Bukannya main lepas tangan macam tu aje.” Balas Tengku
Haziq dalam nada geram.
Jika bukan memikirkan lelaki yang berada di
depannya itu ialah abang sepupunya, sudah lama agaknya
dia menumbuk muka Tengku Iskandar. Bagi sedar sikit
lelaki itu akan tanggungjawabnya sebagai seorang suami.
Bukannya asyik keluar berhibur dengan awek-aweknya yang
tak senonoh tu.
“Ziq! Boleh tak kita jangan cakap pasal perempuan
kampung tu. Aku tak suka la. Aku rimas asyik dengar nama
dia. Okey… aku salah! Aku mintak maaf. Lain kali aku akan
sediakan semua barang-barang dapur dalam kondo tu. Puas
hati???”
Bukan itu yang Tengku Haziq harapkan. Jika boleh
dia mahu Tengku Iskandar membahagiakan Aisyah. Gadis itu
selayaknya mendapat kasih sayang seorang suami.
“Dahlah. Aku nak keluar. Nak jumpa Fira. Nanti
pukul dua, aku jumpa kau lagi. Kita kena bincang pasal kes
Rey.” Suara Tengku Iskandar yang tadinya tegang kembali
mengendur. Dengan Tengku Haziq, dia tidak betah hendak
marah lama-lama. Walaupun lelaki itu merimaskan hidupnya,
namun dia amat menyayangi Tengku Haziq. Hanya Tengku
Haziq adik yang dia ada di dunia ini. Biarpun tidak lahir dari
rahim ibu yang sama, tetapi mereka membesar bersama kasih
sayang seorang wanita yang dipanggil mummy.
Seperti yang Tengku Haziq sangka, kegembiraan
Tengku Iskandar tadi pasti berpunca daripada Fira. Disebabkan
itulah lelaki itu kelam-kabut keluar dari bilik Tengku Daddy
tadi. Namun Tengku Haziq malas hendak mengulas lanjut
pasal Fira. Biarlah. Itu urusan peribadi Tengku Iskandar.
“Yalah. Jangan kau lambat sudahlah. Faham ajelah
kau tu kalau dah jumpa perempuan. Semua benda penting
kau boleh lupa.” Sindir Tengku Haziq. Sinis bunyinya.
Tengku Iskandar ketawa besar. Bahu Tengku Haziq
ditepuk.
“Aku tak akan lupalah!” Kemudian dia pun berlalu
pergi. Sudah tidak sabar hendak bertemu dengan Fira.
AISYAH TERSENYUM. Berpuas hati dengan kerja yang
dilakukannya. Ruang dapur sudah licin dibersihkan. Begitu
juga dengan ruang makan dan ruang tamu. Sudah berkilat
dan bersinar-sinar. Jika ‘Tengku Harimau’ itu tenung
mukanya ke lantai, pasti akan nampak wajahnya dengan jelas.
Aisyah mengesat peluh. Melakukan kerja-kerja
rumah bukanlah satu masalah kepadanya. Dia memang
sudah biasa melakukan semua itu. Dekat kampung dulu,
lagi banyak kerja yang perlu dia buat. Sampaikan tak cukup
tangan dia jadinya. Fasha itu, tak ubah seperti anak kecil.
Buang sampah merata-rata!
Kondominium itu memang besar. Namun setiap
ruang tidaklah sukar untuk dibersihkan. Habuk juga tidak
begitu tebal. Seolah-olah kondo itu selalu dikemas. Rajin juga
rupanya ‘Tengku Harimau’ itu mengemas.
Selesai tugasnya di ruang bawah, Aisyah naik ke
atas. Inilah pertama kali dia menjejakkan kaki ke tingkat
atas. Ada ruang tamu kecil di ruang atas yang menempatkan
sofa berbentuk L. Ringkas saja hiasannya. Tidak seperti ruang
tamu bawah yang dilengkapi perabot-perabot mewah.
Aisyah membuka bilik yang kedudukannya
berhampiran dengan tangga. Nampaknya bilik sederhana
besar itu dijadikan bilik bacaan dan kerja. Di dalamnya
terdapat rak yang menempatkan pelbagai jenis buku. Aisyah
sempat mencapai sebuah buku tebal. Dibelek buku tersebut.
Dahinya berkerut-kerut. Ingatkan novel cinta, tetapi buku itu
mempunyai banyak gambar rajah mengenai pembinaan. Dah
tu dalam Bahasa Inggeris pula. Aisyah meletakkan semula
buku tersebut ke dalam rak.
Penuh berhati-hati, dia membersihkan bilik itu.
Takut tersalah pegang dan letak, rosak pula kerja-kerja
Tengku Iskandar. Nanti tak pasal-pasal dia kena tengking lagi.
Bukannya dia tak faham perangai ‘Tengku Harimau’ itu yang
gemar mencari salahnya. Salah sikit pun dah kena marah,
apatah lagi kalau dia buat salah besar. Malah kertas-kertas
kerja lelaki itu yang terbentang di atas meja pun tidak berani
diusiknya.
Selesai membersihkan bilik bacaan, Aisyah
melangkah ke sebuah lagi bilik. Bilik di bahagian tengah
itu nampaknya dikhaskan untuk tetamu yang datang.
Bertemakan warna hijau dan putih, bilik sederhana besar
itu kelihatan begitu indah sekali. Ada sebuah katil bersaiz
king dan meja hias disediakan. Turut ada sebuah almari jenis
gelangsar dan sofa kecil berwarna hijau. ‘Tengku Harimau’
memang pandai dalam memilih padanan warna.
Dalam bilik itu juga terdapat bilik airnya sekali.
Menjenguk ke dalam bilik air, Aisyah mendapati ada tab
mandi yang tersedia. Tidak seperti biliknya yang hanya ada
shower sahaja. Melihat tab mandi tersebut, otak Aisyah mula
merangka sesuatu. Dia teringin hendak mandi berendam di
dalamnya. Hendak merasa nikmat mandi dalam tab seperti
watak-watak orang kaya yang dia lihat dalam televisyen. Pasti
seronok dapat mandi di situ. Suatu hari nanti dia pasti akan
mandi di dalam tab itu. Tunggu masa yang sesuai. Yang pasti
sewaktu ketiadaan ‘Tengku Harimau’. Aisyah tersenyum
sendiri.
Setelah selesai membersihkan bilik itu, Aisyah
melangkah ke bilik terakhir. Daun pintu yang tertutup
rapat dikuak. Tergamam dia melihat ruang dalam bilik itu.
Mulutnya membulat, terpegun. Jakun sungguh dia melihat
ruang bilik yang besar. Mengalahkan ruang tamu rumahnya
di kampung. Malah perabot yang ada di dalam bilik itu juga
kelihatan begitu mewah pada pandangannya. Macam dalam
hotel. Tentu harga perabot-perabot itu mencecah ratusan
ribu ringgit.
Aisyah pandang sekeliling. Tatkala matanya
terpandang gambar Tengku Iskandar yang terpampang di
dinding, dadanya berdebar hebat. Betapa kacaknya lelaki itu
tersenyum. Terserlah lesung pipit kecil di tepi bibir sebelah
kirinya. Giginya juga tersusun rapi. Cukup menggoda. Buat
seketika, Aisyah hanyut dalam lamunannya. Tengku Iskandar
benar-benar memukau.
‘Dilarang memandang wajah Tengku
Iskandar!’
Mengenangkan peraturan itu, cepat Aisyah
menggeleng-gelengkan kepalanya. Terlupa seketika dia pada
peraturan yang Tengku Iskandar tetapkan. Mujurlah yang
dia pandang hanya sekeping gambar tidak bernyawa. Jika
orangnya, sudah pasti dia kena tengking.
Tidak mahu berlengah, Aisyah segera mengemas
bilik milik ‘Tengku Harimau’ itu. Bilik serba mewah seorang
lelaki yang sombong dan bongkak.
Ketika kakinya melangkah masuk ke dalam bilik
kecil yang terdapat di dalam bilik itu, matanya kembali bulat
seperti biji guli. Matanya meliar memandang sekeliling. Bilik
kecil itu dipenuhi pakaian dan kasut-kasut berjenama milik
Tengku Iskandar. Tak ubah seperti butik mewah. Aisyah
sungguh kagum dengan pilihan Tengku Iskandar. Semua
mahal-mahal belaka.
Tiba-tiba Aisyah mencebik.
‘Tengku Harimau itu memang kaya tetapi sayang...
dia seorang yang miskin dengan budi bahasa.’ Hanya dalam
hati saja berani dia mengata.

No comments:

Post a Comment