DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 24 May 2016

Kerana Aku Untukmu - Bab 18

Pukul enam setengah pagi, Zenia sudah turun ke
tingkat bawah untuk menyediakan sarapan Fakhry. Walaupun
masih berasa geram dan trauma dengan kejadian beberapa jam
yang lalu, namun tanggungjawab sebagai seorang isteri tetap
dijalankan. Kebiasaannya Fakhry memang akan mengambil
sarapan di rumah sebelum mereka bergerak ke tempat kerja.
Namun pagi ini berbeza. Zenia tidak mahu dihantar ke
pejabat oleh suaminya. Kalau boleh dia tidak mahu memandang
wajah Fakhry buat sementara waktu. Dan kerana itulah dia
mendesak Nadzirah supaya datang menjemput dia untuk ke
pejabat. Balik nanti pandai-pandailah dia naik teksi pula.
Setelah menghidangkan sepinggan nasi goreng, telur
goreng mata dan semug kopi panas, Zenia mengambil pula
kertas nota yang memang tertampal di peti sejuk. Tergesa-gesa
dia menulis apabila mendengar bunyi hon kereta Nadzirah
di hadapan rumah. Sebelum Fakhry turun, lebih baik dia
menghilangkan diri terlebih dahulu.
Hanya pesanan ringkas, dan kemudian Zenia bergegas
keluar dari rumah mendapatkan Nadzirah yang menanti di
dalam kereta. Ketika mengunci pagar, dia perasan langsir di
jendela kamar Fakhry terkuak namun dia buat-buat tidak
nampak.
“Hah, kau dah kenapa macam orang kena kejar hantu
aje ni?”
Teguran Nadzirah membuahkan senyuman kelat di
bibir Zenia. Dia mengenakan tali pinggang keledar setelah
kenderaan yang dipandu temannya itu mula bergerak. Perlahan
nafas dihela. Lega kerana rancangannya berjalan lancar setakat
ini. Tidak boleh dia bayangkan perasaan kekok yang terpaksa dia
lalui jika berhadapan dengan Fakhry tadi.
“Zen, kenapa kau nampak semacam aje ni? Pelik aku
tiba-tiba kau nak tumpang aku pagi ni. Kau bergaduh dengan
Fakhry lagi ke?” Nadzirah bertanya dengan nada sedikit
bimbang.
Sekali lagi Zenia mengeluh. Memang selama ini
Nadzirahlah tempat dia mengadu tentang masalah rumah
tangganya. Bukan untuk menayang aib sesiapa, cuma
kadangkala dia perlukan nasihat dan sokongan daripada orang
yang boleh dipercayai.
“Worst than that Azie...”
“Apa maksud kau? Dia pukul kau lagi ke Zen?” Suara
Nadzirah berbaur cemas.
“Zen, kalau dia dah berani angkat tangan pada kau, itu
dah kira melampau tau. Aku rasa kau kena ceritalah semua ni
pada mak mentua kau, biar dia tahu perangai anak dia tu teruk.
Lagipun kau dah cukup bersabar dan bertahan Zen, kesian kau.”
“Azie, tak semudah tu. Kau pun tahu kan aku banyak
terhutang budi dengan mak mentua aku. Aku tak nak dia
susah hati pasal ni.” Keluh Zenia dengan pandangan dilempar
ke luar tingkap. Wajah Puan Norizan yang lemah lembut dan
penyayang terpapar di ruang mata.
“Kalau bukan sebab jasa mak mentua aku, nasib aku
takkan sebaik ni Azie.”
“Nasib sebaik ni? Seriously?” Nadzirah menggelengkan
kepala penuh kesal.
“Ini bukan nasib baik dah Zen, ini malang namanya.
Yang Fakhry tu pun satu, kenapa tak pernah nak sedar dan
insaf? At least cubalah belajar terima perkahwinan korang ni...”
Zenia sekadar mendiamkan diri. Sudah buntu dan
kematian kata apabila persoalan itu berbalik kepada Fakhry.
Memang tidak ada jawapannya.
“Dia buat apa pada kau kali ni, Zen?” Tanya Nadzirah
masih ingin tahu.
“Hmm... dia ceroboh bilik aku.”
“What?” Kepala Nadzirah berpaling seketika kepada
Zenia. “Eh, bukan selama ni dia kata dia takkan jejak kaki dalam
bilik kau ke? Then dia buat apa pada kau Zen?”
Rapat Zenia mengetap bibir, ngeri memikirkan
perbuatan Fakhry yang agak melampau. Tapi kalau orang lain
yang mendengar cerita ini, pasti dia akan diketawakan. Mana
ada isteri takut disentuh suami sendiri. Tapi mereka tidak tahu
kisah sebenar, tidak berada di tempat dan situasinya sebagai
isteri Fakhry.
“Dia dah... err... dia dah buat ke Zen?”
Pantas Zenia menggelengkan kepala dengan wajah
beriak muram.
“Almost Azie, tapi aku sempat sedarkan dia. Ya Allah,
aku rasa takut sangat...”
Nadzirah melepas keluhan lega. Namun perasaan
simpati terlalu menebal buat temannya ini.
“Aku faham Zen, sebab kau dan Fakhry tak macam
suami isteri yang lain. Kau orang ni macam dua orang asing
yang hidup sebumbung, of courselah kau takut. Tapi kenapa dia
buat macam tu?”
“Dia marahkan aku.”
“Kenapa?”
“Sebab aku biarkan dia tidur depan pintu rumah.”
“Hah?” Jelas reaksi Nadzirah amat terkejut. Dan
kemudian dia tertawa kecil.
“Berani pulak kau ajar dia macam tu Zen. Ni mesti dia
balik mabuk-mabuk, kan?”
Bibir Zenia ikut sama mengukir senyuman, namun
tidak seceria mana. Kepala dianggukkan beberapa kali.
“Sebab tu la aku geram, Azie. Lagipun ada perempuan
lain yang hantar dia balik, lepas tu siap sound-sound aku lagi.
Mahunya aku tak geram!”
“Perempuan lain lagi ke Zen? Bukan si Mona dulu tu?”
“Bukan, yang ni nama Melly pulak.”
Nadzirah menggeleng perlahan. Apa nak jadilah si
Fakhry ni, dah ada isteri lawa-lawa masih sibuk nak ‘makan
luar’. Agaknya kalau Fakhry tahu yang saham Zenia dekat
pejabat tu tinggi melangit, baru reti nak gigit jari. Apa punya
manusialah! Rungut Nadzirah dalam hati.
“Sampai bila kau nak simpan rahsia dia tu, Zen.
Hujung-hujung kau jugak yang merana. Kau layak hidup
dengan lelaki yang lebih baik daripada si Fakhry tu...”
Komen daripada Nadzirah membuatkan perasaan
Zenia terhiris pedih. Tidak ada manusia yang tidak ingin hidup
bahagia di sisi orang yang dicintai, dan dia juga punya impian
serupa. Tapi entahlah, setakat ini tuah masih belum berpihak
kepadanya. Dan mungkin dia terpaksa hidup begini sampai
bila-bila. Sampai ke hujung nyawa...
Ketika sedang sibuk dengan tugasan di pejabat, Zenia
menerima panggilan daripada Rumah Nur. Walaupun dia sudah
jarang ke sana, namun dia yakin yang panggilan itu datangnya
daripada Kak Mizah. Mereka memang selalu berhubung melalui
telefon untuk bertanya khabar. Lagipun Zenia memang rapat
dengan Kak Mizah sejak dahulu lagi.
“Assalamualaikum Kak Mizah...” Sapa Zenia dengan
nada suara agak perlahan. Tidak mahu mengganggu staf-staf
lain yang masih tekun bekerja.
“Waalaikumussalam. Zen, Kak Mizah ni.”
Senyuman Zenia melebar.
“Ya, Zen tahu akak yang call. Mana ada orang lain nak
call Zen guna telefon Rumah Nur tu.”
Terdengar jelas suara Kak Mizah terkekek-kekek
ketawa di sebelah sana. Mungkin hari ini Kak Mizah mahu
berkongsi cerita tentang sinetron terbaru yang diikuti, atau
juga kehebatan drama bersiri dari negara Filipina.
“Zen, akak nak tanya ni. Jadi ke Darriz nak datang
esok?”
Nyata telahan Zenia tersasar jauh. Semalam dia
memang ada bercerita kepada Kak Mizah tentang rancangan
Darriz Imdad yang mahu ke Rumah Nur Sabtu ini.
“Zen tak surelah jadi ke tak, tapi memang dia kata nak
ke sana esok kak.”
“Dia nak bawak kontraktor sekali ya. Sebab kalau
jadi, akak nak arrangekan aktiviti budak-budak ni semua.
Kamu tahulah kalau hujung minggu banyak aktiviti bebas,
takut diaorang merayau keliling kawasan tu aje. Nanti karang
mengganggu kerja pulak.”
Zenia terdiam seketika. Memang berasas sekali
kata-kata Kak Mizah itu. Tapi takkanlah dia nak bertanya kepada
Darriz Imdad pula, seganlah!
“Hmm... itulah, habis tu macam mana ya kak?”
“Kamu tak boleh tanya Darriz ke, Zen? Kan dia bos
kamu, satu pejabat pulak tu.”
“Bukan tak boleh kak, tapi seganlah...”
“Janganlah nak segan-segan pulak, benda ni penting
tau. Kalau nak buat aktiviti esok, akak kena fikir nak cari
volunteer tolong sekali. Kena beritahu diaorang awal-awal
untuk standby...”
Seketika Zenia termangu tidak membalas. Kalau boleh
dia tidak mahu mengganggu ketuanya pada waktu pejabat.
Darriz Imdad bukan staf biasa, tapi bos besar yang sentiasa
sibuk dengan segala macam mesyuarat dan perjumpaan.
“Eh Zen, Darriz tu dah kahwin ke?”
Terkejut Zenia dengan soalan Kak Mizah yang kini lebih
menjurus kepada kisah peribadi Darriz Imdad. Tangan kanan
membetulkan rambut yang jatuh ke tepi muka. Kemudian dia
mengerling pula ke kiri dan ke kanan. Mahu memastikan tidak
ada sesiapa yang mendengar suaranya dengan jelas.
“Zen rasa Encik Darriz tu belum kahwin lagi kak...”
“Ya ke? Dah bertunang?”
“Hesy, manalah Zen tahu kak. Orang kata dia single,
maknanya belumlah kut.”
“Mak aii... sikit punya handsome, kaya-raya, tapi single
lagi? Tak macam pelik ke Zen? Dia suka perempuan ke tak, ek?”
Zenia menutup mulut menahan tawa dengan telahan
mengarut Kak Mizah.
“Akak ni dah kenapa fikir yang bukan-bukan? Of
courselah dia suka perempuan, dia normallah kak.”
“Eleh, mana kamu tahu? Jangan nilai orang luaran aje,
Zen. Kadang-kadang yang nampak macho, nampak segak dan
maskulin itulah yang spesies senget tau!”
Zenia menggeleng sendiri dengan senyuman masih
bersisa di bibir.
“Akak ni banyak sangat tengok cerita sinetron, itu yang
fikir dramatik sangat tu.”
“Alah, akak tanya je Zen. Orang zaman sekarang ni
macam-macam perangainya...” Suara Kak Mizah masih ceria di
sebelah sana.
“Eh, kamu kata Darriz nak bawak Aiman jalan-jalan
esok? Dia nak bawak ke mana?”
“Tak tahulah kak, pergi bandar shoppinglah kut.”
“Baik betul Darriz tu, kan. Akak ni bukan apa, si Aiman
tu bukan main sibuk bertanyakan Uncle Darriz dia. Selama ni
Aiman mana ceria sangat Zen, asyik mengasingkan diri daripada
orang lain. Tapi kebelakangan ni akak tengok dia dah makin
suka bercakap, yang tak best tu bila bercakap asyik tanya pasal
Darriz aje. Jenuhlah kita nak explain pada dia!”
Hati Zenia terasa dingin dengan apa yang disampaikan
oleh Kak Mizah. Terharu kerana sikap Darriz Imdad berjaya
menyentuh hati Aiman yang selama ini mendung dan muram.
Sama seperti hatinya ketika kecil dahulu. Tidak mudah
untuk hidup di rumah kebajikan tanpa ibu dan bapa, tanpa
saudara-mara dan adik-beradik kandung. Walaupun ramai
hadir di sisi, namun perasaan di hati kosong. Tidak terasa apa.
“Kak, Zen busy kerja ni. Macam inilah, lepas lunch
nanti Zen beritahu akak apa keputusan Encik Darriz ya? Sempat
lagi akak nak arrange semua, kan?”
“Hah, boleh lagi kalau tengah hari kamu confirmkan.
Jangan lambat sangat tau?”
“Okey kak, Insya-Allah...”
Talian dimatikan setelah mereka saling berbalas salam.
Buat seketika Zenia termangu sendirian, tidak pasti apa yang
perlu dia buat. Jumpa Darriz Imdad? Tak nampak pelik ke kalau
tiba-tiba dia pergi berjumpa lelaki itu? Atau cukup dengan
e-mel? Atau SMS? Ah, mana satu ni?
Senyuman kelat terukir di bibir Darriz Imdad apabila
pandangan bertembung dengan beberapa pasang mata di dalam
lif tersebut. Kebanyakan daripada mereka ialah pekerja di
Palaco Group juga. Reaksi yang dia pamerkan berbeza dengan
Erika yang bukan main lebar tersenyum di sisinya.
Walaupun sudah banyak kali cuba mengelak panggilan
Erika, tapi kali ini dia terpaksa mengalah juga. Itu pun kerana
Erika sudah mengaturkan lunch appointment bersama branch
manager SMD Bank. Mahu tidak mahu dia terpaksa juga
menyertainya.
Dan setelah lif berhenti di ground floor, Darriz Imdad
dan Erika sama-sama melangkah keluar. Namun kini pandangan
tertancap tepat pada seraut wajah yang tersenyum kepadanya.
Zenia? Agak pelik juga kerana Zenia seolah-olah memang
menanti dia di lif tersebut. Telahannya tidak silap kerana kini
Zenia semakin mara menghampiri.
“Encik Darriz, sorry ganggu...” Tegur Zenia dengan
senyuman serba salah. Terpandangkan Erika di sisi Darriz
Imdad, dia turut menghadiahkan senyuman kepada gadis itu.
Erika membalas, tapi tidak semanis mana.
“No, it’s okay. Everything alright, Zenia?” Darriz
Imdad bertanya resah. Dalam kepala dia hanya terfikirkan
Fakhry. Mungkin Zenia sudah tahu yang dia ada menyimpan
rahsia besar Fakhry kebelakangan ini.
Zenia mengangguk dengan sengihan di bibir.
“Actually I cuma nak tanya pasal plan Encik Darriz
esok. Jadi ke Encik Darriz nak melawat Rumah Nur dengan
kontraktor?”
“Oh, pasal tu...” Darriz Imdad mengeluh kecil. Lega
kerana ia langsung tidak ada kena-mengena dengan Fakhry.
Kemudian dia tersenyum seraya menganggukkan kepalanya.
“Jadi Zenia, I akan ke sana tengah hari esok. Insya-Allah
I akan bawak kontraktor sekali. But why did you ask me that?”
“Sorry Encik Darriz, I tanya pun sebab Kak Mizah
suruh I confirmkan.”
“It’s okay Zenia. I’ll be there tomorrow, tolong inform
dia ya.”
Sekali lagi Zenia mengangguk. Dan ketika pandangan
singgah kepada Erika, dia lihat ada riak kurang senang terpeta
pada wajah gadis itu. Mungkin Erika tidak suka dia berbual
lama-lama dengan Darriz Imdad.
“Thanks Encik Darriz, nanti I inform Kak Mizah. I
pergi dulu...”
“Wait, Zenia.” Tegah Darriz Imdad spontan. Dan
tatkala anak mata Zenia bersabung dengan pandangannya, dia
terasa sesak nafas. Selalu begitu!
“Ada apa Encik Darriz?”
“Err... you dah lunch?”
“I nak pergi lunchlah ni Encik Darriz.”
“Come, join I lunch dengan SMD Bank.”
Mata Zenia membulat, tapi dia boleh nampak mata
Erika lebih bulat dan terbuntang kerana terkejut. Perlahan
Zenia menggeleng dengan senyuman tidak lekang di bibir.
“Thanks Encik Darriz, tapi I dah janji dengan Nadzirah
nak lunch bersama.” Tolaknya lembut berhemah. Pandangan
berpindah pula kepada Erika.
“Jumpa lagi Cik Erika...”
Setelah gadis bernama Zenia itu berlalu, Erika
mengerling kepada Darriz Imdad. Bukan main lagi mata lelaki
itu memandang gerak langkah Zenia penuh minat. Memang
dia akui perempuan itu cantik menawan, tapi tidaklah seseksi
dirinya. Tidak mungkin Darriz Imdad akan terpikat dengan
perempuan begitu!
“Hmm... esok you nak ke Rumah Nur?”
Darriz Imdad memandang sekilas kepada Erika
yang kini melangkah di sisinya. Dia tidak membalas, sekadar
menunjuk muka tenang tanpa sebarang reaksi.
“I nak ikut boleh?”
Kali ini kepala Darriz Imdad terpaling kepada Erika
dengan riak penuh tanda tanya.
“You nak ikut I ke Rumah Nur?”
“Yes, I nak ikut you...”
“Sorry Erika, you can’t.”
“But why?”
“I don’t know, I cuma rasa I tak perlu bawak you.”
Tertikam pedih perasaan Erika dengan balasan
bersahaja daripada Darriz Imdad. Jadi telahan dia kebelakangan
ini memang tidak silap, Darriz Imdad sedang cuba mencipta
jurang antara mereka. Lelaki ini mahu menjauhkan diri
daripadanya, tapi kenapa? Patutlah susah benar mahu diajak
berjumpa, malahan panggilan dia juga sengaja dibiarkan sepi
tidak berjawab. Apa salah yang sudah dia buat? Kenapa hati
lelaki itu tiba-tiba saja berpatah balik?
Oh tidak, dia tidak mahu kehilangan Darriz Imdad!

No comments:

Post a Comment