DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 24 May 2016

Demi Bahagia Ini - Bab 10

QISTINA melipat surat khabar dan kembali
meletakkannya di atas meja kecil di tepi katil Puan Mariam.
Puan Mariam masih tersenyum mendengar berita terakhir yang
dibaca Qistina tadi mengenai seorang pencuri yang tertidur di
atas katil di dalam rumah yang ingin dirompaknya.
“Kelakar kan, madam? Penat sangat agaknya pencuri
tu sampai tertidur. Tak payah susah-susah polis nak kejar dan
tangkap dia…”
Puan Mariam kembali ketawa.
“Qistina, awak buat saya ketawalah. Sejak awak
datang, saya rasa happy sangat. Ada je bahan awak untuk buat
saya ketawa, kan?” Puan Mariam jarang rasa bersedih sejak
kehadiran Qistina di sisinya. Sayangnya kepada gadis itu juga
bertambah-tambah dari sehari ke sehari.
“Saya pun happy kat sini, madam…” Ikhlas Qistina
menyuarakan perasaannya.
“Ye ke awak happy, Qistina?” Mata Puan Mariam
terlekap pada wajah Qistina. Redup dan terharu.
“Kenapa madam tanya saya macam tu? Mestilah saya
happy. Madam tak percaya?”
“Bukan malam tadi awak bergaduh dengan Ian ke?”
Puan Mariam menduga.
Qistina terkejut. Matanya membulat. ‘Macam mana
madam tahu pulak ni?’
“Saya boleh dengar suara Ian dari dalam bilik saya…
Apa yang dia marahkan sangat tu?” Balasan daripada Puan
Mariam menjawab soalan yang berlegar dalam minda Qistina.
Qistina tunduk lalu mengeluh.
“Dia tak suka saya keluar dengan Dr. Ilyas. Lepas tu
bila saya cakap saya nak cari bilik sewa dan keluar dari rumah
ni, dia marah.”
Puan Mariam tersenyum. Suka dia mendengarkan
keberanian anaknya dalam mengakui tidak suka Qistina keluar
dengan Dr. Ilyas Khan. Bilalah pula anaknya itu akan berani
meluahkan yang lebih lagi.
“Awak akan keluar lagi dengan Dr. Illyas?”
Qistina memandang Puan Mariam. Mengapa Puan
Mariam tersenyum? Macam suka pun ada, macam geli hati pun
ada. Qistina kehairanan seketika.
“Saya pun sebenarnya serba salah, madam. Dia ajak
saya pergi charity dinner Sabtu ni. Dia nak saya menyamar
jadi girlfriend dia… semata-mata nak tayang saya pada bekas
tunang dia… saya tak selesalah madam…” Qistina berterus
terang. Hanya dengan Puan Mariam sahaja dia selesa begitu.
Apa yang ditanya Puan Mariam dijawabnya tanpa ragu-ragu.
Hati Puan Mariam melonjak gembira. Dia tahu Ian
Iskandar juga akan menghadiri jamuan makan malam yang
sama, disebabkan syarikat Ian Iskandar merupakan salah satu
penderma utama kepada hospital kanak-kanak yang menerima
sumbangan derma tersebut. Dia mahu Ian Iskandar melihat
gadis idamannya di samping lelaki lain. Mungkin itu sahaja
caranya untuk memaksa Ian Iskandar untuk pantas bertindak.
“Awak patut pergi, Qistina. Dr. Ilyas sekadar ingin awak
menemaninya. Tak salah, kan?”
“Entahlah, madam. Saya tak selesalah kena berlakon
jadi girlfriend dia,” ujar Qistina.
“Saya rasa awak boleh percaya kepada Dr. Ilyas. Saya
kenal dia dah lama. Dia takkan ambil kesempatan ke atas
awak, kalau itu yang awak risaukan… I know he’s a perfect
gentleman!” Puan Mariam cuba meyakinkan.
“Saya tahu dia baik. Saya selesa keluar dengan dia,
madam. Tak rasa janggal langsung bila dengan dia… tapi nak
berlakon jadi teman wanita dia... Saya tak beranilah madam.
Tapi saya dah janji nak berikan jawapan saya esok bila dia datang
sini.”
Puan Mariam mengangguk-angguk.
“Baguslah. Awak patut pergi dan berseronok... Saya tak
nampak apa masalahnya, Qistina. Lagipun awak memang takde
plan Sabtu ni, kan?”
Qistina masih teragak-agak. Kenapa Puan Mariam
beria-ia sangat mahu dia menemani Dr. Ilyas Khan?
“Belum ada… tapi…”
“Tapi apa, Qistina? Awak takde baju?” Pantas Puan
Mariam meneka.
“Itu bukan masalahnya, madam… macam saya katakan
tadi, saya tak pandailah nak berlakon jadi girlfriend orang. Saya
takde pengalaman…”
Qistina tidak tahu bagaimana lagi hendak menjelaskan
mengapa dia tidak selesa menemani Dr. Ilyas Khan ke majlis itu.
Dahlah kena berlakon jadi teman istimewa Dr. Ilyas Khan. Lepas
itu, dia tahu Ian Iskandar pasti tidak suka. Qistina tersentak.
Eh, tapi kenapa pulak dia kena kisah Ian Iskandar suka ke tak?
Yang dia nak jaga hati Ian Iskandar sangat ni kenapa? Lelaki
itu sendiri tak pernah tahu nak jaga hati dia. Asyik nak marahmarah
je.
“Nantilah, saya fikirkan madam.”
Puan Mariam tersenyum. Dia harus memastikan
Qistina bersetuju menemani Dr. Ilyas Khan ke majlis itu.
“Qistina, tolong panggilkan Natalie. Saya nak buang
air…”
“Baik, madam.” Qistina melangkah keluar dari bilik
Puan Mariam untuk mendapatkan Natalie Brown.
SEUSAI SOLAT isyak, Qistina mencapai Blackberrynya. Dia
tersenyum ketika melihatkan ada satu e-mel daripada Timah.
Dia pantas membacanya. Senyuman pantas hilang dari wajahnya
ketika membaca isi e-mel tersebut.
Assalamualaikum, Ina.
Apa khabar, sahabatku? Aku harap kau
tenang dan aman di sana. Aku dengan famili
aku sihat macam biasa. Mak dan ayah sibuk
dengan persiapan pertunangan Along. Along
yang nak bertunang tapi dia relaks je. Mak
ayah aku yang tunggang-langgang buat
persiapan. Nak kata kena paksa, tak jugak.
Along jugak yang dah setuju dulu. Tapi dia
buat tak kisah je. Aku pun tak tahulah abang
aku yang sorang tu!
Aku ada benda nak cerita dengan kau. Barubaru
ni, aku pergi hospital. Aku kena buat
medical check-up untuk tempat kerja baru
aku tu. Aku terserempak dengan kakak kau.
Kak Sarah tak nampak aku. Aku tengok dia
lemah je.
Dalam hospital pun pakai cermin mata
hitam. Tangan kiri dia berbalut, tapi aku
rasa tak patah. Mungkin terseliuh. Bila dia
nak ambik ubat, dia tanggalkan cermin mata
hitam dia. Masa tu aku nampak lebam kat
mata kiri dia. Teruk jugak aku tengok. Dari
mata aku, aku rasa dia macam kena pukul.
Tapi aku tak pasti. Kesian aku tengok. Lemah
macam tu pun, takde siapa teman dia pergi
hospital.
Kau rasa abang Farid pukul dia ke?
Kau doakanlah Kak Sarah. Aku pun akan
doakan kakak kau tu. Aku pergi dulu, Ina.
Nanti aku e-mel lagi. Tak seronoklah kau dah
tutup FB account kau. Nanti bila balik KL,
kau bukak balik tau!
Jaga diri kau baik-baik. Assalamualaikum.
p/s Aku rindu giler pada kau!
Mata Qistina mula berkaca. Betul ke Kak Sarah kena
pukul? Dengan abang Farid ke?
Simpati terhadap kakaknya datang berbakul-bakul. Dia
tahu kakaknya tidak mahu berkahwin dengan abang Farid pada
mulanya, namun setelah digertak dan diugut papanya, kakaknya
mengalah. Kakaknya tidak sekuat Qistina. Mudah digertak dan
cepat mengalah. Mungkinkah abang Farid juga daripada spesies
yang sama dengan Remy? Tidak bertanggungjawab?
Qistina tidak pernah bertanya mengapa kakaknya tidak
mahu berkahwin dengan abang Farid dulu memandangkan
Qistina jauh di London dan hubungan mereka yang tidak
pernah rapat, menyukarkan Qistina untuk mendekati kakaknya
dan menyelami hati dan perasaan kakaknya itu. Mesti ada
sebab mengapa kak Sarah membantah dulu, kan? Hati Qistina
tertanya-tanya.
‘Ya Allah, Kau lindungilah kakakku. Sesungguhnya dia
seorang yang lemah.’ Tidak putus-putus Qistina berdoa untuk
keselamatan dan kesejahteraan kakaknya. Itu sahaja yang
mampu dilakukan untuk Sarah Qireena.
Di samping itu, kata-kata rindu Timah tadi mencuit
hatinya. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa dia memerlukan
temannya itu. Di kala hatinya sedang kacau-bilau dan huruhara
disebabkan seorang lelaki bernama Ian Iskandar, dia tiada
teman untuk berkongsi perasaan.
KEESOKAN PAGINYA, Dr. Ilyas Khan hadir membawa
sejambak bunga ros merah untuk Qistina. Dr. Ilyas Khan benarbenar
mengharapkan agar bunga ros itu dapat mencairkan hati
Qistina untuk bersetuju menemaninya ke majlis makan malam
Sabtu ini. Dia betul-betul memerlukan pertolongan gadis itu.
Ian Iskandar melihat Dr. Ilyas Khan bersama bunga
di tangan dan wajahnya terus berubah masam mencuka.
Sangkanya Dr. Ilyas Khan ingin mengurat buah hatinya. Hatinya
terus terbakar melihat Qistina tersenyum girang menerima
pemberian bunga daripada Dr. Ilyas Khan.
‘Macam tak pernah dapat bunga! Eleh, aku pun boleh
bagilah… Lagi besar daripada tu pun aku boleh bagi…’ Ian
Iskandar mencemuh sendirian.
“Another bribe, doc?” Usik Qistina. Di hadapan Ian
Iskandar dan Puan Mariam, dia tidak selesa memanggil Dr. Ilyas
Khan dengan panggilan nama Ilyas sahaja. Pada waktu kerja,
dia harus tampak profesional.
Dr. Ilyas Khan tergelak kecil.
“If this would help, then why not?”
Hanya Ian Iskandar seorang yang tidak memahami
inti pati perbualan antara Qistina dengan Dr. Ilyas Khan. Dia
melihat Qistina dan Dr. Ilyas Khan saling berbalas pandangan.
Kalau diikutkan hati, dia mahu saja menarik Qistina keluar dari
bilik itu dan menguncinya di dalam bilik. Biar gadis itu tidak
dapat ditatap lelaki lain selain dirinya.
“So... I’m waiting for your answer, Qistina.”
Qistina mengangguk. Dr. Ilyas Khan tersengih lebar.
Puan Mariam tersenyum girang. Ian Iskandar menahan marah
yang amat dalam.
“Well, then. It’s a date.” Isytihar Dr. Ilyas Khan dengan
nada gembira.
Qistina mengukirkan senyuman lalu keluar dari
bilik Puan Mariam. Dia tahu Ian Iskandar sedang menahan
amarahnya. Amat ketara pada pandangan Qistina. Sejak Dr.
Ilyas Khan menghulurkan jambangan bunga kepadanya lagi,
dia sudah merasakan reaksi negatif daripada Ian Iskandar.
Wajahnya berubah menjadi tegang, dan rahangnya bergerakgerak
seolah-olah dia mengetap giginya. Matanya bertukar
kemerahan.
Pasti setelah mengetahui dia akan menemani Dr.
Ilyas Khan ke majlis amal Sabtu ini, dia akan marah-marah
lagi. Kalau benarlah Ian Iskandar merasa cemburu terhadap
Dr. Ilyas Khan, maka benarlah juga Ian Iskandar mempunyai
perasaan terhadap dirinya. Sekiranya Ian Iskandar meluahkan
perasaannya kepada Qistina, sanggupkah Qistina menerima dan
membalasnya.
Jujurnya, dia merasai sesuatu dalam hatinya untuk
lelaki itu. Namun apakah perasaan itu? Bukan ke baru-baru ini
dia telah membuat keputusan untuk menyahkan perasaan itu
dan menutup hatinya ketat-ketat? Bolehkah lelaki itu menerima
dirinya seadanya?
Pintu bilik Puan Mariam dibuka. Dr. Ilyas Khan berjalan
beriringan dengan Ian Iskandar dan diikuti Natalie Brown.
Qistina bangun dari sofa di ruang tamu dan melangkahkan
kaki untuk masuk ke dalam bilik Puan Mariam. Ketika Qistina
hampir berselisih dengan Dr. Ilyas Khan, lelaki itu menahan
perjalanan Qistina. Dia membisik perlahan dekat di telinga
Qistina, namun bisa didengari Ian Iskandar yang berdiri begitu
hampir dengan Dr. Ilyas Khan.
“Qistina, thank you very much. I owe you one. Anytime
you need a favour from me, just let me know, okay?”
“No worries, doc. Forget about it.”
“No, Qistina. I mean it.”
Qistina tersenyum. Keikhlasan dari wajah Dr. Ilyas
Khan mendamaikan. Dia bertuah mengenali Dr. Ilyas Khan dan
dapat menjalin persahabatan dengannya.
Dr. Ilyas Khan menghulurkan tangannya kepada Ian
Iskandar.
“I’ll come back on Friday.” Lega apabila huluran
tangannya bersambut. Risau juga dia melihatkan ketegangan
pada wajah Ian Iskandar, tetapi dia perlu berlagak bersahaja.
Betul kata ibu Ian Iskandar. Lelaki itu memang
menggilai Qistina. Dr. Ilyas Khan sedari tadi hanya menunggu
tumbukan padu ke wajahnya dari buku lima Ian Iskandar. Dia
tahu Ian Iskandar cemburu. Cemburu yang amat sangat! Jika
Dr. Ilyas Khan berada di tempat Ian Iskandar, tentunya dia
juga akan membelasah cukup-cukup, seperti yang selalu ingin
dilakukan kepada teman lelaki bekas tunangnya.
Lewat petang keesokannya, Qistina menerima sebuah
bungkusan daripada Dr. Ilyas Khan. Ketika bungkusan diterima,
Ian Iskandar masih belum pulang ke rumah. Naseem membawa
bungkusan tersebut masuk ke dalam bilik Puan Mariam beberapa
minit sebelum Qistina selesai dengan tugasannya untuk hari
itu. Bungkusan dibuka. Qistina tersenyum melihatkan sepasang
gaun labuh berwarna hitam terlipat kemas di dalam. Di celahcelah
lipatan, Dr. Ilyas Khan menulis nota.
As promised, my girlfriend!
Qistina tergelak.
“Kenapa Qistina? Apa yang lucunya?” Hairan Puan
Mariam melihat gelagat Qistina.
“Dr. Ilyas janji nak belikan saya baju untuk dinner
nanti sebagai balasan saya bersetuju menjadi temannya. Ni la
bajunya madam. Tengoklah nota yang dia tulis kepada saya,
madam.” Qistina menghulurkan nota kepada Puan Mariam.
Puan Mariam turut tergelak membaca nota daripada Dr. Ilyas
Khan.
Qistina mengangkat baju dan membentangkannya di
atas katil Puan Mariam.
“Wow! Cantiknya baju ni madam.” Qistina memuji.
Gaun labuh berwarna hitam dengan skirt kembang
di bawah pinggang, berlengan panjang dan dihiasi labuci dan
manik-manik kecil berwarna emas yang dijahit dengan begitu
teliti dan elegan sekali. Sulaman halus dengan benang emas di
sekeliling pergelangan tangan dan leher menambah seri gaun
tersebut. Gaun itu juga mempunyai tiga lapisan kain dalam,
agar kembang pada skirt gaun itu nampak lebih beralun. Ala-ala
baju kembang yang selalu dikenakan heroin-heroin Bollywood
kegemarannya.
“Mesti awak cantik sangat bila pakai dress ini nanti,
Qistina. Kenapa tak cubanya saja?” Puan Mariam turut teruja.
“Nanti-nanti jelah madam. Takkan nak cuba sekarang.
Nanti hari Sabtu, sebelum keluar saya tunjuk baju ni kepada
madam, ya.”
“Okey, dear. Tapi saya nak lihat Qistina sebelum awak
pergi tau.
“Okey, madam. Saya janji.”
Qistina kembali melipatkan gaun dan memasukkan
ia kembali ke dalam bungkusan tadi. Qistina bangun dan
mendekati Puan Mariam. Tangan dihulur.
“Saya masuk bilik dulu, madam.” Tangan Puan Mariam
dikucup.
“Okey, dear. Jumpa lagi esok.” Mata Puan Mariam
meleret mengekori belakang Qistina sehinggalah gadis itu
hilang di sebalik pintu. Bilalah Ian Iskandar akan menyedari
betapa istimewanya gadis ini?
‘Ya Allah, tetapkanlah gadis ini sebagai jodoh anakku,
kerana aku tahu hanya Qistina sahaja yang benar-benar boleh
memberikan kebahagiaan buat anakku itu. Kasih sayangnya
begitu luhur, begitu suci… Kau makbulkanlah hasratku ingin
melihatnya menjadi menantuku, Ya Allah.’
Di dalam bilik, Qistina teruja ingin mencuba gaun
yang dihadiahkan Dr. Ilyas Khan. Pandai betul Dr. Ilyas Khan
memilih baju untuknya. Gaun itu terletak sempurna di
tubuhnya. Tidak terlalu ketat. Padanan yang elok dan kemas.
Lengannya cukup menutup pergelangan tangannya. Kainnya
panjang melebihi buku lali.
“Hmmm… aku kena cari kasut tumit tinggi ni. Baru
kain ni tak nampak labuh sangat.” Katanya sendirian. Qistina
memandang jam di tangan.
“Rasa macam takde mood je nak makan malam dengan
mamat tu. Mesti ada je yang tak kena nanti… hmmm… mesti
dia nak tanya pasal Dr. Ilyas Khan lagi.” Qistina bermonolog
sendiri.
Qistina menyalin pakaiannya dan membersihkan diri.
Selepas solat asar, dia baring sebentar. Cuaca yang agak panas
sedikit melemaskan. Matanya mula layu. Akhirnya, dia terlelap.
QISTINA TERJAGA ketika mendengar pintu biliknya diketuk.
Dia menenyeh matanya. Jam di tangan menunjukkan pukul
7.15 malam. Qistina bangun, mencapai tudung dari atas katil
lalu membuka pintu. Ian Iskandar berdiri di muka pintu.
“Qistina, awak okey ke? Dah lama saya ketuk pintu
bilik awak.” Berkerut dahi Ian Iskandar. Risau dia memikirkan
kemungkinan sesuatu telah terjadi kepada Qistina.
“Maaf, encik. Saya tak dengar. Saya tertidur…” Qistina
masih lagi membetulkan tudungnya.
Ian Iskandar menatap wajah gadis di hadapannya.
Wajah inilah yang telah mengganggu ketenteraman jiwanya
selama ini. Namun, pada masa yang sama, wajah ini jugalah yang
boleh melahirkan kedamaian dalam jiwanya. Sesungguhnya dia
mahu menatap wajah itu setiap saat waktu celiknya.
“Encik, ada apa encik?” Qistina memandang Ian
Iskandar yang begitu ralit menatap wajahnya.
‘Teruk sangat ke muka aku bangun tidur ni?’
Ian Iskandar tersentak. Terus melayang angannya
sebentar tadi.
“Qistina, saya ada perkara nak bincang dengan awak.
Boleh tak awak siap? Kita makan malam di luar hari ni.”
‘Makan malam kat luar? Bahaya ni. Kalau aku nak lari
daripada dia, aku nak lari ke mana? Kalau makan kat dalam
rumah, senang aku lari masuk bilik je.’
“Errr… saya… saya…” Tergagap-gagap Qistina cuba
mencari alasan.
“Kenapa? Takut?” Sinis Ian Iskandar bertanya. Bukan
dia tidak sedar riak wajah Qistina yang berubah kebimbangan
selepas cadangan untuk makan di luar diberi tadi.
“Tak, encik. Tapi…”
“Takde tapi-tapi. Saya tunggu awak kat bawah!” Ian
Iskandar langsung tidak mahu memberi ruang kepada Qistina
untuk menolak. Dia terus berlalu dan membiarkan Qistina
terkial-kial di ambang pintu.
Qistina mencebik.
‘Suka-suki je dia paksa aku ikut dia… asyik nak
mengarah orang je. Kalau aku tak nak ikut jugak?’ Marah Qistina
dalam hati. Geramnya! Qistina tahu dia terpaksa menurut. Dia
sedar Ian Iskandar itu majikannya.
Qistina pantas menyalin pakaian yang sesuai untuk
keluar makan malam. Disarungnya seluar slack berwarna
hitam dan blaus sutera berwarna ungu muda. Setelah tudung
terletak kemas di atas kepala, Qistina mencapai tas tangan dan
keluar bilik menuju ke ruang tamu.
Ian Iskandar bangun dari sofa ketika melihat Qistina
tercegat berdiri di muka pintu. Cantiknya dia! Sekejapnya dia
bersiap. Langsung tiada solekan pada wajahnya.
‘Hai, kalau dah memang cantik, pakai apa pun cantik.
Tak payah bersolek pun cantik!’
“Encik, saya dah siap,” ujar Qistina apabila melihat
Ian Iskandar kekal berdiri bersama renungannya. Tidak tahan
Qistina ditenung sebegitu. Semakin terjatuh dia nanti. Errr…
jatuh? Jatuh cinta ke?
Ian Iskandar mengangguk. Pintu hadapan rumah
dibuka dan dibiarkan Qistina berjalan melepasinya. Haruman
Coco Chanel menyapa deria bau Ian Iskandar. Menyusuk naluri
lelakinya.
Qistina memasuki kereta Jaguar milik Ian Iskandar.
Dengan serta-merta dia terus teringatkan kereta kesayangan
papanya. Papanya terlalu sayangkan kereta Jaguarnya itu
sehinggakan tiada siapa dibenarkan memandu kereta itu
melainkan papanya sendiri atau pemandu peribadinya.
‘Berapa banyak kereta dia ada ni? Mewahnya!’ Sempat
Qistina berfikir.
Ian Iskandar terus memandu ke destinasi yang tidak
diketahui Qistina. Suasana sepi di dalam kereta. Qistina asyik
memandang ke luar tingkap. Ian Iskandar pula asyik menoleh
untuk memandang Qistina. Gadis itu bukan main ramah lagi
jikalau dengan ibunya atau ketika bersama Dr. Ilyas Khan.
Tetapi kalau bersamanya, susah betul hendak bersuara. Ian
Iskandar tidak puas hati.
Sehingga kereta diparkir, keadaan masih begitu.
Qistina mengikut langkah Ian Iskandar keluar dari perut kereta.
Apabila keluar, dia mengamati suasana sekelilingnya. Dia terus
merasa gusar. Dia kenal betul dengan tempat ini kerana dia
sering mengunjunginya sebelum ini.
‘Janganlah dia bawak aku makan kat Restoran Teratai.’
Dia kenal dengan seorang dua pekerja di restoran itu.
Qistina membuntuti Ian Iskandar. Memang Ian
Iskandar berniat membawanya makan di Restoran Teratai.
Langkah Qistina terhenti.
“Encik!” Qistina memanggil. Sedikit kuat suaranya.
Ian Iskandar berpaling. Sedikit terkejut dengan
panggilan daripada gadis yang mengekorinya dari belakang itu.
Ian Iskandar menjungkitkan keningnya seolah-olah bertanya
kenapa dia dipanggil. Wajah cuak Qistina menjadi perhatian.
“Encik nak makan kat situ ke?” Qistina menunjuk ke
arah pintu masuk Restoran Teratai.
“Ha’ah. Kenapa? Awak tak rindu masakan Malaysia?”
Qistina memulas-mulas tangannya. Tidak tahu
bagaimana untuk berterus terang dengan Ian Iskandar. Takut
jikalau terserempak dengan pelayan-pelayan restoran itu yang
dikenalinya. Mesti bermacam-macam soalan akan ditanyakan
kepadanya. Tidak sanggup!
Ian Iskandar melihat wajah Qistina yang sedikit suram
bercampur risau.
“Jomlah. Saya dah lapar ni.” Apabila Qistina masih
berdiri tercegat, Ian Iskandar menarik lengan Qistina masuk ke
dalam restoran. Terkedu Qistina ketika Ian Iskandar bertindak
sedemikian.
‘Sedap-sedap je dia pegang tangan aku. Tak skema
betullah mamat ni.’
Masuk ke dalam restoran, mata Qistina meliar mencari
wajah-wajah orang yang mungkin dikenalinya. Dia menarik
nafas lega tatkala melihat wajah-wajah pelayan yang bertugas
malam itu.
Tangan Ian Iskandar masih di lengannya. Qistina cuba
menarik tangannya daripada cengkaman Ian Iskandar. Ian
Iskandar tersentak merasakan tarikan daripada Qistina dan
pantas memandang gadis itu. Apabila disedari cengkamannya
masih kemas di lengan Qistina, barulah dia melepaskan lengan
gadis itu lambat-lambat.
Mereka duduk saling berhadapan. Qistina memilih
tempat duduk yang menghadap pintu masuk agar dia bebas
melihat sesiapa yang masuk ke dalam restoran itu. Risau
sekiranya orang yang dia kenali tiba-tiba masuk ke dalam
restoran itu tanpa disedari olehnya.
Qistina memesan nasi lemak. Juadah yang selalu
dipesannya setiap kali datang ke restoran ini. Ian Iskandar
memesan nasi goreng untuk dirinya sendiri. Pelayan itu berlalu
dan meninggalkan Ian Iskandar dengan renungan redupnya
terhadap Qistina. Untuk seketika pandangan mereka bertaup
sebelum Qistina melabuhkan pandangannya. Tidak tahan lagi
menerima panahan mata Ian Iskandar. Semakin cair dia jadinya.
Ian Iskandar mengeluh. Sukar untuk dia memulakan
bicara. Namun keputusan telah pun dibuat. Apa pun, dia harus
berterus terang akan niatnya mengajak Qistina keluar malam
ini.
“Qistina, saya hal penting nak bincang dengan awak,”
Ian Iskandar akhirnya mengucapkan kata setelah sekian lama
suasana sepi berlanjutan. Keseriusan suara Ian Iskandar
membuat Qistina mendongak memandang Ian Iskandar.
“Tapi kita bincang lepas makan jelah, ya. Nanti
terganggu pulak selera awak,” putus Ian Iskandar.
Qistina mula cuak. Takut dia dengan nada suara Ian
Iskandar. Bermacam-macam berlegar dalam fikirannya ketika
itu. Adakah khidmatnya kurang bagus? Adakah dia akan
diberhentikan? Adakah dia akan dihantar pulang ke Malaysia?
Seribu satu soalan bermain dalam mindanya.
“Encik, saya ada buat salah apa-apa ke?” Terketar-ketar
suara Qistina. Takut sekiranya Ian Iskandar akan menghantarnya
pulang ke Malaysia.
‘Memang awak ada buat salah! Salah besar! Awak telah
curi hati saya… awak telah buat saya jatuh gila… awak dah buat
saya tak lena tidur… awak dah rampas ketenteraman hidup saya
selama ini… awak dah buat saya kenal apa itu cemburu buta…’
Jerit Ian Iskandar dalam hati. Tetapi hanya dalam hati. Tidak
mampu diluahkan secara terang-terangan kepada Qistina.
Ian Iskandar menggelengkan kepalanya. Wajah Qistina
yang penuh diulit kerisauan dipandang lama.
“Tak, awak jangan risau… kejap lagi saya akan
beritahu…”
Qistina mengeluh kecil. Dia harus bersabar.
“Mummy saya okey hari ni?” Ian Iskandar sekadar
berbual kosong. “Apa awak buat dengan mummy saya hari ni?”
Qistina menceritakan serba sedikit perkembangan ibu
Ian Iskandar dan segala aktiviti yang dilakukan mereka bersama
hari ini. Apabila makanan yang dipesan tiba, Qistina masih lagi
bercerita. Sambil bercerita, Ian Iskandar dan Qistina menjamu
selera.
Ian Iskandar tersenyum dalam hati. Entah mengapa,
banyak pula Qistina boleh bercerita malam ini. Selalunya
sepatah-sepatah sahaja ayat yang keluar dari bibir mungilnya.
Terserlah kasih sayang yang lahir dari hati gadis itu buat ibunya.
“Awak sayang pada mummy saya, Qistina?” Ian
Iskandar inginkan kepastian.
“Ye, encik. Ibu encik baik sangat. Saya sayang sangat
pada ibu encik.” Perasaan sayang yang ditaburkan kepada
Puan Mariam adalah sayang yang selalu dia impikan dapat
ditunjukkan kepada ibunya sendiri, Puan Seri Ani Suraya.
Namun hubungan Qistina dengan ibunya sendiri tidak semesra
hubungannya dengan Puan Mariam.
Ian Iskandar tersenyum. Bahagia dia mendengar
pengakuan tulus ikhlas daripada Qistina. Dia tahu ibunya juga
amat sayang akan Qistina. Acap kali begitulah yang diucapkan
Puan Mariam kepada dirinya tentang perasaannya terhadap
gadis itu. Padahal baru lebih kurang sebulan ibunya mengenali
Qistina.
“Mummy saya pun sayang pada awak Qistina,” balas Ian
Iskandar ‘dan saya lebih-lebih lagi sayang pada awak!’ Hampirhampir
sahaja Ian Iskandar meluahkan perasaannya itu namun
sempat ditelannya.
Pelayan mula mengemaskan meja dan mengangkat
pinggan yang hanya bersisa. Apabila pelayan itu berlalu, Ian
Iskandar mula merenung gadis itu semula. Qistina kembali
menjadi tidak keruan.
“Qistina, saya nak awak dengar baik-baik apa saya nak
cakap, okey. Dan memandangkan apa yang saya nak cakap ni
begitu penting, saya harap awak akan dapat menjawab semua
soalan saya dengan jujur.”
“Baik, encik.” Qistina semakin risau. Air liur ditelan
perlahan. Dahinya berkerut.
“Qistina, will you marry me?”
Qistina tergamam. Terkedu. Terkejut. Tercengang.
Matanya membulat. Mulutnya sedikit ternganga. Betul ke
telinga dia ni? Apa Ian Iskandar cakap tadi?
“Aa… apa encik cakap?” Sungguh! Bukan itu yang
dijangkakan akan keluar dari mulut Ian Iskandar tadi. Langsung
tidak!
“Saya tanya, sudikah awak menjadi isteri saya?” Mata
Ian Iskandar redup memandang wajah Qistina yang masih
terpinga-pinga.
“Sa… saya… tak faham…”
“Apa yang susah sangat nak faham, Qistina? Soalan
simple macam tu pun awak tak boleh faham? Straight forward
je, kan? Takde bahasa kias, takde teka-teki…” Ian Iskandar
tersenyum. Geli hati dia melihat riak wajah Qistina. Kali
pertama dia melamar seorang gadis dalam hidupnya dan gadis
itu kelu seribu bahasa…
Qistina tahu wajahnya kini merona merah. Dia dapat
merasakan kepanasan di kedua belah pipinya.
“Kenapa tiba-tiba je ni, encik? Errr… Encik sedar ke
apa yang encik cakapkan ni?”
Ian Iskandar tergelak kecil. Wajah kemerahan Qistina
membuat gadis itu bertambah menawan.
“Qistina, umur saya dah tiga puluh tahun. Takkan saya
tak tahu apa yang saya cakapkan ni.”
“Tapi kenapa?” Qistina masih terpinga-pinga. Adakah
dia sedang bermimpi? Ian Iskandar ingin mengahwininya???
“Mummy saya dah lama mengharapkan saya beristeri
dan mempunyai keluarga sendiri. Selama ni saya tak pernah
ambil peduli harapan mummy saya tu. Saya buat-buat tak
tahu. Tapi saya dah tak boleh nak lengahkan lagi. Saya tak nak
menyesal di kemudian hari… Awak yang telah menyedarkan
saya, Qistina.”
Qistina terdiam.
“Saya nak tunaikan harapan mummy saya. Saya rasa
saya dah jumpa dengan orang yang boleh memberi kebahagiaan
kepada mummy saya…”
Qistina mengerti. Hatinya perih dengan pengakuan
Ian Iskandar. Lelaki itu mahu mengahwininya hanya untuk
memenuhi impian Puan Mariam, dan bukan atas sebab-sebab
lain.
‘Habis tu, takkan dia nak cakap dia nak kahwin dengan
kau sebab dah jatuh cinta dengan kau. Tak logik langsung, Ina.
Takkan dia boleh jatuh cinta dengan orang macam kau, sedarlah
diri tu sikit!’ Dengus Qistina dalam hati.
Namun, kata-kata marah untuk dirinya sendiri itu,
langsung tidak merubah perasaannya yang tergores dengan
kata-kata Ian Iskandar tadi. Sebagai seorang perempuan,
dia tidak malu untuk mengakui bahawa sedikit sebanyak dia
ada mengharapkan luahan hati penuh romantis mengiringi
lamaran daripada seorang lelaki yang telah menerbitkan suatu
rasa di sanubarinya.
“Mummy saya sayang pada awak, Qistina. Saya tahu
mummy pasti dapat terima awak sebagai menantunya. Awak
pun kata yang awak sayangkan mummy saya…”
“Memang saya sayang, tapi tak bermakna saya mesti
kahwin dengan encik, bukan? Encik nak kahwin dengan saya
hanya disebabkan ibu encik, kan? Jadi harapan encik lepas
berkahwin, madam akan teruskan dengan pembedahan ketiga
tu?” Suara Qistina tenang, bersahaja. Dia pun hairan bagaimana
dia boleh setenang itu sedangkan hatinya berombak ganas.
“Sanggup awak tengok mummy saya terlantar
menderita begitu, Qistina? Mummy saya dulu seorang yang
amat aktif. Boleh masuk marathon, boleh bawak kereta ke sana
ke mari, macam-macam aktiviti mummy saya lakukan. Tetapi
semuanya hancur lepas kemalangan tu. Saya dah tak sanggup
nak tengok mummy saya terlantar macam tu tak boleh nak
buat apa. Jadi saya sanggup tunaikan permintaan mummy saya
asalkan saya dapat tengok mummy saya berjalan kembali...”
Ian Iskandar terdiam seketika sambil merenung dalam ke anak
mata Qistina.
“Disebabkan awak, hati mummy saya terbuka untuk
berbincang tentang pembedahan ketiga tu. Sebelum ni dia
langsung tak nak bercakap pun pasal tu. Hanya awak yang
berjaya pujuk dia untuk memikirkan pasal pembedahan tu.
Saya tahu, selepas dia tengok kita berkahwin, dia akan setuju
dengan pembedahan tu.”
“Habis tu, macam mana dengan perasaan saya?
Langsung tak penting ke? Encik nak saya kahwin dengan encik
sebab ibu encik. Macam mana pulak dengan diri saya? Kenapa
saya perlu berkorban di sini?”
Ian Iskandar tersentak. Dia tahu di telinga Qistina,
dia kelihatan amat mementingkan dirinya sendiri. Walhal pada
hakikatnya, dia mahu Qistina menjadi isterinya melebihi segala
hasratnya sebelum ini, tetapi dia harus menggunakan ibunya
sebagai alasan untuk melamar Qistina.
Ian Iskandar tidak sanggup meluahkan segala isi
hatinya terhadap gadis ini. Takut ditertawakan. Ataupun yang
paling ditakutinya, dia akan ditolak gadis itu mentah-mentah.
Entah apa akan terjadi kepadanya sekiranya gadis itu menolak.
Tidak sanggup rasanya walaupun hanya mengenangkan
kebarangkalian perkara itu terjadi.
“Qistina, saya sanggup tunaikan apa saja permintaan
awak. Apa saja!” Ian Iskandar rela berjanji. Apa saja demi
memiliki gadis itu selamanya.
“Encik sedar ke apa yang encik minta daripada saya
ni?” Masih tidak percaya dengan apa yang didengarinya setakat
ini.
“Saya sedar Qistina.”
“Encik nak kahwin dengan saya berapa lama? Setahun?
Dua tahun? Atau sampai ibu encik boleh berjalan kembali?”
Sinis Qistina bersuara. Kalau diikutkan hati, hendak sahaja
Qistina menangis dan melalak di situ. Sampai hati Ian Iskandar
membuat dia begitu.
“Selama-lamanya, Qistina!”
Qistina tergamam dengan jawapan tegas daripada Ian
Iskandar. Selama-lamanya? Kalau sekadar hendak berkahwin
semata-mata kerana mahu ibunya menjalani pembedahan
ketiga nanti, kenapa pula Ian Iskandar mahu bersamanya untuk
selama-lamanya?
“Awak ingat berkahwin ni main-main ke Qistina?
Macam main pondok-pondok? Saya hanya akan kahwin sekali
seumur hidup saya… takkan saya nak tentukan tempoh
perkahwinan dengan awak?” Marah Ian Iskandar mendengar
soalan tidak logik daripada Qistina.
Takkan dia sanggup lepaskan gadis itu setelah gadis itu
selamat menjadi isterinya. Tidak pernah terfikir olehnya untuk
mengahwini gadis itu untuk suatu jangka masa yang begitu
pendek. Dia mahu menghabiskan sisa-sisa hidupnya bersama
Qistina. Tiada orang lain lagi di hatinya. Hanya gadis itu!
Qistina terpinga-pinga. Mata bertentang mata.
Sesungguhnya Qistina tidak mengerti. Lelaki di hadapannya ini
sudah tidak betul, agaknya.
“Tak logik langsung…” Perlahan Qistina bersuara
namun didengari Ian Iskandar.
“Encik nak kahwin dengan saya sebab nak tunaikan
harapan ibu encik, tapi encik nak kahwin dengan saya selamalamanya…”
Qistina menggeleng-gelengkan kepalanya. Ian
Iskandar tersenyum.
“Qistina, saya serius. Saya rasa awaklah pilihan yang
paling tepat. Awak tidak perlu beri jawapan sekarang. Cukup
sekadar awak cakap awak akan fikirkan permintaan saya ni.” Ian
Iskandar sengaja tidak mengendahkan kata-kata Qistina yang
terakhir itu. Qistina menggelengkan kepalanya.
“Saya rasa tak boleh, encik… permintaan encik
mustahil!” Qistina membuat keputusan.
Berubah riak wajah Ian Iskandar.
“Mustahil? Kenapa awak cakap macam tu?” Ian
Iskandar tidak puas hati mendengar jawapan Qistina. Takkan
sepantas itu dia memberikan keputusannya?
‘Dia tak tahu aku siapa. Takkan dia nak kahwin dengan
aku kalau dia tahu aku ni siapa.’
“Encik, saya tak boleh kahwin dengan encik. Saya tak
layak!”
Qistina bangun.
“Encik, boleh tak encik hantar saya balik sekarang?”
Tanpa menunggu, Qistina keluar dari Restoran Teratai
meninggalkan Ian Iskandar terkulat-kulat di tempat duduknya.
Ian Iskandar pantas menyelesaikan bil dan menyusul keluar.
Dari jauh, dia melihat Qistina yang sedang mendekati keretanya.
Ian Iskandar mempercepatkan langkahnya.
“Sofiah, Sofiah… is that you?”
Langkah Qistina terhenti. Badannya kaku. Dia
memalingkan tubuhnya ke arah suara yang telah memanggil
namanya tadi. Hanya rakan-rakannya di universiti sahaja yang
memanggilnya dengan nama Sofiah. Qistina bersedia untuk
menghadapi sebarang kemungkinan. Lelaki yang memanggilnya
tadi kini sudah berdiri betul-betul di hadapannya. Ian Iskandar
juga kini berdiri bersebelahan dengan lelaki tadi. Pandangannya
ditala kepada Qistina dan lelaki berbangsa Inggeris di sebelahnya
silih berganti.
“Sofiah! It is you! Oh my God! I didn’t recognise you
with your headscarf! What are you doing here? I thought you
went back to Malaysia right after graduation?”
Sofiah memandang sekilas ke wajah Ian Iskandar yang
semakin kelat dan menegang. Dia menelan air liur yang terasa
amat pahit sekali.
“Hi Keith! Yes it’s me. How are you?” Qistina sekadar
berbasa-basi.
Qistina memandang Keith Anderson, teman sekelasnya
selama tiga tahun ketika sama-sama menuntut di London
School of Economics. Dia sesungguhnya rapat dengan Keith
Anderson kerana mereka sering belajar bersama dan membuat
kertas kerja bersama.
“Hey! I was waiting for you to contact me once you’re
back in Malaysia but you didn’t even e-mail me! I’m totally
crushed you know!” Bunyinya seakan merajuk namun Qistina
tahu rakannya itu sekadar bergurau kerana satu kampus tahu
Keith Anderson telah mempunyai buah hati yang amat-amat
dicintainya.
“You really look different… with the headscarf and
all… when did you make all these changes?”
“Just recently Keith,” Qistina membalas pertanyaan
Keith Anderson tentang imej barunya yang kini bertudung.
“Ehem! Ehem…” Ian Iskandar bersuara. Keith
Anderson memandang Ian Iskandar. Begitu juga Qistina.
“Errr… Keith, this is Ian. Encik, this is my friend
Keith…” Mereka berjabat tangan sambil membalas ucapan
selamat. Qistina tidak tahu bagaimana untuk memperkenalkan
Ian Iskandar tadi. Sekiranya diberitahu Ian Iskandar merupakan
majikan Qistina, bermacam soalan pasti akan keluar dari mulut
Keith Anderson. Bukannya Qistina tidak tahu dengan perangai
kawannya itu.
Ian Iskandar kehairanan.
‘Bila masa pula Qistina mempunyai kawan baru ni?
Nak kata baru, macam dah lama sangat kenal. Dia panggil
Sofiah? Eh, tadi lelaki ni cakap pasal graduation?’ Ian Iskandar
semakin keliru.
Keith Anderson kembali memandang Qistina.
“So what are you doing in London?”
“Errr… I work here…” Takut melihat Ian Iskandar
yang merenungnya tajam. Matilah dia kali ni…
“Really? Which firm? PWC? EY?” Keith Anderson
menamakan firma-firma perakaunan yang terkemuka di serata
dunia.
“No, she works for me.” Ian Iskandar bersuara. Tegas.
Pertanyaan Keith Anderson tadi telah menjawab soalan-soalan
yang selama ini belum berjawab mengenai Qistina. Tahulah dia
kini siapa gadis itu.
“Oh, I see…” Keith Anderson mengerling ke arah
Qistina yang dirasakan begitu kaku. Wajah Qistina nampak
pucat.
“Sweetheart, are you alright?” Keith Anderson
memaut lengan Qistina.
‘Ya Allah, mamat ni. Time ni la pulak nak panggil aku
macam tu. Setakat kat kampus dulu sudahlah… memang nama
manja ni dia selalu panggil aku tapi tengoklah kiri kanan sikit.
Ni hah! Si Ian ni dah nak tersembul biji mata dah ni…’
“I’m fine… Keith, so sorry but we have to go now.”
Keith Anderson memandang Ian Iskandar dan
kemudian pulang ke wajah Qistina. Pautan di lengan Qistina
dileraikan. Dia pantas mengeluarkan dompetnya.
“Sofiah, this is my card. Please call me. I’d love to sit
and chat with you. I work here while waiting to commence my
ACCA. Promise me you’ll call?”
Qistina mencapai kad yang dihulurkan dan mengukir
senyuman yang sedikit hambar.
“I promise, Keith.”
Keith Anderson menghulurkan tangan kepada Ian
Iskandar.
“Nice to meet you. I’m heading towards that Malaysian
restaurant over there. Thanks to Sofiah who introduced me to
this restaurant. Now I’m addicted to Malaysian food!” Keith
Anderson tergelak kecil. Dia melambaikan tangan kepada
Qistina dan Qistina mengangkat tangan membalas lambaian
Keith Anderson. Lemah.
Qistina berdiri berhadapan Ian Iskandar. Tidak berani
untuk bertentang mata dengan Ian Iskandar yang sedang
memandangnya seolah-olah mahu menerkamnya. Ya, Ian
Iskandar kini bak seekor singa lapar yang sedang berhadapan
dengan seekor kambing yang sudah terperangkap. Tiada tempat
untuk bersembunyi atau melarikan diri lagi. Matilah dia…
Kantoi!
“Masuk!” Ian Iskandar mengarah. Terkejut Qistina
dijerkah sebegitu. Terangkat bahunya.
Qistina menurut. Di dalam kereta, Ian Iskandar
menghidupkan enjin dan mengunci pintu kereta. Kemudian
dia memusingkan tubuhnya agar berhadapan dengan Qistina.
“Saya takkan bergerak dari sini selagi awak tak
jelaskan pada saya siapa diri awak yang sebenarnya. I mean it,
Qistina! Kalau kita kena berkampung kat dalam kereta ni pun
saya sanggup. Saya tak akan hantar awak balik selagi awak tak
berterus terang dengan saya!” Bentak Ian Iskandar.
Qistina terkedu. Dia tahu Ian Iskandar serius. Dan
dia tahu juga Ian Iskandar sedang menahan marah yang amat
sangat. Tangan Qistina menggeletar. Gementar, gusar, takut
dan segala perasaan cemas ada dalam jiwanya ketika ini. Hanya
lelaki ini sahaja yang bisa membuat dia begitu…

No comments:

Post a Comment