DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 25 May 2016

Samurai - Bab 15

“MEH aku ajar kau cara nak pakai telefon ni.”
Muncul Aizat yang baru turun ke tanah. Dia melabuhkan
punggungnya di sisiku yang duduk di pangkin membelek-belek
kotak telefon bimbit yang baru dia serahkan tadi.
Tangannya mengambil kotak telefon bimbit di
tanganku lantas dibuka kotak itu. Tertera sebuah telefon sebesar
tapak tangan Aizat di dalamnya. Dia membawa keluar telefon
bimbit itu dan menekan sesuatu. Daripada malap, cahaya
telefon bimbit itu bertukar cerah. Bercahaya. Perasaanku juga
sama seperti keadaan telefon ini. Dari malap, aku jadi ceria. Tak
sangka aku memiliki telefon canggih macam ni.
“Screen protector dia dah ada calar sikit sebab dah
lama aku guna ni. Dari awal telefon ni keluar di pasaran lagi. Ini
barang kesayangan aku. Kau jaga elok-elok tau. Dalam ni banyak
gambar aku yang kacak-kacak. Kau jangan jual pula.” Pesannya
dengan begitu perasan sekali. Nak muntah aku mendengarnya.
“Tak ada masa saya nak jual gambar awak. Bukan laku
pun.” Kutukku selamba.
Dia mendakap bahuku dan klik! Selepas itu, dia
melepaskan bahuku. Muka aku tak bersedia langsung. Mana
aku tahu dia nak mengambil gambar kami? Sesuka hati dia saja
memeluk bahuku. Dia ingat aku ini lelaki sama seperti dia ke?
Hesy...
“Buruknya muka kau bila tak ready macam ni.” Dia
menunjukkan aku gambar yang baru diambil tadi. Aku sedang
pandang dia dengan kerutan di dahi manakala dia pula sedang
merenungku. Kenapalah dia tak pandang kamera saja?
“Saya tak ready, memanglah.” Aku beralasan. Tidak
sanggup dikutuk berwajah buruk.
“Meh sini aku ajar kau. Dari awal, macam ni. Konon,
dia terkunci sendirilah, kan. Kau tekan button kat tepi ni. Dia
menyala, kan. Lepas tu... kunci pattern ni, kau buat bentuk M.
Start dari kiri ke kanan. Haaa, kat sini baru nampak aplikasi
dia. Ada Instagram, ada wechat, whatsApp. Tapi semua tu,
kau beleklah sendiri. Malas aku nak ajar.” Tekun dia mengajar
tetapi... kata-kata terakhirnya itu melemahkan aku. Aku
manalah pandai nak berurusan dengan sebarang aplikasi bagai
ni. Macam mana kalau aku tersalah belek?
“Lagi?” soalku.
“Lagi kau nak tahu apa?” dia membalas soalanku
dengan soalan.
“Ambil gambar? Mesej? Calling-calling?” soalku lagi.
Tak sabarnya nak menayang dekat Maria besok. Aku akan
pastikan dia pula yang jakun denganku.
“Ambil gambar, kau slide ajelah macam ni. Lepas tu
tekan button simbol kamera ni. Ambillah gambar kau. Tekan
ni kalau kau nak selfie. Ambil gambar kau sendiri. Ini amaran
keras, kalau kau buat muncung monyet ke, muncung itik ke,
aku hempas telefon ni depan mata kau. Tak payah nak ambil
gambar gaya gedik-gedik alam macam tu. Aku tak suka.” Tegas
sahaja kata-katanya.
“Tahulah saya.” Aku membalas.
“Lagi satu...”
“Ada lagi?” aku dah tak sabar nak belajar guna telefon
baru ni.
“Ada...”
“Apa dia?”
“Jangan ambil gambar sendiri dari atas sampai mata
hitam pun tak nampak. Macam orang kena rasuk aje. Aku tak
suka! Kau nak tunjuk apa bergambar macam tu? Dahi? Kalau
nak berselfie sekalipun, kamera biar straight kat depan macam
ni.” Beria sungguh dia mengajar aku.
“Lepas tu, tengok album, tekan sini. Mesej, tekan
simbol ni. Kalau call, kau tekan sini. Sebelah sini untuk dail,
sebelah ni pula, kau tengok nombor-nombor yang keluar
masuk. Ikut ajelah apa yang ditulis. Aku dah tukar bahasa
kepada Bahasa Melayu. Maklumlah... Bahasa Inggeris, kau tak
faham.” Sempat dia mengutukku.
Terbakar sungguh hati ni. Kalau tidak mengenangkan
yang telefon ini merupakan pemberiannya, sudah lama aku
ketuk-ketuk kat kepala dia.
“Baguslah.” Jawabku geram.
“Ingat... adanya handphone ni, jangan nak curang pula.
Kau tu bakal isteri aku. Tak boleh mesej dan telefon lelaki lain.”
Amboi, nak control aku pula. Macamlah aku bercinta dengan
dia. Tetapi, apa yang dikatakannya itu ada betulnya juga. Kami
bakal menikah tak lama lagi.
Aku nak curang? Memang taklah.
“Ijai?” soalku. Takkanlah aku tak boleh berSMS dengan
sahabat karibku langsung kut?
Dia terdiam lama. Kemudian, dengusan perlahan
dilepaskan.
“Aku akan pantau.” Jawabnya dengan muka serius.
Sikit-sikit nak control hidup aku. Belum lagi jadi
suami aku. Kadangkala timbul rasa rimas dalam diri. Entah apa
pula perasaan dia terpaksa beristerikan aku. Tentu dia terpaksa
sebab nak tinggal kat sini. Huh, sentapnya! Jangan-jangan
dia nak rampas balik rumah ni tak? Hesy... takkanlah. Dia ni
nampak aje macam ni, tapi sebenarnya dia baik.
“Cuba kau buat sendiri apa yang aku ajar tadi.” Katanya
lantas memberikan aku memegang telefon bimbit nipis itu.
Telefon yang dihulurkan itu aku ambil dan membuka kekunci
dengan jayanya. Pattern kekunci yang dia buat, mudah sekali.
Huruf M.
“M untuk Melur ke?” soalku. Dia menjeling saja.
“Buat ni.”
“Buat apa?” soalku.
“Ambil gambar, mesej aku, call aku...” jawabnya.
Manalah datang nombor dia? Nombor aku sendiri
pun aku tak tahu. Ambil gambar pun kena depan dia ke? Hee,
malunya. Tak ingin aku.
“Dalam ni ada sim card ke?” soalku.
“Ada.” Jawabnya sepatah.
“Sim card siapa?” soalku lagi.
“Kau. Aku berikan yang aku pada kau.” Jawabnya.
Eh... habis tu, dia nak pakai sim card mana? Aduhai.
Payahlah aku nak berSMS dengan dia. Untuk apa aku pakai
telefon kalau tiada orang untuk aku berSMS ni nanti?
“Macam mana nak call dan mesej awak?” soalku. Tentu
dia sakit jiwa menjawab setiap soalan aku. Aku memang banyak
tanya. Nak buat macam mana? Itulah aku.
“Aku ada dua sim. Banyak tanya betul la kau ni! Serabut
kepala otak aku,” marahnya.
Hehehee. Aku dah agak, tentu dia akan marah punya.
Dia itu bukannya suka sesuatu yang menyerabutkan otak.
Maksud aku, dia tak suka aku menyerabutkan otak dia. Hobi
aku pula suka menyerabutkan otak dia. Biar padan dengan
muka dia.
“Macam mana awak boleh ada dua sim?” aku menyoal
lagi.
“Aku pakai banyak ID dalam game COC. So, lebih
senang nak handle kalau aku on dua-dua handphone aku.”
Walaupun aku tak tahu mainan jenis apakah itu, tapi
aku agak satu lagi telefon dia tak berapa penting kut. Hanya
digunakan untuk main game saja.
“Macam mana nak call awak? Saya tak tahu nombor
awaklah.” Malu bertanya sesat jalan. Muka dia nampak tertekan
dengan soalan-soalan aku. Sesekali kedengaran dia merengus.
Geram, barangkali.
“Aku dah save dalam tu. Tengok... ada tulis ‘Abang
Sayang’. Itu akulah.” Jawabnya selamba.
Abang sayang? Sungguh aku rasa nak muntah. Kenapa
dia letak macam tu pula? Gelinya. Memang mati seleraku untuk
berSMS dengan dia nanti.
“Bluerkkkk!” aku jelirkan lidahku.
“Tak payah nak buat loya sangat eh. Cepat, try call
aku.” Dia mendesak. Mungkin juga cuba alih topik kerana malu
aku bluerkkan dia. Siapa suruh buat aku rasa loya?
Aku menurut arahannya. Berjaya. Kedengaran lagu
Sebelum Cahaya berkumandang. Dia membawa keluar S4nya.
Lebih kurang macam S3 sahaja. Aku panjangkan leher menilik
nama yang ditulis.
‘Bungaku’. Isy! Kenapa dia jadi jiwang sangat macam
ni? Biar betul dia ni? Sekali dengan gambar aku pun ada? Bila
dia ambil gambar aku? Eh? Ini gambar aku tengah syok tilik
bintang pada malam hari pertama dia di rumahku!
Baru lagi hendak menegur tentang gambar itu, terus
sahaja dia bersuara. “Mesej pulak. Mesej dengan ejaan penuh.
Aku tak suka orang ubah suai perkataan jadi bahasa alien.”
Aku mencari simbol SMS dengan bersusah payah
sekali. Dia tidak langsung mahu membantuku. Aku menaip,
‘test... test...’ dan aku hantarkan kepada Abang Sayang. Hati tak
rela nak hantar pada dia tapi nak buat macam mana? Hanya itu
sahaja satu-satunya contact number yang ada dalam telefon ni.
“Tulis itu pun bukan main berjam lagi kau ambil
masa.” Kutuknya. Tahulah aku menaip agak perlahan. Yalah!
Bukannya senang guna handphone touch screen ni. Kalau
salah picit, entah huruf apa-apa yang keluar.
Telefonnya menerima mesej. Dia membalas SMSku
dengan laju sambil membelakangiku. Bimbang aku baca apa
yang dia tulis agaknya. Tidak lama kemudian, aku menerima
SMS daripadanya.
‘Good job, petal’. Petal? Apa tu ek? Macam aku pernah
dengar perkataan petal tu. Dalam subjek sains tak silap aku. Apa
dia eh? Lupa dah.
“Ambil gambar.” Arahnya apabila aku hampir sahaja
menyoalnya tentang maksud petal itu. Mulut sudah ternganga
hendak menyoal, terus saja dia mencelah. Nampak sangat dia
tidak mahu aku bertanya apa-apa. Jadi terpaksalah aku batalkan
saja niatku untuk menyoal. Masuk bilik nanti, aku cari kat
kamuslah.
“Hmm... ambil gambar tekan ni, kan?” soalku.
“Aku tak nak ajar dah.” Jawabnya.
Aku menekan simbol kamera itu dengan yakin sekali.
Yes! Betul. Mudah juga nak guna telefon bimbit ni jika ada yang
mengajar di sebelah. Mudah faham.
“Haaa, kan betul.” Ujarku bangga.
“Ambil gambar kita berdua.” Dia mengarah lagi. Aku
mencemik apabila dia mula merapatkan kedudukannya di
sisiku.
“Heee, kenapa mesti nak kena ada muka awak?” Aku
tidak jadi menekan butang untuk ambil gambar menggunakan
kamera depan itu. Pandai betul dia membantutkan selera aku
untuk mengambil gambar sendiri.
“Sebab aku tuan punya handphone yang asal.”
Jawabnya selamba.
Oh! Dia menggunakan alasan yang munasabah. Jadi
terpaksalah aku masukkan sekali wajahnya dalam gambarku
walaupun tak rela.
“Sekarang, hantar gambar tu kat aku.” Arahnya lagi.
Aduhai. Kuat sungguh dia memberi arahan. Naik rimas, tahu
tak?
“Nak hantar macam mana? MMS?” soalku. Ingat aku
tak tahu ke pasal telefon bimbit ni?
“MMS tu zaman bila, cik kak?” sindirnya.
Alamak, sekarang dah tak guna MMS lagi ke?
“Habis tu?” soalku.
“WhatsApp sajalah.” Dia mengajar lagi.
“Macam mana?” soalku lagi.
“Ni, tekan simbol sharing ni. Lepas tu scroll down,
yang ni kalau kau nak share dekat Instagram. Yang ni dekat
moments Wechat. Yang ni, simbol WhatsApp. Ambil yang ni.
Tekan Abang Sayang. Done.” Ajarnya.
Eleh. Tadi kata tak nak ajar aku guna aplikasi macam
tu. Sekarang, dia ajar juga. Mudah kerja aku.
“Oh! Tak adalah susah mana. Boleh share kat Instagram
lagi. Mudahnya.” Aku berkata gembira.
“Kau ada ke akaun Instagram?” soalnya menyindir.
Tak habis-habis nak menyindir aku. Instagram pun kena ada
akaun ke? Aku ingatkan, nak simpan duit dekat bank aje yang
perlukan akaun.
“Kena ada ke?” soalku lagi. Seperti biasa, dia mula
menayangkan wajah serabutnya apabila disoal lagi dan lagi
olehku.
“Macam facebook jugak. Daftarkan semua. Meh sini
aku buat e-mel untuk kau. Ingat password dia tau. Lagi satu,
mana-mana nak daftar, lagi mudah kalau kau pakai e-mel dan
password yang sama saja. Mudah ingat. Aku nak stalk kau pun
senang.” Katanya dengan nada yang semakin perlahan.
“Hah?”
“Tak ada apalah. Ni... aku nak ingatkan kau, jangan
terlalu taksub sangat dengan benda ni sampai lupa dunia. Mak
kau kat dapur pun kau kena tolong juga. Lagi satu, benda ni
cepat makan bateri kalau kau duk buka mobile data memanjang.
Kalau boleh, jangan selalu buka Instagram apa semua
tu. Buka WhatsApp aje. Senang aku nak mesej kau. Yang lain,
bila dah tak guna, log out terus. Jimat bateri. Lagi satu, laman
sosial ni tak berapa elok. Boleh buat orang yang waras jadi tak
waras. Jadi, berpada-padalah kalau nak guna. Jangan taksub
sangat. Faham ni?” soalnya.
“Faham, cikku. Macam mana nak tutup dan buka
mobile data?” soalku kembali.
“Alaaa. Buruknya kau panggil aku macam tu. Lepas tu,
tengok sini. Pergi dekat tetapan ni. Cari yang rangkaian. Lepas
tu pilih rangkaian mudah alih dan tekan dekat mobile data.
Payahnya semua benda ni dalam Bahasa Melayu. Tak faham aku
jadinya.” Aizat membebel sambil menyentuh skrin telefon yang
besar itu.
“Bahasa ibunda kita tu.” Aku menegur.
“Bukan maksud aku nak memperlekehkan Bahasa
Melayu. Tapi bila dah biasa gunakan Bahasa Inggeris dalam
tetapan telefon, nak cari benda-benda macam ni pun payah,
sebab semuanya dalam Bahasa Melayu.” Aizat memberitahu
lagi.
“Yalah. Lepas tu kalau nak buka, tekan semula ye?” aku
kembali pada topik asal.
“Yup! Pandai pun kau.” Pujinya.
“Okey. Saya dah faham, cikku.” Aku menarik nafas
lega.
“Sekali lagi kau cikukan aku, memang pelempang ni
kau makan.” Dia menaikkan belakang tangannya. Acah-acah
nak bagi aku. Aku tergelak. Marah betul dia apabila kena panggil
cikku.
“Kejap, aku nak daftarkan Instagram dan Facebook
kau. Kau nak pakai nama samaran apa ni?” soalnya.
“Ikut awaklah. Awak pakai nama apa?” soalku kembali.
“Aku pakai ni, Ijat_Jasmine. Mana boleh sama.”
Tersejat darahku melihat nama yang tertera di skrin
telefonnya yang ditunjukkan kepadaku. Ini bukan kali pertama
aku dengar nama tu dari mulut dia.
“Jasmin tu nama perempuan.” Aku memarahinya.
Entah kenapa aku mesti rasa marah pun aku tak tahu. Yang
pasti, aku tak suka dia letak nama tu.
“Memanglah nama perempuan. Nama aku dengan
awek aku.”
Kata-katanya berjaya merentap ketenanganku.
Mengocak jiwaku! Ya Allah. Kenapa aku harus rasa sakit begini?
Kenapa aku berasa sedih sejurus mengetahui yang dia sudah
mempunyai kekasih?
“Dah ada awek sibuk nak menggatal. Kenapa nak nikah
dengan saya juga?” soalku geram. Badannya aku kutil-kutil
geram. Dia mengelak dan mengaduh.
Air mata kecewa tiba-tiba sahaja bertakung. Tak dapat
aku sembunyikan rasa sedihku kini. Jadi benarlah dia ingin
menikahiku kerana ingin tinggal di kampung? Dan benarlah
dia ingin memadukan aku? Bukan dengan Leha tetapi dengan
Jasmine bodoh tu. Kalau aku jumpa Jasmine tu, nak saja aku
cekik-cekik dia sampai pucat.
“Yang kau nak marah aku ni kenapa?” soal Aizat
dengan suara yang mula meninggi.
“Saya tak nak dituduh perampas.” Aku menumbuk
kepala lututnya pula. Dia mengaduh dan menggosok lututnya
dengan kerutan di dahi.
Geram sungguh aku! Rasa dipergunakan untuk
kepentingan dia. Ini tidak adil langsung!
“Janganlah sampai menangis kut ya pun kau tak nak
dituduh. Atau... kau ni cemburu dengan awek aku tu?” soalnya
dengan nada curiga.
“Bencilah! Tak ada masa nak cemburu.” Aku
menafikannya walaupun air mata semakin lebat mengalir.
Biarlah ia mengalir deras bagaikan air terjun sekalipun.
“Kau ni... nak kata bengap karang, kau marah aku.
Jasmine tu melati atau melur dalam Bahasa Melayunya. Nama
kaulah! Ngek!” marahnya sambil meluku kepalaku.
Eh... biar betul. Nama aku ke? Err, kalau betul aku
Jasmine tu... tak adalah aku ni bodoh sangat. Takkan aku nak
cekik diri aku sendiri sampai pucat.
“Kenapa letak nama saya pulak?” soalku sambil
mengesat air mataku. Lega. Nama aku rupa-rupanya. Kenapa
dia nak guna nama aku pula? Tadi kata nama awek dia. Ke aku
awek dia? Sejak bila?
“Saja. Aku tak ada idea nak letak nama apa time tu.”
Jawabnya dengan muka ketatnya itu.
“Hmm. Yalah.” Aku mendengus.
“Dah, lap air mata kau. Aku letak nama Jasmine_Ijat
kat kau ye. Biar nak dekat sama.”
Aku mengesat air mata yang masih bersisa dengan
hujung lengan bajuku. Lega sangat rasanya.
“Kenapa mesti ada nama awak?” soalku sengaja nak
menjadikannya isu.
“Sebab aku yang buatkan untuk kau. Lagi satu, aku tak
ada idea nak letak nama lain.” Balasnya selamba. Oh, itu alasan
dia...
“Letaklah Melur Zamri ke.” Aku mencadangkan nama
untuk Instagram aku.
“Zaman bila orang letak nama sendiri dekat aplikasi
macam ni? Bahaya tahu tak? Kau memberitahu perihal peribadi
kau kat orang lain. Tak elok tu. Serupa juga macam tulis status.
Elakkan tulis status yang memberitahu kau beli apa-apa. Kau
dekat mana-mana. Bergaduh dengan siapa-siapa. Sebab perkara
macam tu mendatangkan bahaya.” Bebel dia dengan panjang
lebar.
“Panjang pula ceramahnya.” Komenku selamba sambil
buat-buat menguap. Sengaja nak sakitkan hati dia pula. Malu
sungguh aku kerana menangis disebabkan rasa cemburu pada
namaku sendiri.
“Aku cuma nasihat saja. Terpulanglah kalau kau tak
nak ikut.” Rengusnya.
“Yalah. Guna nama Melur saja tak boleh ke?” soalku
lagi.
Sekali lagi dia merengus. Mukanya nampak stres. Tak
suka agaknya aku gunakan nama Melur. Nama sebenar pun
salah ke?
“Tak best langsung.” Kutuknya selamba.
“Jasmine saja?” soalku lagi.
“Pendek sangat.” Alasan! Dia memang nak aku letak
nama dia sekalilah tu.
“Err, Melur_Samurai?” aku menahan senyum.
“Melur_Murai best. Kena dengan mulut murai kau.
Melur_Samurai tak best. Sebab Samurai tu bukan aku.”
Katanya sambil menggeleng-gelengkan kepalanya tak bersetuju
aku menggunakan nama Samurai sebagai nama samarannya.
“Samurai tu awaklah.” Aku berkata terus terang.
“Tang mana yang nampak aku ni macam samurai?
Kau tak habis-habis nak samakan aku dengan samurai. Tak
faham aku,” bebelnya dengan wajah yang masam mencuka.
Nampaklah yang dia tidak gemarkan panggilan itu.
“Kurus, rambut panjang. Hah! Itulah awak.” Aku buat
degil sahaja. Dia tetap samurai menurut kata hatiku.
“Sebab rambut aku aje, berminggu-minggu kau panggil
aku samurai. Letaklah apa-apa kau nak letak!” dia mendengus.
Aku menaip perlahan-lahan ke skrin telefon bimbit
itu. Selepas itu, aku cuit bahunya. Dia memandangku dengan
pandangan tidak puas hati. Dia angkat kening manakala aku
muncungkan mulutku ke arah skrin telefon. Dia membaca apa
yang aku tulis.
“Ijat_Melurai?” soalnya dengan dahi berlapis-lapis. Aku
angguk berkali-kali.
“Yalah. Awak gabung nama kita, saya pun gabung juga.
Lagi dahsyat dari gabungan awak.” Ujarku bangga.
“Buruk benar bunyinya. Aku tak nak jadi follower kau.”
Kutuknya selamba.
“Biarlah.”

No comments:

Post a Comment