DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 24 May 2016

Demi Bahagia Ini - Bab15

“KE MANA dia pergi? Takkan awak tak nampak
dia tinggalkan hospital ni? Macam mana awak semua buat
kerja ni, hah?” Marah Tan Sri Ali Saifuddin kepada doktor dan
jururawat-jururawat yang bertugas. Mereka hanya mampu
tunduk menikus. Tidak tahu bagaimana hendak menjawab
soalan-soalan Tan Sri Ali Saifuddin itu.
“Habis tu sekarang awak nak buat apa? Saya dah
pesan jaga dia elok-elok. Awak tahu tak saya ni siapa? Kalau
cerita ni keluar surat khabar, malu saya nanti.” Bertambah
merah wajah Tan Sri Ali Saifuddin. Bersusah payah dia cuba
merahsiakan kecederaan Sarah Qireena daripada pengetahuan
polis. Sekarang perlukah dia membuat laporan polis ke atas
kehilangan anaknya itu?
“Hesy... Menyusahkan orang je!” Bentak Tan Sri Ali
Saifuddin lagi.
‘Tapi Sarah dah besar. Tahulah dia nak jaga diri dia.
Malu aku kalau reporter tahu pasal Sarah.’
“Yang tercegat kat situ buat apa? Kemas barang anak
saya ni! Siapkan discharge papers dia. Tulis dalam rekod, anak
saya Sarah Qireena sudah didischargekan, faham? Saya tak
mahu dengar berita kehilangan anak saya ni keluar kat surat
khabar. Kalau keluar, saya saman semua yang ada dalam bilik ni,
dan pihak hospital sekali, faham?” Tan Sri Ali Saifuddin berkata
dengan angkuh. Sehingga hendak tersembul biji matanya
memandang doktor yang bertugas.
“Sudahlah tu, papanya…” Puan Sri Ani Suraya cuba
memujuk, namun tidak diendahkan suaminya itu. Amarahnya
sudah sukar untuk dikawal lagi.
Sudahlah hubungan dengan besannya Dato’ Malek bin
Mustaffa sedikit terjejas akibat tindakan menantunya, Farid ke
atas Sarah Qireena. Sekarang bukan setakat Farid sahaja yang
lari entah ke mana, Sarah Qireena pula menghilangkan diri.
Marah betul dia.
Syukur, jururawat Siti Aishah tidak bertugas hari ini.
Maka rahsia Sarah Qireena masih kekal rahsia. Di dalam suatu
bilik kecil di tengah ibu kota, Sarah Qireena mengalirkan air
mata kesyukuran…
Assalamualaikum Tim,
Aku risau tak dapat khabar berita daripada
kau sejak kau call aku hari tu. Aku risaukan
kakak aku. Kakak aku tu lemah dan dia takut
benar dengan papa aku. Aku risau, Tim.
Aku ada banyak benda nak cerita dengan
kau. Tapi susah betul nak cerita melalui
e-mel ni. Tapi yang paling utama, aku akan
berkahwin minggu depan. Mesti kau terkejut,
kan? Berkahwin dengan Ian Iskandar, lelaki
yang bertakhta dalam hatiku.
Kau pun tahu perasaan aku padanya, kan?
Tapi, walaupun aku gembira bakal berkahwin
dengannya, aku sedih sebab kau takde masa
aku kahwin nanti. Kau, Mak Esah, Pak Atan,
mama dan papa… Aku takde sesiapa kat sini,
Tim. Kalaulah kau ada dengan aku…
Tim, kau tolong doakan kebahagiaan
dan kesejahteraan aku, ya? Doakan agar
perkahwinan aku ni akan kekal sehingga ke
akhir hayat.
Aku pergi dulu, Tim. Rindu sangat-sangat
dengan kau.
Wassalam.
Ina
BUTANG SEND ditekan dan e-mel dihantar. Qistina mengeluh.
Sudah tiga hari peristiwa lamaran di Brighton Pier
berlalu. Tiga hari jugalah kelibat Ian Iskandar langsung tidak
kelihatan di rumah itu. Entah ke mana dia menghilang. Dari
pagi hingga ke malam dia menghilangkan diri. Sehinggakan
Qistina tidak berkesempatan berbincang dengan lelaki
itu tentang hal perkahwinan mereka. Makan malam juga
berseorangan. Qistina hanya sempat bertemu Ian Iskandar
sekejap sahaja ketika Dr. Ilyas Khan datang menziarahi Puan
Mariam semalam. Kemudian dia terus meninggalkan rumah.
‘Hari ni dah Rabu. Ahad nak kahwin. Nak kahwin
pakai apa? Aku nak buat persiapan apa? Hesy... Geram betullah
dengan mamat sorang ni.’
Qistina semakin gusar. Banyak perkara yang dia tidak
tahu tentang lelaki itu. Ian Iskandar pernah berkata dirinya
amat berahsia, namun lelaki itu juga tiada bezanya.
‘Hmmm, mungkin aku boleh bertanya pada madam.’
Puan Mariam, sejak diberitahu tentang rancangan
anak lelakinya untuk berkahwin dengannya, semakin ceria dan
gembira. Tekanan darahnya sentiasa stabil, degupan jantungnya
kuat dan dia semakin rajin untuk melakukan senaman pada
kakinya. Puan Mariam seolah-olah mendapat semangat baru.
Nafas baru...
Lain pula dengan Natalie Brown yang semakin
menyombongkan dirinya dengan Qistina. Qistina tidak
mengambil pusing akan kelakuan jururawat itu. Dia tahu
bukan dirinya yang tergedik-gedik mendapatkan perhatian Ian
Iskandar selama ini. Jadi tidak perlu untuk dia merasa bersalah
dengan wanita itu. Walaupun Qistina menyedari yang Natalie
Brown menyimpan perasaan terhadap Ian Iskandar, namun Ian
Iskandar tidak membalas perasaan itu. Perasaan lelaki itu hanya
untuk dirinya.
Qistina turun ke bawah. Pasti Puan Mariam sudah
terjaga daripada tidur siangnya. Qistina mengetuk pintu dan
melangkah masuk ke dalam bilik Puan Mariam. Puan Mariam
tersenyum melihat kedatangan Qistina.
“Dear, masuklah… masuk…”
Qistina mengambil tempatnya.
“Qistina tahu, esok Iman akan datang dari Paris. Dia
baru call mummy tadi. Mummy rindu sangat dengan dia dan
Daniel. Tapi suami dia tak dapat datang… mungkin sempat
datang untuk majlis akad nikah je…”
Qistina tersenyum. Gembira melihat Puan Mariam
begitu teruja dengan berita yang baru diterimanya.
“Saya pun… tak sabar nak jumpa Puan Iman…”
“Apa puan, puan, pulak ni Qistina? Dia akan jadi adik
ipar Qistina tau!” Puan Mariam tergelak kecil.
“Dia tahu pasal saya ke, madam?”
“Ya Allah, Qistina... Janganlah panggil mummy madam
lagi. Qistina kan akan berkahwin dengan anak mummy hujung
minggu ni,” makin besar ketawa Puan Mariam.
“Qistina patut mula panggil saya mummy tau!”
Qistina tersipu. Sudah banyak kali Puan Mariam
mengingatkannya agar menukar panggilan madam kepada
mummy, sama seperti Ian Iskandar yang meminta Qistina
memanggilnya Ian dan bukan encik. Namun lidahnya sudah
seakan terbiasa dengan panggilan madam dan encik itu.
“Mestilah Iman dah tahu pasal Qistina. Iman tahu
pasal Qistina sejak mula Qistina bekerja dengan mummy lagi.
Cuma dia tak berkesempatan balik ke London untuk berjumpa
dengan Qistina. Mummy rasa, Iman pun dah call Ian tanyakan
pasal perkahwinan tu. Mummy tahu, Iman pun tak sabar nak
jumpa Qistina… gadis yang telah berjaya mencairkan hati batu
anak teruna mummy…” Tawa Puan Mariam terletus lagi.
‘Hai... Mamat ni boleh pulak cerita pada orang lain
pasal hal perkahwinan tu, tapi dengan aku, sikit tak bercerita.
Tak boleh jadi mamat ni!’ Getus Qistina dalam hati.
“Kenapa Qistina? Ada sesuatu yang Qistina fikirkan
ke?” Puan Mariam bertanya apabila melihatkan Qistina tidak
sama-sama ketawa dengannya.
Sayang betul Puan Mariam kepada gadis itu. Teringat
lagi ketika Ian Iskandar memaklumkan kepadanya tentang
hasrat mereka untuk berkahwin sebaik sahaja pulang dari
Brighton hari Ahad lepas. Ucapan kesyukuran terus sahaja
dipanjatkan kepada Ilahi.
Doanya yang berterusan untuk Ian Iskandar dan
Qistina dimakbulkan Allah. Dia benar-benar bersyukur dan
gembira gadis ini akan menjadi menantunya. Dia turut yakin
hingga ke dasar hatinya yang Ian Iskandar akan bertemu sinar
kebahagiaan yang dicari selama ini bersama Qistina.
“Panggil Ina je mummy. Pendek dan ringkas, kan
mummy?” Qistina tersenyum meleret. Kali pertama dia
memanggil Puan Mariam dengan panggilan mummy. Tersentuh
hati dan naluri Puan Mariam mendengarnya.
Qistina mengeluh.
“Entahlah mummy… rasanya macam semuanya
berlaku dengan begitu pantas sekali. Tak tahu kenapa encik
Ian… errr… I mean Ian, nak kahwin cepat sangat. Lepas dia
buat keputusan nak kahwin dalam masa seminggu, dia terus
menghilangkan diri. Macam-macam Ina nak bincang dengan
dia… tapi dia takde…” Qistina mengadu. Qistina juga telah
ubah panggilan dirinya sendiri daripada saya kepada Ina. Lebih
mesra dirasakan begitu.
Puan Mariam melihat wajah Qistina yang diselubungi
rasa keliru. Dia tahu mengapa Ian Iskandar membuat keputusan
terburu-buru begitu. Ian Iskandar telah pun terlebih dahulu
meluahkan segala kerisauan kepadanya. Apa pun keputusan
yang dibuat Ian Iskandar, segalanya adalah untuk kebaikan
Qistina… Semuanya adalah kerana Qistina…
“Ina rasa macam belum bersedialah, mummy… Ina
perlukan masa...”
“Kenapa Ina? Ina tak pasti ke dengan perasaan Ina pada
Ian?”
“Tak… tak, mummy. Bukan itu… bukan soal hati atau
perasaan Ina mummy, tapi…” Qistina mengeluh.
“Mummy, banyak lagi perkara yang Ina tak tahu
tentang Ian...”
Puan Mariam mengerti belenggu yang sedang melanda
gadis itu.
“Ina nak tahu kisah hidup Ian, kan? Mungkin tentang
bapa Ian?” Perlahan suara Puan Mariam.
“Bukan tu je, mummy… banyak lagi… Ina tak tahu apa
yang Ian suka dan apa yang dia tak suka… Ina tak tahu macammacam
pasal Ian… terutama sekali latar belakang dia…”
“Mummy, maafkan Ina mummy…” Ucap Qistina
apabila wajah Puan Mariam bertukar menjadi keruh.
“No dear, Ina tak perlu pun minta maaf. Mummy tahu
Ina ada hak untuk tahu... tapi biarlah Ian sendiri yang beritahu
pada Ina. Ina sabar ya.”
Qistina tiada pilihan lain. Dia tidak rela mendesak
Puan Mariam setelah keceriaan yang hadir sebentar tadi sudah
hilang dari wajah itu.
“Macam mana nak tanya kalau Ian takde kat rumah…
dia pergi mana sebenarnya, mummy?”
“Rindu ke?” Puan Mariam mengusik. “Tak ke manamanalah
Ina. Dia sibuk buat persiapan perkahwinan tu. Short
noticelah katakan…”
“Tu la mummy… Ina minta tangguh dia tak nak…”
Puan Mariam kembali tersenyum. Biarlah Ian Iskandar
sahaja yang memberi penjelasan. Lambat-laun, Qistina akan
tahu juga perkara sebenarnya. Sementara itu biarlah Ian
Iskandar berusaha memiliki gadis di hadapannya ini.
“ARE YOU sure?” Ian Iskandar memicit dahinya yang terasa
mencucuk-cucuk. Kepalanya terasa berat. Namun tidak seberat
hatinya.
“Okay. Get everything ready! I don’t want any slipups.
Everything must be perfect, understand?” Ian Iskandar
mematikan telefon dengan Jeffrey, penyiasat persendirian dari
Kuala Lumpur.
Penat sungguh dia. Hendak menguruskan majlis akad
nikah lagi, hal keluarga Qistina lagi, dan juga yang berkenaan
dengan Remy Dato’ Idris Mansor. Semua rancangan mesti
menjadi. Tidak boleh tidak! Majlis akad nikah akan berlangsung
hari Ahad ini di Masjid East London. Masa begitu suntuk. Lagi
empat hari sahaja. Semua rancangan mesti direncanakan
sebelum Ahad ini.
‘Ya Allah, permudahkanlah Ya Allah…’
Sudah tiga hari dia tidak sempat meluangkan masa
bersama Qistina. Rindu betul dia kepada gadis itu. Hendak
membawanya bersama untuk membeli cincin kahwin pun tidak
sempat. Ian Iskandar seorang sahaja yang memilih dan lantas
membeli. Begitu juga dengan baju nikah untuk Qistina. Dia
tidak mahu menyewa baju nikah untuk Qistina. Bukannya tidak
boleh. Di kota London ini tiada yang mustahil. Rakyat Malaysia
dan persatuan-persatuan kebudayaan ada di mana-mana. Tetapi
dia mahukan yang istimewa untuk gadis itu.
Syukur dia telah diperkenalkan kepada seorang wanita
Melayu yang telah lama menetap di kota London yang sudi
menjahit sepasang baju kurung moden untuk Qistina. Naseem
pula telah ditugaskan untuk meminjam sepasang baju kurung
Qistina, juga daripada potongan baju kurung moden, yang
telah dibawa dari Malaysia, yang masih terlipat kemas di dalam
almari untuk dijadikan ukuran. Teringat kembali bagaimana
sukarnya dia untuk menerangkan kepada Naseem bagaimana
rupanya baju kurung itu.
‘Nasib baik dia bawak baju kurung dari Malaysia, kalau
tak bawak, pening jugak kepala… Hesy... Susah betul nak buat
persiapan kahwin ni sendiri-sendiri. Tu la… nak surprisekan dia
konon!’
Semuanya mahu dilakukan tanpa pengetahuan Qistina.
Dia mahu Qistina betul-betul teruja dan terkejut dengan segala
persiapan yang telah diaturkannya. Hanya untuk Qistina. Tidak
sabar dia hendak melihat reaksi Qistina apabila melihat segala
rancangannya nanti. Hatinya berbunga riang.
Sofiah Qistina. Nama gadis itu sering meniti di
bibirnya. Tidak sabar dia menanti saat ijab dan kabul di mana
Qistina akan menjadi isterinya yang sah. Impian yang selama ini
disulam indah bakal menjadi kenyataan. Wajah ayu dan manis
gadis itu akan sentiasa menjadi tatapannya. Tubuh dan jasad
gadis itu akan menjadi teman tidurnya. Ahhh… bahagianya…
Ian Iskandar tersenyum memikirkan malam-malam indah yang
bakal menanti…
PULANG DARI taman bersama Puan Mariam, kelihatan Dr.
Ilyas Khan sedang menanti di ruang tamu. Hajatnya ingin
berbicara dengan Qistina. Setelah Qistina memastikan Puan
Mariam sudah selesa di atas katilnya, Qistina kembali ke ruang
tamu. Dia sedikit kehairanan dengan kunjungan Dr. Ilyas Khan
pada waktu begini.
“Hey, Qistina. Thanks for seeing me! Errr… so how’s
the wedding preparations going on?” Dr. Ilyas Khan memulakan
perbualan. Hatinya tumpang gembira apabila mendengar berita
tentang majlis perkahwinan Qistina dengan Ian Iskandar
hujung minggu ini.
Qistina ketawa kecil.
“What wedding preparations? I seriously don’t know
what’s going on! I believe Ian’s taking care of everything…”
“You know, I’m really happy for you. When you
first told me you were getting married to Ian, I wasn’t at all
surprised! I knew there was something between the two of
you… I could see the sparks flying. You guys have a very strong
chemistry…” Dr. Ilyas Khan tersenyum.
Qistina turut tersenyum. Dia langsung tidak
menyangkakan Dr. Ilyas Khan, sebagai orang luar boleh
mengagak dan menilai perasaan Ian Iskandar dan juga dirinya,
padahal dia sendiri begitu sukar untuk membaca isi hati bakal
suaminya itu.
“I’m sorry I can’t be your girlfriend anymore!” Qistina
mengusik. Tawa mereka terletus.
“That is what I wanted to talk to you about!” Dr. Ilyas
Khan bersuara sebaik sahaja tawanya reda.
Rupanya sejak majlis makan malam beberapa hari
yang lalu, Dr. Ilyas Khan telah menerima panggilan daripada
Dr. Fatma Ali yang bersungguh-sungguh mahu bertemu
dengannya. Akan tetapi, Dr. Ilyas Khan masih beralasan dan
tidak mahu berjumpa dengan bekas tunangnya itu.
“That’s why I need you to act as my girlfriend one last
time, before I agree to meet up with her…”
“What? Why?”
“Well, you were the one who told me not to make it
easy for her, right? I want to make her suffer for a few more
days…”
“I don’t know, Ilyas…” Ujar Qistina meleret. Berat hati
Qistina hendak membantu Dr. Ilyas Khan kali ini. Mengingatkan
sifat Ian Iskandar yang mencemburui hubungannya bersama
Dr. Ilyas Khan, membuatkan Qistina teragak-agak untuk
memberi persetujuannya. Dia mahu menjaga hati dan perasaan
bakal suaminya itu.
“Just one last time, Qistina. We are throwing a farewell
party tomorrow night for one of our friends who will be moving
to Scotland. I know Fatma’s going to be there coz this friend is
very close to her. Will you come with me to the party?”
“I don’t think I should…” Qistina berbelah bagi.
“Are you afraid Ian might say no? Why don’t I talk to
him?” Dr. Ilyas Khan masih cuba memujuk Qistina.
“Talk to me about what?” Suara Ian Iskandar
kedengaran dari muka pintu. Qistina memalingkan wajahnya
ke arah suara itu. Suara yang amat dirinduinya.
‘Hesy... Hari ni dia balik kerja awal pulak. Tiba-tiba je
dia muncul.’
Ian Iskandar dan Qistina saling berpandangan.
Melepaskan rindu yang membara dalam hati masing-masing.
Ian Iskandar sedikit cemburu melihat bakal isterinya duduk
berdua-duaan dengan Dr. Ilyas Khan, walaupun dia menyedari
hubungan mereka tidak seperti yang dia sangkakan sebelum
ini. Namun sebagai seorang lelaki, dia tetap merasa cemburu
melihat Qistina beramah mesra dengan lelaki lain.
Ian Iskandar berjalan menuju ke sofa dan melabuhkan
punggungnya bersebelahan dengan Qistina. Rapat. Bahu
mereka bersentuhan. Ian Iskandar memandang Dr. Ilyas Khan
dan mengulangi soalannya sebentar tadi.
“I would like to borrow your fiancée tomorrow night.
Just for a couple of hours…” Dr. Ilyas Khan menceritakan secara
ringkas niatnya untuk membawa Qistina ke majlis perpisahan
untuk rakannya malam esok.
“As your fake girlfriend?” Ian Iskandar bertanya. Tidak
sinis namun agak mendatar.
Dr. Ilyas Khan ketawa. “Yes, as my fake girlfriend… for
the last time, Ian. I promise.”
Ian Iskandar mengeluh. Dia memandang sekilas
kepada Qistina. Gadis itu hanya diam menyepi.
‘Mereka hanya kawan, Ian. Mereka hanya kawan…’
Ian Iskandar memujuk hatinya. Dia tahu dia tidak boleh terlalu
mengongkong gadis itu.
“Sure. I have no objections if Qistina has no
objections…” Dengan berat hati Ian Iskandar membenarkan.
Qistina memandang Ian Iskandar. Tidak menyangkakan
yang Ian Iskandar akan memberikan kata persetujuannya. Ketika
wajah Ian Iskandar dipandang barulah Qistina perasankan betapa
wajah itu kelihatan penat dan sedikit tegang. Timbul bibit-bibit
kerisauan di hati Qistina. Mengapa Ian Iskandar bersusah payah
mengendalikan hal-hal berkaitan majlis perkahwinan mereka
tanpa meminta pertolongan langsung daripadanya? Qistina
nekad untuk berbincang dengan Ian Iskandar malam nanti.
“Qistina?” Dr. Ilyas Khan meminta kepastian. Qistina
menoleh ke arah Dr. Ilyas Khan dan mengangguk.
“One last time Ilyas and you’d better be prepared for
some cat fight. I have a feeling she’s not going to be very happy
to see me there!”
“Don’t worry, Qistina. I promise you, nothing’s going
to happen. She’s not the type to make a scene…”
Dahi Ian Iskandar berkerut. Tiba-tiba sahaja dia merasa
ragu-ragu membenarkan Qistina menemani Dr. Ilyas Khan.
Tidak mahu sebarang perkara buruk terjadi kepada gadis itu.
“She’d better not, Ilyas… hmmm I’m having second
thoughts now.” Ian Iskandar menyuarakan kerisauan hatinya.
“Oh come on, Ian. Don’t worry. It’s gonna be fine. I’m
not going to let anything happen to your girl…” Dr. Ilyas Khan
berdiri dan mengucapkan salam selamat tinggal.
“Thanks, Qistina. I’ll pick you up at 8.00, alright? The
party starts quite late tomorrow.”
Qistina mengangguk. Tinggallah dia bersama Ian
Iskandar di ruang tamu itu. Suasana sepi seketika. Mereka
saling berbalas pandang.
“Ni kali terakhir, Qistina. Lepas ni saya tak benarkan
awak menyamar jadi kekasih Dr. Ilyas lagi, faham?” Tegas Ian
Iskandar bersuara. Mana boleh menyamar? Bahaya!
Qistina mengangguk perlahan. Ian Iskandar
memandang wajah halus itu. Wajah yang sering menghantui
lenanya. Begitu manis dan ayu pada matanya.
‘Inilah dia bakal isteriku. Inilah dia permata hatiku.
Inilah dia penawar segala rindu dendamku.’ Ian Iskandar sudah
tidak sabar menunggu saat dan detik mereka bakal disatukan.
Dia akan memegang status suami kepada gadis di hadapannya
ini. Betapa bertuahnya dia.
“Encik, boleh saya tanya satu soalan?” Suara merdu
Qistina mengocak lamunan Ian Iskandar sebentar tadi.
“Qistina, bilalah telinga saya boleh dengar awak panggil
saya dengan nama saya? Kempunan saya tau!” Ian Iskandar
mengusik, namun terselit nada serius dalam bicaranya.
“Tak romantiklah kalau awak panggil saya encik
macam tu…”
Qistina menggigit bibirnya. “Saya nak tanya pasal
majlis kita Ahad ni. Enc… errr… awak betul nak teruskan
jugak? Tak nak tangguhkan dulu?”
Ian Iskandar hampir tersenyum mendengar Qistina
membetulkan panggilannya sebentar tadi.
“Kenapa awak tanya macam tu?”
“Takdelah… saya tak tahu apa-apa pun pasal majlis tu.
Hari ni dah hari Rabu. Kalau rasa macam masa tu terlampau
suntuk, saya rasa elok kalau kita tangguhkan dulu majlis tu.”
Qistina memberikan pandangannya.
“Qistina, kan saya kata satu hari pun saya takkan
tangguhkan. Kita tetap akan bernikah hari Ahad ni. Awak tak
perlu risau. Saya dah rancangkan segalanya. Percayakan saya,
okey?”
Qistina mengeluh kecil. Tidak tahu lagi bagaimana
hendak menyuarakan pendapatnya.
“Saya tak faham kenapa kita mesti tergesa-gesa macam
ni. Macam kahwin koboi je… awak faham tak apa maknanya
tu?”
“Saya tahu… tapi saya bangsa yang tak pernah
hiraukan apa orang lain nak cakap pasal diri saya. Lagipun, kita
bukannya kat Malaysia. Takde siapa kisah sama ada kita kahwin
koboi ke, apa ke…”
“Tapi awak nampak penat sangat. Betul ke takde apa
yang saya boleh tolong?” Qistina bertanya lagi. Masih tidak
berpuas hati.
“Awak risaukan saya ke?” Soalan Qistina dijawab
dengan soalan.
Senyuman terukir di bibirnya. Yang dia tahu, gadis
itu masih belum menyuarakan isi hatinya. Hanya Ian Iskandar
sahaja yang telah mengucapkan kata sayang dan cinta terhadap
gadis itu. Walaupun Qistina dengan rela hati telah bersetuju
untuk berkahwin dengannya, namun Ian Iskandar masih
menunggu luahan hati gadis itu terhadapnya.
“Tak kuasa! Buat apa nak risau?” Qistina membalas
sambil berdiri. Malas melayan lelaki itu.
Niatnya untuk meninggalkan Ian Iskandar terbantut
apabila lelaki itu merenggut lembut pergelangan tangannya.
Tangannya ditarik dan Qistina kembali duduk di tempatnya.
Ian Iskandar seolah-olah boleh meneka perasaan gadis itu yang
seakan tidak puas hati dengannya. Merajukkah dia?
“Kenapa ni? Awak marah ke?” Ian Iskandar bertanya
dengan suara yang lembut.
“Awak ni nak kahwin dengan siapa agaknya, ya?
Dengan orang bunian agaknya, ya? Ke awak nak kahwin sorangsorang?
Saya ni tak penting agaknya… tak perlu tahu pasal apa
pun tentang majlis perkahwinan kita nanti…” Sinis Qistina
bersuara, diulit juga dengan rasa tidak puas hati dan kecewa.
Ian Iskandar tidak pernah melihat Qistina begini.
Sebelum ini Qistina jarang-jarang menunjukkan emosinya,
selain daripada sikapnya yang dingin walaupun sentiasa sopan,
beradab dan hanya sesekali dia akan menunjukkan sifatnya
yang tidak selesa dengan sesuatu perkara, seperti ketika ditanya
soalan-soalan yang bersifat peribadi. Tapi dia suka Qistina
begini. Menunjukkan Qistina semakin selesa dengannya, dan
berani mempamerkan emosi dirinya yang sebenar.
“Saya sebenarnya tak nak susahkan awak, Qistina. Saya
yang beria-ia nak kahwin dengan awak, jadi biarlah saya yang
uruskan segala persiapan.” Ian Iskandar masih bersuara dengan
nada yang perlahan.
“Esok... bila adik saya datang dari Paris, dia pun boleh
tolong saya uruskan beberapa perkara lain…”
Qistina membuka mulut untuk mencelah namun Ian
Iskandar pantas menyambung kata-katanya.
“Awak tak perlu risau, Qistina. Baju awak pun saya dah
tempahkan…”
Qistina mengeluh. Tidak tahu lagi bagaimana hendak
menyuarakan pendapatnya.
‘Pandai-pandai je dia tempahkan baju aku. Entah muat
entah tidak nanti, padan muka dia. Sudahlah… malas nak layan
lagi. Buat sakit hati aku je…’
“Kalau macam tu, nampaknya dah takde apa lagi yang
perlu dibincangkan. Saya naik dulu…” Untuk kali kedua, Qistina
bangun dan terus melangkah. Ian Iskandar hanya membiarkan
sahaja gadis itu meninggalkannya. Matanya mengekori tubuh
Qistina sehingga gadis itu hilang dari pandangan.
Salahkah dia tidak berkongsi apa yang dirancangkan
kebelakangan ini bersama Qistina? Niatnya bukan tidak mahu
berkongsi dengan cinta hatinya itu, tetapi lebih kepada mahu
memberi kejutan buat gadis itu. Harapannya agar Qistina tidak
akan berperasaan marah begini setelah tahu apa yang telah
dirancangkannya untuk menggembirakan gadis itu.
Naseem mengetuk pintu ruang tamu dan
menyampaikan pesanan daripada Qistina yang dia tidak akan
makan malam bersama Ian Iskandar malam nanti. Ian Iskandar
tersenyum segaris.
‘Merajuk agaknya dia… alaaah tak bestnya makan
sorang-sorang malam ni… dahlah balik awal sebab tak tahan
rindu! Sekarang orang yang dirindu pulak merajuk…”
Selepas meluangkan masa bersama ibunya dan makan
malam bersendirian di ruang makan, Ian Iskandar meniti
anak tangga naik ke atas. Ketika di atas, dia mendekati pintu
bilik Qistina yang ditutup rapat. Hatinya tiba-tiba diselubungi
kerisauan mengenangkan gadis itu yang mungkin kelaparan.
‘Nanti sakit perut, aku jugak yang susah,’ ngomelnya
dalam hati, sengaja memberi alasan untuk mengetuk pintu
bilik Qistina.
Ketika pintu dibuka Qistina, ketika itu jugalah telefon
Blackberrynya berdering. Ditinggalkan Ian Iskandar di muka
pintu dan masuk kembali ke dalam bilik untuk mencapai
Blackberrynya. Ian Iskandar, tanpa dijemput, masuk ke dalam
bilik Qistina lalu menutup pintu. Dia melihat Qistina berjalan
menuju ke tingkap sebelum menjawab panggilan telefonnya.
“Helo, Tim ke tu?”
“Bukan Tim, Ina. Abang Khairul ni… Assalamualaikum,
Ina.”
‘Abang Khairul? Apasal pulak dia telefon aku ni?’
“Waalaikumussalam, Abang Khairul. Terkejut Ina
abang call. Kenapa tak tidur lagi ni? Masih awal pagi kan kat
sana?”
Di belakang Qistina, Ian Iskandar menarik nafas. Dia
berdiri kaku dan tangannya digenggam…
“Abang tak boleh tidur… Ina. Errr… Tim kata Ina nak
kahwin. Betul ke?” Lirih suara Khairul kedengaran di hujung
talian.
Hati Qistina dipaut rasa sedih. Sedih mengenangkan
abang Khairul yang sedari dahulu menaruh perasaan
terhadapnya. Adakah dia masih berharap?
“Betul, abang. Ina nikah hari Ahad ni…” Perlahan
Qistina bersuara.
Qistina mendengar keluhan berat di hujung talian.
Qistina memejamkan matanya. Dia tahu dia telah melukakan
hati Khairul, orang yang menyayangi dirinya lebih daripada
abang kandungnya sendiri. Namun, mengapa dia tidak dapat
membalas rasa cinta terhadap Khairul?
“Abang…”
“No, Ina. Ina tak perlu cakap apa-apa. Abang dah lama
tahu antara kita memang takde jodoh. Abang akan sentiasa
doakan kebahagiaan Ina. Abang cuma nak pastikan yang Ina
tahu apa yang Ina buat… dan Ina kahwin ni kerana Ina ikhlas
dan bukan sebab paksaan. Abang sayangkan Ina dan abang akan
tetap sayangkan Ina. Abang tak nak sesiapa pun sakitkan hati
Ina.”
Sedih… pedih… kesal… Semuanya dirasai Qistina
ketika ini. Kata-kata Khairul benar-benar meruntun hatinya.
“Maafkan Ina, abang Khairul. Ina tak berniat nak
lukakan hati abang.” Ikhlas Qistina memohon maaf kepada
Khairul.
“Abang tahu… dan abang tak pernah salahkan Ina.”
“Abang... walau apa pun, abang Khairul tetap abang
Ina… Ina tetap adik abang Khairul, kan?”
“Ya, abang Khairul tetap abang Ina…” Serak
suara Khairul. Qistina juga tidak dapat lagi membendung
kesedihannya. Air mata yang cuba ditahan tumpah juga
akhirnya.
“Jaga diri, Ina… abang nak sangat jumpa suami Ina
nanti, banyak pesanan yang abang nak sampaikan kepadanya.”
“Insya-Allah... kalau ada rezeki, abang akan jumpa Ina
dan suami Ina nanti.”
“Abang minta diri dulu, Ina. Jaga diri baik-baik.
Assalamualaikum.”
Qistina menjawab salam Khairul lalu mematikan
talian. Beberapa kali dia mengambil nafas dalam-dalam, untuk
menenangkan kembali perasaannya. Dia memalingkan tubuhnya
dan terkedu melihat Ian Iskandar begitu hampir dengannya.
Sedarlah dia lelaki itu telah mendengar perbualannya sebentar
tadi walaupun Ian Iskandar tidak mungkin dapat mendengar
segala kata-kata Khairul kepadanya.
Ian Iskandar mengamati wajah Qistina yang masih
basah dek air matanya. Dia boleh meneka apa yang diperbualkan
Qistina bersama Khairul walaupun tidak dapat mendengar
secara keseluruhannya. Mata Qistina yang masih berkaca
bertembung dengan mata biru Ian Iskandar.
“Sejak bila dia mula cintakan awak?” Ian Iskandar
menyoal. Qistina menjongketkan bahunya sambil mengesat air
matanya.
“Entah… saya tak tahu sejak bila…”
“Dah lama?”
“Mungkin.” Qistina mengangguk kecil.
“Awak sayangkan dia?”
“Sayang. Sayang sangat…”
Ian Iskandar terkedu mendengar pengakuan Qistina.
Hatinya bagai dicucuk sembilu.
“Tapi bukan sayang yang macam awak fikirkan… saya
sayang dia macam abang saya sendiri…”
“Tapi dia bukan abang awak, Qistina!” Ian Iskandar
masih tidak suka.
Ian Iskandar mahu sayang Qistina kepada lelaki lain
yang bukan ahli keluarganya, hanya bertumpu kepada dirinya
seorang. Dia tidak mahu Qistina merasai perasaan sayang
terhadap lelaki lain walaupun sekadar seorang teman. Tiada
definisi abang angkat di dalam kamus Ian Iskandar.
“Saya tahu dia bukan abang saya, tapi dia sayang
pada saya dan ambil berat pasal diri saya lebih daripada abang
kandung saya sendiri.” Qistina cuba berbahas.
“Tu sebab dia ada hati dengan awak, Qistina. Cuba
kalau dia takde perasaan pada awak, awak rasa dia akan tetap
sayang dan ambil berat pasal awak macam sekarang ni?”
“Ya, saya pasti dia akan tetap ambil berat pada saya…”
Qistina mempertahankan Khairul. Tidak suka Ian Iskandar
bersangka buruk terhadap Khairul.
“Awak ni kenapa? Apa awak buat dalam bilik saya ni?”
Soalan yang sepatutnya diutarakan kepada lelaki itu sejak dari
awal lagi disoal. Ian Iskandar tidak mengendahkan pertanyaan
Qistina.
“Awak pernah balas cinta dia?” Tajam renungan Ian
Iskandar. Masih tidak puas bertanyakan hal Khairul. Qistina
menggelengkan kepalanya.
“Saya tak pernah rasa macam tu pada dia.”
“Jadi, awak pernah rasa macam tu pada siapa?” Soal Ian
Iskandar lagi. Qistina terdiam.
‘Takkan dia tak tahu? Kenapa mesti tanya? Malunya
nak jawab…’
“Qistina, saya sedang menantikan jawapan awak,”
desak Ian Iskandar, tidak tertahan lagi. Dia terdesak mahu
mendengar luahan kata-kata sayang dari bibir merah itu.
“Takkan awak tak tahu?” Seakan berbisik Qistina
bersuara. Ian Iskandar mengambil satu langkah mendekati
Qistina. Qistina terpaksa mendongak.
“Pada siapa, Qistina?”
Qistina tunduk. Wajahnya merona merah. Malu untuk
meluahkan perasaannya kepada bakal suaminya itu. Ketika
kedua-dua tangan Ian Iskandar memaut bahu Qistina, Qistina
kembali mendongak. Lama mereka bertatapan.
“Pada aw… awak…” Akhirnya Qistina berterus terang.
Ian Iskandar memejamkan matanya buat seketika.
Akhirnya dia mendengar pengakuan gadis itu. Dia melepaskan
nafasnya yang panjang seolah-olah berasa lega dengan jawapan
Qistina itu. Apabila dia membuka matanya, pandangannya
kepada Qistina redup dan sedikit menggoda. Pautan di bahu
Qistina dieratkan.
Jantung Qistina mula berdegup kencang dan dadanya
mula beralun. Pandangan Ian Iskandar benar-benar memukau.
Qistina semakin lemas di dalam lautan kasih yang jelas
terpancar dari sinar mata lelaki itu… dan Qistina tidak dapat
melarikan pandangannya. Mata mereka saling bertaup. Untuk
seketika, mereka berada dalam dunia mereka sendiri… hanyut
dalam perasaan yang sarat dan berbunga-bunga…
Akhirnya, Qistina tersedar.
“Ian, awak patut keluar sekarang…”
Ian Iskandar terpanar mendengar panggilan namanya
meniti di bibir Qistina buat pertama kali yang kedengaran
begitu merdu di telinganya. Berdentam-dentum jantungnya.
“Sekali lagi...”
“Awak patut keluar sekarang…”
“Tak... maksud saya, sebut nama saya sekali lagi...”
Barulah Qistina mengerti. Tanpa sedarnya, dia telah
menggunakan nama lelaki itu sebentar tadi. Rasa cukup selesa
dan manis di bibirnya.
“Ian…”
Ian Iskandar tersenyum lebar.
“Thanks, love. Saya keluar sekarang... tapi sebenarnya
tadi saya datang sebab nak tanya... Kenapa awak tak nak makan?
Awak tak sihat ke?”
Lagi sekali sebutan ‘love’ dari bibir Ian Iskandar
membuat jantung Qistina berkocak hebat.
“Bukan tak sihat, saya tak lapar…”
“Saya tak suka awak tak makan… nanti awak sakit
perut… boleh tak awak pergi makan? Kalau pun awak marah
pada saya, tak perlulah awak balas dendam pada perut awak,
kan?” Ian Iskandar mengusik. Qistina mengetap bibir.
“Betul, saya tak lapar… kalau saya lapar, nanti saya
pergi cari sendiri…”
“Janji?” Ian Iskandar mahukan kepastian.
Qistina mengangguk.
“Okay, then. I’ll bid you good night. Sweet dreams,
love.” Panggilan ‘love’ kali ini mendamaikan hati Qistina.
Begitu sejuk dan nyaman.
Dengan jari telunjuknya, Ian Iskandar mengusap pipi
kanan Qistina, pipi di mana tersembunyinya lesung pipitnya
yang dalam. Qistina tergamam dengan perlakuan Ian Iskandar
yang begitu bersahaja. Tubuhnya dirasakan terkena renjatan
elektrik disentuh Ian Iskandar sebentar tadi. Sebelum Qistina
sempat memberikan sebarang reaksi, Ian Iskandar telah pun
berlalu meninggalkan bilik tidurnya. Pipinya masih terasa
hangat dengan sentuhan Ian Iskandar tadi. Ngilu terasa hingga
ke hatinya.

No comments:

Post a Comment