DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 26 May 2016

Mr Secret Admirer - Bab 6

Zureen duduk berteleku di atas tikar sejadah
usai menunaikan solat zohor. Biarpun belum berapa jam dia
berada di banglo mewah itu dan baru saja memulakan tugas
barunya, tetapi dia merasakan seolah-olah sudah terlalu lama
dia berada di situ.
Mungkin kerana apa yang telah dilaluinya sebaik
sahaja melangkah masuk ke banglo ini, benar-benar telah
menguji kekuatan dirinya. Dia langsung tidak menduga,
dalam usia semuda ini, dia terpaksa melalui sebuah
pengalaman yang seberat ini.
Baru sebentar tadi dia terpaksa melalui saat-saat
getir apabila tiba-tiba tangannya dipegang dengan kejap oleh
Syed Redza. Masih terasa sakit lagi kesan daripada tindakan
lelaki itu terhadapnya.
Zureen terpaksa berhempas pulas untuk
melepaskan tangannya daripada pegangan Syed Redza.
“Kenapa ni Encik Redza?? Tolong saya... jangan
buat saya macam ni! Kalau ada apa-apa sikap dan perbuatan
saya yang tak menyenangkan Encik Redza, saya minta maaf
tapi tolong jangan buat saya macam ni... saya hanya
menjalankan tugas saya saja,” rayu Zureen apabila melihat
sikap Syed Redza yang semakin menakutkannya dan tidak
diduganya.
Sebentar tadi Syed Redza kelihatan seperti sudah
insaf dan dapat menerima kata-kata nasihatnya tadi, tetapi
tiba-tiba jadi begini pula. Memang sikap lelaki itu sukar
untuk diduga.
Akhirnya tangan Zureen dilepaskan juga daripada
pegangan Syed Redza setelah dirayu Zureen beberapa kali.
Perubahan sikap Syed Redza secara tiba-tiba itu benar-benar
membingungkan dan menakutkan Zureen.
Zureen tidak sanggup untuk berlama-lamaan di
situ lagi. Dia ingin segera beredar sebelum lelaki itu berubah
tingkah laku lagi. Baru saja Zureen ingin melangkah
meninggalkan Syed Redza, tiba-tiba lelaki itu bersuara.
“Kenapa golongan kau ni kejam sangat??” keras
suaranya melontarkan soalan itu.
Langkah Zureen terhenti sebaik sahaja mendengar
kata-kata Syed Redza itu. Zureen bingung seketika kerana dia
sendiri memang tidak faham akan maksud soalan lelaki itu.
Zureen memalingkan badannya menghadap Syed
Redza semula. Dahinya berkerut seketika. Dia masih
menganalisa maksud soalan Syed Redza. Adakah Syed Redza
merujuk kepada dirinya yang telah melayan lelaki itu agak
kasar tadi?
Takkanlah tindakannya tadi sudah dianggap kejam
oleh Syed Redza? Malahan, Zureen rasa tindakannya wajar
dan ia sepadan dengan kata-kata kesat dan maki hamun yang
diterimanya dari lelaki itu.
Atau... Syed Redza merujuk kepada bekas
tunangnya, Lisa? Ringan saja mulutnya ingin bertanya,
namun memikirkan emosi lelaki itu masih tidak menentu,
dipendamkan saja hasratnya itu.
“Encik Redza... saya tak faham apa maksud Encik
Redza. Macam nilah, Encik Redza berehat dulu.... jangan
fikirkan yang bukan-bukan. Mungkin fikiran Encik Redza
sedang kusut sekarang ni. Bila dalam keadaan yang kusut,
akal kita tak dapat berfikir dengan waras...” Hanya itu yang
mampu diungkapkan Zureen ketika itu.
Syed Redza kembali menundukkan wajahnya sebaik
saja mendengar kata-kata Zureen. Mujurlah lelaki itu akur
kepada kata-katanya. Syed Redza terus merebahkan dirinya di
atas katil. Sebuah keluhan kedengaran dari mulut lelaki itu.
Zureen menarik nafas lega seketika. Pengalaman
yang baru saja dilaluinya ini benar-benar menguji kekuatan
dirinya. Apa yang pasti, pengalaman yang diperolehinya itu
sedikit sebanyak telah mematangkan dirinya.
Bukan mudah untuk merawat jiwa. Zureen sedar
dia langsung tidak mempunyai kepakaran dan kelayakan
seperti seorang pakar jiwa atau pakar psikologi, namun tugas
barunya itu, nampaknya sangat memerlukan kepakaran
tersebut.
Siapalah dirinya untuk melakukan tugas tersebut?
Selama ini dia hanya dilatih bagaimana untuk merawat
fizikal dan bukannya mental manusia, namun baru sebentar
tadi, tanpa disedarinya, dia telah pun melakukannya.
“Ya Allah.... aku benar-benar ikhlas menjalankan
tugas yang telah diamanahkan kepadaku ini. Aku mohon Ya
Allah, berilah aku kekuatan diri, berilah aku petunjuk
bagaimana aku boleh membantu hamba-Mu itu Ya Allah...”
doa Zureen dengan setulus hatinya.
Zureen bingkas bangun setelah menyedari dia
sudah terlalu lama duduk di atas tikar sejadah. Memang tidak
ada salahnya berada lama di atas sejadah setelah selesai
bersolat, berwirid dan berdoa kerana lebih lama berada di
atas tikar sejadah, maka lebih banyak masa yang digunakan
untuk muhasabah diri sendiri, namun sekarang ini dia
sedang bertugas.
Tiba-tiba perasaan bersalah menguasai dirinya
kerana sudah terlalu lama dia berada di biliknya sebaik sahaja
selesai menguruskan Syed Redza tadi. Datin Raja Fatimah
pula telah lama ke butiknya sejak pagi tadi.
Baru sahaja dia ingin melangkah keluar dari
biliknya, tiba-tiba dia terperasan sesuatu. Sejak pagi tadi, dia
langsung tidak menyentuh telefon bimbitnya sedangkan
sejak sekian lama dia langsung tidak boleh berenggang
dengan telefonnya itu.
Selama ini, telefon bimbitnya akan sentiasa berada
di poket seluarnya. Dia sendiri tidak tahu kenapa kerana
biasanya orang yang tidak boleh berenggang dengan telefon
bimbit adalah orang yang sibuk berSMS dengan kekasih hati,
tetapi tidak bagi dirinya.
Entah apa yang disayangkan sangat dengan telefon
bimbitnya itu, dia pun tidak tahu. Memang Zureen tidak
nafikan, dia juga sibuk berSMS tetapi bukanlah dengan
kekasih hati. Seingat-ingatnya, hanya tiga orang sahaja yang
kerap dihubungi dan menghubunginya. Abangnya Zahin,
abang angkatnya, Dr. Haziq dan BFFnya, Alia.
Zureen mencapai beg tangannya. Diambil telefon
bimbitnya yang tersimpan kemas di dalam beg tersebut.
Sebaik sahaja dia melihat telefon bimbitnya, tertera di skrin
telefon 15 Missed Call dan tiga SMS masuk.
“Ya Allah! Banyaknya missed call. Siapa yang call
ni? Penting sangat ke?” gumam Zureen sambil memeriksa
senarai panggilan yang tidak dijawabnya itu.
Zureen mengeluh panjang setelah melihat senarai
pemanggil yang menghubunginya sejak pagi tadi. Dua
panggilan daripada uminya, dua panggilan daripada
abangnya, Zahin dan yang menyesakkan nafasnya apabila
melihat sebelas panggilan itu daripada abang angkatnya, Dr.
Haziq. Lebih merimaskannya, panggilan yang dibuat abang
angkatnya adalah selang tiga minit.
Zureen membaca pula mesej yang diterimanya.
Satu mesej daripada abangnya, Zahin yang bertanya khabar
tentangnya. Zureen segera membalas mesej daripada
abangnya. Dua panggilan daripada uminya akan dijawab
sebentar lagi. Dua mesej lagi sudah semestinya daripada Dr.
Haziq Daniel.
Mesej pertama dihantar pada jam 9.30 pagi:
Kenapa tak jawab call abang? Please call me
back!!
Mesej kedua dihantar jam 11.00 pagi:
Zureen sibuk sangat ke? Kenapa masih tak
jawab panggilan abang? Kenapa tak call
balik? Baru first day kerja dah busy macam ni
sekali? Kalau Zureen tak call abang, petang
nanti abang akan ke sana!
Sesak nafas Zureen sebaik sahaja membaca mesej
kedua itu. Aduh! Dia dah mula dah! Kalau diikutkan keras
hatinya, mahu saja diabaikan mesej-mesej daripada abang
angkatnya itu, namun Zureen bimbang kerana dia tahu
sangat perangai abang angkatnya itu. Dia pasti akan kotakan
apa yang dikatakannya. Terasa menyesal pula kerana
menunjukkan banglo majikannya kepada Haziq tempoh hari.
“Aduh! Nak buat macam mana ni? Nak call ke tak
ni? Kalau call panjang pula ceritanya... Kalau tak call,
buatnya betul-betul dia muncul kat banglo ni, aku nak buat
apa? Hishhh..... rimasnya aku nak melayan mamat sorang ni.
Punyalah caring mengalahkan dia tu boy-friend aku pula!
Abang Zahin pun tak macam tu...” bebel Zureen sendiri.
Setelah mempertimbangkan segala kemungkinan,
akhirnya Zureen mengambil keputusan untuk membalas
mesej Haziq saja. Dia malas untuk menelefon kerana pastinya
dia akan terpaksa menadah telinganya mendengar bebelan
Haziq.
Salam. Abang, Zureen minta maaf sebab tak
jawab panggilan abang. Zureen tak perasan
ada panggilan dan mesej masuk sebab
handphone dalam beg Zureen. Memang
Zureen busy sikit. Hari ni kan first day Zureen
kerja kat sini, dah tentulah banyak benda
Zureen nak kena buat. Abang jangan pula
buat kerja gila datang kat tempat kerja
Zureen. Nanti kalau Zureen kena fired macam
mana? Zureen baru nak merasa pegang duit
sendiri tau! Nanti bila Zureen free, Zureen call
abang eh... Sorry.
Panjang lebar mesej yang dihantarnya. Dah
mengalahkan karangan pula. Harap-harap abang angkatnya
memahami situasinya ketika itu.
Seterusnya dihubungi uminya pula. Perbualan yang
ringkas sahaja. Tiada apa yang penting, sekadar perasaan
ingin tahu daripada seorang ibu kerana bimbang katanya.
Bimbang jika dia tidak dapat menyesuaikan diri di tempat
baru. Setelah dapat meyakinkan uminya, tugasnya
disambung kembali.
Zureen segera berjalan keluar dari biliknya untuk
menyambung tugas seterusnya. Kali ini, dibawa bersama
telefon bimbitnya. Bimbang kalau panggilan yang
diterimanya sememangnya panggilan yang penting.
Dimasukkan ke dalam poket uniformnya.
Zureen membawa bersama diarinya yang tercatat
senarai tugas yang perlu dilakukan. Ditelitinya senarai tugas
itu untuk mengetahui apakah tugas yang perlu dilakukan
seterusnya.
“Pagi tadi Dr. Rashdan dah ambil tekanan darah
dia... ubat pun dah bagi makan tadi. Lepas ni nak buat apa
ek? Ooo... sekarang kena cek gula dalam darah pula dua jam
lepas makan... alamak! Ni dah lebih daripada dua jam... aduh!
Matilah aku kalau Dr. Rashdan tahu aku tak ikut masa yang
dia tetapkan..” Zureen memeriksa senarai tugasnya.
Zureen bergegas ke bilik Syed Redza. Rasa-rasanya,
Syed Redza pasti sedang tidur kerana kesan dari ubat yang
dimakannya tadi. Zureen tetap mengetuk pintu bilik itu
terlebih dahulu sebelum masuk. Manalah tahu, kalau Syed
Redza tidak tidur. Nanti, tak fasal-fasal kena jerkah
sedangkan lelaki itu baru saja belajar untuk menerima
kehadirannya di banglo itu, walaupun Zureen sendiri masih
tidak pasti akan sikap lelaki itu seterusnya kerana Zureen
sedar, pesakit seperti Syed Redza emosinya sentiasa tidak
stabil.
Zureen menolak perlahan-lahan pintu bilik lelaki
itu. Dijengahkan kepalanya untuk memeriksa keadaan bilik
itu terlebih dahulu. Memang ternyata Syed Redza sedang
tidur.
Zureen berjalan perlahan menghampiri katil Syed
Redza. Sebolehnya dia tidak mahu mengejutkan lelaki itu
kerana belum sampai masanya untuk makan ubat. Syed
Redza sepatutnya makan tengah hari terlebih dahulu
sebelum mengambil ubat.
Zureen mengambil alat untuk memeriksa gula
dalam darah. Dia tidak perlu mengejutkan lelaki itu kerana
tugasnya itu masih boleh dilakukan walaupun Syed Redza
tidur. Malahan tugasnya menjadi lebih mudah jika dalam
keadaan begitu.
Zureen sempat memerhatikan wajah Syed Redza
yang sedang lena itu. Dia mengamati wajah itu sedalamdalamnya.
Tiba-tiba perasaan kasihan bersarang dalam
hatinya. Dari wajah lelaki itu, Zureen dapat merasakan sikap
sebenar Syed Redza tidak seperti sikapnya sekarang ini.
Sudah pasti sikap Syed Redza sekarang ini telah
dipengaruhi oleh kesan dari kemalangan yang dialaminya.
Andaian Zureen itu diperkuatkan lagi dengan cerita daripada
Datin Raja Fatimah mengenai bekas tunangnya, Lisa.
Zureen memerhatikan pula fizikal lelaki itu. Fizikal
tubuh badannya masih sempurna. Tiada sebarang kecacatan
pada tubuh badannya walaupun dia mengalami kemalangan
jalan raya yang agak dahsyat. Hanya kaki kanannya yang
patah dan kelihatan parut-parut kecil kesan daripada lukaMr.
luka yang dialaminya terutama di tangan dan kakinya.
“Encik Redza.... kembalilah kepada dirimu yang
asal. Sihatlah semula. Masih banyak yang perlu dirimu
lakukan di luar sana. Jangan hampakan perasaan orangorang
yang menyayangimu.” Zureen bermonolog sendiri.
Bukan sekadar monolog, tetapi itu juga adalah doanya untuk
lelaki itu.
Setelah termenung panjang, Zureen kembali
menyambung tugasnya. Diambilnya kapas dan diletakkan
sedikit spirit di atas kapas itu tadi. Kemudian, diraih tangan
kanan Syed Redza. Kapas lembap itu disapukan beberapa kali
di bahagian hujung jari telunjuk lelaki itu. Kelihatan badan
Syed Redza bergerak sedikit. Mungkin disebabkan rasa sejuk
yang datang dari kapas berspirit itu tadi.
Baru sahaja Zureen hendak mencucuk hujung jari
Syed Redza menggunakan lancing device, tiba-tiba telefon
bimbitnya berbunyi.
Zureen tersentak akibat bunyi nada dering lagu
kegemarannya, Careless Whisper daripada George Michael.
Hampir terlepas lancing device yang dipegangnya.
“Aduh! Kenapalah time ni kau berbunyi pula? Apa
pasallah aku lupa nak silentkan tadi?” bisik Zureen
keresahan.
Zureen jadi kalut seketika. Dari bunyi nada dering
itu, Zureen sudah tahu siapa yang sedang menghubunginya
kerana memang dia telah khaskan lagu itu untuk siapa lagi
kalau bukan Dr. Haziq.
Zureen jadi bertambah panik apabila melihat Syed
Redza turut tersedar daripada lenanya hingga dia sendiri
tidak menyedari ketika itu dia masih memegang tangan Syed
Redza. Zureen bimbang jika tiba-tiba Syed Redza mengamuk
lagi akibat tidurnya itu terganggu oleh bunyi deringan
telefon bimbit Zureen.
Tajam matanya merenung Zureen. Bagaikan satu
amaran untuk Zureen. Tindakan spontan daripada Zureen,
mematikan panggilan itu.
“Maaf Encik Redza... saya nak check gula dalam
darah Encik Redza.” Tanpa disoal Zureen memberitahu apa
yang sedang dilakukannya.
Tiada sebarang reaksi daripada Syed Redza. Dia
memejamkan kembali matanya. Zureen lega.
Diulang semula tugasnya tadi setelah mendapati
Syed Redza menyambung tidurnya. Sekali lagi, tanpa diduga,
baru sahaja diaingin mencucuk jari Syed Redza, telefon
bimbitnya berbunyi lagi.
“Ya Allah.... apa hal dia ni? Tak faham bahasa ke?”
Zureen meradang. Kali ini dimatikan terus telefon bimbitnya.
Zureen memandang Syed Redza yang sedang
merenungnya tajam. Pandangannya lebih tajam kali ini.
“Kalau awak rasa nak bergayut kat telefon, baik tak
payah kerja! Beritahu boy-friend awak tu, ini bukan masanya.
Ini waktu tugas rasmi awak!” Dengan selamba dan sinis Syed
Redza menyindir Zureen.
Zureen agak tersentak dengan kata-kata Syed Redza
itu. Boy-friend? Mana dia tahu yang telefon tu siapa? Sedap
mulut aje nak menuduh! Main serkap jarang!
Berbakul-bakul sumpah seranah terhadap abang
angkatnya dalam hati Zureen. Tak fasal-fasal, kerana abang
angkatnya, dirinya dimarahi. Terasa menyesal pula kerana
membawa bersama telefon bimbitnya tadi. Sepatutnya dia
letakkan telefon bimbitnya dalam keadaan Silent. Entah
kenapa dia terlupa pula. Mungkin kerana tidak menyangka
Haziq akan menelefonnya setelah dia menghantar mesej
kepada abang angkatnya itu.
“Maaf Encik Redza... Saya janji perkara ni tak akan
berulang lagi.”
Menyedari itu memang kesalahannya, Zureen
hanya mendiamkan diri setelah memohon maaf.
“Izinkan saya sambung tugas saya.”
Syed Redza memejamkan matanya semula. Zureen
tidak pasti adakah Syed Redza menyambung tidurnya atau
sekadar memejamkan matanya.
Kali ini tugasnya berjalan lancar. Setelah
mencucuk hujung jari telunjuk Syed Redza, diletakkan
setitik darah lelaki itu di bahagian hujung test strip.
Kemudian, angka7.6 tertera di skrin meter.
Agak tinggi! Patutlah dia mengamuk tadi bila aku
bagi dia roti yang disapu dengan jem, getus hatinya.
Zureen terus sahaja mencatatkan bacaan yang
diperolehinya di dalam fail yang telah disediakan oleh Dr.
Rashdan.
Setelah merekodkan bacaan tadi, Zureen
memikirkan pula cara untuk merendahkan kembali paras
gula dalam darah Syed Redza. Teringat pesanan Dr. Rashdan
tadi kepadanya. Zureen harus memastikan setiap menu
hidangan untuk Syed Redza mesti mengikut senarai menu
yang telah ditetapkan oleh Dr. Rashdan.
Zureen melihat jam tangannya. Hampir jam dua
petang. Sepatutnya Syed Redza sudah selesai makan tengah
hari ketika ini, namun disebabkan lelaki itu lambat
mengambil sarapan paginya tadi, menyebabkan waktu makan
tengah hari juga telah tertunda. Zureen sedar, selepas ini dia
perlu memastikan segala yang telah diatur oleh Dr. Rashdan
dilakukan mengikut waktu yang telah ditetapkan.
Menyedari hari ini adalah hari pertamanya
bertugas, sudah tentu semua urusan agak kelam-kabut.
Ditambah pula dengan kerenah Syed Redza tadi. Zureen
yakin, tugasnya akan lebih teratur selepas ini setelah dia
memahami sepenuhnya bidang tugasnya.
“Mana ada orang yang terus perfect hari pertama
bertugas?” bisiknya. Suatu helah bela diri untuk
menyedapkan hati sendiri.
Sedang Zureen menulis laporan kesihatan Syed
Redza untuk hari ini, kedengaran pintu bilik diketuk.
Zureen segera membuka pintu. Kelihatan
pembantu rumah, Siti berdiri di luar pintu sambil menatang
dulang yang berisi makanan tengah hari.
“Maaf Embak Zureen... masa untuk Mas Redza
makan tengah hari udah agak lewat kerana biasanya jam satu
Mas Redza udah selesai makan. Saya udah ngantar makanan
jam satu tadi, tapi Mas Redza sedang tidur,” terang Siti tanpa
dipinta.
Nampaknya pembantu rumah itu sendiri amat
patuh kepada masa yang telah ditetapkan.
“Kalau Encik Redza sedang tidur tadi, Kak Siti
letakkan saja makanan tu atas meja. Bila dia bangun nanti,
barulah dia makan,” balas Zureen.
“Mas Redza enggak makan makanan yang udah
sejuk. Jadi saya bawa turunkan semula makanan itu,” jawab
pembantu rumah itu pula.
“Oooo.. Ya ke? Tak apalah, Kak Siti letakkan aje
makanan tu atas meja tu,” arah Zureen. Pembantu rumah itu
akur. Setelah meletakkan makanan tengah hari itu, dia pun
berlalu keluar. Sebelum Siti keluar, dia sempat
mengingatkan Zureen.
“Embak Zureen pun belum makan tengah hari lagi
kan? Datin udah pesan sama saya. Embak Zureen juga harus
makan ikut waktu.”
Patuh sungguh pembantu rumah Indonesia itu
kepada arahan majikannya. Zureen hanya tersenyum dan
mengangguk.
“Saya belum lapar lagi. Nanti kalau saya lapar, saya
turun makan ya? Kak Siti janganlah risau..”
Satu lagi informasi diperolehinya sebentar tadi.
Syed Redza tak makan makanan yang dah sejuk! Hishh!!
Cerewet betul!
Zureen merenung hidangan tengah hari itu.
Sepinggan nasi yang masih berasap, ikan kembung bakar,
sup sayur dan beberapa potong buah belimbing besi. Memang
menu untuk orang sakit!
Kini, Zureen merenung Syed Redza yang sedang
enak tidur. Sekali lagi dia terpaksa berhadapan dengan situasi
yang sama seperti pagi tadi. Perasaan serba salah sama ada
untuk mengejutkan Syed Redza atau tidak!
“Kalau tak kejut, nanti makanan ni sejuk pula.
Dahlah dia tak makan makanan sejuk. Kalau kejut, tak
mengamuk ke dia? Dahlah tadi tidur dia terganggu sebab
telefon aku..” Zureen sedang berkira-kira apa yang patut
dilakukan.
Akhirnya, Zureen memutuskan untuk mengejutkan
sahaja kerana waktu itu sebenarnya tidak sesuai untuk tidur
terlalu lama tetapi disebabkan kesan ubat yang diambil oleh
Syed Redza perkara itu tidak dapat dielakkannya.
Zureen sedar, kali ini dia perlu berhati-hati semasa
mengejutkan Syed Redza. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu
insiden pagi tadi berulang lagi.
Dengan perlahan, dihampiri Syed Redza yang
sedang tidur.
“Encik Redza.... Encik Redza... bangun. Sekarang
masa untuk makan tengah hari,” Zureen mengejutkan Syed
Redza dengan perlahan dan berhati-hati kerana dia tahu Syed
Redza tidak boleh terkejut. Dia akan mengamuk jika tidurnya
terganggu akibat terkejut.
Syed Redza membuka matanya. Dia merenung
Zureen. Tiba-tiba Zureen merasa kecut dengan renungan itu.
Dia nak mengamuk lagi ke?
Namun renungan kali ini berbeza. Pada tafsiran
Zureen, renungan Syed Redza kali ini seolah-olah bermaksud
dia sudah letih melalui semua rutin hariannya. Renungan
yang mengharapkan dirinya bebas seperti orang lain.
Zureen tidak tahu kenapa dia berfikiran begitu.
Namun, nalurinya kuat mengatakan begitu.
Tanpa berlengah, Zureen terus sahaja membantu
Syed Redza bangun.
Baik aku cepat sebelum dia ubah fikiran! Getus
Zureen.
“Encik Redza... sekarang masa untuk makan tengah
hari. Saya minta maaf sebab dah terlewat bagi Encik Redza
makan tengah hari.”
Tiada sebarang reaksi daripada lelaki itu. Kelihatan
dia agak lemah. Tidak agresif seperti pagi tadi.
Baru sahaja Zureen ingin menghulurkan pinggan
kepada lelaki itu, tiba-tiba dia bersuara.
“Bawa aku ke balkoni.”
Kali ini, suaranya mendatar sahaja. Tidak terjeritjerit
seperti pagi tadi. Zureen tidak pasti sama ada sikap Syed
Redza itu disebabkan kata-kata nasihat Zureen pagi tadi atau
disebabkan kesan daripada ubat yang dimakannya.
Tanpa banyak soal, Zureen terus sahaja memapah
Syed Redza ke kerusi roda dan terus menyorongnya ke
balkoni. Setelah itu, Zureen kembali mengambil hidangan
makan tengah hari untuk dibawa ke balkoni.
Zureen mula mengambil lauk-pauk yang telah
disediakan dan diletakkannya ke dalam pinggan nasi.
Kemudian, dia mula menyuap nasi ke mulut Syed Redza
dengan menggunakan sudu walaupun tidak diarahkan oleh
lelaki itu.
Syed Redza hanya merenung Zureen sewaktu sudu
yang berisi nasi itu sudah berada di hadapan mulutnya.
“Aku boleh makan sendiri..”
Diambilnya pinggan dan sudu dari tangan Zureen.
Zureen pula melihat dengan agak pelik tindakan Syed Redza.
“Bukan ke pagi tadi dia yang beria-ia suruh aku
suap dia... siap cakap aku makan gaji buta lagi bila aku tak
suap dia makan... sekarang ni nak makan sendiri pula...
macamlah aku nak sangat suap dia makan!” gumam Zureen
dalam hati.
Apa yang pelik, hanya dua suapan sahaja yang
masuk ke mulut lelaki itu. Syed Redza kelihatan tidak
berselera. Adakah disebabkan lauk yang dimakannya sudah
sejuk? Mana mungkin kerana Zureen dapat melihat kesemua
nasi dan lauk-pauk itu masih panas berasap.
Syed Redza kembali termenung dengan pinggan
masih di tangannya. Dia merenung jauh ke luar. Kadangkadang
Zureen sendiri pelik. Apalah agaknya yang sedang
bermain dalam fikiran lelaki itu apabila dia termenung
begitu?
Jika boleh, Zureen ingin menyelami perasaan Syed
Redza ketika itu, namun dia sedar mana mungkin dia
bertindak sejauh itu. Siapalah dirinya untuk melangkaui
batas tugasnya.
Zureen tidak tahu apa yang harus dilakukan ketika
itu. Adakah dia harus membiarkan saja Syed Redza
termenung begitu? Ingin bertanya, rasa bimbang pula.
Mungkin Syed Redza ingin bersendirian. Zureen
memutuskan untuk meninggalkan Syed Redza seketika
melayan perasaannya. Dengan perlahan dia melangkah
keluar.
“Kau nak ke mana?” soal Syed Redza dengan suara
mendatar.
Zureen tersentak. Terhenti langkahnya.
“Maaf. Saya nak keluar sekejap,” balas Zureen.
“Ada kau minta izin dengan aku? Ada ke aku bagi
kebenaran kau keluar?”
Zureen terkedu. Alamak! Dia dah mula dah. Adakah
pertengkaran akan terjadi lagi?
“Saya minta maaf Encik Redza.... Saya tengok
Encik Redza macam termenung aje. Saya fikir mungkin
Encik Redza ingin bersendirian dan tak mahu diganggu.”
“Bukan ke mama aku gajikan kau untuk jaga aku?”
Jaga kau? Oh, tidak.... pembetulan bukan jaga kau
tapi jaga kesihatan kau! Jerit Zureen dalam hati.
“Maaf Encik Redza.....” Zureen tidak tahu untuk
membalas apa kerana bimbang akan mengundang kepada
bibit-bibit pertengkaran.
“Aku dah kenyang!”
Seolah-olah faham akan kata-kata Syed Redza,
tanpa diarahkan dia terus sahaja mengambil pinggan di
tangan Syed Redza dan menghulurkan segelas air pula.
“Saya hantar makanan ni ke bawah dulu...” Zureen
memberitahu sekaligus seperti sedang meminta kebenaran
untuk keluar seketika.
“Dah hantar, terus masuk semula ke sini!”
Zureen benar-benar rimas diarah seperti itu.
Namun, apakan daya. Sememangnya dia sedang bertugas
ketika itu. Dia terpaksa menurut segala arahan lelaki itu
walaupun kadangkala boleh menyebabkan dirinya hilang
sabar.
Zureen akan cuba sebaik mungkin mematuhi
segala apa yang diarahkan oleh Syed Redza selagi arahan itu
tidak menjejaskan dirinya dan melampaui batas.
Sewaktu menghantar hidangan tengah hari Syed
Redza ke dapur, otaknya ligat berfikir. Apa yang hendak Syed
Redza lakukan hingga mengarahkannya segera masuk ke
biliknya?
Akhirnya Zureen tersenyum sendiri. Apa yang Syed
Redza mampu lakukan kepadanya dalam keadaan dirinya
begitu?
“Kalau dia berani nak buat tak senonoh, kau
tengoklah apa akan aku buat! Apa susah? Aku tolak aje dia,
jatuhlah nanti!” Zureen merancang sesuatu sebagai langkah
keselamatan untuk dirinya.
Zureen tidak tahu kenapa dia berfikir sejauh itu.
Namun, Zureen sedar. Dia perlu sentiasa berhati-hati kerana
dia belum kenal lagi siapa lelaki itu.
“Apa agaknya dia nak buat lepas ni? Siap suruh aku
masuk segera ke bilik dia pula tu? Aduh! Dahlah muka tu
serius 24 jam.... aku nak masuk terus ke tak ni ek??” gumam
Zureen yang risau.

No comments:

Post a Comment