DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 26 May 2016

Isteri Dalam Sangkar - Bab 14

DAHI Aisyah berkerut-kerut. Sudah puas dia
mencari baki lauk semalam. Namun satu pun dia tak jumpa.
Ke mana pula baki lauk itu menghilang? Takkan dalam kondo
mewah macam ini ada tikus pulak? Tapi… kalau betul tikus
yang ambil, tentu ada tinggal sisa-sisanya. Ini satu sisa pun
takde. Aisyah ketap bibir. Kepalanya digaru. Dia benar-benar
kebingungan.
“Ehem!”
Suara dehaman itu mematikan tingkah Aisyah.
Hidungnya sudah dapat menangkap haruman segar yang
bisa menggetarkan hatinya. Pantas dia berdiri tegak ibarat
pengawal berkuda di istana.
“Kau cari apa tu?” tanya Tengku Iskandar biarpun
dia yakin pasti gadis kampung itu sedang mencari baki lauk
semalam.
Aisyah berpaling. Seperti biasa dengan kepala yang
menunduk.
“Errr… saya cari baki lauk semalam. Tengku ada
nampak tak?”
“Ooooh… baki lauk kampung yang kau masak
semalam tu ke? Aku dah buang!” Tengku Iskandar berbohong
demi menyelamatkan diri.
Terkejut Aisyah mendengarnya. Sampai hati lelaki
itu buang baki lauk yang masih banyak. Jika dia panaskan,
pasti masih boleh dimakan lagi lauk-pauk itu hari ini. Tak
perlulah dia nak masak.
“Kau tau tak lauk kau tu berbau? Habis satu peti ais
aku tu berbau busuk gara-gara masak lemak kau. Kalau dah
tahu tak dapat nak habiskan lauk tak sedap kau tu, jangan
simpan dalam peti ais. Kotor peti ais aku. Kau tahu tak peti ais
tu harga dia mahal? Jangan sesuka hati nak simpan makanan
yang kau masak kat dalam tu.”
Sambil berkata, Tengku Iskandar melangkah ke
peti ais. Jus oren Peel Fresh dicapai. Lalu dia mencapai
gelas kaca dan menuang jus ke dalamnya. Inilah minuman
paginya setiap hari. Jus oren. Jika hendak minum Nescafe, itu
hanya minuman petang atau malam bagi mengelakkan dia
mengantuk daripada membuat kerja.
Aisyah tidak bersuara. Hanya mendengar saja. Buat
apa dia hendak bersuara jika suaranya tidak didengari oleh
‘Tengku Harimau’ yang bongkak itu. Buat benda ikut sukanya
saja. Mentang-mentang itu kediamannya. Buang makanan
tak guna otak. Itukan rezeki Allah. Selagi boleh makan, buat
apa nak buang?
Melihat Tengku Iskandar melangkah keluar dari
ruang dapur, Aisyah mengekori langkah lelaki itu.
“Errr… Tengku nak sarapan ke?” Aisyah bertanya.
“Kau buat sarapan pagi apa?”
“Errr… saya belum buat sarapan lagi Tengku. Nak
tunggu Tengku. Tengku nak makan apa?”
Tengku Iskandar mendengus.
“Kalau kau nak tunggu aku, maknanya aku kenalah
tunggu kau siapkan sarapan, kan? Kau ni memang bodohlah!
Tak boleh ke sediakan sarapan aku awal-awal?”
Aisyah tunduk. Hatinya mula cuak mendengar
intonasi suara Tengku Iskandar yang sudah melangit. Apa
yang dia lakukan semua salah di mata lelaki itu. Sediakan
sarapan pagi kena marah, tak sedia pun kena marah.
“Dahlah! Aku takde selera nak makan. Apatah lagi
tengok muka kau. Dari aku bersarapan kat rumah yang entah
apa-apa kau masak tu, baik aku sarapan kat hotel. Takdelah
tekak aku ni loya dengan masakan ala kampung kau tu. Aku
ni ada high taste. Bukan macam taste kau yang kolot tu.” Ujar
Tengku Iskandar. Gelas yang sudah kosong diletakkan ke atas
meja. Tanpa pamitan, dia berlalu keluar untuk ke pejabat.
“Hesy… sombong betul la ‘Tengku Harimau’ ni!
Mentang-mentang aku tak pandai masak masakan orang
putih, sesuka hati dia hina masakan aku. Dia belum rasa lagi
masakan aku, bolehlah dia hina. Dah rasa nanti, baru dia tau
macam mana rasanya. Kalah masakan Chef Wan.” Aisyah
merungut. Siap dengan perasannya sekali. Tidak berdepan
dengan Tengku Iskandar, bolehlah dia berkata begitu.
Cuba ‘Tengku Harimau’ itu ada depan mata, kaku dia tak
berkata-kata.
Selesai membasuh gelas yang digunakan oleh
Tengku Iskandar, dia melangkah masuk ke dalam biliknya.
Dia perlukan bantuan Tengku Haziq. Cuma lelaki itu yang
bisa membantunya dalam hal berkaitan dengan ‘Tengku
Harimau’. Takkanlah dia hendak membiarkan dirinya ini
hari-hari jadi bahan hinaan ‘Tengku Harimau’ itu. Jika boleh,
dia tidak mahu lelaki itu menghinanya lagi. Dia juga punya
hati dan perasaan yang perlu dijaga.
Laci dibuka. Aisyah mencapai kad kecil yang
diberikan Tengku Haziq kepadanya beberapa hari lepas. Kad
kecil itu merupakan kad nama lelaki itu.
Aisyah kembali ke ruang tamu. Telefon yang terletak
dii atas meja dicapai. Satu per satu nombor telefon Tengku
Haziq didail. Dia berharap agar dia tidak mengganggu lelaki
itu.
“Assalamualaikum… Aisyah.” Suara Tengku Haziq
menerpa memberi salam.
Terkejut Aisyah mendengarnya. Pelik entah
bagaimana lelaki yang digelar ‘Tengku Kucing’ itu boleh tahu
dia yang membuat panggilan. Namun salam Tengku Haziq
tetap dijawab.
“Waalaikumussalam.”
“Ada apa awak telefon saya ni?” Tengku Haziq
bertanya. Pelik juga dia apabila gadis itu menelefonnya
pagi-pagi begini. Jika tiada hal penting, masakan Aisyah
menelefon.
Aisyah ketap bibir.
“Errr… awak kat mana ni? Sibuk tak?”
“Saya tengah drive. On the way ke tempat kerja.
Kenapa?”
“Ye ke? Maaflah… saya tak tahu awak tengah
memandu. Kalau macam tu takpelah.” Aisyah jadi serba salah.
“Takpe Aisyah. Saya guna handsfree. Awak boleh
cakap dengan saya. Ada apa-apa yang saya boleh bantu ke?”
“Ermmm… saya nak minta tolong awak hantar saya
ke kedai buku. Saya tak tahu kedai buku kat sini. Ada buku
yang saya nak beli.”
“Owh… ye ke? Okey… kalau macam tu nanti dalam
pukul sepuluh saya ambil awak. Saya pergi ofis kejap. Awak
bersiaplah dulu ya.”
Aisyah mengangguk. Macamlah anggukannya itu
dapat dilihat Tengku Haziq.
“Baiklah. Maaf ya sebab susahkan awak.”
“Alaaa… tak jadi masalah la.” Tengku Haziq tak
pernah rasa Aisyah menyusahkan. Dia suka apabila gadis itu
memerlukan bantuannya. Rasa dia diperlukan dalam hidup
gadis itu.
Setelah talian ditamatkan, Aisyah beredar ke dalam
bilik. Dia mahu bersiap untuk keluar. Sebelum itu sempat dia
memeriksa buku ASB di dalam beg. Memeriksa baki simpanan
yang dia ada. Dia perlukan duit untuk membeli satu buku.
Semua dilakukan semata-mata ‘Tengku Harimau’ itu.
TENGKU HAZIQ menunggu Aisyah di dalam kenderaan.
Gadis itu minta dia singgah sebentar ke Pejabat Pos. Katanya
ada sesuatu yang dia nak pos. Tidak pula dia hendak bertanya
lanjut. Takut dilabel sebagai kaki sibuk. Lagipun tentu Aisyah
juga kurang selesa hendak berterus terang dengannya. Gadis
itu memang pemalu orangnya.
Setelah menunggu hampir sepuluh minit, kelibat
Aisyah mula kelihatan. Terkocoh-kocoh gadis berbaju
kurung kain kapas warna putih bunga-bunga sakura pink itu
menghampiri keretanya.
“Maaflah buat awak tunggu lama.” Pinta Aisyah
sebaik saja dia masuk ke dalam perut kenderaan.
Tengku Haziq tersenyum dan menggeleng.
“It’s okay Aisyah. Takdelah lama mana pun.”
Aisyah tersenyum senang mendengar kata-kata
lelaki itu.
“Okey… sekarang awak nak ke mana?” tanya Tengku
Haziq. Wajah Aisyah yang putih mulus itu dipandang.
“Ermmm… awak turunkan saya kat mana-mana
kedai buku yang berhampiran. Nanti saya balik sendiri
naik teksi.” Tidak senang pula Aisyah jika Tengku Haziq
menemaninya. Lagipun sekarang ini waktu bekerja. Dia tak
mahu mengganggu kerja lelaki itu. Cukuplah hantar dia ke
kedai buku yang berhampiran. Pulang nanti dia boleh naik
teksi sahaja.
“Eh… takpelah. Biar saya temankan awak.”
“Tapi awak kan kerja. Nanti ganggu kerja-kerja awak
pulak.” Itulah yang merisaukan Aisyah. Takut mengganggu
kerja-kerja Tengku Haziq.
“Takpe Aisyah. Saya dah ambil cuti hari ni. Saya
boleh temankan awak ke mana aje awak nak pergi.”
“Ngeee… ye ke? Maaflah kalau saya yang buat awak
terpaksa ambil cuti.”
“Hesy… takpe. Kebetulan saya pun memang jarang
bercuti. Hmmm… macam ni la, apa kata kita ke KLCC. Dekat
sana ada kedai buku Kinokuniya. Awak boleh cari buku yang
awak nak sebab tempat tu memang besar.” Putus Tengku
Haziq.
Mendengar perkataan KLCC yang keluar dari mulut
Tengku Haziq, laju Aisyah menganggukkan kepala. Memang
sudah lama dia berhajat mahu menjejakkan kakinya ke situ.
Tidak menunggu lama, Tengku Haziq meneruskan
pemanduan. Stereng kereta Toyota Camry yang dipandu
dihalakan menuju ke jalan yang menempatkan bangunan
tinggi KLCC. Dari air wajah Aisyah, dia tahu gadis itu teruja
ke sana.
Masuk saja ke dalam pusat membeli-belah KLCC,
mata Aisyah liar memerhati sekeliling. Sumpah dia tak
pernah lihat semua itu. Betapa besar dan cantiknya ruang
dalaman KLCC. Penuh dengan kedai-kedai mewah. Aisyah
terasa begitu kerdil masuk ke situ. Apatah lagi ada mata-mata
yang memandangnya dengan pandangan sinis. Seolah-olah
dia yang hanya berbaju kurung kain kapas tidak layak masuk
ke situ.
Mereka menuju ke kedai buku Kinokuniya. Seperti
yang Tengku Haziq beritahu tadi, kedai buku Kinokuniya ini
memang besar. Ada pelbagai jenis. Tidak mahu berlengah,
Aisyah bertanya kepada pekerja kedai di mana letaknya rak
buku resipi.
Setelah mendapat tahu di mana rak buku-buku
resipi, Aisyah berjalan ke sana. Haziq sudah hilang ke rak
hujung. Entah buku apa yang dibelek lelaki itu. Nampak
begitu khusyuk sekali.
Aisyah mencapai sebuah buku resipi bertajuk ‘Resepi
Masakan Barat’. Dibelek halaman dalamnya. Selain mengajar
cara memasak, ia juga memaparkan gambar masakan yang
dimasak. Tidak mahu berfikir panjang, Aisyah memutuskan
untuk membeli buku itu.
Kakinya melangkah. Sudah alang-alang berada di
situ, rasanya elok dia mencari novel sekali. Ada jugalah bahan
bacaan untuk dibaca ketika bosan berada di kondo mewah
‘Tengku Harimau’ itu.
Melihat lambakan novel-novel terbaharu yang
berada di pasaran, Aisyah jadi begitu teruja. Dia memang
gemar membaca novel. Dekat kampung, dia mempunyai
beberapa koleksi novel. Jika tidak, dia akan pinjam daripada
Ros. Ros memang banyak novel-novel baru. Sahabat baiknya
itu memang hantu novel.
Novel bertajuk ‘Pelangi Cinta Buat Suami’
hasil nukilan Acik Lana dicapai. Dibelek sinopsisnya.
Tersenyum-senyum dia membaca sinopsis itu. Dalam
simpanan dia ada ‘Aku Bukan Mistress’ dan ‘Maaf Jika Aku Tak
Sempurna’. Sudah banyak kali dia mengulang baca dua novel
itu. Satu lagi karya Acik Lana bertajuk ‘Kalau Memang Harus
Begitu’ juga sudah dibaca. Yang itu dia pinjam daripada Ros.
Dia dengan Ros memang peminat Acik Lana.
Tanpa berfikir panjang, Aisyah memutuskan untuk
membeli novel itu. Biarpun bukan novel baharu, namun dia
mahu menjadikan karya Acik Lana sebagai koleksinya. Dua
buah buku yang dipilih dibawa ke kaunter pembayaran. Ketika
dia terkial-kial mencari beg duit dalam beg sandangnya,
seorang lelaki terlebih dahulu menghulurkan duit kepada
pekerja kaunter.
“Eh… takpe Tengku Haziq. Biar saya yang bayar.”
Aisyah cuba memulangkan duit yang Tengku Haziq hulurkan
kepada gadis manis di hadapan kaunter pembayaran.
Tengku Haziq menggeleng. Duit tadi dihulurkan
kembali kepada cashier di depan kaunter.
“Takpe. Biar saya yang bayarkan.”
“Tapi…”
“Dahlah. Tak payah nak bertapi-tapi.”
Usai mengambil duit bakinya, Tengku Haziq
menghulurkan beg plastik berisi buku kepada Aisyah.
“Errr… terima kasih ya. Saya ni banyak betul
menyusahkan awak.” Segan sungguh Aisyah dengan Tengku
Haziq yang pemurah itu.
“Takpe. Hal kecik je.” Bersama senyuman dia
membalas. “Awak beli buku resipi ke? Nak belajar masak
makanan barat?” tanyanya. Dia perasan buku resipi masakan
barat yang dibeli Aisyah tadi.
Aisyah mengangguk. Memang dia kena belajar
masak masakan ala-ala barat. Maklumlah… diakan kahwin
dengan ‘mat salih sesat’. Kenalah belajar memasak western
food ni. Jika tidak, mahu hari-hari dia kena tengking dek
‘Tengku Harimau’ itu.
“Mesti sebab Tengku Iskandar kan?” teka Tengku
Haziq.
Aisyah tidak menjawab. Hanya tersenyum saja.
“Tekak abang sepupu saya tu memang tekak mat
salih. Tapi awak jangan layankan sangat kehendak tekak mat
salih dia tu. Dekat rumah Tengku Mummy, dia makan juga
masakan Melayu ni. Takde hal pun. Mengada-ada aje lebih dia
tu sebenarnya.”
Mahu rasanya Aisyah tergelak mendengar cerita
tentang Tengku Iskandar yang keluar dari mulut Tengku
Haziq. Lelaki itu cakap saja besar. Rupanya tahu juga makan
masakan kampung. Huh… high taste la sangat!
“Saya nampak tadi awak beli novel.” Tengku Haziq
sengaja mahu memancing perbualan bersama Aisyah. Gadis
itu pendiam sangat. Rasa bosan pula jika tidak bercerita.
Aisyah mengangguk.
“Tajuk apa?”
“Pelangi Cinta Buat Suami.” Lancar Aisyah menyebut
nama novel yang dibelinya. Tak sabar nak sampai rumah dan
baca novel itu. Jika jalan ceritanya bagus, memang empat
lima kali jugalah dia mengulang pembacaan.
“Hmmm… cantik tajuknya. Siapa yang tulis?”
“Acik Lana.”
“Acik Lana? Siapa tu?” soal Tengku Haziq kembali.
Nama itu tak pernah didengarnya.
“Acik Lana la. Dia ni penulis novel. Saya ada dua
koleksi novel dia dekat rumah. Dua-dua pun best. Yang satu
lagi pun saya dah baca. Pinjam dengan kawan.” Bersemangat
sungguh Aisyah memberitahu. Topik yang kena dengan
jiwanya.
“Oooh… dia penulis rupanya. Saya tak kenal.”
“Hmmm… dia memang novelis. Semua novel dia
best. Saya memang minat sangat kat dia. Dia ada satu lagi
novel. Tapi tak jual kat kedai buku.”
“Habis tu kalau tak jual kat kedai buku, jual kat
mana pulak?”
“Kawan saya kata… kalau nak beli novel Acik Lana
yang satu tu kena beli secara online. Kira kena order dengan
Acik Lana terus la. Saya pun tak reti macam mana. Teringin
juga nak dapatkan novel dia tu, cuma saya tak pandai nak
order online. Biasanya kalau nak beli, saya minta tolong
kawan.”
Rancak sungguh Aisyah bercerita pasal Acik Lana
si novelis kegemarannya itu. Tengku Haziq yang tak tahu
apa-apa itu hanya melayan saja. Sengaja pancing Aisyah
untuk terus bercerita. Boleh tahan ramah juga mulut gadis
itu jika kena pada topik yang dibualkan.
Ketika kaki membelok ke kanan, tiba-tiba ada
satu susuk tubuh merempuh tubuh Aisyah dengan kuat,
membuatkan Aisyah terdorong ke belakang.
“Ouch!” jerit seorang gadis. Suaranya ala-ala
manja ratu rock Ella gitu. Jambangan bunga yang dibawa
bersamanya jatuh menyembah lantai pusat membeli-belah
Suria KLCC itu.
“Errr… maaf. Saya tak sengaja.” Pinta Aisyah kalut.
Sedangkan bukan dia bersalah pun.
“You ni buta ke? Tak nampak I kat depan? Tengok
apa yang you dah buat? Habis rosak jambangan bunga I. You
ingat jambangan bunga ni murah ke?” sergah gadis cantik
berpakaian seksi itu. Memang seksi tahap gila. Berlagak pun
tahap gila jugak!
Terkejut sungguh Aisyah mendengar budi bahasa
gadis cantik itu. Rupa dah ada, tetapi budi bahasanya pada
markah yang paling rendah.
Tengku Haziq yang mendengar juga sudah
mengerutkan dahi. Wajah gadis seksi berambut perang itu
diamati. Rasanya dia kenal gadis seksi itu. Dia pasti itu Fira
kekasih baharu Tengku Iskandar. Dia cukup yakin kerana dia
memang pernah terserempak dengan Fira keluar bersama
Tengku Iskandar beberapa kali. Cuma Fira saja yang tidak
perasan dia.
“You tunggu apa lagi? Kutiplah jambangan bunga I
tu!” arah Fira dengan lagak kereknya.
Aisyah yang lurus bendul mengikut. Namun
tingkahnya dihalang Tengku Haziq. Dia tidak membenarkan
Aisyah mengikut kehendak Fira yang sombong.
“Excuse me, miss… rasanya kawan saya tak salah.
Cik sendiri yang cuai. Jalan tak pandang hadapan.” Jawab
Tengku Haziq meluat dengan perangai sombong Fira.
Fira mengetap bibir. Geram bukan kepalang dia
mendengar jawapan lelaki itu. Matanya dikecilkan. Wajah
lelaki di hadapannya itu seolah-olah pernah dilihat. Namun
otaknya yang lembab sukar hendak mengingat.
“Baby… come.”
Panggilan ‘baby’ daripada suara yang dikenali
memaksa Aisyah dan Tengku Haziq menghalakan pandangan.
Manakala Fira pula sudah terkedek-kedek menghampiri
Tengku Iskandar. Lengan sasa lelaki itu dipaut. Bukan main
mesra lagi lagaknya. Lantas dia pun mengadu.
“Darling… tengoklah perempuan tu. Dia langgar I
sampai jatuh jambangan yang you hadiahkan pada I. Lepas
tu langsung tak minta maaf. Suruh kutip balik jambangan
bunga tu pun dia tak nak.”
Berubah wajah Tengku Iskandar melihat Tengku
Haziq dan Aisyah di situ. Tak sangka boleh terserempak.
Padanlah Tengku Haziq ambil cuti hari ini. Menemani Aisyah
bersiar-siar di sini rupanya. Tangan Fira yang memaut
lengannya dilepaskan. Bersahaja saja lagaknya sehingga
membuatkan air muka Fira berubah. Memuncung tajam
bibirnya diperlakukan begitu.
Tengku Iskandar menghampiri. Wajah Aisyah sempat
dikerling dengan penuh rasa benci, sehingga membuatkan
gadis itu menundukkan wajah kerana tidak berani menentang
mata Tengku Iskandar yang tajam bagaikan burung helang.
Rasa menggeletar tubuhnya.
“Apa dia buat kat sini?” bisik Tengku Iskandar kepada
Tengku Haziq dengan wajah menyinga. Sakit hati melihat
Aisyah di situ. Dengan berbaju kurung kain kapas, tempat
seperti KLCC ini tidak layak untuk gadis kampung itu.
“Aisyah nak beli barang sikit.” Jelas Tengku Haziq
pendek. Nadanya juga diperlahankan, tidak mahu Fira yang
berdiri dengan bibir muncung itu terdengar. Pernikahan
antara Tengku Iskandar dengan Aisyah adalah rahsia mereka
bertiga.
“Kalau nak beli barang sekalipun, buat apa bawa
perempuan kampung ni ke sini? Tempat ni tak sesuai untuk
dia. Kau tengoklah pakaian dia tu. Disgusting!” hina Tengku
Iskandar semahu hatinya.
“Is… please! Boleh tak jangan hina Aisyah macam
tu. Apa salahnya dia datang ke sini dengan berbaju kurung?
Takde masalah pun. Kau…”
“Dah! Lepas dapat barang, aku nak kau hantar
perempuan kampung ni balik. Aku tak nak ada sesiapa yang
nampak kau berkepit dengan dia. Nanti tak pepasal, jadi gosip
pulak. Ingat, jangan sampai ada orang tahu siapa sebenarnya
perempuan kampung ni!”
Itulah yang paling dikhuatiri Tengku Iskandar.
Takut jika ada mata-mata yang mengenali mereka akan
memaklumkan hal ini kepada mummynya. Tentu mummy
akan mengesyaki sesuatu jika cerita ini tersebar. Melepaslah
peluangnya hendak menduduki kerusi CEO TG Holdings
dalam masa terdekat. Dia tidak mahu kehilangan kerusi CEO
TG Holdings hanya kerana gadis kampung itu.
Tengku Haziq menghela nafas. Malas hendak
bertegang urat dengan sepupunya itu. Nanti lain pula jadinya.
Akhirnya dia mengalah juga.
“Hmmm… yalah! Lepas ni aku hantar Aisyah balik
kondo. Kau tu yang kena hati-hati. Nanti ada pulak mulut
yang sampaikan cerita kau berkepit dengan minah mulut
muncung tu kat Tengku Mummy. Tak pasal-pasal, melepas
peluang kau nak jadi CEO syarikat.” Tengku Haziq menyorot
pandangan kepada Fira. Tak berkenan sungguh dia melihat
gadis itu. Sudahlah berpakaian tak cukup kain, hati pula
busuk dan berlagak.
“Okeylah, kami pergi dulu. Aku nak ajak Aisyah
makan, lepas tu aku hantar dia balik.”
Setelah berpamitan, Tengku Haziq dan Aisyah pun
berlalu. Dalam hati, Aisyah tertanya-tanya juga siapa agaknya
gadis seksi itu. Adakah dia teman wanita ‘Tengku Harimau’?
Dia tak tahu. Apa yang pasti, hatinya rasa sesuatu tatkala
melihat gadis seksi itu memaut lengan Tengku Iskandar tadi.
“Come!” Tengku Iskandar meraih jemari Fira. Gadis
itu mengeraskan dirinya. Hatinya masih sakit diperlakukan
begitu oleh Tengku Iskandar tadi. Jatuh air mukanya apabila
Tengku Iskandar dengan selamba melurutkan tangannya.
“Baby… kenapa ni?”
“You tu la! Sampai hati lepaskan tangan I depan
perempuan berbaju kurung buruk tu. Jatuh air muka I tau!”
“Ooooh… pasal tu ke? Sorrylah I tak sengaja. Yang
Isteri Dalam Sangkar
156
tadi tu cousin I.”
“Maksudnya… tu Tengku Haziq?” soal Fira ingin
kepastian.
Dia tak pernah kenal Tengku Haziq meskipun
lelaki itu bersepupu dengan buah hatinya. Namun dia selalu
mendengar nama itu disebut-sebut teman serumahnya,
Adila. Adila memang kemaruk cinta dengan Tengku Haziq.
Rupanya itulah orangnya. Memang boleh tahan. Wajahnya
hampir serupa dengan Tengku Iskandar tetapi di mata Fira,
Tengku Iskandar lagi menarik.
Sebagai jawapan kepada soalan Fira, Tengku
Iskandar sekadar mengangguk.
“Habis tu girl baju kurung tu siapa? Girlfriend dia
ke? Hesy… kalau girl tu la girlfriend dia, memang tak layak
langsung. Macam langit dengan bumi! Agaknya girl tu dah
bomohkan cousin you tak darling. Pasal tu tak pandang girl
lain yang lagi mengancam macam housemate I si Adila tu.”
Komen Fira tanpa menghiraukan perasaan Tengku Iskandar.
Lancar saja dia mengutuk Aisyah.
Tengku Iskandar mendengus.
“Boleh tak kalau kita jangan cakap hal diaorang?”
kasar nadanya.
Dia paling tak gemar berbicara apabila terselit
perihal Aisyah. Itu baru pandangan Fira seorang fasal Aisyah.
Kalau orang lain, entah apa lagi yang mereka akan kata.
Entah-entah mereka akan ketawa apabila mendapat tahu
gadis kampung itu isterinya. Huh! Dia tak akan biarkan
perkara itu terjadi. Tiada siapa yang boleh tahu bahawa gadis
kampung itu isterinya. Jatuh sahamnya jika itu terjadi.
Mendengar nada suara Tengku Iskandar yang sudah
bertukar nada, Fira menarik muka.
“Yang you nak tinggikan suara pada I ni kenapa
pulak?” Fira sudah mula meninggikan suara. “Hesy… dahlah!
I takde moodlah nak jalan-jalan lagi. Hantar I balik!” Dengan
wajah mencuka, Fira melangkah laju ke depan.
Tengku Iskandar tidak memujuk. Dia juga malas
hendak melayan angin Fira yang berubah-ubah. Setakat
rajuk Fira, dia tak hairan sangat. Dia masih ada ramai lagi
‘stok simpanan’ yang sudi melayannya. Tak luak pun kalau
dia kehilangan Fira.
“AISYAH!!!” NAMA itu dilaung buat pertama kalinya.
Sepanjang mengenali gadis kampung itu, belum pernah
Tengku Iskandar memanggil nama Aisyah. Jika nak panggil
pun, dia lebih gemar memanggil gadis itu dengan panggilan
perempuan kampung.
Tiada jawapan. Kondonya sunyi tanpa suara.
“Aisyah!!!” Kali ini suara Tengku Iskandar lagi tinggi
dari tadi.
Juga sunyi. Ini membuatkan hatinya yang sedia
panas bertambah panas. Pantas dia melangkah ke bilik gadis
itu. Tombol pintu dipulas, namun sayang pintu terkunci dari
dalam.
“Hoi! Perempuan kampung! Bukalah pintu ni.
Kau pekak ke?” jerit Tengku Iskandar sambil tangan
mengetuk-ngetuk pintu bilik Aisyah. Bagai hendak roboh
pintu bilik itu diketuknya.
“Buka atau kau nak aku pecahan pintu bilik ni?
Jangan sampai aku heret kau keluar dari kondo aku!” Tengku
Iskandar mengugut. Namun masih tiada respons daripada
Aisyah. Semakin menggila dia mengetuk bilik itu.
“Hoi!!! Buka la bodoh!” teriak Tengku Iskandar bagai
mahu terkeluar biji halkum.
Serentak itu juga pintu bilik terbuka. Membuatkan
Tengku Iskandar bagai harimau jantan kelaparan mahu
membaham mangsa datang menerpa. Namun tindakannya
terhenti kala mata jatuh kepada Aisyah yang masih lengkap
bertelekung putih.
“Ma… maafkan saya Tengku. Sa… saya tengah solat
asar tadi.” Tergagap-gagap Aisyah bersuara. Cuak benar dia
melihat tingkah ganas Tengku Iskandar. Lelaki itu tak ubah
seperti sang harimau dalam hutan.
Tengku Iskandar mendengus.
“Lain kali tak payah nak kunci pintu bilik ni. Apa kau
ingat aku dah kemaruk sangat nak masuk dalam bilik kau
ni?”
Aisyah mengangguk faham.
“Errr… Tengku panggil saya, Tengku nak apa-apa
ke?” dia cuba untuk bertanya. Bukan main memetir lagi
suara Tengku Iskandar memanggilnya tadi. Tentu mahukan
sesuatu.
“Aku nak makan. Kau masakkan aku Chicken Chop
Black Pepper. Nanti dah siap masak, panggil aku kat bilik
bacaan.”
Tanpa menunggu jawapan gadis itu, Tengku
Iskandar berlalu naik ke atas. Pelik juga dia kepada dirinya
sendiri. Tadi bukan main berapi-api dia mahu memarahi
Aisyah. Namun sebaik saja terlihat gadis itu bertelekung,
terus marahnya reda. Hilang entah ke mana.
Aisyah menutup pintu biliknya semula. Sejadah
yang masih terbentang dilipat, lalu disidai pada penyidai
kayu. Begitu juga dengan telekung, dibuka lantas digantung.
Dia perlu segera ke dapur bagi menyiapkan makan malam
suaminya. Buku yang dibeli tengah hari tadi dibawa bersama
sebagai panduan. Ini merupakan percubaan pertamanya
memasak makanan ala barat.

No comments:

Post a Comment