DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 25 May 2016

Samurai - Bab 9

“PERGI ke kedai pak teh kejap, Melur. Belikan
beras sekampit untuk mak ni ha. Beras dah habis. Tak makan
kau orang semua ni nanti. Lupa nak suruh abah belikan tadi
masa dia ke kedai.” Mak aku membebel sambil mengeluarkan
duit dari kocek baju kurung kedahnya.
Aku menggaru-garu belakang telinga. Rasa malas
sungguh nak memikul beras seberat lima kilo itu. Sudahlah
jarak dari rumah ke kedai pak teh itu boleh tahan jauhnya.
Untuk menolak? Aku tak pernah menolak sebarang permintaan
mak.
Yalah, duduk secara percuma di rumah ini pun sudah
cukup bagus. Makan tanggung. Walaupun usiaku mencecah
dua puluh satu tahun, aku masih disara oleh mak dan abah.
Orang lain yang sebaya denganku sudah sibuk bekerja, aku
masih tinggal di celah ketiak mak dan abah. Apa yang aku
minta, kebiasaannya dapat walaupun cepat atau lambat. Jadi,
atas jasa mak dan abah itu, aku haruslah berbuat baik dengan
mereka, bukan?
“Bagi duit.” Aku menghulurkan tapak tangan. Duit
sebanyak dua puluh ringgit, mak letak ke tapak tanganku.
“Kalau tak cukup, hutang dulu dengan pak teh.
Abah terbawa dompet dia ke kebunlah tu. Tak ada kat sini.
Ajak Aizat suruh tolong pikul beras tu.” Mak menyuruh. Aku
menggeleng-gelengkan kepala sambil mata mengerling ke arah
Aizat yang setia menonton televisyen di ruang tamu.
“Tak apalah. Melur kan dah biasa pergi beli beras
seorang diri.” Aku beralasan. Aku nampak, dia memandang
ke arahku. Sekejap saja sebelum dia kembali mengalihkan
pandangannya ke kaca tv semula.
“Mak nak suruh belikan bawang dengan garam sekali
ni. Berat. Payah Melur nak bawa. Aizat boleh, kan?” Mak aku
bersuara sambil memandang ke arah Aizat. Dia mengangguk.
“Tak apa, meh Melur belikan aje. Melur boleh bawa.
Melur kan kuat. Kalau tak boleh juga, Melur usahakan sampai
boleh. Kalau terpaksa sangkut kat telinga, Melur sangkut. Kalau
terpaksa junjung atas kepala pun Melur sanggup. Mak jangan
risau.” Aku masih berdegil. Tak mahu terbabit langsung dengan
samurai tu. Menyakitkan hati aku saja setiap masa. Aku lebih
rela bersusah payah sendirian daripada dibantu Aizat.
“Betul ni?” soal mak tidak berapa yakin.
Aku angguk sambil menayangkan otot lenganku yang
seciput ini. Sengaja nak tunjuk kekuatan aku.
“Meh aku temankan.” Si samurai tiba-tiba menyampuk.
Eleh, nak tunjuk baik depan maklah tu.
“Tak payahlah! Baik awak duduk rumah tengok tv, lagi
bagus daripada cari gaduh dengan saya sepanjang perjalanan tu
nanti. Mak, Melur pergi dulu ye.” Aku terus turun ke bawah,
menyarungkan selipar dan berjalan laju ke kedai pak teh.
Benci tau. Menyibuk aje. Bila aku dah tak tegur dia,
sibuk aje dia buat baik dengan aku. Bila aku dah macam nak
baik dengan dia, sibuk pula dia melayan aku macam sampah.
Suka sangat main tarik tali, kan? Sakit hati aku tak hilang lagi
dengan kes dia dan Ijai menjadikan aku bahan jenaka di kedai
ABC semalam.
“Lajunya kau jalan!” Suara Aizat sedikit melaung.
Terkejut aku bukan kepalang. Nyaris tak terloncat. Dia ikut
aku? Nak apa pula mamat ni? Obsesi sangat ke dia dengan aku
ni? Ya, aku tahu aku cantik... tak perlulah dia mengekori aku
ke mana saja.
“Nak apa ikut saya?” Aku terus berjalan tanpa berpaling.
“Erm... Mak kau tadi lupa nak pesan. Dia suruh kau
belikan teh sekali. Teh dah habis.” Dia berkata dengan nada
mendatarnya.
Teh? Dah habis ke? Baru semalam aku beli teh. Rasanya
semalam kami semua minum Nescafe pada waktu petang.
Macam mana pula teh uncang Lipton yang ada dua puluh
peket itu boleh habis? Mak makan ke? Aku terhenti berjalan
memikirkannya.
Buk!!! Aduh!!! Cepat-cepat aku berpaling.
“Hei! Jalan tu cuba jangan berhenti macam tu aje.
Kau ni!” marahnya. Tak tahu kenapa dia nak marah sangat
sedangkan aku yang dilanggar dan bukannya dia.
“Eh? Bukan basikal ni dah rosak ke?” soalku pelik
apabila teringatkan pada basikal yang menjadi mangsa
sepakannya tempoh hari.
“Aku dah baiki.” Jawabnya pendek.
“Bila?” soalku.
“Bila-bila ajelah. Waktu kau berkurung dalam bilik,
waktu kau sibuk dengan kawan selekeh kau tu. Waktu kau
tengok tv, waktu tv tengok kau.”
Dia kutuk Ijai? Huh! Tak patut. Ijai, selekeh dia pun,
duit poket berkepuk. Tak macam si samurai ni. Dahlah tak
bekerja. Menganggur. Heee. Tak layak jadi hero drama. Hero
drama mesti nak CEO punya.
“Cepat naik.” Dia menolak basikal itu di sisiku.
Aku buat tak tahu sambil meneruskan perjalananku
yang terhenti tadi. Memang jauh beza dengan hero drama.
Hero drama naik BMW. Dia naik basikal BMX pun tak mampu.
Basikal buruk juga yang dia renew. Eeee, menyampahnya aku
tengok tahap menganggur dia ni.
“Cepatlah naik. Aku carry.” Dia mengeraskan suaranya.
Aku buat tak tahu lagi.
“Aku kata, naiklah!” Dia sudah mengamuk.
“Nak paksa-paksa orang pulak. Awak tak tahu ke kalau
saya naik kat belakang tu, lepas tu jenuh mak abah kena tadah
telinga lagi? Mata si Hasyim tu ada di mana-mana.” Aku berkata
geram.
“Tak apalah. Adalah jalan penyelesaiannya nanti.” Dia
berwajah selamba.
“Apa dia?” soalku. Ingin juga tahu bagaimana. Kalau
dia ada cara, kenapa tak dari awal saja dia beritahu kami?
“Nanti kau tahu sendirilah. Tak payah tunggu aku
cakap.” Dia menjawab dengan nada sombongnya itu. Akhirnya
dia yang turun dari basikal itu dan menuntunnya di sebelahku.
“Lebih baik awak duduk kat rumah, petang nanti Leha
datang. Hah! Senang, berbual aje dengan dia sampai kencing
berak dalam seluar. Tak ada siapa nak larang. Ni, sibuk jugak
nak ikut. Apa faedahnya pun tak tahulah.” Aku membebel. Dia
buat pekak sahaja.
“Kau ni bisinglah, Melur.” Dia mendengus.
Aku hanya mendiamkan diri setelah dimarahinya.
Sesekali terdengar dia menyanyi kecil. Lagu Qiaralah, lagu
Lettolah. Huh! Tak sangka langsung dia ni tak malu nak
menyanyi depan aku.
“Asal kau diam?” soalnya setelah bosan menyanyi
sendiri.
“Tadi awak cakap saya ni bising.” Aku sudah naik
marah.
“Tapi aku tak suruh kau diam pun, kan?” soalnya sinis.
Aku rasa nak cekik sahaja samurai ni. Bukankah sama
aje maksudnya kata-kata dia tu tadi? Samurai ni memang nak
kena. Sabar, Melur... sabar...
“PAK TEH, nak beras sekampit, bawang, teh dengan geram.”
Aku meminta dengan muka monyok.
Sampai ke sini pun dia masih mengekoriku. Benci!
Kenapa dia tak balik sahaja? Kalau nak beli teh tu, bukannya
berat mana pun. Mampu aje aku nak bawa. Kalau tak mampu
sangat, aku junjung saja beras tu atas kepala. Macam aci-aci
selalu buat.
“Geram?” soal pak teh dan Aizat serentak.
“Geram dengan awak!” Aku jegilkan mata ke arah
Aizat. Dia pandang pak teh dengan riak wajah ‘alamak’. Pak teh
tergelak.
“Garam.” Dia membetulkan kataku.
Pak teh mengangguk sebelum pergi mencari barang
yang aku minta. Aku bersandar di meja kaunter sambil
memerhatikan Aizat yang sudah bergerak ke peti sejuk. Pintu
peti sejuk dibukanya. Minuman ringan diambil sebanyak dua
botol. Kickapoo. Amboi, sampai dua botol dibelinya. Nak kena
diabetes ke?
“Semalam baru beli teh, kan?” soal pak teh tiba-tiba
muncul membawa teh.
“Haah. Itu yang pelik. Ni tadi, dia yang cakap mak
pesan suruh beli teh.” Aku berkata kepada pak teh yang mula
bergerak mencari barang-barang yang dipesan aku.
“Teh tu mak kau cakap ada kera masuk dalam rumah
makan teh-teh tu. Habis.” Cerita Aizat pula.
Eh? Kera mana pernah masuk rumah aku. Kalau
masuk sekalipun, takkanlah aku tak tahu berita sensasi ni?
Pak teh hanya tersenyum saja mendengarnya. Kepala
digeleng-gelengkan. Tengok, pak teh pun dah sedia maklum
mengenai kami yang gemar berperang mulut ni.
“Mak tak cerita pun. Saya duduk kat rumah sepanjang
hari, kenapa saya tak perasan ada kera masuk? Kalau kera
tu masuk mesti diaorang jumpa saya dulu. Minta izin.”
Kelentongku.
Pak teh sudah tergelak besar manakala Aizat
memandangku dengan muka bosannya. Bosan mendengar
cerita auta aku.
“Oh patut pun aku tengok kau dengan kera tak ada
bezanya.” Gumamnya namun aku masih boleh mendengar
dengan jelas.
“Hesy! Pak teh, nak cili api seguni. Nak cilikan mulut
dia ni biar menggeleber macam selulit.” Aku berkata geram.
Semakin galak tawa pak teh. Sakit sungguh hati. Aku
memang ditakdirkan untuk dikenakan samurai ini ke? Tak ada
samurai lain dah? Macam Keanu Reeves dalam 47 Ronin tu ke,
nak juga aku...
“Waktu kera tu masuk, mesti kau tengah sedap
terbongkang. Sebab tu kau tak perasan.” Kata Aizat lagi. Sengaja
menambah rasa sakit hati aku.
Aku memandang sekilas ke arah pak teh yang
tersenyum-senyum sambil mendapatkan barang yang aku
pesan. Pak teh boleh ketawa dengan lawak bengong Aizat? Tak
kelakar langsung. Menyakitkan hati adalah. Selesai pak teh
membawa barang yang kami minta itu ke kaunter, ditekan-tekan
kalkulator. Titt, titt! Titt!
“Air ni nak kira sekali ke?” soal pak teh kepada Aizat.
Aizat mengangguk minta kira sekali. Mataku terbuntang. Eh,
tak pasal-pasal aku yang kena bayar.
Aku mula pandang duit di tangan takut-takut. Ada
dua puluh aje. Beras, bukan sebarang beras. Beras wangi tu.
Gulp! Manalah cukup? Patut aku halau saja dia balik tadi.
Menyusahkan sungguh.
“Dua puluh empat ringgit lapan puluh sen.” Pak
teh berkata sambil menayangkan angka yang tercatat pada
kalkulator. Arghh! Memang tak cukup pun.
“Alah! Mana cukup. Pak teh, saya hutang dulu ye.” aku
berkata sopan sambil menghulurkan dua puluh ringgit kepada
pak teh. Malu sebenarnya jika terpaksa berhutang dengan pak
teh.
Pap! Tanganku ditampar laju ke tepi sebelum sempat
pak teh mengambil wang yang aku beri. Aku pandang Aizat.
Mukanya selamba. Not lima puluh dihulurkan kepada pak teh.
“Asyik lima puluh ringgit dia tu aje. Auta betul dia ni.
Padahal itu sekeping sahaja wang yang dia ada. Macamlah aku
tak tau.” Aku mengomel kuat. Saja nak bagi dia dengar. Pak teh
tergelak kecil mendengar omelanku.
“Bisinglah kau ni.” Aizat menjelingku.
“Nah pak teh, guna duit ni. Duit tu pulang balik kat
mak kau. Aku menumpang rumah kau, takkan seenaknya aku
nak makan free.”
Pak teh tersengih.
“Bagus Aizat. Bila dah besar ni, berfikiran jauh.” Puji
pak teh. Aizat menunduk hormat apabila dipuji sebagai tanda
terima kasih. Eleh. Banggalah tu dipuji pak teh. Muntah aku!
“Saya belajar banyak benda kat sana.” Dia berkata
perlahan. Botol airnya diambil. Sebotol lagi dihulurkan
kepadaku. Beras di atas kaunter dipeluk dan dia meninggalkan
aku tanpa mengambil baki wangnya.
“Berikan duit lebih tu pada Melur.” Sempat dia berpesan
sebelum keluar dari kedai pak teh. Pak teh menghulurkan aku
baki wangnya. Dua puluh lima ringgit dua puluh sen. Mungkin
pada orang lain duit ni tiada nilai. Tapi pada aku, duit ini
bernilai sangat.
“Bagus budak Aizat tu. Tak berdendam orangnya. Dia
kena fitnah pun boleh dia buat macam tak ada apa-apa.” Pak
teh memuji.
Fitnah?
“Oh! Dia ada hati kat Leha. Memanglah dia buat tak
tahu.” Aku berlagak faham.
“Bukan Lehalah! Fitnah Leha tu kecil aje. Tu yang dia
tak kisah tu. Ada yang lagi besar. Pak teh tak nampak macam dia
suka Leha. Pak teh nampak macam dia suka kat kau!”
“Uhukkk!” Tersedak sakan aku dibuatnya. “Hahaha!
Pak teh ni, pandai melawak. Nora bagi sepuluh bintang. Nora
balik dulu ye.” Aku meminta diri. Pak teh tergelak bila aku buat
suara Nora Danish dalam Maharaja Lawak Mega.
“Ni teh, garam dengan bawang. Jangan tercicir. Pak
teh berpesan. Aku angguk sambil mengepit air botol Kickapoo
di celah ketiak dan membimbit plastik berisi bawang, garam
dan teh yang dipesan mak.
“NI... MASA bila mak suruh beli teh ni? Berlambak lagi teh
uncang kat dapur tu. Siapa yang nak minum? Ke Melur nak
makan? Membazir aje kerjanya. Ingat kita ni duk rumah
hari-hari kerja cop duit agaknya.” Mak membebel.
Aku pandang Aizat dengan dahi berlapis-lapis.
“Bukan mak ke yang suruh Aizat ke kedai pak teh...”
belum sempat lagi aku menghabiskan ayatnya, Aizat sudah
menyampuk.
“Aku salah dengarlah tu.” Jawabnya sambil
menggaru-garu belakang kepala.
Huh? Salah dengar? Logik ke tidak? Teh? Atau...
mungkin dia terdengar yang mak suruh dia temankan aku ke
kedai pak teh. Pak teh dan teh, bunyi yang sangat sama. Boleh
jadi tu. Eh, tapi ‘Kisah Aizat dan Kera’ pula bagaimana? Apa
yang mak dah sebut sampai dia boleh terdengar kera masuk
rumah makan teh?
“Bukan ke ada kera masuk rumah...” aku baru nak
menyoalkan emak perihal kera yang masuk rumah, terus
dipotong Aizat.
“Melur... aku cakap aku salah dengar, kan?” suara Aizat
tertahan-tahan tetapi tegas sekali.
“Kera apa pula nak masuk rumah ni? Kamu berdua
tu yang ‘keranya’. Bergaduh dua puluh empat jam. Naik rimas
mak menengoknya.” Mak membebel.
Ewah! Kami pula yang dilabelkan sebagai kera.
Semakin hairan aku. Apa yang tersumbat di telinga Aizat sampai
teruk sangat dia tersalah dengar ni? Tersumbat cicak ke? Aizat
langsung tak memandang mukaku malah dia memandang ke
tempat lain sambil bersiul-siul. Peliknya perangai dia sekarang.
“Mak, ni duit mak.” Aku menghulurkan duit baki
kepada mak.
“Lah... apa pasal dua puluh balik? Kamu tak bayar ke,
Melur?” soal mak aku terkejut. Namun duit itu dicapai juga.
“Ni, dia yang bayarkan tadi.” Aku memuncungkan
mulut ke arah Aizat.
“Kenapa bayarkan, Aizat?” soal mak lembut, dah tak
marah lagi.
“Biarlah mak de. Tak selesa juga saya duduk sini, tak
keluarkan duit pula tu. Macam menyusahkan aje.” Dia bersuara.
Ha! Tau pun kau... geram aku nak balun dia dengan
kata-kata itu biar berasap telinganya. Aku pasti, selepas
telinganya berasap tentu giliran telinga aku pula berasap
dengan bebelan mak. Jadi, lebih baik aku diam sahaja.
“Hmm. Aizat tu anak saudara mak de. Tak
selesa apanya? Tak menyusahkan langsunglah.” Mak aku
menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Takpelah mak de, anggap ajelah saya belanja hasil
titik peluh saya.” Ujarnya pula.
Mak aku mengalah. Dia angguk sahaja. Malas nak
berkata apa. Si samurai ini kan degil Ya Rabbi? Titik peluh?
Titik peluh buat kerja apa entah? Goyang kaki?
“Nah. Ni duit lebih awak.” Aku menghulurkan wang
baki kepadanya.
“Kau simpanlah. Buat beli ABC ke, teddy bear
kecik macam si selebet tu belikan ke.” Dia berkata lantas
meninggalkanku. Eh? Apa kena?
“Ijai dah bagi, buat apa nak beli lagi?” soalku keliru.
Dia terhenti melangkah.
“Simpan jelah. Banyak bunyi pulak dia ni!” bentaknya
sambil berlalu pergi.
Eh? Datang bulan lagi ke apa? Tiba-tiba aje nak
berkasar. Heee, sabar sajalah hati.
Aku renung duit di tangan. Sengihan jahat tiba-tiba
menjelma. Aku ada duit... bolehlah aku meronggeng dekat
Pekan Sehari hari Ahad ni dengan Ijai. Nak ucap terima kasih?
Dia sudah hilang dari pandanganku. Hmm. Nanti ajelah.

No comments:

Post a Comment