DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 25 May 2016

Samurai - Bab 10

“NAK ke mana tu Melur?” soal mak pada aku
yang sedang mencalitkan minyak wangi ke urat lengan.
“Nak pergi pekan sehari mak.” Jawabku sambil
tersenyum bangga. Bangga sebab poket berduit.
“Ai... banyak duit kau, Melur.” Mak berkata sangsi.
Mestilah mak tak percaya. Aku sudah lama tidak menerima
tempahan gubahan hantaran. Dan sekarang aku bergantung
seratus peratus pada duit mak dan abah.
“Aizat bagi.” Aku berkata sambil menepekkan bedak
kompak ke wajahku.
“Abang Aizat...” mak menegur. Tidak suka cara aku
menggelar Aizat begitu.
Aku mencemik. Tak ingin aku nak panggil dia ‘abang’.
Geli. Dia pun pasti tak ingin dipanggil abang. Bukankah dulu
dia tidak mahu menganggap aku ini seperti adiknya?
“Alah, tak payah nak abang-abang pun tak apa. Dengan
Melur pun dia guna 'aku-kau' aje. Dia pun tak hairanlah, mak.
Jangan risau.” Ujarku selamba tanpa rasa bersalah.
“Hmm. Tak lama lagi jadi suami Melur tu. Baik belajar
panggil abang awal-awal. Ni, nak pergi dengan siapa?” soal mak.
Aku mencemik lagi apabila mak kata tak lama lagi
Aizat bakal menjadi suamiku. Sungguh aku tak rela. Ya, dulu
aku pernah bersetuju. Tapi itu dulu punya cerita. Sekarang tak
lagi. Lagi pula, aku tak rasa yang kami bakal menikah. Mak auta
sahaja sebab takut aku jadi anak dara pemalas. Aku kenal sangat
mak aku.
“Nak pergi dengan Ijai.” Jawabku selamba sambil
mengoleskan petroleum jelly ke bibirku.
“Pergi dengan Abang Aizat kamu sekali. Tak elok pergi
berdua saja. Nanti apa kata tunangnya.” Pesan mak. Sikit-sikit
Abang Aizat. Meluat aku dengan samurai tu.
“Ada Nora.” Jawabku yang masih tidak mahu ditemani
Aizat.
Mak mengeluh perlahan. Keningnya digaru-garu
dengan jari kelengkeng. Sebelah tangan lagi bercekak pinggang.
Mungkin mak tak tahu nak kata apa dah dengan aku. Yalah,
setiap kata-katanya pasti aku tepis dengan penuh keazaman.
Aku tak mahu ada Aizat. Itu saja. Terencat niatku hendak
berbelanja kalau dia ada. Diakan suka pertikaikan setiap perkara
yang aku buat.
“Nanti Nora cemburu pula.” Mak memberi alasan.
“Mak... orang tak naklah macam ni. Setiap kali nak
gerak aje mesti kena ada si samurai tu. Lagilah jadi buah mulut
orang nanti. Mengekor aje. Melur ni bukannya kucing sampai
nak kena ada ekor. Ekor yang buruk pula tu. Lagilah Melur
tak nak.” Aku membebel. Aku sudah bersiap dengan dompet di
celah ketiak. Hendak membeli-belah di pekan sehari.
“Melur pergi dulu ya, mak.” Aku meminta diri.
“Melur, kau kena pergi dengan aku. Nanti ada orang
buli kau, aku tunjuk muka saja, diaorang dah bertempiaran
lari.” Katanya.
Cheh! Ayat tak boleh blah betul. Kalau aku tengah
makan tadi, memang tak hadamlah makanan aku. Siapalah
yang nak lari tengok dia? Sudahlah badan keding. Kalau orang
lari pun, aku yakin orang itu akan kembali membawa geng
untuk mentertawakan dia secara berjemaah.
“Ala, tak payah pergilah.” Aku berkata dengan muka
serius. Tak selesa sungguh aku kalau dia ikut aku pergi ke
mana-mana. Nanti jadi buah mulut lagi. Aku tak nak famous
dengan jasa buah mulut orang kampunglah. Nak-nak atas jasa
berita tak elok didengar.
“Peduli apa aku? Kau bagi ke, tak ke, aku memang nak
pergi ke pekan. Mak de, saya pergi dulu ya.” Dia meminta izin
dengan mak aku, lantas dikucup tangan emak. Aku ternganga
sedikit. Aku keluar dari rumah pun tak pernah cium tangan
mak. Mulalah aku rasa malu sendiri. Huhuhu.
“Hati-hati ya, Aizat. Tengok-tengokkan Melur ni sekali.
Jangan bagi dia rapat sangat dengan Ijai tu. Nanti kecil hati
Nora.” Mak bersuara.
Aizat mengangguk. Heee, benci! Kena pergi dengan dia
jugak ke? Menyampah tau.
“Mak de jangan risau. Kalau dia dekat dengan Ijai
tu, saya dukung dia balik rumah.” Aizat berkata selamba. Nak
dukung aku? Larat ke?
Mak hanya menggeleng-gelengkan kepalanya
mendengar kata-kata Aizat itu.
“Melur, kau tukar baju. Kau pakai apa ni?” arahnya
selamba.
Aku terkejut. Ingatkan dia pandang aku sebab kagum.
Rupa-rupanya dia suruh aku tukar baju. Rasa-rasanya, inilah
pertama kali aku melaram. Takkan tak cantik kut.
“Saya pakai bajulah. Tak okey ke?” soalku.
“Tak. Kau padam mekap kau sekarang. Macam orang
gila.” Katanya.
Eh... seteruk itukah penampilan aku hari ini? Setahu
aku, aku memakai sehelai kemeja putih berlengan panjang
dipadankan dengan seluar jean lusuh straight cut. Takkanlah
aku nak ke pekan sehari dengan memakai seluar trek seperti
kebiasaannya? Tak cantiklah!
“Mana ada mekap? Letak bedak aje pun. Tak pakai alis
mata pun. Mulut pun biasa-biasa saja. Letak maskara saja pun
kena padam ke?” protesku.
“Padam! Buruk!” kutuknya.
“Biarlah!” Aku menghentak kaki tanda protes. Aku
takkan padam. Lantaklah dia nak kata aku buruk ke apa. Dia
ingat dia tu tak buruk?
“ASAL SETIAP kali aku tengok muka kau, mesti muka Aizat
ada sekali?” Ijai menyoalku perlahan. Takut Aizat yang berjalan
di belakang terdengar soalannya. Aku tersengih.
“Apa kau ingat aku saja suka-suka nak bawa dia? Hei,
aku lebih rela kalau kera berderet ikut kat belakang akulah. Mak
akulah yang suruh dia ikut.” Aku kembali berbisik.
Tiba-tiba, Aizat mencelah antara aku dengan Ijai.
“Mak kau dah pesan, jangan bagi kau dengan Ijai
rapat-rapat sangat. Kau nak aku dukung kau balik ke rumah ke?”
keras suaranya menegah. Cheh! Benci betul aku mendengarnya.
Aku menilik ke arah Ijai di sebelah kiri Aizat.
“See? Aku rimas sebab inilah!” Aku membentak
sambil menjeling Aizat. Ijai tergelak kuat manakala Aizat
memandangku dengan pandangan poyo dia tu.
“Hairan pulak aku dengan rimas kau tu. Mak kau
punya pesanan ni. Aku kena jaga kau.” Dia menjelingku.
Alasan sungguh! Mak aku suruh jaga aku, bukan suruh kawal
gerak-geri aku.
“Mak takut Nora terasa hati. Nora bukannya ada lagi.
Rumah Nora pun kita tak lalu lagi.” Aku mencemik geram.
“Kau nak Nora nampak dulu ke baru kau nak menjauh?”
soal Aizat sinis. Aku menjelingnya. Heee, memang apa yang dia
kata tu ada betulnya juga.
“Apa pasal kau diam? Sebab dah kalah?” soalnya
selamba. Aku menjelingnya.
“Diamlah, pepijat!” Aku menjelingnya geram dan
melangkah ke depan dengan langkah besar. Benci sangat-sangat!
“Pepijat mana boleh diam setiap kali jumpa bunga
melur. Serangga sukakan bunga.” Jawabnya selamba.
Aku terhenti melangkah dibuatnya. Dia sukakan
akukah maksud kata-kata dia tu? Eeee, apa pasal otak aku kuat
perasan sangat ni?
Bukkk!!! Terkedepan aku dilanggarnya. Nyaris tak
tersembam ke tanah. Nasib lengan aku dipaut Aizat daripada
terjatuh. Ijai sudah terkekeh-kekeh gelak melihat drama
sebabak kami. Heee. Geram betul aku. Aku merentap tanganku
sesudah stabil berdiri.
“Hei, kau ni! Apa pasal suka sangat berhenti mengejut
macam ni? Ini kali kedua dah kau buat brek emergency macam
ni.” Marahnya. Dua kali aku dimarahinya disebabkan berhenti
mengejut. Mana aku nak tahu yang dia ikut belakang aku
serapat itu. Lagi satu, perlukah dia ikut aku sampai tahap ni?
“Mana saya tahu awak nak ikut rapat macam ni?” Aku
menjelingnya.
“Lain kali, pacak side mirror kat atas bahu kau tu,
kalau nak main brek-brek macam ni. Tengok ada orang ke tidak
dekat belakang.” Marahnya.
Bertambah kuat Ijai gelak. Mengarut sangat Aizat ni.
Dia ingat aku boleh jadi macam dalam cerita Kungfu Hustle
tu ke apa? Ada pisau terpacak dekat bahu dan buat side mirror.
“KAU NAK beli apa?” soalnya.
Aduhai. Dia lagi, dia lagi! Kenapalah dia ikut aku ke
mana-mana saja aku pergi? Aku nak usyar pakaian dalam pun
tak boleh. Payahlah macam ni.
“Tak beli apa. Tengok-tengok aje.” Aku berkata lantas
jalan beriringan bersama Nora dan Ijai. Dia menandingi
langkahku dan berbisik ke telingaku.
“Takkanlah tujuan kau datang sini semata-mata nak
tengok-tengok aje?” sindirnya. Habis... takkanlah aku nak
mengaku yang aku cari baju dalam. Dia bukan boleh tolong
pun!
“Eh, biarlah saya nak tengok ke, nak jeling ke apa.”
Aku melawan. Aku ingin kembali berjalan dengan Nora dan Ijai,
namun dihalang Aizat.
“Baik kau jangan menyibuk dekat diaorang. Orang tu
nak dating berdua. Jalan dengan aku kat sini, ada faedahnya.
Dating dengan aku ni haa. Aku boleh belanja kau.”
Aku tak pasti sama ada dia betul-betul berbisik ataupun
dia berbisik pakai mikrofon. Kuat! Ijai tersenyum-senyum
mendengar kata-kata Aizat itu. Bangga sangat dia apabila Aizat
memahaminya yang nak berdating tu. Aku mencemik.
“Jauhkan jarak awak dari saya, sepuluh meter.” Aku
mengarahkan Aizat untuk menjauhiku. Dia mencemik.
“Okey. Jangan kau lari daripada aku sudah. Sampai ke
hujung dunia aku kejar.” Dia berkata selamba.
Aku mengangkat ibu jariku. Setuju! Lagi pula,
berdayakah aku hendak berlari sampai ke hujung dunia?
Aku berhenti melangkah betul-betul di depan sebuah
gerai buah. Tekak teringin nak merasa buah jambu air dan
jambu batu. Tentu enak jika buah itu dicolek dengan asam
boi dan... kicap berlada. Digigit sampai hancur dan ditelan. Oh
Tuhan! Kecur liurku membayangkan aku memakannya dengan
pergerakan perlahan.
“Beli buah, dik?” soal si peniaga tua kepadaku sekali
gus mematikan bayanganku.
Aku mengangguk. Terus dia menyerahkan sebuah
bakul kecil untuk mengisi buah. Aku memilih buah itu dengan
berhati-hati. Risau kalau dapat buah yang sudah buruk.
“Cantiknya awak ni. Hai awak. Nak beli apa ni, hmm?”
Tiba-tiba datang seorang lelaki yang langsung tak dikenali. Ini
seorang lagi, tanya soalan budak tadika. Aku berhenti dekat sini,
takkanlah nak beli motor pula?
Gelinya aku. Macam orang tak pernah jumpa perempuan
pula gaya teguran dia. Kasihan. Aku tidak mengendahkan soalan
lelaki itu malah aku meneruskan aktiviti memilih buah-buahan
yang mengecurkan air liurku ini. Peniaga tua itu pula hanya
menggeleng-gelengkan kepalanya melihat penampilan lelaki
yang menegurku ini.
“Nama awak apa?” soal lelaki itu lagi.
Heee, sungguhlah aku rimas dengan spesies lelaki
macam ni. Kalau orang dah diam tu, maknanya tak mahu
layanlah. Aku mengelak apabila lelaki itu berdiri di sebelahku.
“Jangan sombong sangat, awak. Berdosa tau. Datang
dengan siapa ni?” soal lelaki itu lagi.
Dia ni, gerenti geng-geng mat pet yang selalu duduk
kat bawah jambatan tu. Orang kampung seberang. Penampilan
pun melambangkan dia memang geng-geng mat pet!
“Jangan kacau isteri aku, boleh?” soal satu suara
tiba-tiba.
Erk... isteri? Aku berpaling. Aizat! Dia sedang berpeluk
tubuh dan menghantar pandangan tajam kepada si lelaki yang
menggangguku. Huh. Apa motif dia cakap aku isteri dia? Cakap
adik, sudahlah!
“Ka... kau?” soal si lelaki itu tergagap-gagap. Macam
takut benar saja dia melihat Aizat. Sampai pucat wajahnya.
“Kenapa dengan aku? Teringat kenangan lama, huh?”
soal Aizat dengan muka seriusnya.
Aku tak pasti, kenapa muka dia seserius ini. Kenangan
lama? Apa maksud Aizat? Kenapa lelaki itu tiba-tiba bertempiaran
lari? Dan, benarkah seperti yang Aizat kata di rumah tadi, lihat
saja muka dia, pasti orang bertempiaran lari? Memang betul!
Tak sangka akan ada orang takutkan si keding ni.
“Kenapa dengan dia tu?” soalku.
“Nampak hantu. Dah... beli cepat, lepas tu balik. Mujur
aku ada.” Aizat masih lagi dengan muka tegangnya.
Aku tak faham. Kenapa Aizat ni ditakuti lelaki itu?
Kenangan lama? Ada kaitan dengan kes dia masuk sekolah jahat
dulu ke? Mungkin. Mungkin lelaki itu pernah dibulinya. Maksud
aku, dibuli dengan teruk sehingga meninggalkan trauma. Boleh
jadi. Aku nak sangat kenal dengan Aizat yang dulu. Apa pasal dia
berubah jadi jahat? Sewaktu aku berpindah ke Negeri Sembilan
dulu, dia masih di sekolah rendah. Menurut emak, waktu kami
masih kecil dulu, aku manja sangat dengan dia.
Dalam beberapa tahun tinggal di Negeri Sembilan,
kami dikejutkan dengan berita dia dihantar ke sekolah bagi
pesalah juvana di Kuala Lumpur. Sewaktu itu, aku masih tidak
mengerti mengapa. Jadi, aku tidak mengambil peduli langsung.
Sehingga sekarang pun, aku masih lagi tidak mengerti mengapa
dia dihantar ke sana.
Bila ibunya meninggal dunia menuruti arwah bapanya,
barulah kami berpindah semula ke kampung ini dan tinggal di
rumahnya yang telah kosong itu. Itu pun disebabkan oleh wasiat
arwah mak long. Kalau tidak, kami akan terus saja tinggal di
Negeri Sembilan. Sekarang, dia pula pulang semula ke sini.
Ah, berbalik semula kepada topik asal. Aku rasa,
betullah! Lelaki tadi tu pernah dibuli Aizat dulu. Lihat sajalah
muka trauma dia tu.
“Kau nak termenung sampai lusa ke?” soal Aizat. Aku
tersentak.
“Tak, fikirkan lelaki tadi. Tentu teruk dia dibuli awak
dulu. Sampai pucat lesi macam tu sekali.” Aku menyerkap. Air
muka Aizat berubah.
“Kau tak faham apa-apa, jangan mudah meletakkan
seseorang dalam sesuatu situasi. Beli cepat. Kalau tak, kau balik
seorang.” Dia bersuara dengan nada serius. Apa pasal tiba-tiba
nampak marah aje ni?
Cepat-cepat aku memilih jambu air dan jambu batu.
Bimbang jika tiada orang mahu membayarnya. Memanglah
dia ada bagi aku duit beberapa hari lepas. Tapi, sekarang dia
yang offer nak bayarkan untuk aku. Memang aku gilalah kalau
tolak rezeki. Sesudah Aizat membayar buah jambu itu untukku,
dia mengajakku pulang. Aku menolak. Kalau boleh, aku nak
berlama kat sini. Masih banyak gerai yang belum aku jelajah.
“Saya nak pergi beli asam boi. Nak buat cicah dengan
buah jambu ni. Lepas tu nak beli apam balik untuk mak dan
abah. Lepas tu, laksa penang. Perut dah lapar. Lepas tu...”
“Dah, dah! Banyak ‘lepas tu’ kau. Sampai besok agaknya
baru habis.” Dia mematikan kata-kataku.
“Awak nak balik, awak baliklah dulu. Tak apa, biarlah
saya balik sendiri. Saya dah biasa.” Aku menghalaunya dengan
cara paling hormat. Kesian juga dekat dia sebenarnya. Dahlah
terpaksa jadi bank bergerak aku, lepas tu ke mana aku pergi dia
kena ikut.
“Nanti lelaki tu kacau kau lagi, payah pulak hidup kau.
Beli cepat sikit. Pilihkan untuk aku makanan sedap-sedap sikit.
Perut aku pun lapar.” Ujarnya.
Aku angguk saja. Dah dia nak sangat temankan aku.
Dari tadi, dia asyik membayar. Apalah salahnya kalau aku buat
baik dengan dia, kan? Tapi...
“Apa kaitan lelaki tadi tu dengan awak?” soalku.
“One fine day, kau akan tahu jugak. Aku cerita satu per
satu kat kau nanti. Dah, cepat.” Dia mengarahkan aku untuk
cepat-cepat membeli.
“Nanti tu bila? Awak akan ingat ke?” soalku tidak
berpuas hati. Suka betul dia berahsia. Tak padan dengan
samurai. Berjiwa sentimental rupa-rupanya.
“Kan aku dah cakap. One fine day! Aku ingat punya.”
Dia menegaskan.
Sekarang bukan fine day ke? Aku mengalah juga
akhirnya. Biarlah. Apa boleh buat. Takkan aku nak desak dia
supaya bercerita pula, ya tak? Aku bukanlah seteruk itu.
“MAK SENAH kata, kau ada terserempak dengan Daus tadi
dekat pekan sehari, betul ke?” soal Abang Din kepada Aizat.
Mak Senah ada ke dekat pekan tadi? Tak perasan
pula aku. Memang orang kampung ni terror bab sebar berita.
Jangan pelik pula. Sekejap saja sudah kecoh sekampung. Sebab
itulah aku kena berhati-hati sepanjang hidup di kampung ni.
Berhati-hati pun, tetap juga jadi bahan bualan orang.
Aizat mengangguk-anggukkan kepalanya. Mengiakan
soalan Abang Din. Siapa pula Daus? Masa bila pula Samurai
ni ada terserempak dengan mana-mana kawan dia? Mungkin
sewaktu aku suruh dia jauhkan diri dia sepuluh meter tadi kut?
“Dia nampak kau, dia tak buat apa-apa ke?” soal Abang
Din lagi.
Aku sudah berkerut seribu. Kenapa ni? Macam ada
kisah tersembunyi saja. Dari nada Abang Din, aku dapat rasakan
ada sesuatu yang tak kena antara lelaki yang bernama ‘Daus’ itu
dengan Aizat.
“Tak, dia terus lari.” Jawab Aizat serius. Oh... lelaki
yang mengurat aku tadi. Daus ke namanya?
“Hmm. Maaf pun dia tak ada cakap?” soal Abang Din
tak percaya.
Huh... maaf? Oh... jadi bukan kes Aizat masuk juvanalah
agaknya. Entah-entah kes rebut awek kut? Logik juga. Sebab si
Daus tu kan mengurat aku tadi. Entah-entah Aizat nak menang,
sebab itulah dia mengaku aku ni isteri dia? Hmm. Boleh jadi...
Tiba-tiba aku rasa cerdik sangat sebab berjaya buat spekulasi
yang sangat logik. Lepas ni boleh panggil aku Detektif Melur.
“Tak.” Jawab Aizat sepatah.
“Apalah pengecut punya budak. Kalau aku jadi kau,
makan penumbuk dah mamat tu.” Abang Din berkata dengan
nada marah.
Aik, kenapa sampai nak tumbuk? Kes awek je pun.
Move onlah.
“Tak dan nak layang penumbuk, dia lari dulu.” Jawab
Aizat pula.
Cakap besar. Macamlah dia berani nak buat kacau.
Semakin hati aku tak keruan nak ambil tahu. Rasa macam
spekulasi yang Detektif Melur buat tadi salah aje.
“Orang... bila dah tahu diri tu salah, memanglah
macam tu keadaannya.” Komen abah pula yang baru muncul
di ruang tamu itu.
Salah? Jadi bukan Aizatlah yang salah? Apa sebenarnya
yang berlaku antara mereka dulu? Aku semakin geram nak
menyoal. Tapi... abah dah banyak kali pesan, jangan sibuk nak
menyampuk dalam mana-mana perbualan orang. Bertabahlah
Melur!
“Mak Senah puji kau. Katanya kau boleh bersabar tadi.
Kalau aku... tak ada mananya dia boleh balik guna kaki.” Abang
Din menayang sengih.
Ah! Apa yang mereka katakan ni? Kenapa aku rasa
stres sangat sebab sibuk nak ambil tahu hal orang ni?
“Kes dulu, aku tak kisah sangat. Aku nak tumbuk dia
tadi bukan sebab kes dulu tapi sebab dia duk mengusik si Melur
ni. Aku pantang betul orang usik hak aku.” Aizat bersuara
geram.
Hah??? Dia cakap 'hak' dia??? Abang aku sudah
tersedak-sedak. Aku pula? Nyaris pengsan!

No comments:

Post a Comment