DI dalam bilik, aku mula termenung panjang
memikirkan nasib aku. Kenapalah... kenapalah dia mengambil
keputusan untuk pulang ke kampung ini setelah berhenti kerja
di KL sana? Kenapa dia tidak pulang ke rumah mak saudara yang
lain? Atau dia pulang ke sini semata-mata kerana dia merindui
emaknya? Boleh jadi juga. Sewaktu emaknya meninggal dunia
dulu pun, dia tidak dapat menjenguk dek kerana dia ditahan di
sekolah budak jahat. Kasihannya dia... kalau aku di tempat dia,
entah-entah sudah naik gila aku.
Eh, kenapa pula aku mesti kasihankan dia sedangkan
dia langsung tidak mengasihani aku? Mulut dia... asyik nak
mengenakan aku saja. Sudahlah tadi dia membuat sikuku luka.
Fikir positiflah, Melur. Mungkin dia nak berkawan tetapi malu.
Eh, ada gaya malu ke dia tadi? Tidak pula. Ego, mungkin.
Ah! Tak syoknya duduk di dalam bilik. Nak-nak bila
fikiran ni asyik terfikirkan dia. Apa yang istimewanya sangat
dengan dia tu sampaikan boleh masuk dalam otak aku?
Aku melangkah keluar. Menuju ke tv di mana ada
abah sedang duduk bersila di atas lantai. Aku melabuhkan
punggungku ke kerusi yang berkusyen petak. Sebiji kusyen aku
ambil pada kerusi di sisiku untuk dipeluk. Cerita apa yang abah
tonton malam-malam begini?
“Tak tidur lagi, Melur?” soal abah sambil menjelingku
sekilas. Abah bukannya suka sangat aku tidur lewat.
“Biasalah abah. Selagi belum pukul dua pagi, selagi
itulah mata Melur ni tak reti nak rasa mengantuk.” Balasku
bersahaja. Abaikan rajuk pasal kes di dapur tadi. Abah takkan
pujuk.
Aku bukan buat apa pun tidur lewat. Mata ni yang tak
boleh lelap. Kalau aku duduk dalam bilik pun, mata bukan nak
katup juga. Ada saja benda dalam fikiran yang menghalang aku
tidur. Time nak tidurlah macam-macam idea muncul.
“Belajar tidur awal, Melur.” Pesan abah. Setiap
malam aku mendengar pesanan yang serupa namun aku tetap
mengingkari pesan abah.
“Nantilah Melur belajar. Nak tengok tv dengan abah.
Sekurang-kurangnya, Melur boleh temankan abah. Nampak tak
hikmah Melur tidur lewat tu?” soalku sengaja memberi alasan.
Abah tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepalanya. Mata
kembali menghadap ke tv.
“Benda-benda macam tu tahu pulak kamu mencari
hikmahnya, ya?” omel abah. Remote, abah serahkan kepadaku.
“Tengoklah cerita apa Melur nak tengok. Cerita abah
dah habis ni. Abah nak masuk tidur pulak.” Kata abah lantas
bangkit dari duduknya. Dia berdiri setempat dan menggeliat
sambil memusingkan badannya ke kiri dan ke kanan.
Menghilangkan lenguh.
“Cepatnya?” soalku. Abah mengangguk.
“Besok abah kena kutip getah pagi-pagi, lepas tu
menoreh lagi. Lagipun mata abah ni ‘sekolah’, waktu-waktu
begini dah pandai rasa mengantuk... tak macam mata kamu.”
Tempelak abah. Ya tak ya juga. Mata ahli keluargaku semuanya
‘bersekolah’.
Selepas Isyak saja, mak terus tidur. Abang-abangku
juga begitu kadang-kadang jika tiada bola pada waktu pagi buta.
Mereka terpaksa tidur awal untuk bekerja esok hari. Di rumah
ini, hanya aku sahaja yang tidur lewat. Abah biasa tidur awal
sejam dua berbandingku.
“Ingat, jangan tidur lewat sangat. Sebelum tidur,
pasang dulu ubat nyamuk. Nanti tergaru-garu pula. Pasangkan
untuk Aizat sekali. Dia tidur di luar malam ni. Bilik dia kat
belakang tu masih belum siap dikemas.” Abah mengarahkan
aku untuk memasang ubat nyamuk. Aku mencemik.
“Tahulah Melur. Kalau si samurai tu nak tidur, biarlah
dia pasang sendiri. Apa pula nak suruh Melur yang tolong
pasangkan?” Aku memprotes.
“Tolong... tak salah, kan?” soal abah lantas
mengayunkan langkahnya ke bilik.
Mahu saja aku menjawab ‘salah’ tapi gerenti kena
tarbiah teruk dengan abah. Teringin benar aku melihat
si samurai bergaru-garu sehingga esok hari akibat digigit
nyamuk. Tak tidur seharian pun tak mengapa. Aku memandang
saja remote di tangan. Nak tengok tv ke tidak?
Kalau aku bosan, aku akan mencari sesuatu untuk
menghilangkan bosan iaitu dengan menjahit dan membuat
kraf tangan. Tetapi, bahan-bahan seperti kain dan reben pula
sudah habis. Jadi, terpaksalah aku menghapuskan rasa bosanku
dengan menonton tv saja. Harap adalah rancangan yang
menarik hati. Rancangan yang menarik ialah... Jodoh!
Pintu rumah tiba-tiba terkuak. Muka ketat sang
samurai menyapa mata. Aku buat tidak nampak sahaja pada
kewujudannya. Lihat sahaja muka dia, pasti hatiku mula
mengutuknya. Mataku masih tertancap pada kaca televisyen
walaupun fikiran sudah melayang jauh. Berharap benar
agar dia segera tidur sahaja. Menyemak betul. Aku tak selesa
berdua-duaan dengan dia.
“Tak tidur lagi?” soal dia.
Aku buat pekak saja. Dah tahu aku terpacak kat depan
tv ni, takkanlah aku dah tidur kut? Kalau aku tidur, siapa pula
yang sedang terpacak ni? Hantu akukah? Soalan entah apa-apa.
Dia duduk di sisiku. Terus aku meletakkan remote ke
lantai dan berlalu masuk ke dalam bilik. Waktu aku duduk di
luar, sibuk dia nak duduk di luar. Dah masuk dalam pun, dia
masih lagi menyibuk. Tak faham aku.
PINTU BILIKKU diketuk berkali-kali. Aduhai. Mata ni barulah
nak tidur. Pedulilah. Mataku semakin memberat ni. Bantal
peluk di sisi, aku rapatkan ke dada.
“Melur. Buka pintu ni.” Suaranya membuatkan
mataku terbuka seketika sebelum kembali tertutup dek kerana
menahan kantuk yang amat berat.
“Nak apa?” gumamku dengan mata terpejam.
“Kau tak pasang ubat nyamuk. Nanti bergaru kau kat
dalam sana.”
Alamak! Automatik mataku terbuka. Aku lupalah nak
pasang ubat nyamuk. Walhal abah sudah berpesan tadi. Mesti
nak kena bakarkan untuk Aizat sekali. Ah! Malaslah aku. Rela
aku digigit nyamuk daripada membantu Aizat. Mata juga sudah
tidak dapat kutahan lagi.
“Mana awak tahu saya tak pasang lagi?” soalku dengan
malas.
“Ubat nyamuk masih berplastik lagi dalam kotak.
Pasang ubat nyamuk ni dulu baru masuk tidur.” Pesannya lagi
dengan suara yang perlahan. Bimbang mengganggu orang lain
tidurlah tu. Ganggu aku, tak apa pula? Apa pasal dia prihatin
semacam saja ni? Ada niat tak elok ke?
“Alah, biarlah.” Aku merungut. Tak ada nyamuk kut
malam ni?
“Melur, aku dah tolong bakarkan untuk kau ni. Kau
jangan nak jadi pemalas sangat. Cepat ambik, letak kat dalam
bilik.” Asaknya. Dia dah bakarkan ubat nyamuk? Bagus betul.
Eleh, tadi suruh aku pasang, lepas tu dia cakap dia dah tolong
pasangkan. Mana satu betul ni?
“Alah...” malasnya aku rasa nak bangkit dari katil ini.
“Tak payah alah-alah laaa. Benda ni dua lingkaran aku
nyalakan. Untuk aku satu, untuk kau satu. Kalau kau tak ambil,
takkan aku nak pakai dua-dua? Kau nak aku mati lemas dengan
asap ke apa?” soalnya menyindir. Walaupun aku bencikan dia,
tak adalah aku sampai hati nak harapkan dia mati.
“Hesy! Malam-malam buta macam ni banyak pulak
mulut dia. Besok dituduhnya kita yang banyak cakaplah,
apalah.” Bebelku yang sudah mula terduduk di atas katil ini.
Mengganggu sungguhlah Aizat ni.
“Kau tak payah banyak cakap. Ambil sekarang! Aku
pekik satu rumah karang.” Ugutnya.
Aku dengan malas melangkah ke pintu, lantas aku buka
pintu dengan muka cemberut. Bengang kerana pada saat mata
dah sangat mengantuk, sibuk dia datang mengacau. Sudahlah
didesak pula tu.
“Buat muka! Buat muka! Aku dah ringankan beban kau
ni, patutnya kau berterima kasih dengan aku.” Bebelnya lantas
menyerahkan bekas ubat nyamuk kepadaku. Lambat-lambat
aku menyambutnya.
“Hmm. Yalah. Terima kasih.” Ucapku sebelum
menutup pintu. Tak sempat aku nak tengok reaksi dia.
“MAK PELIKLAH dengan orang kampung ni. Duk mengata
kamu berdua. Si Hasyim tu nampak kau berdua kat luar malam
tadi. Terus diceritanya satu kampung. Cepat betul berita
tersebar. Buletin Utama pun tak dapat cari makan kalau ada
wartawan macam Hasyim tu kat kampung ni.”
“Macamlah orang kampung ni tak tahu yang mak ni
ada banyak anak teruna. Abah pun ada dekat rumah ni malam
tadi. Diaorang kata kau orang berdua sibuk duk buat maksiat
di luar...” Mak mengeluh. Kepalanya dipicit-picit. Pening
barangkali dengan fitnah orang kampung.
Biarlah aku jujur saja. Ini sudah fitnah ke berapa belas
kali yang dilemparkan Hasyim terhadap keluargaku. Aku pun
tak tahu apa masalah Hasyim tu sebenarnya. Pantang betul
aku dengan dia. Orangnya sudah tua. Tapi tak kahwin-kahwin.
Sebab hati busuk itulah agaknya. Suka sangat mencari cela
orang. Sedangkan tepi kainnya sendiri rabak!
Aku tak faham dengan dunia sekarang, orang sibuk nak
berdakwah, sibuk nak membetulkan kesilapan orang sehingga
kesilapan sendiri pun terlupa untuk dipandang. Manusia...
manusia...
Hasyim tu mesti tak puas hati kes abah dapat beli kebun
getah Pak Mail dulu. Dia kata abah aku tak mampu. Memang
tak mampu kalau abah tak jual tanah di Negeri Sembilan dia tu
dekat orang lain. Entah apa-apa. Tak puas hati sangat dia. Yalah,
dia dari dulu kata nak beli tapi bila Pak Mail tanya mana duit,
dia tak beri-beri. Lastly, tentulah Pak Mail jual dekat abah saja.
Bukan salah abah.
“Mana ada, mak de. Saya dengan Melur tak buat apa-apa
pun kat luar. Demi Allah!” Kata sepupuku membela diri. Siap
diangkat tapak tangan kanannya lagi tanda dia bersumpah yang
kami tidak melakukan perkara terkutuk malam tadi.
“Ya, mak de tahu sangat tu. Kamu dengan si Melur
tu duk bercekau dua puluh empat jam, takkanlah mak de nak
percaya fitnah tu? Yang peliknya, dia buat apa tengah-tengah
malam kat rumah orang? Nak skodeng anak dara mak ke apa?
Mencari kesalahan betullah si lelaki tua tu! Patutlah sampai ke
tua tak nikah-nikah! Tak lakulah sampai bila-bila kalau buat
perangai buruk macam tu.” Mak menghentam geram. Abah
tergelak kecil mendengar rungutan mak.
“Entah... itu yang abang nak tanya tu. Apa pulak yang
dia buat depan rumah kita ni agaknya? Tengah malam macam
tu.” Abah berkata kepada mak.
Haah! Betul juga tu. Dia buat apa kat depan rumah aku
semalam? Aku tak perasan pun! Mengintai ke apa? Rumah-rumah
di kampung ini sudahlah jaraknya sebatu sebuah.
Muka abah nampak tenang sahaja. Bagaikan tidak
terkesan dengan gosip Hasyim. Abah dah biasa. Dulu, Abang
Din aku juga pernah terkena apabila dia membantu Kak Mirah
di tepi jalan. Basikal Kak Mirah tercabut rantainya. Jadi, Abang
Din berhenti menghulurkan bantuan. Membetulkan semula
rantai yang tercabut.
Hasyim pula sibuk mengutuk Abang Din. Dia kata
Abang Din sibuk nak menggatal dengan anak Imam Razak.
Imam Razak pun apa lagi... terus dikurung anak daranya.
Sampai ke sudah tak nampak batang hidung Kak Mirah. Imam
Razak pula sampai sekarang bermasam muka dengan Abang
Din.
Harap aje Imam, mudah termakan dengan fitnah orang.
Menyampah aku! Bukannya abang aku cabul anak dia pun.
Membantu pun salah. Tak bantu karang, dikatanya sombong
bongkak. Lagi aku sakit hati, apabila anak dia membela Abang
Din, dia boleh tak percaya?
Selepas Abang Din, aku pula yang terkena tempiasnya.
Aku melepak dengan Ijai dekat kedai ABC pada waktu petang pun
jadi isu. Padahal berbual biasa. Tidak duduk sebelah-menyebelah
pun. Bersentuhan kulit, lagilah yilek. Tiada. Bersuap-suapan,
lagilah selisih! Yang aku peliknya, tetap juga orang kampung
terpengaruh dengan mulut busuknya itu. Geram sungguh aku.
Hasyim itu ada ramai ‘orang kuat’ yang mempercayai fitnahnya.
Tapi, ada juga yang dah tak berapa percayakan dia bila
mana, ramai anak dara dan anak teruna orang menjadi mangsa
gosipnya. Teruk sungguh perangai dia! Kalah perangai orang
perempuan. Biasanya kerja orang perempuan aje yang duk
mengata orang ni. Tak sangka, ada juga lelaki berperangai
begitu.
“Menyibuk depan rumah orang. Cari cerita untuk
rancangan realiti dia agaknya. Tolonglah sesiapa ciptakan satu
rancangan realiti tv untuk dia. Dah tak dapat dibendung sangat
dah minat dia mereka cerita tu.” Mak menempelak geram. Mak
nampak bengang sungguh. Terkekeh-kekeh aku ketawakan
kata-kata mak. Mulut mak memang laser. Tengok anaknyalah.
“Sabar Mah, awak pun tahu si Hasyim tu macam mana
mulutnya, kan? Tengok si Din tu. Sampai sekarang takut nak
dekat dengan anak dara orang disebabkan mulut dia. Nanti ada
yang akan ajar dia tu kalau macam itulah perangainya. Yang
gosip terbaru ni, salahkan anak awak tu. Gatal sangat nak keluar
malam-malam.” Abah menjelingku.
Eh? Macamlah aku keluar jauh. Depan rumah aje pun.
Itu pun masih di bawah bumbung yang sama. Tengok bintang
pun salah? Aku mensyukuri nikmat Allah tu.
“Mak dengan abah jangan nak salahkan Melur pulak
sebab duduk luar malam tadi. Melur memang dah duduk kat luar
lepas makan malam lagi. Dia yang tiba-tiba datang menyibuk.”
Aku mendengus sambil menjeling ke arah Aizat. Aizat tidak
memberi apa-apa riak pun. Sekadar mengunyah kacang tanah
sambil menonton televisyen. Mukanya tak terkesan langsung
yang aku sedang menyalahkan dia. Bagaikan rela dipersalahkan.
“Salah Melurlah. Dah tahu ada anak teruna kat rumah,
patut berkurung dalam bilik aje.” Abah membebel. Aku lagi
yang terkena.
“Dah memang setiap malam pun kan, Melur kat situ?
Sebelum Melur tidur, Melur memang akan tengok bintang dulu.
Macamlah mak dengan abah tak tahu. Sebelum ni tak ada pulak
mak abah melarang Melur. Semenjak ada Aizat kesayangan
mak abah ni, semuanya nampak salah Melur seorang. Salah dia,
semua buat buta.” Aku berkecil hati.
Sebak rasa hati apabila aku sentiasa dipersalahkan.
Aizat pandang aku. Kemudian dia mengalihkan pandangannya
ke tv. Mesti dia nak mengejek aku. Sebab abah aku tetap bela
dia.
“Melur...” panggil abah dan mak serentak.
“Dahlah, Melur nak keluar. Panas duduk sini.” Aku
menjeling Aizat dengan geram. Kaki kuayun keluar rumah dan
terus menuju ke belakang rumah.
DI BELAKANG rumah, terdapat sebatang pokok rambutan
yang sedang berbuah lebat. Maklumlah, sekarang sudah tiba
musim buah-buahan. Aku memanjat dan duduk di dahan yang
bercabang. Rambutan yang merah menyala, aku kopek lalu aku
makan dengan geram. Membayangkan yang aku sedang kekah
budak Aizat tu.
Sebenarnya, ini salah satu caraku menghilangkan
stres. Aku suka panjat pokok. Ya. Memang pelik bagi seorang
anak dara diva sepertiku untuk memanjat pokok begini tetapi
aku sudah terbiasa. Aku membesar dengan abang-abangku yang
tersangat nakal. Along, alang dan Abang Din. Mereka bertigalah
yang mengajarku memanjat. Walaupun beberapa kali dilarang
emak dan abah, namun tetap jua aku tidak mengendahkan
larangan mereka. Aku kan Melur. Melur memang degil
orangnya.
Pernah mataku dikencingkan kerengga ketika usiaku
mencecah lapan tahun gara-gara memanjat pokok rambutan.
Sakitnya tak terampun. Tapi, aku mana kenal erti serik? Aku
panjat lagi seminggu selepas kejadian tu. Kerengga pun dah
pandai beri laluan kepada Menteri Besar Rambutan macam aku
sekarang ni.
“Tak elok anak dara memanjat pokok.” Tegur satu
suara. Aizat.
Aku menjelingnya di bawah yang terdongak
memandangku. Biji rambutan di dalam mulut, aku ludah ke
arahnya di bawah. Dia sempat mengelak. Kalau boleh aku
kencing, dah lama aku kencing atas muka dia ni. Waktu kecil
dulu aku pernah buat kerja macam ni. Aku kencing dari atas
pokok kat Leha yang sibuk nak join geng aku dan abang aku.
Waktu tu aku tak senonoh lagi. Baru tujuh tahun kalau tak
silap aku. Sekarang, aku dah besar dan behave. Nak selak kain
atau buka seluar pun aku berfikir sejuta kali dan jawapannya,
tentulah tidak! Nak-nak bila Aizat gila ni kat bawah.
Mendengar dengusan Aizat membuatkan aku kembali
ke alam nyata. Putik rambutan muda, aku campak ke bawah.
Dia terlompat kecil mengelak. Aku memanjat dahan yang
lebih tinggi. Mencari rambutan yang masak ranum. Buah
kegemaranku baru sahaja masak.
“Jatuh nanti, Melur. Mak abah kau suruh aku datang
pujuk kau. Menggedik aje nak merajuk. Konon nak feeling
Hindustanlah tu. Orang Hindustan pun tak panjat pokok tau
bila merajuk? Paling tidak pun diaorang panjat gunung aje.”
Dia bercekak pinggang di bawah dan mendongak ke atas,
memandangku.
Aku menjeling. Nak buat lawak ke? Sebab aku tak rasa
lawak pun!
“Ada saya suruh awak datang pujuk saya kat sini? Ada
saya merajuk ke?” Aku menjawab sambil mencampakkan kulit
rambutan ke arahnya. Tak cukup dengan itu, aku serang dia
dengan rambutan masak dan rambutan muda. Dia mengelak
lagi. Tiba-tiba rasa seronok melihat dia yang terloncat-loncat
mengelak daripada terkena seranganku. Dah macam permainan
bola beracun pula. Mungkin, istilah yang sesuai sekarang ialah
rambutan beracun.
“Hei, kau turun sekarang! Aku pantang betul dengan
perempuan macam ni!” Dia menjegilkan matanya ke arahku.
Aku buat muka tak hairan malah aku berterus-terusan
menyerang dia dengan berbiji-biji buah rambutan muda.
Kelepuk! Kelepuk! Terkena dia. Puas hati aku. Padan dengan
muka dia. Siapa suruh dia meragut kasih sayang mak abahku?
Siapa suruh dia lalu di kawasan aku? Argh! Pokok pangkalnya,
siapa suruh dia muncul dalam hidup aku?
“Hei! Sakit betul hati aku! Kau siap! Memang kau
siap!” jerkahnya di bawah.
Dia menyingsing baju lengan panjangnya. Gayanya
macam nak memanjat. Aku sudah kelam-kabut. Cuba hendak
memanjat lebih tinggi tetapi tersalah langkah. Aku terjatuh.
Terhentak pula dengan dahan sebesar betis sebelum aku sampai
ke tanah. Tak sempat nak menjerit sebab semuanya berlaku
begitu pantas sekali.
“Melur!!!” Dia menjerit.
Gedebuk! Aduh... bunyi cempedak jatuh.
“Terima kasih, Allah!” Dia tiba-tiba bersuara dengan
kedua tangan ditadah ke langit.
Apa? Dia berterima kasih atas kemalangan yang
menimpa aku? Kejam sungguh. Aku cuba untuk bangkit tetapi
tidak berjaya. Sakit! Sakit sangat! Ya Allah! Pinggang aku rasa
lain macam.
“Itulah. Siapa suruh buat degil dengan aku? Aku tegur
kau elok-elok, kau buat kerek. Siap campak rambutan lagi kat
aku. Kan sekarang kau yang tercampak kat aku? Mujur aku tak
sambut tadi. Kalau tak mahu patah pinggang aku menyambut
badan gemuk kau ni.” Dia menyindirku.
Bukannya nak tolong hulurkan tangan, malah
dikutuk-kutuknya aku. Hek eleh! Siapa yang buat kerek dari
awal? Bukan dia ke? Tegur eloklah sangat. Boleh blah! Dia
datang nak mengutuk aku aje dari awal pun. Badan macam ini
pun dikata gemuk? Mata dia ni teruk sangat ke rosaknya?
“Aduh!” Aku cuba bangkit lagi namun masih tak
berjaya. Dia hanya membuat muka tak hairannya saja.
“Kut ya pun, tolonglah saya bangkit.” Aku mulalah
rasa nak mengamuk. Tangan kuhulurkan kepadanya. Meminta
tolong supaya dia membantu aku berdiri.
“Ha, ingatkan tak pandai nak minta tolong tadi. Apa
kau ingat kau tu kera ke sampai nak loncat dari dahan ke
dahan?” bebelnya. Bukannya aku suruh dia ceramahkan aku
pun. Akhirnya dia menarik juga tanganku untuk bangkit.
Ditariknya lenganku dan dia letak dibahunya. Kakiku dia
angkat. Dia sedang dukung aku? Si keding ni? Larat ke? Eh?
“Hei! Turunkan saya.” Aku cuba meronta tapi pinggang
dah tergeliat. Tak boleh nak buat apa. Sakit. Terpaksalah aku
buat keras macam robot.
“Kau diamlah! Aku campak ke longkang karang. Dahlah
badan tu gemuk!” Dia menjegilkan matanya. Aku terdiam.
Gemuk sangat ke aku ni? Aku melihat tangannya yang
mendukungku. Nampak macam aku ni betul-betul gemuk saja
sampaikan urat lengan dia jelas kelihatan. Pedulilah. Kan bagus
kalau badan dia macam Aaron Aziz? Ini badan macam orang tak
cukup zat. Jatuh simpati aku melihatnya. Muka dia kacak jugak
eh? Baru aku tahu...
Argh! Tak rela aku nak dia dukung aku lama-lama
macam ni. Terasa macam sedang shooting filem Hindustan.
Tak selesa langsung. Atau.. dia sengaja dukung aku ni sebab dia
jatuh hati pada aku tapi tak nak mengaku. Erk? Hehehe.
“Kau jangan nak berangan ek? Aku kesiankan kau ni.
Kalau berangan lebih-lebih, aku campak balik kau atas pokok tu
karang.” Dia menjeling aku. Aku menjelingnya kembali.
Tahu-tahu pula dia apa yang aku sedang fikirkan.
Kesian apa macam ni? Huh! Sampai saja depan rumah, dia
lepaskan aku dari dukungannya. Sekali lagi aku jatuh ke tanah.
Lebih sakit! Pinggangku terasa bagai nak patah. Aku cedera
parah. Macam ini dia kata kasihan? Dua orang yang cukup aku
kenal sedang berdiri di depan rumah.
“HAH! TU dia buktinya. Sibuk berkuch-kuch hota hai kat
belakang rumah. Korang berdua tak sedar. Anak buat maksiat
dekat depan mata ni ha. Sekarang, saksikanlah buktinya kat
depan mata. Biar kau orang tahu anak dara kau orang ni macam
mana perangainya. Tak semenggah langsung. Harap aje anak
dara.” Hasyim mencemik.
Si samurai pandang aku. Keningnya bertaut. Pelik.
Aku pandang mak dan abah yang ternganga pandang aku.
“Dia jatuh dari pokok rambutan.” Kata si samurai
kepada abah tanpa membela dirinya daripada tuduhan Hasyim.
“Kusmangat punya anak dara. Memanjat pokok aje
kerjanya! Kompius aku. Aku ni bela anak dara ke anak kera?”
marah mak. Telingaku dipiat. Adey! Aku masih di tanah ni. Tak
terlarat nak bangun.
Abah menghampiriku. Aku buat muka sedih. Tangan
aku lambai. Minta dikendong. Tetapi abah berdiri statik di
sebelahku.
“Sakit!” Aku mengadu. Air mata berlinang.
“Propalah tu!” si Leha mula mencemik.
Apa dia buat kat sini? Menyampah betul aku dengan
si Leha ni. Dia dengan Hasyim ni molek dicampak ke gaung.
Mulut tahu nak memfitnah orang saja. Benci betul aku. Apa dia
ingat aku sengaja propa ke? Apa dia ingat aku teringin nak kena
angkat dengan lelaki keding ni? Kalau Aaron Aziz aku nak juga.
Ini dah macam mat sentul waktu muda. Ingat aku suka agaknya
kena dukung dengan samurai gila ni?
“Macam mana boleh jatuh?” Mak abah nampaknya
langsung tidak menghiraukan kata-kata si Hasyim dan Leha.
Mereka lebih mempercayai anaknya ini. Lebih menumpukan
kepada aku. Terharu.
“Entah dia. Perasan diri tu kera.” Kata-kata Aizat
memang menyakitkan telinga. Leha tersenyum sinis
memandangku dengan ekor mata.
Aku mendengus. Cuba bersabar. Sabarlah wahai hati.
Aku tahu aku boleh bersabar. Mana boleh dia kata aku perasan
kera? Apa dia ingat aku nak sangat disamakan dengan kera ke?
Macamlah kera sahaja yang ada bakat memanjat ni. Huh! Dia
tu pun tak jauh beza dengan kera. Keding aje. Lengan kera lagi
besar daripada lengan dia.
“Leha, Hasyim... baliklah. Saya tahulah nak nasihat
anak saya.” Abah menghalau mereka dengan penuh berbudi.
Aku menceber memandang Leha yang menjelingku.
Abah, kalau tak berbudi pun tak apa dengan orang macam ni.
Lagi bagus kalau abah hambat dengan chainsaw abah kat bawah
rumah ni biar diaorang takut nak datang lagi.
“Nasihat saja tak guna. Ini anak dara dengan anak
teruna duduk serumah. Bukannya suami isteri. Adik-beradik
pun bukan. Ikatan apa tak ada.” Si Hasyim masih lagi tidak
mahu berputus asa.
Ha! Mujurlah aku dalam keadaan tak terdaya sekarang
ni. Kalau aku tak jatuh pokok tadi, memang akulah yang
menghambat mereka dengan chainsaw tu. Suka mencari salah
orang. Aku duduk berdua dengan samurai gila ni? Aku lebih
rela duduk berdua makan semeja dengan kera tau?
“Tapi dia orang duduk dengan kami. Anak teruna
kami pun ada juga. Bukannya mereka sebilik. Nak geledah bilik
budak-budak ni pun tak apa. Mereka sepupu, kan?” Abah punya
suara sudah meninggi. Bengang.
Aku simpati. Bukan aku sengaja nak berkuch-kuch
hota hai. Kalau aku nak berkuch-kuch hota hai pun, akan aku
pastikan, bukan dengan samurai bongok ni. Kasihan mak abah,
terkena tempias.
“Alah, sedangkan kat belakang rumah pun boleh buat
maksiat. Tak manislah, pak cik.” Si Leha menabur kabaid
nampaknya pada api yang baru nak marak.
Aku pandang abah. Muka abah macam nak telan orang.
Aku kerling ke arah si samurai. Dia menatap wajah Leha dengan
tajam tak berkelip. Tak tahu sama ada marah atau berkenan.
Nampak macam berkenan.
“Yang kau berdua ni pulak kenapa? Tak ada ikatan juga
tapi ke hulu ke hilir bersama menjaja cerita orang. Ingat manis
sangat agaknya? Semua perkara buruk orang kau berdua nak
jaja. Dah tak ada Astro kat rumah sampaikan diri sendiri pun
nak jadi Astro?” Mak menyergah geram.
Waktu itu aku sudah tergelak melihatkan wajah kelat
Hasyim dan Leha yang disembur mak. Biarlah kedudukan aku
masih di tanah sekalipun asalkan aku dapat gelak. Muka mereka
memang tak boleh blah. Merah habis. Kalah udang kena salai.
Kan mak dah gelar mereka Astro. Padan dengan muka.
“Cuma nasihat. Tak elok.” Si Hasyim sudah termalu
sendiri.
“Tahulah aku nak nasihat anak aku pulak.
Senang-senang aku bawak dua orang ni jumpa kadi.
Kahwinkan aje. Habis cerita. Pergi cari channel lain pulak.
Kat belakang tu beruk ada dua tiga ekor, pergi buat shooting
National Geographic pulak! Tak cukup dengan kera, anak-anak
ayam aku berlambak kat dalam reban tu. Pergi bawak kamera
kat situ.” Mak aku menjerkah lagi. Kali ini aku sudah tergelak
sungguh-sungguh. Kaki abahku, aku peluk dan gelak lagi. Abah
ikut tergelak. Terkekeh-kekeh.
“Takkanlah mak cik nak kahwinkan Abang Aizat dengan
perempuan ni?” soal Leha tergedik-gedik tak menyangka. Eleh,
macamlah aku tak perasan dari tadi dia duk kerling ke arah
Aizat. Main mata pulak tu.
“Perempuan kau kata? Anak aku tu... cantik sikit
bahasa. Aku sental-sentalkan jugak dengan lesung batu bercili
kat mulut kau tu nanti!” suara emak naik lagi satu oktaf. Leha
menyorok di belakang Hasyim apabila melihat mak aku sudah
hampir bertukar menjadi Hulk.
“Pergi balik!” Mak aku menjerkah lagi. Terhinggut
bahu Leha dan Hasyim dijerkah begitu. Padan dengan muka.
Leha pandang aku tak puas hati. Aku mencemik. Ingat
aku hairan? Aku terus lagi gelak sampai puas. Sampai nak
terkencing. Kalau aku ni jenis yang tak senonoh, memang aku
gelak sampai terkencing. Biar mereka rasa terhina. Mujur mak
abah didik aku elok walaupun perangaiku tak berapa nak elok.
“Tak payahlah Kak Mah nak menghalau sampai macam
ni.” Hasyim sudah naik marah.
“Abang, awak pergi ambik chainsaw awak kat bawah
rumah tu. Dia nak suruh kita halau cara ‘lain’ tu.” Mak aku
memuncungkan ke arah bawah rumah.
Saat itu, kelam-kabut si Hasyim dan Leha berlari
pulang apabila melihat abah menurut. Aku sudah tergelak
tahap tak terampun lagi. Ya Allah! Kelakar sungguh mak aku.
Mak, I love you!
“SORRY MAK de. Kalau saya tahu tadi, saya biarkan aje
beruk-beruk kat belakang tu yang dukung Melur berjemaah.”
Heeee dia ni memanglah nak kena sekeh dengan aku...
Mujurlah aku tengah sakit. Kesian mak abah kena
papah aku naik atas. Dia dah tak dukung aku. Abah tak bagi.
Aku pun tak ingin. Mak dan abah aku tergelak. Lawak sangatlah
tu dengan idea kera dia tu. Menyampah sangat aku dengan dia
ni.
“Tak apa. Mak de faham. Dua orang tu memang macam
tu. Satu kampung pun dah tahu. Tak payah tengok Astro lagi.
Semua berita sensasi terkini diaorang ada. Yang dua ekor tu
baru kena dengan tagline Astro. Macam-macam ada.” Ujar mak
selamba.
Aku tersengih. Mak keluarkan minyak panas. Nak
mengurut belakang badanku. Dekat ruang tamu? Biar betul ni,
mak?
“Saya tunggu kat luar.” Dia mengundur diri. Oh!
Dia memahami. Ada baiknya kat situ... aku pejam mata dan
meniarap di tepi emak.
“Dengan mak, dia ber'saya' bagai. Dengan Melur, dia
aku-kau je mak. Kurang ajar gila.” Aku merungut dengan mata
terpejam.
“Takkan aku nak ber'Melur-Telur' dengan kau?”
soalnya sinis. Eh? Dia tak blah lagi? Kata-katanya menyakitkan
hati aku. Tak habis-habis nak kenakan aku. Telur? Huh.
“Heee!” Aku merengus geram.
Dia menapak keluar dengan abah sambil membawa
gitar. Abah membawa bekas abu rokok keluar bersamanya. Nak
merokok dengan si Aizatlah tu. Apalah lelaki ni, suka bakar duit.
Abah aku tu, berapa kali kena laser dengan mak supaya berhenti
merokok, tetap juga dia merokok. Lelaki... abang-abangku juga
merokok.
Mujur aku tak! Aizat pula, jarang sekali aku lihat dia
merokok. Adalah sebatang dua sehari. Tak ketagih macam abah
dan abang-abangku. Abang-abang aku ketika ini tiada di rumah.
Masih bekerja.
Mak mula mengurut setelah pintu tertutup rapat.
Memang aku akan tertidur ni nanti...
“Mak, Melur tak buat apa-apa pun dengan Aizat.
Sumpah, tak! Kenapa ada saja mulut nak memfitnah?” soalku
perlahan.
“Mak tahu. Apa kau ingat mak tak skodeng kamu
berdua kat belakang tadi?” soal emak kembali.
Wah! Mak skodeng aku dengan Aizat? Kenapa? Mak tak
percayakan kami ke? Tak berseleralah aku dekat si keding tu.
Uwek!
“Habis, kenapa mak terperanjat benar bila Melur jatuh
pokok kalau mak skodeng tadi?” soalku pelik.
“Dah macam mana mak nak skodeng lagi bila si Hasyim
dan Leha tu datang tadi. Nak mak ajak diaorang skodeng kamu
sekali ke macam mana?” soal emak pula. Sarkastik. Terdiam
terus aku.
“Tak baik layan Aizat buruk-buruk, dia tu anak yatim
piatu.” Mak berpesan sambil menambah minyak urut ke
belakang badanku. Panas.
“Dengar tu, Melur!” suara Aizat di luar menyampuk.
Isy! Dengar juga dia rupa-rupanya perbualan kami di dalam.
“Sibuklah! Hmmm... Tak dengar pun diaorang bagi
salam.” Rungutku.
“Mak turun waktu skodeng kamu tadi. Tak dengarlah,
dah diaorang tak bagi salam. Datang terus sibuk menyebar
berita palsu.” Mak bercerita. Dari nada mak, aku tahu mak sakit
hati. Hesy, kalau hari-hari kena menghadap Hasyim dengan
Leha tu, boleh patah iman.
“Yalah, tapi tak dengar langsung pulak mak cakap
apa-apa dengan diaorang berdua.” Ujarku. Memang aku tak
dengar. Atau memang aku seronok sangat kena dukung dengan
Aizat? Huh, simpang!
“Takkan nak berbual pakai mikrofon pula semata-mata
nak kamu di belakang sana dengar?” soal emak yang mula
naik angin dek kerana kebodohanku menyatakan soalan yang
kurang logik. Suara Aizat dan abah gelak mula kedengaran.
Amboi, gembira betul dia apabila aku kena marah dengan mak.
“Diaorang datang sini semata-mata nak cakap benda
tu?” soalku.
“Hmmm. Bukan kau tak tahu si Hasyim dan Leha tu.
Mengumpul beritalah kerjanya. Tadi sebelum diaorang cakap
pasal kau dengan Aizat, ada dia mengata anak Mak Cik Zahra tu.
Entah apa yang mereka tak puas hati dengan orang pun mak tak
tahulah.” Mak aku membebel.
“Kut ya pun bengang dengan diaorang, jangan jadikan
Melur mangsa.” Aku menahan sakit apabila urutan mak semakin
kuat selari dengan rasa geramnya terhadap Leha dan Hasyim.
Sekali lagi aku terdengar suara Aizat dan abah tergelak
di luar. Suka sangat. Menyampah!
No comments:
Post a Comment