PUAN Seri Ani Suraya menatap wajah anak
perempuannya yang lesu, bengkak dan lebam dengan pandangan
penuh kasih dan simpati. Entah berapa lama Sarah Qireena
menanggung semua ini, dia sendiri tidak tahu. Sekelumit rasa
bersalah timbul di hati. Ke mana perginya naluri keibuannya
selama ini? Dalam kesibukannya berpersatuan selama ini,
takkan dia tidak merasa sebarang kelainan apabila Sarah
Qireena sering memberi alasan untuk tidak menemaninya,
seperti lazim yang dilakukan selama ini.
Rupanya, inilah yang cuba disembunyikan anaknya
itu selama ini. Sampai hati Farid berkelakuan begini terhadap
isterinya sendiri. Apakah puncanya? Hatinya tertanya-tanya.
Kini Farid lesap entah ke mana. Tahu pula dia takut. Padahal
Tan Sri Ali Saifuddin telah pun membuat keputusan untuk
tidak membuat laporan polis. Malu katanya jikalau berita ini
dihidu pemberita dan disensasikan.
Teringat dulu kata-kata Sarah Qireena kepadanya dulu.
“Mama, Sarah tak naklah kahwin dengan si Farid tu…
boleh tak mama pujuk papa. Sarah betul-betul tak suka dengan
dia.”
“Eh, kenapa pulak Sarah tak suka dengan dia?
Orangnya tinggi, handsome, kaya, ramai perempuan yang nak
kat dia tu. Sarah sorang je yang tak nak. Lagipun, bukannya
senang mama nak pujuk papa tu. Bila papa dah buat keputusan,
apa mama cakap pun papa takkan dengar…”
Wajah Sarah Qireena berubah menjadi keruh ketika
itu. Kepada siapa lagi harus dia mengadu jikalau ibu sendiri pun
tidak mahu menolongnya.
Puan Seri Ani Suraya masih teringat pujukan
demi pujukan yang dibuat anak gadisnya itu, namun tidak
dihiraukannya. Suaminya telah terlebih dahulu membuat
keputusan. Tiada apa dan tiada siapa pun yang boleh
merubahnya. Akhirnya ugutan si suami berjaya merubah hati
si anak gadisnya. Air mata yang berjurai-jurai langsung tidak
melembutkan hati si suami. Kadang-kadang Puan Seri Ani
Suraya berasa terkilan dengan sikap suaminya itu yang terlalu
berkeras dengan anak-anak. Tidak pernah mahu mengalah atau
berlembut dengan mereka.
Kini seorang anak perempuan terlantar di hospital dan
seorang lagi anak gadis mereka hilang entah ke mana. Rindunya
dia kepada Sofiah Qistina. Anak yang begitu lembut luarannya,
namun begitu kuat dan cekal dalamannya.
Puan Seri Ani Suraya bangun dan mendekati Sarah
Qireena.
“Sarah, mama balik dulu. Esok mama datang lagi, tapi
mungkin lewat petang. Pagi mama ada meeting…”
Sarah Qireena tidak menjawab. Matanya masih
tertutup rapat. Apabila pintu bilik ditutup rapat, Sarah Qireena
mencelikkan matanya. Dia tiada banyak masa lagi. Dia harus
bertindak segera. Papanya ke Singapura atas urusan kerja dan
hanya akan pulang beberapa hari lagi. Mamanya akan datang ke
hospital lewat petang esok, jadi dia ada lebih kurang dua puluh
empat jam untuk menjalankan rancangannya.
Sudah dua hari dia di hospital ini. Sakit di seluruh tubuh
badannya tidak dapat menandingi sakit di lubuk hatinya. Dia
menekan butang untuk memanggil jururawat yang bertugas.
Selang dua minit kemudian, jururawat datang menjenguknya.
“Ada apa puan? Boleh saya bantu?” Lembut jururawat
itu bertanya.
“Cik boleh bagi saya pinjam telefon bimbit cik?” Serak
dan terketar-ketar suara Sarah Qireena.
‘Kau mesti kuat Sarah. Cukuplah menjadi seorang
yang terlampau pengecut selama ini…’ Sarah Qireena tahu
dia tidak boleh menggunakan telefon bimbitnya sendiri. Takut
panggilannya dikesan papa atau Farid nanti.
“Nanti saya bayar balik…”
Jururawat itu tersenyum dan menghulurkan telefon
bimbit dari poketnya.
“Nanti saya datang balik dalam masa sepuluh minit,”
katanya sambil berlalu, dengan niat untuk memberi ruang
kepada pesakit itu membuat panggilannya.
Tangan Sarah Qireena menggeletar memegang telefon
bimbit pinjam itu. Nombor yang telah dihafalnya sejak dua
minggu lalu didail. Sarah Qireena melepaskan nafas lega apabila
panggilannya berjawab.
“Mak Esah, Sarah ni… Maaf Mak Esah, Sarah tak boleh
cakap lama. Mak Esah, boleh beritahu Sarah nombor telefon
Timah?” Nombor yang diberi, dihafal di dalam kepala.
“Terima kasih Mak Esah…” Talian dimatikan dan
nombor yang baru diberi Mak Esah didail.
Selepas lima deringan, suara Timah kedengaran di
talian. Dengan nafas yang panjang, Sarah Qireena tanpa segansilu
meminta pertolongan Timah, kawan baik adik tunggalnya.
Diceritakan segala rancangan dengan ringkas tetapi teliti. Tidak
sekali pun Timah mencelah.
“Boleh, Timah?”
“Boleh, Kak Sarah. Kak Sarah jangan risau. Saya akan
buat sampai berjaya.” Suara Timah yang bersungguh-sungguh
menenteramkan hati Sarah Qireena. Kini dia hanya perlu
menunggu.
Ketika jururawat kembali untuk mengambil telefon
bimbitnya, Sarah Qireena merayu.
“Cik, tolong jangan beritahu sesiapa tentang panggilan
yang saya buat ni. Saya rayu daripada seorang perempuan
kepada seorang perempuan yang lain. Ini antara hidup dengan
mati saya. Cik tengoklah keadaan saya… maut belum datang
menjemput saya lagi, tapi kalau cik tak rahsiakan pasal perkara
ni, saya berani janji dengan cik yang mungkin dalam masa
terdekat ni, saya akan kembali ke hospital ini dalam keadaan
tidak bernyawa… tolonglah berjanji dengan saya…”
Jururawat itu terpinga-pinga mendengar rayuan
pesakit itu. Dalam laporan, tertulis pesakit itu dipukul
perompak, namun dia berasa pelik juga kerana sejak pesakit itu
ditahan di wad, tiada seorang polis pun yang datang ke hospital
untuk mengambil keterangannya.
“Saya janji puan. Saya tidak akan beritahu sesiapa pun
yang puan telah meminjam telefon saya.”
Sarah Qireena mengangguk. Sekilas dia memandang
tanda nama jururawat muda itu.
‘Terima kasih Siti Aishah,’ ucap Sarah Qireena dalam
hati.
No comments:
Post a Comment