DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 25 May 2016

Samurai - Bab 13

FITNAH orang kampung sekali lagi merebak.
Hasyim punya kerjalah ni. Siapa lagi yang suka menabur fitnah
kalau bukan dia dengan Leha, kan? Bukannya aku tak tahu yang
si Hasyim itu sebenarnya ada hati kepada Leha.
Dia bengang apabila Leha sentiasa berdamping dengan
Aizat. Lagi-lagi, sekarang Leha sentiasa melekat dekat depan
rumah aku dengan pelbagai warna kebaya dan pembayang mata
yang dikenakan semata-mata untuk mengurat Aizat.
Siapa tak bengang? Kalau aku pun, aku bengang sama
sebab yang terkena tempiasnya, aku! Tak pasal-pasal pula
aku dicadangkan supaya berkahwin dengan Aizat. Yang asyik
berkepit dengan Aizat bukan aku. Tapi Si Leha tu!
Disebabkan aku pulang dari kedai pak teh dengan
Aizat tempoh hari, ditambah pula dengan cerita aku melepak
dekat kedai ABC dan aku ke pekan sehari dengan Aizat, habis
dicanang cerita itu seisi kampung. Sakit sungguh hati aku. Aku
balik dengan Aizat pun bukannya si samurai tu carry aku naik
basikal. Depan orang ramai lagi tu. Tak ada nak sentuh-sentuh
apa pun. Benci!
Dekat kedai ABC pun sama! Bukannya aku berdua-duaan
dengan Aizat pun. Ada Ijai sekali. Bincang hal nikah Ijai pula tu.
Dekat pekan sehari pula, Aizat berdiri sepuluh meter daripada
aku, okey. Sungguh aku rasa sakit hati. Mulut Hasyim ni
memang kena ada yang tolong tamparkan seribu kali.
Pagi tadi, ada dua tiga orang mak cik datang ke
rumahku semata-mata nak tengok muka aku dengan Aizat.
Selepas itu mereka menggeleng-gelengkan kepala dan pulang
ke rumah masing-masing. Dah macam orang tak ada kerja pula.
Pelik betul orang-orang kampung ni.
Heeee. Inilah sebabnya aku rasa nak ‘chaloo’ dari
kampung ni. Mujurlah aku ni kurang berpendidikan dan
manja budaknya. Tak dapatlah nak lari keluar dari kampung ni
berjauhan dengan mak dan abah.
Kalau aku ni sebaya mak, lama aku sumbukan aje si
Hasyim tu. Geram pula aku. Macamlah aku terliur sangat nak
buat maksiat dengan Aizat. Macamlah aku tak belajar ilmu
agama di sekolah dulu. Aku mungkin tak berapa cerdik dari segi
pelajaran tetapi tidaklah bodoh untuk menjatuhkan air muka
ibu dan bapa aku.
“MAK NAK dia jadi suami kamu dari dulu lagi, Melur. Melur
ingat lagi, kan? Lagipun dia sepupu kamu sendiri. Senang
dia nak duduk kat rumah ni sampai bila-bila. Umpatan orang
kampung pun nanti berhenti jugak. Sekarang makin teruk
si Hasyim tu jaja cerita semenjak Leha berbaik dengan Aizat
ni. Tak seronoklah kalau kita jadi tumpuan orang kampung
disebabkan cerita tak elok.” Beritahu mak.
Aku julingkan mata ke atas.
“Mak... kalau mak nak jadikan dia suami Melur,
baik mak lupakan saja. Melur tak nak merisikokan diri Melur
berkahwin dengan penjahat macam dia. Baik dia kahwin
dengan Leha tu saja. Habis cerita. Nanti dia duduklah dengan
Leha tu. Nak jumpa pagi petang siang malam pun tak apa. Tak
ada halangan dah.” Bidasku sambil merenung wajah emak.
“Diaorang yang dating berdua, kenapa pulak Melur
yang kena kahwin dengan dia? Tak logik tau mak. Lagipun,
Melur memang dah jarang bertegur dengan dia. Takkanlah
boleh timbul lagi fitnah macam ni? Melur tak nak hidup dengan
lelaki biadab, jahat, macam dia ni.” Aku menjeling Aizat.
Mata Aizat terbuntang. Macam hendak menelanku.
Tapi aku tetap menayangkan riak tak kisah. Memang
kebelakangan ini aku jarang bercakap dengan dia. Baik di
dalam rumah mahupun di luar rumah. Nak-nak semenjak Leha
semakin berani memeluk lengannya dan menyelitkan rambut
panjangnya itu ke belakang telinga dia dua tiga hari lepas. Eee,
tak tahulah kenapa aku mesti rasa marah sangat. Ditambah
pula dengan amarah dia yang melampau apabila aku ikut plan
along. Lagilah aku tak rasa nak tegur dia lagi.
“Melur, tak baik cakap macam tu. Mak kenal anak
saudara mak ni macam mana orangnya. Mak tahu dia baik.
Dari kecil lagi dia memang anak yang baik. Nakal-nakal sikit tu
adatlah, orang lelaki. Tak nakal tu, pondanlah jawabnya.” Mak
aku membela Aizat. Aku menceber. Rambut panjang macam tu,
bukan pondan ke?
“Mak, kalau nakal sikit-sikit tak apa lagi. Dia ni bekas
pelajar kat sekolah budak-budak jahat. Kalau dah sampai ke
situ perginya, baik apa? Nakalnya sikit apa? Dekat pekan sehari
hari itu pun, bertempiaran lelaki tu lari disebabkan dia. Mesti
tu mangsa buli dia. Tengok along... habis lebam biru mata
dikerjakannya.” Aku menjelingnya.
Dia memandangku tajam. Nak marah. Tapi, ada aku
kisah? Ini soal masa depanku. Aku tak nak berkahwin dengan
dia. Mulut dia dahlah macam Puaka Niang Rapik! Perangai
lagilah berganda-ganda ‘rapik’nya! Asyik buat aku menangis
dan marah sahaja. Tak ada kerja lain sangat dah agaknya.
“Melur!” Abah menegur dengan suara yang naik satu
oktaf. Marah apabila Aizat aku kutuk.
Dah memang betul, kan? Dia belajar kat sekolah budak
jahat. Takkan aku nak cakap dia belajar dekat sekolah baik
pula? Tengoklah perangai dia sendiri macam mana? Tak pernah
nak bersopan denganku. Bercakap pula tidak pernah mahu
mengambil hatiku. Semuanya kasar!
“Melur! Along dengan kamu yang cari pasal. Bukan dia
nak tumbuk sesaja aje. Mak pun bersorak waktu dia tumbuk tu.
Mana nak tahu dia tumbuk along? Dah along pakai topeng. Lagi
satu, kes lelaki bertempiaran dulu... lelaki tu bukannya mangsa
buli Aizat tapi dia...”
“Mak de, sampai masa nanti saya beritahu dia.
Tolonglah mak de... biarlah dia nak fikir apa. Itu semua tak
penting.” Aizat memotong.
Mak menggeleng-gelengkan kepalanya. Wajah mak,
dapat aku lihat kesedihan. Aku tak berniat nak buat mak sedih.
Apa maksud mak? Lelaki itu siapa untuk dikaitkan dengan
Aizat?
“Mak pun tahu, kan. Melur tak suka langsung kat dia
ni.” Aku memandang ke arah Aizat.
Dia ternganga sedikit. Mukanya macam langsung
tak percaya yang aku benar-benar tak suka dia. Muka terkilan
agaknya. Entah? Biasanya aku tengok dia dengan satu reaksi
saja pada wajahnya iaitu ‘ada aku kisah?’
Ah! Tayanglah muka apa-apa pun. Ingat aku hairan?
Mentang-mentanglah kau dah tak ada rumah nak pergi,
tiba-tiba rumah ini jugak yang kau pilih. Mak saudara yang
lain berlambak, tapi rumah mak aku jugak kau nak tinggal.
Selama ini seronok sangat kau hidup kat bumi KL tu sampai
bertahun-tahun tak balik. Dah jadi anak teruna, mintak tinggal
serumah dengan anak dara macam aku. Ingat, muka dia tu aku
hairan sangat nak pandang? Huh!
“Melur tak ingin nak kahwin dengan dia. Dahlah
macam orang tak siap. Rambut panjang kalah samurai. Mulut
pulak jahat nak mampus.” Aku mengutuk seenak rasa. Ya, aku
tahu yang Aizat sudah kurang bercakap kasar denganku tapi...
entahlah. Aku tetap cari jalan nak bergaduh dengannya.
Mak pandang abah, abah pandang mak. Mereka
berdua menggeleng-gelengkan kepala. Mungkin geram dengan
kata-kataku agaknya. Dah memang betul kataku, tak mungkin
mereka nak menafikannya.
“Macamlah aku hadap sangat nak kahwin dengan kau.
Muka kau tu tak dapat aku beza dengan muka monyet belakang
rumah! Nyet lagi lawa. Dahlah banyak mulut. Sakit otak aku.
Nama pulak Melur. Klasik habis. Aku menikah dengan Jasmin
lagi baiklah!” jawabnya selamba lantas bersandar enak di kerusi
kayu sambil memejamkan matanya. Tak bersalah langsung rupa
yang dipamerkan. Huh! Boleh dia kutuk aku sampai macam tu
sekali?
Mendengar sahaja nama gadis lain selain namaku yang
disebutnya sudah cukup membuatkan hati aku menggelegak.
Wargh! Kenapa tiba-tiba aku rasa nak mengamuk? Siapa Jasmin
tu? Kekasih dia di KL sana ke? Aku lebih rela dia sebut nama
Leha berbanding Jasmin.
“Hei! Ingat saya nak kahwin dengan awak? Entah-entah
hari pertama nikah dengan awak, saya dah kena tetak! Bukan
boleh kira awak ni. Bekas budak sekolah jahat, kan?” Aku
menjerkah pula. Dia menjegilkan matanya.
“Melur!” mak dan abah bersuara serentak.
Kedua-duanya sudah hampir menjerit kerana marahkan aku.
Asyik-asyik aku aje yang kena tegur. Benci betul. Abah
dan mak sayang sangat pada dia. Budak jahat macam itu pun
mereka sayang lebih. Entah apa-apa. Mereka berterusan kata
dia baik. Baiklah sangat! Dengan aku, perangai singa bertanduk
sepuluh dia tu terserlah bukan main lagi.
“Ya...” Aku menunduk. Akur apabila melihat mata
abah semakin membuntang memberi amaran kepadaku supaya
menjaga nada apabila bercakap dengan Aizat.
“Orang kampung kita dah mengata sakan. Kita ni
duduk dekat kampung aje. Bukan dekat bandar sana. Mulut
orang tu yang kita kena jaga. Takkan mak nak halau anak
saudara kesayangan mak ni. Dia tak ada rumah dah. Kat sini
aje tempatnya berteduh kasih. Lagipun ini memang rumah dia.
Kalau ikutkan, kita yang menumpang sekarang ni.
Dulu sebelum dia balik ke sini, Melur sendiri pun
setuju nak nikah dengan dia. Bila dia dah balik ni ha, Melur
tak nak pulak. Bertekak aje dua puluh empat jam. Dulu kata
sanggup aje nak dijodohkan dengan dia.” Mak bersuara.
Mak mengungkit! Itu dulu... itu pun sebab dah puas
kena paksa!
“Mak, Melur setuju dulu sebab Melur tak tahu lagi
orangnya macam mana. Siapa yang tak nak kahwin dengan
lelaki yang kononnya handsome, baik... rajin macam mak
cerita tu? Mana nak sangka, realitinya macam ini. Muka dahlah
macam pailang aje, siapa berani nak menikah dengan dia?” Aku
menceber lagi.
Kali ini Aizat ketawa. Kali pertama aku lihat dia ketawa
besar. Telan liur jugalah aku walaupun malu nak mengaku.
Mata sepetnya bertambah sepet. Kacak!
“Apa gelak-gelak?” Aku menjerkah. Dia berhenti gelak.
Terus mukanya serius memandangku.
“Mak, Melur tak nak kahwin dengan lelaki badan
keding macam ni. Melur nak lelaki macam Aaron Aziz. Sedap
bawak tidur.” Aku gigit tepi bibir.
Pukkk! Mak aku mencampakkan kusyen tepat ke
mukaku tanpa aku sempat mengelak.
“Memang dah patut kahwin pun. Gatal! Tak malu!”
mak mengamuk.
Abah dan Aizat tergelak besar lagi sekali. Terhinggut
bahunya akibat ketawa melampau. Subhanallah. Terpukau!
Terpukau! Inilah agaknya sebab dia payah nak ketawa. Kerana,
sekali dia ketawa, boleh sejuk hati yang sedang membara.
“Mak! Orang tak nak kahwin dengan lelaki badan
keding macam dia.” Aku mengulanginya sambil menjeling si
samurai tiga ratus enam puluh darjah.
“Kedinglah sedap. Nanti aku buktikan. Tapi kenalah
nikah dengan aku dulu.” Dia berkata sambil menayang muka
kereknya.
Aku pandang mak. Mak dan abah tergelak suka. Cis!
“Mak tengoklah dia ni! Gatal!” Aku membentak.
“Mak kau dah jenuh tengok muka aku.” Dia berkata
dengan muka tak bersalah.
“Mak!!!” Aku membentak lagi. Mak dan abah ketawa
terkekeh-kekeh pula.
“Kahwin ajelah Melur.” Along yang baru keluar dari
biliknya menyampuk.
Along ni... mentang-mentanglah baru balik dari KL,
tak tahu cerita apa-apa mengenai aku dan Aizat, terus sahaja dia
mengarah supaya aku berkahwin dengan Aizat. Dia pulak boleh
relaks je biarpun ditumbuk sampai lebam oleh Aizat? Tahulah
dia selalu lepak dengan Aizat sepanjang mereka di KL. Tapi...
humph! Dia tak tahu apa yang si samurai tu dah buat kepada
aku!
Si samurai tu dah jatuhkan aku dari buaian,
mengejek-ejek aku sampai aku menangis dan dia jugak lelaki
yang buat aku jatuh pokok sampai terseliuh pinggang! Si
samurai ni dah banyak buat hidup aku menderita dengan
kata-kata pedasnya. Huh! Kalau dia tahu, tak ada chancelah si
samurai ni jadi sepupu kesayangan dia lagi.
“Tak apa, suruh dia yang buat keputusan. Melur ikut
aje. Melur yakin, dia pun tak ingin nak berkahwin dengan
Melur. Melur bukan bijak pandai pun. Dahlah comot. Nama
pulak Melur. Memang tak ada sesiapa pun nak. Lagipun, dia kan
dah ada Leha.” Aku berpeluk tubuh dan tergelak jahat. Barulah
kini aku bersyukur kerana dikurniakan nama yang klasik dan
otak yang kurang cerdas begini. Ada hikmah rupa-rupanya.
“Sedar pun kau yang kau tu buruk sebenarnya!”
kutuknya.
Heeee! Geram betul aku. Keluarga aku dah tergelak
sakan mendengarnya. Kalau aku yang kutuk dia macam tu,
tidak pula mak dan abah aku ketawa macam ni. Malah, aku
dimarahi mereka.
“Bisinglah awak!” jerkahku semula.
Aku tahu sangat, dia pun tak ingin nak berkahwin
dengan aku. Mana dia nak campak Leha yang selalu sangat
muncul kat depan rumah ni semenjak beberapa minggu yang
lalu? Dia pun macam ada hati kat Leha aje.
“Mak de, pak de, saya ni dah banyak sangat menyusahkan
mak de dengan pak de...” tak sempat dia menghabiskan
kata-katanya, aku terus menyampuk.
“Haaa! Sedar pun awak!” air mukanya berubah. Air
muka mak dan abah pula berubah bengis.
“Melur!” suara abah sudah naik satu oktaf.
Aku terdiam. Ketap bibir rapat-rapat. Takut nak
bersuara apabila suara abah dah naik tinggi. Along aku hanya
tergelak mengejek. Geram sungguh aku. Bila aku sebut macam
tu, reaksi mak abah macam bumi ni nak terbelah dua pulak
dah.
“Tak apa pak de, saya setuju nak kahwin dengan dia.
Biar saya ajar dia cara nak respect orang.” Dia tersenyum
senget. Aku rasa terhenyak. Muka dia nampak jahat... macam
Joker! Silap mulut dia tak sampai ke pipi saja. Aku dah cari
nahas nampaknya.
“Makkk....” aku mencemik. Nak menangis.
“Dah dua-dua setuju, berlangsung ajelah kita.” Mak
tersengih.
Aku rasa nak menangis sangat. Tak bercakap langsung
pun kena kahwin juga. Setuju? Bila masa aku kata setuju? Huh!
“Settle masalah.” Abah dan abang long bersorak.
Aku pandang Aizat, dia sedang tenung aku tadi tapi
dia alihkan pandangannya. Huh! Takut dengan renungan maut
akulah tu.
“Mak! Kenapa tak kahwinkan dia dengan orang lain?
Kenapa mesti Melur?” aku memprotes.
“Habis siapa lagi anak dara mak kat rumah ni? Abang
Din?” soal mak aku sinis.
Along dan Aizat tergelak kuat. Mengejek. Mak ni, tak
teragak nak cakap Abang Din tu anak dara. Sudahlah badan
abangku yang satu itu katangnya bukan main.
“KENAPA AWAK setuju nak nikah dengan saya?” aku
menyoalnya tidak puas hati.
Dia buat tak tahu sahaja. Memang dari dulu lagi
riaknya toya begitu. Huh! Menguji kesabaran sungguh setiap
kali tengok muka tak bersalah dia. Macam manalah hidup aku
lepas ni kalau hari-hari menghadap muka satu riak dia ini saja.
“Saja, aku nak ajar kau.” Dia menjelingku selamba.
“Dah tak ada cara lain nak ajar saya?” aku menyoal.
Dia masih lagi setia dengan muka satu pesennya
tu. Langsung tak terkesan dengan amarah aku. Aku hanya
membuntuti langkah dia ke dapur. Dia menuang air ke dalam
gelas lantas diminum. Naik turun halkumnya. Gulp.
Tuala putih yang tersangkut di bahunya aku pandang.
Dia nak mandi ke? Mungkin kut. Dia ni memang rajin mandi.
Tiga kali sehari. Aku pun mandi dua kali aje sehari. Huh! Malu
pula rasanya.
“Ada, lepas kahwin dengan kau, aku madukan kau.
Leha ada.” Dia berkata selamba.
Aku mula mencebik-cebik. Tak kahwin pun lagi, dia
dah cakap pasal madu? Leha pula tu. Bukannya lawa pun.
Sudahlah tak ada tulang. Humph!
“Eleh macamlah mampu.” Aku mencemik. Cuba
memujuk hati agar tidak terpengaruh dengan kata-katanya.
“Jangan selalu pandang rendah pada orang. Jangan
nak pandang orang tak guna mata. Kalau aku cakap yang aku
mampu pun kau takkan percaya.” Dia berkata selamba.
“Dah memang.” Aku mencemik lagi. Tiba-tiba tuala di
bahunya dia letakkan ke bahuku.
“Sedangkan dekat KL pun aku boleh buat dua tiga
kerja sehari nak beli apa yang aku nak, inikan pula nak beristeri
dua.” Dia menjawab dengan nada sinis.
Aku terdiam. Rasa macam diketuk berkali-kali dekat
kepala. Jadi, betullah ni, dia nak madukan aku? Bencinya!
Bajunya ditanggal di hadapanku. Bulat mataku! Bulat sangat.
Badan keding... tapi... wargh! Kenapa aku tak putus-putus
tengok badan dia ni? Kenapa tak boleh nak alih biji mata ni?
“Apa pandang-pandang?” dia menyoalku. Terus aku
alihkan biji mata aku.
“Aku bagi towel tu suruh kau tutup mata kau.”
Dia merampas semula tuala dari bahuku sebelum kembali
menyidainya ke bahu dan berlalu ke tandas.
Aku nak cakap sesuatu dengan dia tadi, kan? Kenapa
aku dah lupa apa yang aku nak cakap? Arghh! Aku dah nyanyuk
sekarang. Dan... kenapa aku boleh berselera nak tengok badan
dia sedangkan abang-abang aku sering ke hulu ke hilir dalam
keadaan macam tu? Kenapa pula keadaan sekarang berbeza?
Sebab dia sepupu aku ke? Atau disebabkan dia bakal suami aku?
Euw!
Heee... aku benci kau, Aizat! Sebab kau selalu buat
nafas aku tersekat. Aizat gila!

No comments:

Post a Comment