DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 24 May 2016

Kerana Aku Untukmu - Bab 3

Nafas dilepas panjang. Anak mata pula masih
liar mencari sesuatu di lantai ruang lobi. Aduhai, mana pulak
tercicir ni? Seingatnya dia memang sudah menggenggam erat
not sepuluh ringgit ketika menaiki lif tadi. Dan sekarang agak
aneh kerana duit yang dibawa untuk membungkus makanan
tengah hari sudah lesap dari tangan. Pelik!
Zenia mendengus perlahan. Mata mengerling pula ke
arah lif yang agak sibuk pada waktu-waktu tengah hari begini.
Buang masa sungguh, takkanlah dia nak naik ke tingkat 20
semula untuk mengambil wang lain? Dua kali kerja!
“Zenia, what are you looking for?”
Suara garau yang menyapa membuatkan Zenia
tersentak. Segera dia menoleh ke belakang untuk mencari
empunya suara. Dan ketika mata melekat kepada Darriz Imdad
yang berdiri di sisi Tuan Halim, serta-merta dada disapa debar.
Tidak menduga dia disapa oleh CFO baru syarikatnya yang
kebelakangan ini begitu popular dalam kalangan gadis-gadis di
bangunan mereka.
“Good afternoon Encik Darriz.” Bibir mengukir
senyuman kelat. Sempat juga dia menyapa Tuan Halim yang
boleh dianggap sebagai senior di Palaco Group Berhad kerana
sudah berbelas tahun berkhidmat dengan cemerlang.
“You look weird, you cari apa Zenia?” Soal Darriz
Imdad. Ketika keluar dari perut lif sebentar tadi, dia dapat
melihat dengan jelas Zenia seperti tercari-cari sesuatu di ruang
ini.
Sekali lagi Zenia tersengih kelat. Otak tidak berjumpa
pula alasan yang lebih baik untuk berbohong.
“Nothing Encik Darriz. Actually I tengah tunggu
kawan I nak pergi lunch.”
Seketika Darriz Imdad merenung wajah Zenia yang
kelihatan sedikit tidak selesa. Mungkin pertemuan yang bukan
atas dasar kerja membuatkan gadis itu membina jurang yang
lebih luas antara mereka berdua.
“Hmm… why don’t you join us? Lagipun I lunch
berdua dengan Tuan Halim saja.”
Terkejut Zenia dengan pelawaan yang tidak diduga itu.
Dia mengangkat muka, melagakan pandangan dengan Darriz
Imdad yang sedang mempamerkan senyuman kecil. Anak mata
segera dilarikan tatkala dada disapa debar yang entah kenapa.
Walaupun Tuan Halim turut mempelawa sama, namun
hati tetap juga tidak selesa. Nanti apa pula kata kakitangan lain
kalau melihat dia keluar makan bersama orang-orang ‘besar’
ini. Lagipun jawatan yang dia sandang hanyalah sebagai Senior
Executive, mana mungkin layak duduk semeja dengan CFO
seperti Darriz Imdad dan Region Controller seperti Tuan Halim.
Dia diibaratkan seperti semut merah di sisi gajah-gajah yang
gagah. Tak sesuai!
“Thanks Encik Darriz. But I’ve already made plans.”
Hati Darriz Imdad berubah hampa. Dia benar-benar
berharap Zenia sudi menerima pelawaannya, namun jawapan
gadis ini jelas berbeza.
“You lunch dengan kawan you?”
Zenia mengangguk tanda mengiakan. Berbohong lagi.
“Then kita ajak dia sekali.” Putus Darriz Imdad tidak
mahu mengalah.
“Lagipun ada something yang I nak tanya tentang
Trade Facilities Report yang Amira e-mel pada I semalam.”
“Oh, tapi itu Puan Amira yang e-mel kepada Encik
Darriz, kan? I rasa better Encik Darriz bincang direct dengan
dia.”
“But report tu you yang compiled, kan?”
“Yes. Tapi Puan Amira…”
“I tunggu you dekat kafe depan tu.” Sampuk Darriz
Imdad.
Zenia terpempan. Seketika pandangan bersatu dengan
renungan redup lelaki muda penuh karisma ini. Dia tidak faham
mengapa Darriz Imdad bersungguh benar mahu berbincang
mengenai laporan tersebut dengannya. Kalau Puan Amira tahu,
pasti ketuanya itu berkecil hati.
“Encik Darriz I…”
“See you there, Zenia. Don’t be late”
Tanpa sempat Zenia menyambung penolakan, lelaki itu
terus beredar bersama Tuan Halim. Bibir digigit rapat. Apa yang
perlu dia lakukan sekarang? Takkanlah dia mahu berdolak-dalik
dengan lelaki yang jelas punya pengaruh besar terhadap
kerjayanya di sini. Kalau kena anti dengan bos sendiri macam
mana? Memang penuh pasirlah dalam periuk nasi dia nanti.
“Err… mana Tuan Halim?” Soal Zenia apabila melihat meja
makan yang diduduki Darriz Imdad sepi tidak berteman.
Kemudian mata liar pula memerhati ruang kafe yang
agak sibuk itu. Tercari-cari kelibat Tuan Halim yang lesap entah
ke mana. Aduhai, takkan dia kena makan berdua dengan Mr.
CFO ni?
“Have a sit please.” Pelawa Darriz Imdad dengan riak
tenang.
Hati bersorak riang ketika melihat Zenia muncul di
hadapan mata. Kemudian bibir menguntum senyuman apabila
Zenia akur mengambil tempat di kerusi bertentangan.
“Tuan Halim mana, Encik Darriz?”
“He just left. Ada urgent call daripada wife dia.”
Zenia menelan liur. Kebetulan apakah ini? Sungguh!
Dia memang tidak selesa mahu duduk berdua-duaan begini
dengan Darriz Imdad. Lagipun dia perasan ada beberapa pasang
mata begitu galak menjeling dan memerhati. Confirm dia kena
gosip nanti!
“Encik Darriz, boleh tak kita discuss after lunch?”
Darriz Imdad yang sedang membelek menu,
mengangkat muka. Mempamerkan segaris senyuman kecil.
“Sure. You pilih meals you, lepas makan nanti kita
discuss.”
“No, bukan tu maksud I.” Balas Zenia bersungguh.
Melihat lelaki itu memandang tepat kepadanya, dia menunduk
sedikit.
“Maksud I, boleh kita discuss dekat pejabat?”
Kening Darriz Imdad berkerut apabila melihat reaksi
Zenia. Sedikit sebanyak hati tergores juga dengan sikap gadis
itu yang jelas seperti tidak sudi menemani dia di sini.
“Why? Do I make you uncomfortable?”
Perlahan Zenia menggeleng dengan senyuman
tawar di bibir. Bimbang juga kalau Mr. CFO ini berkecil hati
atau marah, silap-silap dia diisytiharkan sebagai musuh pula.
Memang kelamlah masa depan dia di Palaco Group.
“Bukan sebab tu Encik Darriz, tapi situasi ni yang buat
I kurang selesa.” Luah Zenia berterus terang.
“I rasa kekok sikit, dan I tak nak orang tersalah anggap
bila nampak kita berdua kat sini.”
“Hmm… then where is your friend?”
Terperangkap Zenia dengan soalan itu. Awalnya tadi
memang dia berbohong yang dia sedang menunggu teman di
lobi. Dan kalau dia tahu Tuan Halim sudah beredar, memang
pasti dia tidak akan datang ke sini menunjuk muka seorang diri.
“Kawan I pun ada hal lain, tak dapat nak join sekali.”
“Well, it’s called fate.” Balas Darriz Imdad dengan
senyuman bersahaja.
“Hari ini memang dah tertulis yang kita akan lunch
berdua kat sini. Don’t worry Zenia, pilih makanan you.”
Walaupun berat hati, Zenia terpaksa akur dan
menurut. Kalau dikirakan rasa segan dengan mata-mata yang
memandang, dia seperti mahu menyorok di bawah meja.
Bukan dia tidak tahu yang kebanyakan hati manusia
begitu mudah membuat kesimpulan. Dan segelintir daripadanya
memang gemar menjaja kisah hangat begini kepada orang lain.
CFO ada skandal dengan isteri orang, hebat bunyinya bukan?
Nauzubillah, semoga dia dijauhkan daripada segala fitnah dunia.
Setelah membuat pesanan, Zenia lebih banyak
mendiamkan diri. Dia lihat Darriz Imdad begitu leka membelek
Blackberry di tangan. Dan kesempatan ini diambil olehnya
untuk mengamati penampilan lelaki itu yang sentiasa kemas
dan segak. Malahan ketampanan Darriz Imdad mula menjadi
bualan hangat rakan-rakan sepejabat mereka.
Mata menyorot kepada kuku berbentuk gelas yang
begitu rapi terbentuk di jemari panjang itu. Entah kenapa sejak
dulu dia gemar membuat penilaian berdasarkan kebersihan
kuku seseorang. Jika kuku itu kelihatan bersih, terjaga rapi,
pasti saja empunya diri bijak menguruskan diri.
Dan melihat kuku Darriz Imdad yang rapi, rambut
tersisir kemas dan wajah yang bersih, hati memang yakin yang
lelaki ini tergolong dalam golongan lelaki metro seksual. Lelaki
urban yang sangat mementingkan kecantikan dan penampilan
diri agar kelihatan serba sempurna.
Mata melirik pula pada jam tangan berjenama Tag
Heuer yang pasti harganya mencecah puluhan ribu ringgit.
Sut berwarna kelabu yang dipakai mungkin berjenama mewah
seperti Lord’s Tailor yang amat terkenal itu. Lihat saja jahitan
yang kemas dan material fabrik yang tampak mahal, memang
sesuai benar dengan pangkat besar yang disandang oleh Darriz
Imdad.
Pada usia semuda 31 tahun, lelaki itu sudah melalui
pencapaian yang amat membanggakan. Berada pada kedudukan
tinggi dan hidup dibaluti kemewahan dari hujung rambut ke
hujung kaki, pasti ramai gadis yang mahu mendampingi
lelaki sehebat ini. Tapi daripada apa yang dia dengar daripada
Nadzirah, CFO mereka ini masih bujang dan belum berkahwin.
Mungkin terlalu memilih calon isteri.
Dan kerana status single itu jugalah saham Darriz
Imdad mencanak naik dan sering menjadi perhatian staf-staf
wanita di syarikat mereka. Masing-masing memasang angan
untuk mendekati CFO muda penuh gaya ini. Namun jelas pada
pengamatannya, Darriz Imdad begitu mahal dan tidak mudah
didekati oleh sembarangan perempuan.
“Is there something wrong with me?”
Renungan Zenia kaku sesaat, kemudian segera
dilarikan ke tengah meja. Seram sejuk kerana tertangkap ketika
begitu asyik meneliti fizikal lelaki di hadapannya ini. Anak mata
melirik ke atas, dan kini pandangan kembali bertentang dengan
Darriz Imdad. Segera senyuman tawar terukir di bibir.
“Err… no Encik Darriz.”
Darriz Imdad tersenyum kecil. Bukan dia tidak tahu
yang sejak tadi Zenia begitu ralit merenungnya. Dia tidak
marah, sebaliknya hati berbunga ceria kerana sedikit sebanyak
Zenia ada juga menunjukkan minat untuk memandangnya.
“So, dah berapa lama you kerja dengan Palaco Group?”
“Almost two years Encik Darriz.”
“You berpuas hati dengan benefits company kita?”
Zenia tersenyum seraya mengangguk. Mata
memandang pula jemari Darriz Imdad yang lincah mengoyak
satu sachet gula halus sebelum dimasukkan ke dalam secawan
kopi panas.
“Alhamdulillah, so far I selesa bekerja dekat sini.
Benefits pun bagus Encik Darriz.”
“Good, then I percaya you akan bekerja lebih lama kat
sini, kan?”
“Insya-Allah.” Balas Zenia dengan senyuman
dibuat-buat. Sukar untuk dia mengikis perasaan kekok yang
masih terasa di hati.
“You look beautiful when you smile…”
Jantung Zenia bagaikan terkena renjatan elektrik
apabila pujian lembut itu singgah di telinga. Apa niat Darriz
Imdad memuji-muji? Agak aneh apabila hubungan antara
majikan dan pekerja bawahan diselang-seli dengan pujian
sebegitu.
Hati mula berasa tidak enak. Bimbang jika Darriz
Imdad ada agenda lain di sebalik pertemuan ini. Siapa tahu
lelaki ini mungkin player besar di Malaysia!
“Sorry, don’t get me wrong Zenia.” Luah Darriz Imdad
dengan helaan nafas kecil. Hakikat sebenar, dia sendiri tidak
menduga bibir sudah terlepas kata. Pujian itu seharusnya
diluahkan di dalam hati, bukan terus ke telinga Zenia.
“Err… boleh kita makan sekarang Encik Darriz?”
“Yeah, sure. Enjoy your meal.” Balas Darriz Imdad
dengan senyuman kelat setelah pelayan meletakkan makanan
yang dipesan.
Beberapa minit mereka sepi menikmati hidangan di
atas meja. Sesekali mata mengerling juga kepada Zenia yang
lebih banyak menunduk dan kelihatan agak kekok.
“Zenia…”
“Yes, Encik Darriz.”
Darriz Imdad menarik nafas panjang tatkala pandangan
mereka saling bertentang. Semakin lama semakin jelas getaran
di dada yang terusik penuh teruja. Gagal untuk dia menolak
yang tarikan Zenia begitu kuat. Memang aneh kerana mereka
baru saja bertemu dan hatinya sudah pandai mahu meragam
begini.
“Actually ada something yang I nak pastikan daripada
you.”
“Apa maksud Encik Darriz?” Kening Zenia berkerut
tanda tidak faham.
“Well, I tahu I masih baru dalam syarikat ni. Tapi I tak
buta untuk melihat kredibiliti seseorang yang bekerja dengan
I.” Balas Darriz Imdad seraya mencapai napkin dan mengelap
bibirnya. Pinggan yang telah kosong ditolak sedikit ke tengah
meja.
“Sorry Encik Darriz, I tak faham.”
“Zenia, I tahu you yang banyak cover kerja Amira
selama ni. Walaupun tak ada sesiapa beritahu I, tapi I boleh nilai
semua tu sendiri.”
Tersentak hati Zenia dengan apa yang diluahkan oleh
bos besarnya itu. Liur ditelan terasa kesat. Pantas pandangan
dilarikan ke pinggan sendiri yang masih berbaki dengan separuh
spageti. Walaupun ada sedikit kebenaran dalam kata-kata yang
disampaikan, namun dia tetap berasa tidak elok untuk lelaki itu
mengadili ketua jabatannya dalam masa sesingkat ini.
“I rasa Encik Darriz dah tersalah sangka. Puan Amira
bagus dengan kerja dia, dan sebagai ketua dia berjaya guide dan
pimpin kami semua. Lagipun dia dah lama kerja dekat sini, dah
banyak pengalaman yang dia share dengan orang bawahan dia.
She’s a very nice person.”
“Yeah, I know she’s a nice person. Tapi dia share
pengalaman atau share workload dia, Zenia?” Tingkah Darriz
Imdad masih tenang.
“I dah check job description Amira, tapi apa yang I
nampak semua task tu you yang buat. Why? Did she promise
something to you?”
Perlahan Zenia menggelengkan kepala tanda
menafikan. Dia tidak dijanjikan sebarang ganjaran setiap kali
dia membantu Puan Amira menyiapkan kerja. Dan dia tidak
mengharapkan apa-apa sebagai balasan.
“Apa yang I buat selama ni memang sebahagian
daripada job scope I Encik Darriz. Dan rasanya tak salah kalau I
tolong bos I bila dia perlukan bantuan.”
“Jadi you memang boleh buat kerja dia, kan? Maksud I
semua kerja dia?”
“Tak semua Encik Darriz. Yang simple dan senang saja
I boleh buat.”
Darriz Imdad tergelak kecil. Kepala digelengkan
beberapa kali.
“You’re too humble, Zenia. Semua report, presentation
material, semua tu you yang buat, kan? In fact I dengar cerita
you sendiri yang deal dengan all bankers. And then monitor
cash flow forecasts and trade performance portfolios are not
your job. It’s her job, Zenia. Kenapa Amira tak buat semua tu?”
Zenia menarik nafas panjang. Perasaan di dada mula
berputik dengan rasa kurang senang. Dia mula memandang
Darriz Imdad sebagai seorang ketua yang suka mencari salah
dan silap pekerja bawahannya. Nampaknya sang harimau sudah
mula menunjukkan taring yang disembunyikan selama ini.
“I tak kisah Encik Darriz, sebab I rasa I mampu bantu
Puan Amira. Lagipun dia sibuk dengan kerja-kerja lain yang
lebih penting.”
“Mungkin you tak kisah, but it’s my job to care. I tak
mahu company ni hire pekerja yang bersikap lepas tangan, lari
daripada tanggungjawab dan campakkan segala kerja kepada
orang bawahan dia. It just not right, Zenia.”
“Encik Darriz terlalu cepat menilai orang lain.”
“Oh, really?” Darriz Imdad tersenyum kecil. Hati
tercuit dengan riak wajah Zenia yang berubah sedikit keruh.
“I tak judged orang dengan perasaan, Zenia. Tapi
dengan fakta, dengan apa yang I lihat dengan mata kepala I
sendiri. You fikir kalau I panggil Amira dan bagi soalan yang
sama macam I tanyakan pada you dalam meeting dulu, you rasa
dia boleh jawab?”
Mendengarkan pertanyaan berbaur sinis itu, Zenia
membuang pandangan ke sisi. Memang benar apa yang
diluahkan oleh Darriz Imdad itu, namun dia yakin Puan Amira
pasti saja ada alasan yang tersendiri.
“Encik Darriz, for your information Puan Amira
baru saja ditukarkan ke department kami setahun yang lalu.
I’m pretty sure banyak yang dia perlu catch up dari semasa ke
semasa. Just give her some time.”
“Setahun, bukan sebulan Zenia. Dalam kedudukan
setinggi itu, I tak expect dia perlukan lima tahun untuk expert
tentang selok-belok Treasury.”
“Encik Darriz, ini hal antara Encik Darriz dan Puan
Amira. Don’t drag me into this, I tak nak masuk campur. After
all Encik Darriz big boss, kan? Encik Darriz lebih layak bercakap
hal macam ni dengan Puan Amira sendiri.” Luah Zenia kurang
senang.
Gelas tinggi berisi air kosong dicapai dan diteguk
sehingga habis. Dia tidak mahu berlama-lama dengan lelaki
seorang ini, rimas mendengar pendirian tegas Darriz Imdad.
“Yeah, I will someday.”
“Thanks for the delighful lunch treat Encik Darriz.
I naik atas dulu.” Ucap Zenia seraya menolak kerusi untuk
bangun. Namun pergerakannya kaku apabila Darriz Imdad
memberi isyarat tanda menegah. Pandangan mereka bersatu
seketika.
“I akan suruh HR teliti balik position you dan Amira.
They need to hire the right people for the right positions. I tak
suka orang makan gaji buta dan curi tulang. Kenapa syarikat
perlu rugi beribu-ribu ringgit untuk membayar salary pekerja
yang malas?”
Zenia sekadar mengangguk tanda tidak mahu
membantah. Kalau diikutkan hati, mahu saja dia berhujah
panjang lebar. Namun dia harus mengerti yang tugas Darriz
Imdad sebagai Chief Financial Officer menuntut lelaki itu
untuk meneliti setiap sen aliran wang yang keluar dari akaun
syarikat mereka.
“Thanks Encik Darriz. Tapi I nak inform awal-awal yang
I tak perlukan position Puan Amira, sebab I tahu yang I belum
layak lagi.” Ujarnya dengan senyuman kelat di bibir. Blaus di
tubuh dibetulkan tatkala dia sudah tegak berdiri menghadap
Darriz Imdad.
“I minta diri dulu, thanks again Encik Darriz.”
“But Zenia…” Darriz Imdad mengetap bibir dengan
perasaan serba salah. Kepala didongakkan, memandang wajah
mulus gadis itu yang sedikit kehairanan.
“Ada apa Encik Darriz?”
“Hmm… when can we enjoy our lunch together
again?”
Air muka Zenia sedikit berubah. Agak terkejut dengan
permintaan bos besarnya yang tidak diduga itu. Bibir kemudian
mengorak senyuman pahit, gagal menutup perasaan kurang
senang yang menyentuh hati.
“Maaf Encik Darriz. Anything Encik Darriz nak discuss
dengan I, I prefer kita discuss di office saja. Sorry, I got to go.”
Darriz Imdad menghela nafas panjang apabila Zenia
beredar tanpa sedikit pun berpaling. Sebagai seorang lelaki yang
sering menjadi perhatian wanita, nalurinya sedikit terkesan
dengan sikap acuh tidak acuh yang ditunjukkan oleh Zenia.
Jelas sekali Zenia berbeza daripada gadis-gadis yang pernah dia
kenali sebelum ini.
Sebentar tadi dia bukan sekadar menawarkan peluang
makan tengah hari bersama, malahan dia juga cuba memberi
jaminan kenaikan pangkat yang bersesuaian dengan kerja
keras Zenia. Namun jelas sekali Zenia tidak mudah dibeli
dengan tawaran-tawaran menarik begitu. Hati Zenia masih
kukuh memegang prinsip dan tidak mudah dikaburi dengan
peluang-peluang yang datang bergolek. Impressive!
Dan malangnya kini perasaan di dada kian tertarik
kepada gadis itu. Zenia berbeza pada pandangan mata, dan
personaliti yang dipamerkan membuat hati kian teruja untuk
lebih mendekati. Tapi bagaimana mahu menjerat sang burung
yang tidak gemar memakan umpan? Jangankan menjamah,
memandang pun tidak mahu.
Oh well, dia seorang lelaki yang tidak pernah kenal
erti putus asa. Darriz Imdad yakin yang lambat-laun Zenia pasti
akan membuka jalan untuk dia terus menghampiri. Dia akan
pastikan semua itu terjadi.

No comments:

Post a Comment