DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 24 May 2016

Demi Bahagia Ini - Bab 17

KEESOKAN paginya, Iman Elena mengetuk
pintu bilik Qistina. Di tangannya, sehelai baju kurung moden
berwarna putih untuk dipadankan ke tubuh kecil Qistina.
Setelah pintu dibuka, Iman Elena pantas masuk dan memaksa
Qistina mencuba baju nikah yang telah ditempah Ian Iskandar
khas untuknya.
Qistina tergamam melihat kerja tangan yang begitu
halus dan indah di matanya.
“Ian tempah ni untuk Ina?” Tanyanya tidak percaya
sambil tangannya melurut-lurut di atas kain satin yang terasa
begitu lembut di kulitnya.
“Cantiknya baju ni, Iman… Jahitan manik-manik
kat baju ni begitu kemas… cepatnya siap!” Dalam hati Qistina
berterima kasih kepada si tukang jahit kerana kerja tangan yang
amat memuaskan hatinya.
Atas desakan Iman Elena, Qistina mencuba baju
pengantin yang bakal dikenakan hari Ahad ini. Cukup padan
dan sempurna di tubuhnya.
“Macam mana Ian tahu ukuran baju ni, Iman? Elokelok
je muat.”
Iman Elena masih membisu. Matanya tidak putus-putus
melihat Qistina yang begitu sempurna mengenakan persalinan
nikahnya. Walaupun tanpa solekan, Qistina kelihatan sangat
ayu dan jelita di matanya. Tidak sabar dia hendak melihat reaksi
Ian Iskandar ketika melihat Qistina mengenakan persalinan ini
nanti.
“Dia curi baju Ina untuk dapatkan ukuran.” Iman
Elena membocorkan rahsia Ian Iskandar, sambil tergelak kecil.
“Ina, hari ni mummy bagi cuti kat Ina. Ina ikut Iman
pergi shopping tau. Banyak barang yang kita nak kena beli ni…
Ina ikut, ya.”
“Tapi… Ian bagi ke Ina cuti?”
“Bagi… Iman dah tanya sejak semalam lagi, so tak
payah risau. Abang dah setuju nak jaga Daniel masa kita keluar
nanti. Sekarang jom turun breakfast dengan mummy. Lepas tu
dalam pukul 10.00 kita keluar.”
Sakan betul Iman Elena membeli-belah. Namun
kebanyakan barangan yang dibeli adalah untuk Qistina. Kasut,
untuk dipadankan dengan persalinan akad nikah nanti, beg
tangan, inai, alat-alat solek dan minyak wangi. Ketika Iman
Elena menarik tangan Qistina masuk ke dalam kedai yang
menjual pakaian dalam wanita, Qistina mula berasa segan.
Iman Elena meminta Qistina memilih beberapa helai gaun
tidur. Qistina agak keberatan pada mulanya. Bukannya dia
tidak biasa mengenakan gaun tidur yang jarang serta seksi
begitu. Memang itulah cara dia berpakaian untuk tidur ketika
bersendirian di rumah sewanya di London dulu, dan juga ketika
berada di rumah papanya di Kuala Lumpur.
Namun kali ini, dia tahu niat Iman Elena adalah untuk
dia mengenakan gaun tidur itu selepas berkahwin dengan Ian
Iskandar nanti. Dia malu. Sungguh malu. Iman Elena terpaksa
memujuk dan memujuk… Wajah Qistina yang kemerahan
menggambarkan yang gadis itu berasa malu dan segan dengan
gaun-gaun tidur yang telah dipilih Iman Elena untuknya.
Akhirnya, tanpa menanti kata persetujuan daripada Qistina,
Iman Elena terus membuat bayaran di kaunter. Beg plastik
diserahkan kepada Qistina.
“Ina, hati suami kena pandai jaga. Kita tak nak suami
kita tengok kat perempuan lain, kan? Jadi, isteri kena pandai
ambil hati suami dan salah satu caranya ialah sentiasa kelihatan
menggoda di mata suami kita. Hal-hal di dalam bilik tidur kena
jaga. Ina tak perlu rasa malu. Abang tu akan jadi suami Ina pun.
Semua pada Ina akan jadi halal pada mata abang nanti. Tiada
batasan antara suami isteri ni. Percayalah, okey.”
“Tapi Ina malulah, Iman. Selama ni, Ina tidur sorangsorang
je pakai gaun macam tu…”
“Mula-mula memanglah malu. Tapi, malam pertama
adalah malam yang akan kita kenang seumur hidup kita, tau.
Ina mesti nak malam tu malam yang istimewa, kan? Bukan
saja untuk Ina, tapi untuk suami jugak.” Tanpa segan silu Iman
Elena berkongsi ilmu rumah tangga serta pesanan dengan
Qistina.
Iman Elena menarik tangan Qistina masuk ke dalam
kafe Starbucks untuk berehat dan minum sebentar. Minuman
Mocca Frappuchino melegakan tekak yang panas serta
kekeringan.
“Iman tengok abang tu dah kemaruk sangat dengan
Ina. Iman tak pernah tengok abang macam ni…” Iman Elena
kembali bersuara selepas minuman diteguk sepuasnya.
“Ian dulu orangnya macam mana, Iman?” Qistina
ingin sangat mengenali diri Ian Iskandar sebelum dia bertemu
dengan lelaki itu.
“Abang ni dari dulu orangnya serius. Tegas.
Bertanggungjawab. Dialah yang menjaga mummy dan
Iman. Abang terpaksa menjadi dewasa pada umurnya baru
menjangkau sepuluh tahun. Masa tu mummy bercerai dengan
daddy. Ia bukannya mudah untuk kami. Sampailah abang
menjadi remaja dan kemudian dewasa, dia tak pernah bukakan
hati dia untuk mana-mana perempuan. Bukannya dia tak laku.
Berduyun-duyun perempuan cuba nak pikat dan goda dia.
Tapi dia tak pernah layan. Dia sentiasa cool je. Hati dia macam
tertutup.” Iman Elena melepaskan keluhan.
“Iman rasa mungkin abang takut nak jatuh cinta
sebab dia dan Iman sama-sama lihat depan mata kami sendiri
penderitaan yang mummy tanggung semasa bercerai dengan
daddy. Tapi Ina berjaya buka hati abang. Iman tak pernah
tengok abang macam ni.”
Qistina tekun mendengar kata-kata Iman Elena.
Sedih dia mendengar cerita tentang latar belakang kehidupan
keluarga Ian Iskandar.
“Kenapa mummy dan daddy bercerai, Iman?”
Iman Elena mengeluh. “Daddy seorang ahli perniagaan
yang sangat berjaya. Masa mula-mula kahwin dengan mummy
mereka bahagia. Sangat bahagia. Lepas tu daddy mula berubah.
Jarang balik rumah. Mula abaikan tanggungjawab pada
keluarga. Rupanya daddy ada perempuan lain. Dengan salah
seorang aktres terkenal pada masa tu. Daddy kahwin dengan
perempuan tu tanpa pengetahuan mummy. Rupanya, dah lama
daddy kahwin lain dan selama ni daddy tipu mummy! Tapi
daddy tak adil. Dia lebihkan famili baru dia, terutama sekali
anaknya dengan perempuan tu.” Suara Iman Elena melirih.
Tanpa disedari Qistina menggenggam tangan Iman Elena di
atas meja.
“Ina patut tengok keadaan abang masa tu. Lepas
mummy dapat tahu pasal daddy dan famili barunya, mummy
terseksa sangat. Abang pun suffered. Dia tak cakap pada Iman
tapi Iman rasa abang anggap dirinya seorang yang tak berguna
di mata daddy. Daddy lebih utamakan anak lelaki barunya
berbanding abang. Selepas mummy dan daddy bercerai, daddy
langsung tak kisahkan kita orang. Syukur mummy dapat banyak
haknya daripada daddy. Bolehlah kita orang hidup. Abang dan
Iman dapat study sampai ke UK.”
Mata Qistina mula berkaca tatkala Iman Elena
menceritakan kesengsaraan yang ditanggung Ian Iskandar
ketika usia yang masih boleh dianggap terlalu mentah. Seorang
kanak-kanak lelaki terpaksa membesar tanpa kasih sayang dan
perhatian daripada seorang bapa, yang lebih mengutamakan
seorang anak lelakinya yang lain.
“Kenapa mummy tak balik ke London lepas perceraian
tu?”
“Mummy masih bekerja kat kedutaan masa tu. Lagipun
mummy dah terlalu cintakan agama Islam dan nak abang serta
Iman sama-sama mendalami Islam. Mummy rasa kalau kami
pindah balik ke UK, abang dan Iman takkan praktikkan agama
Islam tu. Jadi dia terus tinggal di KL.”
“Iman tahu tak, banyak yang Ina tak tahu pasal Ian.
Dia langsung tak pernah ceritakan pasal ni pada Ina. Ina pun
tak tahu macam mana Ina boleh setuju nak kahwin dengan
dia. Atas dasar perasaan dan kata hati semata-mata…” Qistina
meluahkan kegelisahannya pada Iman Elena. Mengharapkan
pengertian bakal iparnya itu.
“Ina rasa macam ada banyak lagi yang Ian tak cerita
pada Ina.”
Iman Elena tersentak. Namun pantas menyembunyikan
riak wajahnya yang sedikit berubah sebentar tadi. Sememangnya
memang ada rahsia yang disimpan Ian Iskandar daripada gadis
ini. Tetapi biarlah Ian Iskandar sendiri yang mendedahkannya
nanti.
“Ina, kadang-kadang kalau perasaan kita dan hati kita
dah pasti, benda lain tu akan jadi kurang pentingnya…yang
penting, Ina kena sentiasa percayakan abang. Percaya apa yang
abang buat semuanya demi Ina. Takde orang lain di hati abang
melainkan Ina… ingat tu!”
Qistina memandang Iman Elena. Dia seolah-olah dapat
meneka yang Iman Elena sedang cuba perkatakan sesuatu
kepadanya.
“Apa maksud Iman?”
“Perkahwinan ni kena banyak give and take. Sebagai
seorang isteri, kita kena banyak bersabar, kadang-kadang
banyak yang kita terpaksa telan… tapi kita kena saling percayamempercayai,
selalu berkomunikasi dan kasih sayang tu
sentiasa kena pupuk. Kadang-kadang sesuatu akan terjadi tanpa
disedari atau tanpa kita sangka. Ina sentiasa kena bersedia
tentang segala kemungkinan…”
Qistina semakin keliru. Apakah maksud di sebalik
pesanan-pesanan Iman Elena itu?
“Ina ada buat solat istikharah?”
Qistina mengangguk.
“Ada mimpi abang?”
“Entahlah Iman. Mimpi tu tak berapa jelas tapi yang
jelas hati Ina… dan perasaan Ina pada Ian semakin hari semakin
kuat…”
Iman Elena tersenyum.
“Kadang-kadang tak semua solat istikharah ni akan
datang petunjuk melalui mimpi, kan? Kadang-kadang dari
dorongan hati kita sendiri…” Iman Elena perasan wajah Qistina
yang kini terlalu serius.
“Ina, dahlah… Iman yakin Ina dan abang akan bahagia.
Ina betul-betul cintakan abang? Sanggup buat apa saja untuk
dia?” Iman Elena sekadar menduga. Walhal jawapannya sudah
terang lagi bersuluh di hadapannya.
Qistina mengangguk laju. “Pelik, kan?”
“Apa yang peliknya?” Iman Elena tertawa kecil.
“Yalah… Ian tu kan majikan Ina. Lepas tu dia tu selalu
tegas je dengan Ina… selalu nak marah-marah je… tak sangka
dengan orang macam tu pun Ina boleh jatuh cinta,” Qistina dan
Iman Elena sama-sama ketawa.
“Betullah orang kata cinta tu buta…”
“Entah-entah abang tu asyik marah Ina sebab dia
cemburu kut. Cemburu kan Dr. Ilyas mungkin?” Iman Elena
meneka. Teringat dia segala cerita Puan Mariam kepadanya
melalui telefon saban hari.
“Hmmm… dengan Dr. Ilyas, Ina tahu Ian cemburu.
Tengok orang macam nak makan je…” Qistina tergelak
semula mengenangkan reaksi-reaksi Ian Iskandar ketika dia
menyangkakan Qistina menjalinkan hubungan dengan Dr. Ilyas
Khan. Diceritakan serba sedikit tentang kelakuan Ian Iskandar
kepada Iman Elena.
Hampir dua jam mereka berbual dan beramah mesra.
Mereka begitu selesa bersama. Iman Elena yang tidak pernah
mempunyai sama ada adik perempuan ataupun seorang kakak,
menyenangi peribadi Qistina dan mula menyayangi gadis itu.
Gadis yang kini bertakhta di hati abang kembarnya. Qistina
begitu merendah diri dan begitu menghormati dirinya. Sukar
untuk dipercayai yang gadis ini dibesarkan dengan harta yang
melimpah ruah dan segala kemewahan hidup oleh papa dan
mamanya, kerana tiada secalit kesombongan pun yang melekat
pada hatinya.
Padanlah abangnya tergesa-gesa mahu menikahi
Qistina. Tidak mahu gadis itu jatuh ke tangan orang lain, apatah
lagi setelah mendapat tahu sebab utama mengapa Qistina
terpaksa meninggalkan negara kelahirannya. Iman Elena tahu
Ian Iskandar tidak sabar menantikan hari Ahad ini. Apa pun
akan jadi selepas itu, Qistina telah pun menjadi miliknya.

No comments:

Post a Comment