DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 25 May 2016

Samurai - Bab 7

IJAI datang ke rumah aku pada hari ini. Seperti
biasalah, kami melepak di pangkin di halaman rumahku.
Berbual sakanlah aku dengan dia. Sahabatku ini banyak
mulut. Macam-macam cerita yang dia kongsikan dengan aku.
Kadangkala keluar perangai tiga sukunya, sampai lelah aku
gelak. Dia memang kelakar.
“Aku rasa kan, tiap-tiap petang aku nak datang
melepak kat sinilah. Memandangkan kau dah ada skandal baru
sekarang, aku rasa tak ada masalah kalau aku melepak kat sini.”
Ijai berkata selamba. Kesian dia. Dulu dia dituduh mencurangi
Nora. Menangis-nangis Nora cari aku. Mujurlah aku ni jenis
yang pandai pujuk.
“Skandal baru?” terkejut aku. Sejak bila pulak aku ada
skandal baru? Aaron Aziz ke?
“Sepupu kau itulah.” Dia memuncungkan mulutnya
ke arah Aizat yang sedang membaiki basikal usang mak.
Aku mencemik spontan. Kalau Aaron Aziz berusia
lapan puluh tahun nanti pun aku yakin yang si samurai tu
takkan berjaya menyaingi auranya.
“Heeee. Tak rela.” Aku tayang muka meluat. Lagi
bagus kalau Aizat nampak. Biar dia tahu yang aku tak teringin
langsung nak dikaitkan dengan dia.
“Asal pulak tak rela? Dia handsome apa? Dah kecoh
satu kampung yang kau dengan dia digosipkan bersama. Tak
adalah aku kena gosip lagi dengan kau.” Jawab Ijai selamba.
Handsome kata Ijai? Ah! Seribu kali kacak pun kalau
perangai buruk buat apa?
“Handsome apa dengan rambut panjang macam tu?
Ah! Aku rela kena gosip dengan kau dari digosipkan dengan
lelaki gila tak ada adab tu.” Aku jawab jujur. Sakit hati apabila
teringatkan perangai setan Aizat.
“Nanti jadi suami kau jugak...” Ijai berkata selamba.
“Aku akan pastikan yang aku berkahwin dengan lelaki
setaraf Aaron Aziz.” Kataku yakin. Ijai tergelak besar.
“Melur, jangan terasa ye. Kau tak layak, tahu?” selamba
dia berkata.
Hesy... memang ada chance kena goreng kat sini
karang dengan aku. Berani dia cakap macam tu?
“Kau tengok ajelah nanti. Jangan menangis okey bila
aku menikah dengan lelaki handsome dan katang.” Aku masih
yakin dengan kata-kataku.
“Kau tengok aku, ada termasuk tak dalam kategori
handsome dan katang?” soal Ijai.
Aku angguk berkali-kali. Saja nak jaga hati kawan
baikku. Padahal, kenyataannya buruk sekali.
Gedegang!!!
Aku dan Ijai sama-sama berpaling ke arah bunyi
itu. Aizat bercekak pinggang menghadap basikal yang sudah
terbaring di atas tanah. Aku dapat melihat wajah cemberut
Aizat. Macam nak makan basikal itu saja gayanya.
“Kau ni, menyusahkan aku betul! Menyakitkan hati
aku! Pedihkan biji mata aku aje! Dahlah rupa tu buruk!” Aizat
menyepak-nyepak basikal yang dibaikinya.
Aku pandang Ijai, Ijai pandang aku semula. Dia
terlopong.
Aik, pelik? Angin tak ada, ribut tak ada. Sedar-sedar
dah mengamuk. Angin apa yang dah serang dia tu?
“Aku terasa hatilah. Rasa macam dia cakap kat aku
aje.” Bisik Ijai ke telingaku. Mungkin dia takut dengan amarah
Aizat agaknya. Muka Aizat nampak bengis sungguh.
“Kenapa dia nak cakap kat kau pulak?” bisikku semula.
Aku tak faham kenapa mesti Ijai berkata begitu. Tak
ada tujuan Aizat nak marahkan dia. Dia bukannya buat kacau
pun dengan Aizat. Tegur pun tidak. Telinga aku tadah, menanti
jawapan Ijai. Mata aku pejamkan. Geli apabila Ijai mendekat.
“Mungkin dia jealous dengan aku.” Ijai berbisik
semula. Kali ini dia tadah telinga. Giliran aku pula berbisik ke
telinga Ijai.
“Tak pasal-pasal nak jealous. Aku tak rasa dia jealous
pun.” Aku berbisik semula. Aku tadah telinga kananku dengan
mata terpejam sementara menanti input terbaru masuk.
“Habis tu, takkanlah tiba-tiba dia nak mengamuk
macam tu? Basikal tu tak adalah buruk mana pun aku tengok.
Aku rasa aku lagi buruk daripada basikal tu. Mungkin dia
tujukan kat aku kut...” kata Ijai dengan nada tidak senang.
“Mengutuk!” jerkahannya tepat di tepi telinga sebelah
kiriku membuatkan aku terloncat dari pangkin.
Bukan aku sahaja. Ijai juga turut terloncat. Entah bila
masa dia mendekati kami. Bergegar gegendang telinga dengar
dia pekik sekuat itu. Itulah, sedap sangat mengutuk sampaikan
tak sedar dia kat sebelah.
“Eh, tak adalah, bang.” Ijai garu belakang telinga
dengan sengihan takut-takut.
“Macamlah aku tak dengar. Korang ni berbisik ke, pakai
mikrofon haa!” jerkahnya. Bahu kami terhinggut. Terkejut.
“Kenapa tu?” suara lain menyampuk.
Ah! Aku tak suka pendatang asing tanpa izin ni. Leha
berlenggang-lenggok menghampiri Aizat. Dia nak apa datang
ke mari? Tak berjemput pun sibuk nak menempel kat sini.
Mahu saja aku halau balik.
“Tak ada apa, Leha. Abang saja je. Menyakat
budak-budak ni.” Aizat terus cover macho. Nada suaranya terus
menurun.
Aku pandang Ijai dan kami sama-sama mencemik.
Menyakat apa? Muka dia nak menyakat orang? Aku berani kerat
telingalah! Dia takkan menyakat punya. Nak gugur jantung
kami kena jerkah tadi. Menyakat apa macam tu? Sampai pucat
macam dah aku tengok muka Ijai ni.
Aizat dan Leha beriringan ke tangga. Sakitnya hati
melihat kegedikan mereka berdua. Ijai mendengus. Barangkali
dia masih geram dijerkah begitu tadi. Kami kembali duduk di
pangkin. Berbual topik lain yang langsung tiada kaitan dengan
si samurai. Sekejap-sekejap aku lihat Ijai menggosok dadanya.
Mungkin debaran akibat dijerkah Aizat tadi masih berbaki.
Trauma dia.
Sekali-sekala aku terdengar si Leha tergelak manja.
Mataku automatik menyorot ke arah Aizat. Wajahnya tidak
kelihatan seperti orang yang sedang melawak. Jadi, atas alasan
apa Leha ketawa semanja itu? Pelik aku dengan si Leha ni.
“Abang nyanyikanlah Leha sebuah lagu.” Leha
membuat permintaan.
Aku yang mendengar ini mula terasa mual. Aku
menjulingkan mataku dengan perasaan sebal. Ijai di hadapanku
pula sibuk mengejek-ejek kegedikan Leha itu. Tergelak aku
melihatnya. Ijai memang anti sungguh dengan Leha. Itu yang
dapat aku rumuskan. Dari kecil lagi sebenarnya dia memang
tidak sukakan Leha. Leha gedik. Leha lembik. Leha kaki repot.
Leha plastik. Itu antara komennya terhadap Leha.
“Nak abang nyanyi lagu apa?” soal Aizat melayan. Huh!
Berbulu telinga aku mendengar bahasa mereka. Abang... Leha?
Muntah sepuluh kali pun tak mampu menghilangkan rasa mual
di tekakku ini.
“Lagu Radja. Takkan Melupakanmu.” Pinta
Leha mengada-ada sambil memintal-mintal rambutnya
yang kerinting macam bulu biri-biri itu. Badannya pula
terlentok-lentok. Nak muntah aku menengoknya.
“Hmm. Kejap.” Dia membetul-betulkan tali gitarnya
sebelum dipetik.
“Terindah, lagu yang terindah. Sengaja aku cipta,
untukmu yang terindah...”
Nak tercekik aku melihat renungan tajam Aizat
sepanjang dia menyanyi lagu itu. Eh? Macam tuju kepada aku
pula. Leha duduk dekat depan mata dia sahaja. Saja aje nak
tunjuk muka bengis dia itulah. Dah tak ada kerja lain. Apa dia
ingat aku takut dengan muka kerek dia tu?
“Abang...” panggilku kepada Ijai mengajuk cara Leha
sambil memintal-mintal rambutku. Ijai tergelak.
“Yaaaa... Melur.” Ijai melayan semula dengan muka
perasan kacaknya itu. Aku tahan gelak.
“Nyanyikan Melur satu lagu.” Aku
mengerdip-ngerdipkan mataku dengan gedik. Mengejek si
Leha. Leha aku kerling. Muka dia masam mencuka. Muka Aizat
pula dah macam cemberut. Bengang kerana kami mengejek
mereka.
“Melur nak abang nyanyi lagu apa?” soal Ijai melayan
lagi.
“Abang nyanyikan Melur lagu...” Aku cuba berfikir.
Aduh. Dah lama tak layan lagu jiwang karat membuatkan aku
tak ingat pula tajuknya.
“Lagu....” Aku berfikir lagi. Alamak! Lagu apa ek?
“Dah tak ada kerja lain?” jerkah Aizat tiba-tiba.
Terloncat lagi aku dengan Ijai dibuatnya.
“Aku balik dululah weh! Nak pergi klinik. Check
jantung.” Ijai terus bangkit mengurut dada. Terkejut dijerkah
Aizat. Aizat ni memang kaki jerkah orang sungguhlah. Dah biru
muka Ijai tu aku tengok.
“Blahlah kau!” jerkahnya lagi.
“Aku nak blahlah ni.” Ijai turut meninggikan suaranya.
Motor dihidupkan dan dia berlalu begitu sahaja tanpa melambai
ke arahku seperti biasa. Tergamam aku.
“Aizat! awak ni melampaulah sampai menghalau
kawan saya.” Aku memarahinya.
Memang pantang betul aku apabila ada yang berkasar
dengan Ijai. Ijai, sahabat karibku semenjak aku berpindah ke
sini dari Negeri Sembilan dulu. Ya, dari kecil lagi. Dan aku tahu
yang aku sudah tidak mogok suara dengan Aizat. Kesabaran aku
sudah hilang.
“Aku peduli apa? Ni tanah mak de aku. Rumah arwah
mak aku!” Dia menjerkah aku pula.
“Okey... Leha, kau pergi berambus sekarang!!!” Aku
menghalau Leha pula. Leha terkujat di situ apabila telunjukku
kutalakan tepat ke arahnya.
“Kau ni pehal?” jerkah Aizat kuat.
Mak sudah keluar dengan kelam-kabut bagi
menyaksikan pergaduhan kami.
“Melur... Aizat...” mak menegur.
“Peduli apa saya? Ni tanah mak saya!” jerkah aku
pula. Sengaja memulangkan paku buah keras. Bagi dia rasa.
Kehadiran mak, aku buat tak tahu saja. Mungkin kerana
bengang, mak menjerit dan bercekak pinggang.
“Melur!!!” suara mak naik satu oktaf. Terkejut agaknya
apabila aku menghalau anak dara orang keluar dari halaman
rumah kami.
“Kau berambus!” jerkahku lagi kepada Leha tanpa
mempedulikan amarah mak.
Tak mengapa, aku sanggup menanggung amarah mak
berbanding menyaksikan Aizat melayan sahabatku dengan
buruk. Leha berlari balik dengan air mata mula merembes.
Kalau dia nak balik terus ke planet asal dia pun aku tak kisahlah.
Padan dengan muka. Ingat aku hairan dengan air matanya?
Aizat sedikit pun tidak memandang ke arah Leha
yang merebas lari itu malah matanya mencerun tajam
memandangku. Aku tahu dia marah pada aku tetapi aku peduli
apa? Jangan ingat aku takut dengan renungan dia.
“Melur, tak baik berkasar.” Mak aku menegur dengan
tegas.
“Dia dulu yang berkasar. Dia dulu yang halau kawan
Melur. Mak ni, apa aje yang Melur buat, semua tak kena.
Alih-alih dia ini jugaklah yang mak nampak betul.” Aku
membentak geram lantas berlari masuk ke rumah.
Sakit sungguh hati. Apa-apa sahaja yang melibatkan
pergaduhan aku dengan Aizat, pasti aku yang dipersalahkan.
Dan ia menyebabkan aku semakin membenci Aizat. Kalaulah
dia bukan siapa-siapa dengan keluargaku, dah lama aku halau
dia.

“MELUR TAK patut halau Leha.” Tegur mak sewaktu aku
menonton televisyen. Aku buat tak dengar saja. Masih merajuk.
Malah, aku hanya terus menonton televisyen sambil mengunyah
jeruk mempelam. Ya. Aku tengah datang bulan. Tu pasal aku
garang semacam.
Mataku menyorot ke arah sekujur tubuh yang duduk
di jendela sambil memeluk gitar. Wajah yang menaikkan darah
aku. Saat mata kami bertentang, laju sahaja aku menjelingnya.
Kalau boleh, aku nak jelingan ini mampu membutakan mata
dia selama lima minit. Biar dia takut nak cari pasal dengan aku.
“Tak baik bergaduh sampai libatkan orang lain.” Mak
masih membebel.
“Dah Aizat tu yang halau Ijai dulu. Macamlah dia ada
hak nak halau kawan Melur. Melur tak pernah pun nak tengking
Leha macam dia tengking Ijai sepanjang Leha menyotong
dekat depan rumah tu.” Aku membebel. Aizat diam saja. Mak
menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Melur...” Mak dah nak nak buka kitablah tu.
“Salah saya, mak de.” Tiba-tiba dia mencelah dan
mengaku salahnya. Terdiam mak dibuatnya. Mujur mak tak jadi
nak buka kitab. Kalau tak, bernanahlah telinga.
“Sedar pun.” Aku mengomel perlahan tetapi mak
mendengarnya. Dia mencubit lenganku. Aku cakap macam itu
pun kena cubit. Aizat tu? Selalu hina-hina aku, tak ada pulak
mak nak cubit dia. Tak adil betul mak ni. Pilih kasih!
“Kamu berdua ni asyik bergaduh saja. Tak penat ke?
Tak nak ke cuba berbaik? Berbual macam adik dengan abang?”
soal mak pula. Lembut.
Siapa kata tak penat? Aku penat tau. Setiap kali aku
diam, setiap kali itu jugalah Aizat suka cari pasal. Jangan
salahkan aku pulak.
“Saya tak boleh, mak de. Dia bukan adik saya. Dan dia
takkan pernah jadi adik saya. Mak de pun tahu kenapa. Saya
minta maaf atas kejadian tadi. Takkan berulang lagi, saya janji.
Saya minta maaf dekat Ijai nanti. Saya minta diri dulu, mak
de. Nak mandi.” Kata Aizat lantas meninggalkan kami begitu
sahaja.
“Kereknya dia. Tak nak Melur jadi adik dia konon.
Macamlah Melur ada isi borang nak jadikan dia abang Melur.
Perasan teruk dia tu!” kutukku dengan geram.
Mak tersenyum. Pelik. Kali ni mak senyum pulak dah...
biasanya, apabila aku kutuk Aizat, laju je tangan mak mengutil
aku.
“Maksud dia tu lain. Kamu aje lurus bendul.” Mak aku
menyekehku sebelum melangkah ke biliknya.
Aku mendengus. Maksud lain apanya? Takkanlah teruk
sangat tahap lurus bendul aku ni kalau kata-kata yang dah jelas
begitu masih aku tak dapat tangkap maksudnya? Membohong!
“IJAI...” PANGGILKU sedih. Mesti dia masih berkecil hati
dengan apa yang telah berlaku baru-baru ini. Kesian dia, tak
pasal-pasal jadi mangsa keadaan. Jahat sungguhlah Aizat ni.
Dia ingat, dia tu siapa?
“Hmm.” Ijai menyahut acuh tak acuh.
“Wei, sepupu aku tu memang macam tu, kau janganlah
tak datang rumah aku lagi. Nanti siapa yang nak berkawan
dengan aku?” Aku bersuara sayu.
Dia di hujung talian menghembus nafas. Kesian dia,
tak pasal-pasal jadi mangsa amarah Aizat yang datang bulan
bintang tu. Sakit hati aku melihat sahabat karibku dilayan
begitu.
“Kau kawan ajelah dengan dia.” Kata Ijai dengan suara
mendatarnya. Masih terasa agaknya dengan layanan buruk
Aizat.
“Tak ingin aku berkawan dengan orang sombong
bongkak macam dia.” Aku menjulingkan mata ke atas biarpun
Ijai tidak nampak. Berkawan dengan Aizat? Tunggu kiamatlah
dulu. Tak ingin aku.
“Dia jealous dengan aku tu. Aku rasa dia suka kat
kaulah, Melur.” Ijai berkata dengan nada serius.
Kata-katanya itu mengundang tawaku. Kelakar gila.
Lebih kelakar daripada Maharaja Lawak Mega. Boleh menang
Ijai kalau buat lawak ni. Dahlah dia bercakap seolah-olah pakej
dia tu lengkap sehingga menyebabkan Aizat boleh cemburu
dengan dia. Pigirah!
“Eeeee yerk! Tak ada maknanya! Baik kau jangan cakap
macam tu. Aku tak nak kawan dengan kau nanti. Suka kau
kata? Suka mendera baru betul. Asyik-asyik cari pasal dengan
aku. Entah apa dosa masa silam aku dengan dia pun aku tak
tahulah.” Aku mendengus.
“Betullah. Dia menyanyi tadi pun pandang kau. Aku
tahulah cara seorang lelaki pandang perempuan yang dia suka
tu macam mana. Aku kan lelaki. Lepas tu kita gelak-gelak,
dia boleh mengamuk. Padahal tak ada sebab pun untuk dia
mengamuk, kan? Melainkan dia cemburu tengok kau ketawa
riang ria raya bersama aku.” Ijai mengukuhkan lagi tuduhan
palsunya.
Suka tang mana? Suka menyakitkan hati aku, ya. Ya
sangat! Sekali lagi aku rasa nak tergelak, tapi sebab geli dengan
kenyataan Ijai, aku julingkan mata ke atas.
“Ah! Muntah berdarah aku kalau kau cakap macam tu
lagi. Weh, tadi tak sempat nak tanya kau pasal projek kita.” Aku
cuba mengubah topik.
“Haah! Dialah menyibuk. Dah lupa nak cakap pasal tu.”
Dia berkata pulak. Bengang aje nadanya.
Aku tergelak. Tahu pun kau sakit hati. Aku yang
menghadap muka dia hari-hari tu lagilah pula.
“Besok kau datang, kita bincang ek.” Aku cuba
memujuk Ijai datang ke rumahku lagi.
“Hmm, malaslah. Kita lepak kat kedai ABC jelah. Aku
belanja sampai kau naik lelah, nak? Baru sedap berbincang
tanpa ada gangguan.” Ujarnya memancingku.
Huh, lagi bagus cadangan dia tu. Kami tak perlu
bergaduh dengan Aizat lagi.
“Cantik! Tapi... apa kata Hasyim nanti kalau dia
nampak kita?” soalku. Hasyim tu bagaikan hantu. Semua orang
takut terserempak dengan dia.
“Aku yakin, Hasyim takkan fitnah kau dengan aku lagi
dah. Dia kan sekarang sibuk nak fitnah kau dengan sepupu
kau? Hasyim tu bukannya boleh orang dekat dengan Leha dia.”
Selamba sahaja dia berkata.
Ya, memang Hasyim tu ada hati terhadap Leha. Silap
hari bulan, dia paksa Aizat tu kahwin dengan perempuan lain
asalkan tak usik Leha dia. Berebutlah kau orang berdua dekat
Leha tu. Entah apa yang istimewa sangat dengan manusia
tak ada tulang tu pun aku tak tahulah. Menyotong aje tahu.
Atau... sebab itu mereka suka. Seafood kan mahal? Hahahaha!
Tak sangka, aku kategorikan Leha dalam kumpulan seafood.
Memang patut pun.
“Hmm. Yalah, yalah. Besok pukul berapa?” soalku.
Aku ni memang pantang jika diumpan dengan ABC. Mudah
sahaja untuk aku menurut. Ijai memang sedia maklum akan
kelemahan aku.
“Besok pukul empat.” Jawabnya ringkas.
“Pukul empat?” Aku menyoal tak puas hati.
“Apa pasal lewat sangat?” Aku merungut. Tak boleh
tahan dah liur ni apabila terbayangkan ABC Pak Muiz. Sedap dia
lain macam. Jagung banyak... susu cair pun banyak... Sirap...
serba-serbilah banyak! Argh, air liur aku yang terkumpul pun
dah banyak ni. Atau Pak Muiz letak pelaris ek? Takkanlah Pak
Muiz nak buat macam tu?
“Yalah! Memanglah besok hari cuti aku, tapi aku kena
check getah-getah mak aku dulu.” Dia berkata.
Hampir aku terlupa. Dia ni kuat bekerja. Malah, dia
tidak lokek untuk membelanjaku. Setiap kali berduit, ada sahaja
barang yang diberikan kepadaku. Dia memang begitu semenjak
kecil lagi. Suka bersedekah. Emak dan arwah abahnya pun
begitu juga. Bapa borek anak rintiklah katakan. Hari cuti, dia
menoreh dan mengutip getah. Hari tak cuti, dia bekerja pula.
“Yalah, yalah. Aku tunggu.” Aku meletak gagang
telefon dan tersengih. Cantik!
“Ehem!” Aku terkejut. Tengok muka yang berdeham
ni, terus senyumanku mati. Huh! Dia lagi, dia lagi! Kalaulah dia
tahu betapa bencinya aku terhadapnya... betapa aku rasa nak
tampar-tampar dahi dia dengan tapak kaki gajah... aku tak nak
tengok muka dia lagi. Menyakitkan hati, menyakitkan mata.
“Nak ke mana besok?” soalnya.
Aku buat pekak sahaja. Malas nak membalas. Setiap
kali aku buka mulut, ada sahaja benda yang tak kena. Lebih
baik aku berdiam sahaja. Lagi satu, untuk apa dia ambil tahu ke
mana aku nak pergi besok? Bukan urusan dia pun dan tak ada
kena-mengena langsung dengan dia.
“Aku tanya kau nak pergi mana, besok? Pekak!” Dia
menaikkan suaranya. Amboi, main kasar nampak! Aku dengar
tapi malas nak layan sebab tu aku diam. Bukannya sebab aku
pekak.
“Awak tu siapa, sibuk nak ambil tahu?” Aku
menjelingnya.
“Ada projek apa? Kau nak buat projek tak senonoh ya?”
soal dia menyerkap. Sinis.
Aku rasa nak geletek sahaja dia sampai terkencing.
Sungguh menyakitkan hati! Sesuka hati dia aje nak tuduh aku
buat benda tak senonoh. Dia ingat aku ni apa?
“Curi dengar perbualan orang!” Aku memarahinya.
Kaki aku hentak geram dan masuk dalam bilik. Semenjak dia
duduk di rumahku ini, kuakui, tumit kaki aku dah mula retak
sebab aku suka jalan hentak-hentak. Tunjuk protes.
“Mak de, tengok si Melur ni dah pandai nak buat
maksiat dengan budak selebet tu.”
Mengadu? Heeeee! Makin tambah satu darjah rasa
benci aku kepadanya. Ijai dipanggil selebet? Dia apa kurangnya?
“Melur nak buat apa?” soal mak bercekak pinggang.
Aku tak jadi masuk ke bilik. Hanya berdiri tegak di depan pintu.
“Mana ada nak buat maksiat pun!” Aku membentak.
Kenapa aku tak cekik aje dia tadi?
“Habis, yang kau cakap tadi ‘tak sempat nak tanya
kau pasal projek kita’ tu apa? ‘Takut Hasyim nampak’ tu pula
apa?” soal Aizat semakin sinis. Muka bukan main bangga lagi
konon-konon dapat pecahkan rahsia aku dan Ijai.
Heee, dia ni memang melampau. Dahlah curi dengar
perbualan orang. Selepas itu, boleh pula dia fikir negatif
terhadap aku.
“Apa ni Melur?” suara mak sudah naik satu oktaf.
“Melur nak bincang projek Melur dengan Ijailah. Sibuk
aje dia ni.” Aku menjeling Aizat. Mak ketawa.
“Oh... Ingatkan apalah tadi. Aizat dah salah anggaplah
tu. Janganlah marah-marah. Kalau Melur marah-marah macam
tu, lagilah orang percaya yang Melur nak buat bukan-bukan.
Nanti beritahu mak apa perkembangannya.” Mak berpesan.
Aizat dah nampak ternganga-nganga. Tak tahu nak
menyampuk celah manalah tu? Mak aku pun tak marah-marah
aku.
“Projek apa ni mak de?” soal Aizat.
Huh! Sibuk saja nak tahu.
“Adalah projeknya.” Mak pun berahsia.
“Dia nak keluar pukul 4 petang besok. Itu yang saya
tanya projek apa?” Dia mengadu lagi.
Hei, makin sakit hati aku dengan samurai ni.
“La... tak boleh bincang depan rumah aje ke?” soal mak
memandangku dengan dahi berkerut.
“Lepas kena halau dengan samurai ni, dia dah tak nak
datang rumah lagi. Besok kita orang bukan pergi jauh pun.
Dekat kedai ABC tu aje. Ijai dah cakap, dia nak belanja Melur
sampai lelah.” Aku bercerita.
“Oh, pergilah. Jangan minum ais sampai lelah. Letih
mak nak hantar ke hospital nanti. Aizat, besok kamu temankan
dia.” Selamba mak berpesan.
Mak tak perlu risau. Kali terakhir aku dihantar ke
hospital sebab lelah makan ABC adalah pada tiga tahun lepas.
Lepas tu, dah tak ada lagi. Mungkin sebab abah bagi aku makan
burung belatuk bakar agaknya. Orang dulu-dulu kata, burung
belatuk boleh hilangkan asma dan lelah. Dengan aku, berjaya.
“Eh! Orang tu tak nak datang rumah sebab tak
nak tengok muka dia. Buat apa mak suruh dia pergi? Nak
memburukkan lagi keadaan?” soalku tak puas hati.
“Tak elok pergi berdua. Kamu tu dahlah nak bincang
pasal kahwin dengan si Ijai tu. Nanti karang kalau telinga lintah
Astro tu dengar, merasalah kamu lagi kena fitnah.” Nasihat
mak.
Aizat nampak macam tersentak. Lama dia pandang
aku.
“Pergi dengan dia pun sama aje kena fitnah.” Aku
menjelingnya.
“Biarlah dia pergi mak de. Dia dah tak sabar sangat nak
nikah tu.” Perlahan sahaja suaranya keluar. Kenapa pulak muka
dia macam orang frust menonggeng ni? Dia syok kat aku ke?
Muka dia tu ada gaya ke macam syok kat aku?
“Nanti apa kata tunang si Ijai tu kalau si Astro tu buat
fitnah lagi? Berdua-duaan macam tu, tak elok. Dia tunangan
orang. Aizat, temankanlah si Melur ni. Mak de risau jadi fitnah
pula nanti. Kesian si Nora.” Mak berpesan lagi Dari riak mak,
aku tahu mak tak nak fitnah tersebar lagi.
Tapi mak, apa bezanya kalau Aizat ikut sekali? Sama
juga. Mungkin mak tak nak aku digosipkan dengan tunangan
orang agaknya. Dah tu, mak lebih rela aku digosipkan dengan
samurai ni? Huh... tak ada pilihan lain dah ke?
“Oh! Dah bertunang rupa-rupanya budak selebet tu.
Tak apalah, besok saya temankan Melur ni ya, mak de. Jangan
risau. Akan saya pastikan Melur selamat pergi dan selamat
sampai ke rumah.” Muka bukan main ceria lagi dia. Hek eleh!
Tadi muka hampa sangat macam syok kat aku. Huh. Kalau dia
tak teman lagi selamat hidup aku.
“Sibuk aje.” Ngomelku sendiri.
“Melur...” Mak menegur. Humph! Tak boleh usik sikit
pun anak emas dia. Bengang betul aku. Tak fahamlah kenapa
mak dengan abah sibuk sangat nak jaga hati dan perasaan Aizat?
Perasaan aku pula bagaimana?
“Alah, cakap macam tu pun marah. Sayang sangat
dekat dia.” Aku memprotes dan terus meninggalkan emak dan
si samurai. Lebih baik aku berkurung saja di dalam bilik. Lagi
tenang jiwa aku. Tak adalah kena hadap muka dia dua puluh
empat jam.

No comments:

Post a Comment