DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 26 May 2016

Mr Secret Admirer - Bab 9

“Abang Haziq!”
Zureen hampir terjerit sebaik sahaja melihat abang
angkatnya berjalan beriringan dengan Datin Raja Fatimah.
Seluruh anggotanya dirasakan tiba-tiba lemah. Dia
bagaikan tidak percaya. Adakah dia bermimpi? Bagaimana
abang angkatnya itu tiba-tiba sahaja boleh berada di banglo
mewah ini?
Entah kenapa tiba-tiba sahaja Zureen jadi sebak
dengan kehadiran abang angkatnya di situ. Selama ini dia
tidak pernah merasa perasaan seperti itu kerana dia
menganggap kehadiran Haziq dalam hidupnya hanya biasabiasa
sahaja dan bukanlah sesuatu yang penting sangat untuk
dirinya.
Mungkin kerana ketika itu, dia sememangnya
sedang berperang dengan emosinya sendiri. Perang emosi
yang dicetuskan oleh Syed Redza!
memerlukan seseorang yang amat rapat dengannya seperti
Haziq. Dia perlu meluahkan apa yang berbuku dalam hatinya
sebaik sahaja dia memulakan tugasnya tadi.
Selama ini, Zureen menyangkakan dirinya kuat dan
mampu menghadapi apa jua rintangan yang mendatang
ketika dia menjalankan tugas sebagai jururawat peribadi
tetapi belum pun sehari di situ, dia merasakan dia semakin
tewas dengan serangan emosi yang datang bertubi-tubi
daripada Syed Redza.
Suasana menjadi hening. Mata Zureen melekat
pada wajah abang angkatnya itu. Jika ketika itu yang berdiri
di hadapannya adalah abang kandungnya sendiri, Zahin,
sudah pasti akan dipeluknya lelaki itu bagi melampiaskan
perasaannya yang bercelaru ketika itu, tapi apakan daya,
lelaki itu hanya seorang abang angkatnya dan juga bukan
muhrimnya. Apa yang mampu dilakukannya hanyalah
berbicara melalui pandangan matanya.
“Zureen... kenapa ni sayang? Kenapa Zureen
nampak terkejut dan sedih sangat ni?” tegur Datin Raja
Fatimah yang agak pelik melihat perubahan sikap Zureen
ketika itu.
Zureen tersentak. Dia baru tersedar yang Datin
Raja Fatimah dan Syed Redza juga berada di bilik itu.
Seketika tadi dia hanya merasakan dirinya hanya bersama
dengan abang angkatnya sahaja kerana seperti dirinya, abang
angkatnya itu juga saling berbalas renungan dengannya.
Abang angkatnya itu seolah-olah tahu apa yang sedang
menimpa Zureen. Kalau tidak masakan dia boleh berada di
banglo mewah itu ketika ini. ... Kuat sungguh aura aku dan
Abang Haziq ni rupa-rupanya! Bisik hati Zureen.
“Err... tak ada apa-apalah auntie. Zureen cuma
terkejut. Zureen pelik macam mana ‘abang’ Zureen ni boleh
ada kat sini?” balas Zureen tergagap-gagap. Bimbang jika
Datin Raja Fatimah salah faham dengan situasi ketika itu.
“Ooo.... Zureen terkejut ke? Kenapa? Zureen tak
sangka abang Zureen boleh sampai sini ya? Tadi kebetulan
masa auntie baru sampai dari butik, auntie nampak ada
seorang lelaki dalam kereta di luar pagar. Auntie tengok dia
macam menunggu seseorang. Auntie tak sedap hati. Manalah
tahu kalau-kalau dia ada niat tak baik. Auntie beranikan diri
bertanya. Rupa-rupanya dia abang Zureen. Dia kata nak
jumpa Zureen sekejap. Tu yang auntie terus bawa datang ke
sini. Nasib baik auntie tak bertindak yang bukan-bukan.
Yalah... sekarang ni kan macam-macam kes. Maaflah auntie
tak tahu pun yang Zureen ni ada abang. Doktor pula tu!”
cerita Datin Raja Fatimah panjang lebar.
Abang aku? Salahlah auntie... bukan abang tapi
abang angkat! Datin Raja Fatimah tak tahu ke lelaki yang
sedang berdiri di sebelah dia tu hanya abang angkat aku aje!
Zureen sempat mengerling seketika ke arah Syed
Redza. Lelaki itu dilihatnya sedang merenung tajam ke arah
abang angkatnya. Mak ai, masamnya muka dia! Dan yang
lebih membimbangkan Zureen ketika itu ialah.... Abang
angkatnya juga berbalas renung dengan Syed Redza.
Keadaan tiba-tiba dirasakan tegang semacam. Tak
boleh jadi ni! Sebelum apa-apa perkara yang tidak diingini
berlaku, dia mesti mententeramkan keadaan di bilik itu
dengan segera.
“Abang Haziq tunggu kat luar? Kenapa abang tak
call Zureen? Nasib baik ada auntie... kalau tak keraslah abang
menunggu kat luar,” balas Zureen dalam usahanya untuk
meredakan suasana yang dirasakan tegang ketika itu.
“Nak ke Zureen angkat telefon kalau abang call?”
jawab Haziq pula dengan selamba.
Amboi! Sempat pula dia nak sindir aku. Sajalah nak
balas dendam kat aku tu! Dia tu pun apa kurangnya, aku call
pun tak angkat?
Tiba-tiba Zureen baru tersedar.
Alamak! Habislah aku kalau Abang Haziq
panjangkan cerita ni. Minta-minta auntie tak bertanya
kenapa aku tak angkat telefon. Tambah parah kalau manusia
sejuk beku kepala batu tu pula menambah perisa kat cerita
ni! Dah tu dia ceritakan pula peristiwa masa aku ambil darah
dia tadi. Aduh, parah!! Apa nak buat ni?
Okey! Dapat satu idea!
“Err... Auntie, Zureen minta izin nak cakap dengan
abang Zureen ni kejap, boleh?”
“Zureen... apa pula minta izin? Takkanlah nak
bercakap dengan abang sendiri pun nak kena minta izin?”
jawab Datin Raja Fatimah sambil ketawa kecil.
Geli pula hatinya bila Zureen minta izin untuk
bercakap dengan abang sendiri. Dah mengalahkan macam
nak berbual dengan buah hati pula!
“Bukan apa auntie... Zureen ni kan sedang bekerja.
Nanti dikatakan makan gaji buta pula... Zureen nak cakap kat
luar sekejap ya auntie...” balas Zureen pula.
Nada suaranya sengaja ditekan pada perkataan ‘gaji
buta’ sambil matanya menjeling ke arah Syed Redza yang
sedang merenung dirinya seperti hendak menelannya.
Marahlah tu! Padan muka kau!
Datin Raja Fatimah hanya mengangguk memberi
persetujuan.
Zureen menarik abang angkatnya untuk segera
meninggalkan bilik panas itu.
“Belum sehari pun bekerja kat sini dah berani bawa
jantan masuk rumah ni! Kalau dah lama entah siapa pula nak
diangkutnya. Entah-entah satu kampung nak dibawanya ke
sini!” Tiba-tiba Syed Redza bersuara dengan nada yang agak
sinis.
Langkah Haziq terhenti sebaik saja mendengar
kata-kata yang keluar dari mulut lelaki yang duduk di atas
kerusi roda itu. Jantan? Dia panggil aku jantan? Namun,
Zureen cuba menahan Haziq daripada berhenti.... Dia
bimbang jika tercetus perbalahan. Cukuplah dia sahaja yang
dilemparkan kata-kata kesat. Dia tidak mahu abang
angkatnya menerima nasib yang sama sepertinya. Tambah
membimbangkannya lagi jika abang angkatnya itu menyuruh
dia berhenti sahaja setelah melihat layanan Syed Redza
kepadanya. Sememangnya sejak awal, Haziq memang tidak
bersetuju dia bekerja di banglo mewah itu.
Kedengaran suara Datin Raja Fatimah memarahi
Syed Redza.
“Redza! Kenapa cakap macam tu? Hormat sikit
pada tetamu!” marah Datin Raja Fatimah.
Datin Raja Fatimah merasa amat malu dengan
kelakuan anak tunggalnya itu. Jika sikap itu ditunjukkan di
hadapan Zureen sahaja tidak mengapa kerana Zureen
mungkin sudah tahu perangai Syed Redza tetapi dia cukup
malu apabila kata-kata kesat itu dilontarkan ketika ada orang
asing di situ. Apatah lagi orang asing itu adalah abang Zureen
dan seorang doktor pula. Dia malu jika dianggap tidak tahu
mendidik anak sendiri.
Setelah memastikan Zureen dan abang angkatnya
meninggalkan bilik itu, Datin Raja Fatimah menghampiri
Syed Redza. Dia ingin tahu apakah punca anak bujangnya
bersikap begitu. Mesti ada sesuatu yang mengganggu
fikirannya hingga dia berkata begitu.
Syed Redza memusingkan kembali kerusi rodanya
menghadap pemandangan luar. Sebolehnya dia tidak mahu
bercakap dengan mamanya ketika itu kerana dia merasakan
mamanyalah yang menyebabkan Zureen berani bertindak
seperti itu. Beri sangat muka kat perempuan tu!
Dari tindak tanduk Syed Redza, Datin Raja Fatimah
sudah dapat mengagak memang ada yang tak kena dengan
anak bujangnya itu.
Dia menghampiri Syed Redza dan seperti biasa
akan membelai anak bujangnya bagi meredakan amarahnya.
“Redza.... kenapa ni sayang? Kenapa marah-marah
ni?” sapanya lembut dalam usaha memujuk anak bujangnya
itu.
Syed Redza hanya membisu. Langsung tidak
dipedulikan mamanya yang berada di belakangnya ketika itu.
Melihatkan anak bujangnya hanya membisu, Datin
Raja Fatimah cuba berbasa-basi.
“Macam mana anak mama hari ni? Okey ke? Redza
dah makan ubat? Macam mana Zureen layan Redza?”
Mendengar nama Zureen meniti di bibir mamanya,
tiba-tiba hatinya menjadi geram kembali. Sememangnya dari
tadi dia memang tidak berpuas hati dengan apa yang
dilakukan oleh Zureen. Siap bawa jantan masuk rumah lagi!
Siapakah lelaki itu? Adakah itu abang angkat yang
dimaksudkannya tadi? Kalau ya, memang betullah
telahannya tadi. Kelakuan lelaki itu langsung tidak
menunjukkan gaya seorang abang. Dari cara pandangan dan
renungannya kepada Zureen, seperti ada maksud yang lain.
Syed Redza amat pasti dengan nalurinya. Hanya
lelaki yang tahu isi hati seorang lelaki!
“Kenapa mama terlalu beri muka sangat pada
perempuan tu?!”
“Perempuan tu ada nama.... Zureen!” Datin Raja
Fatimah memotong kata-kata Syed Redza kerana dia berasa
kurang senang dengan ganti nama yang digunakan oleh anak
bujangnya apabila merujuk kepada Zureen. Namun, nada
suaranya masih terkawal.
“Whatever! Sebab mama terlalu beri muka sangat
pada dia, sebabtu la dia berani nak angkut jantan dalam
rumah ni. Ini baru sehari bekerja. Kalau lebih lama entah apa
lagi yang berani dibuatnya!” bentak Syed Redza.
Datin Raja Fatimah cuba bertenang walaupun dia
kurang senang dengan cara Syed Redza mengeluarkan katakata.
Terlalu pedas dan kedengaran sangat kurang ajar. Datin
Raja Fatimah juga amat pelik, apa yang anak bujangnya
marahkan sangat sebenarnya?
“Redza... tak baik cakap macam tu. Kan mama dah
beritahu tadi, bukan Zureen yang suruh abangnya datang ke
sini. Redza tak tengok ke tadi? Zureen sendiri pun terkejut
bila tengok abangnya datang,” pujuk Datin Raja Fatimah
lembut.
“Budak perempuan kesayangan mama tu kan
pandai berlakon. Pura-puralah terkejut. Entah-entah
memang dia dah plan dari awal. Mama tak tahu tadi, masa
dia tengah sibuk bertugas, telefon bimbitnya tak berhentihenti
berbunyi. Tu mestilah jantan tu yang telefon. Ma... dari
awal Redza dah cakap kat mama, macam mana mama boleh
terlalu percayakan dia. Mama tengoklah sendiri apa yang dia
buat?” balas Syed Redza masih tidak berpuas hati.
“Redza... tak baik buruk sangka macam tu sekali.
Lagi satu mama minta, kalau Redza rasa tak puas hati sekali
pun, cubalah kawal kata-kata Redza. Kata-kata Redza
kedengaran terlalu kesat. Bahasa Redza juga kesat. Mama
malu. Nanti apa kata abang Zureen tu. Dahlah dia tu seorang
doktor, Redza pula boleh gelar dia jantan. Mama tak nak
dikatakan tak tahu mendidik anak. Redza... tolonglah jaga air
muka mama ni!” luah Datin Raja Fatimah geram.
“Redza peduli apa! Dia doktor ke perdana menteri
ke.... kelakuan macam tu memang layak dapat gelaran
macam tu!” balas Syed Redza masih tidak mahu mengalah.
“Redza... mama nak tanya. Apa sebenarnya yang
Redza marahkan sangat ni? Takkanlah Redza marahkan
sangat kalau abang Zureen nak datang menjenguk adik dia di
sini? Itukan abang Zureen. Lainlah kalau yang datang tu
kekasihnya. Memanglah tak patut. Kalau yang datang tu
kekasih Zureen, mama pun marah...” Datin Raja Fatimah
cuba mengorek punca anak bujangnya naik angin.
“Ini lagi satu Redza nak tanya mama. Mama pasti
ke yang datang tu abang dia??”
“Kenapa Redza cakap macam tu? Kan tadi Zureen
dah beritahu itu abang dia. Doktor Haziq pun cakap dekat
mama tadi dia nak datang melawat adik dia. Takkanlah Redza
nak suruh mama check kad pengenalan dia pula? Hishh...
Redza ni kenapalah cakap yang bukan-bukan?”
“Itulah silapnya mama. Terlalu percayakan orang.
Mama tahu tak, perempuan tu sendiri pun dah mengaku
pada Redza tadi yang asyik menelefonnya tak berhenti-henti
masa dia tengah check darah Redza tadi tu sebenarnya abang
angkat dia. So, lelaki yang datang jenguk si budak
perempuan tu sebenarnya cuma abang angkat dia aje!
Lagipun, takkan mama tak boleh fikir, kalaulah betul lelaki
tu abang dia, takkan perangai macam tu? Siap tenungtenung
adik dia pula?”
Betul ke kata-kata anak bujangnya itu? Lelaki yang
datang itu tadi sebenarnya hanya abang angkat Zureen dan
bukannya abang kandung seperti yang disangkakannya. Jika
benar, kenapa Zureen tidak memberitahunya tadi.
Ah! Aku tak mahu berburuk sangka. Mungkin
Zureen ada sebabnya berbuat begitu. Nanti saja. Aku akan
tanya sendiri. Aku mahu dengar dari mulut Zureen sendiri.
Itu lebih baik dari berburuk sangka. Bisik Datin Raja
Fatimah.
Datin Raja Fatimah merasa agak pelik di hujung
kata-kata anak bujangnya sebentar tadi. Kedengaran seperti
nada cemburu!
“Redza.... dahlah. Redza jangan fikir yang bukanbukan
lagi. Mama tengok Redza ni terlalu banyak berfikir.
Tak baik untuk kesihatan Redza tau! Okeylah... Redza rehat
dulu ya. Mama nak solat asar.” Akhirnya Datin Raja Fatimah
memutuskan untuk tidak terus melayan Syed Redza kerana
dilihat anak bujangnya memang sedang marah. Sah!
Memang dia cemburu.
Datin Raja Fatimah mula melangkah meninggalkan
Syed Redza. Namun, baru sahaja beberapa langkah,
langkahnya terhenti sebaik sahaja mendengar soalan anak
bujangnya.
“Kenapa mama beritahu dia tentang Lisa?” Payah
sekali untuk Syed Redza menyebut nama yang telah
menyebabkan hidupnya terseksa begini.
Datin Raja Fatimah agak tersentak dengan soalan
yang didengarnya itu. Bagaimana anak bujangnya boleh
tahu? Adakah Zureen yang memberitahunya?
Datin Raja Fatimah terdiam seketika. Dia sedang
berfikir jawapan yang terbaik untuk diberikan kepada anak
bujangnya itu kerana semenjak Syed Redza sedar daripada
koma, sememangnya nama itu tidak pernah langsung disebut
di dalam banglo ini. Tetapi kini, tiba-tiba Syed Redza yang
menyebutnya.
“Kenapa mama diam? Jadi memang betullah mama
yang beritahu budak perempuan tu tentang Lisa? Kenapa
ma? Kenapa mama buat macam tu? Apa sebenarnya niat
mama?” soal Syed Redza bertubi-tubi kerana dia tidak
menyangka hingga ke tahap itu mamanya mempercayai
perempuan yang baru saja dikenalinya itu.
“Redza.... dengar dulu cakap mama. Jangan tuduh
mama secara melulu begitu.”
Datin Raja Fatimah menarik nafas dalam untuk
mencari kekuatan. Kemudian disambung semula katakatanya.
“Ya... memang betul mama yang ceritakan pada
Zureen. Tujuan mama ceritakan kisah Redza pada Zureen
sebenarnya untuk memudahkan Zureen merawat Redza..”
“Mudah untuk rawat Redza? Mudah untuk merawat
atau mudah untuk dia mempermain-mainkan dan mengejek
Redza??!!” potong Redza geram.
“Redza... takkanlah Zureen nak mengejek Redza
pula dengan perkara sebegitu?” soal Datin Raja Fatimah
pelik. Tidak mungkin Zureen akan berbuat begitu.
“Itulah mama.... tak habis-habis dengan sikap
terlalu percaya dengan perempuan tu! Redza yang
berhadapan dengan dia. Depan mama memanglah dia tunjuk
baik tapi di belakang mama.... hal peribadi Redza pun dia
berani campur!” balas Syed Redza yang semakin berang
dengan sikap mamanya itu.
Benarkah Zureen begitu? Atau mungkin Syed
Redza hanya mengada-adakan cerita kerana sememangnya
dia sudah masak sangat dengan perangai anak bujangnya itu.
Jika dia tidak sukakan seseorang, dia akan berusaha apa saja
asalkan orang yang tidak disukainya itu hilang dari matanya.
Aku mesti bijak bertindak! Aku tidak boleh terlalu
mendengar kata-kata Syed Redza walaupun dia adalah
anakku sendiri. Aku juga tidak boleh terlalu mempercayai
orang yang baru kukenali walaupun naluriku sangat
mempercayainya. Aku akan mengambil jalan tengah untuk
kebaikan kedua-duanya, bisik Datin Raja Fatimah.
“Okeylah... mama mengaku mama salah. Mama
minta maaf kerana mama tak sepatutnya beritahu Zureen
tentang hal ini. Nanti mama akan tanyakan sendiri pada
Zureen kenapa dia buat macam yang Redza ceritakan tadi.
Sekarang ni, Redza rehat dulu. Jangan banyak sangat berfikir.
Mama nak solat asar. Dah lewat sangat ni. mama pergi dulu
ya...” Akhirnya Datin Raja Fatimah memutuskan untuk
membiarkan Syed Redza bersendirian seketika. Mungkin
dengan cara itu sahaja yang boleh mengurangkan perasaan
marahnya itu.
Datin Raja Fatimah berlalu meninggalkan Syed
Redza sendirian di biliknya.
Sebaik sahaja mamanya berlalu, hatinya merontaronta
ingin tahu apakah yang dilakukan oleh Zureen dan
lelaki itu. Apakah betul lelaki itu abangnya atau abang
angkatnya atau mungkin juga kekasih hatinya!
Entah kenapa dia merasakan dirinya tercabar
dengan tindakan Zureen itu.
Dia menolak perlahan kerusi rodanya di sepanjang
balkoni sambil meninjau-ninjau di manakah Zureen dan
lelaki itu berbual.
Akhirnya dia tersenyum setelah ternampak Zureen
dan lelaki itu sedang berbual. Dia cuba mengintai dari atas
balkoni. Kebetulan kedudukan tempat Zureen dan lelaki itu
berbual dapat dilihat dengan jelas dari balkoni biliknya.
Walaupun dia tidak dapat mendengar butir bicara
antara kedua-duanya, namun dia dapat melihat perlakuan
kedua-dua mereka. Dia ingin melihat sejauh manakah
kebenaran dakwaan Zureen bahawa lelaki itu adalah
abangnya sendiri atau abang angkatnya sahaja.
Pada pengamatan Syed Redza, dari gaya perbualan
kedua-dua mereka, memang jelas kelihatan ia bukanlah
perbualan antara seorang abang dan adiknya.
Syed Redza sendiri pelik kenapa dia beranggapan
begitu, namun dia dapat merasakan bahawa lelaki itu
memang bukan abang kandung Zureen atau juga bukan
sebagai seorang abang angkatnya walaupun tingkah laku
Zureen pula tidak menampakkan layanannya itu adalah suatu
layanan untuk seseorang yang istimewa dalam hatinya.
Zureen dilihatnya kelihatan seperti sedang
meluahkan perasaannya sementara lelaki itu pula khusyuk
mendengar. Sesekali kelihatan lelaki itu berkata sesuatu
kepada Zureen.
Nalurinya kuat mengatakan bahawa lelaki itu
sebenarnya menyimpan perasaan pada Zureen. Dari cara
renungan matanya, dari cara senyuman yang terukir di
bibirnya sudah cukup untuk menggambarkan betapa dia
menyukai wanita yang sedang duduk di hadapannya.
Entah kenapa, tiba-tiba sahaja hatinya rasa seperti
dicucuk-cucuk sembilu.
Ya Allah.... kenapa pula aku rasa macam ni?
Cemburukah aku? Kalau benar, tetapi kenapa pula aku harus
cemburu? Dia bukan sesiapa padaku!
Tidak! Tak mungkin aku cemburu. Ini bukan
perasaan cemburu tapi perasaan benci pada golongan yang
telah menyebabkan hidup aku bercelaru begini!

No comments:

Post a Comment