Kebelakangan ini khabar angin mula bertiup
kencang di syarikat Zenia. Begitu hangat gosip bertebaran
tentang hubungan CFO mereka dengan si cantik manis Erika.
Bukan sekali dua Erika bertandang ke Palaco Group atas urusan
peribadi, malah boleh dikatakan kelibat merpati dua sejoli itu
setiap hari dikesan di kafé di tingkat bawah. Kalau pertemuan
itu atas dasar kerja, boleh dikatakan mustahil juga. Takkanlah
Darriz Imdad masih tidak faham tentang Trade Line Banking
setelah berkali-kali bertemu Erika.
Bagi Zenia, dia tidak mahu ambil pusing dengan
cerita-cerita yang sampai ke telinga. Walaupun Nadzirah
sering mengadu dan menunjuk muka frust tahap teragung,
dia masih boleh tersenyum dan memberi nasihat. Baginya
perasaan Nadzirah itu hanyalah crush yang bersifat sementara
dan mungkin dilalui oleh mana-mana gadis apabila berhadapan
dengan lelaki sehebat Darriz Imdad. Perasaan yang boleh datang
dan pergi, sama seperti yang pernah dia rasakan sebelum ini.
Pesona dan aura daripada lelaki hampir sempurna
seperti Darriz Imdad pasti saja mampu memukau mana-mana
jiwa wanita. Hebat bunyinya bukan? Tapi itu benar-benar
sebuah hakikat, umpama hero novel yang wujud di alam nyata.
Beruntunglah Erika kerana berjaya mencuri hati
Darriz Imdad, dan Darriz Imdad juga bertuah kerana memiliki
Erika yang cantik dan bijak. Pendek kata pasangan itu memang
sepadan. Tidak ubah seperti Christiano Ronaldo dan Irina Shayk
yang cantik digandingkan bersama.
Zenia masih ingat kejadian di lif beberapa hari lalu.
Ketika itu dia tanpa sengaja berkongsi ruang lif tersebut
bersama Darriz Imdad dan Erika. Dan jelas sekali di matanya,
pandangan lembut Darriz Imdad sentiasa meneroka ke wajah
Erika. Tidak lepas-lepas, seperti begitu hanyut dilamun cinta.
Malahan kewujudan dia di situ seolah-olah tidak
disedari Darriz Imdad. Dan pasti saja Erika membalas dengan
reaksi yang serupa, teruja dan terleka dengan permainan lelaki
itu. Alangkah indahnya jika dia berkesempatan melalui semua
keterujaan itu bersama suami sendiri. Tapi malang sekali
kerana Fakhry tidak pernah mahu memberi peluang kepada
perkahwinan mereka.
Zenia mengeluh tatkala bayangan Fakhry muncul di
ruang mata. Fail di atas meja kerja diselak-selak dengan fikiran
kosong. Semalam mereka bergaduh besar lagi gara-gara dia
terlewat menyediakan makan malam. Bukan dia sengaja, cuma
selepas solat maghrib dia terlena kerana terlalu letih. Dan
sebagai hukuman, dia ditolak kasar oleh Fakhry ke meja makan
sehingga belakangnya terhentak kuat.
Baru saja mahu sembuh akibat kemalangan dan
pukulan Fakhry dahulu, kini kesakitan kembali bergayut di
tubuh. Dan kebelakangan ini dia lihat Fakhry semakin ringan
tangan mahu menyakiti dirinya. Jika dahulu mereka sekadar
bertengkar di mulut, tapi kini pukul-memukul bagaikan
kebiasaan pula buat suaminya.
Sungguh, Zenia berasa takut dan bimbang. Bimbang
jika kekasaran Fakhry kian berlarutan dan bakal memudaratkan
dirinya. Entah kepada siapa dia boleh mengadu nasib. Kalau ada
yang sudi mendengar sekalipun, dia pula yang tidak sanggup
untuk membuka kepincangan rumah tangga sendiri kepada
orang lain. Susah!
Bunyi deringan telefon bimbit di atas meja
mengalihkan perhatian Zenia yang sejak tadi menerawang
jauh. Terpandangkan sebaris nama yang terpapar di skrin
telefon, dada sedikit berdebar. Panggilan daripada Farel? Jarang
sekali Farel mahu menghubunginya kecuali atas sebab-sebab
kecemasan. Berasa bimbang, segera Zenia menjawab panggilan
tersebut.
“Assalamualaikum Farel…”
“Waalaikumussalam. Zen, you dekat mana ya?”
“Office. I dekat office. Kenapa ni?” Tanya Zenia resah.
Mendengar suara Farel yang kelam-kabut, perasaan di dada
semakin cemas.
“I call abang tapi tak dapat. Mama admitted dekat
hospital ni…”
Mata Zenia terbuka luas. Mama di hospital? Tanpa sedar
tangan segera membuka laci untuk mengambil beg tangannya.
Dia sudah tidak peduli tentang kerja yang tertangguh, kesihatan
mama lebih penting saat ini.
“Ya Allah, kenapa dengan mama Farel? Mama masuk
hospital mana?”
“Nanti I text you alamat hospital ni. You boleh datang
sekarang ke Zen?”
“Boleh, I boleh datang sekarang. Tapi macam mana
keadaan mama?” Soal Zenia masih cemas. Kelam-kabut dia
bangun namun sengatan di pinggang pula terasa. Berkerut-kerut
mukanya menahan kesakitan.
“Mama pengsan dekat rumah tadi, doktor kata due
to low blood pressure. Sekarang ni mama belum sedar lagi. I
tengah risau sangat ni Zen…”
Berderau darah Zenia dengan makluman daripada
Farel. Degupan jantung semakin kencang, terlalu bimbang jika
ada sesuatu yang buruk menimpa ibu mentua kesayangannya
itu.
“You tenang Farel, I cuba datang sana secepat mungkin.
Kita doakan yang baik-baik untuk mama ya.”
“Okey Zen. Nanti you inform abang sekali, boleh?”
“Okay, will do. Nanti I text Fakhry.”
Setelah memutuskan perbualan dengan Farel, Zenia
bergegas pula ke bilik Puan Amira untuk meminta cuti
kecemasan separuh hari. Mujur juga Puan Amira mengerti dan
memberi kebenaran tanpa banyak soal.
Kemudian Zenia tergesa-gesa pula ke lif dengan tangan
ligat menaip pesanan ringkas buat Fakhry. Waktu-waktu begini
mungkin suaminya sibuk bekerja, atau juga sibuk memancing
mana-mana gadis muda di pejabatnya. Bukan dia tidak tahu
perangai hidung belang Fakhry selama ini.
Dalam pada mata tertumpu kepada telefon bimbit,
Zenia tidak sedar yang dia sudah hilang fokus dengan keadaan
di sekeliling. Tanpa diduga tubuhnya dilanggar kuat sehingga
dia jatuh terduduk di atas lantai. Pinggang yang sudah sedia
sakit terasa semakin sakit. Aduhai, dia memang cuai!
“I’m so sorry, are you okay?”
Zenia mendongakkan kepala dengan wajah berkerut
menahan kesakitan. Terpandangkan seraut wajah yang kini
duduk bertinggung di hadapannya, nafas terasa hilang di dada.
Oh Tuhan, kenapa mesti lelaki ini yang melanggarnya?
“Zenia? Oh god, I’m so sorry. I tak perasan you tadi…”
Luah Darriz Imdad dengan perasaan bersalah.
Dek kerana terlalu leka membelek fail sambil
melangkah, dia tidak sengaja terlanggar tubuh Zenia. Ironinya
kejadian ini tidak dirancang, berbeza seperti pertemuan
pertama mereka di dalam lif dahulu.
“No, no. It’s okay. Lagipun tadi I berjalan tak tengok
depan, sibuk dengan handphone.” Balas Zenia yang terkial-kial
mahu bangkit berdiri.
Walaupun kesakitan di pinggang begitu ketara,
namun dia cuba menunjuk reaksi bersahaja. Tidak mahu lelaki
itu berasa risau atau ligat mahu menghulur tangan untuk
membantu.
“You sure you okey ni?” Tanya Darriz Imdad setelah
mereka sama-sama berdiri. Melihat tangan Zenia asyik singgah
di pinggang, dia yakin gadis itu kesakitan akibat rempuhan tadi.
“I okey, Encik Darriz.”
“Pinggang you sakit?”
Pantas Zenia melarikan tangan yang sejak tadi
memegang pinggangnya. Bibir mengoles senyuman kelat.
“No, I’m fine.”
Darriz Imdad mengangguk sekali. Sudah masak dengan
sikap Zenia yang tidak suka menerima bantuan daripadanya.
Terpandangkan beg tangan yang dipegang di tangan kiri Zenia,
kening bertaut kehairanan. Sekarang baru pukul sebelas pagi,
kenapa Zenia sudah mahu keluar dari pejabat?
“You nak ke mana ni?”
“Oh, I ambil half day EL hari ni Encik Darriz. Ada
emergency…” Balas Zenia seraya menekan butang lif yang
menunjuk anak panah ke bawah. Dia terpaksa juga berpaut
ke dinding tatkala rasa sakit di bahagian belakang semakin
menjadi-jadi. Sukar untuk dia berlakon kuat dan terus gagah
berdiri.
“Emergency? Husband you okey Zenia?”
Zenia tersenyum kelat seraya menganggukkan kepala.
Sebagai seorang ketua di jabatan mereka, dia yakin Darriz
Imdad perlu tahu ke mana langkahnya ingin dihalakan saat
ini. Dia tidak mahu Darriz Imdad memandang dirinya sebagai
seorang pekerja yang tidak berdisiplin dan suka mengambil
kesempatan di atas sikap toleransi Puan Amira.
“Husband I okey Encik Darriz, cuma ibu mentua I
tiba-tiba jatuh pengsan tadi. Dan sekarang I nak ke hospital
jenguk dia.”
“Maksud you, ibu Farel?”
Kepala Zenia terangguk-angguk. Hampir terlupa pula
dia yang Farel bakal menjadi adik ipar kepada Darriz Imdad.
Keluarga Farel dan keluarga Darriz Imdad akan bersatu pada
penghujung tahun depan, pasti Darriz Imdad juga mengenali
ibu mentuanya itu.
“You nak pergi hospital dengan apa Zenia? Fakhry
ambil you?”
“Tak Encik Darriz, I’ll take a cab. I tak dapat call
husband I dari tadi, dia ada meeting kut.”
“Then, let’s go. I hantarkan you ke sana.”
Mata Zenia terbuka luas kepada Darriz Imdad yang
masih mempamerkan wajah tenang. Dia ke hospital bersama
Darriz Imdad? Oh, sekian terima kasih. Dia tidak mahu dilihat
berada di samping lelaki ini. Nanti apa kata budak-budak
pejabat? Apa pula kata mama atau Farel jika melihat mereka
berdua di hospital nanti?
“Encik Darriz…”
“Zenia, please stop it. I cuma nak tolong you…”
Sampuk Darriz Imdad seolah-olah dapat mengagak apa yang
ingin dikatakan oleh Zenia. Dan ketika pintu lif terbuka luas,
dia segera melangkah masuk. Pandangan terhala kepada Zenia
yang kelihatan teragak-agak untuk menyertainya di ruang kecil
itu.
“Zenia, come on.”
Perlahan Zenia melepaskan keluhan serba salah. Tidak
tahu sama ada dia perlu menerima pertolongan Darriz Imdad
atau pun tidak.
“I can’t hold this any longer, come on in…”
Gesaan itu akhirnya membuatkan hati Zenia mengalah.
Selama mana dia perlu berdolak-dalik sedangkan keadaan
mama di hospital lebih menuntut kebimbangannya. Dengan
jalan yang sedikit terdengkot-dengkot, dia segera masuk ke
dalam perut lif tersebut.
“You’re not okay…”
Kepala Zenia terpaling ke kanan dengan keadaan
sedikit terdongak kerana Darriz Imdad lebih tinggi daripadanya.
Lelaki itu kelihatan tenang memandang ke angka-angka yang
sedang menurun.
“Apa maksud Encik Darriz?”
“I said, you’re not okay. Kenapa dengan pinggang you?
Sakit?”
Bibir Zenia segera mengukir senyuman kelat untuk
menutup tekaan yang benar itu.
“I’m fine Encik Darriz, totally fine.”
“Please don’t lie to me, Zenia…” Ujar Darriz Imdad
saat pandangannya dan Zenia saling bertaut. “…unless you’re
absolutely sure I’ll never find out the truth.”
Terpinga-pinga Zenia dengan apa yang dikatakan oleh
lelaki itu. Belum sempat dia membalas, pintu lif sudah terlapang
di ground floor. Melihat Darriz Imdad mengisyaratkan dia
keluar dahulu, langkah segera diayun segagah mungkin. Cuba
membuktikan kepada Darriz Imdad yang dia benar-benar sihat.
Walaupun hakikat sebenar hanya Allah saja yang tahu betapa
sakit segenap sendi dan tulang-temulang di tubuhnya… cukup
Allah saja yang tahu.
“You sure ini bilik mother in law you?”
Zenia mengangguk kecil. Perasaan di dada semakin
melantun cemas tatkala kaki menjejak bangunan hospital
swasta ini. Dia memang terlalu bimbangkan kesihatan ibu
mentuanya itu.
“Kalau ikut SMS Farel tadi, memang ini biliknya Encik
Darriz.”
“Okey, better you masuk dulu Zenia.”
Sekali lagi Zenia mengangguk. Tangan memulas
tombol pintu dan dia segera mengatur langkah ke dalam bilik
wad tersebut. Terpandangkan wajah mama yang sedang lena
beradu di atas katil hospital, nafas dihela berat. Satu per satu
langkah diambil untuk menghampiri mama yang masih tidak
menyedari kehadirannya di ruang ini.
“Zen, you dah sampai...”
Terkejut Zenia dengan sapaan yang singgah ke
telinga. Kepala terpaling ke kanan, terus kepada Farel yang
duduk di ruang menunggu bersama tunangnya. Segera Zenia
menghadiahkan senyuman biarpun tidak semanis mana. Sukar
untuk dia menyorokkan keresahan yang sejak tadi berkepuk di
dada.
“Abang Im?”
Riak wajah Najiha yang kelihatan terkejut semakin
menambah keresahan di hati Zenia. Dia turut menoleh ke
belakang, memandang Darriz Imdad yang kini sudah melangkah
masuk ke ruang yang sama. Oh Tuhan, dia benar-benar tidak
mahu Najiha atau Farel tersalah sangka!
“Abang Im buat apa dekat sini?” Tanya Najiha setelah
bersalaman dengan abangnya.
“Jiha dah lama sampai?” Balas Darriz Imdad dengan
soalan juga.
Huluran salam Farel pula disambut dengan riak
wajah masih tenang. Kemudian mereka bertiga sama-sama
melabuhkan duduk di atas sofa di ruang rehat bilik tersebut.
“Jiha pun baru je sampai. Abang Im belum jawab soalan
Jiha, macam mana Abang Im boleh sampai ke sini dengan Kak
Zenia? Abang Im kenal Kak Zenia?”
Darriz Imdad tersenyum apabila melihat riak
suspicious pada wajah Najiha. Bukan setakat adiknya, Farel juga
jelas ternanti-nanti jawapan daripadanya.
“Actually Zenia tu staf Abang Im.” Jawab Darriz Imdad
dengan reaksi masih tenang.
“Kebetulan Abang Im terserempak dengan Zenia dekat
lif, dan dia nampak stres tadi. Bila tahu mama Farel sakit, Abang
Im offerlah hantarkan dia ke sini.”
“Oh, what a small world. Zenia tak pernah cerita
pulak yang Abang Im ni bos dia.” Farel tersenyum dengan mata
mengerling kepada Zenia yang kini duduk di tepi katil mama.
“Bos baru, maybe dia pun baru kenal Abang Im.”
Darriz Imdad membalas dengan alasan. Dia tidak mahu Farel
mahupun Najiha menyimpan syak wasangka yang bukan-bukan
terhadap Zenia.
“Jiha, you tunggu sini sekejap ya. I nak turun bawah
belikan something untuk mama.” Ujar Farel seraya bangkit
berdiri.
“Okay, sure. I boleh temankan Abang Im dekat sini.”
Setelah Farel berlalu, pandangan Darriz Imdad kembali
terhala kepada Zenia. Leka dia memerhati setiap gerak-geri
gadis itu. Dengan penuh kasih sayang, Zenia membelai lembut
rambut Puan Norizan yang masih terlena.
Kemudian berkali-kali dia lihat Zenia tunduk
mengucup pipi wanita itu. Hatinya tersentuh jauh. Betapa
beruntung Fakhry kerana memiliki diri Zenia. Bukan mudah
mahu mencari menantu sebaik ini, yang mampu menyayangi
ibu mentua seperti menyayangi ibu kandung sendiri.
“Ehem, Abang Im!”
Tersentak Darriz Imdad apabila lengannya dicubit
lembut. Kepala terpaling ke kanan, memandang wajah Najiha
yang berkerut-kerut.
“Err... what?”
“Abang Im tak dengar ke Jiha tanya tadi?”
“Jiha tanya apa?”
“Haaa... see! Agak dah Abang Im memang tak dengar.”
Darriz Imdad tertawa kecil. Biarpun hubungan dia
dengan Jiha tidak semesra mana kerana mereka membesar
di dua tempat berbeza, namun dia tahu adik-adiknya cuba
merapatkan diri. Dan sebagai seorang abang, dia akan cuba
membuka ruang yang luas demi menerima kehadiran Najiha
dan juga Diana dalam hidupnya.
“Sorry, Abang Im tak perasan. Jiha tanya apa?”
“Jiha tanya, Abang Im masuk office semula ke tak lepas
ni?” Ulang Najiha dengan senyuman di bibir.
“Masuk, Abang Im ada meeting pukul tiga nanti. Why?”
“Saja tanya.” Balas Najiha selamba. Kemudian lengan
Darriz Imdad dicuit sebelum bibir didekatkan ke telinga
abangnya yang kelihatan terpinga-pinga.
“Abang Im ada apa-apa ke dengan Kak Zenia tu?”
Berderau darah Darriz Imdad apabila soalan Najiha
melantun ke telinga. Soalan maut! Pantas kepala digelengkan
beberapa kali.
“Hesy, apa Jiha merepek ni? Zenia tu staf abanglah.”
“Hmm... manalah tahu, zaman sekarang ni
macam-macam hal boleh berlaku tau. Abang Im jangan buat
hal bukan-bukan, teruk kalau mama tahu nanti.” Balas Najiha
mengingatkan.
“Tak adalah Jiha, Abang Im belum gila nak buat
perangai macam tu. Lagipun Zenia kan isteri orang, takkan
Abang Im nak buat hubungan dengan dia pulak. Abang layan
dia sama macam staf-staf lain. Kalau special sikit pun sebab dia
bakal jadi kakak ipar Jiha.” Darriz Imdad meyakinkan dengan
nada perlahan. Bimbang juga jika Zenia yang duduk di hujung
sana terdengar perbualan mereka dua beradik.
Najiha tersenyum seraya menganggukkan kepala.
“Lega sikit hati Jiha. Cuma itulah, cara abang pandang
Kak Zenia lain macam pulak Jiha tengok.”
Darriz Imdad menelan liur. Menggelabah apabila
Najiha berjaya menangkapnya ketika ralit merenung Zenia
sebentar tadi. Bibir mengukir senyuman kelat, cuba berlagak
setenang mungkin.
“Stop speculating on me. Semua tu tak macam yang
Jiha fikirkan ya.”
“Okey, Jiha percaya cakap Abang Im. Lagipun Abang
Im kan hot, senang-senang boleh dapat girlfriend, kan?”
Kali ini Darriz Imdad tertawa pula. Memang mudah
untuk mencari pasangan di sisi, semudah dia mendapatkan
perhatian Erika. Tapi biarpun berkali-kali mencuba, namun
Erika masih belum memenuhi kriteria yang dituntut oleh hati.
Keserasian itu ada, tapi entah mengapa sikap Erika
tidak mampu menerbangkan dia ke alam khayalan. Tidak
seperti perasaan yang wujud terhadap Zenia sebelum ini.
Mungkin dia perlu memberi lebih banyak masa kepada Erika
untuk membuktikannya?
“Encik Darriz...”
Perhatian Darriz Imdad kini terarah kepada Zenia yang
kian menghampiri. Bibir segera mengukir senyuman.
“Yes Zenia?”
“Thanks sebab hantarkan I ke sini tadi. Encik Darriz
mesti busy dekat office, kan? Eloklah Encik Darriz balik dulu...”
“Eh, no problem. Lagipun dah nak masuk waktu lunch
hour, I boleh stay.”
Zenia tersenyum tawar. Serba salah dengan jawapan
Darriz Imdad apatah lagi pandangan Najiha seperti menyimpan
sesuatu. Bukan seperti pandangan biasa, sebaliknya seperti
memerhati setiap gerak-gerinya.
“Tapi sekejap lagi husband I sampai...” Terlepas juga
kata-kata itu dari bibir Zenia.
Menyedari air muka Zenia yang sedikit berubah, hati
Darriz Imdad tersentuh. Mungkin Zenia tidak mahu Fakhry
melihat kehadirannya di ruang ini. Mungkin Fakhry akan
cemburu dan marah-marah. Sudah pasti dia tidak mahu
diletakkan sebagai penyebab dan punca pergaduhan mereka
suami isteri.
“Oh, then okay...” Darriz Imdad bangkit berdiri dengan
riak masih tenang. Walaupun wajah kelihatan bersahaja, namun
sukar dinafikan hati sedikit tergores.
“You sure you tak perlukan apa-apa lagi?”
Zenia menggeleng dengan senyuman kelat di bibir.
“Encik Darriz dah banyak tolong I selama ni, thanks
again.”
Darriz Imdad sekadar membalas dengan anggukan dan
senyuman tawar. Pandangan kembali terarah kepada Najiha
yang pura-pura sibuk membelek majalah hiburan di tangan.
“Jiha, Abang Im balik dulu. I’ll see you this Sunday.”
“Okey Abang Im, take care.” Balas Najiha seraya
menyalami tangan abangnya.
Ketika Darriz Imdad keluar dari bilik tersebut, dia
memang tidak salah melihat. Riak wajah abangnya kelihatan
keruh... amat keruh. Dan Zenia pula kelihatan serba salah, atau
juga kecewa? Jadi, apa makna semua ini?
No comments:
Post a Comment