Terasa sedikit lenguh di bahagian belakang,
Darriz Imdad menyandarkan tubuh ke seat kereta. Sekali lagi
anak mata melorot pada jam di pergelangan tangan yang hampir
melewati pukul enam petang. Walaupun dari satu detik ke detik
bagaikan terlalu lama beralih, entah kenapa hati tetap juga
boleh bersabar. Dia masih rela menanti dan terus menunggu.
Ini semua memang kerja gila! Sudah hampir seminggu
dia bekerja di sini, dan dia masih tidak pernah bosan bertapa di
dalam kereta dan menghadap pemandangan yang sama. Setiap
hari selepas habis waktu pejabat, dia akan bergegas turun ke
lobi dan menyelinap ke dalam kereta.
Misinya masih sama, malahan dari hari ke hari dia
semakin bersemangat mahu mengungkai sebuah persoalan.
Persoalan yang membuatkan hatinya tidak tenang, jiwanya
meragam dan membentak tanda kurang senang. Dan
semuanya... kerana Zenia!
Kerana Zenia telah menjadi perempuan pertama yang
membuatkan hidupnya kelihatan terdesak begini. Dan gadis itu
juga membuatkan dia tidak lena tidur malam gara-gara tidak
sabar menunggu esok hari untuk ke pejabat.
Demi Tuhan, tidak pernah dia berasa teruja kepada
seorang perempuan sepertimana yang dia rasakan kini. Dia
sudah gila bayang? Mungkin! Rimas dengan perasaan sendiri,
nafas dihela panjang. Darriz Imdad kembali merenung ke ruang
drop off lobi di hadapan bangunan yang agak sibuk pada waktu
puncak begini. Hati berdebar-debar menanti kemunculan
Zenia seperti hari-hari yang lalu.
Sepanjang tempoh intipan ini, perasaan di dada
semakin membuak-buak dengan perasaan ingin tahu. Dia mahu
tahu apa hubungan Zenia dengan lelaki yang saban hari datang
menjemputnya di pejabat. Walaupun tidak pernah terbias
sebarang kemesraan, namun Zenia kelihatan patuh mencium
tangan lelaki itu setiap kali bertemu.
Apa hubungan mereka berdua? Adik beradik? Tunang?
Kekasih? Atau juga… suami? Ah, semakin berselirat persoalan
tanpa jawapan di kepalanya ini. Dalam hati, Darriz Imdad
benar-benar berharap lelaki itu bukanlah suami Zenia. Sudah
hilang akal namanya kalau dia terjatuh cinta pada isteri orang!
Bibir diketap rapat dengan sebelah tangan menongkat
kepala. Sungguh! Bodohkah dia kerana memuja bayang-bayang
Zenia begini? Hati gagal menafi yang dia sudah jatuh cinta
pandang pertama dengan gadis itu.
Mungkin pada awalnya hati terusik kerana kecantikan
paras yang serba sempurna. Bak kata orang, dari mata turun
terus ke hati. Dan semakin diamati satu per satu sikap Zenia,
dia yakin hatinya terusik bukan kerana paras menawan
semata-mata. Ada perkara lain menjadi penambah mata juga.
Melihat bagaimana tenang dan teliti Zenia
membentangkan hujah ketika mesyuarat dua hari lepas, jiwa
lelakinya kian tertarik. Kematangan Zenia dalam menjawab
soalan-soalan maut yang sengaja dia berikan begitu terserlah.
Hampir melepasi tahap keupayaan Amira yang bergelar Head
of Department. Malahan Amira sendiri lebih banyak meminta
Zenia menjawab dan menerangkan sebarang pertanyaan yang
dia berikan.
Bermula dari saat itu, hati Darriz Imdad mula
meragam. Sering kali dia sengaja mencari peluang untuk
menghampiri Zenia. Tidak mampu bertegur sapa, cukup
sekadar dapat mengerling wajah lembut itu saban hari.
Memang sakit jugalah kepala mahu mencari alasan
untuk naik ke tingkat 20 bertemu Amira. Sampaikan setiausaha
dia menunjuk muka hairan setiap kali dia meminta laporan
yang bukan-bukan daripada Treasury Department.
Mungkin tidak ada sesiapa yang mengerti apa
perasaan di dadanya setiap kali melihat Zenia tekun bekerja.
Namun kalau dikira pada hakikat, Zenia tidak pernah perasan
dia menjeling-jeling setiap kali ke sana. Mengangkat muka
kepadanya pun tidak pernah. Tapi entah kenapa Darriz Imdad
merasakan semua itu berbaloi, cukup bermakna. Ah, takkan
semudah ini dia jatuh cinta?
Bunyi deruman motosikal berkuasa tinggi mengejutkan
lamunannya yang menerawang jauh kepada Zenia. Spontan
anak mata dihalakan lurus ke hadapan. Seperti dijangka, lelaki
yang mengenakan helmet full face itu muncul seperti hari-hari
sebelumnya. Dia lihat lelaki itu mengeluarkan telefon bimbit
dari kocek seluar. Mungkin mahu memaklumkan kepada Zenia
tentang ketibaannya di sini.
Duduk Darriz Imdad mula gelisah. Dia segera
merapatkan tubuh ke stereng, mahu mencari kedudukan yang
paling baik untuk dia terus memerhati. Mata ingin melihat
dengan jelas pandangan, bahasa tubuh dan sentuhan Zenia
kepada lelaki misteri itu.
Beberapa minit menunggu dengan sabar, pandangan
Darriz Imdad kini terhala ke pintu utama. Dia lihat Zenia
tergesa-gesa keluar dengan menjinjing beg tangan dan fail yang
dikepit di bawah lengan. Wajah gadis itu kelihatan biasa-biasa
saja. Tidak ada riak gembira atau teruja, namun tidak juga
menunjuk reaksi kurang senang. Sukar untuk dia meneka apa
perasaan Zenia saat ini. Air muka yang tampak kosong dan
gagal untuk ditembusi.
Perasaan kembali berkocak apabila dia nampak Zenia
tunduk mengucup tangan lelaki itu. Ketenangan Zenia jelas
berbeza dengan reaksi pemuda bertubuh tegap yang kelihatan
marah-marah. Walaupun masih mengenakan helmet yang
menutup muka, dia cukup mengerti makna tangan yang
terawang-awang begitu.
Pelik. Walaupun dimarahi, Zenia langsung tidak
memberikan respons. Gadis itu masih mampu berlagak selamba
biarpun ada beberapa pasang mata yang galak memerhati.
Termasuklah dia di sini. Darriz Imdad yakin yang dia memang
tidak silap melihat.
Memang sudah kerap kali lelaki itu mempamerkan
sikap dingin terhadap Zenia. Dan keadaan itu membuatkan dia
semakin buntu mahu meneka apa hubungan mereka berdua.
Kalau kekasih, kenapa tidak pernah ada gerak-geri yang
menunjukkan kemesraan? Ini seperti ikhlas tidak ikhlas saja
mahu menjemput Zenia.
Melihat Zenia memanjat motor bersaiz besar itu, hati
mula gelisah seperti hari-hari yang lalu. Sudah dia katakan,
dia memang sudah hilang akal. Sukar untuk dinafikan yang
perasaan di dadanya mula dicuit cemburu apabila melihat Zenia
berada di samping lelaki lain. Ah, memang teruk kalau benar
dia sudah terjatuh cinta pada isteri orang!
Lena Zenia terganggu dengan bunyi deringan telefon bimbit
yang memecah kesunyian di kamar tidur. Bibir melepaskan
keluhan geram kerana mimpi yang terganggu. Dengan kelopak
mata masih memberat, tangan teraba-raba mencari telefon
bimbit yang entah di mana letaknya.
Mata dibuka kecil untuk melihat nama si pemanggil.
Dalam hati dia sudah boleh meneka siapa yang mengganggu
pada waktu-waktu begini. Sudah biasa. Dan tatkala sebaris
nama itu dibaca, dia mengeluh malas. Pukul tiga pagi baru tahu
nak balik?
“Helo…” Sapa Zenia dengan suara mendatar.
Menyimpan geram di hati.
“I dekat luar, buka pintu.”
“Kunci rumah you mana?” Soalnya sedikit bengang.
Dah jadi kerja pula tiap-tiap pagi nak kena bukakan pintu!
“You ni kenapa, hah? Kalau I ada kunci, takkanlah I
suruh you bukakan pintu. Fikirlah sikit!”
Zenia mencebik apabila suara itu melantun kasar ke
telinga. Dah tahu menyusahkan orang, nak marah-marah
pulak! Gerutu hatinya geram.
Malas mahu memanjangkan perbalahan, Zenia
segera memutuskan talian. Dia tahu tidak ke mana hasilnya
kalau asyik melayan kepala angin lelaki seorang itu. Kalau dia
menunjukkan sikap yang serupa, pasti semakin kecoh jadinya.
Silap-silap semua jiran tetangga terbangun sama.
Sebelum keluar dari kamar tidur, sempat juga tangan
menyarung pijama berwarna merah jambu ke tubuh. Perlahan
kaki mengatur langkah ke tingkat bawah yang sedikit suram
dan hanya diterangi lampu meja di atas kabinet TV.
Setelah membuka kesemua kunci di pintu utama, daun
pintu dikuakkan luas. Dan kini di ruang mata Zenia, terjengul
wajah Fakhry yang masam mencuka. Tajam anak mata lelaki itu
merenung tepat kepadanya.
“Yang you ni lembap sangat kenapa? You turun dari
bulan ke apa?”
Zenia mengerling geram apabila susah payahnya
sering saja dipandang remeh. Fakhry memang tidak pernah
pandai berterima kasih, dasar hati beku!
“You mabuk lagi, Fakhry?”
“Shut up. It’s none of your business!”
“Tapi you tahu kan yang I tak suka…” Kata-kata Zenia
termati apabila Fakhry mengangkat sebelah tangan sebagai
isyarat menyuruh dia mendiamkan diri. Pandangan mereka
bersatu namun jelas anak mata Fakhry begitu layu seperti
terlalu mengantuk. Mungkin kesan daripada pengaruh alkohol
yang semakin menular di seluruh tubuh.
“You jangan nak membebel macam mak nenek boleh
tak? I penat, I nak tidur!”
Melihat jalan lelaki itu yang terhuyung-hayang
serta bau alkohol yang tajam menusuk ke hidung, hati Zenia
semakin sakit. Tanpa mempedulikan reaksi kurang senang
yang terpeta di mukanya, Fakhry selamba saja menolak dia ke
tepi dan terus melangkah masuk ke dalam rumah. Perlahan
Zenia menggelengkan kepala. Kesal dan terkilan melihat sikap
lelaki itu yang tidak pernah menunjukkan tanda-tanda mahu
berubah.
Sebelum menutup pintu, sempat juga dia menjenguk
ke luar. Manalah tahu kalau-kalau ada yang tertinggal tanpa
sedar. Lagipun bukan sekali dua Fakhry membawa teman
wanitanya balik ke sini, sudah kerap kali.
Melihat kelakuan sumbang yang dilakukan di bawah
bumbung yang sama, Zenia sering makan hati dan menjeruk
rasa. Dia tidak mahu bersubahat dengan gaya hidup Fakhry yang
terlalu liar dan bebas. Tidak sanggup dia berkongsi dosa lelaki
itu kerana dosa dirinya sendiri pun tidak mampu ditanggung.
Tapi bercakap dengan Fakhry boleh diibaratkan seperti
bercakap dengan tiang. Berceramahlah sampai berbuih mulut,
memang Fakhry tidak akan ambil pusing. Sudah acap kali
mereka bertengkar apabila dia menyuarakan rasa tidak puas
hatinya. Tapi itulah, hujung-hujung dia pula yang dijerkah dan
dimarahi. Habis segala benda dibaling ke dinding oleh Fakhry.
Dasar kepala angin!
Setelah menutup dan mengunci pintu dengan rapat,
Zenia berkira-kira mahu naik ke tingkat atas dan menyambung
tidur yang terganggu. Namun saat terpandangkan Fakhry yang
sudah terjelepok lemah di atas sofa, bibir melepas keluhan
perlahan. Dia tahu ada satu tugas lagi yang menanti.
Apa boleh buat, memang beginilah sikap Fakhry setiap
kali mabuk. Tidur ikut suka asal saja boleh landing kepala. Apa
salahnya kalau berjalan terus masuk ke bilik? Dan sekarang
satu kerja pula dia nak menguruskan lelaki itu.
Dalam pada merungut-rungut, Zenia melangkah juga
ke bilik tetamu di tingkat bawah. Dicapai dua biji bantal dan
selimut tebal sebelum kembali ke ruang tamu. Fakhry pula
sudah berdengkur halus, sudah jauh terlena dibuai mimpi yang
entah apa.
Dengan perasaan berbuku, Zenia duduk melutut di
hadapan Fakhry. Pergerakannya begitu perlahan dan penuh
hati-hati. Bimbang jika lelaki itu tersedar dan naik angin seperti
selalu.
Kasut dan stoking yang tersarung di kaki Fakhry
dilucutkan. Kemudian tubuh tegap itu ditutup dengan selimut
tebal bagi mengelakkan Fakhry kedinginan sepanjang malam.
Selepas itu, Zenia mengalaskan pula bantal di bawah kepala
Fakhry supaya tidur lelaki itu lebih selesa.
Nafas dihela berat. Lama mata merenung seraut wajah
yang samar-samar di pandangan. Sungguh, semakin hari dia
semakin bosan dengan kehidupan begini. Sampai bila dia perlu
bersabar, perlu menelan setiap kepahitan yang dihadiahkan
oleh Fakhry?
Dia hanya manusia biasa, manusia yang begitu ingin
hidup bahagia dibaluti perasaan cinta. Tapi dengan lelaki ini
mungkinkah semua itu mampu dikecapi?
Sekali lagi wajah tampan Fakhry direnung redup.
Entah mengapa jalan takdir dunia ini telah menemukan mereka
berdua. Setakat bertemu mungkin dia tidak terlalu ralat, tapi
kini takdir telah meletakkan syurganya di telapak kaki Fakhry.
Suka atau tidak, dia tetap perlu patuh dan tunduk dengan
kemahuan Fakhry.
Seperti perempuan lain, Zenia juga punya impian.
Punya angan-angan untuk membina hidup yang lebih bahagia.
Tapi malangnya dia tidak berhak untuk memilih, tidak
berpeluang untuk mencari siapa yang dingini oleh hati sendiri.
Aturan Allah telah menempatkan dia di sisi Fakhry, dan dia
tidak pernah mengerti apa hikmah di sebalik perkahwinan ini.
Sebanyak mana pun menjeruk rasa, Zenia tahu dia
terpaksa bersabar dan terus bersabar. Soal kebahagiaan atau
angan-angan seindah hikayat dongeng terpaksa ditolak ke
tepi demi membalas budi yang pernah diterima. Pengorbanan
dirinya terlalu kecil jika mahu dibandingkan dengan jasa besar
yang disumbangkan kepadanya bertahun-tahun dahulu.
Mungkin cinta tidak datang sekelip mata, dan Zenia
yakin dia mampu belajar mencintai suaminya perlahan-lahan.
Tapi semua itu hanya boleh dilakukan jika Fakhry berjanji
meninggalkan satu per satu sikap buruknya. Tidak ke kelab
malam, tidak berfoya-foya dengan perempuan lain dan berhenti
membenci perkahwinan ini yang diatur keluarga mereka. Dan
mereka boleh sama-sama mencari kebahagiaan yang tidak
pernah wujud sejak dua tahun yang lalu.
Anak mata kembali berlari ke wajah Fakhy yang tenang
terlena. Hati ditikam perasaan sayu dan pilu. Tuhan, mahukah
Fakhry melakukan semua itu?
No comments:
Post a Comment