DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 26 May 2016

Mr Secret Admirer - Bab 4

Kini hanya tinggal Zureen bersendirian di
bilik Redza. Datin Raja Fatimah keluar sebentar untuk
menghantar Dr. Rashdan. Pintu bilik dibiarkan terbuka.
Walau dalam keadaan apa jua sekalipun, Zureen tetap perlu
berhati-hati. Dia sedar, bila bekerja dalam keadaan berduaduaan,
apatah lagi mereka berdua bukan muhrim, jika tidak
berhati-hati boleh menimbulkan fitnah. Zureen mesti
sentiasa memelihara maruah dirinya di samping tidak
mengabaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan
kepadanya.
Zureen termenung seketika. Tidak tahu apa yang
harus dilakukan ketika itu. Walaupun senarai tugas yang
harus dilakukan telah sedia menanti, namun apabila
melihatkan Syed Redza yang masih lena tidur, dia jadi
bingung. Sepatutnya, sekarang adalah masa untuk Syed
Redza makan ubat. Dr. Rashdan telah berkali-kali
mengingatkannya agar mematuhi waktu pemberian ubat
kepada Syed Redza.
“Macam mana ni? Nak kejut ke tidak ni? Kalau tak
kejut, macam mana nak bagi makan ubat? Tapi... kalau aku
kejutkan dia, nak ke dia bangun? Silap-silap aku pula kena
tengking dengan dia!” Zureen bercakap sendiri.
Zureen masih berkira-kira. Dia benar-benar serba
salah. Kali pertama untuk menguruskan Syed Redza, sudah
pasti perasaannya sangat berdebar-debar. Apatah lagi
mendengar cerita daripada Datin Raja Fatimah sendiri
mengenai perangai Syed Redza dan apa yang telah dilakukan
kepada jururawat-jururawat peribadinya sebelum ini. Ah! Apa
pun yang berlaku, aku harus kuat. Akhirnya Zureen
memutuskan untuk mengejutkan sahaja Syed Redza.
“Kalau aku nak tunggu dia bangun, sampai bila pun
tak dapat bagi dia makan ubat!” gumam Zureen.
Zureen memberanikan diri mengejutkan Syed
Redza.
“Encik Redza.... Encik Redza... bangun.. Sekarang
masa untuk Encik Redza makan ubat.” Zureen mengejutkan
dengan suara yang lembut.
Zureen sedar, dia harus berhati-hati. Umpama
mengejut harimau yang sedang tidur, kalau tersilap langkah,
dia akan dibahamnya.
Masih tiada reaksi daripada Syed Redza. Tidur mati
ke apa ni? Zureen mula merungut. Namun, dia tidak
berputus asa. Dicubanya lagi mengejutkan Syed Redza. Kali
ini suaranya sedikit ditekan. Manalah tahu kalau-kalau
memang Syed Redza tidak sedar langsung.
“Encik Redza... bangunlah. Dah sampai masa Encik
Redza makan ubat ni!” Dibongkokkan sedikit badannya dan
suaranya sengaja dihalakan dekat dengan telinga Syed Redza.
Syed Redza tersentak. Matanya dibuka sedikit. Dia
menjeling Zureen seketika. Tajam jelingannya seolah-olah
memberi amaran JANGAN GANGGU AKU! Kemudian
matanya dipejamkan kembali.
Aikk? Tidur balik? Dia ni sengaja nak mencabar aku
ke? Tak boleh jadi ni!
“Encik Redza... bangunlah! Sampai bila Encik
Redza nak tidur ni?” Zureen sedikit menjerit.
Dia tidak peduli kalau Syed Redza akan
menengkingnya. Apa? Ingat aku takut ke? Ini Zureenlah!
Entah semangat apa yang telah menyerap ke dalam dirinya
hingga menjadikan dia begitu berani. Hilang sudah perasaan
takutnya tadi.
Syed Redza membuka matanya. Siapa budak
perempuan ni? Berani aje dia nak jerit-jerit kat aku!
“Hei! kau ni siapa hah? Apa hal kau nak jeritjeritkan
aku? Siapa yang benarkan kau masuk bilik aku ni?”
Suara Syed Redza tidak kurang kuatnya.
Kurang ajar betul! Belum ada sesiapa pun sebelum
ini yang berani memperlakukan dirinya seperti yang
dilakukan oleh budak perempuan itu tadi!
Terkedu seketika Zureen apabila dijerkah sebegitu
kuat. Namun, dia tidak boleh mengalah begitu sahaja. Jika
dia mengalah, sampai bila-bilalah Syed Redza akan
berkelakukan seperti itu sedangkan dia sudah berjanji kepada
Datin Raja Fatimah untuk membantu merawat Redza dari
segi fizikal dan mentalnya.
“Haa... sedar pun! Ingatkan dah mati tadi!” Zureen
pun tidak sangka dia boleh mengeluarkan kata-kata seperti
itu.
Ah! Biarlah. Kadang-kadang orang yang kurang ajar
seperti Syed Redza juga perlu dilayan dengan cara kurang
ajar. Mungkin dengan cara ini sahaja boleh membetulkan
semula sikap Syed Redza itu.
Kali ini Syed Redza benar-benar tersentak dengan
ungkapan yang keluar dari mulut gadis comel itu sehingga
dia terus terbangun dan duduk menghadap Zureen. Matanya
tajam menikam merenung Zureen. Siapa dia ni? Kenapa
begitu berani sekali? Tak padan dengan kecil, bukan main
bisa lagi mulutnya! Getus hati Syed Redza.
Zureen dan Syed Redza saling berbalas renungan.
Dua renungan yang membawa tafsiran berbeza. Renungan
Zureen yang mengharapkan Syed Redza kembali kepada
dirinya yang asal, manakala renungan Syed Redza yang
penuh dengan dendam dan api kebencian terhadap kaum
sejenis Zureen.
“Hei, perempuan! Apa masalah kau ni hah? Yang
kau nak menyibuk hal aku ni apa hal? Kau siapa nak jeritjeritkan
aku ni?” Bergegar banglo mewah itu dengan jeritan
Syed Redza. Dia betul-betul hilang sabar dengan Zureen.
“Habis tu, dah orang kejut elok-elok tak reti nak
bangun, apa lagi, jeritlah! Kalau tak dijerit tadi, mesti Encik
Redza tak bangun-bangun lagi, kan??!!” Zureen tidak mahu
kalah. Suaranya sama kuat Syed Redza.
Zureen sudah nekad. Apa nak jadi, jadilah! Syed
Redza memang perlu diajar.
Datin Raja Fatimah yang terdengar jeritan Syed
Redza dan Zureen bergegas menuju ke bilik anak bujangnya.
Dia bimbang jika sesuatu yang buruk berlaku dan yang
paling membimbangkannya jika Zureen juga akan bertindak
meninggalkan Syed Redza seperti jururawat-jururawat
sebelum ini.
Sementara itu, di dalam bilik, Syed Redza sudah
hilang sabar dengan keberanian Zureen. Tangannya sudah
diangkat untuk menampar pipi gebu Zureen. Mujur Datin
Raja Fatimah sampai tepat pada masanya.
“Redza!! Stop it,” jerit Datin Raja Fatimah sambil
meluru ke arah Syed Redza. Dia tidak menyangka Syed Redza
akan bertindak sejauh itu kerana sebelum ini, Syed Redza
hanya akan menengking atau mengherdik jururawat yang
merawatnya.
“Redza..... kenapa ni? Kenapa sampai nak angkatangkat
tangan? Mengucap sayang... Istighfar banyak-banyak,”
Datin Raja Fatimah cuba untuk menenangkan Syed Redza.
Dipeluk anak bujangnya itu persis si ibu yang sedang
memujuk anak kecilnya.
Zureen pula hanya diam terpaku. Dia sendiri juga
agak terkejut dengan tindakan drastik Syed Redza itu. Kini
dia sedar, bahawa dia sangat memerlukan kesabaran yang
tinggi apabila berhadapan dengan Syed Redza.
Tiba-tiba hatinya menjadi sayu dan terharu dengan
kelembutan dan kesabaran Datin Raja Fatimah melayan Syed
Redza. Hampir saja dia berputus asa tadi apabila melihat
penerimaan Syed Redza terhadap dirinya, namun tidak
sampai hati pula melihat pengorbanan Datin Raja Fatimah
dalam usaha untuk memulihkan anak tunggalnya itu.
“Mama.... dah banyak kali Redza beritahu yang
Redza tak perlukan sesiapa untuk jaga Redza. Redza bukan
budak kecil yang nak kena jaga. Cukuplah Dr. Rashdan
sorang aje yang rawat Redza. I don’t need any outsider to
take care of me and not even that rude girl!” balas Syed
Redza dengan marah sambil matanya menjeling ke arah
Zureen.
“Redza... please... Kalau Redza sayangkan mama,
tolonglah dengar cakap mama... Mama merayu... cuma sekali
ni saja mama minta Redza dengarlah cakap mama. Mama
yang minta tolong Zureen untuk jaga Redza. Dia datang ke
sini untuk bantu mama... untuk bantu Redza... mama tak
minta yang lain... mama cuma minta Redza beri peluang
untuk Zureen jalankan tugasnya. Itu saja!” Datin Raja
Fatimah merayu. Air jernih sudah kelihatan bergenang di
kelopak matanya.
Zureen masih terpaku di sudut yang sama. Dia
tidak tahu apa yang harus dilakukan ketika itu. Dia masih
terharu melihat kesungguhan Datin Raja Fatimah.
“Okay fine... Redza terima dia sebab mama... kalau
sebab budak kurang ajar tu, Redza lebih rela tanggung sakit
Redza ni selama-lamanya.” Akhirnya Syed Redza tunduk juga
dengan rayuan ibunya walaupun sekaligus seolah-olah
sedang memberi amaran kepada Zureen.
Sabar Zureen, sabar! Zureen yakin jika dia ikhlas
menjalankan tugasnya, pasti Allah akan mempermudahkan
tugasnya. Itulah doa dan harapannya ketika itu.
“Thanks sayang... Redza janji dengan mama yang
Redza tak akan buat macam tadi lagi ya?”
Syed Redza hanya mengangguk. Namun, matanya
sesekali masih menjeling tajam ke arah Zureen seolah-olah
memberi amaran, YOU BETTER WATCH OUT!!
Kecut perut Zureen melihat jelingan tajam Syed
Redza itu.
“Okay now... Redza bangun... pergi mandi...
Sekejap lagi Zureen nak bagi makan ubat.”
“Zureen... tolong auntie ambilkan tongkat Redza,”
arah Datin Raja Fatimah sambil membantu untuk memapah
Syed Redza bangun dari katilnya.
Zureen menghulurkan tongkat kepada Syed Redza.
Disambutnya dengan agak kasar. Masih berbaki lagi sisa
kemarahannya terhadap Zureen atas kelancangan mulut
gadis comel itu. Dengan terdengkot-dengkot Redza berjalan
menuju ke bilik air.
Apabila sudah pasti Syed Redza berada di dalam
bilik air, Datin Raja Fatimah segera menghampiri Zureen.
“Maafkan auntie atas kelakuan Redza kepada
Zureen tadi.” Digenggamnya tangan Zureen erat.
“It’s okay auntie... Zureen pun nak minta maaf
sebab Zureen dah terlepas cakap kepada Encik Redza tadi.
Zureen betul-betul tak sengaja.”
“Tak apa, auntie faham. Auntie harap Zureen tak
putus asa. Zureen kena banyak-banyak bersabar sebab...
auntie tahu Redza macam mana. Dia anak auntie. Sikap
sebenarnya bukan begitu. Kalau Zureen boleh bersabar,
auntie yakin Redza akan berubah.”
“Insya-Allah auntie. Selagi terdaya, Zureen akan
cuba.”
“Thanks sayang... Okey auntie keluar dulu ya. Don’t
worry, auntie tahu Zureen boleh buat,” ujar Datin Raja
Fatimah sambil menepuk-nepuk bahu Zureen. Datin Raja
Fatimah segera berlalu meninggalkan Zureen untuk
memulakan tugasnya.
Lebih kurang 15 minit menunggu, akhirnya Syed
Redza muncul dari bilik air. Zureen cukup terperanjat apabila
melihat Syed Redza hanya bertuala. Merah padam mukanya
menahan malu. Badannya menggeletar hingga dia terlupa
apa yang patut dilakukannya. Zureen segera memalingkan
badannya membelakangkan Syed Redza.
“Hishh... salah aku juga. Yang aku pergi tunggu dia
keluar dari bilik air tu kenapa? Patutnya aku tunggu di luar
biliknya aje,” gumam Zureen.
“Hah! Apa lagi yang kau tercegat kat situ? Ambilkan
baju aku! Kau nak sangat jaga aku kan? Mulai hari ni, kau
kena sediakan semua keperluan aku!” sergah Syed Redza.
“Datin beritahu saya yang saya dibayar gaji untuk
menjadi jururawat Encik Redza saja. Bukan jadi orang
suruhan Encik Redza. Saya hanya menguruskan berkaitan
penjagaan kesihatan Encik Redza sahaja!” balas Zureen tidak
puas hati.
“Itu mama aku yang cakap! Kalau kau nak aku
bekerjasama dengan kau, ikut arahan aku! Kau tak nampak
kaki aku ni tak boleh berjalan? Kau nak suruh aku buat
sendiri semua? Kalau aku boleh buat semua, tak payahlah
mama aku susah payah buang duit gajikan kau! Faham?”
Ya Allah... sabarkanlah hatiku ini! Kalau tak
disebabkan aku dah terjanji dengan mama kau tu, dah lama
aku tinggalkan manusia tak tahu bersyukur, kepala batu
macam kau ni tahu tak? Namun, kata-kata itu hanya setakat
menjerit dalam hatinya sahaja.
Dengan penuh rasa terpaksa, Zureen akur juga
dengan arahan si kepala batu itu. Dia membuka almari
pakaian Syed Redza. Dia benar-benar bingung. Tidak tahu,
baju apa yang patut diambilnya. Malas mengusutkan
fikirannya, dicapai sehelai t-shirt berwarna hitam. Kemudian
dihulurkannya kepada Syed Redza dengan keadaan masih
membelakangkan Syed Redza. Tidak sanggup untuk melihat
Syed Redza yang hanya bertuala sahaja.
“Kau nak suruh aku pakai baju dengan tuala mandi
ni aje ke?”
Malas bertekak, dicapainya sehelai track bottom
berwarna putih dan dihulurkan kepada Syed Redza.
“Kau nak suruh aku terus pakai track bottom ni aje
ke?”
Ya Allah. Apa lagi yang si kepala batu ni hendak?
Zureen mula berang.
“Encik Redza nak apa lagi?” Suaranya masih cuba
dikawal.
“Spender aku!!”
“What??!! Encik Redza ni dah melampau!” Zureen
terus sahaja berlari keluar meninggalkan Redza yang ketawa
besar.
“Hah! Padan muka kau! Nak sangat jaga aku kan?
Tadi bukan main bisa lagi mulut kau ya?? Aku ingatkan
berani sangat?” Sengaja dijeritkan suaranya sambil ketawa.
Zureen menerpa masuk ke dalam biliknya. Tanpa
disedarinya, dia telah menghempas pintu bilik dengan agak
kuat ketika ingin menutupnya. Badannya menggeletar dan
wajahnya pucat lesi. Badannya dirasakan seram sejuk tibatiba.
Apa yang berlaku sebentar tadi sungguh tidak
diduganya. Belum pernah lagi dia mengalami keadaan seperti
itu. Dia duduk memeluk lututnya di atas katil. Badannya
digoyangkan ke hadapan dan ke belakang bagi
menghilangkan perasaan takutnya itu.
“Ya Allah... Macam mana aku nak bekerja kat sini
kalau begini keadaannya? Aku tak kuat Ya Allah... Tolonglah
hamba-Mu ini. Permudahkanlah segala urusanku. Aku tak
sampai hati nak mengecewakan auntie tapi.... aku takut Ya
Allah.” Zureen merintih.
Baginya, dia mampu bersabar dan rela menerima
apa juga tengkingan atau herdikan daripada Syed Redza tapi
dia cukup takut jika insiden seperti tadi akan berlaku lagi.
Walaupun Syed Redza memang tidak melakukan apa-apa
kepadanya, namun baginya, tindakan lelaki itu tadi telah
sedikit sebanyak mencalarkan maruah dirinya sebagai
seorang wanita.
Sedang dia berkira-kira apakah yang patut
dilakukan seterusnya, tiba-tiba kedengaran pintu biliknya
diketuk. Zureen segera menyeka air matanya. Dia tahu pasti
Datin Raja Fatimah ingin memujuknya. Dia tidak mahu
Datin Raja Fatimah melihatnya mengalirkan air mata. Dia
juga tidak mahu menunjukkan sikapnya yang mudah
mengaku kalah walaupun perjuangannya belum pun
bermula.
“Aku mesti kuat!!” bisiknya untuk memberikan
kekuatan kepada dirinya sendiri sebelum membenarkan
Datin Raja Fatimah memasuki biliknya.
Riak kebimbangan jelas tergambar di wajah Datin
Raja Fatimah sewaktu wanita itu masuk ke bilik Zureen. Dia
segera menerpa ke arah Zureen.
“Kenapa ni sayang? Zureen okey ke? Redza ada buat
apa-apa ke pada Zureen? Kenapa muka Zureen pucat ni?”
Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut Datin Raja
Fatimah.
Dia benar-benar bimbang. Walaupun dia sendiri
tidak tahu apa yang berlaku sebenarnya. Niatnya tadi ingin
melihat bagaimana Zureen memulakan tugasnya, namun
sebaik sahaja dia memasuki bilik anak bujangnya, didapati
Zureen tiada di situ. Ubat yang sepatutnya dimakan oleh Syed
Redza juga masih belum terusik.
Syed Redza pula dilihatnya kelihatan tenang duduk
di atas kerusi rodanya di balkoni seolah-olah tiada apa yang
berlaku.
“Redza, mana Zureen? Kenapa Zureen tak bagi
Redza makan ubat lagi ni?” soal Datin Raja Fatimah yang
agak pelik. Apa yang sebenarnya berlaku? Adakah anak
bujangnya itu ada melakukan sesuatu kepada Zureen?
“Manalah Redza tahu, ma... macam manalah mama
boleh ambil budak kurang ajar tu untuk jadi jururawat
Redza? Dahlah pemalas, makan gaji buta aje. Kalau dialah
yang nak tolong rawat Redza, ma... nampak gayanya Redza ni
bukan makin sembuh, makin sakit lagi adalah. Tengoklah
tadi tu, belum apa-apa dah berani nak menjerit-jerit macam
tu. Kurang ajar betul!” balas Redza cuba untuk melepaskan
perasaan tidak puas hatinya. Insiden dijerkah oleh gadis itu
masih tidak dapat dilupakannya.
“Redza.... jaga sikit mulut tu!” Tanpa sengaja, Datin
Raja Fatimah telah meninggikan suaranya.
Selama ini dia cukup berhati-hati apabila bersama
anak bujangnya itu kerana dia tahu Syed Redza yang ada di
hadapannya kini bukan Syed Redza yang dahulu. Syed Redza
kini cukup sensitif sebab itulah Datin Raja Fatimah sentiasa
berlembut dengan anak bujangnya itu. Dahulu anak
bujangnya itu cukup periang orangnya. Malah, dia sendiri
sebagai ibu sering dijadikan bahan usikan anaknya ketika
bergurau.
Sebagai anak tunggal, sudah pasti Syed Redza agak
kebosanan apabila berada di banglo mewah itu. Bagi
menghilangkan kebosanan, Datin Raja Fatimahlah menjadi
tempat untuk bergurau atau tempat untuk mencurah
perasaannya. Bagi Syed Redza, mamanya itu adalah segalanya
tetapi kini keadaan sudah berubah. Semenjak sedar daripada
koma, Syed Redza lebih banyak mendiamkan diri. Sepatah
yang ditanya, sepatah jualah yang dijawabnya.
Syed Redza agak tersentak dengan jeritan mamanya
itu. Belum pernah mamanya melayannya sebegitu selama ini.
Adakah disebabkan budak kurang ajar itu mamanya jadi
begini? Jika benar, apa istimewanya dia?
Seolah-olah baru tersedar keterlanjurannya, Datin
Raja Fatimah segera menghampiri Syed Redza. Seperti biasa,
dipeluk dan dibelainya anak bujangnya itu. Kesal sungguh
hatinya kerana tidak dapat menahan amarahnya apabila Syed
Redza menghina Zureen. Dia sendiri jadi bingung kenapa dia
begitu mengambil berat tentang Zureen malahan, tidak
keterlaluan jika dikatakan, dia amat menyayangi dan
menyenangi Zureen walaupun baru sahaja mengenali gadis
itu. Baginya, Zureen bukan gadis biasa.
“Redza.... mama minta maaf. Mama tak sengaja.”
Datin Raja Fatimah mengambil tempat di sebelah
Syed Redza. Dia memeluk bahu Syed Redza dan kepalanya
dilentokkan di bahu anak bujangnya itu seolah-olah dia yang
sedang bermanja dengan anaknya itu.
“Redza.... Redza tahu kan mama sangat sayangkan
Redza? Redza tahu kan macam mana mama dan papa
sayangkan Redza? Mama buat semua ni sebab mama nak
Redza pulih seperti dulu. Mama nak sangat tengok Redza
yang ceria dan periang seperti dulu. Redza tahu tak, setiap
kali mama tengok Redza dalam keadaan macam ni, hati
mama cukup hancur.... dan sebab itulah mama cuba cari
jururawat terbaik untuk bantu mama, papa dan Dr. Rashdan
untuk merawat Redza.....”
“Jururawat terbaik? Budak perempuan yang
berperangai kurang ajar macam tu mama kata jururawat
terbaik? Kalau setakat budak yang entah dari mana tu yang
nak tolong rawat Redza ma, Redza lebih rela selamanya
dalam keadaan macam ni.”
“Sayang.... tak baik Redza cakap macam tu. Redza
tak percayakan mama? Takkanlah mama nak ambil jururawat
yang tak senonoh untuk merawat Redza. Dah tentulah mama
akan cari yang terbaik untuk bantu Redza. Mama tahu
Zureen tu macam mana.”
“Dah berapa lama mama kenal dia? Setahun? Dua
tahun? Macam mana mama boleh percayakan sangat dia
kalau mama pun baru aje kenal dengan dia?”
“Sayang.... sebagai seorang ibu, nalurinya tak
pernah salah. Memang mama akui mama baru aje kenal
dengan Zureen semalam tapi.... mama tak tahu kenapa naluri
mama seolah-olah dah kenal Zureen lama. Mama percaya dia
ikhlas. Dia memang perlukan kerja ni. Redza kena ingat,
Zureen tu pun manusia biasa. Ada perasaan. Tentulah dia pun
hilang sabar kalau Redza memaki hamun dia sedangkan dia
datang ke sini untuk tolong rawat Redza. Mama mohon
sangat, Redza janganlah ulang lagi sikap yang sama Redza
lakukan kepada jururawat-jururawat sebelum ni sebab kalau
Zureen pun mengambil tindakan yang sama, mama belum
pasti mama akan dapat lagi jururawat sebaik Zureen lagi...”
Syed Redza hanya mendiamkan diri. Dia malas
untuk terus berbalas cakap dengan mamanya. Semenjak
sedar daripada koma, memang dia lebih senang berdiam diri
daripada berkata-kata.
“Sayang.... mama tanya lagi sekali, apa yang dah
Redza buat kepada Zureen sampai dia keluar dari bilik Redza
ni sebab setahu mama dia memang tunggu Redza dari tadi
untuk bagi makan ubat.”
“Redza tak buat apa-apalah, ma.... Mama tanyalah
dia sendiri... Macam mana nak sembuhkan Redza kalau
setakat benda kecil macam tu pun dah tak boleh nak
handle?”
“Benda kecil? Maknanya memang Redza ada buat
sesuatulah kepada Zureen?”
Syed Redza tidak menjawab sebaliknya hanya
senyuman sinis yang tersungging di bibirnya. Dalam hatinya
menyorak.
“Padan muka kau! Itu baru sikit. Kau tunggulah
apa aku akan buat kalau kau tunjukkan lagi sikap kurang ajar
kau tu!” bisiknya.
Datin Raja Fatimah hanya menggelengkan kepala.
Dia segera bangun meninggalkan Redza. Dia sedar, dia perlu
segera memujuk Zureen. Dia amat bimbang jika Zureen akan
berputus asa.
Apabila melihat keadaan Zureen yang seolah-olah
ketakutan, Datin Raja Fatimah amat pasti bahawa memang
sesuatu telah berlaku antara Zureen dan anak bujangnya itu.
Walaupun Zureen cuba menafikan apa yang telah berlaku,
namun nalurinya kuat mengatakan Zureen cuba untuk
menyembunyikannya. Apatah lagi senyum sinis yang terukir
di bibir Syed Redza tadi, dia pasti telahannya benar.
“Sayang.... cuba cakap dengan auntie apa yang dah
Redza buat kepada Zureen? Zureen jangan takut. Zureen
boleh beritahu auntie kalau ada apa-apa yang Redza buat
kepada Zureen,” pujuk Datin Raja Fatimah dengan lembut.
“Tak ada apa-apalah auntie... Betul, Zureen tak
tipu.” Zureen masih cuba menafikan kerana sebolehbolehnya
dia tidak mahu Datin Raja Fatimah tahu apa yang
telah berlaku. Biarlah ia menjadi rahsia antara dirinya
dengan Syed Redza sahaja.
Malas untuk terus mendesak, akhirnya Datin Raja
Fatimah mengalah. Biarlah jika Zureen ingin
merahsiakannya. Mungkin Zureen mempunyai alasannya
tersendiri untuk berbuat begitu.
“Betul ni tak ada apa-apa?”
Zureen hanya tersenyum sambil menganggukanggukkan
kepalanya.
“Okey, kalau betul tak ada apa-apa, kenapa Zureen
masih tak bagi anak auntie makan ubat lagi? Dah lewat
sangat ni tau?” Datin Raja Fatimah masih cuba mengorek
rahsia.
Zureen bingkas bangun dari katilnya sebaik sahaja
mendengar pertanyaan Datin Raja Fatimah itu.
“Alamak! Dah lewat ke? Okey... Okey, Zureen pergi
sekarang... Oh! Ya..” Langkah Zureen terhenti kembali. Dia
seolah-olah sedang berfikir seketika.
“Kenapa Zureen?” soal Datin Raja Fatimah yang
melihat Zureen dengan pandangan pelik. Apa pula kali ini?
“Hmmm.... Auntie, Zureen minta maaf. Boleh tak
auntie keluar sekejap. Zureen nak salin baju.”
“Salin baju? Kenapa? Zureen nak pakai baju apa?”
Datin Raja Fatimah tambah pelik.
“Adalah.....” balas Zureen sambil tersengih-sengih.
Datin Raja Fatimah menarik nafas lega. Dia berlalu
meninggalkan Zureen dengan perasaan pelik. Biar pun
Zureen cuba berahsia, namun sekurang-kurangnya dia tidak
perlu risau akan kehilangan Zureen.
“Auntie...”
Langkah Datin Raja Fatimah terhenti kembali
sebaik mendengar Zureen memanggilnya.
“Ada apa Zureen?”
“Auntie... Auntie kata auntie percayakan Zureen
kan?”
Datin Raja Fatimah tersenyum mengangguk.
“Ya.... Auntie percayakan Zureen.... kenapa?”
“Kalau auntie percayakan Zureen, Zureen harap
kalau ada sesuatu tindakan Zureen terhadap Redza yang tak
menyenangkan hati auntie atau agak keras dan kasar, auntie
janganlah terperanjat ya.... Dan kalau boleh biarkan saja
Zureen dengan Redza aje masa tu. Auntie jangan berada
bersama kami ketika tu... Boleh auntie?”
Datin Raja Fatimah agak pelik dengan permintaan
Zureen itu. Menyedari Datin Raja Fatimah yang
kebingungan, Zureen terus sahaja menerangkan.
“Auntie... Zureen buat macam tu sebab Zureen nak
tolong anak auntie sebab kadang-kadang kita perlukan cara
yang lebih agresif untuk memulihkan kembali Redza jika
dengan cara lembut masih tak mampu mengubah dirinya.
Percayalah, Zureen akan pastikan kesihatannya tidak akan
terjejas dan tiada sebarang perkara buruk yang berlaku....
insya-Allah.”
Datin Raja Fatimah menarik nafas panjang. Redup
matanya memandang Zureen. Daripada kata-kata gadis itu,
dia tahu Zureen ikhlas ingin membantunya.
Akhirnya, Datin Raja Fatimah kembali tersenyum
dan mengangguk tanda bersetuju. Zureen terus menerpa ke
arah Datin Raja Fatimah dan memeluk wanita itu dengan
penuh kasih.
“Terima kasih auntie.... terima kasih. Insya-Allah,
Zureen takkan hampakan auntie.”
Setelah Datin Raja Fatimah berlalu pergi, Zureen
kembali kepada misi untuk menyalin pakaiannya. Entah
kenapa, tiba-tiba idea itu terlintas dalam fikirannya. Apa yang
pasti, Zureen yakin idea spontannya itu akan dapat
membantunya menjalankan tugas dengan baik dan ia juga
adalah merupakan titik permulaan kepada kariernya sebagai
jururawat peribadi kepada seorang lelaki sejuk beku kepala
batu, Syed Redza bin Dato’ Syed Munawar.

No comments:

Post a Comment