DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 12 May 2016

Yang Bermukim Di hati - Bab 15

SUDAH lama Aina Yasmin berdiri di lobi. Mastura
telah menyuruh dia tunggu di lobi sahaja manakala dia ke
basement untuk mengambil kereta.
‘Apa lama sangat nak ambik kereta ni? Mana Mas
ni?’ Dia tahu dia tidak mungkin dapat menelefon rakannya
itu memandangkan kesukaran mendapat talian di bahagian
basement bangunan itu.
“Min.”
Aina Yasmin menoleh. Dia melihat Mastura
tercungap-cungap keluar dari pintu lif lalu berjalan menuju
ke lobi.
“Kereta tak boleh startlah… Aku rasa bateri kereta
aku tu kong.”
“Laaa… ya ke? Nak aku call along minta tolong dia
panggilkan mekanik ke? Boleh dia datang ambik kita sekali
kat sini.” Aina Yasmin melontarkan cadangan.
“Eh, tak payah. Aku dah call pun. Kejap lagi diaorang
sampai. Kau baliklah dulu. Aku kena tunggu mekanik.”
“Hesy, tak naklah aku balik dulu. Aku tunggu sekali
dengan kau jelah.” Tidak sampai hati pula membiarkan
Mastura dengan masalah keretanya. Padahal datang kerja
bersama-sama. Balik pun mestilah bersama-sama, kan?
“Min, Mas… ada apa ni?”
Spontan Aina Yasmin dan Mastura menoleh ke arah
suara itu. Ameer Aazad berdiri berhampiran mereka sambil
menjinjing beg bimbit.
‘Dia ni dari mana? Tahu-tahu muncul je,” gumam
Aina Yasmin. Dengan dua butang teratas pada kemeja yang
sudah dibuka, Ameer Aazad nampak seksi dan menggoda. Bisa
menggoncang keimanan gadis naif seperti Aina Yasmin. Aina
Yasmin melarikan mata daripada melihat bulu dada Ameer
Aazad yang mengintai keluar dari dalam kemeja. ‘Hesy! Tak
pasal-pasal berdosa aku tengok benda yang tak sepatutnya
aku tengok!’
“Kereta Mas tak boleh nak start, bang. Mas dah
call mekanik. Mas dah suruh Min balik dulu, tapi dia ni nak
tunggu Mas pulak.” Jelas Mastura kepada Ameer Aazad. Dia
melayangkan tangannya ke arah Aina Yasmin.
“Kau ni! Biarlah aku tunggu kau. Nanti kau
sorang-sorang je kat basement tu dengan si mekanik tu
nanti, kau tak takut ke?” Aina Yasmin mencelah.
“Errr… macam ni. Biar abang call driver abang
minta dia tunggu dengan Mas kat sini. Sebab abang ada hal
nak jumpa Min kejap. Min ikut abang, ya? Nanti abang hantar
Min balik rumah.” Ameer Aazad memberikan cadangan.
Aina Yasmin baru sahaja hendak membuka mulut
untuk menolak cadangan Ameer Aazad itu, namun Mastura
lebih pantas bertindak.
“Hah! Cantik! Boleh jugak macam tu. Min, kau
pergilah dengan Abang Aazad. Aku okey je kat sini… no
hal…”
Sedang Ameer Aazad mencapai telefon bimbitnya
dari dalam poket untuk menelefon pemandunya, Aina Yasmin
sudah memberi isyarat mata kepada Mastura. Berkerut
dahinya. Tidak suka betul dengan apa yang telah dirancang
kini. Mastura menjongketkan kening. Pura-pura tidak
mengerti dengan isyarat yang cuba dihantar temannya itu.
Akhirnya Aina Yasmin mendekati Mastura dan berbisik ke
telinganya.
“Aku tak nak ikut Abang Aazad.”
“Alaaah, kau nak tunggu sini buat apa? Kau pergi
jelah.” Balas Mastura, juga dengan nada berbisik.
Ameer Aazad hanya memerhatikan gelagat
tunangnya bersama Mastura dengan ekor mata. Mengerti
bahasa tubuh tunangnya itu yang meronta-ronta tidak mahu
berdua-duaan dengannya. Rancangan yang dicipta dengan
pertolongan Mastura sejak pagi tadi nampak berhasil.
Untung juga Aina Yasmin tinggal bersama Mastura.
Ameer Aazad sudah lama kenal dengan Mastura. Satu
kampunglah katakan. Syukur Mastura sudi membantu. Kalau
tidak, jangan harap dia bisa berjumpa dengan Aina Yasmin.
Gadis itu asyik mahu mengelak sahaja.
Tidak lama kemudian, kelibat seorang pak cik dalam
lingkungan usia lima puluhan dan siap beruniform datang
menghampiri Ameer Aazad.
“Mas, ni Pak Cik Sidek, driver abang. Pak cik, tolong
tunggu kawan saya ni, ya? Macam saya cakap dalam telefon
tadi,” arah Ameer Aazad kepada orang tua tadi. “Min, jom?”
Aina Yasmin menjeling Mastura tanda tidak puas
hati sebelum mengekori Ameer Aazad. Langkahnya berat. Dia
geram. Mastura pula sempat mengenyitkan matanya kepada
Aina Yasmin.
“Kita nak ke mana ni?” soal Aina Yasmin, setelah
hampir sepuluh minit berada di dalam kereta Ameer Aazad.
Dia tidak selesa berada dalam suasana yang sepi tanpa bicara.
Lelaki itu pun tidak memulakan perbualan dengannya seperti
selalu. Senyap membatu.
Ameer Aazad menjeling ke wajah Aina Yasmin
sebelum kembali menumpukan perhatian pada pemanduan.
Sinis senyumannya.
“Ingat tak nak tanya tadi. Kalau abang bawak Min
lari ke Siam pun Min tak tahu, kan?” Ameer Aazad bergurau.
Semakin geram Aina Yasmin dibuatnya. ‘Tak kelakar
langsung, hoccay!’ Terkumat-kamit mulut gadis itu. Ameer
Aazad yang mengilas pandang ke arah tunangnya berasa geli
hati.
“Makin comel je abang tengok Min buat macam tu.
Kutuklah… abang tak kisah. Suka hati Min la nak kata abang
apa pun, abang terima.” Sindir Ameer Aazad.
Terus berhenti pergerakan di bibir Aina Yasmin.
Malu dia ditangkap sebegitu. Ingin sahaja dia menepuk
mulutnya yang terlepas aksi tadi.
“Cepatlah beritahu. Kita nak ke mana ni?” Aina
Yasmin tidak mengendahkan sindiran tunangnya itu.
“Adalah…” ringkas balasan Ameer Aazad. Dia terus
memandu. Kesesakan lalu lintas menjadi penghalang kepada
mereka untuk cepat sampai ke destinasi yang telah dirancang.
Hampir tiga puluh minit kemudian, barulah Ameer Aazad
dapat memarkirkan keretanya di hadapan kedai Habib Jewels,
bersebelahan Ampang Point.
Sangka Aina Yasmin, Ameer Aazad ingin berbelanja
di Ampang Point. Jadi, dengan separuh rela, Aina Yasmin
keluar dari perut kereta. ‘Nak shopping pun nak bawak
aku ke? Hesy! Bosanlah macam ni,’ gumam Aina Yasmin
sendirian.
Ameer Aazad menghampiri Aina Yasmin.
“Jom?” ajak Ameer Aazad, apabila melihatkan gadis
itu masih berdiri di sisi kereta. Langsung tidak berganjak.
Lembut pandangan Ameer Aazad. Suka dia melihat Aina
Yasmin berbaju kurung hari ini. Warna pink lagi. Entah
mengapa rasa bangga menyelubungi dirinya. Bangga kerana
gadis di hadapannya merupakan tunangnya. Aina Yasmin
dirasakan cukup sempurna sekali. Rasa dirinya begitu
bertuah. Dia tersenyum.
Aina Yasmin tetap begitu. Cara Ameer Aazad
memandangnya membuatkan dia tidak keruan. Dia boleh
lemas dalam pandangan lelaki itu.
‘Kenapa aku rasa disayangi setiap kali dia renung aku
dan senyum pada aku macam tu?’ Aina Yasmin merasakan
perlakuan tunangnya itu membuatkan dirinya semakin
sukar untuk melawan usaha Ameer Aazad untuk merapatkan
hubungan mereka. Aina Yasmin menggelengkan kepalanya
seolah-olah cuba menepis fikirannya itu.
“Abang cakap dulu, kita nak ke mana?” gertak Aina
Yasmin. ‘Tak suka tau macam ni!’
Ameer Aazad ketawa kecil.
“Comel sungguh tunang abang ni. Rasa macam nak
cubit-cubit je. Kenapa takut sangat ni, hmmm? Kita kan kat
tempat awam ni. Abang bukan nak bawak Min masuk hotel
pun? Tak payahlah cuak sangat,” usik Ameer Aazad.
Aina Yasmin mengetap bibir. Geram. Ameer Aazad
sering membuat hatinya panas! ‘Hotel? Aku tak fikir sampai
ke situ pun hoccay!!!’ Dia menjeling lelaki di hadapannya.
Jelingan yang membuat jantung Ameer Aazad berdetak lebih
laju daripada biasa.
“Tunang abang, janganlah merajuk. Usik sikit dah
marah. Abang nak bawak Min beli cincin tunang baru. Jom?”
ajak Ameer Aazad sekali lagi. Jelas riak teruja di wajahnya.
“Cincin baru? Kenapa?” berkerut dahi Aina Yasmin
mendengar cadangan tunangnya itu.
“Cincin Min kan dah tak muat… jadi abang nak ganti
dengan cincin baru. Lagipun, cincin lama tu bukan abang
yang pilih. Mama yang pilih. Abang nak belikan sendiri cincin
tunang baru untuk Min. Min pilih je mana yang berkenan kat
mata Min. Bila nak bernikah nanti, abang akan beli cincin lain
pulak.” Itulah niatnya. Mahu membelikan cincin baharu yang
lebih bermakna buat mereka berdua. Mahu menghapuskan
kenangan lama yang langsung tiada manisnya ketika mereka
dipaksa bertunang dulu.
Pembelian cincin baharu ini juga termasuk dalam
bab ingin memulakan episod baharu bersama Aina Yasmin.
Biar mereka sama-sama memilih cincin yang bakal menghiasi
jari manis gadis itu. Biar lebih bermakna.
“Abang nak mulakan segalanya yang baru dengan
Min. Cincin lama tu, Min simpanlah buat kenangan, walaupun
abang tahu hanya kenangan pahit je yang melekat pada cincin
tu, takde kenangan manis pun. Abang tak minta Min lupakan
kisah lama kita sebab kisah lama tulah yang membuat kita
berada kat sini sekarang. Cuma abang nak hadiahkan Min
cincin yang kita sama-sama pilih. Yang lebih bererti buat kita
berdua. Abang nak bila Min pandang je cincin tu, Min akan
senyum terkenangkan abang dan perjalanan kehidupan baru
kita ni.”
Aina Yasmin terkesima. Hati kecilnya tersentuh
dengan hasrat dan kata-kata Ameer Aazad. Begitu terkesan
di hatinya. Luahan hati yang kedengaran begitu ikhlas di
telinga. Lama mata mereka bersabung pandang. Sinaran
mata hazel Ameer Aazad menusuk ke dalam lubuk hatinya
yang paling dalam. Aina Yasmin menelan air liur.
“Abang tak perlu buat ni semua. Min tak minta pun,
abang.”
Laju jari Ameer Aazad menekup bibir lembap Aina
Yasmin. Aina Yasmin menarik nafas tanda terkejut lalu terus
membisu. Terkedu dia dengan aksi pantas Ameer Aazad.
“Syhhh… no objections!”
Seketika itu juga Ameer Aazad menarik tangannya.
Aina Yasmin memandang ke kiri dan ke kanan, ingin melihat
sama ada perlakuan Ameer Aazad tadi dilihat sesiapa. Dia
malu.
Ameer Aazad memaut lembut lengan Aina Yasmin
dan memimpin gadis itu masuk ke dalam kedai Habib Jewels.
Bagai lembu yang dicucuk hidung, Aina Yasmin hanya
menurut. Tangan Ameer Aazad yang masih di lengannya
dipandang. Walaupun berlapik, dia tetap tidak senang
diperlakukan begitu.
Aina Yasmin memerhatikan sahaja tunangnya
bercakap dengan gadis beruniform berwarna coklat di
hadapan mereka. Gadis itu tersenyum sebelum menjemput
mereka masuk ke bilik pameran bersebelahan.
Ameer Aazad memimpin Aina Yasmin duduk di kerusi
yang disediakan. Dia kemudiannya melabuhkan punggung
bersebelahan tunangnya itu. Gadis tadi mengambil tempat
di hadapan mereka. Aina Yasmin melabuhkan pandangan
ke cermin kaca yang mempamerkan cincin-cincin berlian
pelbagai reka bentuk dan potongan.
“Pilihlah mana yang berkenan,” lembut Ameer Aazad
menuturkan kata.
Aina Yasmin serba salah. Dia keliru sebenarnya.
Hatinya berbelah bahagi. Di sebelah kanan, dia tidak mahu
Ameer Aazad melakukan pembaziran. Menghadiahkan
sehingga dua bentuk cincin tunang. Di sebelah kiri, hatinya
teruja dengan niat Ameer Aazad yang mahu mencipta
kenangan baharu buat mereka. Dia menoleh ke arah
tunangnya yang masih murah dengan senyuman itu. Cuba
menghantar pesanan melalui pandangan mata.
“Min tak tahulah, bang.”
“Kalau macam tu, meh abang pilihkan, ya? Tapi
kalau Min tak berkenan, cakap tau?”
Ameer Aazad memulakan misi mencari cincin
tunang baharu. Cincin itu dan ini diminta dikeluarkan
dari bekas pameran. Gadis pekerja tadi melayankan sahaja
kehendak Ameer Aazad. Adakalanya Aina Yasmin dapat
menangkap sepasang mata gadis itu meneroka ke wajah lelaki
itu. Mungkin terpesona dengan ketampanan Ameer Aazad
dan pada masa yang sama, cuba meneka cerita di sebalik
parut yang jelas kelihatan di wajah itu.
Sebenarnya, bagi Aina Yasmin, parut di wajah Ameer
Aazad membuatkan lelaki itu kelihatan lebih rugged. Rugged
and dangerous! Aina Yasmin terpaksa mengakui ada sedikit
rasa kurang senang dengan perhatian yang diberikan gadis itu
terhadap tunangnya. ‘Agak-agaklah kalau nak tenung-tenung
orang pun. Ni tunang aku, tahu tak?’
“Yang ni cantik tak, sayang?” soalan Ameer Aazad
mengejutkan Aina Yasmin daripada lamunan.
‘Apa dia panggil aku tadi? Sayang? Betul ke telinga
aku ni?’
Di sebalik rasa terkejutnya, sempat Aina Yasmin
menangkap mata gadis tadi yang pantas dialihkan dari wajah
Ameer Aazad. Mungkin, melalui panggilan ‘sayang’ itu, dia
tersedar dengan kelakuannya yang sedang menilik lelaki yang
bakal menjadi kepunyaan orang lain.
“Apa, bang?”
Ameer Aazad menyembunyikan senyuman. ‘Orang
sibuk pilihkan cincin, dia boleh berangan pulak. Yang dia
asyik tengok budak perempuan depan dia ni, kenapa pulak?
Dia perasan jugak ke budak ni tengah syok belek muka aku?
Ke dia cemburu?’
Sengaja Ameer Aazad memanggil Aina Yasmin
dengan panggilan ‘sayang’ tadi. Ingin menyedarkan gadis di
hadapannya betapa pentingnya Aina Yasmin kepada dirinya.
Bukan dia tidak perasan mata liar gadis di hadapannya sedari
tadi. Dia sudah berazam untuk tidak mengambil kisah akan
mata yang memandang ke wajahnya, sama ada dengan
pandangan jijik atau simpati atau juga pandangan yang penuh
dengan tanda tanya. Dia tidak akan membiarkan pandangan
orang lain tentang dirinya mempengaruhi kehidupannya lagi.
Cukup dengan penerimaan Aina Yasmin seorang. Itu lebih
daripada mencukupi.
“Abang tanya, Min suka tak dengan cincin ni?”
Ameer Aazad menghulurkan cincin yang telah dipilihnya
kepada Aina Yasmin.
‘Ya Allah! Cantiknya!’ Kilauan cahaya berlian
berpotongan bulat menyapa pandangan Aina Yasmin. Dia
sudah jatuh hati dengan cincin yang dipilih Ameer Aazad.
‘Simple tapi nampak elegan sangat. Aku memang suka emas
putih. Pandainya dia pilih. Tapi nampak macam mahal je.’
Ameer Aazad melihat reaksi Aina Yasmin. Dia yakin
tunangnya itu amat menyukai cincin yang dipilihnya. Kalau
tidak, masakan gadis itu menarik nafasnya tadi. Wajahnya
turut mempamerkan riak teruja. Ameer Aazad yakin dia telah
membuat pilihan yang tepat.
“Cubalah…”
Dengan bibir yang digigit kemas, Aina Yasmin
menyarungkan cincin itu ke jari manisnya. Padanan yang
cukup tepat sekali. Cantik betul! Dia mengintai tanda harga di
tag yang diikat kepada cincin tadi. Hampir gugur jantungnya
melihat harga yang tertera di situ. Kalau dicongak, harga
cincin itu melebihi jumlah gajinya untuk setahun! Gila!
Pantas dia ingin menanggalkan cincin itu dari jarinya namun
dihalang Ameer Aazad.
Ameer Aazad menarik tangan Aina Yasmin dan
dibeleknya. Merah padam muka Aina Yasmin dengan aksi
selamba lelaki itu. Malu!
Dengan perlahan, Aina Yasmin menarik tangannya
agar tidak terlalu ketara. Air muka tunangnya perlu dijaga.
“Bang, kita pilih yang lainlah, ya? Yang ni mahal
sangatlah…” bisik Aina Yasmin perlahan.
“Min tak suka ke?” duga Ameer Aazad. Dia sudah
tahu jawapannya. Namun dia mahu mendengar pengakuan
tunangnya itu. Harga bukanlah satu persoalan baginya.
Asalkan berkenan di hati mereka berdua, itu lebih utama.
“Eh, bukan tak suka… Min suka, suka sangat… tapi
Min rasa mahal sangat. Kita pilih yang lain, ya?” tanya Aina
Yasmin sekali lagi.
Ameer Aazad menggelengkan kepalanya.
Dia mengambil cincin itu dari jari Aina Yasmin dan
menghulurkannya kepada gadis yang bertugas.
“Cik, kami pilih yang ni, ya? Tak payah pack. Saya
nak tunang saya pakai cincin ni terus.”
“Baik, encik. Tapi biar saya sediakan bilnya dulu,
ya? Nanti saya bawak cincin ni pada encik semula.” Selepas
menyambut kad plastik berwarna platinum yang dihulurkan
Ameer Aazad, gadis itu bangun dan berlalu. Aina Yasmin dan
Ameer Aazad kekal di tempat duduk mereka.
“Abang, Min tak selesalah pakai cincin mahal macam
tu. Min rasa membazir je.” Aina Yasmin masih cuba mengubah
keputusan yang telah dibuat Ameer Aazad tadi. “Kalau cincin
tu hilang ke, tercicir atau kena curi macam mana?”
“Kalau hilang, anggap je bukan rezeki kita. Biar
cincin tu hilang asalkan bukan Min yang hilang daripada
hidup abang.” Penuh romantik Ameer Aazad bersuara.
“Cincin tu tak penting. Itu hanya simbol pertunangan kita.
Min lagi penting buat abang.”
Aina Yasmin terkedu. Renungan redup daripada
Ameer Aazad mengundang debaran yang sangat hebat,
yang kian meretakkan kebekuan hatinya. Lama mereka
bertembung mata. Seperti biasa, Aina Yasmin yang mengaku
kalah. Maka dilabuhkan pandangan matanya.
Ameer Aazad menghela nafas. Semakin tenang dan
yakin dia dengan perasaan hatinya sendiri, dan dia semakin
selesa meluahkan rasa. Hati gadis itu perlu dimiliki!
Tidak lama kemudian, gadis tadi datang kembali
dengan membawa dokumen yang berkaitan. Cincin tadi
yang siap diletakkan di dalam bekasnya dihulurkan kepada
Aina Yasmin. Teragak-agak Aina Yasmin menyambutnya.
Akhirnya, Ameer Aazad mengambil bekas itu dari tangan
tunangnya. Cincin dikeluarkan dan dengan lafaz bismillah,
Ameer Aazad menyarungkannya sendiri ke jari manis Aina
Yasmin. Dia puas. Sekarang status Aina Yasmin yang sudah
bertunang kembali menjadi jelas dan nyata. Siapa yang
hendak mengacau tunangnya itu, dipersilakan ke hadapan,
ya! Dia bersedia dengan langkah kuda-kuda.
“Terima kasih, bang. Min suka sangat cincin ni.
Nilah hadiah paling mahal yang Min pernah terima dalam
hidup Min.”
Ameer Aazad tersenyum bangga.
“Sama-sama, tunang abang. Abang hadiahkan cincin
ni seikhlas hati abang, pada orang yang begitu bermakna
dalam hidup abang. Abang harap, Min takkan tanggalkan
cincin tu sampai bila-bila.”
Takkan tanggal sampai bila-bila? Sekilas,
‘syarat-enam-bulan’ Ameer Aazad terlayar dalam fikiran.
Syarat itu benar-benar menjerut lehernya. Sampai hatikah
dia untuk meminta pertunangan mereka diputuskan nanti?
Ameer Aazad nampak begitu ikhlas dan begitu
serius dalam hubungan mereka. Adakalanya, Aina Yasmin
seolah-olah dapat merasakan kasih sayang yang cuba
dicurahkan oleh Ameer Aazad. Sama ada melalui pandangan
mata, mahupun bahasa tubuh. Atau sekadar Aina Yasmin
telah salah mentafsir segalanya? Tapi bukankah Ameer
Aazad telah melafazkan kata sayang kepadanya tempoh hari?
Sebelum dia bergegas melarikan diri dari bilik pejabat lelaki
itu? Ah, dia sungguh keliru.
“Min? Min okey?” soal Ameer Aazad ketika melihat
perubahan pada riak wajah Aina Yasmin.
Aina Yasmin cuba mengukirkan senyuman. “Min
okey.”
Terpesona Ameer Aazad melihat senyuman di bibir
Aina Yasmin. Selama ini, begitu susah gadis itu hendak
senyum kepadanya. Dia berdeham kecil bagi meredakan
lonjakan jantungnya.
“Kalau macam tu, jomlah. Kita pergi makan, ya?
Sempat lagi kalau kita makan sekarang sebelum maghrib.
Boleh?”
Aina Yasmin mengangguk. Entah mengapa dia pun
belum bersedia untuk berpisah dengan Ameer Aazad. Rasa
bahagia sudah mula berputik.
‘Hesy! Takkan dapat cincin terus bahagia, Min?
Senangnya kau kena beli!’ Ada suatu suara yang tiba-tiba
mencucuk hatinya. Sakit! Apabila diri sendiri yang
menuduhnya mudah dibeli, hatinya terasa sakit. Betulkah dia
begitu?

No comments:

Post a Comment