DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 25 May 2016

Samurai - Bab 1

“PAK teh, nak ikan bilis dua ringgit.” Aku
memesan sambil menongkat siku ke meja kaunter dengan
tangan kanan. Tangan kiri mengetuk-ngetuk permukaan meja
itu sementara menunggu pak teh menyediakan ikan bilis yang
aku pesan tadi.
Kedai runcit pak teh inilah kedai paling berjasa di
kampung ini. Boleh dikatakan inilah satu-satunya kedai runcit
yang ‘hidup’ di kampung ini disebabkan kedai runcit lain begitu
jauh dari rumah orang kampung.
Pak teh bangkit tanpa banyak bunyi lalu melangkah
ke bakul ikan bilis. Sehelai plastik berwarna oren dikeluarkan.
Dikibas-kibas sehingga terbuka, lantas dimasukkan beberapa
genggam ikan bilis ke dalamnya. Selepas itu dia meletakkannya
ke atas alat penimbang. Beberapa cekup kecil dibuang dan
ditambah. Akhirnya, plastik diikat dan diserahkan kepadaku.
“Nak beli ini aje ke?” soal pak teh. Aku menggeleng.
Sebenarnya aku sedang cuba mengingati semula barang-barang
yang emak aku pesan tadi. Banyak juga tak silap aku.
Tapi disebabkan dalam perjalanan aku ke mari tadi,
aku terserempak dan berperang mulut dengan musuh utama
aku, Si Leha maka habis aku lupa semua senarai barang yang
ada dalam kepala otak aku. Geram punya pasal. Budak gedik
tu, sehari tak cari pasal dengan aku memang berdosa besar
agaknya.
“Kicap sebotol... erm... telur lima biji dengan... haaa!
Garam sekampit.” Akhirnya aku mampu ingat semula.
Perkara sebeginilah yang sering menjadi masalah
apabila membeli barang tanpa menulis senarai terlebih
dahulu. Payah untuk aku menghafal segala macam jenis
barang yang dipesan emak. Aku ini sudahlah pelupa orangnya.
Tambah-tambah bila nampak muka si Leha, lagi teruk ingatan
aku. Salah aku juga, siapa suruh malas sangat nak tulis senarai
barang?
Tiba-tiba ada tangan seseorang meletakkan sebotol air
mineral sejuk di sebelahku. Berurat-urat timbul. Perlahan-lahan
mataku memanjat tangannya yang berurat kekar itu, naik ke
lengan dan bahu, terhenti sekejap di leher dia yang ada tahi lalat
dua tiga butir. Selepas itu mataku naik lagi atas sikit, ke muka
dia. Tertunduk terus aku apabila pandangan mata kami berlaga.
Aku ketap bibir. Siapa dia ni? Lelaki berwajah bengis
berambut panjang yang ditocang tinggi. Serupa sungguh gaya
samurai Jepun. Mata sepet, muka tak nak senyum, kulit cerah...
memang aku rasa samurai sungguh dah. Macam mana samurai
boleh tersesat ke sini? Ke zaman serba canggih ni?
“Pak teh, ada orang nak bayar.” Aku melaung nama
pak teh apabila dia hanya diam kaku di sebelah aku. Takut juga
kalau berlama dengan dia di sini, lebih baik aku panggil pak teh.
Sempat lagi aku pandang dia buat kali kedua. Si
jejaka yang berambut panjang ini hanya menjelingku dari
atas sehingga ke bawah. Dia pandang aku macam tak hairan.
Tak berterima kasih langsung dengan pengorbanan aku yang
memanggil Pak Teh dengan suara high note ni. Hek eleh.
Kereklah kau! Aku menjelingnya kembali.
Di belakangnya terkandung sebatang benda misteri.
Aku pun tak tahu apa sebenarnya yang dia kendong sebab aku
pandang sekali imbas aje. Jangan-jangan pedang tak? Mata dah
sepet macam samurai. Rambut panjang mengurai. Boleh jadi
dia bawa pedang di belakangnya macam samurai. Baru lagi nak
menilik apa yang dia kendong di belakangnya, pak teh muncul
dengan barang-barang yang aku minta.
“Lapan ringgit.” Pak teh mengira.
Aku mengeluarkan wang berwarna merah dari poket
lantas kuhulurkan kepada pak teh. Lelaki di sisiku hanya
membeku. Riak muka bosan jelas ditayangkan. Bibir tak berapa
tebal itu tertutup rapat, menyerlahkan lagi kesombongannya.
Mungkin dia bengang terpaksa tunggu lama untuk membayar
sebotol air mineral. Sorry ya encik, first come, first serve bak
kata orang putih.
“Anak ni, seringgit aje.” Pak teh menegur dengan
sopan kepada samurai di tepiku.
Muka pak teh nampak teragak-agak apabila
berkata-kata. Mungkin pemakaian dan wajah bengisnya
menakutkan pak teh. Seluar koyak di lutut. Baju lengan pendek
berwarna hitam kecil bergambar tengkorak menjelirkan lidah.
Memang menakutkan gaya dia ditambah pula dengan rambut
tocang dia yang mengalahkan samurai itu.
Dia meletakkan wang kertas bernilai RM50 di atas meja
kaunter. Pak teh dan aku sama-sama terbelalak. Dah tak ada
duit kecil ke apa mamat samurai ni? Atau dia tak kenal duit
seringgit dengan lima puluh ringgit tu macam mana? Sah kena
hantar ke sekolah balik.
Melihat cara pemakaiannya tu, aku fikir di dalam
poketnya ada duit tak sampai sepuluh ringgit pun. Tapi salah
tekaanku. Mana entah dia dapat duit banyak. Aku ni nak jumpa
sepuluh ringgit pun payah.
“Duit kecil tak ada?” soal pak teh. Kelihatannya, pak
teh nak menegur pun takut-takut.
“Tak.” Jawabnya pendek.
Mukanya serius. Macam nak bunuh orang pun ada.
Seram sejuk juga aku di tepinya ini. Tak pernah dalam hayat
aku berjumpa dengan lelaki seperti ni. Berwajah dan berpakaian
seperti orang yang bermasalah. Jangan kata dia tinggal di
kampung ini, sudahlah! Memang aku tak berani nak keluar dari
rumah lepas ni.
“Er... pak teh, bayar sekalilah.” Aku dalam terburu-buru
ni. Lagipun, aku takut nak berlama. Aura negatif muncul
apabila berdiri di tepi mamat samurai ni. Dia nampak seperti
sedang mencari mangsa nak ayunkan pedangnya. Aku belum
kahwin. Tak nak mati lagi...
Pak teh belum bagi baki duit aku. Emak aku bukannya
suka jika aku keluar lama-lama. Nanti dituduhnya aku melepak
dengan si Ijai. Ijai itu merupakan sahabat baik aku semenjak
kecil lagi. Cuma, sekarang emak sudah melarang aku untuk
berkawan rapat dengan Ijai lagi disebabkan mulut dan
cakap-cakap orang kampung. Nampak tak elok asyik berkepit.
Kasihan Ijai. Bukan salah dia. Kalau dia nak jumpa aku, dia pula
yang perlu bertandang ke rumah aku. Kasihan... kasihan...
Pak teh di hadapanku hanya mengangguk bersetuju
dengan cadanganku. Dia pun takut agaknya nak minta duit kecil
daripada lelaki bengis ini. Dia memulangkan RM1 kepadaku.
Si lelaki samurai tadi memandangku dan menunduk sedikit.
Bibirnya bergerak. Terima kasih. Tetapi... tiada suara.
Nak ucap terima kasih pun payah. Sampai tak keluar
suara. Aku menanti barang-barangku diisi ke dalam plastik
besar. Si lelaki samurai tadi terus berlalu dengan air mineralnya.
Nafas lega dapat kuhela. Dia dah tak ada di sini. Tak adalah aku
terkaku lagi di sebelahnya.
Aku pandang pak teh. Pak teh pula leka memandangnya
yang semakin menghilang dari pandangan. Aku tak ada hati
hendak memandang si samurai. Buatnya dia berpaling dan
terus ayunkan pedang samurainya sampai tergolek kepalaku ke
tanah, macam mana aku nak berikan barang-barang ini kepada
emak? Oh Tuhan! Minta simpanglah!
“Siapa tu, pak teh? Tak pernah nampak pun,” soalku
perlahan. Pak teh angkat bahu.
“Entah. Macam pernah tengok aje muka dia. Muka dia
macam ada iras... siapa entah? Lupa dah pak teh ni.” Pak teh
menggaru keningnya. Muka pak teh macam sedang berusaha
untuk mengingati semula siapa gerangan si samurai tadi.
Siapa dia? Ada iras dengan orang yang aku kenal ke?
Setahu aku tak ada pun orang kampung yang bermuka macam
tu. Scary! Aku menarik barang-barangku lantas meninggalkan
pak teh.
“Tak apalah pak teh, saya balik dulu ye. Lambat nanti,
mak membebel pulak.” Aku meminta diri walaupun kaki sudah
melangkah keluar. Lantaklah lelaki tadi itu siapa pun. Apa aku
nak hairan. Bukannya aku nak berkenalan dengan dia pun.
“Elok-elok jalan tu.” Pesan pak teh. Sempat aku
naikkan ibu jari tanganku. Malas dah nak pusing nak bye-bye
kepada Pak teh.
SEDANG AKU melenggang kangkung sambil mengayunkan
barang-barang tadi ke depan dan ke belakang dengan
gembiranya, tiba-tiba telingaku terdengar sesuatu. Prakkk!
Alamak! Telur pecah. Aku lupalah ada telur dan kicap kat dalam
ni.
Pak teh pun satu. Boleh dia letak dalam satu plastik
aje! Heee pak teh ni, memang nak kena geletek. Aku menilik
plastik. Mujurlah ada dua biji sahaja yang pecah. Masih dapat
buat telur dadar yang tiga biji lagi tu. Mesti mak bebelkan aku
nanti. Nak beli baru ke tak nak ye?
Kalau beli baru, ala... aku dah separuh jalan ni. Kalau
tak beli baru, aku kena berhadapan dengan amarah mak. Mana
satu lagi best? Kena bebel dengan mak atau kepenatan? Ah! Duit
tinggal seringgit pulak tu. Dapat ganti dua biji juga. Tak payah
beli barulah, bazir masa pula nanti.
Aku mengayunkan langkah secepat mungkin.
Mungkin mak sedang menanti dengan bercekak pinggang di
hadapan pintu dapur. Seram! Ni semua gara-gara Leha yang
dah melengahkan aku tadi.
Tiba-tiba mataku tertangkap kelibat lelaki tadi. Lelaki
samurai tadi sedang berjalan tenang ke satu arah. Entah ke
mana... tapi, dia sehala denganku. Aku mengecilkan mataku.
Oh! Bukan pedang yang dibawa olehnya di belakang badan tadi.
Gitar rupa-rupanya. Buta sangat ke mata aku ini sampaikan gitar
sebesar alam itu pun aku cap sebagai sebilah pedang? Mungkin
kerana perwatakan lelaki itu yang menyerupai samurai kut
yang menyebabkan aku berfikir begitu? Negatif sungguh!
Dia berjalan dengan langkah yang semakin perlahan.
Aku ikut berjalan lambat. Yalah, takkanlah aku nak berjalan
melintasi dia? Sudahnya aku kena kekalkan cara jalan aku ni
yang melenggang-lenggok gaya perempuan Melayu terakhir.
Tak kuasa aku nak beri dia lihat punggung aku bergolek ke kiri
dan ke kanan. Muka dia dahlah macam orang pecah rumah saja.
Menakutkan.
Dari gaya dia pun aku sudah tahu yang kehidupan dia
ni liar. Baju terkoyak di sana sini. Konon-konon nak serlahkan
gaya rock kapaklah tu. Kasut, simple. Sneaker lusuh berwarna
merah. Hmm... badan? Tak macam Aaron Aziz tapi macam Mat
Sentul zaman muda-mudi dulu. Keding macam sate kering.
“Kau nak apa ni ikut-ikut aku?” Terkejut aku
mendengar sergahannya.
Aku terhenti melangkah apabila tubuhku hampir
terlanggar badannya yang berhenti mengejut di depanku.
Mujur brek emergency aku cukup makan. Jalan tengok bawah,
inilah bahananya. Tak perasan pula bila dia brek? Nyaris aku
tak tercium dada dia. Euw! Dahlah ada gambar tengkorak jelir
lidah. Geli aku!
“Siapa yang ikut awak?” Aku menyoal sambil
usyar-usyar di belakangku walaupun aku tahu dia sedang
menyoal aku. Tiada sesiapa pun. Memang aku tak tahu siapa
ikut dia. Perasanlah dia ni! Apa dia ingat aku berani sangat ke
nak ikut orang yang gayanya macam orang pecah rumah ni?
Memang cari nahaslah aku kalau betul aku ikut dia.
“Kau ikut aku dari tadi apa pasal?”
Aku nak tergelak bila tengok dia bercekak pinggang
begitu. Macam pondan. Badan keding buat macam tu, buruk
benar! Lengan baju yang sedia pendek itu berlipat-lipat sehingga
menampakkan lengannya yang agak berotot. Tak sangka...
keding pun ada muscle keluar. Nampak jugalah bulu ketiaknya
tersembul keluar.
Erkh! Kau ni dah kenapa, Melur? Asyik sangat
perhatikan ketiak orang. Aku menjelingnya.
“Kenapa ikut aku!”
Terhinggut bahu aku dijerkahnya. Hek eleh mamat ni.
Kerek pula dia. Tak pasal-pasal nak jerkah aku. Aku tak buat
salah apa pun. Salah ke aku ikut jalan ni? Tak... kan? Apa hak
dia nak jerkah aku? Jalan dia ke ni? Mak abah pun tak pernah
jerkah aku. Aku belanja air mineral tu pun dah cukup bagus
tau? Ucap terima kasih pun nak tak nak. Kalau aku tak halalkan,
tak pasal-pasal pecah perut.
“Cantik sikit bahaso mung abe wei... Mana ada saya
ikut awak. Perasan sungguhlah!” Aku membalas semula dengan
slang Kelantan.
“Orang gila pun tahulah kau ikut aku!” Dia mendengus.
Tiada nada sopan dan dia menjelingku lebih tajam.
Orang gila pun tahu? Dialah orang gila tu. Orang gila
yang perasan. Benci pula aku pada dia ni. Menyesal aku tolong
bayarkan air tu untuk dia. Sepatutnya aku biarkan sahaja dia
tersekat di kedai pak teh tadi. Biar pak teh ketakutan sendiri
melayan pelanggan yang macam penjenayah ni.
“Saya?” Aku menunjukkan jari telunjuk ke hidungku
dan kemudian, aku halakan ke hidung dia. Tak sentuh pun,
sebab geli.
“Nak ikut awak?” sambungku lagi.
Dia mengangguk-anggukkan kepalanya bersama muka
serius yang tak pernah nak senyumnya itu. Melihat sahaja
anggukannya, aku tergelak-gelak. Muka dia nampak marah
apabila tengok aku ketawa macam orang kena sawan gelak.
“Mental ek? Saya nak balik rumahlah.” Langsung
tak ada rasa bersalah waktu aku menuturkannya. Biar padan
dengan muka dia. Aku muncungkan mulutku ke arah sana. Dia
pandang ke arah sana dan kemudian beralih kembali kepadaku.
“Kau blah cepat sebelum aku ngap!” Dia mendekatiku
dengan membuntangkan mata sepetnya.
Aku terundur setapak ke belakang. Siapa dia ni?
Sesedap rasa tanpa perencah nak ngap aku? Eee. Kalau badan
katang okey jugak. Ni? Hahahahaha! Sengaja nak buat aku
sakit perut ketawakan dia ke apa? Larat ke nak ngap orang? Aku
menyindir di dalam hati. Takut kalau sindir depan-depan, dia
ngap aku betul-betul kat sini. Meraung tak sudah aku nanti.
“Eh, ke tepilah! Awak tu yang halang laluan saya. Saya
nak balik rumahlah ni. Kita sehala. Takkan saya nak kena jalan
ikut semak samun pulak semata-mata nak bagi awak ikut jalan
ni? Saya tak ada hati pun nak ikut awak. Muka tu dahlah macam
orang pecah rumah. Orang mental pun tak beranilah nak ikut
awak. Jangan risau, awak selamat dari diekori sesiapa.” Aku
menepis bahunya dan berjalan, bengang meninggalkan orang
tak beradab itu. Lelaki samurai yang mental! Entah-entah, gitar
kat belakang badan dia itu pun gitar curi. Hasil pecah rumah
orang agaknya.
Laju saja aku berjalan, takut dia kejar dan hempuk aku
guna gitar dia tu. Aku fikir, selamatlah... tapi...
“Kau nak buat apa balik kat rumah mak aku, huh?”
Aku terlompat kecil apabila disergah begitu.
Rupa-rupanya dia mengejar langkahku yang semakin hampir
dengan rumah. Serius seram! Dia dah tahu tempat tinggal
aku. Kalau dia datang untuk merompak atau menghendap,
bagaimana?
“Kau buat apa kat sini!” Dia menjerkah lagi.
Eh? Apa kena dengan mamat samurai ni? Sudahlah dia
ikut aku balik rumah. Selepas itu, ada hati menyoalku begitu
dengan nada marah-marah. Demam panas agaknya? Dia ingat
aku akan tertipulah dengan kata-katanya tu? Takkanlah aku tak
kenal rumah aku sendiri pula? Tak teragak-agak langsung nak
membohong.
“Hei, helo! Kat sini rumah mak saya, okey. My mom
punya house. An... der... sten? Ni rumah mak bapak I. Limah
bin Husen dan Zamri bin Mat!” Aku menekan nama ibu bapaku.
Keluar habis bahasa mengada-ada aku. Sakit hati punya pasal.
Dia garu dagu. Tangan diseluk ke kocek seluar. Selepas itu, dia
menceber.
“Mana satu mak mana satu bapak ni?” soal dia dengan
muka serius.
Tak tahu lagi? Limah tu nama untuk lelaki ke? Waktu
dia tengok cerita Hantu Kak Limah Balik Rumah, agak-agaknya
dia dapat cam tak jantina Kak Limah tu?
“Limahlah mak saya. Takkan Zamri pula?” Aku
menjegilkan mata.
“Nama mak pun kau letak ‘bin’. Mak kau transgender
ke apa?” soal dia sambil menjelingku.
Aku terdiam. Alamak! Limah Bin Husen? Aduhai.
Bukan patut ‘binti’ ke? Astaga! Aku yang tak dapat cam jantina
emak sendiri. Mak, maafkan Melur!
“Ah, saya tersalah! Nak buat apa pergi rumah emak
saya?” soalku menjegilkan mata. Dia mencemik.
“Ah, pembohong! Kau tak payah nak kelentong akulah,
perempuan. Warna merah tu, aku ingat lagi. Rumah arwah mak
aku dulu. Sekarang mak de aku yang tinggal.”
Eh dia ni. Cari gaduh pula. Sudahlah perasan! Eh
kejap. Rumah mak de dia?
“Eh? Mak de? Tu mak saya, awak ni siapa?” soalku
terkejut. Aku mengurut-urut dada. Maka, dia kenallah mak aku.
Kalau itu rumah arwah mak dia, maka... dialah anak mak long!
“Aku sepupu kaulah agaknya. Hee, malang betul aku
ada sepupu mulut bising macam kau. Macam manalah aku
nak lena tidur.” Dia mengeluh seraya mengangkat beg gitar
di belakang badannya lalu disarungkan ke belakang badanku.
Masya-Allah! Berat. Hampir sahaja terlentang ke belakang aku
menampung benda sebesar alam ini.
Malang dia atau malang aku? Dia buat apa kat sini?
Mulut siapa yang sebenarnya bising? Aku atau dia?
“Hei, ambil balik!” Aku cuba menarik keluar gitar
tersebut namun apakan daya... sebelah tangan sahaja tak cukup
kuat untuk mengeluarkan benda seberat ini. Gitar logam
ke... gitar batu ni? Tangan sebelah lagi penuh pulak dengan
barang. Dah elok telur ayam tu tinggal tiga biji, nanti makin
berkurangan pulak.
“OMG-MG-MO! Jangan kata yang awak ni, Aizat?” Aku
dah hampir terpekik. Tiba-tiba aku teringat pada namanya yang
sering diseru oleh emak kebelakangan ini. Dan dia ada sebut...
aku mungkin sepupunya. Kalau betullah dia sepupuku yang
satu itu, memang patut aku jauhkan diri daripada dia.
“Tahu pulak kau nama aku.”
Dia bercangkung di atas tangga rumah aku dengan
riak selamba tak bersalahnya. Aku menceber. Kerek sangatlah
dia ni. Sah! Dia sepupu aku yang mak sibuk cerita baru-baru
ni. Aduhai malangnya nasib aku bersepupukan samurai macam
dia.
Mak cakap, aku kena berkahwin dengan anak arwah
mak long. Mak ada minta persetujuan aku. Dan ya, aku
bersetuju sebab bicara mak begitu indah di pendengaran waktu
tu. Mak cakap sepupu aku yang namanya Aizat ini seorang yang
kacak, baik budi pekerti dan serba-serbilah elok.
Walaupun dia pernah masuk sekolah budak jahat, mak
aku cakap dia sebenarnya baik sangat orangnya. Mak tak cakap
pulak kenapa dia masuk ke sana atau sebagainya tapi mendengar
perkataan ‘baik’ dan ‘kacak’ itu membuatkan aku mencair. Aku
yang polos gila ini pun termakanlah dengan kata-kata mak.
Tapi Aizat yang di depanku ini dah macam jin
bertanduk! Lain benar dengan apa yang diceritakan oleh mak.
Aku mengaku bahawa aku jatuh hati dengan Aizat yang mak
ceritakan beberapa minggu lepas. Tapi sekarang, hati aku dah
bangun dari jatuhnya. Geli aku!
“Siapa yang tak tahu? Dah kecoh satu kampunglah
yang awak masuk sekolah budak jahat. Entah-entah dah
besar terjebak dengan gengster, pecah rumah... muka dah ada
gaya. Badan pulak kurus macam mat pet (penagih)...” Ayat di
belakang, aku perlahankan tapi melihat dari riaknya, aku tahu
dia dengar.
“Aku lempang kau ni kang, terpusing kepala!” Dia
menjegilkan matanya dan mengangkat tangannya acah-acah
hendak menamparku.
Eleh, jauh lagi jarak kami, ingat aku takut agaknya nak
makan pelempang kurus lagi halus dan mulus dia tu?
“Kuat sangatlah melempang sampai boleh terpusing
kepala. Awak nak apa balik sini? Dah berbelas tahun tak balik
sini. Tup-tup dah besar, jadi samurai, sibuk nak meninja kat
sini.” Aku membebel.
Aku mencabut selipar yang masih tersarung dengan
kasar lantas aku naik ke rumah dengan susah payah kerana
terpaksa menggendong gitar dia yang amat berat itu.
“Aku tetamu kau. Banyak bunyi pulak kau. Mak kau
okey je bila aku cakap nak balik sini. Asal kau nak bising?”
Dia menjawab selamba dan duduk di tangga rumahku. Dia
menanggalkan kasut dan stokingnya. Lalu dia mencampak
stokingnya itu ke badanku.
Kurang ajar betul mamat ni. Dia ingat aku tak geli ke?
Kalau campak kat katak pun katak boleh trauma, tahu tak?
“Eeee... Stoking dah la bertukar warna. Suka hati je
nak campak kat saya. Apa masalah awak ni sebenarnya? Weng?”
Aku memarahinya.
Geli sungguh aku. Gerenti busuk! Dia buat aku
mendidih dari tadi. Aku tak ada salah ini pun dijerkah sesuka
hati. Angin datang bulan... tak sangka menyerang pada lelaki
macam dia. Yalah. Mungkin sebab dia berambut panjang. Bulan
tu datang kat dia sebab ingat dia perempuan... hmm. Boleh jadi
tanggapanku itu...
“Mujur aku tak campak kat muka selebet kau.” Dia
menangkis kata-kataku dan meregang-regangkan ototnya
selamba.
Aku tak sangka, sepupuku ini perangai macam
syaitonirajimmm! Mujurlah anak yatim piatu. Kalau tidak,
memang aku sumbat stoking tu ke dalam mulut dia. Biar dia
rasa. Selebet ye? Kau tu lagi selebet. Macam penyamun! Ingat
Melur, dia tu yatim piatu...
Hatiku kembali tenang daripada ingin memarahinya.
“Saya ni dahlah orang perempuan. Awak ambillah
balik gitar awak ni. Berat tahu tak? Sakit bahu ni!” Aku
mengendurkan suara.
Penat menggendong gitarnya masih terasa. Malas nak
bergaduh. Tak ke mana juga kalau aku bergaduh dengan budak
bandar yang jahat ni. Bakal suami aku ke dia ni? Serius ke mak?
Mak kata dia baik? Eh! Tak nampak macam baik pun. Sikit pun
tak. Mak salah pusing cerita ni... aku nak cakap kat mak yang
aku dah ada pakwe. Aku tak nak kahwin dengan dia.
“Kenapa dengan perempuan? Kalau perempuan, tak
boleh nak angkat barang? Macam tu?” soalnya sinis.
Aku mencemik geram. Dia ni... dahlah perangai macam
tutt... tak hormat perempuan pula... argh!
“Bukan...”
“Haa dah tu? Jadi perempuan jangan nak manja
sangat.” Selamba dia membidas.
“Mana mak kau?” Dia berdiri dan menggeliat. Lama
sangat agaknya dia naik bas. Tak pun naik bas loncat-loncat.
Mahunya tak penat? Kenapa bas tu tak terus loncat sampai ke
Golok sana? Biar terus dia ke sana. Menyampah aku nak tatap
muka dia kat sini.

No comments:

Post a Comment