AINA Yasmin menggigit bibir. ‘Kau dah janji,
Min! Kau kena call dia. Dah pukul 4.00 petang dah ni. Nak
tangguh sampai kul berapa?’ Dia berperang dengan diri
sendiri. Kenapalah cepat sangat hari Ahad muncul? Tak boleh
ke lambat-lambat sikit?
Dibelek-belek Samsung S4 di tangan, seolah-olah
tidak pernah melihatnya sebelum ini. Nombor telefon Ameer
Aazad dicari dan dengan helaan nafas yang dalam, nombor
lelaki itu didail. Pada deringan kedua, panggilannya berjawab.
‘Cepatnya dia angkat!’
“Assalamualaikum, tunang abang…” sapa Ameer
Aazad. Penat sahaja bunyinya.
“Waalaikumussalam…” balas Aina Yasmin perlahan.
Seperti sebelum ini, dada terasa sempit mendengar panggilan
itu.
“Abang, errr… ni Min…” seolah-olah lelaki itu
tidak mengenalinya. ‘Apa bodoh kau ni Min? Kan dia dah
panggil ‘tunang abang’ tadi. Mestilah dia dah tahu siapa
yang call!’ Aina Yasmin memarahi dirinya sendiri. Dahinya
ditepuk-tepuk perlahan.
“Ya, Min. Abang tahu.” Ada nada geli hati di situ.
“Oh! Ermmm… sebenarnya… sebenarnya Min…”
Diam. Aina Yasmin tidak tahu bagaimana hendak
meneruskan kata-kata.
“Ambik nafas, Min. Take your time,” saran Ameer
Aazad, seakan tahu apa yang melanda perasaannya ketika ini.
Aina Yasmin mengambil nafas. Susahnya!
“Abang Aazad, Min dah buat keputusan yang Min
setuju dengan syarat abang.” Dengan satu nafas, akhirnya
Aina Yasmin menuturkan kata.
Ameer Aazad menarik nafas. Lega! Terasa dia ingin
melepaskan satu jeritan kuat tanda syukur.
“Alhamdulillah… terima kasih sebab bagi peluang
pada abang.” Bukan main lebar lagi senyuman di wajahnya.
“Tapi enam bulan je, kan? Lepas tu abang janji akan
terima apa saja keputusan Min, kan?” Aina Yasmin meminta
kepastian.
“Ya, tunang abang. Abang janji… enam bulan
bermula hari ni.”
Diam. Aina Yasmin tidak tahu apa yang perlu
diperkatakan lagi.
“Kenapa sekarang baru call abang? Dari awal pagi
abang tunggu Min call abang tau.” Lembut Ameer Aazad
menyoal.
“Min… Min takut nak call.” Aina Yasmin berterus
terang. “Min tak tahu nak cakap macam mana dengan abang.”
“Takpelah. Apa pun abang bersyukur sangat dengan
keputusan Min. Nanti bila abang dah balik KL, kita jumpa,
ya?”
“Errr… jumpa? Perlu ke?”
“Abang nak kita jumpa, berbual dan cuba mengenali
diri masing-masing. Abang nak enam bulan yang akan datang
ni dimanfaatkan dengan baik. Abang harap Min takkan
hampakan harapan abang.”
“Insya-Allah…” dengan separuh rela Aina Yasmin
memberi persetujuan. Pelik! Kenapa amat sukar baginya
untuk menolak apa-apa pun permintaan lelaki itu?
“Min pergi dulu bang. Min ada kerja sikit nak buat.”
Aina Yasmin mencipta alasan. ‘Takpelah. Nak gosok baju
untuk pakai ke pejabat esok, pun kerja jugak, kan?’
“Yalah… malam nanti abang call Min ya?”
‘Nak call lagi? Sekali tak cukup ke?’
“Errr… okey…” Aina Yasmin membalas.
“Assalamualaikum, tunang abang…”
Aina Yasmin menjawab salam Ameer Aazad dengan
sekuntum senyuman.
‘Kenapa aku senyum ni? Sukalah tu dengar dia
panggil macam tu! Sengal kau ni, Min!’ Namun di hati kecil
Aina Yasmin, dia tidak mampu membohongi diri. Dia suka
dengan panggilan itu. Panggilan yang menghebohkan status
dirinya yang telah dipunyai... yang telah diikat... seolah-olah
dirinya dihargai dan disayangi.
Sekurang-kurangnya dalam tempoh enam bulan ini,
dia akan mempunyai peluang untuk mengenali seorang insan
bernama Ameer Aazad. Mengenali seorang yang dulunya ego,
sombong dan kaki perempuan. Ikhlaskah perubahan Ameer
Aazad, dan yang pentingnya, adakah perubahan yang melanda
lelaki itu bersifat kekal atau sementara? Dia tidak tahu, tetapi
dia akan cuba mengambil tahu.
AMEER AAZAD menadah tangan tanda syukur. Syukur
doanya diperkenankan Yang Maha Esa. Baginya, enam
bulan bukanlah suatu tempoh yang lama… namun dia akan
pastikan Aina Yasmin akan menerima dirinya. Janji untuk
menjaga dan melindungi Aina Yasmin yang pernah dibuat di
hadapan arwah Haji Zainal Abidin kini dipegangnya. Dia tidak
akan sekali-kali mengambil ringan akan janji yang dilafazkan
dahulu.
‘Zad, abah harap Aazad dapat jaga Min baik-baik.
Kalau ada yang kurang pada Min, Aazad bimbinglah dia,
tegurlah dia elok-elok. Abah tak harap pada orang lain
untuk jaga anak abah tu. Esok-esok, Iqbal dengan Syafiq
akan ada keluarga dan tanggungjawab diaorang sendiri.
Jadi pada Aazad soranglah abah harapkan. Abah pun entah
esok, entah lusa mungkin dah takde lagi…’
Itulah kata-kata yang diucapkan arwah Haji Zainal
Abidin melalui panggilan telefon sehari sebelum arwah
meninggal dunia. Sebelum itu, setiap kali Ameer Aazad
pulang ke kampung dan bertemu dengan arwah, janji
yang sama ditagih. Selama ini, dia tidak pernah berniat
untuk mengotakan janjinya. Lafaznya hanya di bibir bagi
memuaskan hati lelaki yang telah mengambil tempat arwah
bapanya dulu. Tidak sampai ke hati. Namun, tidak lagi!
Semuanya sudah berubah.
Tiga hari selepas kematian arwah Haji Zainal
Abidin, Ameer Aazad mula bermimpi. Mimpi yang seakan
sama setiap malam. Wajah arwah Haji Zainal Abidin yang
memandangnya dengan wajah sayu dan kecewa. Arwah tidak
pernah menuturkan sebarang kata dalam mimpi-mimpinya.
Cukup sekadar memandang ke arah Ameer Aazad dengan
maksud pandangan yang sama.
Akibat terlalu terganggu dengan kehadiran
mimpi-mimpi itulah Ameer Aazad hilang tumpuan terhadap
pemanduan, lalu kereta yang dipandu laju bersama emosi
yang tidak begitu stabil, terbabas lalu jatuh ke dalam gaung
kecil di tepi lebuh raya.
Syukur umurnya masih panjang. Namun dia
kehilangan beberapa perkara yang pernah menjadi tunjang
kehidupannya dahulu. Dia kehilangan teman-teman
liburnya, kesempurnaan di wajahnya, malah dia turut
kehilangan Sheila, Diana, Marina, Eda dan ramai lagi gadis
yang berganti-ganti menjadi teman kesunyiannya. Semua
kerana perubahan pada wajah tampannya yang dulu menjadi
kegilaan gadis-gadis yang mengenalinya.
Disebabkan rasa kecewa, Ameer Aazad memilih untuk
bersendiri. Dia kini tahu siapa temannya ketika susah dan
siapa temannya ketika senang. Ditinggalkan dunia lamanya
dan memilih untuk memencilkan dirinya di kediaman bapa
angkatnya, sehinggalah dia bersedia untuk menghadapi
dunia luar. Dia turut memilih untuk menyisihkan diri, jauh
daripada Iqbal dan Syafiq, bukan kerana dia menganggap
kedua-dua beradik itu bukan teman semasa susahnya, tetapi
kerana perasaan malu yang begitu menebal terhadap keluarga
arwah Haji Zainal Abidin.
Dia menerima dugaan daripada Allah. Dia
menganggap dia telah menerima peringatan serta pengajaran
daripada Yang Maha Esa. Sesungguhnya, dia bersyukur
dengan segala apa yang telah menimpa dirinya, agar dia tidak
terus hanyut dengan dunianya.
Ameer Aazad bangun dari sejadah dan kembali
ke meja tulis di dalam bilik hotel. Tidak sabar untuk
menyelesaikan segala tugasannya agar segera boleh kembali
ke Kuala Lumpur. Dia ingin melabuhkan pandangannya ke
wajah tunangnya itu. Wajah yang tidak pernah meninggalkan
sebarang kesan terhadap dirinya dahulu.
Namun kini, suara milik gadis itu sering
menghantuinya. Bagaimanapun rupa Aina Yasmin kini, cerah
atau gelap kulitnya, kurus atau gemuk tubuhnya, bukanlah
menjadi pengukur terhadap komitmen yang telah dijanjikan
buat gadis itu. Dia terima. Dia reda dengan takdir jodohnya.
Dia tersenyum memikirkan kekalutan tunangnya
petang tadi. Comel sungguh! Mungkin Allah tidak
menganugerahkan Aina Yasmin paras rupa yang cantik
menawan tetapi telah menggantikannya dengan peribadi
yang amat menarik. Lagipun, cantik itu subjektif bukan?
Cantik pada matanya tidak semestinya cantik pada mata lain
yang memandang, dan begitu juga sebaliknya.
Ameer Aazad mengilas pandang ke arah jam tangan.
Pukul 10.30 malam. Tidak begitu lewatkah untuk dia
menelefon Aina Yasmin? ‘Ah, belasah jelah!!!’
Spontan senyuman terukir di wajah Ameer Aazad
tatkala mendengar gadis itu menjawab panggilannya. ‘Gila
bayang dah aku ni agaknya!’
“Min tak tidur lagi?”
“Belum… tengah tengok TV.”
“Abang mengganggu Min ke?”
“Errr… tak…” Sememangnya Aina Yasmin tidak
dapat menumpukan perhatian kepada cerita yang ditonton
bersama Mastura kerana asyik membelek telefon bimbitnya
menantikan panggilan daripada tunangnya itu. Pabila telefon
itu berbunyi, dia terus berlari masuk ke dalam bilik tidur.
Tidak mahu Mastura mencuri dengar perbualannya bersama
Ameer Aazad yang masih dirasakan begitu kekok sekali.
“Baguslah… esok Min mula kerja, kan?”
“Haah,” jawab Aina Yasmin sepatah.
“Nervous?” teka Ameer Aazad.
“Very!”
Ameer Aazad ketawa kecil.
“Min tak payah risau sangat. Abang tahu Min pasti
boleh buat semua tanggungjawab yang diberikan nanti. Buat
kerja dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh, ya? Yang lain
berserah je pada Allah. Lagipun Min dah ada pengalaman
kerja masa kat US dulu, kan? Abang percaya, Min takkan
ada masalah kat tempat kerja baru ni.” Nasihat Ameer Aazad
diterima Aina Yasmin dengan hati yang terharu.
“Insya-Allah, bang. Terima kasih atas keyakinan
yang abang letakkan pada Min.”
“Sama-sama. Dah call mak kat kampung? Mak
sihat?”
“Sihat, bang. Alhamdulillah…”
Agak lama juga mereka berbual itu dan ini.
Sedikit demi sedikit, Aina Yasmin mula hilang kegugupan
dan rasa gementarnya setiap kali berhubung dengan
tunangnya melalui telefon. Ameer Aazad bijak mencari topik
perbualan. Bertanyakan hal-hal yang dulu sedikit pun tidak
dihiraukannya. Dia ingin tahu apa yang menjadi kesukaan
tunangnya itu.
“Min masih minat memancing lagi?”
‘Alamak! Malunya… nampak sangat aku ni bukan
macam perempuan lain.’
“Errr… Min masih minat. Tapi dah lama Min tak
memancing. Along dengan angah sibuk. Geng lama Min
pulak, selain daripada Mas, belum balik Malaysia lagi.” Aina
Yasmin memilih untuk berterus terang. Bukankah lelaki itu
berjanji untuk menerima dirinya seadanya?
“Nanti Min ajaklah abang, boleh kita pergi sekali.”
Ujar Ameer Aazad.
“Errr… abang minat memancing ke?” Hairan Aina
Yasmin dibuatnya.
“Nak kata minat tu, taklah sangat. Tapi abang akan
belajar untuk suka apa yang Min suka.”
Sekali lagi Aina Yasmin terharu.
“Abang pulak suka buat apa?”
Ameer Aazad tersenyum senang. Soalan pertama
bersifat peribadi daripada Aina Yasmin. Nampaknya gadis itu
juga ingin lebih mengenalinya.
“Hobi abang sekarang membaca and I love to
travel… cuma abang dah lama tak travel sebab sibuk sangat
dengan kerja.”
“Oh… Min pun suka travel. Masa belajar dulu,
pantang ada cuti je, mesti kita orang jalan-jalan tengok
tempat orang.”
“Kita orang?” Ada nada tidak puas hati di situ.
“Hmmm… kawan-kawan Min. Mak tak bagi Min
jalan sorang-sorang. Jadi selalunya, Min akan travel dengan
kawan-kawan.”
“Lelaki ke perempuan?” Ameer Aazad tidak tahu
mengapa dia perlu bertanyakan soalan itu. Padahal di
hati kecilnya, dia yakin Aina Yasmin tidak pernah curang
terhadapnya, sepertimana dia pernah curang terhadap
tunangnya itu.
“Ermmm…. ada lelaki, ada perempuan…” jujur
Aina Yasmin menjawab. Tiada apa yang perlu diselindungkan.
Mereka hanya kawan, tidak lebih daripada itu. Status dirinya
yang sudah bertunang, bukanlah suatu rahsia yang disimpan.
Awal-awal lagi dia sudah mengiklankan status
dirinya kepada teman-teman seuniversiti, agar tiada yang
salah faham dengan ikatan persahabatan yang dihulurkannya.
Dan dia tidak mahu ada yang mendekatinya dengan harapan
dapat menjalinkan hubungan yang lebih serius daripada
seorang kawan.
“Semuanya kawan Min.”
Ameer Aazad mengeluh kecil. Tidak mengerti
dengan perubahan emosinya.
“Kawan-kawan Min tahu pasal abang?” soal Ameer
Aazad ingin tahu.
“Maksud abang? Tentang Min yang dah bertunang
dengan abang?”
“Hmmm…”
“Min tak pernah rahsiakan status Min daripada
sesiapa. Min tak kisah siapa pun tahu,” perlahan Aina Yasmin
menuturkan kata.
Ameer Aazad dilanda kekesalan. Malu dia dengan
keikhlasan yang dizahirkan Aina Yasmin terhadap ikatan
suci antara mereka, walaupun gadis itu tidak pernah
rela menjadi tunangnya. Lain pula dengan dirinya yang
langsung tidak pernah mengiktiraf kehadiran gadis itu dalam
hidupnya. Sering menidakkan dirinya yang sudah bertunang.
Gadis-gadis lain pula yang disorong ke hulu dan ke hilir.
Tunangnya sendiri tidak dipedulikan.
Sedarlah Ameer Aazad yang walaupun Aina Yasmin
terlalu muda ketika mereka ditunangkan dulu, ternyata
gadis itu lebih reda menerima takdir hidupnya daripada dia
sendiri. Banyak benar kesalahannya terhadap Aina Yasmin.
Mampukah ditebus semula?
“Terima kasih, Min…” lirih ucapan Ameer Aazad.
“Terima kasih? Untuk apa?” Aina Yasmin tidak
mengerti. Tiba-tiba sahaja Ameer Aazad mengucapkan rasa
terima kasih. Berkerut dahinya.
“Untuk segalanya…”
Aina Yasmin masih tidak mengerti, namun lidahnya
kelu untuk bertanya dengan lebih lanjut lagi. Cara Ameer
Aazad mengucapkan ‘untuk segalanya’ tadi begitu terkesan
di hatinya, seolah-olah Aina Yasmin telah melakukan sesuatu
perkara yang begitu hebat. Begitu istimewa. Bersama suara
yang cukup dalam dan perlahan, membuatkan jantung Aina
Yasmin berdetak kencang.
Diam.
“Min?” Suara Ameer Aazad bertukar romantik.
‘Aduhhh… lemah kepala lutut aku macam ni…’
Aina Yasmin menggenggam erat telefon bimbitnya. Takut
terlepas.
“Ya?”
“I can’t wait to see you…” bisik Ameer Aazad
perlahan.
Naik bulu roma Aina Yasmin. Dia merasakan
seolah-olah lelaki itu berada dekat di sebelahnya ketika
membisikkan niat hatinya. Bergetar bibirnya menahan rasa
gementar yang melanda. Lekas-lekas dia menggigit bibir.
Sungguh! Dia tidak pernah bereaksi sebegini sebelum ini…
dengan mana-mana lelaki!
“Abang Aazad…” Jeda. Cuba mengumpul sedikit
kekuatan.
“Ya, tunang abang…”
‘Habislah aku macam ni… mahu mati cepat kalau
jantung asyik kerja lebih masa je.’
“Kalau… kalau tak jumpa tak boleh ke? Min lagi
selesa macam ni.”
Terdengar keluhan kecil di hujung talian.
“Min tak percaya kat bang, ya? Takut abang tak boleh
terima Min?” Ameer Aazad meneka. Sangkanya Aina Yasmin
segan untuk bertemu dengannya kerana berasa rendah diri
dengan rupa serta penampilannya.
Namun sebenarnya, Aina Yasmin takut tidak dapat
menahan perasaannya yang sememangnya sudah mula
huru-hara, apabila bertentang mata dengan tunangnya
itu nanti. Selama ini, dia yakin dia tidak menaruh apa-apa
perasaan pun terhadap lelaki itu. Namun sejak mereka mula
berhubung, ada suatu perasaan halus yang mula menjentik
diri. Takut perasaan itu menular tidak terkawal.
Bagaimana pula dia mampu memutuskan
pertunangan mereka enam bulan nanti? Ya, memang niatnya
untuk memutuskan pertunangan mereka akan diteruskan
juga bila tempoh enam bulan tamat kelak. Sengaja dia
akur dengan syarat yang dikenakan Ameer Aazad bagi tidak
menghampakan harapan ibunya dan juga Puan Shima.
Aina Yasmin tidak tahu bagaimana untuk berterus
terang. Dia tidak mahu berjumpa dengan Ameer Aazad.
Cukuplah mereka berbual melalui telefon sahaja.
“Percayalah pada abang, Min. Niat dan hati abang
takkan berubah,” ujar Ameer Aazad cuba meyakinkan Aina
Yasmin. Hatinya dilanda kerisauan pabila gadis itu tidak
memberikan sebarang balasan. “Abang betul-betul nak jumpa
dengan Min.”
“Min… Min…”
“Please, Min? Please?” rayu Ameer Aazad sebelum
sempat Aina Yasmin menolak permintaannya. Seumur
hidupnya, dia tidak pernah perlu merayu kepada mana-mana
wanita pun untuk bertemu dengannya. Setiap masa,
merekalah yang memujuk dan merayu untuk mendapatkan
perhatian daripadanya. Mereka yang terkejar-kejarkannya
dan merayu untuk berjumpa. Bukan dirinya.
Aina Yasmin terus cair. Ketika ini, sekiranya Ameer
Aazad merayunya untuk berkahwin pun dia sanggup, agaknya!
‘Banyaklah cikadak kau, Min!’
“Yalah…” akhirnya Aina Yasmin mengalah.
“Terima kasih, tunang abang. Tunggu abang balik,
ya? Nanti kita jumpa.”
“Okey…” sepatah Aina Yasmin menjawab.
“Okeylah Min. Dah lewat ni. Tidur lepas ni, ya?
Esok Min mula kerja. Jangan lambat ke pejabat esok. First
impression is always important. Remember that!”
“Okey…”
“All the best for tomorrow… kalau ada apa-apa
masalah, call je abang, ya?”
“Okey…”
‘Apa aku ni? Asyik okey, okey… takde perkataan lain
ke?’
“Selamat malam, tunang abang…”
“Selamat malam…”
Ameer Aazad membiarkan Aina Yasmin yang
mematikan talian telefon dulu. Ketika talian dimatikan,
lambat-lambat dia mengalihkan telefon dari telinganya. Dia
sudah merindukan suara gadis itu.
‘Ah! Parah macam ni… tak sabar nak balik KL!’
No comments:
Post a Comment