DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 25 May 2016

Samurai - Bab 2

“EH, Aizat! Dah sampai rupa-rupanya. Eh,
balik berdua? Dah kenal-kenallah ni?” Mak tersenyum lebar
menyambut kepulangan Aizat.
Panjang umur mak. Baru lagi si Samurai senget ni duk
tanya tentang mak.
Aku pandang encik samurai yang masih dengan
wajah seriusnya itu. Dia menjelingku 360 darjah sehingga
bergolek-golek anak mata hitamnya. Automatik aku menceber.
Sombong dan bajet betul mamat ni. Kalau wajahnya stok
model-model, bolehlah aku terima. Ni, muka macam stok
model yang garu ketiak kat atas pokok belakang rumah. Kera
lagi handsome! Ingat aku berselera agaknya?
“Mak! Dia ni gila.” Aku mengadu di depan dia. Dia
mencemik.
“Eh, kau tu yang gila. Banyak mulut. Pot pet pot pet
tak henti-henti. Mak de bencikan siapalah waktu mengandung
dulu sampai terkenan dekat budak ni?” soalnya selamba.
Aku rasa macam nak hentak botol kicap di dalam
plastik ni atas kepalanya. Aku banyak mulut ni disebabkan dia
yang mencari masalah denganku terlebih dalu. Bukannya aku
teringin nak bercakap banyak dengan orang gila macam dia ni.
Bila aku mengendurkan suara, dia masih lagi berkasar. Salah
aku lagi ke?
“Mak!” Aku mengadu sambil hentak kaki tanda protes.
Mak tergelak sahaja. Tidak langsung membela sesiapa.
Plastik di tanganku emak capai. Aizat tak menunggu lama
untuk mencapai tangan emak dan mengucupnya. Tersentuh
pula hatiku melihat adegan itu. Oh, tahu pula dia hormat orang
tua. Tak sangka betul. Aku sangka yang dia akan buat bena tak
bena sahaja kepada mak aku tadi.
“Apa pandang-pandang?” Dia menjegilkan matanya.
Eleh. Aku pandang kau cium tangan mak aku pun kau
nak marah. Seriuslah dia ni mental. Macamlah aku pandang
dia tak pakai baju. Euw! Memang aku tak rasa nak pandang dia
langsung, sekalipun dia tidak mengenakan sebarang pakaian ke
tubuhnya. Sudahlah tubuhnya langsung tak tough. Terbantut
seleraku.
“Saya pandang sebab takut awak cium tangan mak
saya terus sampai ke bahu.” Aku menjelingnya. Lagi nak tanya
kenapa? Tak nampak ke dia muka curious aku tengok dia
hormat mak aku?
“Eh! Ada pulak cakap dengan abang macam tu?” Mak
membebel.
Abang? Aku pandang dia, dia pandang aku. Serentak
kami menjelirkan lidah. Meluat. Muka macam ini nak dibuat
‘abang’? Puih! Terima kasih sahajalah. Bagi percuma sepuluh
pun aku tak mahu.
Mak membelek isi plastik itu.
“Abang? Sejak bila entah orang ada abang yang
rambut panjang macam ni? Kalau kakak, percayalah juga.”
Aku mengomel perlahan sambil menjelingnya 360 darjah. Dia
menjelingku kembali.
“Sejak bila entah aku ada adik yang bermulut bising
macam si minah ni. Kalau nenek, percayalah juga.” Dia berkata
pula.
Ayat lebih kurang sama aje dengan ayat aku. Mak
hanya tergelak mendengar kata-kata tak berlapis samurai itu.
Sungguh aku rasa geram! Sesuka hati kau aje kan nak panggil
aku minah? Nama aku Melurlah!
“Kenapa sampai ada telur yang pecah ni?” soal mak
dengan suara tak puas hati apabila menilik isi dalam plastik di
tangannya.
Aku tertunduk. Alamak! Terlupa pada telur yang pecah
tadi. Mak marah ke?
“Dia yang ninjakan!” Aku tunjuk Aizat. Dia
membuntangkan mata. Tak percaya kena fitnah dengan aku.
Siapa suruh cari pasal tadi, kan? Padan dengan muka dia.
“Eh? Fitnah tu, mak de. Kau ni... aku pulak yang kena.
Aku tak sentuh pun telur tu.” Dia membela diri.
“Anak mak de ni memanglah dia! Usah dilayan dia
ni, Aizat. Mak de tahu kamu takkan nak buat kerja-kerja tak
berfaedah begitu. Kerja macam tu, ni ha... si anak dara mak
de ni aje yang rajin membuatnya.” Mak aku meluku kepalaku
dengan buku limanya. Humph! Aizat tayang muka bangga
apabila aku diluku mak. Geram betul aku dengan dia ni.
“Eh, lupa nak tanya. Kamu ni bila sampai ke mari?”
soal emak yang tak mahu aku bertempur dengan samurai. Mak
pun dah tahu mulut aku laser tahap mana. Tapi... yang samurai
ni lagi laser dari mulut aku.
“Saya ni baru aje sampai, mak de. Jumpa budak
senget ni kat kedai depan sana. Ingatkan dah legalah lepas tu.
Tengok-tengok, muka dia lagi ikut saya balik ke rumah. Saya
sangkakan dia terlepas dari Tanjung Rambutan tadi.” Jawabnya
selamba. Ramah pula mulut dia apabila berbual dengan mak
aku.
Mak aku hanya tergelak. Mak! Dia kutuk anak mak
macam ni pun mak boleh ketawa senang hati? Tak adil betul!
Masa bila entah aku ikut dia balik? Perasan sangat dia ni. Buat
aku tambah menyampah kepadanya.
“Lain kali tengok keadaan diri dulu sebelum cakap orang
terlepas dari Tanjung Rambutan. Saya berpakaian elok. Lainlah
kalau awak. Pakai seluar jean koyak-koyak. Rambut panjang
kalah perempuan. Pakai baju lengan digulung-gulungkan
sampai nampak bulu ketiak. Muka pulak macam orang pecah
rumah aje.” Aku membidas geram.
Mak menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Ini namanya rock!” Dia menaikkan jari kelengkeng,
telunjuk dan ibu jarinya. Simbol rock kononnya. Nak muntah
kacang aku. Mujur aku tak makan kacang tadi.
“Rock kepala hangguk awak! Pengemis punya pakaian
lagi cantiklah daripada pakaian pelik awak ni. Pengemis pun
malu nak pakai baju macam ni.” Aku mendengus. Sengaja aku
menayang muka tak hairan aku dekat dia.
“Pengemis otak kau!” Dia menjegilkan matanya. Aku
mula menayang penumbuk kecilku ini. Jangan ingat kecil-kecil
ni tak berbisa. Sekali aku ayun, masuk hospital lima hari dia
nanti.
“Jangan bergaduhlah, anak-anak.” Abah muncul.
Aku terdiam dan menunduk. Bila abah dah masuk
campur, tiada sesiapa berani membantah lagi. Si samurai
bersalaman dengan abahku. Cium tangan lagi. Tak sangka
dalam imej rocknya, dia menghormati orang tua. Oh, itu
merupakan satu kebaikan yang ada dalam dirinya... atau dia
sengaja nak membodek?
“Pak de, si alang dengan Din mana?” soal samurai
tanpa menghiraukan pergaduhan kami tadi.
Aku mencemik. Nak tunjuk prihatinlah tu kononnya.
Boleh blah! Kalau dengan aku... memang tiada langsung
dia nak tunjuk perangai macam ni. Baru tak sampai sejam
berjumpa dengan dia, otak aku dah mula rasa sakit. Mulut dia
macam torpedo. Dia hanya tahu untuk membidas sahaja. Itu
yang membuatkan aku tak puas hati dengan sikapnya.
“Ada... melepak agaknya. Biasalah... orang bujang.
Macam itulah bila dah balik kerja. Dekat rumah ni bukannya
ada aktiviti lain yang diaorang boleh buat selain melayan
budak kecil ni.” Abahku berkata sambil merunyai-runyaikan
rambutku. Kemudian, dia menghampiri si samurai dan
memeluk bahunya.
Aku bukan budak lagi? Aku dah besar tapi semua
anggap aku ni kecil lagi. Inilah nasib seorang anak bongsu yang
tiada kakak.
“Dah tua bangka pun masih dianggap budak kecil?” Dia
mencemik selamba. Abah dan mak tersenyum saja.
“Eh, biarlah. Apa yang awak tak puas hati sangat?
Jeles?” Aku menjeling. Sakitnya hati.
“Esok lusa dah nak menopause...”
“Abah... tengok dia ni!” Aku menghentak kaki geram.
Abah dan mak berpaling ke tempat lain. Bahu mereka bergegar.
Mereka gelak? Apa yang kelakarnya dengan ayat dia tu? Biadab
tahu tak?
“Mak, ni dia duit lebih. Seringgit lagi tu, air mineral
dia. Orang tolong bayarkan tadi.” Aku memulangkan baki
kepada emakku. Malas aku nak berlama kat sini. Karang hati
aku juga yang sakit.
Lagi satu, aku merajuk dengan mak dan abah kerana
langsung tidak menghiraukan rengekan aku tadi. Sebab tu aku
bahasakan diri aku ‘orang’.
Mak hanya tersenyum. Aku berjalan ke bilik. Malas nak
menghadap muka orang pecah rumah macam si samurai ni.
Cemburu aku melihat kemesraan dia dengan orang tuaku.
“Seringgit pun nak kecoh.” Dia menyindir. Aku
berpusing semula.
“Abah tengoklah dia ni. Selalu cari gaduh tau!” Aku
mengadu. Rasa nak piat telinga dia laju-laju. Nak kata dia
sedang bergurau, mukanya serius dan nampak sinis. Belum
pernah aku berhadapan dengan lelaki bermulut laser seperti
dia ini. Abang-abang aku pun tak macam ni. Gurauan mereka
berpada-pada sikit. Tak sangka ada juga lelaki bermulut laser
mengalahkan perempuan.
“Melur...” lembut abah menyebut namaku. Nada abah
menyuruh agar aku mengalah dengan sepupu jahatku ini. Aku
mendengus. Semuanya nak bela si samurai. Benci!
“Melur? Sampai besar pun kau kena panggil Melur ek?
Tak ada nama glamor ke? Kesiannya aku kat kau.” Dia mengejek
namaku di depan mak abah. Cis!
“Elok sikit eh mulut tu? Mak, tengoklah dia ni...” Aku
mengadu. Nak menangis rasanya. Dari tadi aku asyik terkena
saja dengan dia ni. Biadab sangat. Abah dan mak tergelak sahaja.
Geram. Geram. Geram!
“Eloklah... mulut aku terletak ni.” Dia menjawab lagi.
Kalau tadi aku rasa seperti hendak hentakkan kepala
dia dengan botol kicap, sekarang aku rasa nak hentak kepala
sendiri dekat dinding seribu kali. Sakit hati sangat.
“Mak de panggillah dia Melati ke, Kemboja Puteh
ke, Orked ke... ni, Melur! Nama klasik habis. Sedap lagi nama
Saloma.” Dia mengejek.
Aku rasa macam nak cantas sahaja mulut jahat dia.
Melati tu pun klasik juga apa? Semua nama dia bagi tu pun
nama klasik, tahu? Itu belum lagi dia jumpa Leha. Kalau tak,
tentu dia akan katakan perkara yang sama kepada Leha.
“Mak, baik mak bawak dia pergi berjampi. Mulut dia ni
puaka sangat!” Aku akhirnya menangis geram.
Sempat aku sedekahkan penumbuk sedebik ke dadanya
dengan kuat. Dup! Aku boleh dengar bunyi tumbukanku.
Badan dia tu sudahlah tulang. Aku dengar dia mengaduh. Ah!
Pedulilah... biar padan dengan muka dia!
“Melur... tak baik buat macam tu...” mak membebel.
Aku berlari ke bilik. Nak menangis puas-puas. Sakitnya
hati. Tak pernah lagi aku jumpa lelaki yang menyakitkan hati
macam dia ni seumur hidupku. Sebab dialah, aku mula rasa
kekurangan perhatian daripada mak dan abah. Ini baru tak
sampai sejam dia kat sini.
Aku kena usir dia dari kampung ni. Harus!
MALAM INI, suasana di meja makan nampak mesra alam sekali.
Semua orang sibuk bercerita kecuali aku. Aku hanya terdiam.
Kepala sedikit pun tak kuangkat. Sedari tadi, aku hanya
menunduk, menekuni makananku. Banyak kali abang-abangku
cuba memancing minat aku agar berbual.
Sudah banyak kali mereka menyebut nama Aaron
Aziz. Ya, mereka tahu bahawa aku dan Aaron Aziz tidak
dapat dipisahkan. Aaron merupakan aktor kegemaranku. Aku
kemam-kemam bibir sahajalah kerana tak mampu memberi
komen mengenai artis pujaanku yang satu itu. Aku sedang
memprotes! Satu-satunya cara aku memprotes ialah dengan
mogok suara.
Teringin benar aku hendak menceritakan keterujaanku
melihat Aaron Aziz yang berlakon dalam Ombak Rindu serta
Adam dan Hawa itu kini menjadi pengacara dalam rancangan
realiti tv, Fear Factor. Tapi aku tak mampu bersuara. Sebab...
si samurai ada di sini. Kalau aku bersuara, mesti dia nak
memperkecilkan aku lagi seperti tadi.
“Melur tak tengok ke Aaron Aziz tadi? Kita orang
tengok Fear Factor. Melur tak keluar. Rugi tau! Nampak badan
tough mamat tu. Tambah-tambah bila dia pakai baju ketat
warna hitam. Teringin sungguh nak jadi katang macam dia.”
Abang alangku berkata sambil dipersetujui oleh Abang Dinku.
Argh! Bencilah macam ni. Aku hanya menggeleng-gelengkan
kepala buat muka tak kisah. Padahal aku sangat kisah tentang
itu.
Semuanya sebab samurai. Terlepas peluang aku untuk
menonton artis pujaanku itu. Benci samurai! Benci! Benci! Kalau
dia tak menyakitkan hati aku, memang aku buat muka tembok
saja dengan menonton rancangan itu tanpa mempedulikannya
di ruang tamu bersama abang-abangku. Masalahnya... dia dah
buat aku menangis dari awal lagi. Aku benci lelaki yang tidak
pandai menjaga perasaan orang seperti dia.
Selepas makan, dengan tergesa-gesa aku membasuh
pinggan. Tak sanggup lagi hendak mendengar mereka semua
memuji Aaron Aziz di depanku. Muncul pula dia, si samurai di
sebelahku. Dia menanti giliran untuk membasuh pinggannya
sendiri. Ada bagusnya juga. Basuh pinggan tu sendiri, jangan
sibuk nak mengharapkan aku. Aku dah memasak untuk dia
pun dah cukup bagus. Menyesal aku tak letak julap dalam
makanannya tadi. Biar dia terus bermastautin di dalam tandas
sahaja sebagai balasan perbuatannya terhadapku. Barulah
terasa adil.
“Melur.” Panggilnya lembut.
Tangannya cuba mencapai span kuning di tanganku
tetapi aku menepis. Ikut turn la! Huh! Lembut macam mana
pun kau nak panggil aku, takkan aku layan. Aku tahu niat kau
nak 'Melur'kan aku. Nada suaranya macam nak ketawa bila
menyebut namaku.
“Melur....” mendayu-dayu dia memanggilku. Benci.
Meremang bulu romaku.
“Jangan panggil nama sayalah!” Aku menjelingnya.
Bengang. Aku tahu dia cuma hendak mengejek namaku. Buruk
sangatkah sepatah nama ini?
“Habis tu kalau aku tak panggil kau Melur, aku
nak panggil kau apa? Telur?” soalnya selamba dengan suara
mendatar. Kedengaran suara abang-abangku tergelak sopan.
Memang semua tak berpihak kepada aku dah semenjak dia ada
kat sini.
Aku menahan sabar. Jangan sampai terbelah dua
pinggan ni aku hentakkan ke kepala dia. Sabar aku semakin
menipis semenjak kehadiran dia. Aku merenjiskan tanganku
yang basah ke muka dia lantas aku berjalan keluar. Padan
dengan muka. Terkelip-keliplah kau seorang diri.
“Melur... tak baik buat Aizat macam tu.” Tegur abah.
Heee. Ada saja mata yang nampak perbuatan khianatku
kepadanya. Asyik-asyik salah aku aje yang mereka nampak. Aku
pandang Aizat, dia tayang muka berlagak sambil mengesat
wajahnya yang basah direnjisku. Memang aku rasa nak simbah
air dekat muka dia guna baldi. Tak apa, kali ni kau selamat.
Selamat sebab ada abah dan mak. Aku tenyeh hidung dengan
ibu jari sambil menghantar pandangan maut kepadanya
sebelum berlalu pergi.
“Berlagak.” Komennya selamba.
Abang-abangku bergosip berdua. Dari wajah mereka,
aku tahu yang mereka sebenarnya sedang berusaha menahan
gelak besar diaorang tu. Sakitnya hati! Satu keluargaku
memanjakan Aizat lebih daripada mereka manjakan aku. Aku
anak bongsu di rumah ini. Bukannya Aizat, si samurai bengong
tu. Ah! Kenapa along tiada di kampung sekarang? Tentu nasibku
bakal terbela sedikit dengan adanya along.
Tapi tak tentu juga... mak kata along berkawan baik
dengan dia di KL. Siapa nak bela aku? Ijai tak ada...
AKU BERBARING di dalam buaian di beranda rumah.
Tengah-tengah malam begini, memanglah agak menakutkan
kalau aku bersendirian di buaian tetapi itulah aktivitiku pada
setiap malam. Lagi pula, aku ingin menghilangkan stres. Stres
dengan kehadiran si kambing tu! Haaa. Kan dah dapat pangkat
baru! Kambing pula. Rasakan kau, samurai.
Aku merenung bintang. Cantik bintang hari ini.
Bersinar terang dan indah. Bulan pun nampak penuh. Memang
payahlah nak tengok bulan bulat penuh dan besar begini.
Takkan sebab ada samurai kut baru bulan ni nak muncul?
Indahnya ciptaan Allah SWT. Betapa bersyukurnya aku
melihat keindahan ini dengan mata kepalaku sendiri. Jatuh
simpati aku kepada mereka yang tidak dapat melihat keindahan
alam ini kerana buta. Bagaimanalah mereka rasa?
Terdengar derapan langkah menghampiriku. Abahlah
tu. Nak pujuk aku agaknya. Yalah, aku kecil hati dengan abah.
Sebelum adanya Aizat, memang abah akan utamakan aku.
Sekarang? Apa yang dah jadi? Semuanya Aizat! Itu Aizat, ini
Aizat sampaikan aku rasa tersisih. Bukan abah saja, mak dan
abang-abangku pun sama. Semua dah tak hairankan aku. Layan
aku macam aku ini tak wujud.
“Kau buat apa kat dalam tu?” soalnya. Suara dialah.
Humph! Bukan suara abah.
Abah dah tak nak pujuk aku lagi ke? Berganda-ganda
rasa sedihku muncul. Aku benci Aizat. Aku tak nak tegur dia
lagi sebab dia jahat. Aku berpura-pura tak dengar sapaannya.
Konon-konon leka sangatlah merenung bintang. Aku nak buat
apa lagi dalam buaian ni? Baringlah. Takkan memasak pula?
Dia berdiri di sebelahku sambil mendongak ke langit,
memerhati bintang sama sepertiku. Tangan diseluk ke kocek.
Nampak otot-otot tak berapa besar dia tu. Ikutkan hati aku ni,
mahu sahaja aku tendang dia biar berlipat tulang belakangnya,
namun aku harus bersabar. Aku bukanlah perempuan jahat
seperti itu.
“Aku tak tahu pun Melur ada masalah pendengaran.”
Tegurnya. Selepas itu dia gelak ikut hidung. Aku tahu dia
gelakkan nama aku. Klasik sangat ke nama Melur tu? Benci
betul aku kepada dia ni. Pandang muka dia pun aku dah tak
ingin, tau tak?
“Tak payah nak 'Melur'kan saya sangat! Kang, bertelur
dahi awak tu saya kerjakan. Kenapalah suka sangat mengejek
nama orang? Kalau dari kecil saya ada pilihan, saya tak nak tau
nama ni?” Aku mendengus. Dia tayang muka tak hairan saja.
Menyampah aku.
“Orang bodoh aje tak nak nama tu. Melur
melambangkan...” Dia bersuara tidak lama kemudian. Langsung
tak pandang aku. Dia cakap dengan aku ke dengan bulan?
Melambangkan apa? Kenapa dia berhenti?
“Melambangkan apa?” Dia nampak tersentak dengan
soalanku.
“Kau kajilah sendiri. Bagi aku baring kat situ
pulak.” Dia menghentikan ayunan perlahan buaianku dengan
mencengkam tepi buaianku menggunakan sebelah tangan
sahaja.
Aku menggoyang-goyangkan badan supaya buaian ini
kembali berbuai tetapi dia bertindak menarik buaian itu dengan
lebih kuat. Rapat ke pahanya. Tulang dia berkalsium ke apa?
Kuat sungguh. Badan keding aje masalahnya. Tak bergerak
langsung dia meskipun aku meronta sepenuh tenaga di dalam
buaian ini supaya aku dapat berbuai semula.
“Tak payah.” Aku berkata dengan nada yang semakin
meninggi.
“Bagilah. Dekat tempat aku tak ada benda alah ni.”
dia masih lagi tidak mahu melepaskan buaianku. Tersenget
buaianku, tak berayun dan statik. Aku pandang lantai. Alamak!
Tersenget macam ni. Takutnya jika terjatuh ke bawah.
“Tak ada buaian macam ni? Kat KL sana patut ada
semua benda ni.” Aku menempelaknya geram.
“Memang tak ada. Buaian kat sana lawa-lawa. Tak
seburuk ini.” Dia mengutuk. Dasar budak bandar! Kalau dah
tahu lawa, kenapa nak yang buruk lagi? Dia ni sengaja betul cari
penyakit. Macamlah dia tak pernah duduk di kampung. Dia juga
membesar di kampung, kan? Takkan dah lupa diri?
“Kalau dah tahu buruk, pergilah cari buaian lain
yang lawa daripada buaian ni. Berlambak dekat KL sana!” Aku
menjelingnya. Masih berdegil untuk tidak menyerah kalah
kepadanya. Buaian ini, aku yang punya!
“Aku nak yang buruk ni. Nak tengok keteguhan dia.”
Dia memberi alasan dengan suara yang mendatar.
Alasan sungguh. Macamlah dia tu berat sangat
sehingga hendak menguji keteguhan buaian ini. Sedangkan
Abang Din yang berbadan besar itu pun, buaian ini mampu
tampung, inikan pula dia yang keding ini.
“Tak payah nak beri alasanlah. Tak puas-puas lagi
menarik nikmat saya? Dahlah, lepaskan. Jatuh saya ni nanti!”
Aku mendengus.
Dia menggoncang-goncang buaianku dengan kedua
belah tangannya mengharapkan agar aku terjatuh. Degil betul
dia ni! Aku mencengkam kuat buaianku tetapi dia semakin
agresif menggoncang buaianku. Dia ni kasar sungguh orangnya.
Gedebuk. Akhirnya aku terjatuh jua ke lantai. Sakitnya.
Aku melihat siku yang terasa sakit. Mujur di beranda ada mentol
yang bercahaya oren. Boleh nampaklah juga. Menggelupas kulit
sikuku. Peritnya!
Aku meniup sikuku. Dia merebahkan badannya ke
buaian tanpa riak bersalah lantas mengalaskan tangan kirinya
ke bawah kepala sambil memejamkan mata. Hah! Bagus! Tidur
kat luarlah kau seorang diri. Lagi bagus kalau ada kera tengah
malam begini. Biar dia kena kekah dengan kera. Baru padan
dengan muka. Aku bangkit dan ingin melangkah ke dalam
rumah. Namun, seluarku ditarik. Nyaris terlondeh ke bawah,
mujurlah sempat aku tarik ke atas semula. Hei! Apa ni?
“Hei lepaslah!” Aku menjerkah.
Aku merentap seluarku, namun tangannya masih
mencengkamnya. Dia ni bukan sahaja kasar, malah tak pandai
nak hormat hak privasi orang. Bagaimana kalau tercabut
seluarku tadi? Tak rela sungguh aku nak bagi dia tengok seluar
dalam corak ceri aku.
“Bagi aku tengok siku kau.” Dia berkata sambil
membuka matanya perlahan-lahan memandangku.
Aku menjelingnya. Dia memuncungkan mulutnya ke
arah sikuku. Masih menyuruhku untuk menunjukkan sikuku
yang luka tadi. Untuk apa? Untuk dia tambah asam limau pada
luka akukah?
Serentak itu aku melihat semula sikuku. Ada kesan
darah sedikit. Pedulilah. Perit begitu kepadaku sikit saja.
Tidak seperit hati aku. Aku merentap kuat seluar trekku dari
pegangannya sebelum melangkah masuk.
Tak ingin aku nak bertegur dengan dia lagi. Perangai
macam setan! Kalau dulu ada cerita Ali Setan, sekarang dah
moden. Aizat Setan pula menggantikan Ali. Aku dengar dia
mengeluh. Apa pasal pulak dia nak mengeluh? Patutnya aku
yang mengeluh. Kehadiran dia tak diundang...

No comments:

Post a Comment