DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 26 May 2016

Isteri Dalam Sangkar - Bab 2

“AKU geram betul la dengan Mak Cik Nin tu!
Sampai hati dia buat kau macam ni. Sampai naik berbekas
dia cubit lengan kau. Apa dia ingat kau ni anak patung ke
nak main cubit-cubit? Dia tu memang dah melampau!” Ros
menggumam marah sambil menggosok minyak gamat ke
lengan putih melepak Aisyah.
Simpatinya dia kepada nasib yang menimpa sahabat
baiknya itu. Sejak kedua orang tua Aisyah meninggal dunia
dalam kemalangan ngeri lima tahun yang lalu, hidup
sahabat baiknya itu sudah banyak berubah. Sudah tidak
seceria dulu. Aisyah menjadi mangsa penderaan Puan Ainin
dan dua anaknya yang serupa perangai monyet itu. Semua
menyusahkan Aisyah.
“Cuba kau tengok lengan kau ni? Dah berbekas dia
kerjakan. Eiii… memang perempuan sihir tak berhati perut!
Kalau akulah berada di tempat kau Aisyah, dah lama aku lawan
balik dengan apa yang diaorang buat. Dia dengan anak-anak
‘monyet’ dia tu memang tak sedar diri. Dahlah menumpang
tinggal kat rumah peninggalan arwah mak abah kau, boleh
pulak berlagak macam mem besar anak-beranak. Jadikan
kau macam orang gaji dalam rumah sendiri.” Masih belum
reda marah si Ros kepada Puan Ainin dan anak-anaknya itu.
Baginya mereka itu merupakan beban kepada Aisyah.
“Takpelah Ros. Dah nasib aku macam ini. Nak buat
macam mana? Lagipun cuma mak su yang aku ada dalam
dunia ni. Tanpa mak su dan sepupu-sepupu aku tu, aku hidup
sebatang kara.” Lembut saja Aisyah membalas.
Ros merupakan sahabat baiknya. Satu-satu sahabat
yang selalu ada di waktu dia suka dan duka. Tanpa Ros,
hidupnya tidak akan ada sedikit warna cerianya. Ros yang
selalu buat dia ketawa dan tersenyum gembira. Ros memang
sahabat yang baik biarpun kadangkala kata-katanya menusuk
ke tangkai hati. Aisyah tahu Ros begitu bencikan mak su
Aininnya dan sepupunya yang berdua itu.
Ros mendengus. Geram mendengar jawapan yang
keluar dari mulut Aisyah.
“Hah… itulah kau. Kalau aku cakap pasal Mak Cik
Nin dan anak-anak monyet dia tu, laju aje kau membela
diaorang anak-beranak. Sedangkan kau tak fikir apa
yang diaorang anak-beranak buat dekat kau. Selalu nak
sebelahkan diaorang sedangkan diaorang selalu buat jahat
pada kau.” Cebikan di bibir Ros menandakan dia sudah mula
mahu merajuk. Kecil hati apabila Aisyah terlalu melebihkan
keluarganya yang tidak seperti keluarga itu.
“Cubalah berkeras sikit Aisyah. Sampai bila kau
nak kena buli dalam rumah sendiri? Rumah tu… rumah
peninggalan arwah abah dan mak kau untuk kau tau!
Bukannya untuk diaorang anak-beranak nak bermaharajalela.
Semua harta peninggalan arwah abah dan mak kau, mereka
anak-beranak yang makan hasilnya. Dari kebun strawberi
sampailah ke gerai buah tu, semua Mak Cik Nin yang
berkuasa. Kau pula tak ubah seperti kuli di kedai sendiri.
Rumah sewa yang tiga buah tu pun diaorang juga yang
berkuasa ambil hasilnya setiap bulan. Untuk kau satu sen pun
takde. Sedangkan itu semua peninggalan arwah mak abah
kau. Baju-baju kau yang ada ni pun, sekadar lakonan hebat
Mak Cik Nin depan orang kampung. Kononnya dia layan kau
dengan baik sedangkan hakikat sebenar bukan begitu.” Ros
terus melepaskan geram.
“Sampai bila kau nak jadi macam ni, Aisyah? Kau tak
fikir ke hah yang diaorang tu tengah seksa kau? Diaorang
tiga beranak tu, ambil kesempatan ke atas kau. Takkan kau
nak kena seksa seumur hidup?” bertubi-tubi Ros menujah
soalan berunsur lepas geram. Jika bukan memikirkan Aisyah
itu sahabat baiknya, mahu rasanya dia mengatakan Aisyah itu
bodoh. Namun dia tidak sampai hati mahu mengecilkan hati
sahabat baiknya itu.
Wajah cemberut Ros membuatkan Aisyah rasa
bersalah. Bukan niatnya mahu menyebelahi mak su dan
sepupu-sepupunya. Namun hanya itu sahaja pilihan yang
dia ada. Dia tiada saudara lain selain daripada mak su dan
sepupu-sepupunya itu. Arwah abah anak yatim piatu. Tiada
adik-beradik pun. Arwah emak pula hanya ada seorang adik
kembar tidak seiras iaitu Mak Su Ainin. Jadi, hanya mak su
sahajalah saudara kandung yang dia ada di dunia ini. Dia tahu
Ros berkata begitu kerana sayangkan dia sebagai sahabat.
“Aku bukan nak sebelahkan diaorang Ros. Tapi…
apa lagi pilihan yang aku ada? Aku cuma ada mak su sorang.
Walau dia tak sukakan aku, hanya dia saja saudara yang aku
ada dalam dunia ni.” Lirih Aisyah. Terasa seperti ada air mata
yang mahu merembes keluar. Emosinya tidak berapa baik
hari ini. Rindunya terhadap arwah emak dan abah begitu
membuak-buak menyebabkan air matanya mudah saja mahu
mengalir.
Ros melepaskan keluhan. Rasa bersalah pula
dia. Lantas dia menepuk lembut bahu temannya yang
menundukkan wajah. Melihat Aisyah yang sudah
terhinggut-hinggut, dia tahu Aisyah sedang menangis,
membuatkan rasa bersalahnya kian menebal.
‘Kenapa la mulut aku ni celopar sangat?’ rungut Ros
dalam hati.
“Maafkan aku Aisyah. Aku tak bermaksud nak cakap
macam tu dekat kau. Aku cuma geram sangat dekat Mak
Cik Nin tu. Sampai hati dia buat kau macam ni. Aku sedih
tau kawan baik aku kena buat macam ni. Aku dah anggap
kau macam saudara kandung aku. Kalau kau terseksa, aku
juga rasa tempiasnya.” Ros memujuk. Nadanya juga sudah
mengendur.
“Aku faham Ros. Terima kasih sebab kau selalu
sokong aku. Kaulah sahabat baik aku dunia akhirat.”
“Aku minta maaf okey?”
Aisyah mengangguk. Dia tahu niat baik sahabatnya
itu. Cuma kadangkala, butir bicara tajam yang meniti keluar
dari mulut gadis itu membuatkan dia terasa hati. Bukan
dia minta nasibnya begini. Sudah suratan Ilahi dia harus
menempuh hidup yang penuh kesukaran ini. Dia tahu pasti
ada hikmah di sebalik kesusahan yang dialaminya ketika ini.
“Senyum la….” Ros menolak badan Aisyah dengan
badannya. Selagi Aisyah tidak senyum, selagi itu dia tak
senang hati. Dia mahu melihat senyuman manis yang terukir
di bibir sahabat baiknya itu.
Aisyah mengukir senyuman manis. Air mata dikesat
dengan tapak tangan. Dengan Ros rajuknya tak berpanjangan.
“Hah… macam inikan cantik.” Puji Ros. Lega apabila
Aisyah sudah mula tersenyum kembali. “Lain kali kalau mak
cik sihir tu pukul atau cubit kau lagi, kau beritahu aku. Biar
aku aje yang ajar dia.” Sambung Ros dengan lagak berani
mati.
Aisyah hanya tersenyum. Ros ni kalau cerita pasal
mak su dan Fasha memang berapi-api dia marah.
“Thanks Ros. Kau memang baik. Pasal tu aku sayang
kau sangat, sangat, sangat….” ucap Aisyah sambil memeluk
erat tubuh kurus Ros.
Terharu Ros mendengar kata Aisyah. Aisyah
sememangnya seorang yang lurus. Disebabkan itulah dia
menjadi mangsa kekejaman Mak Cik Nin dan anak-anak
monyetnya itu. Namun Ros tidak mahu melayan emosi sedih
ini lama-lama. Nanti termenangis pula. Tak rocklah dia nak
menangis depan Aisyah. Ros semahunya sentiasa kuat di
hadapan Aisyah. Mahu Aisyah menganggap dia teman yang
boleh dibuat sandaran apabila gadis itu bersedih.
“Eh… janganlah peluk-peluk aku Aisyah. Nanti ada
orang nampaklah. Nanti kena gosip Miss Les pulak kita ni.
Huuu… tak nak ar. Aku masih perempuan tulen tau.”
Aisyah sudah ketawa. Kelakar apabila Ros tayang
muka geli-gelemannya itu.
“Eleh… cakap ajelah kau takut kalau cik abang kau
tu nampak.” Aisyah menggiat. Dia tahu Irham sukakan Ros.
Cuma Ros saja yang jual mahal. Tak mahu konon!
“Eh… ini takde kena-mengena dengan si Irham tu
la!”
“Eleh… malu-malu pulak.”
“Hesy… betul la!”
Aisyah tersenyum lebar. Dia tahu Irham anak Haji
Suhaili itu ada hati kepada Ros. Ros saja yang buat-buat jual
mahal.
“Alalala… cayang busyuk… janganlah buat muka
macam tu.”
Ros sudah tidak tertahan apabila Aisyah membuat
mimik kelakarnya itu. Lantas mereka sama-sama ketawa
riang.

“HMMM… BARU balik? Baru nampak batang hidung!”
sergah Puan Ainin sebaik saja kelibat Aisyah kelihatan di
muka pintu.
Mendengar suara itu, Aisyah hanya menunduk.
Tidak berani dia hendak menjawab. Takut tersilap jawab,
tangan mak su akan naik lagi ke badannya.
“Kau dari mana? Dari kubur mak bapa kau? Kalau
kau dah suka sangat pergi kubur tu, apa kata kau berumah
terus kat situ. Tak payah balik sini lagi. Kau tahu tak banyak
kerja kat rumah ni yang belum selesai. Yang kau asyik nak
ke kubur tu buat apa? Jumpa mak bapa kau? Macam tu?”
Pedas sekali bicara Puan Ainin menusuk halwa telinga
Aisyah, membuatkan Aisyah sebak dan air matanya mengalir.
Tersentuh apabila mak su mengata dia sedemikian rupa.
Puan Ainin mendengus. Kasar bunyinya. Dah serupa
bunyi kerbau betina tak kena layan kerbau jantan saja. Benci
benar dia melihat air mata Aisyah. Cengeng! Sikit-sikit nak
tangkap leleh!
“Ala… mak. Tu tak lain tak bukan pergi menggatal la
tu. Pergi tayang muka dekat mamat-mamat yang duk melepak
kat bus stop tu. Macam la mak tak tahu anak sedara kesayangan
mak tu jenis gedik menggeletis. Asyik nak menggoda jantan
aje kerjanya.” Fasha yang sedang bersenang-lenang membaca
majalah Mangga di atas sofa bersebelahan dengan emaknya
sudah mula mencelah. Pantang diberi peluang, cepat saja dia
nak mengapi-apikan emaknya. Dia suka setiap kali emaknya
marahkan Aisyah. Rasa satu kepuasan pula apabila dapat
menyakitkan hati gadis itu dan membuat Aisyah menangis.
“Huh! Emak dengan anak sama saja gatalnya. Dasar
keturunan penggoda!” dengus Puan Ainin lebih kepada
melepaskan dendam kesumatnya kepada arwah si kakak.
Terkesima Aisyah mendengar kutukan mak su
kepada arwah emaknya. Sampai hati mak su cakap orang
yang sudah tiada begitu. Entah apa salah arwah emak dulu
sampai mak su begitu membenci. Aisyah tidak pernah tahu
apa sengketa mak su dan arwah emaknya.
“Dah! Dah! Aku ni semakin tengok muka kau
tu, semakin sakit hati aku. Pergi kat dapur tu. Ada banyak
pinggan yang belum dicuci. Takkan kau nak suruh aku
dengan Fasha pula yang buat kerja kat rumah ni. Sedar sikit
diri kau tu. Kalau aku dengan anak-anak aku takde dekat sini,
siapa nak temankan kau. Kalau kau nak kami terus dekat sini,
baik kau pergi buat kerja. Jangan nak menangis depan aku.
Meluat aku tengok.”
Aisyah berlalu. Pedih hatinya diperlakukan begitu
oleh satu-satunya saudara yang dia ada di dunia.
Di dapur, dia terkejut melihat keadaan singki yang
berselerak dengan pinggan mangkuk kotor. Banyak bukan
main. Sedangkan hanya mak su dengan Fasha saja yang
makan tengah hari. Tetapi banyak pinggan mangkuk yang
kotor bagaikan ada sepuluh orang yang makan di rumah itu.
Air mata yang membasahi pipi diseka dengan tapak
tangan. Dia perlu segera mencuci pinggan mangkuk yang
kotor. Lepas itu dia hendak menunaikan solat asar pula
sebelum dia kembali semula ke dapur untuk menyediakan
makan malam.
Dalam sibuk membasuh, tiba-tiba Aisyah rasa ada
satu kucupan singgah pada bahunya.
“Hai, sayang...” sapa suara itu penuh godaan. Tubuh
Aisyah dipeluk dari belakang.
Terkejut Aisyah dibuatnya. Membuatkan dia
terloncat dan termelatah. Penyakit yang diwarisi daripada
arwah emak.
“Oh mak kau sayang melayang!”
Farid ketawa besar. Suka hati mendengar Aisyah
melatah. Comel!
“Apa ni Abang Id? Lepaslah!” Aisyah meronta minta
Farid melepaskannya.
Farid tidak mengendahkan rintihan Aisyah. Malah
semakin kuat dia memeluk tubuh adik sepupunya itu.
“Ala… abang peluk aje la sayang. Bukannya luak
pun.”
Aisyah ketap bibir. Geram dengan keselambaan Farid
yang tidak tahu malu itu. Inilah yang dia tidak suka kepada
Farid. Lelaki itu suka mengambil kesempatan ke atas dirinya.
Jika ada peluang untuk mereka berdua dan dia sedang lalai,
pasti Farid tidak teragak-agak akan memeluknya. Farid
memang gatal nak mampus!
“Abang Id… janganlah macam ni. Lepaskan Aisyah
la! Nanti apa kata mak su kalau dia nampak Abang Id peluk
Aisyah macam ni? Lepaskan Aisyah!”
Farid tidak menghiraukan kata-kata Aisyah. Peluang
keemasan yang ada tidak akan dia persiakan. Dia memang
suka peluk Aisyah. Gadis itu cukup menarik di matanya.
“Aisyah! Buatkan aku air!” suara Fasha yang
meninggi itu mengejutkan Aisyah dan Farid. Namun belum
sempat Farid meleraikan pelukannya, Fasha sudah berada di
situ.
“Amboi, amboi, amboi… bukan main korang
bercengkerama dekat sini ye. Siap peluk-peluk!” sinis Fasha
menyindir.
Farid mencebik. Malas benar dia hendak melayan
kepala gila adiknya yang seorang itu.
Aisyah menundukkan kepalanya.
“Yang kau sibuk apasal? Yang kau tu pulak hari-hari
peluk si Iwan tu, tak sedar diri. Merenyam dengan anak
jantan orang!” balas Farid. Fasha ni pandai saja mengata dia,
diri sendiri pun dua kali lima saja.
“Hal orang dengan Iwan takde kena-mengena
dengan abang. So… jangan nak sibuk ye.” Fasha membalas
garang. Dia dengan Farid memang tidak pernah sebulu.
Selalu sahaja bertengkar bagai anjing dengan kucing.
Farid mencebik lagi. Bosan dengar bebelan Fasha.
Fasha memang tidak pernah hormatkan dia sebagai seorang
abang. Baru sedikit dia bersuara, Fasha sudah menjawab
berjela-jela. Disebabkan itulah dia tidak pernah aman dengan
Fasha.
Fasha menjeling Farid sebelum pandangannya
diarahkan kepada Aisyah.
“Hah… kau! Tunggu apa lagi. Buatkan aku air. Lepas
tu bawa naik ke atas. Aku haus ni. Kalau kau lambat… nahas
kau aku kerjakan!” dengan kasar Fasha bersuara. Lagak puan
besar memberi arahan kepada pembantu rumahnya.
“Ba… baik.” Tergagap-gagap Aisyah menjawab.
Takut bukan main dengar ugutan Fasha. Mana tidaknya,
Fasha kalau sudah marah-marah, sesuka hati saja jadikan
dia mangsa. Pernah beberapa kali Fasha memukul dan
membaling barang ke arahnya. Malah, kesan kekejaman
Fasha itu masih berbekas di dahinya.
“Huh! Lembap macam siput!” rungut Fasha sebelum
dia kembali masuk ke ruang tamu dengan wajah mencuka.
Farid sudah meniru-niru aksi adiknya itu. Meluat
benar dengan Fasha. Kalau dia jadi Iwan, jangan harap
nak dilayannya minah kerek itu. Entah apalah yang Iwan
berkenan sangat dengan adiknya yang bodoh sombong itu.
Nak harap cantik, rasanya Aisyah lagi cantik daripada Fasha
yang berkulit hitam manis.
“Aisyah tak payah nak layan sangat perangai si Fasha
tu. Daripada Aisyah buatkan air untuk monster tu, baik
Aisyah layan abang. Dapat jugak pahala.”
Dalam sibuk Aisyah membancuh air untuk Fasha,
masa itu jugalah Farid mengambil kesempatan menyentuh
tangan Aisyah. Bibir pula tersungging senyuman penuh
makna. Senyuman gatal nak mampus!
Cepat Aisyah menarik tangannya daripada terus
disentuh Farid.
“Apa pegang-pegang orang ni?”
“Ala… abang pegang sikit je.”
Aisyah menjeling. Sikit ke banyak ke, dia tetap tidak
suka. Ingat dia ni perempuan murahan ke nak pegang sesuka
hati?
“Tepilah sikit. Aisyah nak hantar air ni. Nanti Fasha
bising pula.” Gumam Aisyah tegas. Langsung tiada senyuman
pada wajahnya ketika itu. Sakit hati apabila Farid suka
mengambil kesempatan ke atas dirinya. Mentang-mentanglah
dia tiada tempat untuk mengadu. Bukan main lagi Farid
mengambil kesempatan!
Sambil menatang dulang berisi air, Aisyah
melangkah masuk ke ruang tamu. Farid merengus. Kesal
kerana tidak dapat menyentuh Aisyah lebih lama. Semua ni
adiknya itulah punya pasal. Suka kacau daun.
“Takpe Aisyah. Aku pasti akan dapatkan kau jugak
nanti.” Farid menanam azam dalam hati.

No comments:

Post a Comment