“ALHAMDULILLAH…” lafaz Mastura. Seronok
dia mendengar Aina Yasmin telah lulus temu duga dan bakal
memulakan pekerjaannya tidak lama lagi.
“Thanks, Mas…” ucap Aina Yasmin. “Terima kasih
sangat-sangat sebab tolong rekomen kerja ni untuk aku. Aku
terhutang budi pada kau.”
“Small matter je tu. Aku dengar tempat tu perlukan
pekerja. Aku pun tanya-tanyakanlah untuk kau. Kau dapat
kerja dengan Warisan Investment ke? Kau dah jumpa CEO
dia? Amacam CEO kau?”
Suara Mastura yang terlebih girang membuat Aina
Yasmin kehairanan.
“CEO? Eh, aku interviu dengan HR la. Lepas tu ada
ketua dari Jabatan Corporate Planning, jabatan yang nak
ambik aku tu. Kenapa kau tanya pasal CEO pulak? Takkanlah
CEO sendiri nak interviu aku? Aku junior executive je kut.”
“Errr… takde apa-apa, takde apa-apa. Aku saja
tanya je.” Mastura berdalih. Harapannya agar Aina Yasmin
bertembung dengan Ameer Aazad tidak menjadi.
“Kau ni lain macam je? Kau ada sorok apa-apa
daripada aku ke?” tembak Aina Yasmin.
“Takdelah,” bidas Mastura.
Sememangnya dia merahsiakan sesuatu daripada
teman baiknya itu. Dia langsung tidak memaklumkan kepada
Aina Yasmin tentang Ameer Aazad yang bekerja di syarikat
yang sama dengan temannya itu bakal memulakan alam
pekerjaannya nanti. Ada sebab mengapa dia merahsiakannya
daripada Aina Yasmin dan ada sebab mengapa dia mahu
temannya itu bekerja sebumbung dengan tunangnya sendiri.
“Tapi aku tak kerja kat Warisanlah, Mas. Buat
sementara waktu ni, aku diletakkan di anak syarikat Warisan,
sebab kat situ memang tak cukup kakitangan. Mungkin
dalam tiga ke enam bulan. Bila staf anak syarikat dah kembali
cukup, barulah aku akan dipindahkan ke Warisan semula,”
jelas Aina Yasmin.
Terkejut Mastura mendengar penjelasan Aina
Yasmin. Kalau Aina Yasmin tidak bekerja di Warisan
Investment Sdn. Bhd., maka gagallah rancangannya!
“Alaaa… kau kena posting kat mana?”
“Don’t worry, my friend. Anak syarikat tu satu
bangunan jugak dengan Warisan. Tingkat je lain. Kita still
boleh pergi ofis sama-sama, jumpa masa lunch and balik
sama-sama nanti, Insya-Allah.”
“Yahoooo!!!” jerit Mastura.
“Hoi! Pekak telinga aku kau jerit macam tu!”
marah Aina Yasmin sambil menjarakkan kedudukan telefon
bimbitnya dari telinga. Bingit!
Mastura ketawa…
“Tapi aku nak bagi warning kat kau! Aku dengar
CEO Warisan tu garang orangnya. Semua orang kecut
perut dengan dia. Dia CEO baru kat situ. Baru dua bulan.
Kau jaga-jaga, jangan kena baham dengan singa nanti, ek?”
Mastura cuba menakut-nakutkan temannya itu. Arif benar
dia tentang kelemahan Aina Yasmin.
“Hesy, kau ni! Janganlah takutkan aku. Aku ni
dahlah tak boleh kerja dengan orang yang kuat marah-marah
ni.” Aina Yasmin mula cuak.
Walaupun orang memanggilnya dengan gelaran
tomboi dan mempunyai perwatakan yang lasak dulu, namun
hatinya mudah tersentuh. Kena marah atau jerkah sikit,
dia dah menangis. Anak bongsulah katakan… Sebab itu dia
begitu takut dengan arwah bapanya yang begitu garang di
matanya, dan tidak pernah berani membantah kata-kata dan
arahan arwah Haji Zainal Abidin.
“Tapi aku kan tak kerja kat situ. Aku kerja kat Icon
Properties mula-mula ni. So, mesti aku tak kerja dengan CEO
tu, kan?” tanya Aina Yasmin inginkan kepastian.
“Manalah aku tahu… tapi bergantung jugak pada
polisi syarikat. Macam syarikat aku kerja ni, CEO dia pantau
projek-projek besar anak-anak syarikat walaupun setiap anak
syarikat ada Pengurus Besar dia sendiri. CEO aku pulak
dilantik menjadi pengarah dalam semua anak syarikat. Kira
macam Group CEOlah. Jadi, kalau CEO Warisan merupakan
salah seorang pengarah syarikat Icon Properties, ada
kemungkinan kau akan selalu bertembung dengan CEO
Warisan nanti.”
“Alaaa… ya ke? Aku harap taklah… Aku tensionlah
kalau dapat bos yang garang atau kuat nak marah-marah ni.
Lemah semangat aku.”
“Kau doa jelah, Min. Err... bila kau mula kerja?”
“Isnin depan.”
“Oh... so kau ada banyak masa lagilah untuk kemas
barang-barang kau kat rumah sewa tu. Baguslah…”
“Haah. Aku pun dah sampai rumah kau ni. Aku nak
kemas-kemas apa yang patut. Malam tadi tak sempat. Sampai
je, aku terus tidur. Okeylah Mas. Aku tak nak kacau kau kerja.
Aku letak dulu ya? Jumpa petang karang. Assalamualaikum.”
“Yalah. Jumpa nanti. Waalaikumussalam.” Mastura
mengakhiri perbualan. Syukur dia dengan peluang yang
diberikan oleh syarikat Warisan Investment Sdn. Bhd. kepada
temannya itu, walaupun rancangannya tidak berapa menjadi.
‘Takpelah kerja kat Icon Properties pun. Manalah
tahu Min akan bertembung dengan Abang Aazad nanti. Apa
pun, lepas tiga atau enam bulan, Min akan dipindahkan
kembali ke Warisan. Semoga apa yang aku rancangkan
menjadi!’ bisik Mastura sendirian.
AINA YASMIN duduk di birai katil di dalam bilik sewanya. Mesej
dihantar kepada abang-abangnya memaklumkan tentang
kejayaannya diterima oleh syarikat Warisan Investment Sdn.
Bhd. Ucapan terima kasih juga dihantar kepada Iqbal kerana
sudi menghantarnya ke pejabat Warisan Investment Sdn.
Bhd. pagi tadi. Dia tersenyum puas. Alhamdulillah…
Matanya kini meliar ke ruangan bilik sewanya.
Tidak begitu besar namun selesa. Dia bercadang untuk
mula berkemas. Isnin hadapan dia akan memulakan alam
pekerjaan di salah sebuah syarikat yang ternama di Kuala
Lumpur. Dia benar-benar bersyukur. Dia baru hendak
mencapai beg pakaiannya, telefon bimbitnya pula berbunyi.
Sangkanya tentu Iqbal. Salam diberi dengan nada suara yang
cukup ceria.
“Waalaikumussalam…” suara garau di talian
melenyapkan senyuman di wajahnya. Terus dia gugup.
“Min dah sampai KL?”
“D… dah…” jawab Aina Yasmin perlahan.
“Semalam…”
“Abang pulak takde kat KL sekarang ni. Kalau tak,
boleh kita jumpa, kan?”
‘Eeee… siapa nak jumpa dengan dia? Perasan!’
Diam.
“Abang ada kat Penang ni. Ada projek nak
diselesaikan. Mungkin seminggu abang kat sini.”
‘Tak tanya pun!’
Diam.
“Min, kenapa senyap je ni?”
Diam.
“Min?”
“Ya? Min kat sini.” Lemah.
“Dan abang kat sini, tunang abang…”
Aina Yasmin terkedu. Entah mengapa ada
suatu perasaan halus menyapa hatinya tatkala lelaki itu
memanggilnya dengan ‘tunang abang’. Gelaran yang
seharusnya membawa rasa bahagia sekiranya bertunang
dengan orang yang dicintai yang turut mencintai dirinya.
Walaupun tiada cinta, mengapa hatinya bagai merelakan
panggilan itu?
“Errr… kenapa Abang Aazad call Min ni?” Aina
Yasmin cuba melenyapkan perasaan halus itu. Dia belum
bersedia untuk menggali dengan lebih dalam lagi perasaannya.
“Saja, nak dengar suara Min.” Itulah sejujurnya.
Ameer Aazad memilih untuk berterus terang. Inilah kali
kedua mereka berhubung di talian. Tiga hari Ameer Aazad
menahan rasa. Hanya mesej mengucapkan salam dan
bertanya khabar mampu dihantar. Masuk hari ini, dia sudah
tidak dapat menahan keinginannya untuk mendengar suara
tunangnya yang satu itu.
“Min tak suka ya abang call?”
“Bukan macam tu… Min cuma tak biasa.”
“Min kena belajar biasakan diri Min dengan abang.
Insya-Allah kalau ada jodoh, kita akan hidup bersama nanti.”
Tidak tertelan air liur Aina Yasmin mendengar
kata-kata Ameer Aazad yang dituturkan dengan suara yang
begitu dalam. Hidup bersama? Oh tidak!!!!
“Min masih belum buat keputusan lagi.”
“Abang tahu… abang hanya mampu berharap dan
berdoa.”
“Boleh Min tahu kenapa abang ubah pendirian
abang?” Soalan yang membelenggu hati dan fikiran Aina
Yasmin sejak dia menerima ‘syarat-enam-bulan’ yang
dikenakan Ameer Aazad dilontarkan. Dia benar-benar mahu
tahu sebabnya.
“Semua orang mampu berubah, Min. Antara cepat
dengan lambat saja. Syukur abang dapat peluang sebelum
terlambat,” ringkas dan perlahan Ameer Aazad menuturkan
kata. “Min dah bincang syarat abang dengan mak dan
abang-abang Min?” giliran Ameer Aazad pula bertanya soalan.
“Dah. Diaorang serahkan pada Min untuk buat
keputusan.” Aina Yasmin mengeluh. Terbayang sepasang
mata ibunya yang memandang dengan penuh pengharapan.
Seolah-olah memintanya untuk memberi persetujuan
kepada syarat Ameer Aazad, walaupun bibirnya tidak berkata
sedemikian.
“Dan keputusannya?”
“Min tak tahu… Min janji akan beritahu
keputusannya hari Ahad ni.”
Ameer Aazad menarik nafas lega. Sangkanya Aina
Yasmin sudah membuat keputusannya. Maknanya, dia masih
mempunyai harapan.
“Okey. Abang tunggu.”
“Errr… abang?”
Enaknya panggilan ‘abang’ itu di telinga Ameer
Aazad. Mengapa sekarang baru terasa?
“Ya, tunang abang?” Ameer Aazad sengaja mahu
menekankan panggilan itu. Dia tidak mahu sesaat pun Aina
Yasmin melupakan status dirinya, iaitu tunangan kepada
Ameer Aazad.
“Errr…” Aina Yasmin kembali gugup mendengar
panggilan itu. “Betul ke abang tak kisah punya tunang macam
Min ni? Yang berpenampilan macam Min ni?” Aina Yasmin
perlukan kepastian. Dia tahu Ameer Aazad tidak menyedari
tentang perubahan dirinya dan dia mahu meyakini hatinya
bahawa Ameer Aazad menerimanya dengan sangkaan dirinya
masih seperti dulu.
“Aina Yasmin binti Zainal Abidin! Abang terima siapa
pun diri Min. Min kurus ke, Min gemuk ke, Min kudung ke,
Min cacat ke, abang terima! Tolonglah jangan bangkitkan hal
ni lagi. Abang tahu abang bersalah pada Min dulu dan abang
harap Min sudi maafkan abang. Tapi, please jangan ungkit lagi
cerita dulu. Abang nak mulakan episod baru dalam kehidupan
kita berdua. Abang tetap anggap Min sebagai tunang abang
dan abang harap status tu akan bertukar menjadi isteri tak
lama lagi. I want to marry you, Min! You!!!”
Aina Yasmin memejamkan matanya. Berderau
darahnya mendengar luahan hati Ameer Aazad dengan nada
yang cukup tegas itu. Sungguh dia terharu. Penuh perasaan
Ameer Aazad cuba meyakinkannya. Siap panggil nama penuh
lagi!
“Min faham tak?”
Diam.
“Min… abang tanya ni, Min faham tak?”
“Fa... faham,” bisik Aina Yasmin.
“Cuma abang tak pasti yang Min sanggup terima
abang… terima abang yang sekarang, bukan yang Min ingat
dulu…” suara Ameer Aazad sudah hilang ketegangannya.
Bayangan wajah Ameer Aazad yang berjambang
menyapa pandangan matanya. Baginya, berjambang atau
tidak, Ameer Aazad tetap segak seperti dahulu. Badannya
semakin tegap daripada dulu. Yang bezanya, Ameer Aazad
kini lebih serius dan lebih berkarisma. Aura yang dibawa
Ameer Aazad begitu mempesonakan, walaupun mereka
sempat bertentang mata tidak sampai seminit ketika di majlis
kenduri kahwin Munirah baru-baru ini.
“Kenapa Abang Aazad cakap macam tu?”
“Yalah, manusia berubah Min. Abang tak terkejut
kalau Min tak dapat terima abang macam abang terima Min.”
‘Kenapa dia cakap macam tu? Seperti ada sesuatu
yang tersirat,’ fikir Aina Yasmin sendirian.
Diam.
“Okeylah, tunang abang. Staf abang dah tunggu tu.
Janji yang Min akan call abang Ahad ni?” pinta Ameer Aazad.
“Ya, Min janji…”
Satu keluhan berat dilepaskan Ameer Aazad. Entah
mengapa dia masih mahu berterusan berbual dengan Aina
Yasmin dan mendengar suara gadis itu. Namun tuntutan
kerja memanggilnya.
“Janji yang bila abang mesej, Min akan balas.”
“Min cuba, Insya-Allah…”
“Janji yang Min akan jaga diri Min selama kat KL ni.”
“Min janji…”
“Janji yang Min akan jaga maruah Min sebagai
tunang abang.”
“Min janji…”
“Janji Min akan kahwin dengan abang!”
“Min jan… aaa... apa?”
Terlepas tawa kecil Ameer Aazad. Tawa yang sudah
sekian lama dipendam. Dia rasakan dia sudah lupa bagaimana
hendak ketawa. Sudah lama dirasakan hidupnya sepi daripada
gelak tawa. Kini dengan gadis itu, tawanya bisa terletus. Pelik!
Aina Yasmin terkesima. Kahwin?
“Tak kira! Min dah janji dengan abang.”
“Mana ada?” bantah Aina Yasmin laju.
Ketawa lagi. Apa yang lucu pun Aina Yasmin tidak
tahu.
“Min dah dapat tempat kerja kat KL?”
“Dah bang, alhamdulillah… Min mula Isnin depan.”
“Baguslah kalau macam tu. Okeylah, abang pergi
dulu. Try to miss me, okay?”
‘Gila mamat ni! Yucks!’
Diam.
“Assalamualaikum, tunang abang,” ucap Ameer
Aazad.
“Waalaikumussalam…”
Butang merah di telefon ditekan. Aina Yasmin
menekup dada. Mengharapkan agar degupan jantungnya
kembali normal.
‘Aku pun dah gila agaknya… kenapa aku jadi macam
ni, setiap kali dia mesej atau call aku? Kata tak suka? Kata nak
putus? Wahai hati, tolong jangan buat aku macam ni…’ Aina
Yasmin merayu.
Nafas diambil dalam-dalam. Dadanya diusap
perlahan. Bila semuanya sudah kembali reda, Aina Yasmin
bangun dan mencapai beg pakaiannya sekali lagi. Dia ingin
melupakan Ameer Aazad buat seketika dan menumpukan
perhatiannya pada bilik dan rumah baharunya itu.
Nun jauh di Pulau Pinang, tiga orang pekerja dari
Warisan Investment Sdn. Bhd. memandang sesama sendiri.
Pelik dengan gelagat ketua mereka yang tiba-tiba murah
dengan senyuman. Apa yang sudah terjadi kepada bos mereka
ni? Dapat bonus ke? Atau tersampuk dengan makhluk halus?
Mereka tidak berani bertanya. Lebih elok Ameer Aazad
bermood positif begini daripada mereka dihidangkan dengan
wajah serius yang pada bila-bila masa boleh bertukar bengis
itu. Harap-harap mood baik bos mereka akan kekal sepanjang
minggu ini.
No comments:
Post a Comment