DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 24 May 2016

Demi Bahagia Ini - Bab 9

SUDAH lama Qistina tidak merasa gembira,
segembira hari ini. Dr. Ilyas Khan seorang yang sangat kelakar.
Pecah perut Qistina mendengar cerita-cerita sejarah palsu yang
direka doktor muda ini tatkala dia dibawa ke beberapa tempat
bersejarah di kota London. Qistina sudah pun mengetahui
sejarah sebenar tempat-tempat yang dibawa Dr. Ilyas Khan, jadi
gurauan doktor itu benar-benar menghiburkan hatinya.
Sekali-sekala dia akan cuba membetulkan fakta sejarah
yang dibentangkan Dr. Ilyas Khan dan mereka akan bergaduh
sambil ketawa. Rindu Qistina mendengar gelak tawanya
sendiri. Jangan harap dia boleh berketawa sebegitu jika orang
di sebelahnya ialah Ian Iskandar.
‘Hesy... Kenapa aku boleh fikir pasal mamat tu
sekarang ni pulak?’ Walaupun jasadnya bersama Dr. Ilyas Khan,
namun ingatannya masih melayang terhadap Ian Iskandar.
“So, how long do you intend to hide the fact that you
are actually an intelligent girl?” Dr. Ilyas Khan bertanya. Hujahhujah
yang diberikan Qistina ketika membetulkan fakta sejarah
negara England tadi menyerlahkan tahap kepintaran gadis itu.
Qistina yang pada mulanya tersentak dengan soalan
Dr. Ilyas Khan pantas menyembunyikan riak terkejutnya dan
mula tersenyum.
“Well, I never pretended to be stupid!”
Tawa Dr. Ilyas Khan terletus kuat. Seronok dia
meluangkan masa bersama gadis ini. Gadis ini amat istimewa.
Dia berasa amat selesa dengan Qistina. Jarang dia dapat
merasakan keselesaan yang begitu cepat apabila bersama dengan
seorang yang baru dikenali seperti ini. Selalunya keserasian dan
keselesaan bersama rakan baru akan mengambil masa untuk
dikembangkan. Lain pula kali ini.
“So, where did you study?”
“LSE,” jawab Qistina sepatah.
Kening Dr. Ilyas Khan terjungkit ke atas.
“Wow! I’m impressed!” Terbukti Qistina bukan calangcalang
orang.
Qistina tersipu. Entah mengapa dia begitu selesa
berbual-bual dengan Dr. Ilyas Khan, walaupun hanya tiga
jam mereka meluangkan masa bersama. Dengan ketiadaan
Timah, dia memerlukan seorang teman untuk meluangkan
masa bersama. Dia nampak keikhlasan daripada sinar mata dan
isyarat tubuh Dr. Ilyas Khan.
Mereka kini duduk sambil minum kopi di kafé
berhampiran Tower of London. Seperti yang dipinta Dr. Ilyas
Khan, Qistina kini sibuk menceritakan tempat-tempat menarik
untuk dikunjungi di Malaysia memandangkan Dr. Ilyas Khan
tidak pernah bercuti ke Malaysia. Sedang Qistina asyik bercerita,
dia terperasan riak wajah Dr. Ilyas Khan yang berubah menjadi
terkejut dan sedikit tegang. Matanya tertumpu ke suatu arah.
Qistina terdiam dan matanya turut terkalih ke arah
pandangan mata Dr. Ilyas Khan. Dia melihat seorang gadis
tinggi lampai berbangsa Pakistan sedang berposing sambil
memaut lengan seorang lelaki berkulit putih. Gambar mereka
diambil. Mereka kemudian berlalu dari situ tanpa menyedari
panahan mata Dr. Ilyas Khan. Qistina kembali memandang Dr.
Ilyas Khan.
“Ilyas, is something wrong?” Barulah kini Qistina
selesa memanggil Dr. Ilyas Khan dengan nama Ilyas sahaja.
Wajah Dr. Ilyas Khan masih tegang. Kini berbaur sedih.
“Someone you know?” Qistina bertanya lagi.
“My ex-fiancee…” Perlahan Dr. Ilyas Khan bersuara.
Qistina kini mengerti. Gadis yang direnungnya tadi
adalah bekas tunangnya. Sungguh tidak disangka. Dr. Ilyas
Khan begitu ceria, begitu murah dengan senyuman, sarat
dengan tawa dan jenaka, namun rupanya dalam hati, ada luka
yang amat dalam. Mungkin masih berdarah…
“I’m sorry…” Qistina mengucapkan kata simpatinya.
Dr. Ilyas Khan memandang wajah Qistina yang kini
suram. Terharu dia dengan kesedihan yang dipancarkan Qistina
bagi pihaknya.
“Hey, these things happen…” Dr. Ilyas Khan
menantikan Qistina menanyakan lebih lanjut lagi tentang
kisah cintanya, kerana bukankah sifat semula jadi seorang
perempuan begitu? Sentiasa ingin tahu. Sudah ramai kawankawan
wanitanya bertanyakan tentang hal dirinya dan bekas
tunangnya. Dia pasti Qistina juga mempunyai sifat ingin tahu
seperti perempuan lain.
Namun Qistina masih diam. Air kopi dihirup perlahan.
Dr. Ilyas Khan masih menunggu. Apabila Qistina masih tidak
menunjukkan tanda-tanda ingin bertanya, Dr. Ilyas Khan
merasa hairan. Ternyata Qistina lain daripada perempuan lain.
Gadis ini amat menghormati ruang peribadinya.
“Aren’t you going to ask me what happened?”
Qistina memandang Dr. Ilyas Khan. Kenapa soalan itu
ditanya dengan nada suara yang begitu pelik sekali? Salahkah
dia kerana tidak bertanya?
“It’s really none of my business. But if you want to let
it out and share with me the details, I’m all ears…”
Dr. Ilyas Khan tersenyum. Senang dia dengan jawapan
Qistina. Tanpa berlengah, dia memulakan ceritanya tentang
cintanya yang tidak kesampaian dengan gadis bernama Dr.
Fatma Ali. Bagaimana mereka telah ditunangkan sejak kecil lagi
atas arahan dan demi menurut tradisi keluarga, namun cinta
yang mula berputik antara mereka ketika zaman persekolahan
membuatkan impian keluarga mereka untuk melihat mereka
bersatu menjadi semakin manis dan bermakna.
Enam bulan yang lalu, Dr. Fatma Ali telah jatuh
cinta dengan seorang lelaki berbangsa Scottish dan nekad
memutuskan pertunangan dengan Dr. Ilyas Khan, walaupun
ditentang keras keluarganya. Ternyata daripada cara renungan
Dr. Ilyas Khan kepada bekas tunangnya tadi, dia masih
mencintai wanita itu.
“You still love her don’t you?” Qistina meneka.
“I’ve loved her for so long, I don’t know how not to love
her!” Begitu jujur Dr. Ilyas Khan melahirkan perasaannya.
“She’s a very stupid woman!” Kritikan yang diberikan
Qistina dibuat secara bersahaja dengan senyuman di bibir.
“Well, she is if she can’t appreciate your love for her.
Don’t worry. One day she’ll come crawling back to you on her
hands and knees. Mark my words!”
Dr. Ilyas Khan ketawa besar. Ketegangan pada wajahnya
terus hilang. Pandai Qistina memujuk dan mengambil hatinya.
“Qistina, I don’t know why but it’s so easy to talk
to you. I hope we can be good friends.” Ikhlas Dr. Ilyas Khan
menyuarakan hasrat di hati.
Qistina tersenyum. Dia juga merasakan keserasian
dengan Dr. Ilyas Khan.
“I’d like that very much!” Mereka saling berpandangan.
Dan pada saat itu, terjalinlah ikatan persahabatan yang tulus
antara Dr. Ilyas Khan dengan Sofiah Qistina Tan Sri Ali
Saifuddin.
Hari sudah lewat. Sudah menganjak ke waktu maghrib
ketika Dr. Ilyas Khan menurunkan Qistina di hadapan rumah
Puan Mariam. Syukur mereka sempat bersolat asar walaupun
lewat, ketika menikmati makan malam di sebuah restoran Arab
di Edgware Road tadi. Hai, nasib baiklah musim panas. Waktu
asar begitu panjang.
Dr. Ilyas Khan turun dari kereta dan berjalan
mengiringi Qistina ke pintu. Kunci pintu dikeluarkan dari tas
tangan. Pintu dikuakkan sedikit.
“Thanks, Ilyas. I really had a fun time today!”
Dr. Ilyas Khan tersenyum.
“Me too! I’ll see you tomorrow, okay.”
Qistina mengangguk. Esok banyak lagi tempat yang
ingin dibawa Dr. Ilyas Khan, walaupun Dr. Ilyas Khan tahu
Qistina telah pun melawat semua tempat yang dirancangkan Dr.
Ilyas Khan itu. Alasan Dr. Ilyas Khan hanyalah kerana Qistina
tidak pernah melawat tempat-tempat itu bersamanya. Dengan
orang lain, itu tidak dianggap sama.
Qistina masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu.
Dia berlari-lari anak meniti anak tangga naik ke atas. Girang
rasa di hati. Ketika berada pada anak tangga yang paling akhir,
dia terlanggar sesuatu objek yang solid dan keras. Dia terkejut
dan hampir menjerit. Tubuhnya melayang dan terdorong ke
belakang. Sekiranya objek itu tidak memaut pinggangnya, dia
pasti akan jatuh tergolek ke bawah semula. Spontan Qistina
memaut objek yang menyambarnya.
Qistina melangut. Matanya bertaut dengan sepasang
mata biru yang sedang merenungnya tajam. Tangan Qistina
masih memaut lengan Ian Iskandar. Takut dirinya terpelanting
ke belakang sebentar tadi. Jantungnya berdegup kencang.
Hatinya berdebar-debar. Nafasnya turun naik akibat kejutan
ekoran perlanggaran tadi.
Dengan tangan masih di pinggang Qistina, Ian
Iskandar menarik Qistina naik satu anak tangga agar berdiri
teguh di atas lantai. Untuk seketika, tubuh mereka begitu rapat
sekali. Tangannya kini berkalih dari pinggang ke lengan Qistina.
Qistina menelan liur.
“Maaf, encik. Saya tak nampak encik kat situ tadi…”
Qistina ingin menarik lengannya daripada cengkaman Ian
Iskandar tetapi lelaki itu mengeratkan lagi pautannya. Qistina
memandang Ian Iskandar. Dahinya berkerut. Panahan mata Ian
Iskandar membuat dia rasa gelisah.
‘Kenapa dia tengok aku macam tu? Boleh pengsan
kalau dia berterusan tenung aku macam ni!’
“Awak pergi mana, hah? Sampai lewat macam ni baru
ingat nak balik!”
‘Amboi! Papa dan mama aku pun tak pernah kisah aku
nak balik pukul berapa. Apahal pulak mamat ni bising-bising
macam ni?’
“Encik, tolong lepas tangan saya…” Qistina tidak selesa
dengan perlakuan Ian Iskandar. Lambat-lambat Ian Iskandar
menurut.
“Awak masih belum jawab soalan saya, Qistina!”
Bentak Ian Iskandar. Mana dia tidak marah, sejak petang tadi
dia menunggu kepulangan Qistina. Niat ingin makan malam
bersamanya. Apatah lagi tiga hari tidak dapat meluangkan masa
untuk makan malam bersama dengan gadis itu, gara-gara sikap
cemburunya sendiri. Cemburu apabila gadis itu menerima
pelawaan Dr. Ilyas Khan untuk berjanji temu. Tengok-tengok
dia yang tidak tahan menanggung rindu terhadap gadis itu!
‘Tu la, nak mogok konon!’
Kini gadis itu telah pun pulang. Tetapi lewat sebegini?
Sempat telinganya menangkap perbualan antara Dr. Ilyas
Khan dengan Qistina sebentar tadi. Tingkap bilik tidurnya,
yang terletak betul-betul di atas pintu masuk di tingkat bawah,
memang dibiarkan terbuka untuk membenarkan udara masuk
ke dalam bilik yang sememangnya sudah hangat.
‘Hesy... Bukan main lagi. Boleh panggil mamat tu
dengan nama Ilyas saja. Bukan main mesra lagi. Meluat aku.
Dahlah nak keluar lagi esok. Tak boleh jadi ni!’
“Encik kan tahu saya keluar dengan Dr. Ilyas. Saya balik
lepas makan malam dengan dia.” Qistina mengusap-ngusap
lengannya yang sedikit sakit dicengkam Ian Iskandar tadi.
“Apasal balik lambat sangat? Awak tu perempuan, tahu
tak?” Ian Iskandar sendiri berasa malu bila mendengar ayat-ayat
yang terpacul keluar dari mulutnya. Macam suami cemburu
pun ada, macam bapa garang pun ada.
“Encik, saya tahu saya ni perempuan. Hari ni kan hari
cuti saya. Jadi tak salah kan saya nak keluar? Lagipun, takde
dalam kontrak saya yang menyatakan saya ada curfew!” Berani
Qistina menjawab. Sesungguhnya dia tidak suka disergah
sebegitu rupa oleh Ian Iskandar. Lelaki di hadapannya ini
menunjukkan sifat-sifat cemburu.
‘Betul ke telahan aku ni? Tapi kenapa dia nak cemburu
pulak?’
“Berani sangatlah keluar dengan lelaki yang awak tak
kenal. Kata tak biasa keluar dengan lelaki!” Sindir Ian Iskandar
lalu mendengus kuat. Mengungkit apa yang pernah dikatakan
Qistina dahulu.
‘Sakit ke mamat ni? Apasal macam nak tersembul je
biji mata dia ni? Tahulah mata tu cantik gila, tapi tak payahlah
terbeliak macam tu sekali! Hesy...’
“Encik, madam yang cadangkan saya keluar dengan Dr.
Ilyas.” Tiba-tiba Qistina mahu menguji. Betul ke Ian Iskandar
cemburu? “Tapi saya senang keluar dengan Dr. Ilyas. Dia baik.
Tak sabar nak keluar dengan dia esok.”
Mata Ian Iskandar membulat. Wajahnya bertukar
merah. Qistina telah bertemu dengan jawapan kepada
pertanyaannya sendiri.
“Jangan keluar dengan dia esok!” Ian Iskandar memberi
arahan. Kini mata Qistina pulak membulat.
“Kenapa pulak?” Pandai-pandai saja si Ian Iskandar ni
memberi arahan. Qistina tidak puas hati.
“Sebab saya nak bawak awak pergi satu tempat.” Laju
Ian Iskandar memberi cadangan. Cadangan yang baru saja
berlegar dalam fikirannya.
“Tempat apa?” Terpinga-pinga Qistina memandang
wajah kacak Ian Iskandar. Terasa seperti berada di hadapan
pelakon Hollywood, Hugh Jackman.
“Awak ikut jelah!” Ian Iskandar masih memerintah.
Qistina menggelengkan kepalanya.
“Maaf, encik. Saya dah janji dengan Dr. Ilyas nak keluar
dengan dia esok. Saya tak mahu mungkir janji.”
Sebelum Ian Iskandar sempat bersuara, pantas Qistina
mencelah.
“Encik, saya masuk dulu. Saya tak solat maghrib lagi.
Takut terlepas pulak. Assalamualaikum.” Qistina terus berlalu
tanpa menunggu balasan daripada Ian Iskandar. Meninggalkan
Ian Iskandar yang masih membara dengan api cemburunya.
Setelah pintu bilik ditutup, Qistina bersandar ke pintu.
Nafasnya dilepaskan perlahan-lahan. Debaran hatinya masih
terasa. Jantungnya masih belum kembali normal. Selama tiga
hari, Ian Iskandar cuba menjauhkan diri daripadanya. Kini dia
di depan mata.
Qistina mengenang kembali reaksi tubuhnya ketika
berada begitu dekat dengan Ian Iskandar tadi. Tidak pernah dia
merasakan perasaan yang begitu huru-hara seperti tadi. Tapi
dari manakah datangnya keberanian dan ketenangan ketika
menjawab setiap kata-kata Ian Iskandar tadi sedangkan dadanya
berkocak dengan begitu hebat sekali? Pelik!
Apa sudah jadi dengan dirinya? Mengapa Ian Iskandar
bisa membuat dia tidak tenteram, gelisah, tidak tentu arah, tidak
keruan, kelam-kabut dan juga pada masa yang sama, merasa
rindu? Sedikit pun dia tidak merasa jijik ketika Ian Iskandar
merangkul pinggang serta lengannya tadi. Tidak seperti ketika
Remy… Ingatannya kepada peristiwa itu pantas dikaburkan…
Qistina kembali ke alam realiti. Walaupun perasaan
mungkin telah lama berputik di hatinya untuk Ian Iskandar,
dia mesti kambuskan perasaan itu dalam-dalam. Dia tidak
layak untuk Ian Iskandar. Bibir Remy terlebih dahulu telah
merampas ciuman pertamanya… tangan Remy terlebih dahulu
telah merasmikan tubuhnya.
Qistina memejamkan matanya… Dia tidak layak untuk
Ian Iskandar… Dia sedar perkara itu tetapi mengapa hatinya
terasa ingin menangis? Adakah dia mengharapkan lelaki
itu menjadi teman hidupnya? Qistina takut untuk mencari
jawapannya.
QISTINA CUBA melupakan Ian Iskandar dan menumpukan
perhatian kepada cerita-cerita khayalan Dr. Ilyas Khan. Tetapi
bukan mudah. Wajah tegang Ian Iskandar asyik bermain di
mata. Panahan mata Ian Iskandar masih berbisa. Kehangatan
rangkulan Ian Iskandar di pinggangnya masih terasa. Namun,
ketika Dr. Ilyas Khan datang ke rumah Puan Mariam siang
tadi, kelibat Ian Iskandar tidak kelihatan. Entah ke mana
menghilang.
Qistina pula merasa hairan dengan kelakuan Puan
Mariam tadi. Ketika Qistina menjenguk Puan Mariam sebelum
kedatangan Dr. Ilyas Khan tadi, Puan Mariam sibuk bertanyakan
tentang perbualan antara Ian Iskandar dengan Qistina malam
tadi. Rupanya suara kuat Ian Iskandar didengarinya sehingga
ke bawah.
Qistina berterus terang dengan Puan Mariam dan
menceritakan segala apa yang berlaku malam tadi. Puan Mariam
asyik menyengih mendengar cerita Qistina, terutamanya
perintah larangan yang dikenakan Ian Iskandar terhadap diri
Qistina hari ini. Tanpa pengetahuan Qistina, hati Puan Mariam
dilanda musim bunga yang hebat!
Hari ini Qistina dan Dr. Ilyas Khan berjalan-jalan di
sekitar Oxford Street, di mana tumpuan jutaan manusia yang
ingin membeli-belah di kota London ini. Namun, mereka
tidak membeli-belah tetapi sekadar berjalan-jalan, bercerita
dan berjenaka. Dr. Ilyas Khan menceritakan kepada Qistina
mengenai minatnya yang mendalam terhadap ilmu perubatan
dan kerenah-kerenah pesakit yang pernah dirawatnya. Lama Dr.
Ilyas Khan bercerita. Ceria betul dia hari ini.
“Oh, Qistina! I need a favour from you…” Tiba-tiba
sahaja Dr. Ilyas Khan memohon pertolongan daripada Qistina.
Qistina menjungkitkan keningnya. “What favour?”
“There will be a charity dinner next Saturday for
the children’s hospital. I would be honoured if you could
accompany me to the event.”
Qistina mengeluh. Serba salah dibuatnya.
“Qistina... actually, it’s more than that… Errr… I
need you to pretend to be my girlfriend for the evening!”
“What?” Qistina tergelak kecil. Berlakon jadi teman
wanita Dr. Ilyas Khan?
“No. Don’t tell me, your beloved Dr. Fatma will be
there too?”
Dr. Ilyas Khan tersipu. Senyumannya meleret dan
nakal. Qistina telah mendapat jawapan kepada soalannya tadi.
“Oh! So you want to use me to make her jealous,
huh?” Qistina sedikit pun tidak berkecil hati walaupun dia
memuncungkan sedikit mulutnya. Dia tahu hati Dr. Ilyas Khan
masih dengan Dr. Fatma Ali.
Dr. Ilyas Khan menjungkit-jungkitkan keningnya
beberapa kali. Tawa mereka berdua terletus. Dr. Ilyas Khan
mengaku itulah niatnya. Tidak mahu menghadiri makan malam
itu bersendirian. Apatah lagi dia yakin Dr. Fatma Ali akan hadir
bersama teman baharunya.
“I don’t know, Ilyas…” Qistina bersuara sejurus sahaja
tawa mereka mulai reda. “It would be difficult for me because
I’ve never had a boyfriend before. And, I’m terrible at acting!
Your plan may fail… why don’t you try someone else?”
Dr. Ilyas Khan terkejut mendengar pengakuan
Qistina. Sukar mempercayai gadis di hadapannya tidak pernah
mempunyai teman lelaki istimewa. Dia tahu Ian Iskandar
mempunyai perasaan terhadap gadis itu. Begitu jelas di
matanya cara Ian Iskandar yang sering merenung ke arah gadis
itu. Kalau tidak, masakan ibu Ian Iskandar begitu yakin dengan
rancangannya?
Dr. Ilyas Khan tidak mungkin meminta pertolongan
rakan wanitanya yang lain, kerana mereka turut sama dikenali
bekas tunangnya itu. Semua kenalan mereka sama. Jadi dia
memerlukan pertolongan Qistina yang langsung tidak dikenali
Dr. Fatma Ali. Qistina merupakan calon yang tepat. Qistina pula
seorang gadis yang masih muda, jelita dan sangat menawan.
Tidak sukar untuk berlakon yang dirinya sudah kemaruk
mencintai gadis itu di hadapan bekas tunangnya nanti.
“That’s why I can’t ask someone else. You are my only
hope.”
Qistina bingung.
‘Takkanlah Ilyas takde kenalan wanita yang tidak
dikenali bekas tunangnya itu? Susahlah macam ni…’
“I’ll think about it. I’ll let you know by Tuesday
morning when you come to visit madam.”
Dr. Ilyas Khan bersetuju. Dia tidak mahu terlalu
mendesak Qistina walaupun keadaannya benar-benar terdesak
ketika itu.
“I’ll buy you a new dress if you agree okay? My treat!
In exchange for your assistance…”
“Hey! I’ve not agreed yet. So stop trying to bribe
me…” Qistina mengusik. Sekali lagi Dr. Ilyas Khan ketawa
besar. Qistina turut ketawa.
MALAM ITU, Ian Iskandar sedia menanti Qistina di meja
makan. Dia perasan Qistina pulang pada pukul 6.30 petang
tadi, dihantar oleh Dr. Ilyas Khan hingga ke muka pintu. Pasti
malam ini dia akan makan malam di rumah. Tidak sabar dia
hendak menjamu matanya ke wajah gadis yang telah berjaya
mencuri hatinya itu.
Tepat jam 7.30 malam, Qistina masuk ke ruang makan
dan mengambil tempatnya.
“Assalamualaikum, encik.” Lembut Qistina bersuara.
Tanpa sedar, hatinya mula melonjak riang melihatkan lelaki itu
sedang menunggunya.
“Waalaikumussalam.” Ian Iskandar memandang wajah
lembut gadis itu. Rindunya!
“How was your date?” Tidak sabar Ian Iskandar ingin
tahu.
‘Date? Bila masa aku pergi berdating? Dengan Dr. Ilyas
Khan ke?’
“Errr… fine…” Teragak-agak Qistina menjawab.
Ian Iskandar mengetap bibir. Masih terngiang-ngiang
di telinganya gelak ketawa Qistina bersama Dr. Ilyas Khan di
luar rumah petang tadi. Sakit hatinya.
“Awak dah serius ke dengan dia?”
Qistina hampir tersedak. Diletakkan kembali gelas jus
oren yang dihirupnya.
“Tak, encik. Saya hanya kawan je dengan dia. Tak lebih
daripada tu…”
Ian Iskandar mendengus.
“Huh! Kawan konon. Macamlah saya akan percaya…”
Dah dua hari keluar berdua. Lepas tu boleh gelak-gelak sakan
bersama. Bukan main mesra lagi. Yelah tu kawan.
“Terpulang pada encik nak percaya cakap saya atau
tidak…” Malas Qistina hendak melayan Ian Iskandar. Qistina
mula menyuap nasi beriani ke mulutnya. ‘Sedap betul air
tangan Naseem ni,’ Qistina sempat memuji.
Ian Iskandar tidak tahu bagaimana hendak menangani
masalah ini. Kalau diikutkan hati, hendak sahaja dia memecat
Dr. Ilyas Khan daripada menjadi doktor peribadi ibunya agar
doktor itu tidak akan berkunjung lagi ke rumahnya. Tetapi
ibunya begitu serasi dengan Dr. Ilyas Khan dan di hatinya, dia
tahu Dr. Ilyas Khan bukanlah calang-calang doktor. Bagaimana
hendak menjauhkan Qistina daripada Dr. Ilyas Khan?
“Awak akan keluar lagi dengan dia?”
Qistina mendongak. Hatinya tersenyum kecil. Namun
riak wajahnya cuba dikekalkan bersahaja. Bukan suatu yang
mudah bagi Qistina kerana segala perasaannya sering sahaja
terpancar pada wajahnya.
“Mestilah, encik…”
“Saya tak suka awak keluar dengan dia.” Ian Iskandar
mendengus.
Sukarnya untuk Qistina menahan tawanya.
“Kenapa pulak encik? Puan Mariam takde masalah
pun.”
“Saya majikan awak, Qistina. Bukan ibu saya. Saya
bertanggungjawab ke atas diri awak dan keselamatan awak.
Dahlah parents awak tak tahu awak kat sini. Lepas tu, awak
senang-senang je nak keluar dengan lelaki yang awak tak
kenal… Saya risaukan keselamatan awak!” Risau ke, cemburu?
Soalan itu terdetik dalam hati. Ah! Lantaklah, walaupun
mungkin kedua-duanya sekali.
“Encik... encik janganlah risau. Encik tak perlu
bertanggungjawab ke atas diri saya. Saya dah besar. Dah dewasa.
Saya tahu macam mana nak jaga diri saya. Selama ni pun takde
siapa yang jaga saya. Saya dah biasa sendiri, encik…” Wajah
Qistina sedikit berubah. Tiba-tiba terasa sebak. Qistina merasa
pelik. Tadi bukan main hatinya menggelakkan Ian Iskandar.
Kenapa sekarang boleh bertukar menjadi sebak pula?
Ian Iskandar tidak suka mendengar kata-kata Qistina.
Dia mahu menjadi orang yang bertanggungjawab menjaga dan
melindungi gadis ini. Dia tidak mahu Qistina berseorangan lagi.
‘Tapi kenapa gadis ini buta sangat? Takkan dia tak tahu
perasaan aku terhadapnya? Hesy, orang perempuan ni. Semua
nak kena cakap. Tak boleh ke faham-faham sendiri?’ Getus
hatinya. Tetapi, mungkin Qistina terlalu muda untuk membaca
isyarat dan bahasa tubuhnya selama ini.
“Apa pun, selagi awak duduk di bawah bumbung saya,
awak tetap di bawah tanggungjawab saya.”
Berkerut dahi Qistina. Tidak setuju dengan pendapat
Ian Iskandar. Papa dia pun tidak pernah menghiraukan hal
keselamatan dirinya selama ini. Kalau papanya risau, takkan
papanya tergamak memaksanya keluar dengan Remy? Ah, diam
sajalah. Nanti bergaduh pulak.
Ian Iskandar melihat riak wajah Qistina.
“Kenapa? Tak setuju dengan pendapat saya?”
Qistina menggelengkan kepalanya. Sudu berisi
nasi disuapkan perlahan ke dalam mulutnya. Qistina dapat
merasakan sepasang mata Ian Iskandar masih bertumpu
kepadanya. Dia tidak mahu bertentang mata dengan lelaki itu.
Dia tahu dia pasti akan tewas.
“Sekarang ibu saya berada di bawah tanggungjawab
saya. Begitu jugak dengan Naseem, selagi dia tinggal di dalam
rumah ni. Jadi semestinya awak juga di bawah tanggungjawab
saya sebab awak juga tinggal di dalam rumah ni,” jelas Ian
Iskandar dengan senyuman segaris di bibirnya.
Qistina mengeluh.
“Kalau macam tu saya pindahlah, encik. Saya boleh
sewa bilik kat tempat lain. Tiap-tiap pagi saya datang.”
“No!” Kuat suara Ian Iskandar. Mati terus senyumannya.
Terangkat bahu Qistina. Terkejut betul dia sehingga jatuh sudu
yang dipegangnya ke atas pinggan.
“Awak nak langgar kontrak?”
Qistina terkedu. Kenapalah lelaki ini tidak tahu
berlembut dengannya. Asyik ingin memarahinya saja.
“Tak, encik.” Balas Qistina takut-takut. Dia benarbenar
terasa dengan herdikan Ian Iskandar.
“Awak jangan cuba nak cari tempat tinggal lain. Kalau
apa-apa terjadi pada awak, apa saya nak jawab pada famili awak
Demi Bahagia Ini
124
nanti?” Ian Iskandar memberi amaran.
Dalam hati Qistina, dia tahu jawapannya. Tiada siapa
pun ahli keluarganya akan kisah akan dirinya lagi. Kalaulah Ian
Iskandar tahu dia sudah biasa hidup di kota London ini, mesti
dia juga tidak akan berasa risau terhadap dirinya.
“Tapi encik takde hak nak larang saya keluar dengan
sesiapa. Saya keluar di luar waktu kerja saya dan pada hari cuti
saya. Encik tak boleh nak larang…”
Ian Iskandar mengakui apa yang diperkatakan Qistina
itu benar belaka tetapi dia tidak mahu gadis itu jatuh ke tangan
orang lain. Lainlah kalau gadis itu isterinya. Memang dia boleh
merantai saja kaki gadis itu. Langsung tidak dibenarkan keluar
tanpa ditemani dirinya selaku suami.
“Baik. Tapi saya mahu awak berhati-hati, Qistina.
Jangan terlalu cepat percaya pada orang yang awak tak kenal.”
Ian Iskandar tiada pilihan lain. Dia terpaksa bersetuju dengan
pendapat Qistina walaupun hatinya tidak rela dia berbuat
demikian.
Lima minit berlalu. Masing-masing diam sambil
menikmati makan malam.
“Awak dah cuba pujuk ibu saya?” Tiba-tiba Ian Iskandar
bersuara.
Qistina kembali memandang wajah Ian Iskandar.
“Sudah encik. Ibu encik kata dia akan fikirkan pasal
pembedahan tu.”
“Apa mummy cakap pada awak?” Pandangan mereka
bertaut.
“Ibu encik sebenarnya cukup bersyukur umur dia
masih ada, masih panjang. Untuk berjalan kembali tu tak
penting baginya sekiranya risiko pembedahan ketiga tu sama
macam pembedahan kedua. Lagi penting untuk dia diberi
peluang melihat cucunya membesar dan terutama sekali, dia
ingin melihat encik mendirikan rumah tangga dan ada zuriat
sendiri. Jadi baginya, pembedahan ketiga tu tak penting.”
Qistina melarikan pandangannya. Namun sempat dia
melihat perubahan pada wajah Ian Iskandar. Wajah yang diulit
kekesalan dan kerisauan…
“Ibu saya cakap macam tu?” Suara Ian Iskandar sudah
mengendur.
“Ye, encik.”
Ian Iskandar mengeluh. Apa yang terbuku di hati
ibunya terluah sudah. Sekian lama dia cuba memahami
mengapa ibunya berdegil tidak mahu menjalani pembedahan
ketiga untuk kakinya. Ian Iskandar pernah mengesyaki bahawa
ibunya takut menghadapi risiko kematian. Namun kata-kata
Qistina tadi menyedarkannya. Banyak lagi harapan ibunya yang
masih belum ditunaikan. Kekesalan menyelubungi dirinya.
Sudah terlalu lama ibunya menantikan dia membawa seorang
menantu ke pangkuan ibunya. Sudah terlalu lama…
Calon menantu kini berada di hadapan matanya. Dia
perlu menunggu masa yang sesuai untuk meluahkan hasrat
hati… mungkin bukan sekarang tetapi secepat yang mungkin.
Dia tidak boleh berlengah lagi…

No comments:

Post a Comment