Bunyi anak kunci dimasukkan ke rongga pintu
mengejutkan Zenia yang terlena di atas sofa di ruang tamu.
Entah bila dia terlelap dia sendiri tidak tahu. Seingatnya tadi dia
begitu teruja mahu menonton rancangan TV CSI kegemarannya.
Tapi CSI ke mana, dia pula hanyut entah ke mana.
Menyedari Fakhry berada di sebalik pintu utama,
terkial-kial dia cuba menegakkan tubuh. Masih terasa
lenguh-lenguh dan sakit di segenap sendi akibat kemalangan
tengah hari tadi. Sempat mata melirik ke jam di dinding yang
kini menginjak ke pukul dua belas tengah malam.
Ketika kelibat Fakhry muncul di muka pintu, Zenia
pura-pura tekun menonton TV. Namun perhatian teralih juga
apabila seorang gadis seksi yang kelihatan begitu ceria dalam
pelukan suaminya. Wajah yang bersolek tebal itu tidak pernah
dilihat, bukan seperti yang pernah dibawa Fakhry sebelum ini.
“Leez, you naik atas dulu. Mandi dan pakai cantik-cantik
untuk I…” Bisik Fakhry seraya memberi isyarat mata. Leez
yang sejak tadi meleser-leser di tubuhnya tersenyum lebar.
“Okay, but where is your room honey?”
“Naik sampai atas, bilik I sebelah kanan.”
“Okay, don’t be late. I tunggu you…”
Fakhry tersenyum seraya menganggukkan kepalanya.
Lenggok menggoda Leez yang sedang menaiki tangga dihantar
dengan pandangan nakal. Kemudian dia segera membawa
langkah ke ruang tamu. Duduk dilabuhkan di atas sofa
bertentangan dengan Zenia yang masih mempamerkan wajah
keruh.
“Hei, kenapa tak pick-up call I tengah hari tadi?”
Soalan bernada keras itu membuatkan Zenia cukup
sakit hati. Fakhry memang tak berhati perut! Sudahlah
mengangkut perempuan lain ke rumah mereka, dan sekarang
ada hati mahu marah-marah lagi? Memang tak sedar diri betul.
Setidak-tidaknya tanyalah khabar dia, bukan tak nampak kaki
dia dah berbalut ni!
“I dekat kliniklah.” Balasnya tanpa sedikit pun
memandang Fakhry.
“Dekat klinik tak boleh nak angkat phone ke? Bukannya
you masuk ICU sampai tak boleh nak bercakap! Kaki aje yang
sakit, kan?” Luah Fakhry seraya mengerling kaki kanan Zenia
yang berbalut.
“Yang you sibuk-sibuk call I kenapa?”
“Eh, I pun tak teringinlah nak call you saja-saja. Buang
masa!” Dengus Fakhry dengan muka meluat.
“I call pun sebab I nak suruh you pergi rumah
mama. Mama dah pesan banyak kali suruh kita datang ambil
barang-barang dari Mekah yang Pak Ngah kirim.”
Zenia menjeling tajam kepada Fakhry.
“Kenapa you tak pergi sendiri? You nak I pergi rumah
mama jalan kaki ke apa?”
“You nak I pergi? You tahu tak I busy dekat luar? Kerja
I bukan macam kerja you terperap aje dekat pejabat. At least
you bila time lunch hour boleh jugak keluar sekejap pergi
rumah mama, bukannya jauh pun dari office you!”
“Betul ke you busy? Busy dengan kerja ke, busy dengan
benda lain?” Sindir Zenia dengan pandangan masih melekat ke
dada TV yang terpasang.
“You cakap apa ni Zenia? You nak cari pasal dengan I
ke?” Nafas Fakhry mula turun naik menahan geram. Sakit hati
apabila mulut Zenia begitu lancang memerli.
“I tanya you, apa yang you cakap tadi?”
“You tak dengar ke, you buat-buat tak dengar?” Kali
ini mata Zenia menjeling kepada Fakhry. Walaupun riak muka
lelaki itu berubah tegang dan menakutkan, namun bibir tetap
mahu meluah perasaan yang berbuku di hati.
“Fakhry, you pun tahu maksud I, kan? Tu... perempuan
tadi tu, who is she? Kenapa you nak kena bawak balik rumah
kita?”
“Shut up, it’s none of your business!”
“None of my business?” Soal Zenia tidak percaya.
“Fakhry, I ni isteri you. You fikir tak apa I rasa bila you
bawak balik macam-macam jenis perempuan dalam rumah ni?
I tak nak bersubahat dengan you lagi!”
“Hei perempuan!” Tengking Fakhry seraya
menghalakan jari telunjuk tepat ke muka Zenia.
“Sejak bila kau berani nak masuk campur urusan
hidup aku ni? Kalau aku tak peduli hal kau, kau pun tak payah
nak pening-pening fikir pasal aku. Kau duduk aje dalam rumah
ni diam-diam, jangan nak menyibuk hal orang!”
Terhenyak pedih perasaan Zenia apabila kemarahan
Fakhry merobek hati. Pandangan dihalakan ke kaki sendiri,
menyembunyikan air mata yang mula bergenang. Tergamak
sungguh Fakhry memperlakukan dia begini. Kedudukannya
sebagai seorang isteri langsung tidak bermakna di mata lelaki
itu.
“Kau jangan cakap dengan aku yang kau dah pandai
nak cemburu. Gelilah!” Ejek Fakhry dengan senyuman sinis.
Bahasanya juga sudah mula kasar.
“Kalau aku angkut perempuan-perempuan tu semua,
maknanya aku tak teringin nak sentuh kau. Pleaselah, kau pun
tahu perkahwinan kita ni tak ikhlas, kan? Kau tak rela dan aku
pun tak ingin, so terima ajelah nasibnya!”
“I tak paksa you cintakan I, but at least tolonglah
hormat I sebagai isteri you…” Pinta Zenia lirih.
Betapa dia berharap ayat-ayat rayuannya mampu
menembusi hati Fakhry yang amat keras. Namun reaksi
yang diterima begitu jauh tersasar. Fakhry menjerit kuat
dan membaling gelas di atas meja ke dinding. Habis bersepai
kaca-kaca di lantai. Oh Tuhan, mujur juga tidak terkena ke
dahinya. Kalau tidak, tambah dua hari lagi medical leave!
“Nonsense! Kau jangan nak merepek boleh tak?”
Herdik Fakhry kuat. Tangan melurut kasar rambut yang masih
tersisir kemas. Tertekan.
“Zenia, kau dah lupa yang kau tu cuma isteri atas nama
aje? Aku dah pernah bersumpah yang aku takkan cintakan kau,
jadi kau jangan berangan yang bukan-bukan! Hormat konon,
pergi matilah hormat kau tu!”
“Fine, you boleh buat apa yang you suka. Itu dosa dan
pahala you, dan I dah penat nak nasihatkan you. But please
jangan buat maksiat dalam rumah kita ni, you bukan tinggal
seorang dekat sini Fakhry.” Balas Zenia bertegas.
“Oh god, what’s wrong with you? Membebel macam
mak nenek, rimaslah!” Jerkah Fakhry dengan baran kian
menguasai diri. Bantal kecil di atas sofa dihempas kuat ke lantai.
“Kalau kau tak suka tengok apa yang aku buat, tutup
mata kau. Pekakkan telinga kau tu, susah sangat ke? Pretend aje
macam aku ni orang asing, bukan suami kau!”
“Kalau betul you nak kita jadi orang asing, kenapa you
tak lepaskan I aje? Kenapa you nak seksa I macam ni?” Tanya
Zenia dengan nada sebak.
Entah kenapa emosinya malam ini benar-benar
terganggu dengan sikap Fakhry. Demi Allah, tidak pernah dia
membangkitkan soal cerai-berai kepada Fakhry selama ini.
Cuma kali ini kesabarannya kian tipis, kian hilang.
“What?” Mata Fakhry membulat.
Dengusan nafas semakin kasar dihela. “Eh, kau ingat
aku nak sangat bela kau sebagai isteri dalam rumah ni? Kalau
bukan sebab mama, dah lama aku humban kau keluar. Jangan
nak perasan sangat macam kau tu orang penting dalam rumah
ni!”
Rapat Zenia mengetap bibir melawan kesakitan
akibat penghinaan Fakhry. Jelaslah hati lelaki itu tertutup
rapat untuknya. Tidak mungkin ada ruang untuk mereka
memperbaiki hubungan ini. Jadi untuk apa lagi perkahwinan
ini terus dipertahankan? Demi sebuah perlindungan? Memang
tidaklah... kerana Fakhry bukan seorang pelindung, sebaliknya
lelaki itulah racun yang membunuh dirinya dalam diam!
“I dah tak sanggup Fakhry, I can’t take this anymore!”
Kepala digelengkan dengan air mata mula melimpah ke pipi.
“I dah tak boleh nak teruskan perkahwinan kita lagi, I
terseksa you faham tak?”
Mata Fakhry mencerlung garang kepada Zenia yang
masih menangis. Sudah agak lama dia tidak melihat Zenia
menangis seperti pada awal perkahwinan mereka dahulu. Dan
malam ini tiba-tiba saja perempuan itu mahu beremosi. Nafas
dihela keras. Secebis perasaan simpati langsung tidak berputik,
bahkan hati kian meluat dan benci.
“Kau nak cakap apa ni? Kau nak mintak cerai???” Duga
Fakhry dengan wajah bengis.
“Hei, kau jangan berani-beranilah nak mintak cerai.
Sekali kau sebut, memang nahas kau aku kerjakan! Cerai
konon!”
“Fakhry, perkahwinan ni tak membahagiakan kita.
Kenapa you still nak teruskan???”
“Diam!” Tepat jari telunjuk Fakhry terarah ke muka
Zenia yang masih sibuk menyeka air mata.
“Dari dulu lagi aku dah cakap yang perkahwinan ni
takkan menjadi, tapi kau sibuk jugak nak setuju, kan? Kau yang
beria-ia sangat ikutkan permintaan mama! And now what? Kau
nak salahkan aku pulak?”
Panjang Zenia menarik nafas. Memang itu
kesilapannya, tapi dia bersetuju bukan kerana rela. Apa yang
dia lakukan hanyalah demi membalas jasa kepada manusia yang
banyak mengubah hidupnya selama ini. Sepatutnya mereka
berdua cuba menjayakan perkahwinan yang diaturkan ini, tapi
Fakhry yang tetap berdegil dan menolak. Jadi apa lagi perlu dia
lakukan?
“I tak boleh hidup macam ni, Fakhry…”
“Shut up! Kau ingat mama boleh terima macam tu aje
kalau kita bercerai?” Tempelak Fakhry tidak mahu kalah.
“No, aku takkan lepaskan kau. Aku tak nak mama
susah hati kalau tahu kita nak bercerai!”
“You fikirkan perasaan mama saja ke Fakhry? Perasaan
I macam mana?”
“Mama tu emak aku, perempuan paling penting dalam
hidup aku. Kau tu siapa? Cermin sikit muka kaulah!”
“Then kalau you tak boleh lepaskan I dengan cara baik,
I takkan teragak-agak cari jalan sendiri.”
Tersentak perasaan Fakhry dengan ugutan Zenia.
Gagal menahan perasaan marah, dia bingkas berdiri dan terus
menghampiri isterinya. Jelas wajah Zenia kelihatan panik
ketakutan.
“Bangun! Kau bangun sekarang!” Tangan Zenia
direntap kasar sehingga gadis itu menyeringai kesakitan.
Menurut bisikan syaitan dan hati yang panas, tanpa
simpati tubuh Zenia diasak kasar ke dinding. Tidak cukup
dengan itu, wajah Zenia ditekup kuat dengan kedua belah
tangannya.
“Kau cakap apa tadi? Kau cakap apa tadi???” Jerkahnya
kuat.
Hampir hilang nyawa Zenia dengan kebengisan Fakhry.
Selama ini tidak pernah lelaki itu berkasar dengannya sehingga
ke tahap ini. Badan yang sakit kerana kemalangan tengah hari
tadi kini semakin sakit dikerjakan Fakhry.
Berkali-kali dia cuba menepis cengkaman Fakhry
namun gagal. Kudrat lelaki ini terlalu gagah jika mahu
dibandingkan dengan tenaga perempuannya.
“Lepaskan I Fakhry. You jangan nak jadi lelaki dayus
berkasar dengan I!”
Jeritan Zenia semakin menyemarakkan api di dada
Fakhry. Rambut panjang mengurai Zenia direntap kasar
sehingga kepala gadis itu terdongak ke atas.
“Dayus? Berani kau kata aku dayus???”
“Please Fakhry, lepaskan I. Sakit!”
“Oh, tahu pun sakit! Hati aku lagi sakit dengan
perangai jelik kau ni!”
“Fakhry, please…”
Bagaikan dirasuk hantu, Fakhry menolak kasar tubuh
Zenia ke lantai. Masih tidak puas, dia berterusan menarik
rambut dan menampar pipi isterinya berkali-kali.
“Kau nak tengok sangat aku buat perangai dayus, kan?
Cukup dayus tak penampar aku ni?”
Teresak-esak Zenia menangis apabila keperitan di
pipi semakin terasa. Kebas kulit di muka, berdesing telinga
akibat tamparan tangan kasar itu. Tergamak sungguh Fakhry
memperlakukan dia begini.
“Kau dengar sini baik-baik…” Luah Fakhry dengan
nada tertahan. Jari menunjal-nunjal kepala Zenia tanpa simpati.
“Sekali lagi aku dengar kau mintak cerai, memang aku
kerjakan kau sampai lunyai! Tengoklah, nahas kau nanti!”
Pesanan itu semakin meluluhkan seluruh jiwa Zenia.
Dengan pandangan berkaca-kaca, dia lihat Fakhry berlalu
ke tingkat atas dengan wajah bengis. Dengan tangisan yang
masih bersisa, bibir diketap melawan kesakitan dan sebak yang
bergumpal di dada.
Namun rasa sakit di hati lebih berbekas. Terobek luas
luka di hati dengan kelakuan Fakhry. Sebagai seorang suami
Fakhry seharusnya menjadi seorang pelindung, tapi sekarang
lelaki itulah yang mengugut dan mengancam keselamatannya.
Fakhry menyakiti zahir dan batinnya!
Dengan penuh susah payah, Zenia mengengsot ke
tepi dinding. Seluruh tubuh yang sakit disandar lemah dengan
perasaan pilu. Dan jemari yang hinggap di bibir memalitkan
kesan merah pekat dan likat. Oh Tuhan, bibirnya berdarah
kerana ditampar Fakhry sebentar tadi. Tergamak sungguh
Fakhry mengasari dia begini. Gagal menahan kesedihan, sekali
lagi esakan bersambung.
Jika membenci suami itu bukan satu dosa, memang
dia akan membenci Fakhry sehabis daya. Lelaki itu memang
tidak layak mendapat walau secebis perhatiannya. Memang
tidak layak!
No comments:
Post a Comment