DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 24 May 2016

Kerana Aku Untukmu - Bab 14

Selepas habis waktu pejabat, Zenia segera
bergegas ke hospital untuk menjenguk ibu mentuanya. Hari ini
sudah masuk hari kedua Puan Norizan terlantar sakit, dan dia
tidak mahu membiarkan wanita itu kesunyian di sana.
Fakhry pula terpaksa bekerja lebih masa, manakala
Farel mungkin akan menjenguk pada sebelah malam.
Komitmen kerja Farel yang bertugas sebagai Event Manager
memang tidak menentu waktunya.
Ketika sampai di bilik 302 ini tadi, ibu mentuanya
sedang nyenyak tidur. Zenia tidak mahu mengganggu dan dia
terus turun ke kafeteria untuk membeli bubur ayam. Semalam
Puan Norizan agak berselera menjamah bubur ayam berbanding
nasi yang dihidangkan oleh pihak hospital. Mungkin lauk-pauk
yang solid begitu agak sukar ditelan tekak yang kematian selera.
Kembali ke wad, Zenia lihat Puan Norizan sudah duduk
bersandar di kepala katil dengan tangan membelek sebuah buku
agama. Pandangan mereka saling berlaga, kemudian senyuman
mesra pula bersilih ganti.
“Assalamualaikum mama...” Salam dihulur dan
dikucup lama belakang tangan Puan Norizan. Kemudian pipi
mereka pula dilaga penuh mesra.
“Waalaikumussalam, Zen baru sampai ke?”
“Eh, tadi Zen dah sampai mama. Tapi Zen turun
bawah belikan bubur ayam untuk mama.” Balas Zenia dengan
senyuman ceria. Bungkusan di tangan diletakkan di atas meja.
Penuh berhati-hati dia mengeluarkan bekas plastik yang masih
panas.
“Hesy, kenapa susahkan diri kamu Zen? Mama kenyang
lagi makan roti tengah hari tadi.”
“Makan roti tengah hari tadi tapi boleh kenyang sampai
ke petang? Roti magis apalah mama makan tu ya.” Usik Zenia
dengan senyuman di bibir. Bubur ayam yang masih berasap itu
dipindahkan ke dalam mangkuk kaca yang memang disediakan
di dalam bilik tersebut.
“Alah, tekak orang sakit mana ingat nak makan sangat
Zen. Selera mama ni dah hilang terus.” Keluh Puan Norizan
dengan pandangan masih mengekori pergerakan Zenia.
“Hmm... apa-apa pun mama kena makan jugak bubur
ni, baru ada tenaga. Kan doktor kata mama sakit sebab stres,
kadang-kadang makanan boleh hilangkan stres jugak tau.
Lebih-lebih lagi kalau makanan yang sedap macam bubur ayam
ni...”
Puan Norizan tersenyum dan mengangguk kecil.
Wajah ceria menantu kesayangannya yang duduk di birai katil
ditatap dalam-dalam. Lega seluruh hati apabila melihat Zenia
di hadapan mata. Dan apabila sudu berisi bubur ayam disua
ke mulut, dia menganga juga demi memuaskan hati Zenia.
Bersudu-sudu bubur jugalah berjaya masuk ke dalam tekaknya.
“Zen asyik suap mama je ni, Zen dah makan ke?”
“Dah mama, Zen dah makan dekat office tadi.” Jawab
Zenia ceria.
Tisu di tangan dibawa ke mulut Puan Norizan apabila
bibir tua itu kelihatan sedikit tercela. Perasaan kasih dan sayang
disalir penuh kepada wanita yang banyak berjasa kepadanya
selama ini. Bukan sedikit budi yang ditabur, terlalu banyak
sehingga membebankan perasaan dia sendiri.
“Fakhry mana Zen? Kenapa dia tak datang sekali ke
sini?”
Kelat senyuman Zenia apabila nama si suami
disebut-sebut. Nafas ditarik panjang.
“Abang Fakhry kena overtime hari ni mama, tak ada
orang cover kerja dia. Dia kata kalau sempat, malam nanti dia
singgah.”
“Eh, tak payahlah menyusahkan dia Zen. Esok pagi-pagi
nak pergi kerja lagi, cukuplah Farel aje yang jaga mama malam
nanti. Mama okey...” Ujar Puan Norizan seraya mengurut dada
yang sedikit sesak.
“Kenapa mama? Sakit dada?” Tanya Zenia sedikit
resah. Tangannya ikut sama melurut ke dada Puan Norizan.
Tidak tergamak dia memandang wanita kesayangannya ini
menanggung kesakitan.
“Sikit aje Zen, selalu rasa macam nak semput-semput
jugak. Agaknya sebab air-cond tu sejuk sangat kut.”
“Kalau macam tu Zen naikkan sikit temperature
air-cond tu, baru mama selesa sikit.”
Puan Norizan sekadar tersenyum melihat Zenia
menekan-nekan remote control penghawa dingin tersebut.
Zenia memang menantu yang baik, dan dia bersyukur kepada
Allah kerana tidak silap menjodohkan Fakhry dengan gadis
sebaik ini. Bukan setakat cantik luaran, malahan peribadi Zenia
juga cukup elok terpelihara.
“Zen, Fakhry dah cakap dengan kamu pasal dia kena
transfer ke Dubai?”
Tersentak Zenia dengan pertanyaan yang singgah ke
telinga. Dengan riak kehairanan, dia memandang tepat kepada
Puan Norizan.
“Err... apa maksud mama?”
“Eh, Zen tak tahu ke?”
Genggaman yang erat di tangan membuatkan Zenia
segera mengukir senyuman kelat. Menyembunyikan status
‘isteri tidak penting’ yang diberikan oleh Fakhry selama ini.
“Abang Fakhry tak cakap apa-apa pun mama, maybe
dia terlupa kut.” Dalihnya menutup cerita sebenar.
“Tak pun dia saja nak bagi Zen surprise...”
“Aduhai, mama dah spoilkan surprise Fakhry agaknya
Zen. Habislah mama!”
Zenia tertawa melihat reaksi ibu mentuanya yang jelas
serba salah. Kalau betul Fakhry nak buat surprise, memang
terbaliklah dunia!
“Hmm... Abang Fakhry ada kata nak bawak Zen tak
mama?” Tanya Zenia mengorek rahsia.
“Eh, mestilah bawak. Kamu kan isteri dia, takkanlah
dia nak hidup dekat Dubai sana sorang-sorang dan tinggalkan
kamu dekat sini. Nanti kalau rindu kan susah!” Usik Puan
Norizan dengan senyuman meleret.
Zenia menundukkan kepala. Rindu? Oh, tolonglah!
Fakhry nak rindukan dia? Memang tidaklah. Silap-silap Fakhry
melompat gembira sebab dapat pergi jauh dari sini. Lelaki itu
bukan suka menghadap muka dia selama ini. Tapi kalau dia
terpaksa mengikut Fakhry ke Dubai pun bahaya juga.
Siapa tahu di sana nanti lelaki itu semakin ganas
memukulnya. Maklum sajalah, jauh daripada keluarga dan
kawan-kawan mereka di sini.
“Zen, mama dah kenyanglah nak. Mama tak nak lagi...”
Lamunan Zenia lenyap. Dia tersenyum kepada Puan
Norizan dengan anggukan kecil.
“Zen ambilkan mama air sekejap.” Perlahan Zenia
bangun dan menapak ke meja kecil di sudut bilik. Mangkuk
berisi bubur ayam diletakkan di atas meja sebelum mencapai
sebiji gelas jernih. Air kosong dari botol plastik dituang separuh
gelas.
“Zen, mama nak tanya sikit boleh?”
“Boleh mama...”
“Kamu dengan Fakhry okey ke, nak?”
Kaku Zenia dengan pertanyaan yang tidak diduga
itu. Dia masih menghadap ke dinding dan tidak berani mahu
menentang pandangan Puan Norizan. Bimbang jika wanita itu
boleh mengesan kepincangan rumah tangga dia dan Fakhry.
Nafas ditarik dalam-dalam sebelum berpaling ke belakang.
Senyuman dilakar sehabis manis di bibir.
“Kenapa mama tanya macam tu? Mama ada nampak
muka Zen ni macam tak bahagia ke?” Soalnya mengusik.
“Bukan macam tu maksud mama...” Puan Norizan
tertawa kecil.
“Mama cuma tanya cerita sebenar daripada tuan punya
badan. Ya la, kalau tengok dari mata kasar memang mama
nampak kamu dan Fakhry bahagia sangat. Fakhry layan kamu
dengan baik kan, Zen?”
Zenia yang kini melabuhkan duduk di birai katil Puan
Norizan tersenyum lebar. Berdusta buat ke sekian kalinya.
“Ya mama, Abang Fakhry layan Zen dengan baik
sangat. Zenia beruntung dapat suami macam dia...”
“Alhamdulillah, itu yang mama nak dengar sangat Zen.
Masa mama jodohkan kamu dengan Fakhry dulu, mama sendiri
waswas dengan sikap Fakhry. Ya la, kamu pun mesti ingat lagi
macam mana dia mengamuk untuk tolak perkahwinan ni, kan?
Tapi syukurlah kalau dia dah sedar yang kamu adalah pilihan
terbaik untuk dia...” Luah Puan Norizan dengan suara bergetar
sayu. Tangan mengelus-elus lembut pipi Zenia yang masih
tersenyum kepadanya.
“Abang Fakhry dah sedar mama, dan dia dah terima
perkahwinan ni dengan baik. Mama janganlah risau ya.”
“Mama takkan risau lagi bila dah dengar dari mulut
kamu sendiri Zen...”
Zenia tersenyum. Dia mencapai tangan Puan Norizan
yang masih melekat di pipinya. Kemudian dikucup bertalu-talu
tangan yang telah membelainya penuh kasih sejak kecil lagi.
“Zen, kamu boleh tolong mama tak?”
“Tolong apa mama?”
“Mama nak mintak tolong kamu ke Rumah Nur sekejap
boleh?”
Sekali lagi Zenia tersenyum. Rumah Nur... seingatnya
kali terakhir dia menjejakkan kaki ke sana pada Aidilfitri tahun
lalu. Memang sudah menjadi rutin keluarga mentuanya untuk
menyambut hari raya di rumah anak yatim naungan Puan
Norizan itu.
“Boleh, no problem. Ada benda penting ke mama nak
Zen buat kat sana?”
Puan Norizan menggeleng sambil tersenyum.
“Mama cuma nak Zen ambil dokumen daripada Kak
Mizah sebab ramai anak-anak yatim nak daftar masuk minggu
ni. Mama nak tengok dulu semua dokumen tu supaya kita ambil
masuk yang betul-betul layak aje. Kalau Zen dah ambil fail tu
nanti, bagi pada Fakhry ya. Pagi esok dia boleh bawak ke sini
bagi mama.”
“Okey, boleh mama. Nanti sebelum balik rumah, Zen
singgah ke sana.”
“Tapi kamu nak pergi dengan apa Zen? Mama terlupa
pulak kamu tak ada transport...”
“Zen naik cab la mama, tak ada masalah pun.”
“Betul ni tak menyusahkan kamu, Zen?”
“Hesy, mama ni... apa yang susahnya kalau duduk
bersandar aje dekat seat teksi tu?” Balas Zenia berjenaka.
Dan tawa mereka berdua bersatu dalam ruang sederhana luas
tersebut.
Bunyi ketukan di pintu mematikan keriuhan mereka
dua beranak. Serentak Zenia dan Puan Norizan berpaling ke
pintu yang sudah terkuak. Tercengang Zenia apabila melihat
sesusuk tubuh yang mengenakan kemeja berwarna biru cair dan
seluar slack gelap melangkah masuk. Dada berdebar kencang.
Oh Tuhan, dia sedang bermimpi atau apa?
“Assalamualaikum mak cik..”
Zenia menelan liur yang kesat. Salam yang dihulur
sekadar disambut dalam hati. Dia masih tidak mengerti apa
motif Darriz Imdad ke sini. Cuma mama kelihatan begitu
ramah menyambut dan mengalu-alukan kedatangan lelaki
tidak diundang itu.
“Mak cik apa khabar?” Darriz Imdad meletakkan bakul
berisi buah-buahan di atas meja di sisi katil. Kemudian pantas
dia tunduk menghulur tangan.
“Khabar baik Darriz...” Puan Norizan tersenyum lebar
setelah mereka bersalaman. “Zen, kenalkan ini Darriz Imdad.
Mama tak sure kamu sempat jumpa dia ke tak masa Farel
bertunang dulu. Darriz ni abang Jiha...”
Berdebar-debar jantung Zenia apabila diperkenalkan
kepada lelaki yang memang sudah dikenalinya itu. Darriz Imdad
pula mempamerkan muka tenang dan selamba saja mengukir
senyuman kepadanya.
“Actually kami dah kenal, mak cik.”
“Dah kenal? Masa kenduri hari tu ya?”
Darriz Imdad menggeleng dengan senyuman masih di
bibir.
“Sebenarnya Zenia dan saya kerja satu pejabat, mak
cik.”
“Encik Darriz ni bos Zen, mama.” Tokok Zenia
membetulkan fakta. Kerlingan Darriz Imdad yang jelas kurang
senang dengan gelaran ‘bos’ dibuat tidak nampak.
“Oh, macam tu ke? Kecil betul dunia ni ya...” Puan
Norizan tertawa. Seingatnya Zenia tidak pernah pula menyebut
tentang Darriz Imdad yang bakal menjadi abang ipar kepada
Farel ini.
“Kamu baru masuk kerja tempat Zenia ya Darriz?”
“Ya mak cik, saya memang baru kerja kat situ...”
“Patutlah Zenia tak pernah cerita.” Balas Puan Norizan
masih ceria.
“Eh, kamu datang dari mana ni? Dari pejabat?”
“Ya mak cik, saya dari pejabat. Umi yang suruh saya
singgah jenguk mak cik kat sini. Umi kirim salam.” Ujar Darriz
Imdad masih dengan senyuman mesra.
“Waalaikumussalam. Terima kasih banyak-banyak
sebab jenguk mak cik.”
Melihat ibu mentuanya begitu rancak berbual dengan
Darriz Imdad, Zenia meminta diri ke ruang rehat. Lagipun dia
berasa agak kekok kerana tidak menyangka sama sekali yang
lelaki itu akan singgah ke sini melawat mamanya.
Duduk di sofa, Zenia menyibukkan diri dengan
bahan-bahan bacaan yang ada di ruang tersebut. Biarlah mama
dan Darriz Imdad berbual-bual dengan selesa. Lagipun mereka
semua bakal menjadi keluarga.
“Zen, mari sini sekejap.”
Hampir lima belas minit terleka dengan dunia sendiri,
panggilan Puan Norizan mengejutkan Zenia. Dia segera bangun
mendapatkan ibu mentuanya. Walaupun dia tahu Darriz Imdad
asyik memandang tanpa lepas, dia pura-pura tidak melihat
kelakuan lelaki itu. Pelik juga... entah apa yang dipandang dek
Darriz Imdad pada mukanya.
“Ada apa mama?”
“Zen, terlanjur kamu nak ke Rumah Nur sekejap lagi,
boleh tak kamu bawak Darriz sekali?”
Terpempan Zenia dengan pertanyaan Puan Norizan.
Sekilas dia mengerling kepada Darriz Imdad dan lelaki itu
tersenyum seraya menganggukkan kepalanya. Mengiakan.
“Err... tapi kenapa mama? Encik Darriz nak buat apa
pergi sana?”
“Alah, apa salahnya bawak Darriz pergi sekali. Lagipun
Darriz kata dia berminat nak sumbangkan macam-macam
fasilitet untuk kemudahan budak-budak tu semua. Nanti
bolehlah Darriz tengok dan tinjau keadaan Rumah Nur kita
tu...” Ujar Puan Norizan dengan riak ceria.
Zenia mengetap bibir. Teruk ni. Sudahlah dia tidak
selesa berhadapan dengan Darriz Imdad, dan sekarang mama
pula menyuruh lelaki itu mengikutnya sampai ke Rumah Nur?
Masak!
“Are you okay Zenia? Boleh I ikut you ke sana?”
Teguran Darriz Imdad membuatkan Zenia tersenyum
kelat. Kalau bukan di depan mama, mungkin dia boleh lagi
membariskan beribu alasan. Tapi sekarang agak sukar kerana
mama turut mendesak dia membawa Darriz Imdad ke sana.
“Hmm... kalau betul Encik Darriz nak ikut, okeylah.”
Putusnya mengalah.
Puan Norizan tersenyum senang dengan balasan
Zenia. Memang dia dapat melihat air muka menantunya keruh
semacam, mungkin Zenia berasa segan dengan majikan sendiri.
Lagipun mana dia tahu kalau-kalau di pejabat Darriz Imdad
garang dan serius. Sebab itulah Zenia berasa kekok dan takut.
“Kalau macam tu, eloklah kamu gerak sekarang. Nanti
kalau lewat sangat, takut gelap jalan nak ke Rumah Nur tu.”
“Tapi mama okey ke kalau Zen gerak sekarang? Farel
datang pukul berapa?” Tanya Zenia sedikit bimbang.
“Hesy, jangan risaulah pasal mama. Mama nak rest aje
ni. Lagipun nurse dan doktor kan ramai dekat sini. Pergi cepat
ya.” Gesa Puan Norizan bersungguh-sungguh.
Mahu tidak mahu, Zenia terpaksa akur mengalah. Dia
dan Darriz Imdad sama-sama menyalami Puan Norizan sebelum
berlalu keluar dari bilik wad tersebut. Ketika melangkah ke
lif, Zenia sekadar mendiamkan diri. Tidak ada modal mahu
bercakap dengan bos besarnya ini.
“You tak kisah I ikut, kan?”
Pertanyaan itu membawa mata Zenia kepada lelaki
yang berdiri di sisinya. Jika di pejabat Darriz Imdad sentiasa
tampil kemas dengan sut lengkap, tapi kini lelaki itu kelihatan
lebih santai dengan hanya berkemeja. Kedua belah lengan baju
juga sudah disingsing separas siku. Masih kemas dan menarik.
“Encik Darriz nak ikut, I tak boleh cakap apa-apa...”
“Bunyinya macam tak ikhlas je...”
Zenia tersenyum pahit. Mungkin ketara benar sikap
dinginnya. Hakikat sebenar, tidak ada sebab untuk dia melayan
Darriz Imdad dengan teruk kerana lelaki ini memang sudah
banyak membantu dia tanpa dirancang. Cuma apa yang dia
ingin lakukan hanyalah mencipta jurang antara mereka berdua.
“I ikhlas Encik Darriz, don’t get me wrong.”
“Great. So you selalulah pergi ke Rumah Nur? Spend
masa dengan anak-anak yatim tu semua?” Tanya Darriz Imdad
setelah mereka sama-sama masuk ke dalam perut lif menuju
ke tingkat bawah. Teruja pula hati apabila satu lagi sifat lembut
Zenia sampai ke pengetahuannya.
Senyuman di bibir Zenia terukir payau.
“Nak kata selalu tu, taklah jugak. Since I dah kahwin
ni, setahun sekali je I sempat ke sana. Kalau dulu-dulu tu
memang selalu, memang banyak masa I habiskan dekat situ.”
“Oh wow, you memang betul-betul sukakan tempat tu
ya?” Usik Darriz Imdad cuba untuk bermesra.
“Actually I dibesarkan di Rumah Nur.”
Senyuman di bibir Darriz Imdad padam. Belum sempat
dia bertanya lebih lanjut, Zenia sudah keluar dari lif yang
terhenti di ground floor. Langkah Zenia yang agak laju pantas
disaingi.
“What do you mean Zenia? You dibesarkan di Rumah
Nur?”
Zenia tersenyum tawar sebelum menganggukkan
kepalanya. “Ke mana lagi anak yatim piatu macam I nak pergi,
kan?”
Terpanar Darriz Imdad dengan jawapan dari bibir
Zenia. Hati dipagut rasa pilu. Mungkin dia sudah terlajak kata
sehingga menyentuh soal sensitif begini kepada gadis itu. Air
muka Zenia juga kelihatan keruh dan muram.
“Zenia, I’m so sorry. I tak ada niat nak...”
“Just forget it, Encik Darriz. Jom, kita tak boleh
lambat.” Sampuk Zenia seraya melajukan langkah.
Hakikat sebenar dia tidak mahu Darriz Imdad
berterusan menyoal tentang sejarah silam hidupnya yang tidak
seindah mana. Banyak liku-liku yang terpaksa dia lalui untuk
tiba ke tahap sekarang. Tapi malang sekali kerana hingga ke
detik ini, bahagia terlalu sukar untuk melekat di tubuhnya...
terlalu sukar.

No comments:

Post a Comment