DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 26 May 2016

Isteri Dalam Sangkar - Bab 7

“AKU rindu sangat dekat kau,” ujar Ros setelah
pelukan terlerai.
“Aku pun. Kau baru dua minggu tak balik kampung
ni, rasa sunyi sangat. Eh, bila kau sampai?” kata Aisyah pula.
“Tengah hari tadi.”
“Jom la Ros naik atas. Kita sembang-sembang kat
atas.” Ajak Aisyah.
Ros menggeleng.
“Takyah la. Kita sembang kat bawah ni ajelah.
Sembang kat pangkin depan tu lagi seronok. Kat dalam
panaslah. Ada telinga duk mendengar.” Mata Ros menjeling
ke arah Fasha yang terhendap-hendap memasang telinga.
Aisyah menjeling sekilas ke atas. Benar, Fasha ada
di ruang tamu. Aksinya nampak sangat nak mencuri dengar
perbualan mereka.
“Jom.” Ros mengajak.
Kemudian mereka berdua berlalu ke pangkin yang
terletak di halaman rumah.
“Kau apa khabar?” tanya Aisyah sebaik saja punggung
dilabuhkan ke atas pangkin.
“Aku sihat. Kau tengoklah badan aku ni. Asal balik
asrama je, mesti cepat naik. Pelik pun ada jugak. Yalah, kalau
orang lain di tempat aku, asal jauh dengan famili mesti kurus
cekeding. Tapi aku… huh… bukan main gemuk lagi.”
Aisyah ketawa kecil.
“Alaaa… lawa apa kau macam ni. Takdelah kurus
macam isteri popeye.”
Teringat dulu waktu mereka berada di sekolah
menengah. Badan Ros memang kurus sangat. Sampai ramai
rakan sekelas gelar dia isteri popeye. Mengamuk Ros kena
panggil begitu. Tu semua Yus Kebabom la yang gelar. Bukan
Ros saja yang dapat gelaran terhormat, tetapi ada juga beberapa
orang rakan sekelas lain dapat gelaran masing-masing. Mujur
Aisyah tidak mendapat sebarang gelaran. Yus Kebabom tu
memang ‘kebabooooom’nakalnya.
“Tu dulu tau. Waktu zaman sekolah menengah.
Sekarang aku bukan isteri popeye lagi. Dekat 'U' semua
kawan-kawan gelar aku Bunga Ros Cameron Highlands.” Ujar
Ros tertawa kecil.
Aisyah turut ketawa sama. Dalam hati dia tumpang
bangga dengan kejayaan Ros yang berjaya masuk ke universiti.
Masuk tahun ini, sudah dua semester Ros bergelar mahasiswi.
Gelaran yang sering dia dambakan dulu. Keputusan SPMnya
hampir sama dengan Ros. Kalau diikutkan, dia memang layak
masuk universiti. Tetapi, memandangkan dia tinggal bersama
mak su yang tak pernah mahu melihat dia berjaya, niatnya
hendak meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi
tidak kesampaian.
“Eh, kenapa dengan tangan kau tu?” Ros mencapai
tangan kiri Aisyah.
“Owh… aku terjatuh semalam.”
“Kau jatuh kat mana?”
“Aku jatuh kat tepi belukar waktu nak ke gerai.”
“Laaa… macam mana kau boleh jatuh ni Aisyah?
Kau tak hati-hati ke? Nasib baik tak cedera teruk.”
Aisyah tersenyum. Ros memang ambil berat
kepadanya.
“Aku hati-hati, tapi ada satu kereta besar ni bawa
laju kat jalan tu. Nyaris dia nak langgar aku. Pasal itulah aku
hilang kawalan dan terjatuh.”
“Apa?” Bulat mata Ros mendengarnya. “Kau biar
betul? Kau cedera ni sebab nyaris kena langgar ke? Siapa
yang nyaris langgar kau tu? Kau ada buat report polis tak?”
bertalu-talu Ros bertanya. Geram pula dia apabila dapat
tahu ada pemandu berkereta besar nyaris melanggar teman
baiknya ini.
“Aku tak buat report pun.”
“Kenapa tak buat?”
“Aku bukannya cedera teruk pun. Lagipun orang
yang nyaris langgar aku tu dah bawa aku ke klinik dapatkan
rawatan.” Terang Aisyah.
“Owh… kalau macam tu okeylah. Jangan langgar
lari. Yang tu kau wajib buat report.” Ujar Ros menarik nafas
lega. “Siapa yang langgar kau? Orang kampung ni jugak ke?”
tanya Ros ingin tahu.
Aisyah menggeleng.
“Bukan. Orang luar. Mereka datang ke sini nak
bercuti agaknya.”
“Owh… percutian keluarga la tu. Kan ramai yang
suka bawa anak-anak datang bercuti kat sini.”
“Bukan. Yang nyaris langgar aku ni bukan orang
berkeluarga. Mereka sepupu. Tengku Haziq dan ‘Tengku
Harimau’.”
“Hah???” Bulat mata Ros mendengar kata-kata
Aisyah. Apa ke pelik nama Tengku yang seorang lagi itu, nama
serupa binatang. “Apa nama Tengku yang sorang lagi tu?”
“Tengku Harimau.” Selamba saja Aisyah menyebut
nama gelaran yang diberinya kepada Tengku Iskandar.
Tergelak besar Ros mendengarnya. Tak pernah dia
dengar nama seorang Tengku dengan nama sepelik itu. Biar
benar nama Tengku itu ‘Tengku Harimau’? Jika benarlah
begitu, memang sesuatu yang unik. Boleh masuk muzium
nama tu.
“Nama betul ‘Tengku Harimau’ tu Tengku Iskandar.
Tapi memandangkan dia tak pernah senyum dan garang
macam harimau, aku tukarlah nama dia jadi Tengku
Harimau.” Beritahu Aisyah.
Ros masih ketawa. Geli hati bukan main dia dengar
gelaran pemberian Aisyah kepada lelaki bernama Tengku
Iskandar itu.
“Aku bukan sengaja nak kasi nama tu dekat Tengku
yang sorang lagi tu. Dah dia garang macam harimau, aku
bagilah nama manja sikit. Muka tak tahu nak senyum.”
Rungut Aisyah.
Mengenangkan Tengku Iskandar, hati Aisyah sakit.
Cuma setiap kali mata lelaki itu merenungnya, dia jadi tidak
berani hendak melawan. Laju saja dia jatuhkan anak matanya.
Seolah-olah ada magis pada pandangan Tengku Iskandar
yang membuatkan dia berasa takut.
“Tengku Harimau tu hensem tak?” Rasa ingin tahu
membuatkan Ros bertanya.
Aisyah menggeleng penuh yakin.
“Ye ke?” Ros mencuit bahu Aisyah tanda tidak
percaya. Biasanya nama yang bermula daripada tengku, raja,
syed dan megat ini pasti kacak-kacak belaka. Maklumlah…
dah nama orang-orang kaya, mestilah punya kelebihan sikit.
Aisyah mendecit.
“Yalah, yalah... memang ‘Tengku Harimau’ tu
hensem. Tapi wajah bukan segala-galanya. Kalau muka
hensem tapi perangai buruk pun tak guna jugak. Menyakitkan
hati aje ada la!”
“Dahlah. Jangan sakit hati sangat. Nanti tak
pasal-pasal kau terrrrrsuka pula.” Sengaja Ros menggiat
sambil menekan perkataan ‘tersuka’.
“Huh! Tak hingin!” bidas Aisyah.
Ros ketawa suka. Jarang dia lihat wajah Aisyah keruh
seperti itu. Nampaknya benarlah lelaki yang digelar ‘Tengku
Harimau’ itu memang menyakitkan hati.
“Tengku yang satu lagi tu takde nama manja ke?”
Wajah keruh Aisyah kembali jernih. Mengenangkan
Tengku Haziq, hatinya sejuk semula. Lelaki yang seorang itu
memang baik dan berbudi pekerti. Bahasanya juga lembut
dan sopan. Tak menyakitkan hati seperti yang seorang lagi.
“Ada.” Balas Aisyah sambil tersenyum. Otaknya
sudah mula mencari nama manja yang sesuai dengan Tengku
Haziq yang baik hati.
“Apa dia?” Tak sabar Ros nak tahu.
“Tengku Kucing!”
Berkerut dahi Ros mendengarnya.
“Apasal pulak kucing?”
Aisyah tersenyum manis.
“Sebab… Tengku Haziq tu baik. Sweet aje. Pasal tu
aku gelar dia ‘Tengku Kucing’. Sesuai dengan perwatakan dia
yang sweet tu. Nampak comel gitu.”
“Eh, tentu ‘Tengku Kucing’ ni ala-ala lembut gitu
kan?” fikir Ros.
“Hesy… kau ni. Takdelah! ‘Tengku Kucing’ ni
bukan ala-ala lembut macam yang kau fikirkan tu. Dia lelaki
maskulin, cuma dia tak garang macam ‘Tengku Harimau’.
Dia ni baik tau. Baik sangat!” puji Aisyah tentang Tengku
Haziq. Semakin manis senyumannya terkenangkan lelaki
baik hati itu.
“Okey, kalau macam tu... antara ‘Tengku Harimau’
dengan ‘Tengku Kucing’, siapa yang lagi hensem?” Ros
menyoal dengan kening yang sudah menari ronggeng.
Aisyah menjongketkan bahu. Malas nak layan.
Padanya dua-dua pun kacak. Dua-dua ada kelebihan paras
rupa masing-masing. Cuma… dari segi perangai, dia akan
pilih Tengku Haziq. Lelaki itu baik sangat.
“Takkan kau tak tahu?” keluh Ros tidak berpuas hati
dengan jawapan berupa isyarat daripada Aisyah.
“Malas nak fikir. Siapa pun yang hensem, diaorang
bukan hak kita.”
“Hmmm… manalah tahu Aisyah, salah sorang tu
bakal jadi suami kau suatu hari nanti.”
“Hesy… kau ni! Ke situ pulak. Takmo la! Aku tak
fikir sampai ke situ.”
“Alaaa… siapa tahu, kan? Jodoh ni di tangan Tuhan.
Mana tahu…”
“Tak mungkinlah Ros. Aku ni cuma orang kampung.
Diaorang tu orang bandar. Dah tu kaya-raya pulak. Manalah
nak pandang perempuan kampung macam aku ni. Orang
bandar yang ada pangkat macam tu, taste diaorang tinggi.”
“Kau tu aje yang merendah diri sangat. Tak
semestinya orang kampung tak boleh hidup di samping orang
kaya. Contoh macam Lady Diana. Dia asal orang tak senang
juga. Tapi jodoh dia dengan kerabat England. Tak siapa tahu
soal jodoh ni.”
Aisyah hanya mendiamkan diri. Malas hendak
meneruskan perdebatan tentang isu tersebut. Dia belum
pernah terfikir hendak berkahwin dalam usia semuda ini.
“KAU JAGA rumah ni baik-baik. Jangan nanti, aku takde
dekat rumah, kau pulak keluar merayau. Bukan aku tak tau
budak Ros tu ada balik. Panjanglah roda kau berjalan kalau
dia ada kat kampung ni.” Pesan Puan Ainin kepada Aisyah
sambil bersiap di hadapan cermin. Bibirnya digoles dengan
gincu merah menyala. Kalau ada lembu yang nampak, sah
kena sondol.
Aisyah hanya mendengar tanpa kata. Dia tahu
mak sunya tak sukakan Ros. Dari dulu mak su memang tak
berkenan dia berkawan baik dengan Ros. Kata mak su, Ros
itu suka melawan. Dia tak suka Aisyah berkawan dengan
budak yang kurang ajar kepada orang tua. Tapi bagi Aisyah,
Ros bukan seperti yang mak su tuduh. Ros sahabat yang baik.
Ros banyak membantu dia jika dia susah. Segala suka duka
hidupnya akan dikongsi bersama Ros. Mereka telah berkawan
baik sejak dari sekolah tadika lagi.
Melihat Aisyah yang membisu tanpa kata, Puan
Ainin mengetap bibir. Gincu jenama Avon merah menyala itu
diletak kasar atas meja solek.
“Hoi! Kau dengar tak apa yang aku cakap ni hah?
Asyik berkhayal je!”
Tersentak Aisyah mendengarnya. Nasib dia tidak
termelatah. Laju dia mengangguk umpama burung belatuk.
Takut sungguh memandang wajah kelat mak su.
Puan Ainin merengus. Dia bangun dari duduknya.
Membelek-belek kebaya ketat yang terletak pada tubuhnya
yang masih cantik terbentuk. Puan Ainin memang pandai
menjaga badan. Persis anak dara.
Setelah berpuas hati dengan penampilan dan
sanggul siputnya, dia bergerak keluar dari bilik. Tajam
matanya menjeling Aisyah yang kaku di hadapan pintu
sambil memberi laluan kepadanya. Tunduk saja kepala gadis
itu. Itulah yang dia mahukan. Dia suka apabila Aisyah takut
kepadanya.
“Fasha! Oh… Fasha! Cepatlah! Takkan tak siap lagi.
Dah pukul berapa ni? Majlis mula pukul sembilan.” Laung
Puan Ainin. Anaknya itu sama sepertinya. Jika bersiap mesti
ambil masa yang lama. Maklumlah, nak kelihatan cantik.
“Dah siap la ni mak.” Balas Fasha dari dalam
biliknya. Tidak lama kemudian, dia keluar sambil merungut.
“Mak ni… terjerit-jerit. Dengar dek orang lalu-lalang, malu
Fas. Jatuh air muka Fas tau.”
Tidak berkedip mata Puan Ainin dan Aisyah
memandang Fasha. Biar benar yang berdiri di depan mereka
ini Fasha? Pakaian mengalahkan pengantin. Penuh dengan
lip lap lip lap. Solekan pula bukan main tebal dengan gincu
dan pemerah pipi yang sama warna. Macam bukan nak pergi
kenduri kahwin, tapi dah serupa orang nak buat pertunjukan
opera cina!
“Wah… cantiknya anak mak malam ni. Macam Miss
World pulak mak tengok. Nanti kat sana tentu anak mak yang
meletup ni jadi perhatian.” Puji Puan Ainin akan penampilan
anak gadisnya. Dibelek-belek tubuh ramping Fasha yang
mengenakan kebaya nyonya warna ungu itu. Cukup kena
dengan warna kulit anaknya.
Aisyah yang mendengar pujian itu rasa nak ketawa
saja. Namun ditahan rasa itu daripada terhambur keluar
dari mulutnya. Takut nanti tangan mak su naik ke muka.
Bukannya dia tak tahu perangai mak su dan Fasha. Pantang
dia buat salah sikit, cepat saja dia menerima habuannya.
Pada Aisyah, adik sepupunya itu lebih cantik jika
bergaya sederhana. Tak perlu nak solek tebal-tebal dengan
kebaya nyonya yang penuh dengan lip lap lip lap. Dah serabut
matanya memandang.
“Mestilah cantik mak. Anak mak, kan?” Kembang
semangkuk hati Fasha mendengar pujian maknya.
Puan Ainin tersenyum. Anak gadisnya ini memang
saling tak tumpah seperti dia muda-muda dulu.
“Haah. Memang cantik macam mak. Dahlah… jom
kita gerak. Nanti terlepas pulak majlis nikah si Ujie.” Puan
Ainin kian gelisah. Takut terlewat ke rumah abang iparnya
yang terletak di Kampung Raja.
“Yalah. Fas pun dah tak sabar nak jumpa Ujie. Tentu
Ujie cantik sangat malam ni, kan mak.” Fasha membalas.
Hubungan dia dengan Ujie memang rapat. Baginya Ujie
sepupu yang terbaik.
Aisyah memang sudah sedia maklum keakraban
Fasha dan Ujie. Sejak sekolah lagi mereka memang suka
mengejeknya. Entah apa salahnya kepada Ujie sampaikan Ujie
selalu ikut saja jika Fasha mengutuk dan mengumpatnya.
Malas dia nak ambil peduli. Sekarang ni dia memang dah
jarang jumpa Ujie. Dengar cerita... Ujie menetap di Kuala
Lumpur setelah mendapat pekerjaan di sana.
“Apa pandang-pandang?” sergah Fasha menjeling
Aisyah. “Kau tak puas hati dengan aku ke?” tambahnya lagi.
Geram melihat Aisyah memandangnya tanpa berkerdip.
Aisyah menggeleng. Tak terdetik pun rasa tak puas
hatinya kepada Fasha. Fasha yang selalu tidak puas hati dekat
dia. Ada saja kesalahannya di mata gadis itu.
“Dah! Dah! Jangan dilayan sangat dia tu. Dia pandang
sebab dia tak pernah pakai lawa-lawa macam anak mak pakai
ni. Tengoklah baju dia tu, dah serupa kain langsir. Dah…
mari kita gerak. Nanti lewat pulak sampai sana.” Sempat
Puan Ainin mengejek.
Fasha ketawa besar. Suka dengar maknya berkata
begitu.
“Huh… perempuan hodoh!” ejek Fasha sambil
menonyoh kepala Aisyah.
Entah apalah salah Aisyah kepada mereka sampai
begini sekali mereka melayan Aisyah. Anak dengan mak,
sama saja perangainya.
SENTUHAN LEMBUT pada tubuhnya membuatkan Aisyah
tersedar. Lantas dia membuka mata. Dadanya berombak
kencang apabila tubuh itu menghimpitnya. Ruang bilik
samar-samar yang hanya dibiasi cahaya lampu dari luar
membuatkan dia tidak dapat mengecam siapa yang
menyentuhnya. Apatah lagi ketika itu kedengaran hujan lebat
di luar sana.
Aisyah mula cemas. Dia cuba untuk menepis
tetapi tangan lelaki itu lebih kuat memeluk tubuhnya
erat, membuatkan nafasnya sesak. Desah nafas lelaki itu
mencumbuinya semakin jelas di pendengaran.
“Lepaskan saya. Lepaskan!” rintih Aisyah. Ketakutan
yang teramat sangat mula mencengkam jiwa.
“Aisyah… janganlah macam ni. Bagilah abang rasa
sikit. Abang janji tak layan Aisyah dengan kasar.” Suara si
lelaki menyapa halwa telinga.
Bulat mata Aisyah mendengar suara itu.
‘Abang Id!’ hatinya menjerit. Perasaan takut semakin
menggunung. Apatah lagi apabila merasakan jemari kasar
Farid semakin menjalar ke segenap tubuhnya.
“Apa Abang Id buat ni? Lepaskan Aisyah. Lepaskan
Aisyah!” Aisyah merayu. Sedaya upaya dia cuba melepaskan
diri dari rangkulan Farid.
“Abang tak akan lepaskan Aisyah. Abang dah lama
impikan saat indah bersama Aisyah. Bagilah abang rasa.”
“Tolonglah Abang Id. Lepaskan Aisyah. Jangan buat
Aisyah macam ni...”
Semakin Aisyah merayu, semakin rakus Farid
mencumbuinya. Tanpa kerelaan Aisyah, Farid menyentuh
bibirnya penuh nafsu, hampir membuatkan Aisyah sesak
nafas. Tidak berdaya dia hendak berkata apa-apa dek perbuatan
terkutuk Farid itu. Farid memang lelaki berhati binatang!
Aisyah cuba menolak kuat tubuh Farid. Sekuat
tenaga dia menolak namun tidak berdaya. Pantas tangannya
digapai mencari apa-apa sahaja benda yang ada sebagai cara
menyelamatkan diri. Nasibnya baik kerana tercapai lampu
suluh yang diletak di kepala katil. Tanpa menunggu lama,
lampu suluh dihentak kuat ke kepala Farid, membuatkan
lelaki itu mengerang kesakitan lantas tergolek jatuh dari atas
katil.
Pantas Aisyah bangkit. Melihat Farid yang mengerang,
dia segera meluru keluar dari bilik. Terkocoh-kocoh dia cuba
menyelamatkan diri daripada kerakusan nafsu Farid yang
begitu menggila. Segugus kunci yang sentiasa tergantung
tepi pintu dicapai. Terketar-ketar tangannya mencari pintu
rumah. Saat ini, ditambah dengan rasa cemas membuatkan
pencariannya agak lambat.
“Berani kau hempuk kepala aku ya! Kau memang
nak kena dengan aku. Aku minta baik-baik, kau main kasar
pulak. Kau nak lari ke mana hah?” Farid menjerit. Dia bangun
dengan mata yang berpinar-pinar.
Semakin cuak Aisyah jadinya. Mendengar hentakan
kaki Farid yang semakin menghampiri, membuatkan dia
semakin melajukan pencarian. Setelah menjumpai kunci
yang diperlukan, dia memasukkan kunci tersebut ke dalam
tombol pintu. Dia mahu segera keluar. Namun belum sempat
dia memulas tombol pintu, Farid telah memeluknya dari
belakang. Mengheretnya jauh dari muka pintu.
“Kau nak ke mana? Nak lari? Nak lari???” jerit Farid
kasar.
Aisyah meronta-ronta. Air mata deras mengalir.
“Lepaskan Aisyah! Tolonglah Abang Id… jangan
buat Aisyah macam ni. Kasihanilah Aisyah...”
“Lepaskan kau? Kasihankan kau? Jangan haraplah
aku nak lepaskan kau, Aisyah. Aku memang dah lama
teringinkan tubuh kau. Tak semudah itu aku nak lepaskan
peluang yang ada. Aku minta baik-baik, kau tak nak bagi. Kali
ni memang rezeki aku. Kau nak ke, tak nak ke, aku peduli
apa.” Kemudian Farid ketawa berdekah-dekah.
Air mata ketakutan mengalir laju membasahi pipi
Aisyah. Ketika ini dia hanya mengharapkan pertolongan
Allah. Minta dilindungi daripada kekejaman lelaki berhati
buas itu. Semoga tiada perkara buruk yang terjadi kepadanya.
Dia tiada pilihan, akhirnya dia menggigit lengan Farid sekuat
hati. Sampai berdarah.
“Arghhh!!!” Farid mengerang kesakitan. Tubuh
Aisyah ditolak kasar, membuatkan gadis itu terdorong jatuh
ke lantai. Lengannya yang berdarah diperhatikan. Nafasnya
turun naik menahan marah.
“Jahanam kau! Kau gigit aku ya? Kau memang
nak kena!!!” Farid menerpa ke arah Aisyah. Ditindih tubuh
Aisyah dengan tubuhnya yang agak sasa. Tangannya liar
membuka butang seluar jean yang dipakainya. Dia sudah
tidak mahu berlembut lagi. Walau apa pun yang terjadi, dia
akan menakluki Aisyah malam itu juga. Biarpun dengan cara
kasar dan paksa.
Aisyah meronta-ronta. Cuba melawan walaupun
tenaganya tidak sekuat tenaga lelaki Farid. Perasaan takutnya
menggunung saat ini. Terkapai-kapai tangannya mencapai
pasu bunga di atas meja. Setelah berjaya mencapai pasu
bunga tersebut, dengan sekuat hati dia menghempas pasu itu
ke kepala Farid.
“Arghhhh!!!” Kali ini lebih kuat lagi Farid
mengerang. Terasa ada cecair pekat mengalir di kepalanya.
Kepalanya semakin berpinar-pinar dan berpusing-pusing
akibat hentakan kuat itu.
Aisyah pula mengambil kesempatan itu dengan
menggunakan seluruh tenaga yang masih bersisa. Ditolak
tubuh Farid yang berada di atas tubuhnya sekuat hati.
Kemudian dia segera bangun menuju ke pintu yang tertutup
rapat. Dipulas tombol pintu lalu dalam keadaan kelam-kabut
dia menyarung selipar jepun ke kaki.
“Jangan harap kau akan terlepas dari tangan aku!
Perempuan bodoh!!!” Farid menjerit berang. Digagahi diri
untuk mengejar Aisyah yang sudah keluar dari rumah. Sakit
di kepalanya terasa berbisa dan berdenyut-denyut.
Tidak menghiraukan panggilan Farid, Aisyah terus
berlari dalam hujan yang semakin lebat membasahi bumi.
Dia benar-benar ketakutan. Air matanya deras berlinangan.
Dia memerlukan perlindungan. Dalam kepala Aisyah kini
hanya ada Ros dan keluarganya. Dia perlu ke sana.
Dalam keadaan kelam-kabut dan hujan lebat, Aisyah
langsung tidak menoleh kiri dan kanan. Menonong laju dia
berlari sehinggalah ada sebuah kereta di jalan raya yang
nyaris melanggarnya.
Streeetttt!!!
Bunyi kuat itu membuatkan Aisyah terkejut. Hilang
melayang semangatnya membuatkan dia rebah ke bumi.
Matanya semakin lama semakin kabur, dan akhirnya terus
gelap.

No comments:

Post a Comment