TUK! Tuk! Tuk!
“Qistina, Qistina... wake up!”
Qistina bangun dari pembaringan. Matanya ditenyeh.
Jam di tangan menunjukkan pukul 5.00 pagi. Dia merasakan
yang dia baru sahaja berjaya melelapkan mata selepas
mengerjakan solat subuh awal pagi tadi.
“Qistina...”
Ya, betul. Dia tidak bermimpi. Memang kedengaran
suara Naseem di luar pintu. Qistina bingkas bangun dan
mencapai tudungnya. Takut terserempak dengan Ian Iskandar
di luar bilik. Setelah pintu dibuka, Naseem dengan muka yang
amat pucat terus mencengkam lengan Qistina.
“What’s wrong, Naseem?”
“It’s madam. She’s having leg cramps. She’s in pain…”
Belum sempat Naseem habis berkata-kata, Qistina pantas berlari
menuruni anak tangga lalu menuju ke bilik Puan Mariam.
Di dalam bilik, Ian Iskandar sedang memicit-micit kaki
ibunya. Qistina menelan air liurnya. Lelaki itu hanya bersinglet
dan berseluar pendek paras lutut. Mungkin begitu caranya dia
tidur pada musim panas begini. Sempat gadis itu melihat otototot
yang tersembul dari tubuh sasa itu sebelum melarikan
anak matanya. Malu!
“Madam...” Perlahan Qistina bersuara. Dia mendekati
Puan Mariam. Bimbang dia melihat wajah Puan Mariam yang
sedang berkerut menahan sakit.
Puan Mariam membuka matanya. Gadis itu berdiri
begitu hampir dengan Ian Iskandar. Dalam kesakitannya,
sempat juga dia berfikir betapa cocoknya gadis ini di sebelah
anak lelaki tunggalnya ini. Memang sepadan. Yang lelakinya
tegap dan tampan manakala yang si gadis pula begitu ayu dan
jelita.
“Ada apa saya boleh bantu, encik?”
Ian Iskandar memandang Qistina dengan pakaian
tidurnya. Mungkin gadis itu tidak perasan yang baju tidurnya
hanya berlengan pendek. Kulit lengan Qistina yang licin dan
putih kemerahan menangkap pandangannya. Giliran Ian
Iskandar pula menelan air liurnya. Menahan gelora yang tibatiba
datang menyapa.
“Hmmm… mummy saya dah makan ubat tahan
sakit…” Serak suara Ian Iskandar. Naluri lelakinya masih
bergetar. Ian Iskandar pun tidak tahu mengapa dia menyuruh
Naseem mengejutkan Qistina tadi. Qistina pula masih tidak
memandang Ian Iskandar. Segan!
“Qistina, jangan bimbang dear. Kadang-kadang saya
memang akan diserang kekejangan macam ni. Lepas makan
ubat tahan sakit, selalunya sakit tu akan hilang…”
“Nak saya picitkan kaki madam? Encik tak pakai
minyak?”
“Awak ada minyak urut atau minyak gamat tak,
Qistina?”
“Ada, nanti saya ambik.” Qistina kembali ke dalam
bilik tidurnya untuk mengambil minyak gamat yang dibawa
dari Malaysia.
Setelah kembali, Ian Iskandar bangun untuk
membenarkan Qistina mengambil tempatnya. Qistina
menuangkan sedikit minyak gamat ke tangan dan melumurnya
di atas kedua-dua kaki Puan Mariam yang sedikit tegang. Kaki
Puan Mariam diusap kuat dan dipicit sehingga terasa panas.
Ian Iskandar hanya memerhati kelembutan tangan Qistina
mengusap-ngusap dan memicit kaki ibunya. Dari tangan
Qistina, pandangan Ian Iskandar naik pula ke wajah gadis itu.
Dia tersenyum sendirian. Manis wajah itu, walaupun baru
bangun daripada tidur.
“Qistina, you’ve got magic hands… sekarang
kesakitan saya hampir hilang dan kaki saya dah tak kejang lagi...
thanks, dear!” Kerutan pada wajah Puan Mariam telah mula
hilang. Kesakitan dan kekejangan yang dirasakan kini banyak
berkurangan setelah mendapat perhatian Qistina selama lebih
dua puluh minit lamanya.
“Sama-sama, madam,” balas Qistina sambil tangannya
masih memicit kaki Puan Mariam.
“Qistina, tak payahlah picit kaki saya lagi. Saya dah
rasa lebih baik. Semua, pergilah tidur semula.”
Qistina dan Ian Iskandar teragak-agak untuk mematuhi
arahan Puan Mariam itu.
“Are you sure, mummy?” Tanya Ian Iskandar.
“Madam, saya tak kisah temankan madam,” Qistina
juga bersuara.
Puan Mariam menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia
pantas menghalau Naseem, anak lelaki dan calon menantunya
keluar dari biliknya itu. Di luar, Qistina dan Ian Iskandar
berjalan beriringan tanpa sebarang kata. Naseem sudah
menghilang masuk ke dalam biliknya. Qistina masih risaukan
Puan Mariam dan tidak menyedari pandangan lelaki yang
berjalan di sebelahnya.
“Terima kasih Qistina!” Terdengar ucapan itu semasa
Qistina sampai di muka pintu biliknya. Dia berpaling. Ian
Iskandar juga sedang berdiri di hadapan pintu biliknya sendiri.
Dahi Qistina berkerut.
“Untuk apa, encik?”
“Kerana ambil berat...”
“Oh, takde apa-apa encik. Saya ikhlas…”
Ian Iskandar mengambil beberapa langkah dan berdiri
di hadapan Qistina. Qistina mula cuak. Dia terpaksa mendongak
untuk memandang lelaki itu. Tinggi betul dia. Kalau Qistina
tidak memandang wajah Ian Iskandar, dia terpaksa memandang
tubuh lelaki itu yang begitu terdedah sekarang ini. Resah gelisah
dia berdekatan dengan Ian Iskandar begitu. Bagai nak tercabut
jantungnya yang sedari tadi tidak berhenti bergendang.
“Qistina... kalau saya sakit, awak akan risau jugak ke?”
Perlahan suara Ian Iskandar. Seolah-olah berbisik.
Naik bulu roma Qistina mendengarnya. Dia menelan
air liurnya yang terasa pahit. Tiba-tiba Qistina terasa seperti
kekurangan oksigen. Kenapalah mamat ni suka sangat
menyeksa dia?
“Insya-Allah, encik. Errr… saya masuk dulu, encik…”
Qistina pantas ingin melarikan diri namun ditahan Ian Iskandar.
Lelaki itu sengaja menghalang pintu masuk bilik tidur Qistina.
Hampir sahaja Qistina melanggar tubuh sasa itu. Ian Iskandar
tersenyum.
“Qistina, bilalah awak akan berhenti lari daripada saya?
Awak tahu saya takkan berhenti kejar awak, kan. Larilah ke
mana pun, saya tetap akan jejak awak sampai dapat.”
“Encik, kenapa encik macam ni? Dulu encik tak macam
ni… Encik tegas dan serius saja… tetapi sekarang kenapa encik
jadi macam ni?” Qistina memberanikan diri bertanya. Lelaki ini
seolah-olah menduga ketahanan hatinya.
‘Dia ingin aku jatuh terjelepok ke bumi agaknya, baru
dia puas hati.’
“Awaklah puncanya, Qistina. Awak yang merubah
segalanya…” Pandangan mata Ian Iskandar cukup redup.
Memukau.
‘Ya Allah... Adakah lelaki ini untukku?’
“Encik, tolong ke tepi. Saya nak sambung tidur saya…”
“Qistina, jumpa awak pukul 10.00. Jangan lambat…”
Ian Iskandar sempat berpesan sebelum dia berlalu masuk ke
dalam biliknya. Qistina menghela nafas lega. Dia sukar untuk
berfikir secara rasional apabila berada terlalu dekat dengan Ian
Iskandar.
Tepat pukul 10.00 pagi, Qistina masuk ke ruang tamu.
Sebelum itu sempat dia menjenguk Puan Mariam yang telah
pun pulih sepenuhnya daripada kekejangan kaki awal pagi tadi.
Jururawat gantian kini bersamanya, jadi Qistina tidak begitu
risau meninggalkan Puan Mariam di rumah.
Ian Iskandar kelihatan begitu rugged dan tampan
dengan mengenakan seluar jeans pudar berwarna biru dan
baju-T berwarna putih. Dadanya terus berdebar-debar kencang.
‘Kenapa dengan aku ni?’
Tanpa pengetahuan Qistina, jantung Ian Iskandar juga
berdegup tidak normal. Begitu hebat paluan gendang di dalam
dadanya ketika melihat Qistina begitu santai dengan seluar
jeans berwarna biru gelap serta blaus kain kapas berwarna biru
muda, yang dihiasi bunga-bunga kecil pelbagai warna.
Mereka saling berpandangan. Tarikan di antara mereka
begitu kuat dan padu. Sama ada Qistina, mahupun Ian Iskandar,
masing-masing tidak pernah sekali pun dalam hidup mereka
berasa begini. Cinta yang terbuku di hati, apakah mampu
diucapkan?
“Dah siap?” Tanya Ian Iskandar sambil berdiri
berdekatan sofa. Qistina hanya mengangguk. Tidak percaya
akan keupayaan suaranya sendiri untuk berkata-kata.
Ian Iskandar membukakan pintu kereta untuk Qistina.
Ian Iskandar menghidupkan enjin, dan terus memandu keluar
dari kota London.
“Kita ke mana, encik?”
“Brighton. Pernah pergi sana?”
“Pernah, encik. Sekali dengan kawan-kawan…”
“Kali ni awak pergi dengan saya…”
Qistina tidak membantah. Dia suka tempat itu. Dah
lama juga dia tidak menghidu udara pantai dan bersantai di
tepi laut yang mendamaikan. Sesungguhnya Qistina suka
dengan pantai. Suka sangat! Dia boleh duduk dan memandang
ke arah laut berjam-jam lamanya, semata-mata untuk mencari
ketenangan dan kedamaian.
“Qistina, boleh tak saya minta sesuatu dengan awak?”
“Apa, encik?”
Ian Iskandar mengilas pandang kepada Qistina.
“Boleh tak untuk hari ni, awak tak panggil saya encik?
Panggil saya Ian je. Lagipun hari ni hari cuti awak, kan?”
Qistina menggigit bibirnya. “Saya… saya…”
“Kenapa Qistina? Berat sangat ke permintaan saya tu?
Lainlah kalau saya minta awak panggil saya abang atau sayang,
kan?” Ian Iskandar tersenyum nakal. Matanya melirik sepintas
ke arah Qistina yang jelas gelisah.
“Tapi, encik… saya kerja ke, saya cuti ke, encik tetap
majikan saya…” Qistina membetulkan duduknya.
“Saya nak tukar status majikan kepada suami, awak
pulak yang tak nak…” Ian Iskandar menyindir.
Qistina mengetap bibir geram. “Encik, boleh tak encik
jangan cakap macam tu… saya tak selesa…”
“Kenapa Qistina? Saya tak layak ke jadi suami awak?”
Perlahan Ian Iskandar bertanya, tapi setiap perkataan itu dapat
ditangkap dengan jelas oleh Qistina.
Qistina pantas menoleh dan memandang Ian Iskandar.
Sebenarnya dialah yang tidak layak menjadi isteri kepada
seorang lelaki bernama Ian Iskandar.
“Bukan macam tu, encik…”
“Awak dah jatuh cinta pada Dr. Ilyas ke?” Ian Iskandar
mengeluh. Kenapa tiba-tiba keluar topik ni pulak? Hesy...
Pening Qistina dibuatnya.
“Saya dengan Dr. Ilyas kawan je encik. Tak lebih
daripada tu. Lagipun saya baru je kenal dia…”
Ian Iskandar tidak percaya.
“Kawan? Malam tadi saya rasa kemesraan awak dengan
dia melebihi batas seorang kawan, Qistina. Awak cuba nak tipu
saya? Saya tahu apa yang saya nampak semalam.” Walaupun Ian
Iskandar tidak meninggikan suaranya, namun Qistina masih
rasa terkesan dengan kata-kata lelaki itu.
“Encik, malam tadi tu… errr… sebenarnya saya
sekadar berlakon jadi teman istimewa dia je…” Akhirnya
Qistina menjelaskan perkara yang sebenarnya. Tidak sanggup
sekiranya Ian Iskandar berprasangka buruk terhadapnya.
Ian Iskandar terkesima. Teman istimewa? Berlakon?
“Apa yang awak cakap ni, Qistina?”
Qistina menceritakan serba ringkas bagaimana dia
telah bersetuju untuk berlakon menjadi teman istimewa Dr.
Ilyas Khan, hanya kerana bekas tunang Dr. Ilyas Khan turut
berada di majlis amal tersebut.
Tangan Ian Iskandar menggenggam stereng. Segala
prasangka serta perasaan marah, dan cemburu yang dirasakan
sepanjang malam tadi rupanya sia-sia belaka.
“Awak sengaja main-mainkan perasaan saya, Qistina.
Awak suka tengok saya tak tentu arah macam malam tadi?”
Marah dia memikirkan tindak-tanduk Qistina yang tidak
berterus terang dengannya sejak mula.
“Tak… tak, encik. Itu bukan niat saya. Kenapa pulak
encik rasa macam tu?”
Ian Iskandar tidak menjawab namun suatu dengusan
kasar lahir jua. Nampaknya gadis itu masih tidak tahu akan
perasaannya.
‘Butakah dia? Nak kena buat iklan papan tanda besarbesar
baru nak tahu agaknya!’
Ian Iskandar kekal membisu. Mahu menenangkan
kembali perasaannya sebelum bersuara kembali. Qistina
sekadar melemparkan pandangan ke luar tingkap. Tidak tahu
bagaimana untuk menangani situasi yang sedikit tegang ini.
Sehingga mereka tiba di Brighton, suasana sepi di
dalam kereta masih tidak berubah. Setelah kereta diparkir,
Qistina mengikut Ian Iskandar berjalan menuju ke Brighton
Pier. Cuaca ketika itu panas, namun diselang-seli dengan
hembusan bayu dari laut. Di kawasan pantai yang terbuka
ini, sukar untuk mencari tempat yang redup. Manusia yang
bersantai dan berkelah di tepian pantai memenuhi hampir
setiap ruang kosong di atas pasiran pantai. Ian Iskandar terus
berjalan, dan Qistina tetap mengekorinya.
Akhirnya, terdapat tempat duduk yang baru
dikosongkan di bawah payung besar yang didirikan di tepi pantai.
Ian Iskandar duduk di atas bangku panjang yang dikosongkan
dan mengarah Qistina agar duduk di sebelah kirinya. Qistina
duduk lalu pandangan matanya menuntas ke arah laut.
Tangannya ditongkat di atas meja di hadapannya. Tanpa sedar,
dia tersenyum kecil. Udara nyaman dihirup lembut.
Ian Iskandar mengamati gadis di sebelahnya. Amat
sukar untuk dia membaca isi hati gadis itu. Terlalu berahsia.
Dia ingin tahu segala apa yang tersemat dalam hati gadis itu.
Dia ingin Qistina berkongsi segala-galanya dengannya. Mengapa
gadis itu begitu sukar untuk didekati?
Qistina yang menyedari dirinya sedang diamati,
menoleh ke arah Ian Iskandar. Hilang senyuman di bibirnya.
“Encik, kenapa encik bawak saya ke mari? Semalam
encik kata encik ada perkara nak bincang dengan saya, kan?”
Qistina masih tidak berupaya untuk mengubah panggilan
‘encik’ itu walaupun setelah diminta Ian Iskandar sebentar tadi.
Ian Iskandar tersenyum. Senyuman yang begitu
hambar pada pandangan Qistina.
“Sofiah Qistina… cantik betul nama awak. Secantik
orangnya.” Ian Iskandar tidak menjawab pertanyaan Qistina.
Nama gadis itu juga diulang-ulang di titian bibirnya.
“Sofiah Qistina… Sofiah Qistina binti Tan Sri Ali
Saifuddin…”
Qistina terkejut. Betul-betul terkejut. Matanya
membulat. Tubuhnya ditegakkan. Kaku. Tangannya diturunkan
dari atas meja. Wajahnya pantas kehilangan darah…
“Encik? Ma… macam mana encik tahu?” Tergagapgagap
Qistina bersuara. Cuak dia mendengar panggilan nama
penuhnya tadi. Kali ini Ian Iskandar tersenyum sinis.
“Setiausaha saya kat KL fakskan salinan pasport awak.
Dari situ senang saya nak siasat siapa ayah awak.”
Qistina mengalihkan pandangannya yang semakin
menegang dari wajah Ian Iskandar.
“Encik siasat diri saya? Kenapa?”
“Sebab awak terlampau berahsia dengan saya.
Jadi... apakah sebenarnya yang menyebabkan seorang anak
perempuan jutawan terkemuka di KL ni dihalau bapanya keluar
dari rumah, hmm?”
Qistina tahu misi pelariannya kini hampir tamat.
Ian Iskandar sudah tahu siapa dirinya dan keluarganya. Tidak
mungkin dia dapat berselindung lagi.
“Huh! Rupanya selama ni, yang bekerja sebagai
peneman ibu saya ialah anak seorang Tan Sri. Anak seorang
jutawan!” Ian Iskandar masih menyindir.
Qistina sudah tentu tidak menyedari bagaimana
terkejutnya dia apabila mengetahui latar belakang keluarga
Qistina malam tadi. Pulang dari majlis amal malam tadi, dia
masuk ke dalam bilik bacaan di rumah, dan melihat faks yang
diterima daripada penyiasat persendirian yang telah diupahnya
di Kuala Lumpur. Namun niatnya untuk bersemuka dengan
Qistina malam tadi terbantut apabila Qistina menerima
panggilan daripada temannya, Timah.
“Qistina, beritahu saya apa yang terjadi.”
Lama Qistina mendiamkan diri. Akhirnya, dia bersuara.
Lemah.
“Encik, apa yang encik tahu pasal papa saya?” Qistina
memandang ke hadapan.
“Saya hanya tahu tentang latar belakang syarikat dan
bisnesnya serta sejauh mana kejayaannya. Dari segi peribadi,
banyak juga cerita pasal abang dan kakak awak, terutama sekali
cerita perkahwinan mereka yang diadakan secara besar-besaran
sebelum ini… tapi tak banyak cerita pasal awak. Kenapa
agaknya, ya?”
“Encik, kalau saya cerita kepada encik, saya akan buka
aib keluarga saya sendiri… Encik faham tak dilema saya?”
“Qistina, saya bukan nak canang pada satu dunia hal
keluarga awak. Untuk pengetahuan saya sendiri je. Saya orang
yang nak mengahwini awak… takkan awak tak faham lagi niat
dan maksud saya.” Keras suara Ian Iskandar. Panas hatinya
ketika ini.
Qistina tunduk. Tangan kanannya kini sakit diramas
tangan kirinya.
“Encik tak payahlah cakap macam tu pada saya. Encik
takkan nak kahwin dengan saya lagi kalau…” Kata-kata Qistina
dibiar tergantung begitu sahaja.
“Kalau apa? Kalau saya tahu apa terjadi pada awak dan
keluarga awak? Begitu?” Ian Iskandar mengeluh. Geram dia
dengan kedegilan Qistina.
“Kenapa susah betul awak nak percayakan saya,
Qistina?” Lirih suara Ian Iskandar. Kecewa betul dia dengan
gadis itu.
Qistina masih tunduk. Ian Iskandar mencapai tangan
kanan Qistina dan menggenggamnya erat. Ditariknya tangan
Qistina agar berlabuh di atas pehanya. Qistina tergamam.
Kehangatan tangan Ian Iskandar mengalir ke seluruh
tubuhnya. Qistina cuba menarik tangannya namun genggaman
Ian Iskandar begitu kuat.
“Kenapa awak tarik? Ni kan tangan saya.” Tanya Ian
Iskandar lembut.
“Encik, lepaskan tangan saya. Please…” Qistina
separuh merayu. Dia sedar apa yang dilakukan lelaki itu
salah. Namun di hati kecilnya, dia merasakan ketenangan dek
kehangatan tangan lelaki itu. Pelik!
“No, ni tangan saya, Qistina. Segala apa yang ada pada
awak adalah milik saya. Saya cuma pinjamkan semula pada
awak je…” Ian Iskandar tahu dia harus berlembut dengan
Qistina. Dia perlu memujuk gadis itu agar percaya akan niatnya
yang tulus lagi ikhlas.
“Encik, kenapa encik buat saya macam ni?” Qistina
sudah penat. Penat dengan kerenah lelaki di sebelahnya ini
yang sentiasa mendesak.
Ian Iskandar kini menyimpul jari-jemari Qistina
dengan jari-jemarinya. Suatu perasaan halus menyelubungi
dirinya apabila merasakan kelembutan jemari Qistina bersatu
dengan jemarinya. Dia suka akan perasaan itu. Dia tidak mahu
perasaan itu berakhir. Biarlah dia merasakannya sehingga
hembusan nafasnya yang terakhir.
“Sebab saya sayangkan awak, Qistina. Takkan awak tak
tahu? Mustahil awak tak tahu perasaan saya pada awak selama
ni. Saya tak nak awak bersedih, Qistina. Sandarkanlah kesedihan
awak tu pada bahu saya…” Ian Iskandar akhirnya meluahkan
perasaannya kepada gadis itu. Matanya tajam merenung mata
Qistina yang telah mula berkaca.
Qistina tergamam. Kata-kata keramat yang ditunggutunggu
lahir juga dari bibir Ian Iskandar.
‘Wahai lelaki, sayang awak itu akan mati sebaik saja
awak tahu apa yang pernah terjadi pada saya…’ Kalau diikutkan
hati, ingin sahaja Qistina meraung di situ. Di saat cintanya
berbalas, di saat itu jugalah cinta itu bakal direntap dari
genggamannya.
“Awak tak percaya, Qistina? Percayalah… Saya ikhlas.”
Qistina tidak membalas. Dia masih berperang dengan
perasaannya sendiri. Akhirnya dia mengalah. Biarlah lelaki
itu tahu segalanya tentang dirinya sekarang. Tidak perlu
ditangguh lagi. Tidak adil membiarkan lelaki itu berterusan
menyayanginya begitu…
“Encik tahu macam mana papa saya boleh berjaya dan
berkuasa macam sekarang? Kebanyakannya daripada hasil titik
peluhnya sendiri, walaupun sebenarnya saya tak yakin papa saya
bersikap adil dan telus dalam urusan bisnesnya. Teruk kan saya?
Tak percaya pada papa saya sendiri. Tapi, papa saya jugak bijak
menggunakan anak-anaknya untuk mencapai hasratnya untuk
lebih kaya dan lebih berkuasa. Papa saya terlalu kemaruk dengan
meluaskan empayarnya, mengumpul wang dan harta, terlalu
tamak… terlalu sombong dan bongkak… terlalu pentingkan
status sosialnya,” Qistina mendengus.
Ian Iskandar hanya mendengar luahan hati Qistina.
Walaupun suara gadis itu kosong dan mendatar, garis-garis
kekecewaan dan kesedihan jelas kelihatan pada wajahnya. Jarijemari
gadis itu terasa dingin dalam genggamannya.
“Papa lupa asal usulnya, lupa pada Tuhan… lupa
pada segalanya… Encik tahu siapa yang membesarkan saya
sebenarnya? Mak dan ayah Timah, merangkap orang gaji di
rumah tu. Mama dan papa tak pernah lekat kat rumah…”
Maka keluarlah segala kebaikan dan kasih sayang
tidak berbelah bagi yang dicurahkan Mak Esah dan Pak Atan
kepadanya. Diceritakan kepada Ian Iskandar kehidupan
sebenarnya selama ini. Betapa kebaratannya kehidupan
keluarganya dan betapa bahagianya dia dapat hidup di kota
London ini, jauh daripada pengaruh keluarganya, walaupun
hatinya memberontak dengan rasa rindu yang amat sangat
terhadap orang-orang yang disayanginya.
“Daripada umur saya lapan belas tahun, saya hidup
sendiri. Saya terkontang-kanting di sini, tercari-cari siapa
sebenarnya diri saya. Saya sangat kehilangan... sangat sunyi dan
sangat keseorangan... Syukur Allah sentiasa bersama saya, kalau
tak saya pasti hanyut seperti ahli keluarga saya yang lain…”
Setitik air mata Qistina mengalir ke pipinya mengenangkan
waktu-waktu itu. Dia menggunakan tangan kirinya untuk
menyeka air matanya memandangkan tangan kanannya masih
digenggam erat Ian Iskandar.
“Tak seorang pun datang pada hari graduation saya…
Bayangkanlah betapa tak pentingnya saya kepada mereka?
Takde seorang pun yang datang… mama call cuma ucapkan
tahniah tapi hati saya sakit... sangat sakit...” Qistina tersedu
kecil. Luluh hati Ian Iskandar melihat kesedihan itu.
“Papa paksa saya balik lepas graduation walaupun
saya nak sambung buat ACCA kat sini. Saya mulanya tak tahu
kenapa… tapi rupanya papa nak jadikan saya senjata terakhirnya
untuk mencapai kepentingannya sendiri… sama seperti apa
yang dia pernah buat pada abang dan kakak saya…” Qistina
tunduk merenung tangannya yang enak diramas Ian Iskandar.
“Papa nak saya kahwin dengan anak rakan
perniagaannya. Tak lama lepas saya balik KL, barulah saya tahu
niat sebenar papa. Sebelum tu saya dipaksa keluar dengan lelaki
tu… Selepas tiga kali keluar dengannya, saya dah tak sanggup
lagi….”
Qistina menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Saya berkeras tak mahu kahwin dengan lelaki tu.
Saya tak sanggup! So papa beri saya kata dua… sama ada saya
kahwin jugak atau saya kena keluar dari rumah tu… tapi kalau
saya pilih untuk keluar dari rumah tu, saya bukan lagi anak
papa…” Air mata Qistina tumpah lagi. Kata-kata papanya masih
membelah jiwanya. Darah merah masih mengalir dan lukanya
masih dalam seperti dulu.
Hati Ian Iskandar bagai dirobek melihat penderitaan
Qistina. Kalau boleh dia tidak mahu melihat gadis idamannya
itu mengalirkan air mata atas apa sebab pun jua. Biarlah dirinya
sahaja yang menanggung segalanya bagi pihak Qistina.
“Siapa lelaki itu Qistina? Apa yang dia buat sampaikan
awak tak nak kahwin dengan dia?” Serak suara Ian Iskandar.
Ian Iskandar seolah-olah dapat meneka ciri-ciri lelaki
yang ingin dikahwinkan dengan Qistina. Kalau tidak, masakan
gadis itu berkeras tidak mahu mengikut kata-kata papanya.
Qistina seorang gadis yang terlalu baik, terlalu penyayang.
Dan daripada apa yang diceritakan, seorang yang patuh kepada
arahan papanya selama ini, kecuali arahan papanya untuk
berkahwin dengan lelaki itu.
‘Mesti lelaki itu juga mempunyai latar belakang yang
seakan sama dengan keluarga Qistina.’
“Dia… dia…” Qistina tidak dapat meneruskan katakatanya.
“Tak mengapa, Qistina. Saya kat sini, awak tak perlu
risau apa-apa…” Apabila Qistina masih diam, Ian Iskandar
mendekatkan dirinya dengan gadis itu. Bahu mereka
bersentuhan.
“Qistina, tengok sini. Dia tiada di sini, okey. Saya
yang kat sini. Beritahulah saya...” Perlahan suara Ian Iskandar,
memujuk dan terus memujuk…
Dengan suara yang terketar-ketar, Qistina
menceritakan pengalaman keluar berjanji temu dengan
Remy, tanpa sekali menyebut nama lelaki itu di hadapan Ian
Iskandar. Janji temu pertama, janji temu kedua dan janji temu
yang terakhir. Wajah Ian Iskandar semakin menegang. Tanpa
disedarinya, genggamannya pada tangan Qistina semakin kuat,
sehingga menyakiti gadis itu.
“Encik, sakit… lepaskan tangan saya…” Qistina
mengadu.
Ian Iskandar tersedar akan perlakuannya namun tidak
melepaskan tangan Qistina. Dia hanya mengurangkan sedikit
tekanan genggamannya itu.
“Maafkan saya… Apa dia buat pada awak Qistina?”
Tajam renungan Ian Iskandar hingga ke dasar hati Qistina.
“Beritahulah saya!”
Qistina membalas renungan Ian Iskandar dengan
linangan air mata. Ketika itu hanya mereka berdua berada
di tepian pantai itu. Ribuan manusia lain tidak wujud pada
pandangan mereka. Hanya ada Ian Iskandar dan Sofiah Qistina.
Peristiwa malam itu diceritakan secara terperinci
kepada Ian Iskandar. Walaupun payah untuk dikongsi bersama,
namun digagahkan jua dirinya mengeluarkan kata-kata.
“Saya hampir kehilangan maruah saya malam tu…
kalau difikirkan balik, macam-macam boleh terjadi. Dia boleh
hentikan lif tu, dia boleh paksa saya masuk ke bilik hotel sebab
kami memang kat hotel masa tu… apa saja boleh berlaku…”
Naik bulu roma Qistina memikirkan segala kemungkinan itu.
“Dia mabuk... Saya boleh rasa wine dari bibirnya... dan
saya tak upaya melawan lagi... dia... dia terlalu kuat...” Qistina
tersedu.
Kepanasan hati Ian Iskandar kini sampai ke tahap
mendidih. Cuba membayangkan Qistina dalam keadaan yang
diceritakan itu. Membayangkan Qistina disakiti dan dianiaya
sebegitu. Keinginan untuk melindungi gadis itu begitu tebal
dalam jiwanya. Dan keinginan untuk membalas dendam
terhadap lelaki durjana itu mula berputik.
“Sa… saya rasa jijik pada diri saya sendiri… apa yang
dia dah buat... Tapi nak buat macam mana, itu semua salah saya
sendiri…”
“Apa? Apa maksud awak?”
Qistina menarik tangannya daripada genggaman
Ian Iskandar. Kali ini lelaki itu membiarkannya saja. Qistina
mengesat air matanya dengan kedua tangannya.
“Kalau encik tengok baju yang mama paksa saya pakai
malam tu, encik pun tentu akan salahkan saya jugak!” Balas
Qistina perlahan.
“Saya malu dengan diri saya sendiri malam tu. Saya
yang ikut dia pergi ke parti tu, saya yang berpakaian tak senonoh
dan seksi macam tu… saya yang buat dia…”
“Jadi awak rasa apa yang berlaku ni salah awak?” Ian
Iskandar mencelah. Tidak puas hati dengan cara pemikiran
Qistina.
“Mungkin bukan salah saya sepenuhnya, tapi saya
yang telah mendorong dia melakukan perkara tu pada saya…
mungkin dia ingat saya sengaja ingin menggodanya dengan
berpakaian seksi begitu…”
“Rubbish!” Kuat suara Ian Iskandar. Qistina tersentak.
“Qistina,” Ian Iskandar kembali mengendurkan
suaranya.
“Awak tak paksa dia buat macam tu pada awak… dia
patut bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku…”
“Saya jugak bersalah, encik…” Qistina menggelenggelengkan
kepalanya, tidak percaya.
“Qistina, awak rasa dengan awak berpakaian menutup
aurat macam ni, awak akan terlepas dari sebarang cubaan
daripada lelaki yang bernafsu syaitan macam tu? Awak boleh
jamin tak, yang takde sorang lelaki pun akan serang awak, akan
cuba nodai awak, hanya kerana awak pakai baju yang menutup
aurat awak?”
Dahi Qistina berkerut. Cuba memikirkan apa
yang diperkatakan Ian Iskandar kepadanya. Kepada Timah,
Qistina telah pun meluahkan rasa berdosanya kerana
tergamak mengenakan pakaian yang begitu terdedah dan
seksi di tubuhnya. Mungkin itulah balasan Tuhan kepadanya.
Tuhan telah memberi peringatan kepadanya tentang dosa
mendedahkan aurat seperti yang telah dilakukannya malam itu.
“Qistina, setiap lelaki mempunyai nafsu. Yang
membezakan seorang lelaki dengan yang lain hanyalah
bagaimana kuatnya dia melawan nafsu yang kadang-kadang
dikuasai syaitan. Awak cuma seorang mangsa, Qistina. Awak tak
sepatutnya menyalahkan diri awak.”
Sukar untuk Qistina menerima pujukan Ian Iskandar
itu. Dia tetap rasa bersalah malam itu. Dia seharusnya
lebih berhati-hati dan mendengar kata hatinya pada malam
itu. Semoga Allah mengampunkan dosanya selama ini,
mendedahkan auratnya kepada yang bukan mahramnya untuk
sekian lamanya.
“Qistina, sebab tu ke awak mula bertudung?”
“Tak, encik. Saya dah lama ingin bertudung, tapi takut
nak menyuarakan hasrat saya pada mama dan papa saya. Selama
ni pun saya bersolat secara senyap-senyap dan bersembunyi.
Apabila papa saya halau saya dari rumah, barulah saya berani
ubah cara pemakaian saya sebab sekarang saya bukan lagi di
bawah tanggungjawab dia…”
Rasa hormat yang begitu tinggi singgah dalam hati
Ian Iskandar terhadap gadis itu. Betapa dia bersyukur Qistina
mempunyai kecekalan yang cukup kuat untuk melawan cara
kehidupan keluarganya selama ini. Qistina tidak terikut-ikut
dengan budaya yang diterapkan mama dan papanya. Qistina
mempunyai pendiriannya sendiri.
Tiba-tiba Ian Iskandar teringatkan kata-kata Qistina
yang tergantung tadi.
“Encik takkan nak kahwin dengan saya lagi
kalau…”
Ian Iskandar kembali menarik tangan Qistina. Kuat
cengkamannya.
“Qistina, sebab ni ke awak tolak lamaran saya? Awak
ingat saya tak mahu kahwin dengan awak selepas saya tahu
pasal ni semua?”
Qistina melihat wajah Ian Iskandar yang seolah-olah
sedang marah. Sakit di tangan digenggam lelaki itu tidak
diendahkan. Dia mengangguk kecil.
“Antara sebahagian alasannya, encik.”
“Dan sebahagian lagi?”
Sukar untuk Qistina berterus terang mengapa dia
menolak lamaran Ian Iskandar dulu. Ketika itu Ian Iskandar
hanya ingin mengahwininya atas sebab ingin membahagiakan
ibunya dan menuruti permintaan ibunya agar ibunya bersetuju
menjalani pembedahan lanjutan untuk kakinya itu.
“Takkan encik tak tahu…”
“Kalau saya tahu, saya tak tanya, Qistina!” Bentak Ian
Iskandar. Qistina mengeluh.
“Bukan ke hari tu encik kata yang encik nak kahwin
dengan saya sebagai memenuhi impian ibu encik je? Supaya
lepas tu ibu encik akan bersetuju menjalani pembedahan nanti.
Takkan saya nak terima lamaran encik kalau itu sebab mengapa
encik nak kahwin dengan saya!”
Tekaan Ian Iskandar rupanya tepat sekali. Qistina
langsung tidak tahu akan perasaannya terhadap gadis itu. Ian
Iskandar melepaskan keluhan berat.
“Qistina, itu sekadar alasan saya saja. Takkan saya nak
kata dengan awak, saya dah jatuh gila dengan awak, sebab tu
saya nak kahwin dengan awak. Tapi hakikatnya, memang saya
dah jatuh cinta dengan awak. Awak buat saya separuh gila,
Qistina! Awak tahu tak?”
Tangan Qistina dibelai dan diramas membuatkan
Qistina panas di tempat duduknya. Nafasnya mula tersekatsekat.
Dia semakin lemas… Apatah lagi baru mendengar luahan
hati lelaki itu. Seperti tidak percaya dengan apa yang baru
didengarinya tadi.
“Encik cintakan saya?”
“Lebih daripada segalanya, Qistina.”
“Separuh gila? Apa encik cakap tadi? Saya tak
faham…” Qistina tidak akan berpuas hati selagi segalanya tidak
dibentangkan dengan jelas kepadanya. Dia tidak mahu bertekateki
lagi.
“Awak begitu dingin dengan saya, tak pernah mesra
macam awak mesra dengan Dr. Ilyas… Awak boleh senyum dan
bergurau senda dengan Dr. Ilyas tapi dengan saya, awak buat tak
endah saja,” lagak Ian Iskandar seolah-olah merajuk.
“Encik kan majikan saya… takkan saya nak bermesramesra
dengan encik. Mana boleh saya cross the line macam tu?
Lagipun…”
“Lagipun apa?”
“Saya tak selesa dengan encik… Encik banyak sangat
tanya soalan… semua pasal saya encik nak tahu. Lepas tu bila
cakap dengan saya, asyik nak marah-marah je… selalu je tak
puas hati dengan saya.” Giliran Qistina pula bercakap dengan
nada merajuk.
Ian Iskandar tersenyum. “Tapi saya suka!”
Qistina menjeling. Senyuman Ian Iskandar semakin
melebar. Pertama kali Qistina menjeling manja kepadanya.
“Errr… Encik… boleh saya tanya satu soalan?” Qistina
menggigit bibirnya. Teragak-agak untuk bertanya. Ian Iskandar
mengangguk.
“Encik tak rasa apa-apa ke lepas saya cerita tadi?”
“Macam-macam saya rasa, Qistina. Rasa teramat
marah pada lelaki tu, sedih dan kecewa sebab awak teraniaya
tetapi tetap bersyukur awak tak sempat diapa-apakan…”
“Jadi, encik masih nak kahwin dengan saya walaupun
selepas apa yang saya beritahu encik tadi? Encik tak rasa saya
ni kotor?”
Soalan itu begitu pelik di telinga Ian Iskandar.
“Ya Allah, Qistina. Benda tu jadi bukan atas kemahuan
awak! Saya sikit pun tak salahkan awak dalam perkara ni.
Kenapa awak perlu rasa kotor? Mengarut! dan ya, saya masih
nak kahwin dengan awak Qistina! Apa yang awak cakap pada
saya tadi sikit pun tak merubah perasaan saya pada awak.”
Qistina seolah-olah tidak mempercayai kata-kata Ian
Iskandar itu. Cukup membahagiakan dirinya. Dia benar-benar
terharu. Sangkaannya selama ini begitu meleret jauh. Perasaan
Ian Iskandar terhadapnya tidak berubah. Baiknya dia. Langsung
secalit kesalahan pun tidak diletakkan di atas bahu Qistina.
“Qistina, sudikah awak jadi isteri saya? Berilah peluang
kepada saya melindungi awak daripada apa atau sesiapa saja.
Awak tak perlu laluinya berseorangan lagi…” Ian Iskandar
melamar gadis idamannya untuk kali kedua.
‘Ya Allah… benarkah ini sedang terjadi? Dalam masa
yang begitu singkat?’
“Encik tak rasa macam kita baru sangat kenal ke? Saya
kat sini baru sebulan lebih…”
“Satu hari ke, sebulan ke, setahun ke… tu semua tak
penting kalau kita tahu apa dalam hati kita. Hari-hari awak ada
kat depan mata saya. Awak tak rasa apa yang saya rasa ke? Awak
tak rasa ke debaran yang saya rasa ketika bersama awak?”
Qistina tertunduk malu.
“Qistina, berapa kali harus saya lamar awak? Awak sudi
ke tak jadi isteri saya ni?” Seakan tidak sabar lagi Ian Iskandar
menanti jawapan daripada gadis itu.
Qistina mengangguk perlahan. Tidak mampu bersuara.
Ian Iskandar tidak berpuas hati.
“Qistina... saya perlu jawapan yang kukuh. Ya atau
tidak?”
Qistina melangut dan memandang ke wajah Ian
Iskandar.
“Sa… saya sudi, encik.”
Sekuntum senyuman manis terukir pada wajah kacak
lelaki itu. Mata birunya memancar sinar kegembiraan dan
tangan Qistina dikucup mesra. Lama. Qistina terkedu.
“Maaf... maaf... Saya tak boleh kawal diri saya...” Ucap
Ian Iskandar setelah melihat reaksi Qistina sebentar tadi.
Sepasang kekasih itu saling berpandangan. Rasa
bunga-bunga di hati mereka kini kian bersemarak. Rasa cinta
berbalas sudah. Angan-angan untuk menyulam kasih dan
sayang bakal menjadi realiti. Sukar untuk Qistina mempercayai
apa yang sedang berlaku ketika ini.
Setelah sekian lama, Ian Iskandar bersuara kembali.
“Qistina, awak hutang saya sesuatu.”
Qistina tidak mengerti.
“Siapa lelaki tak guna yang buat begitu pada awak? Saya
nak tahu namanya.” Perlahan dan dalam suara Ian Iskandar.
Qistina tidak berani membantah mendengar nada
suara Ian Iskandar.
“Remy. Remy Dato’ Idris Mansor.” Pahit rasanya
menyebut nama lelaki itu.
Bagai hendak gugur ke bumi jantung Ian Iskandar
mendengar nama itu meniti di bibir Qistina. Riak wajahnya
berubah seketika sebelum dia pantas menyembunyikannya
daripada Qistina. Nama itu bagai racun di telinganya. Dia mesti
bertindak pantas.
Dia bingkas bangun dan menarik tangan Qistina agar
mengikutnya.
“Jom. Banyak perkara kita kena buat...”
‘Kenapa pulak ni?’ Qistina terpinga-pinga melihat Ian
Iskandar.
“Perkara apa?” Qistina terpaksa berlari-lari anak untuk
mengekori langkah panjang lelaki itu.
“Persiapan perkahwinan!”
Qistina menarik tangannya hingga terlerai. Dia berdiri
dan tidak mahu melangkah lagi. Ian Iskandar memalingkan
tubuhnya agar berhadapan dengan Qistina.
“Kenapa?”
“Persiapan perkahwinan?”
“Ya, persiapan perkahwinan. Persiapan perkahwinan
kita! Kita kahwin minggu depan!”
Mulut Qistina ternganga. Kerja gila!
“Apa??? Dalam masa seminggu? Encik ni gila ya?”
“Seminggu, Qistina. Sehari pun tak boleh bertangguh!”
“No! Saya tak mahu kahwin terburu-buru macam
ni…”
“Maaf Qistina. Saya tak boleh beralah dalam hal ni.
Awak tak perlu risau. Saya akan uruskan semuanya. Awak hanya
perlu hadir pada hari itu saja!”
Ian Iskandar kembali menarik tangan Qistina.
“Encik... encik! Kenapa cepat sangat? Berilah masa
untuk kita saling mengenali dulu. Kita kan baru je kenal?”
“Maaf Qistina… saya tak mahu kehilangan awak.
Kita kahwin minggu depan dan muktamad!” Tegas suara Ian
Iskandar. Qistina tidak mampu membantah walaupun hatinya
tertanya-tanya mengapa Ian Iskandar berkelakuan begini.
No comments:
Post a Comment